Isnin, 14 Mei 2012

ADA KUASA...ADA TANGAN2 GHAIB MENOLONG..DE KEKEBALAN LAH...TAPI MEREKA NI TIADA KEKEBALAN DARI TERKENA TAKDIR ALLAH...BARU IA TAHU LANGIT NI TINGGI ATAU RENDAH...BERTAQWALAH...JANGAN JADI KAKI KELENTONG...TUKANG LAGA@MENGADU DOMBA...KAKI BODEK HINGGA TAK KIRA HUKUM ALLAH SWT...

Kenapa Nizar hadir ceramah Umno malam tadi?

Hazayani Zakaria, 14 Mei 2012

[Gambar: Nizar (duduk, dua dari kanan) hadir pada ceramah 'Nizar Pembohong Bersiri' anjuran Umno di Tualang Sekah, Kampar malam tadi.] Foto dari web Tranungkite.
KUALA LUMPUR, 14 Mei: "Apa salahnya saya duduk dan dengar untuk tahu apa pembohongan yang mungkin saya sudah lupa," kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Nizar berkata demikian apabila ditanya faktor yang mendorong beliau hadir ke ceramah anjuran Umno Kampar bertajuk 'Nizar Pembohong Bersiri' di Tualang Sekah, malam tadi.

"Bila saya dapat tahu ceramah itu memang untuk dedahkan pembohongan saya, eloklah saya pergi dengar sendiri supaya mereka berterus terang.

"Kebetulan giliran saya berceramah tidak jauh dari situ jam 11 malam. Jadi saya minta kawan hantarkan dengan motor ke ceramah mereka," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Cerita Nizar, ketika beliau sampai dan duduk di meja utama, bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Nasional Hanafiah Man sedang 'mengumpat' beliau.

Namun apabila menyedari kehadiran Nizar, Hanafiah terdiam seketika dan terus menukar topik.

"Saya pun tak tahu kenapa mereka terkejut dan tak teruskan ucapan, tak tahu mereka rasa bersalah atau apa," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Tambah Nizar lagi, kebanyakan orang luar yang hadir ke ceramah itu sebaliknya orang kampung tersebut hadir ke ceramah PAS yang hanya kira-kira 150 meter dari tapak ceramah Umno itu.

"Orang kampung situ memang kenal saya dan keluarga saya mungkin sebab itu mereka lebih berminat untuk hadir ke ceramah PAS," katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Katanya juga, kehadirannya menyebabkan matlamat Umno untuk memfitnahnya gagal dan menimbulkan rasa tidak senang penganjur.

"Saya duduk sebelah (Ketua Umno Bahagian Kampar ) Datuk Radzi (Manan). Beliau bisik kepada saya suruh beredar untuk mengelakkan pergaduhan.

"Katanya kalau orang Umno hadir ceramah saya, mesti saya pun tak suka. Saya kata, saya lagi suka kalau orang Umno hadir ceramah saya. Senang saya nak sampaikan maklumat," katanya lagi.

Ekoran tindakan beraninya itu, ramai pengikutnya di blog mikro Twitter memuji dan mengucapkan tahniah kepadanya.

Ismail sokong Hanif tidak pulih reputasi panel bebas

Harakahdaily, 14 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mei: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat sokongan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar atas pelantikan Tun Hanif Omar untuk mengetuai panel bebas bagi menyiasat insiden keganasan yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0 tidak mampu menjernihkan keadaan serta meredakan kemarahan rakyat.


Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor berkata, ini kerana rakyat masih melahirkan kesangsian dengan pelantikan Hanif yang menurut mereka adalah hanya ‘melepas batuk di tangga’ bagi mengelakkan lebih banyak prejudis rakyat terhadap kerajaan khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan Bersih 3.0.

“Ramai percaya panel bebas yang diketuai oleh Tun Hanif Omar sebenarnya ‘tidak bebas’ dan akan bersifat berat sebelah,” katanya.

Katanya lagi, umum mengetahui bahawa Haniff adalah bekas Ketua Polis Negara dan panel yang beliau ketuai adalah bagi menyiasat insiden keganasan yang didakwa dilakukan oleh institusi yang pernah diketuainya iaitu polis.

Beliau berkta, adalah sukar untuk dipercayai jika beliau mampu memberikan laporan yang adil dan telus terhadap PDRM.

Malah, ujar beliau Haniff pernah mengeluarkan kenyataan yang mengutuk perhimpunan tersebut dan menyalahkan penganjurannya selepas beberapa hari penganjuran bersih 3.0.

Menurutnya, yang lebih dikesali adalah kerajaan menolak cdaangan supaya dilantik pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyiasat perhimpunan Bersih 3.0.

Bagi DPPM, kata Riduan sebaiknya Ismail menyokong saranan banyak pihak untuk melantik wakil dari PBB menyiasat insiden disebalik perhimpunan Bersih 3.0 kerana ia lebih diyakini dan lebih bebas.

Tahanan ISA lancar mogok lapar - Suaram

Anis Nazri, 14 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mei: Sebilangan tahanan ISA yang masih ditahan di Kem Kamunting nekad melancarkan mogok lapar bagi menuntut pembebasan mereka.

Tindakan itu dilakukan memandangkan status mereka sebagai tahanan ISA masih tergantung setelah kerajaan bersetuju memansuhkan akta itu, Mac lalu.

Bagaimanapun, jumlah tahanan yang melancarkan mogok itu masih tidak diketahui.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram), dalam satu kenyataannya, hari ini berkata pihaknya dimaklumkan tentang tindakan mogok itu daripada ahli keluarga tahanan.

Pengarah Eksekutifnya, E. Nalini berkata beliau percaya mogok itu telah dilakukan sejak empat hari lalu.

Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Dalam Negeri turun memastikan keadaan mereka, sekaligus menyatakan pendiriannya terhadap status penahanan mereka atau membicarakan mereka di mahkamah terbuka.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut memastikan keadaan tahanan yang diktakan melancarkan mogok lapar.

"Campur tangan pihak Suhakam juga diperlukan bagi memastikan keadaan tahanan di sana. Tahanan-tahanan tersebut mungkin kecewa kerana masih tidak dibebaskan, sedangkan ISA sudh dimansuhkan," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata biarpun akta baru yang menggantikan ISA masih membolehkan penahanan sedia ada, Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar melakukan sesuatu bagi memastikan semua tahanan ISA tahu keadaan status mereka.

"Para tahanan tahu, ISA sudah dimansuhkan.  Sudah tentu mereka mengharapkan pembebasan selaras dengan pemansuhan tersebut.  Mungkin menteri ad berjanji dengan mereka.  Jadi KDN perlu bertindak sewajarnya dalam kes ini," tambah beliau yang menyatakan masih ada 30 hingga 40 orang tahanan ISA yang ditahan di bawah akta itu. 

Perubahan polisi PR mestilah melalui konsensus

Lim Kit Siang, 14 Mei 2012
Majlis Pimpinan PR menegaskan semula permuafakatan yang kukuh dan kata sepakat di antara mereka dalam polisi umum sebelum atau selepas PRU13 dan apa-apa perubahan dalam polisi PR mestilah melalui satu proses konsensus terlebih dahulu.


Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini menegaskan semula permuafakatan yang kukuh dan kata sepakat dalam perjanjian oleh tiga komponen parti utama iaitu PKR, PAS dan DAP, sama ada sebelum atau selepas Pilihanraya Umum Ke-13, yang termaktub Kerangka Dasar Bersama PR pada 19 Disember 2009, pengenalan Buku Jingga pada 20 Disember 2010 dan Kenyataan Majlis Pimpinan PR pada 28 September 2011.

Sepertimana yang termaktub dalam Kerangka Dasar Bersama PR yang telah diserap sebulat suara di dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat di Shah Alam dalam Disember 2009, Pakatan Rakyat komited untuk mendukung semangat dan peruntukan Akta dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya dalam:

1. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, agama Islam sebagai agama Perlembagaan di samping kebebasan untuk agama yang lain diamalkan mana-mana di negara ini dan melindungi hak-hak istimewa kaum Melayu dan orang asal di mana-mana termasuklah negeri Sabah dan negeri Sarawak, dan kepentingan sah kaum-kaum yang lain berdasarkan peruntukan Artikel 153.

2. Mempertahankan peranan dan kebertanggungjawaban institusi Raja-Raja Berperlembagaan.

3. Mendukung penggunaan Bahasa Melayu berdasarkan Artikel 153 dalam Perlembagaan Persekutuan dan mempromosikan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan (lingua franca) disamping mempertahankan dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda untuk semua kaum.

4. Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang lain yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan pada masa yang sama mencadangkan pembatalan semua deklarasi darurat yang sedia ada.

5. Memansuhkan atau meminda semua undang-undang yang menindas dan menyalahi hak asasi manusia.

6. Menjamin semangat federalisme dan perhubungan yang saksama di antara negeri-negeri Persekutuan dan negeri-negeri lain seperti Sabah dan Sarawak.

Majlis Pimpinan PR hari ini juga menegaskan bahawa apa-apa perubahan kepada polisi-polisi PR yang telah dipersetujui secara muafakat mestilah melalui satu proses konsensus di antara ketiga-tiga parti komponen PR.

Hukum Hudud bukanlah sebahagian daripada Kerangka Dasar Bersama PR di mana parti DAP mempunyai pandangan bahawa pengimplementasian hukum tersebut bercanggah dengan semangat Perlembagaan. Walau bagaimanapun, parti DAP menghormati pandangan parti PAS di atas isu tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib bahawa pengimplementasian hudud dan pindaan pada Perlembagaan Persekutuan adalah keutamaan parti PAS walaupun ia akan membawa kepada pertukaran “rakan kongsi” dalam Pakatan Rakyat telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PR pagi tadi.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ketua PAS yang lain memberi jaminan kepada Majlis Pimpinan PR bahawa kepimpinan parti PAS menolak pandangan Harun kerana ianya tidak mencerminkan kedudukan PAS tetapi adalah pandangan peribadi Harun.

Bersih 3.0 mati: Hisham, timbalan KPN merapu

Abdul Aziz Mustafa, 14 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mei: Dulu dia dakwa tiada bukti wujud unsur pecah amanah dalam projek ternakan lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC), sekarang dakwa pula polis ada bukti unsur-unsur mahu kematian dalam perhimpunan Bersih 3.0.


Demikian jawapan serta merta Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu apabila diminta mengulas tentang dakwaan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar mengenai perkara itu ketika beliau menyokong dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin sebelum itu mendakwa, terdapat unsur-unsur semasa perhimpunan Bersih 3.0 yang mahu menyebabkan kematian.

"Dulu polis itu (Khalid) kata tak ada bukti berlaku pecah amanah dalam projek NFC. Tak lama selepas itu (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed) Nazri (Abd Aziz) beritahu kita berlaku kes pecah amanah bila National Feedlot Corporation (NFCorp) langgar syarat pinjaman.

"Dulu menteri itu (Hishammuddin) kata rampas kamera wartawan ikut garis panduan operasi polis (SOP). Tak berapa hari lepas itu, Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) terpaksa betulkan kenyataan itu dan kata rampas kamera wartawan bukan SOP," kata Mohamad.

Bagi beliau, dua peristiwa itu sudah cukup untuk memberitahu rakyat sama ada cakap kedua-duanya boleh dipercayai atau tidak.

"Menteri itu banyak sangat bercakap merapu. Elok sangat kalau dia pergi dapatkan rawatan professional," katanya.

Sebelum perhimpunan Bersih 3.0 dan ketika dia menjangka perhimpunan itu tidak mendapat sambutan, kata Mohamad, Menteri Dalam Negeri kata himpunan Bersih 3.0 bukan ancaman keselamatan.

"Bila kerajaan Umno terkejut dengan kehadiran ratusan ribu rakyat dan mereka kucar-kacirkan perhimpunan aman itu, menteri itu tuduh pula saya dan (Ahli Jawatankuasa Bersih) Hishamudin Rais ajak anak-anak muda yang berhimpun malam sebelumnya supaya masuk ke dalam Dataran Merdeka.

"Sedangkan yang sebenarnya kami ditugaskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Bersih supaya berpesan kepada orang ramai terutama anak-anak muda yang berhimpun di sekitar kawasan itu supaya jangan memasuki Dataran Merdeka.

"Dia dan Umno tak habis-habis cakap merapu sebab mereka macam cacing kepanasan," katanya.

Parlimen Tidak Dibubar Kerana UBN Belum Selamat

http://msomelayu.blogspot.com, 14 Mei 2012
Sejak semalam hingga ke malam tadi ramai yang gelisah kerana menanti berita perdana menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong. Teta-teki itu menyebabkan ada yang tidak lena tidur, dan bakal calon pula menghitung-hitung apakah wang untuk digunakan bertanding dalam pilihan raya cukup atau tidak. Lengah butir-buir atau otak kalkulator mengira wang para ahli poltik.

Sejak semalam lagi ramai yang menanti berita yang kesekian lama diunggu itu. Ia menjadi memuncak apabila Najib yang teruja dengan orang ramai yang datang ke majlis hari ulang tahun Umno 66 di Bukit Jalil bergurau dan menyebut "rasa-rasanya eosk nak menghadap Agong" apabila melihat lebh 65,000 hadir.

Orang ramai yang sudah terlalu kagen dengan pilihan raya mengambil kira gurauan Najib itu sebagai serius.

Walaupun kedatangan itu kurang separuh dari sepatutnya, tetapi Najib sudah merasa gemuruh kerana dia tidak pernah melihat orang seramai itu dalam himpunan yang mana dia menjadi hos. Angka-angka yang dilaporan sebelum ini adalah angka untuk menyedapkan hati.

Mungkin kerana seronok dan merasakan Najib dan BN sudah kembali mendapat sokongan rakyat maka beliau memberi gambaran untuk membubar dewan kerana mengambil kira sokongan itu. Kerana itulah orang ramai menanti dari petang membawa ke pagi sehinggalah ke hari ini. Ternyata Najib tidak pun menghadap Agong sebaliknya dia sudah terbang ke London malam tadi.

Katanya Najib membawa beberapa orang kuat dalam rombongan itu. Yang pasti ada sama ialah Pengerusi Felda yang menjadi persoalan, Mohd Isa Samad. Pemergian Isa bersama Najib mungkin ada kena mengena dengan cadangan penyenaraian Felda Global Venture Holdings Berhad dalam masa terdekat ini. Isa kena pastikan penyenaraian FGVHB berjalan lancar dan apabila disenaraikan sahamnya naik melebihi 500% kalau tidak naas.

Mulai lewat malam tadi habislah angan-angan orang ramai untuk mendengar berita Najib menghadap Agong. Ini bermakna tanpa adanya PM menghadap Agong bermakna parlimen tidak akan dibubarkan lagi.

Saya sendiri sudah mengira walaupun Najib memberi gambaran dewan akan dibubarkan dalam sebulan dua ini, tetapi bukan untuk bulan Mei ini. Mei adalah bulan-bulan akhir sebelum Najib bubarkan parlimen. Jadi dia harus kena pasti sebelum bubar UBN dalam keadaan selamat.

Formula biasa digunakan Mahathir semasa beliau menjadi dewa menentu tarikh pilihan raya, dia tidak akan buat selagi UBN tidak mendapat 2/3 kerusi, iaini kira-kira 148 kerusi. Setelah memastikan UBN telah selamat dengan kerusi sejumlah itu barulah Mahathir menghadap Agong memohon perkenaan dan menasihatkan Agong membubar parlimen.

Apabila Najib tidak mengadahap Agong ini bermakna Najib belum yakin kedudukan UBN sudah selamat. Najib kena pastikan UBN sudah mendapat 148 kerusi barulah parlimen sesuai dibubarkan. Dari berbagai sumber menyebut kedudukan kerusi selamat bagi UBN ketika ini ialah 90 kerusi di mana kurang separuh dari itu untuk meletakkan UBN dalam keadaan selesai memiliki 150 kerusi.

Sementara pihak pembangkang pula kini dikatakan mempunyai 55 kerusi selamat, di mana lebih separuh dari kerusi yang dimiliki UBN. Tetapi petunjuk itu tidak boleh dikira oleh UBN kerana yang penting UBN dapat mengesahkan 148 kerusi selamat telah ada.

Justeru saya mengira Najib perlu berusaha keras lagi untuk mencapai kedudukan. Beliau juga tidak perlu kejar masa kerana masih ada setahun. Tetapi kalau Najib dan pakar-pakar strategis dan pilihan raya UBN mengira lagi lama Najib menunggu keadaannya lagi parah, ada kemungkinan dalam situasi tidak kondusif begini juga Najib akan meminta Agong bubar dewan.

Kata orang daripada kalah lebih besar baik menang walaupun tidak mendapat majoriti dua pertiga. [wm.kl.3:00 pm 14/05/12]

Latihan DBKL bercanggah RUU himpunan aman

Anis Nazri, 14 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mei: Latihan bagi penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menghadapi perhimpunan haram hanya dilihat sebagai bercanggah dengan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamed (gambar), berkata ini kerana dengan RUU tersebut, tiada istilah perhimpunan haram, sebaliknya sesiapa yang ingin berhimpun hanya perlu memaklumkan kepada pihak polis.

"Sekiranya penguatkuasa DBKL ditambah tugas, itu dalam bidang kuasa mereka.  Tetapi apabila sebut tentang perhimpunan haram, ia bercanggah dengan RUU perhimpunan aman yang tiada istilah perhimpunan haram dan sebagainya," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, sekiranya penguatkuasa DBKL diberikan tugas atau latihan tentang pemantauan dan pengawalan sebarang perhimpunan, perkara itu memang disokong pihaknya.

Namun, katanya jika latihan itu hanya untuk menggalakkan sebarang bentuk kekasaran dan keganasan seperti pihak polis sebelum ini, perkara tersebut tidak boleh diterima.

"Lebih baik sekiranya anggota penguatkuasa ini diberi latihan bagaimana tugas mereka untuk memastikan sesuatu perhimpunan itu dapat dilangsungkan dengan aman, seperti mengawal dan memberi kerjasama sewajarnya bagi sesebuah perhimpunan itu," tambah Kamaruzzaman lagi.

Sebelum itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan penguatkuasa DBKL akan dilatih secara khusus sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya perhimpunan haram pada masa hadapan.

Beliau dilaporkan berkata latihan secara khusus itu perlu kerana dalam senario terkini, kemungkinan lebih banyak perhimpunan haram akan diadakan dari semasa ke semasa, terutamanya di Kuala Lumpur.

Menurut Raja Nong Chik, perbincangan tentang latihan khusus itu telah diadakan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kafir: Mohon maaf atau tindakan lebih keras

Harakahdaily, 14 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mei: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerahkan satu memorandum bantahan kepada pihak New Straits Times Press kerana telah mengeluarkan artikel yang bertajuk Nik Aziz is father of kafir.

“Tok Guru adalah seorang tokoh agama dan beliau adalah pemimpin utama parti. Selain itu, beliau juga merupakan pemerintah rakyat Kelantan.

“Artikel-artikel seperti ini hanya mendorong kemarahan daripada rakyat Kelantan khususnya dan amnya semua rakyat Malaysia yang menyokong Tok Guru,” kata Ketua DPPM, Nasrudin Hassan (gambar) pada sidang media di hadapan pejabat Balai Berita New Straits Times Press [M] Berhad pagi tadi.

Justeru, beliau menasihatkan kepada semua wartawan dan media untuk menjaga etika kewartawanan dan penulisan satu-satu berita agar tidak mencetuskan isu-isu seperti itu hanya kerana untuk melariskan jualan akhbar sahaja.

“Kita mahu NSTP atau mana-mana media untuk menjaga etika kewartawanan mahupun penulisan berita agar tidak timbul isu-isu seperti ini yang hanya akan melahirkan ketidakpercayaan rakyat Malaysia pada media sebab tidak profesional, tiada kualiti dan integriti,” ujar beliau.

Beliau juga mengingatkan agar NST dapat memohon maaf dan menarik semula artikel terbabit dalam tempoh 24 jam.

“Oleh itu, kami mendesak agar NST memohon maaf di atas penyiaran berita tersebut dalam tempoh 24 jam selepas memorandum ini diserahkan.

"Sekiranya ia tidak dilakukan maka kami akan mengambil tindakan yang lebih keras selepas ini,” tegasnya.

Turut menyertai beliau ialah timbalannya, Nik Mohamad Abduh, Setiausaha, Khairul Faizi dan Kamaruzaman Mohamad, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Rombongan itu disambut baik oleh pihak NST dan memorandum tersebut telah diterima oleh Wan Abdillah Wan Nawi selaku Ketua Bahagian Pemasaran Korporat yang mewakili Abdul Jalil Hamid, iaitu Ketua Kumpulan Editor News Straits Times Press (M) Berhad.

Tiada ulasan: