Khamis, 17 Mei 2012

BILA RAKYAT DAH TAHU ITU RASUAH...ITU GULA2...TAHU ITU DUIT RAKYAT...TAHU ITU UNTUK PANCING...TAHU ITU MUSLIHAT...TAHU ITU PERANGKAP...TAHU MEMANG DAH TERDESAK...DAN BANYAK RAKYAT DAH TAHU....ALLAH LAGI MAHA TAHU....

Mahathir tabur baja subur kebencian kepadanya

Mohd Sayuti Omar, 17 Mei 2012
Itu bekas PM Mahathir Mohamad sensitif sangat dengan bau ketiak orang yang tidak menyokong partinya tetapi mati deria bau dengan ketiak agensi atau pun orang menjadi cina buta kepada parti Umno. Semalam dia mengkritik Majlis Peguam yang kononnya banyak bercakap mengenai politik dan bukan soal profesionnya.


Lantas itu beliau berpendapat cara majlis itu tidak wajar kerana ia mengelirukan orang ramai. Tetapi saya yakin kalau Majlis Peguam bersikap membela kerajaan dan mengkritik pembangkang, Mahathir akan jadi macam tikus kesejukan yang jatuh dalam tempayan beras, diam membisu seribu bahasa dan akan menggosok-gosok belakang presiden Majlis Peguam kerana tindakan itu menguntungkan Umno.

Semua boleh ditengok dan ditilik apa yang sedang berlaku. Polis, SPR, DBKL dan segala macam agensi kerajaan yang seharusnya tegak di atas prinsip undang-undang sebagai badan awam dan tidak berpihak, tidak pun ditegur Mahathir walaupun badan-badan berkenaan jelas berat sebelah atau cenderung kepada Umno.  Kalau Mahathir cuba hendak menunjukkan dia seorang yang adil beliau harus menegur sama pihak-pihak lain yang memberi sokongan paksa kepada Umno.

Segala macam kemudahan kerajaan dan agensinya digunakan untuk Umno. Lori, kereta, motor kerajaan pun digunakan untuk menyokong Umno. Ambulans yang digunakan untuk mengangkutkan orang sakit juga dicabuli Umno. Pegawai kerajaan yang tidak berdosa atau menyertai Umno juga diheret macam mengheret kuda ke luat untuk berada dalam majlis Umno.


Apakah ada kritikan daripada Mahathir? Tidak ada apa-apa komen dari Mahathir. Kedua biji mata Mahathir buta dari situasi itu dan seluruh indra nafasnya juga tepu dan mati dari segala itu. Selaku negarawan Mahathir sepatutnya waras dalam hal ini. Dia seharusnya telah melepaskan negara ini kepada rakyat dan Umno tidak perlu lagi dicampuri olehnya. Cukuplah 22 tahun menjadi PM.


Mahathir mungkin terkilan kalau orang terkedu dan mengkritiknya atas perbuatannya itu, tetapi beliau harus sedar kemarahan dan kritikan umum kepadanya itu kerana sikap dan stail beliau juga.


Perasaan syok sendiri, merasa pandai dari orang lain menyebabkan Mahathir menjadi tidak relevan mirip-mirip sudah nyanyuk. Tindakan membela Umno dengan meneruskan taktik dan strategi diguna sebelum ini menggunakan polis dan badan awam lain memburukkan lagi Umno.


Gara-gara itu walaupun sesetengah teguran dan pandangan Mahathir benar, tetapi orang tidak akan mempercayainya, maka jadilah segala teguran dan kritikan itu baja untuk menyuburkan kebencian umum kepada bekas PM itu.

Jangan benarkan program Irshad Manji - PPMM

Harakahdaily, 17 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 17 Mei: Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) membantah program Irshad Manji  yang dikatakan akan dijalankan di Universiti Monash Bandar Sunway pada hari Jumaat 18 Mei 2012 antara jam 1 hingga 2 tengah hari yang bertajuk ‘ Moral Courage: Creating Space for Islam & Democracy’.

Pihak Universiti Monash melalui Mohamed Ismail pula menafikan ada seminar dianjurkan oleh Sekolah Sastera dan Sains Sosial pada Hari Jumaat 18 Mei 2012 tersebut.

Sebelum daripada ini usaha beliau untuk berceramah di Universiti Islam Antarabangsa juga telah gagal malah di Indonesia juga beliau tidak dialu-alukan.

“Selain tidak menghormati waktu solat Jumaat bagi orang Islam Irshad Manji dengan gahnya mengatakan lelaki Islam juga dialu-alukan hadir kerana  solat Jumaat tersebut boleh dibuat bila-bila masa sahaja dan ia merupakan ciptaan manusia sebagaimana terdapat di dalam tweeter beliau,” kata Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (gambar).

Katanya, ia memberi gambaran bahawa program beliau adalah lebih penting daripada solat Jumaat.

Menurutnya, Irshad Manji mengaku sebagai seorang lesbian cuba mengenengah pendirian liberal beliau kepada masyarakat Malaysia.

“Ia juga seolah-olah cuba menjuarai isu kebebasan seks dan moral dan mahu menjadikan ia norma masyarakat Malaysia walaupun jelas bertentangan dengan agama Islam.

“Tulisan-tulisan Irshad Manji banyak yang mengelirukan dan tersasar dari Hukum Syarak. Malah acapkali dilihat sebagai mempertikai atau menghina agama Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, tegasnya PPMM mendesak kerajaan tidak membenarkan beliau meneruskan program tersebut dan meninggalkan Malaysia dengan kadar segera kerana ia boleh menjadi barah kepada pengamalan agama Islam di Malaysia.

Tegasnya lagi, perbuatan Irshad Manji yang jelas bertentangan dengan norma dan budaya Malaysia tidak dialu-alukan.

Tambahnya, PPMM dimaklumkan bahawa beberapa laporan polis telah dan akan dibuat oleh beberapa NGO Islam dan pihak yang lain bagi membantah program seumpama ini dan berharap pihak yang berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya berkaitan laporan tersebut.

“PPMM juga mendesak kerajaan agar memberi perhatian serius terhadap segala usaha yang menghakis kedaulatan dan kesucian Islam di Malaysia,” ujarnya.

Katanya, sejak kebelakangan ini pelbagai pihak sudah berani mengabaikan isu moral dan akhlak dan mengajurkan kebebasan diri  secara mutlak.

Beliau berkata, hal yang sedemikian perlu diperbetulkan oleh semua pihak.

PPMM juga, ujarnya menyeru para ulama  menyediakan hujah menyanggah tulisan-tulisan Irshad Manji secara ilmiah agar pembaca beliau tidak aka terkeliru dengan tulisan beliau dan diberi penerangan secukupnya mengenai keindahan agama Islam.

“PPMM juga mendesak Universiti Monash mengesahkan samada program tersebut akan diadakan di dalam premis universiti tersebut atau tidak samada dianjurkan oleh pihak Universiti ataupun pihak lain yang menggunakan kemudahan Universiti tersebut.

“Akhirnya PPMM mengajak semua masyarakat Islam agar berdoa supaya Irshad Manji akan diberikan hidayah oleh Allah swt dan kembali ke pangkal jalan,” katanya lagi.

Salimah desak halang Irshad Manji

Mengulas perkara yang sama, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) membantah sekeras-sekerasnya penganjuran kedatangan Irshad Manji seorang yang jelas menghina Islam dalam tulisan bukunya serta sikapnya yang ternyata merendah-rendah pandangan yang sudah disepakati ulama muktabar.

“Kami juga menolak kedatangan beliau untuk melancarkan bukunya kerana ia akan menimbulkan kekeliruan serta mencetus kemarahan umat Islam di negara ini.

“Bukunya yang mempunyai unsur-unsur yang membawa kefahaman yang sesat tidak dibenarkan disebar di negara ini,” kata Yang Dipertuanya, Datin Aminah Zakaria.

Katanya, Malaysia yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah dari kesepakatan rakyat di negara ini yang sepatutnya dihormati dan sebarang unsur yang mencabar kemulian Islam di negara ini hendaklah dihalang.

“Mengambil pendapat beliau dalam tweeternya yang menyatakan solat adalah ketetapan dari manusia bukan dari Allah, adalah jelas suatu penghinaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Salimah menggesa supaya pihak berkuasa bertindak melarang kehadiran beliau untuk melakukan pelancaran bukunya pada 18 Mei yang dijangka akan diadakan Monash Universiti Sunway.

“Kami ingin menegaskan bahawa pihak penganjuran sepatutnya sensitif dengan sentimen Islam di kalangan masyarakat Islam di negara ini setelah adanya pihak yang sering cuba menguji kesabaran umat Islam dengan membawa nilai dan amalan hidup yang songsang.

“Dengan menjemput orang seperti beliau sudah pasti merupakan usaha untuk mencabar sensistiviti masyarakat Islam di negara  ini,” tegasnya.

Katanya, pihak berkuasa perlu menegaskan bahawa mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program yang melibatkan individu atau kumpulan dari luar hendaklah memberi garis panduan supaya hal-hal yang sensistif mengenai agama tidak dipermain-mainkan.

“Kami menyeru agar semua NGO Islam bersatu membantah kehadhiran dan pelancaran buku beliau dan mendesak agar penganjur membatalkan acara tersebut serte merta.

Scorpene: Zahid diingat jangan rasa selamat

Harakahdaily, 17 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 17 Mei: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengingatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak terlalu yakin dengan status sebagai pemerintah di kerajaan negeri dan merasa selamat daripada didakwa di mahkamah Perancis di atas isu skandal pembelian kapal selam Scorpene yang sedang dibicarakan di sana.


Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor menganggap kenyataan Zahid menggambarkan beliau sedang dalam kebimbangan yang berpanjangan dengan kes yang sedang dihadapinya.

Dalam kenyataannya, Zahid menafikan mahkamah Perancis mempunyai kuasa untuk mengarahkan rakyat Malaysia membuat pengakuan dalam inkuiri bagi menyiasat urusniaga kapal selam Malaysia-Perancis yang sedang berlangsung dengan alasan bahawa rakyat Malaysia tidak tertakluk dengan undang-undang negara itu.

“Mungkin kerana kegusaran beliau serta kebimbangan yang keterlaluan sehingga beliau mengeluarkan kenyataan seperti ini,” kata Riduan dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, seharusnya Zahid merasa tenang dan sanggup berhadapan dengan realiti kes itu dan menyatakan kesediaannya memberikan kerjasama dengan mahkamah Perancis bagi memastikan keadilan tertegak di muka bumi ini.

Katanya, keengganan beliau untuk tampil di mahkamah Perancis hanya mengesahkan persepsi ramai bahawa beliau dan PM seperti terlibat dalam skandal yang besar dan memalukan negara.

Oleh itu, ujarnya DPPM menggesa supaya Ahmad Zahid supaya bersikap berani berhadapan demi kebenaran.

“Tidak ada apa yang perlu ditakutinya jika beliau dan Perdana Menteri berada dalam keadaan yang benar kerana mahkamah Perancis tidak membezakan antara rakyat biasa dan pemimpin negara dalam menentukan keadilan,” ujarnya.

31 calon Umno rebut kerusi di Pasir Puteh

Fuad Hadinata, 17 Mei 2012
PASIR PUTEH: Belum pun tarikh pilihan raya umum ke-13 diumumkan, sehingga sekarang seramai 31 pemimpin Umno di bahagian ini bertembung sesama mereka melobi dipilih sebagai calon.

Pertembungan tersebut bukan lagi menjadi rahsia apabila ada di kalangan mereka sudah rancak keluar masuk kampung bagi menabur umpan awal kepada rakyat.

Malah ada juga di antaranya tidak dikenali langsung, namun tiba-tiba muncul dengan mendakwa mereka mendapat restu pemimpin atasan sebagai calon PRU-13 di Pasir Puteh.

Persaingan begitu ramai calon menjadi sengit memandangkan hanya ada lima tempat di kawasan parlimen tersebut iaitu kerusi parlimen, Dun Gaal, Dun Semerak, Dun Limbongan dan Dun Selising.

Kehadiran ramai calon membuat Ketua Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman dikatakan dilanda gelisah memandangkan beliau hanya sekadar bekas guru lepasan maktab.

Antara nama lain yang disebut-sebut iaitu Datuk Dr Khaisan Abdul Rahman; bekas anggota parlimen penggal 2004-2008, Datuk Che Min Che Amat; bekas wartawan Utusan Malaysia, Datuk Yazid Othman.

Selain itu timbalan ketua bahagian, Rujhan Salleh, veteran Umno iaitu Datuk Wan Mohamad Najib Mohamed dan Tuan Mustafa Tuan Mat. Muka baru pula Azmi Mohd Noor,  Ridhuan Setapa, Dr Sumardi Hassan, Karimah Md Noor serta Kapt (B) Wan Marzudi Wan Omar.

Lebih memeningkan apabila masing-masing ada strategi tertentu bagi mematahkan lawan terutamanya menggunakan “kabel” presiden dan timbalan presiden Umno.

Dr Khaisan sebelum ini tidak pernah dikenali tiba-tiba saja muncul dengan slogan “Bersatulah Kita Ahli Umno”. Manakala ketua bahagian pula dengan projek gelombang merah.

(Tunggu pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

PRU13: Najib tidak yakin BR1M, durian runtuh

Nazri Abdullah, 17 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Biarpun kerajaan telah mengumumkan pelbagai insentif 'one off' untuk memancing undi rakyat pada PRU13, namun sehingga kini Datuk Seri Najib dilihat belum yakin ianya mampu memberi kesan besar untuk kemenangan BN.

Sehingga kini perdana menteri masih dilihat belum bersedia untuk mengumumkan tarikh pilihan raya sedangkan pemberian RM200 bantuan sekolah dan RM500 Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pula boleh dikatakan 'semakin hilang manisnya'.

Penulis blog politik Mohd Sayuti Omar berpendapat, pemberian BR1M langsung tidak memberi keuntungan kepada BN.

"Pengalaman di tempat saya sendiri di Kelantan, saya tanya orang kampung, dapat BR1M tak nak buat kenduri kesyukuran ke.

"Mereka kata memang nak buat, tapi kenduri untuk mendoakan Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz) terus kekal memerintah Kelantan," katanya ketika menjadi panel dalam wacana politik dan persepsi semasa pengundi menjelang PRU-13 di Universiti Malaya baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, semakin lama Najib mengambil masa untuk membubarkan perlimen, semakin kemanisan BR1M dan bantuan-bantuan lain itu akan hilang begitu sahaja.

Selain pemberian BR1M dan bantuan sekolah, pemberian RM15,000 'durian runtuh' kepada peneroka felda juga dilihat tidak memberi kesan yang besar sokongan rakyat kepada BN.

Bagi Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli, pemberian itu hanya melibatkan 112,635 pengundi di kalangan peneroka sedangkan pengundi lebih besar tidak merasai apa-apa.

"Sekarang ini kemarahan mula timbul. Rakyat yang bukan peneroka mula mempersoal kenapa hanya peneroka dapat durian runtuh RM15,000 mereka tak dapat. Apa 'udang disebalik batu' yang cuba disembunyikan.

"Rakyat dah muka mata, 12 juta lagi pengundi yang bukan felda terasa hati," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Bagi Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman pula, Najib kini berada dalam keadaan tersepit untuk mengadakan pilihan raya.

Bukan sahaja kerana faktor sokongan rakyat terhadap BN tidak memberangsangkan, tetapi juga dikekang dengan faktor kewangan BN itu sendiri.

"BN tidak mempunyai dana yang cukup untuk berdepan pilihan raya.

"Sebab itu saya amat yakin tindakan tergesa-gesa mereka untuk menyenaraikan FGVH ini walaupun ditentang, adalah untuk mencari dana pilihan raya," katanya.

Sementara itu banyak pihak melihat penyenaraian FGVH ini terpaksa melalui jalan sukar.

Ini ditambah lagi dengan maklumat terbaru yang didahkan semalam bahawa 65% dari pengurusan tertinggi Felda menentang penyenaraian ini dan percaya ianya akan gagal kerana Felda masih belum bersedia.

Maklumat itu merupakan hasil kajian yang dibuat syarikat juru runding Boston Consulting Group (BCG) yang dilantik FGVH untuk menerajui proses penyenaraian.

Siasatan Perancis bongkar kaitan Najib dengan semua

Vancouver Sun, 17 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Inkuiri di mahkamah Perancis telah memulakan siasatan yang bakal menghubungkan segala titik mengenai Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak, pembelian dua kapal selam Perancis, rasuah sebanyak RM500 juta dan pembunuhan terhadap model Mongolia oleh para pengawal beliau.

Inkuiri berkamera yang diketuai hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire, yang cukup berpengalaman dalam kes korupsi dan hak asasi manusia, akan cuba membongkar samada syarikat pertahanan Perancis, DCNS dan rakan projeknya Thales International telah membayar rasuah untuk mendapat kontrak pada 2002 untuk membekal dua kapal selam Scorpene kepada tentera laut Malaysia.

Inkuiri tersebut adalah berdasarkan penyiasatan selama dua tahun dan pengumpulan bukti oleh polis Perancis.

Kontrak tersebut dimeterai ketika Najib masih menjadi Menteri Pertahanan dan perhatian khusus diberikan kepada peranan yang dimainkan oleh kawan karib dan penasihat politik beliau, Abdul Razak Baginda.

Pegawai berkuasa Perancis telah memaklumkan bahawa mereka sangat berminat terhadap dua bayaran yang dibuat oleh pembuat senjata Perancis.

Satunya berjumlah Euro 114 juta yang dibayar kepada syarikat Malaysia bernama Perimekar untuk kemudahan pengangkutan.

Pada waktu itu, Perimekar dalah dimiliki sepenuhnya oleh Razak Baginda dan isterinya Mazalinda.

Pihak majistret Perancis juga ingin mencari kebenaran di sebalik pembayaran Euro 36 juta kepada sebuah syarikat bernama Terasasi, yang pada asalnya dikorporatkan di Malaysia sebelum dipindahkan pendaftarannya ke Hong Kong, di mana berdasarkan Asia Sentinel adalah antara 142 syarikat yang mendaftar di Wan Chai.

Pengarah berdaftar Terasasi adalah Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda.

Persoalan mengenai pembelian kapal selam menjadi hangat dan tajam pada Oktober 2006 selepas cebisan mayat model Mongolia dan penterjemah Altantuya Shaariibuu dijumpai di hutan di luar Kuala Lumpur.

Beliau telah ditembak di kepala dan terdapat cubaan untuk memusnah mayat beliau dengan bom C4 milik tentera.

Altantuya merupakan bekas kekasih Razak Baginda dan beliau kali terakhir dilihat di luar rumah kekasihnya yang menimbulkan situasi tidak senang.

Beberapa tahun yang lalu, Altantuya merupakan seorang model di Perancis dan pada2004 beliau mengiringi Razak Baginda sebagai penterjemah semasa beliau merunding kontrak Scorpene.

Dalam satu surat tulisan beliau yang dijumpai selepas beliau dibunuh, menyatakan beliau ingin berdepan dengan Razak Baginda dan menuntut USD 500 juta sebagai harga untuk menutup mulut beliau dalam kontrak pembelian Scorpene.



(Aktivis Suaram dan peguam mereka [kanan sekali] di Perancis)

Kes ini tidak dapat diendahkan oleh mahkamah Malaysia, yang dikuasai golongan politik.

Walaupun Razak Baginda dan dua orang bekas pengawal Najib, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didakwa dengan pembunuhan, keputusan kes tersebut adalah pincang dan tidak menjawab banyak persoalan.

Dalam satu drama mahkamah yang menakjubkan, Razak Baginda tidak dipanggil untuk menjawab tuduhan bersubahat membunuh Altantuya, dan dilepaskan dan kini tinggal di Britain.

Para pengawal peribadi Najib telah menerima padah dan telah dijatuhkan hukuman mati. Mereka sedang dalam proses rayuan tetapi pendengaran telah ditangguhkan.

Spekulasi berkata pendengaran itu tidak akan berlaku sehingga lepas pilihanraya umum yang bakal tiba, dijangka Jun, di mana jika Najib dan kerajaannya mengekalkan kuasa, dijangka satu cara akan difikirkan untuk membalas kesetiaan pengawalnya.

Selepas gagal mendapat penyiasatan penuh ke atas skandal Scorpene di Malaysia, ramai aktivis hak asasi manusia dan keluarga Altantuya telah meletakkan harapan kepada penyiasatan Perancis.

Namun demikian, terdapat sedikit kekecewaan apabila mengetahui bahawa hakim Le Loire dan Tournaire hanya boleh menyiasat tuduhan rasuah dan bukan pembunuhan Altantuya.

Akan tetapi, 10 hari yang lepas, Suaram Malaysia telah diberikan kebenaran untuk memberikan penerangan kepada hakim secara peribadi.

Jurucakap Suaram berkata mereka telah menceritakan skandal Scorpene ini daripada konteks politik Malaysia dan memberikan hakim senarai saksi-saksi yang dikehendaki.

Antara senarai itu ialah Razak Baginda, dan telah ada laporan bahawa hakim akan cuba mengeluarkan subpoena terhadap beliau daripada Britain.

Tetapi akan ada yang tidak mengendahkan senarai itu, termasuk nama Najib.

Namun begitu, ayah Altantuya, Setev Shaariibuu berkata beliau ingin ke Perancis daripada Mongolia dan percaya perbualan terakhir bersama anak perempuannya akan dapat menghubungkan segala titik yang tergantung dalam skandal Scorpene ini kepada hakim di sana.
----------------------------------
Berita ini diterjemah secara bebas daripada Vancouver Sun.

DAP ajak T Aziz jalan bersama atas jalan berbeza

Harakahdaily, 17 Mei 2012
KUALA LUMPUR: DAP mengajak bekas Naib Pengerusinya, Tunku Aziz untuk terus bersama memperjuangkan yang benar di negara ini walaupun berbeza landasan.

"Tunku Aziz, walaupun berbeza pendapat, biarlah kita berjalan sehaluan dalam perjuangan untuk Malaysia yang bersih - menegakkan integriti, hak asasi dan sistem perundangan yang adil dan saksama dimana setiap anak bangsa Malaysia akan diberi layanan yang sama diatas bumi yang dipijak ini," kata Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP.

"Saya akan menjadi orang yang pertama mengalu-alukan Tunku Aziz jika beliau ingin mengubah fikiran mengenai perletakan jawatannya sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan sebagai ahli parti DAP tetapi saya menghormati jika ini keputusan muktamad yang beliau mahu ambil," jelas Lim Kit Siang.

Tunku Aziz mengumumkan perletakan jawatannya dan keluar dari DAP selepas tidak bersetuju dengan beberapa pihak dalam DAP khanya Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun beliau berkata, "Saya tetap menghormati Lim Kit Siang kerana kami berkawan baik sejak dahulu."

Menurut Kit Siang, dalam beberapa dekad beliau mengenalinya,  Tunku Aziz merupakan seorang yang berpegang teguh kepada prinsip dan integriti "dan pendapat saya mengenai beliau tidak pernah berubah sekelumit pun."

Dalam tiga pertemuan mereka baru-baru ini, dua kali di rumah Tunku Aziz dan yang ketiga di Parlimen.

Katanya, sekiranya perletakan jawatan beliau tidak dapat dielakkan, biarlah ianya dilakukan dengan penuh hormat dan berhemah tanpa perasaan dendam dan luka. "Biarlah kita berjalan sehaluan"

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Tunku Aziz di atas khidmat dan sumbangan beliau sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan selaku Senator DAP yang pertama dari Pulau Pinang.

Laporan Pengerusi PSC Lynas dipertikai

Harakahdaily, 17 Mei 2012
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan, kenyataan Pengerusi PSC Lynas Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa Kilang Lynas adalah kilang memproses Nadir Bumi yang terselamat di dunia dan lokasi kilang itu yang jauh dari penempatan penduduk sejauh 6KM jelas membuktikan ia dibentuk untuk menghalalkan kilang itu.

Kenyataan itu juga bercanggah sama sekali dengan Laporan Kajian Alam Sekitar (Preliminary Environmental Impact Assessment – PEIA) yang disediakan oleh ENVIRON pada 21hb Januari 2008 dan diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) pada 15hb Febuari 2008.

"Jelas, dari kenyataan yang tidak betul dan berat sebelah itu menzahirkan niat sebenar Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam penubuhan PSC Lynas untuk menghalalkan kilang LAMP milik LYNAS itu untuk kepentingan diri mereka.

"Malah kredibiliti Pengerusi Jawatankuasa PSC Lynas itu untuk memimpin jawatankuasa itu dengan telus dan adil kini dipersoal," kata Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefly Mohamad Omar (gambar bawah).

Merujuk kepada Laporan EIA, kata Zulkefly, terdapat kawasan penempatan penduduk paling dekat dalam jarak 3-5KM dari lokasi kilang Lynas itu  iaitu Taman Balok Perdana, Taman Balok Makmur dan Kem TLDM Kampung Seberang Balok.

Laporan EIA juga dengan jelas menyenaraikan beberapa syarikat yang beroperasi dalam jarak 1km-3km dari lokasi kilang itu iaitu  Polyplastics, Erupee Sugar, Kaneka, Flexsys, Eastman, WR, Cryovac, BP Chemicals, Petronas ERC, BASF dan MTBE.

Manakala dalam jarak 3km-5km terdapat penempatan penduduk sepanjang pantai ke Kuala Terengganu, Kuantan-Pelabuhan Bypass, Sg.Tunggak, Penduduk dari Kuantan ke pelabuhan, Lebuhraya Pantai Timur, Pelabuhan Kuantan dan Pantai Cherating.

Laporan EIA juga, katanya, dengan jelas mencatatkan jumlah penduduk dari Taman Balok Perdana, Taman Balok Makmur, TLDM Kg. Seberang Balok sebanyak 5973 org (statistik tahun 2000) dengan komposisi kaum Melayu sebanyak 87 peratus, Cina 0.2 peratus dan India 2.2 peratus.

Katanya lagi, terdapat juga beberapa kampong berdekatan iaitu Kg. Sg Ular (2.5KM dari Kg. Gebeng), Kg. Hulu Balok (3KM dari Tapak Kilang), Kampung Berahi(4.5KM dari Tapak Kilang), Kampung Seberang Balok(6KM dari Tapak Kilang).

Kg. Gebeng (3KM dari Tapak Kilang) dan Kampung Selamat pula 4 KM dari Tapak Kilang.

Kenyataan Khaled Nordin bahawa Kilang LYNAS adalah kilang memproses nadir bumi yang terselamat di dunia juga bercanggah dengan kenyataan Laporan Kajian Alam Sekitar (PEIA).

Dalam laporan itu dinyatakan bahawa ‘potential concern’ jika langkah-langkah kawalan atau pencegahan tidak dilaksanakan oleh Lynas ketika fasa rekabentuk dan ketika fasa operasi mampu menyumbang kepada kesan-kesan pencemaran alam sekitar seperti berikut iaitu:

1.    Kualiti air Sg. Balok akan menurun. Jika ‘Standard B discharge limit’ atau had pelepas air sisa ‘dirawat’ melebihi dari kadar yang ditetapkan, Sungai Balok akan tercemar (Kadar pencemaran kini sebenarnya sudah ditahap 2 dan 3). LYNAS harus memastikan keberkesanan ‘waste water treatment facilities’ atau kemudahan rawatan air sisa diambil kira khususnya ketika fasa rekabentuk.

2.    Penurunan Kualiti Udara - pelepasan ketika operasi dari ‘waste gas treatment system’, ‘gas fired boilers’ dan ‘product calciners’. (mesti di pastikan selamat dalam radius 5KM ZON IMPAK) kerana terdapat penduduk Balok dalam jarak 2-5KM dari lokasi kilang itu.

3.    Kesan Bunyi Bising. EIA mengakui adanya penduduk dalam radius 3KM terutamanya Taman Balok Perdana dan Taman Balok Makmur.

4.    Potensi Pencemaran Tanah dan Groundwater/Air Bawah Tanah.

5.    Sumber stim akan terhasil iaitu dari WLP, PGD dan NUF dan diklasifikasikan sebagai sisa radiological oleh AELB dan akan diuruskan/disimpan mengikut keperluan AELB. Tempat simpanan sisa ini hasil kerjasama Lynas dan Ranhill Worley berdasarkan cadangan MNA (Malaysia Nuklear Agency/Agensi Nuklear Malaysia) yang tercatat dalam RIA.

6.    Potensi kebocoran dari tempat simpanan sisa dan langkah-langkah melindungi tanah dan air bawah tanah yang tidak mencukupi mampu menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

7.    Kebocoran simpanan bahan-bahan bahaya (reagents dan bahan asid). Langkah-langkah ‘Containment’ atau Simpanan harus dipastikan ada dan haruslah diurus dengan baik.

Bagaimanakah kenyataan itu boleh berkata bahawa kilang Lynas adalah kilang memproses nadir bumi yang terselamat di dunia jika langkah-langkah pencegahan malah kemudahan ‘state-of-the-art’ yang terdapat di kilang itu masih belum dibuktikan lagi, tambah beliau.

Tiada ulasan: