Sabtu, 19 Mei 2012

JIKA DAH TERJADI ITU TELAH MENJADI TAKDIR...TAK BOLEH DIPERTIKAI LAGI...ALLAH DAH TENTUKAN...ADA IZINNYA...JIKA ALLAH TENTUKAN@TAKDIR ADA...IA PASTI ADA...ITU HAK MUTLAK ALLAH...YANG SELALU TAK JADI@MEMBATALKAN....HINGGA TAK JADI..TU SAPE...RAKYAT TAHU...USAH NAK TIPULAH....

Hadi: Pas sedia muzakarah dengan Umno jika...
Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2012
MUZAKARAH
Muzakarah Pas dengan NGO dan Umno
MARANG – Ahad lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melahirkan kesediaan parti itu untuk membuka pintu dan bermuzakarah dengan semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuklah Umno bagi menyelesaikan isu dakwaan yang mengatakan perjuangan parti tersebut sudah jauh terpesong dari perjuangan asal.
Kenyataan itu disusuli dengan pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno dipetik berkata, Umno sedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.
Bertolak daripada perkembangan itu, dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian, Abdul Hadi menegaskan semula pendirian parti itu.
Hari ini, Abdul Hadi menggariskan syaratnya jika Umno benar-benar ikhlas ingin bermuzakarah dengan Pas untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.
Kerusi Dun pilihan Salahuddin di Johor
G MANIMARAN dan W.SAIDATUL FADZILAH W.NAJEMUDIN
18 Mei 2012
Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub sudah membuat pilihan kerusi yang hendak ditandingi - peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Setakat ini, saya telah memilih kerusi yang hendak saya tandingi. Saya sudah pun memaklumkan kepada kepimpinan pusat, untuk memenuhi kehendak sokongan akar umbi untuk saya bertanding di Johor, di kerusi Dewan Undangan Negeri," kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Salahuddin menambah, buat masa sekarang bertanding kerusi Parlimen adalah pilihan kedua.

"Saya mungkin akan bertanding kerusi Parlimen, tetapi itu hanya jika keadaan memerlukan. Bertanding kerusi Parlimen adalah 'secondary'," kata Salahuddin sambil menambah, beliau mahu membantu gelombang perubahan yang hendak dibawa oleh Pakatan Rakyat (PR) di Johor.

Sementara ketika ditemui di Kuala Terengganu, Salahuddin mengulangi pendiriannya tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian apabila mengesahkan untuk bertanding di negeri kelahirannya di Johor.

Bercakap kepada media di sini, beliau yang yakin sudah mendapat lampu hijau daripada kepimpinan parti untuk bertanding di Johor bersedia untuk bertindak sebagaimana arahan parti.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan kerusi yang akan ditandinginya dan sekadar meletakkan kemungkinan samada bertanding di kerusi Parlimen, Dewan Undangan Negeri atau kedua-duanya sekali.
Hudud: Pas tidak akan 'menyerah kalah'
Wartawan Sinar Harian
18 Mei 2012
Datuk Harun Taib
Datuk Harun Taib
SHAH ALAM - Pas akan terus berbincang dengan rakan Pakatan Rakyat (PR) bagi mendapatkan sokongan dasar perjuangan Islam yang sesuai untuk dilaksanakan di negara ini.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, perkara yang terus akan dibincangkan dalam setiap rundingan bersama PR adalah dasar perjuangan Pas dan agenda parti termasuklah melaksanakan hukum hudud.

Menurutnya, sebagai sebuah parti berlandaskan agama Islam, Pas tidak akan berhenti untuk terus mencari sokongan bagi melaksanakan perkara tersebut.

“Ini adalah dakwah. Tidak mungkin sekejap ada, sekejap tiada. Pas akan terus berusaha mendapatkan sokongan semua rakyat negara ini termasuk DAP dan PKR.

“Setiap kali bertemu dan berbincang, setiap parti akan mengusulkan agenda masing-masing. Pas tetap ke depan dengan dasar Islam. Hudud juga sebahagian daripadanya, walaupun bukan agenda utama setiap kali berbincang.

“Seperti yang dijelaskan, usaha Pas tidak akan berhenti. Pas bukan sahaja berpolitik malah berdakwah,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Pas tidak pernah ‘tutup buku’ atau menyerah dalam soal-soal melibatkan Islam.

“Apa sahaja yang berkaitan dengan Islam, Pas akan ke depan. Ini membuktikan dasar perjuangan kami tidak pernah tersasar,” katanya.
Muzakarah selepas PRU, bukan kerjasama politik
NURUL AINI MOHAMED ALI
18 Mei 2012
Muzakarah selepas PRU, bukan kerjasama politik
Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM - Pas menyambut baik kesediaan Umno untuk bermuzakarah tetapi menegaskan platform itu tidak akan menyentuh isu kerjasama politik, idea yang pernah dibangkitkan susulan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Pas memberi kenyataan ini susulan respons Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa Umno sedia menyahut seruan parti itu untuk bermuzakarah asalkan tujuannya demi kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya bersetuju untuk mengadakan muzakarah dan berharap ia akan menjadi kenyataan.

“Dengan adanya muzakarah ini, kita dapat menjawab segala isu semasa dan membetulkan sentimen negatif rakyat terhadap Pas, sekali gus menjawab segala tuduhan dan kontroversi,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Katanya lagi, buat masa ini pihaknya belum berbincang mengenai isu khusus yang akan dibincangkan dalam muzakarah tetapi yang pastinya isu semasa menjadi inti pati perbincangan.

“Pihak kami tidak boleh membuat keputusan ketika ini kerana saya akan membawa usul ini dalam mesyuarat bersama ahli tertinggi terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi,” kata beliau.

Tambah beliau, pihaknya sendiri akan menghantar surat rasmi kepada Umno bagi menjemput mereka menghadiri muzakarah ini tanpa menggunakan orang tengah.

“Saya menjangkakan muzakarah boleh diadakan selepas pilihan raya. Ketika ini, kami masih menumpukan sepenuh perhatian ke atas persediaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)," kata beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.
Samad Said: Bersih 4.0 boleh diadakan jika rakyat mahu
Wan Saidatul W Najemuddin
18 Mei 2012
Samad Said: Bersih 4.0 boleh diadakan jika rakyat mahu
A. Samad Said
KUALA TERENGGANU - Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said tidak menolak kemungkinan Bersih 4.0 diadakan jika rakyat sekali lagi bersedia untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Pendirian Sasterawan Negara itu bagaimanapun dilihat bercanggah dengan kenyataan Datuk S. Ambiga, yang juga Pengerusi Bersama Bersih 2.0, sebelum ini menyatakan beliau tidak bercadang ke arah penganjuran Bersih 4.0.

A Samad berkata, perhimpunan Bersih 4.0 mungkin menjadi kenyataan sekiranya penyokong pembangkang berhajat berbuat demikian dan pihaknya mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan seterusnya.
"Untuk sementara ini kita tidak berani buat (Bersih 4.0) tetapi kalau rakyat mahu kita buat, kita beranilah," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di Dataran Pas Kuala Ibai di sini, malam tadi.
Berdasarkan kenyataan sebelum ini, Ambiga dipetik berkata masih belum bersedia meneruskan gerakan Bersih 4.0 yang dikaitkan dengan lambang kebangkitan rakyat di negara ini. Kelmarin, kepimpinan Bersih 2.0 berkata mereka sudah membuat keputusan muktamad tidak akan menggerakkan Bersih 4.0.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin Pas dilihat mahu perkara ini berlaku sekali lagi bagi mendesak pilihan raya lebih bersih pada pilihan raya umum akan datang.

Turut hadir pada majlis malam tadi ialah Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Penolong Setiausaha Agung Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi; Naib Ketua Muslimat Pas Pusat, Senator Mumtaz Md Nawi dan Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah.

Sementara itu, Salahuddin turut memberitahu bahawa pihaknya mengadakan jelajah ke seluruh negara ketika ini bagi memberi pendidikan politik kepada orang ramai.

"Kita ingin rakyat Malaysia merasai politik baru dengan pengetahuan supaya politik kotor tidak berlaku dalam negara," katanya.
Muzakarah: 'Alhamdulillah', kata Nik Aziz
MOHD ZAILANI ABD RAHMAM
18 Mei 2012
Kronologi Muzakarah Pas
Kronologi Muzakarah Pas
KOTA BHARU - "Alhamdulillah." Itu reaksi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat susulan respons Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam yang menyahut kesediaan parti itu untuk mengadakan muzakarah.

Menteri Besar Kelantan berkata, pertemuan itu memang ditunggu-tunggu dan bentuk perbincangan boleh ditentukan selepas persetujuan itu dibuat.

"Terbukanya pintu hati pemimpin untuk muzakarah itu adalah perkara yang baik, soal skop perbincangan boleh ditentukan kemudian," kata beliau kepada pemberita selepas kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, pagi ini.

Ketika ditanya sikap segelintir ahli Pas yang menolak pertemuan ini, Nik Aziz berkata, beliau tidak kisah dengan pandangan seumpama itu.

Sebaliknya beliau menegaskan bahawa pertemuan itu penting demi menyelesaikan isu-isu berbangkit.

Semalam, Muhyiddin berkata, Umno sedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Walaupun agak terkejut dengan pelawaan Pas itu, beliau, yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, perkara itu telah dan pernah disuarakan parti itu sebelum ini, namun ditolak keras, khususnya oleh Nik Abdul Aziz.

"Kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara Malaysia kita tidak jadi masalah," katanya.
Debat KJ-Rafizi dari kaca mata moderator
Dr Maszlee Malik
18 Mei 2012
Debat PTPTN Khairy-Rafizi 22 Mei
Debat PTPTN Khairy-Rafizi 22 Mei
DEBAT ini merupakan satu mercu tanda kepada bermulanya politik sihat, politik matang, politik ide dan juga politik bersih yang diimpikan oleh majoriti rakyat Malaysia. Masyarakat sudah meluat dengan politik fitnah, politik identiti dan juga perkauman yang mendominasi dan cuba dipaksakan ke atas mereka.

Rakyat Malaysia amat bertuah kerana terdapat pihak yang sanggup mengusahakan program debat ini agar berjaya. Ia mungkin julung kali diadakan, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selari dengan perkembangan politik matang negara-negara maju, dan akan merintis jalan kepada debat-debat lain yang melibatkan ahli politik-ahli politik yang lebih kanan.

Kita berharap permulaan ini akan menatijahkan kemuncaknya iaitu debat di antara calon Perdana Menteri dari kalangan BN dengan calon Perdana Menteri dari kalangan PR.

Kedua-dua ahli politik muda ini memberikan harapan kepada kita bahawa para pemimpin pelapis yang akan menjadi peneraju Malaysia di masa hadapan sudah bersedia untuk membawa perubahan.

Khairy Jamaluddin dalam perkara ini merupakan spesis unik dari partinya. Keberaniannya wajar dijadikan contoh kepada para pemimpin Umno yang sehingga kini masih lagi menikus apabila diajak berdebat di dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Bagi Rafizi pula, beliau memberikan harapan baru bahawa PKR dan PR juga sudah bersedia untuk menyajikan para pemimpin berkualiti bertaraf antarabangsa yang boleh membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

Keberanian Kumpulan Media Karangkraf, Astro Awani dan radio Bernama24 untuk menjadi penganjur bersama debat bersejarah ini wajar diberikan pujian.

Diharapkan media-media cetak dan penyiaran lain akan turut mengikuti jejak langkah mereka di dalam mendidik masyarakat, mematangkan politik negara dan juga memberikan maklumat yang saksama kepada rakyat agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat dan adil dalam PRU13 nanti.

Rakyat Malaysia amat merindukan media yang berintegriti, berkualiti, mempunyai kredibel dan menghayati semangat demokratik dan juga politik hujah.

Akhir sekali, kepada rakyat Malaysia, diharapkan dapat mengambil peluang untuk menonton debat yang amat bermakna ini. Segala hujah para pendebat seharusnya membuatkan rakyat berfikir untuk diterjemahkan kepada pilihan mereka dan juga menjadi panduan untuk mereka menjadi warga yang lebih matang.

Semoga langkah yang pertama ini akan mengangkat rakyat Malaysia dari kepompong politik fitnah dan sempit yang dipaksakan ke atas mereka kepada politik yang lebih bertanggungjawab dan mengangkat martabat akal dan kemanusiaan.



* Dr Maszlee Malik, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia akan mengendalikan debat PTPTN 22 Mei 2012
‘Idea muzakarah tak wajar henti separuh jalan’
NORHASRAM MOHAMAD
18 Mei 2012
‘Idea muzakarah tak wajar henti separuh jalan’
Ahmad Maslan beramah mesra dengan warga Sinar Harian Kelantan ketika
mengadakan lawatan singkat hari ini.
KOTA BHARU – Pas perlu ada kesepakatan yang jelas untuk merealisasikan idea bermuzakarah kerana Umno tidak pernah menolak usaha-usaha positif ke arah itu, kata Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Sehubungan itu menurut beliau, pandangan berkaitan muzakarah yang ditimbulkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan disusuli dengan pendirian Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah perkara baik dan ia tidak wajar terhenti separuh jalan.

“Kita tidak mahu usaha ini gagal sebagaimana cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan oleh pemimpin Pas pada suatu ketika, ia tidak berhasil apabila Nik Abdul Aziz dan beberapa pemimpin lain dalam Pas tidak bersetuju.

“Akhirnya pemimpin Pas yang properpaduan terpinggir dan diganti pemimpin lain sehingga usaha itu terhenti.

“Bagaimanapun kita masih belum meletakkan noktah kerana kita mementingkan perpaduan,” katanya ketika mengadakan lawatan singkat ke pejabat Sinar Harian Kelantan di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Umno sedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Walaupun agak terkejut dengan pelawaan Pas itu, Muhyididn yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, perkara itu telah dan pernah disuarakan parti itu sebelum ini, namun ditolak keras, khususnya oleh Nik Abdul Aziz.

"Kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara Malaysia kita tidak jadi masalah," katanya.

Tiada ulasan: