Hudud: MIC mahu PR buat pendirian jelas
16 Mei 2012
MIC membuat gesaan itu, yang jarang-jarang dilahirkan oleh parti
komponen Barisan Nasional (BN) ketiga utama ini, atas alasan pengundi
tidak wajar dikelirukan dengan kenyataan bahawa PR hanya akan memutuskan
kemudian iaitu membentuk Kerajaan Pusat.
Umno dan MCA pernah membuat pendirian sebelum.
"Mereka harus menyatakan pendirian sekarang. Jika saya mahu mengundi, mereka harus menyatakan pegangan dalam isu ini, saya perlu tahu pendirian bersama Pakatan Rakyat, untuk saya membuat keputusan sebelum hari pengundian.
"Sedangkan mereka tidak boleh membuat keputusan sekarang, apa jaminan mereka tidak akan bertengkar sesama mereka selepas saya (rakyat) memilih mereka. Saya tidak mahu negara ini hancur, berpecah kerana pertelingkahan mereka kelak, selepas pilihan raya selesai," kata Setiausaha Agung MIC, S. Murugessan dalam temu bual dengan Sinar Harian Online, semalam.
Murugessan, seorang peguam berkata, soal pelaksanaan hukum hudud yang hendak dibawa oleh Pas sedangkan ditentang DAP, adalah satu "isu fundamental" melibatkan kepentingan negara walaupun Pas berpendirian bahawa ia hanya akan melibatkan masyarakat Muslim.
"Jadi setiap pengundi perlu tahu pendirian mereka dalam soal hudud sebelum hari pengundian... setiap pengundi berhak untuk mengetuai pendirian DAP dan juga PKR," kata beliau yang bertanding kerusi Parlimen Subang pada Mac 2008.
Kata beliau, sekurang-kurangnya Pengerusi DAP Karpal Singh telah memperlihatkan pendirian beliau yang jelas dan konsisten dalam isu hukum hudud, yang dijangka akan menjadi antara modal kempen PRU13.
Pas berusaha melaksanakan hudud sejak mula memerintah Kelantan. Ia telah menggubal undang-undang berkaitan 18 tahun lalu.
"Kami mahu pendirian rasmi setiap parti dan PR. Mereka harus menyatakan pendirian terbuka macam Karpal buat. Ini sesuatu yang mengarut, anda sebagai parti politik harus melahirkan pendirian. Ini satu isu yang sangat fundamental," katanya lagi.
Kelmarin, PR yang mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Presiden menegaskan akan terus memokus persediaan menghadapi PRU13 dan tidak akan terbuai dengan isu hudud yang didakwanya sengaja diperbesarkan oleh media massa.
Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun terdapat perbezaan ideologi antara Pas dan DAP mereka akan tetap berpegang kepada persetujuan yang dibuat dalam Buku Jingga pada 28 September lalu.
Menurutnya, PR berada dalam semangat yang kuat dan sedikit pun tidak terjejas dengan laporan negatif mengenai hukum hudud.
“Mesyuarat hari ini juga kita tidak bincangkan hal itu, kita memfokuskan tentang isu pilihan raya.
“Saya tidak meremehkan tapi kenyataannya begitu. PR akan terikat untuk masa sekarang, dalam pilihan raya dan Insya-Allah kita akan kekal setelah membentuk kerajaan,” katanya.
Anwar berkata, semua parti dalam PR sepakat memperjuangkan perkara yang dipersetujui mereka dalam konvensyen Pakatan, Buku Jingga dan konsensus tentang hudud.
Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu menghormati perbezaan ideologi dan agama yang terdapat dalam PR kerana ada isu lebih penting perlu di tekankan pada masa ini iaitu menuntut pilihan raya bersih dan adil berbanding pelaksanaan hukum hudud.
Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan, pihaknya tetap berpegang dengan prinsip ditekankan oleh PR dalam Perlembagaan iaitu Islam sebagai agama rasmi, hak istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
“Ketiga-tiga parti setuju sebarang perubahan polisi mesti dapat persetujuan bersama secara konsensus termasuk pelaksanaan hudud.
“Bagi DAP, sangat jelas bahawa ia tidak termasuk dalam persetujuan bersama dalam Buku Jingga tetapi kami menghormati pendirian Pas dalam isu ini,” katanya.
Minggu lalu, Karpal mendesak Anwar perlu menyatakan pendiriannya sebagai antara pemimpin utama pembangkang mengenai hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.
Lelaki dipenjara 14 tahun rompak dan rogol wanita Thai
15 Mei 2012
Perbuatan kejam tertuduh, G. Thanaraj akhirnya dibalas hari ini apabila dia dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan ke atas tertuduh selepas dia mengaku bersalah merogol wanita berusia 42 tahun itu di dalam sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih di tanah lapang kawasan hutan belakang Kelab Golf Serendah, Hulu Selangor, antara pukul 6 pagi hingga 7 pagi pada 7 Nov tahun lepas.
Bagi kesalahan itu, Thanaraj, 23, didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.
Mohammed Mokhzani turut menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan ke atas Thanaraj selepas dia mengaku bersalah bersama-sama seorang lagi tertuduh, Mohd Suhairi Mohd Sani, merompak kereta mangsa, satu pasport antarabangsa, wang tunai RM350, seutas rantai emas putih, tiga bentuk cincin emas dan sebuah telefon bimbit jenis Nokia milik mangsa yang membabitkan kerugian kira-kira RM35,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.
Mohammed Mokhzani memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan secara serentak, berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 12 Nov tahun lepas.
Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Mohd Suhairi, 24, selepas dia mengaku bersalah bersubahat menolong Thanaraj merogol wanita itu dan tidak menghalangnya daripada melakukan perbuatan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Mohd Suhairi sebelum ini dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan di mahkamah sama selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan rompak itu.
Mengikut fakta kes, mangsa didatangi kedua-dua tertuduh yang kemudian bertindak memukul dan menolak mangsa ke bahagian tempat duduk belakang keretanya.
Mangsa dibawa ke tempat kejadian dan Thanaraj kemudian merogol mangsa sementara Mohd Suhairi berada di tempat duduk pemandu sambil memerhati dan melihat kawasan sekitar sehingga Thanaraj selesai merogol mangsa.
Kedua-dua tertuduh kemudian melarikan kereta dan barang-barang milik mangsa serta meninggalkan wanita itu sendirian di kawasan berkenaan, yang kemudiannya berjalan keluar ke jalan besar untuk meminta bantuan.
Thanaraj dan Mohd Suhairi ditangkap pada 12 Nov tahun lepas ketika sedang memandu kereta mangsa.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dan memohon agar hukuman berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap.
Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh serius lebih-lebih lagi mangsa, yang sudah berkeluarga dan mempunyai empat orang anak, mengalami trauma akibat kejadian itu.
Beliau berkata Thanaraj juga mempunyai satu rekod kesalahan lampau iaitu kesalahan merompak. - Bernama
Jenayah Rogol Dan Hukumannya Menurut Islam
Jenayah rogol atau pemerkosaan adalah satu daripada bentuk perzinaan malah jenayah ini lebih keji dan jahat. Sedangkan zina yang diharamkan itu,merupakan perlakuan keji dan salah satu daripada dosa - dosa besar dalam Islam.
Tidak terdapat satu agama dalam dunia pun yang mengharuskan perbuatan tersebut. Oleh itu, Islam menjatuhkan hukuman yang berat keatas pelakunya, lebih-lebih lagi zina dan rogol adalah jenayah yang merosakan nasab dan keturunan. Islam mengambil berat soal nasab keturunan dan menggolongkannya antaralima Maqasid AsSyari`ah (المقاصدالخمسة ) yang wajib dijaga dan dipelihara. Jenayah ini dijanjikan oleh Allah SWT dengan hukuman berat di dunia dan azab yang pedih di akhirat.
FirmanNya yang bermaksud :
32. Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).(017. Al Israa':32)
FirmanNya lagi :
68. Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;
69. Akan digandakan baginya azab seksa pada hari Kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, -(025. Al Furqaan:68-69)
2. Dalil-dalil pensyariatan hukuman Hudud keatas pesalah:
Pensyariatan hukuman sebat adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud :
2. Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (024. An Nur:2)
Manakala hukuman rejam pula adalah berdasarkan AsSunnah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RA dalam Sohihnya bahawa Nabi MuhammadSAWmemerintahkan hukuman rejam keatas Maiz RA dan seorang perempuan daripada Bani Ghamid yang sabit dengan pengakuan mereka. Dan Ijma` Sahabat (bersepakat) tentang pensyariatan hukuman rejam.
Mankala hukumanTaghrib (التغريب )dibuang negeri adalah berdasarkan hadith Baginda Nabi SAW :
خذوا عنى خذوا عنى قد جعل الله لهن سبيلا البكر بالبكر جلد مائة ونفى سنة والثيب بالثيب جلد مائة والرجم" "
Bermaksud:Ambilah jalan penyelesaian daripadaku (dua kali), sesungguhnya Allah telah menentukan jalan (hukuman) bagi mereka, bagi penzina bujang sebatan seratus sebatan dan dibuang negeri selama setahun, dan yang dah berkahwin pula disebat dan direjam.
3. Definisi:
Rogol adalah satu daripada bentuk perzinaan.
Zina:adalah persetubuhan antara lelaki dan perempuan melalui kemaluan tanpa milik atau syubhah (kekeliruan) milik. Ini adalah takrif di sisi jumhur ulama.
Rogol atau pemerkosaan: adalah perzinaan yang lakukan secara dipaksa dan mangsa adalah seorang perempuan.
Bentuk-bentuk paksaan (الإكراه),dua pendapat :
• Ulama mazhab Hanafi; paksaan dua bentuk:
1. (أو الكامل الإكراه الملجىء): Paksaan yang menyebabkan mangsa tiada pilihan dan tiada kuasa melawan, dan diancam dengan perkara yang memberi bahaya pada nyawanya, atau anggota badannya. Contoh :Mangsa diancam akan dibunuh atau dipotong anggotanya ataupun mangsa dipukul pukulan berat yang mencederakan, berturut yang memungkinkan bahaya kepada nyawa atau anggota badan. Hukumnya: Paksaan menyebabkan tiada sifat redha (kerelaan)dan tiada kemampuan menentang.
2. ( أو الناقص الإكراه غير الملجىء): Ancaman yang tidak membahayakan nyawa atau anggota badan,contoh: Mangsa diancam akan dipenjarakan,atau diikat,atau pukulan yang tidak mencederakan,ataudiancam akan memusnahkan harta. Hukumnya: Paksaan menyebabkan tiada sifat redha (kerelaan) tetapi mampu menentang.
• Ulama mazhab Syafi`e,Maliki dan Hanbali; paksaan hanya satu bentuk:
(الإكراه الملجىء أو التام): Selainnya tidak dinamakan paksaan. Berkata ulama mazhab Syafi`e; hukum berbeza berdasarkan keadaan seseorang ,dan ancaman tersebut tidak bertempoh. Paksaan berlaku dengan ancaman menakutkan seperti pukulan dahsyat, penjara dan merosakan harta mangsa.
Syarat-syarat utama paksaan tersebut;
1. Pengancam mampu melakukan perkara yang diancamnya keatas mangsa.
2. Mangsa tidak mampu melawan atau mengelak dengan melarikan diri atau selainnya.
3. Mangsa bertanggapan bahawa jika dia melawan, akan akan berlaku apa yang diancam.
Perempuan yang dipaksa melakukan perzinaan tidak dijatuhkan hukuman Hudud keatasnya, sama ada paksaan tersebut bersifat (الإكراه الملجىء)atau(الإكراه غير الملجىء ). Walaubagaimana pun, penafian hukuman Hudud tidak menafikan pengharaman zina, kerana zina dan bunuh adalah jenayah yang tidak diharuskan dalam apa jua keadaan sekalipun ( walau dipaksa atau terpaksa). Ini adalah pendapat yang disepakati ulama .
Dalam kes rogol, paksaan keatas mangsa adalah bersifat (الإكراه الملجىء أو التام ) yang mana mangsa tidak dapat melawan dan mengelak bahkan dicederakan ketika berlakunya jenayah tersebut. Namun jika mangsa mampu melawan, dia wajib mempertahan dirinya berdasarkan hukum (دفع الصائل ).
4. Hukuman:
Pesalah boleh dijatuhkan satu atau lebih dari hukuman berikut berdasarkan bukti-bukti dan keterangan yang diberikan kepada hakim.
Hudud :
1. Hudud jenayah zina;
Perogol yang telah sabit kesalahannya dengan bukti-bukti dan keterangan yang dikehendaki oleh syarak tanpa sebarang keraguan dipihak hakim akan dijatuhkan hukuman yang sama seperti pelaku jenayah zina :
• Jika pesalah ghair muhsan (محصن (غيرiaitu yang belum pernah berkahwin : disebat seratus sebatan dan taghrib (التغريب )iaitu dibuang negeri selama setahun.
• Jika pesalah muhsan (محصن ) iaitu yang sudah atau pernah berkahwin: direjam sehingga mati .Hukuman ini sabit dengan Ijma` ulama tanpa khilaf. Hukuman sebatan bagi penzina muhsan adalah khilaf ulama, pendapat jumhur; yang wajib adalah rejam tanpa sebat .
2. Hudud jenayah Hirabah;
Dalam kes ini terdapat unsur mencederakan atau unsur ancaman ( التخويف)samada ancaman terhadap nyawa,harta benda dan lain-lain,kepada mangsa yang boleh menyebab pesalahnya juga boleh disabitkan dengan hukuman lain iaitu, hukuman Hirabah (حد الحرابة ).
Hukuman Qisas (القصاص),
Hukuman ini dijatuhkan jika tertuduh terbuti mencederakan atau membunuh mangsa.
Ta`zir (التعزير) ,
Tertuduh boleh dijatuhkan hukuman ta`zir jika bukti-bukti yang ada tidak dapat mensabitkan hukuman hudud. Penentuan bentuk hukuman ta`zir adalah terserah kepada hakim seperti yang ditetapkan dalam undang-undang.
Hukuman tambahan,
Namun begitu, hukum tambahan bagi kesalahan rogol, iaitu;
• Perogol wajib membayar mahar misil ( مهر المثل ) kepada mangsa.
• Perogol wajib membayar kepada mangsa pampasan الأرش) ) atau pampasan (الدية)
jika mangsa dicederakan , dan pada masa yang sama pesalah tidak disabitkan dengan hukuman Qisas.
5. Syarat-syarat perlaksanaan hukuman Hudud :
Hukuman Hudud tidak dapat dilaksanakan melainkan setelah memenuhi segala syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak:
1. Baligh : Dewasa sahaja yang dijatuhkan hukuman Hudud, ini disepakati ulama.
2. Berakal: Orang gila tidak dijatuhkan hukuman Hudud, ini juga disepakati ulama.
3. Muslim: non muslim tidak dihukum hudud tetapi dijatuhkan hukuman Ta`zir(التعزير), namun jika dia morogol seorang muslimah,non muslim tersebut dihukum bunuh dengan sebab melanggar perjanjian (عهد الذمة) dengan pemerintah . Manakala jika sesama suka, muslimah tersebut sahaja dihukum Hudud. Ini adalah pendapat ulama mazhab Maliki.Pendapat terkuat adalah pendapat jumhur ulama, non muslim tetap dihukum Hudud, tetapi tidak direjam disisi mazhab Hanafi.
4. Sukarela:Perempuan yang dipaksa atau dirogoltidak hukum secara disepakati ulama. Namun ulama berselisih pendapat tentang lelaki yang dipaksa berzina; pendapat jumhur ulamak ,dia tidak dihukum,berbeza dengan pendapat mazhab Hanbali.
5. Persetubuhan sesama manusia : jika seseorang bersetubuh dengan selain manusia binatang contohnya,dia hanya dijatuhkan hukuman ta`zir.
6. Perempuan yang disetubuhi seorang dewasa: Ini adalah syaratdisisi mazhab hanafi. Disisi jumhur orang yang bersetubuh secara haram dengan kanak –kanak perempuan tetap dihukum hukuman Hudud.
7. Tiada keraguan : Jika berlaku Syubhah (kekeliruan dipihak tertuduh atau kesamaran dari segi bukti pendakwaan) maka Hudud tidak laksanakan.
8. Mengetahui zina adalah haram: Orang yang tidak mengetahuinya tidak dihukum Hudud (iaitu dengan sebab baru memeluk Islam atau hidup jauh dari ulama ).
9. Perempuan yang disetubuhi adalah selain kafir harbi dan berlaku di negara harb (yang menjadi musuh Negara Islam): Ini adalah syarat disisi mazhab Hanafi, disisi jumhur ulama pula penzina tetap dihukum hukuman hudud walaupun berzina dengan perempuan harbi dan di negara harbi.
10. Perempuan yang disetubuhi bernyawa: Orang yang bersetubuh dengan mayat tidak dijatuhkan hukuman Hudud disisi Jumhur ulama, berbeza dengan pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki.
11. Bersetubuhan haram itu tersebut benar-benar berlaku: iaitu dengan memasukkan Hasyafah zakar(kepala kemaluan lelaki) atau ukurannya ke dalamfaraj perempuan.
Walaupun dalam beberapa keadaan diatas tidak dapat menghukum tertuduh dengan hukuman hudud namun pihak hakim dapat menjatuhkan hukuman Ta`zir jika terdapat Qarinah (bukti-bukti lain yang menguatkan dakwaan tetapi tidak dapat menjatuhkan hukuman Hudud) .
6. Kaedah-kaedah pensabitan kesalahan jenayah rogol:
1. Jika mengambil hukuman zina;
Ijma`(tiada perselisihan pendapat)dikalangan ulama bahawa jenayah zina sabit :
• denganIqrar (pengakuan pesalah), atau;
• dengan Syahadah (penyaksiaan) empat orang saksi lelaki Muslim yang merdeka (bukan hamba sahaya) yang Adil (tidak Fasik).
Dan yang menjadi khilaf (perselisihan pendapat) dikalangan ulama, adakah kehamilan menjadi bukti dakwaan zina?Dua pendapat;
• Disisi mazhab Syafi`e dan Hanafi, kehamilan tidak menjadi bukti yang boleh mensabitkan hukuman Hudud, kerana Hudud tidak sabit dengan Qarinah. Pendapat ini adalah lebih kuat.
• Disisi mazhab Maliki, kehamilan menjadi bukti yang boleh mensabitkan hukuman Hudud, mazhab Hanbali pula mensyaratkan bahawa suami wanita hamil tersebut berjauhan dengannya.
2. Jika mengambil hukuman Hirabah dan Qisas:
Pensabitan kesalahan berlaku dengan;
• Iqrar (pengakuan pesalah), atau;
• Dua orang saksi, lelaki, muslim, yang adil.
7. Persoalan-persoalan berkaitan kes rogol :
• Adakah hukuman hudud boleh dijatuhkan berdasarkan bukti-bukti – contohnya DNA,kamera CCTV, gambar dan lain-lain - selain daripada saksi dan pengakuan penzina atau perogol?
Jawapan: Tidak , kerana hukuman Hudud jenayah zinadalah hak Allah Taala , jadi hudud tidak dapat dijatuhkan kepada pesalah kecuali dengan Iqrar atauSyahadah di sisi mazhab Syafie dan Hanafi.
• Bolehkah perogol dijatuhkan hukuman bunuh tanpa Hudud?
Jawapan: Boleh dihukum bunuh secara ta`zir siyasah, berdasarkan mazhab hanafi dan maliki yang mengharuskan hukuman bunuh secara ta`zir. Hukuman ini boleh dijatuhkan oleh pihak hakim keatas pesalah jika pesalah tidak dapat disabitkan dengan hukuman Hudud, apabila hukuman bunuh ini difikirkan perlu dengan menjadikan Qarinah sebagai bukti dakwaan.
8. Penutup
Perlu diingatkan bahawa hukuman hudud (rejam dan sebat) tidak dapat dilaksanakan melainkan jika dakwaan sabit dengan Iqrardan Syahadah, ini disisi jumhur ulama, kerana;
• Hukuman jenayah zina adalah hak Allah SWT, jadi hukuman Hudud tergugur (tidak dilaksanakan) kerana Syubhah.Jenayah berkaitan hak Allah SWT sunat disembunyikan, (tidak didakwa di mahkamah melainkan jika jenayah tersebut tersebar dan membawa kerosakan yang lebih besar pada masyarakat, misalnya jenayah rogol).
• Antara prinsip utama perlaksanaan undang-undang jenayah dalam Islam; hukuman keatas pesalah bukanlah matlamat utama, tetapi bermatlamatkan mendidik pesalah dan hukuman hanyalah menjadi jalan untuk mencapai kesejahteraan individu dan masyarakat.
Pemerintah wajib menentukan bentuk hukuman ta`zir yang sesuai bagi menjaga kemaslahatan rakyat.
Bukan semua pendapat rajih (kuat dari segi dalil), sesuai dipraktikan dalam masyarakat secara amnya,dan sistem perundangan khasnya.
Penentuan hukum dalam bidang fatwa dan kehakiman adalah bebeza sama sekali dengan pentarjihan dalam kitab-kitab . Ini adalah kerana perubahan fatwa dan hukuman adalah dipengaruhi oleh perbezaan individu, keadaan, masa, tempat, maqasid syarak yang khas bagi sesuatu masalah furu`.
Oleh itu penentuan hukum tersebut hendaklah ditentukan oleh orang yang benar-benar Adil, berautoriti dan layak, (lajnah fatwa atau perundangan sesuatu tempat misalnya) yang mengkaji dan memahami secara terperinci kesesuian dalam memilih sesuatu pendapat untuk dipraktikan.
Maka seorang hakim hendaklah menjatuhkan hukuman yang memberi maslahat (kebaikan) kepada pesalah dan mangsa bukan sahaja di dunia bahkan juga di Akhirat.
والله أعلم بالصواب وإليه مآب وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين .......
Mohd Farid Bin Yahaya,
Ahmad Kamal Bin Mansor,
02Kartunis Utusan, Rogol Dan Zina
KARTUNIS UTUSAN, ROGOL DAN ZINA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Saya tidak pasti, apakah kartunis Utusan itu hendak
menghina Islam atau hendak menghina pihak tertentu. Jika dia bertujuan
menghina Islam, dilakukan pula dalam keadaan yang sedar akal fikirannya,
maka dia terkeluar daripada Islam. Namun, jika dia bertujuan mengkritik
salah faham sesetengah pihak mengenai perbezaan hukum zina dan rogol,
maka itu tidak merosakkan imannya, bahkan satu sumbangan membetulkan
fahaman yang salah. Adapun jika dia bertujuan membohongi fakta yang
dimaksudkan oleh seseorang, sehingga menimbulkan salah sangka, maka dia
berdosa besar.
Persoalan yang timbul; apakah jika seseorang wanita
membuat aduan kepada mahkamah syariah bahawa dia dirogol maka mahkamah
syariat akan menyatakan: awak mesti mendatangkan empat orang saksi, jika
tidak awak disebat 80 rotan? Adakah di dunia ini empat orang saksi yang
soleh sanggup membiarkan seorang wanita dirogol di hadapan mereka?
Mungkin ada yang tidak faham sehingga menyamakan jenayah rogol dan zina. Zina adalah maksiat peribadi yang Islam berusaha menutupnya. Sebab itu diketatkan dengan empat orang saksi. Adapun rogol adalah pencabulan terhadap individu lain tanpa rela dan kejam, maka pembuktiannya tidak seketat zina. Beza menuduh orang lain berzina dengan mendakwa diri menjadi mangsa adalah soal maruah. Menuduh orang lain berzina mempunyai unsur menjatuhkan maruah orang lain. Sementara mendakwa diri menjadi mangsa rogol adalah mempertaruhkan maruah diri sendiri. Secara lojiknya, sukar dilakukan melainkan dalam keadaan yang amat memaksa. Bagaimanakah mungkin seseorang mampu mendiamkan diri apabila dia dimangsakan?
Maka, dalam kes kedua qarinah (bukti kaitan) boleh dipakai seperti yang disebut dalam Surah Yusuf:
“Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tiada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya”.
Yusuf pula berkata: “Dialah yang menggoda diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata: ”Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang berdusta. Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar. Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, dia berkata: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya” (Surah Yusuf: ayat 25-28).Lihat, Al-Quran menceritakan bagaimana qarinah digunakan dalam peristiwa ini.
Lian
Sebab itu juga, Islam tidak mewajibkan pula seseorang yang menuduh isterinya berzina agar mendatangkan empat orang saksi. Ini kerana tuduhan zina kepada isteri sendiri hanya mencalarkan maruah penuduh. Maka, agak sukar untuk seseorang itu menuduh isterinya secara bohong berzina. Juga amat berat untuk seseorang itu mendiamkan diri apabila mengetahui isterinya berzina. Ini kerana kedua-dua keadaan itu merobohkan maruah dan kehormatan dirinya. Jika orang lain yang berzina, mungkin dia mampu mendiamkan diri disebabkan kekurangan saksi. Tetapi sudah pasti tidak bagi kes isterinya.
Justeru Allah menyebut: (maksudnya)
“Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): “bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-orang yang berdusta; – Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang- orang yang benar. (Surah al-Nur ayat 6-9).Bab ini dinamakan dengan ‘li‘an’ atau penglaknatan. Inilah jalan yang Allah berikan kepada pasangan suami isteri yang tuduh-menuduh dalam perkara seperti ini. Selepas proses ini dilakukan, mereka dipisahkan selamanya, tanpa ada hukuman keseksaan mahkamah yang dijalankan, sebaliknya diserahkan urusan tersebut kepada Allah. Ini kerana, kes ini adalah kes mempalitkan keaiban diri sendiri.
Maka, mereka yang mendakwa diri dirogol atau diliwat secara paksa juga adalah menampalkan keaiban ke atas diri sendiri. Amat sukar bagi insan normal itu membuat dakwaan seperti itu secara semberono. Melainkan jika ada kepentingan tersembunyi yang lain. Maka mereka juga tidak perlu mendatangkan empat saksi. Sebaliknya boleh diterima pakai kaitan (qarinah) yang membuktikan kejadian itu berlaku. Justeru, paksi dalam hal ini semua, ada demi memelihara keturunan dan maruah.
Remaja suspek rogol warga Switzerland ditahan
15 Mei 2012
Suspek ditahan anggota polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Intan, Lundang, di sini, pada jam 5 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, hasil maklumat awam, polis berjaya memberkas penganggur berkenaan dan tiga lagi rakan suspek masih diburu.
“Saya nasihatkan tiga lagi yang lain tampil menyerah diri bagi membantu siasatan kerana kesemua identiti mereka sudah pun dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Azham berkata, remaja tersebut itu kini dikenakan perintah tahanan reman selama seminggu sehingga 20 Mei depan.
“Reman dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar, Amni Mat Jahari bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 376 dan 354 Kanun Keseksaan kerana rogol serta cabul,” katanya.
Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan seorang setiausaha warga Switzerland mendakwa dia dirogol, manakala rakannya dicabul dalam sebuah banglo, di sini. Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, dua pelancong masing-masing berusia 25 tahun itu singgah di Pejabat Konsul Thailand, di bandar ini bagi urusan visa untuk ke Bangkok, selepas balik bercuti dari Pulau Perhentian, Terengganu sebelum diperdaya empat lelaki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan