Ahad, 13 Mei 2012

JIKA TAK BUAT KENYATAAN...KITA TAK TAHU IA BODOH...BILA BUAT KENYATAAN...CONFIRM IA MEMANG BODOH....

Nor Mohamed: Malaysia kembali ke era 1511 jika Pakatan menang PRU-13

13 Mei 2012
TASEK GELUGOR - Negara akan kembali ke era tahun 1511, dengan agenda Bumiputera tidak lagi diwujudkan, sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
  
Beliau berkata, negara berkemungkinan kembali kepada zaman pemerintahan Francis Light dan Alfonso de Albuquerque jika pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan kerana mereka dilihat tidak mampu memperjuangkan agenda Bumiputera.
  
"Kita tahu bahawa agenda bumiputera satu perkara penting pada tahun sebelum tahun 1511. Selepas itu, selepas 446 tahun kita tak cakap mengenai agenda Bumiputera dan selepas merdeka baru kita kembali memperjuangkan agenda Bumiputera.
  
"Kita tak pasti sama ada parti yang memerintah (pakatan pembangkang) akan pegang kepada konsep agenda Bumiputera. Kalau mereka memerintah automatik kita akan balik ke zaman 1511," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Usahawan Gemilang anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Berhad di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu kini boleh dilihat di Pulau Pinang apabila masyarakat Melayu seakan-akan dipinggirkan dan agenda Bumiputera juga tidak diperjuangkan di negeri ini.
 
Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata hal sedemikian tidak akan berlaku jika BN kekal sebagai kerajaan memandangkan sejak negara memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957, pelbagai usaha telah dijalankan untuk memperjuangkan agenda bumiputera bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat itu.

Katanya, beliau yakin BN akan kekal berkuasa di Putrajaya dan negeri lain kerana sokongan dan keyakinan rakyat kepada parti itu semakin meningkat.

Beliau berkata, BN akan memastikan rakyat akan terus bersama menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menjadikan negara sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. - Bernama
Pemuda Pas: Karpal perlu hormat hak Hadi
Wartawan Sinar Harian
13 Mei 2012
Naib Ketua Pemuda Pas, Dr Raja Ahmad Al Hiss
Naib Ketua Pemuda Pas, Dr Raja Ahmad Al Hiss
SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas membidas sikap Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menyatakan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan melaksanakan undang-undang hudud jika semua syarat lengkap apabila berkuasa kelak.

Naib Ketua Pemuda Pas, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, Karpal tidak wajar menyatakan pandangannya secara terbuka terhadap Presiden Pas.

"Sebagai Presiden Pas, beliau berhak mengeluarkan kenyataan berhubung dasar perjuangan Pas.

"Sebagai pemimpin tertinggi dalam Pakatan Rakyat (PR) pula, Presiden Pas berhak mengeluarkan kenyataan tersebut kerana ia tidak bercanggah dengan prinsip dalam PR," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Minggu lalu, Karpal menggesa Abdul Hadi berhenti mengeluarkan kenyataan bagi pihak PR.

Karpal berkata, Abdul Hadi tidak berhak berbuat demikian terutama ketika menyatakan pakatan itu akan melaksanakan hudud jika PR memerintah.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu juga berkata kenyataan Abdul Hadi adalah retorik semata-mata dan tanpa sebarang justifikasi.

Raja Ahmad berkata, Pas menghormati pandangan dan kenyataan pemimpin DAP dan prinsip perjuangan mereka.

"Justeru, Dewan Pemuda Pas meminta Karpal Singh turut menghormati pandangan Presiden Pas dan pandangan beliau terhadap perjuangan Pas.

"Dewan Pemuda Pas mengingatkan, kenyataan Karpal tidak menguntungkan Pakatan Rakyat. Kenyataan beliau boleh mengeruhkan hubungan dan mengikis keyakinan rakyat terhadap PR.

"Lebih dari itu, teguran Karpal mengguris hati ahli Pas serta umat Islam di negara ini umumnya," katanya.

Raja Ahmad menambah, dasar Pas sejak dahulu sehingga kini jelas iaitu untuk menegakkan Islam di negara ini.

"Pas tidak pernah menggadai prinsipnya serta membohongi rakyat tentang prinsip Islam yang diperjuangkan walau dengan siapa ia bersahabat," katanya.

Raja Ahmad juga menasihatkan Karpal supaya memberikan fokus terhadap Pilihan Raya Umum ke-13 serta isu-isu untuk kepentingan rakyat negara ini kerana ia lebih utama daripada mengkritik sesama sendiri.
Pas: Perkasa tak hormati Majlis Raja-Raja
JAMILAH HAMZAH
13 Mei 2012
Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mendakwa Perkasa tidak menghormati Majlis Raja-Raja yang telah membenarkan parti itu menggunakan perkataan Islam dan oleh itu, tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
"Majlis Raja-Raja telah bersetuju dan tidak menghalang penggunaan perkataan Islam dalam parti Pas semenjak pemerintahan (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.
"Pas juga tidak takut untuk terus gunakan perkataan Islam dalam parti kami kerana Majlis Raja-Raja telah menyatakan tiada masalah bagi parti menggunakan perkataan Islam itu," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Laporan media semalam memetik Presiden Perkasa, Ibrahim Ali berkata, sudah sampai masa Majlis Fatwa Kebangsaan mengkaji kewajaran Pas menggunakan perkataan Islam pada nama partinya.
Perkasa mendakwa tindakan itu perlu memandangkan ia boleh mengelirukan umat Islam, terutama di kalangan penyokong anatik parti itu.
Ibrahim berkata, tindakan menggugurkan perkataan tersebut penting  bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.
"Perkataan Islam dalam parti Pas perlu dicabut untuk menjaga kesuciannya kerana Pas tidak layak menggunakan perkataan itu kerana moral mereka tercalar, terutama setelah banyak kali dicabar pihak DAP,” katanya.
"Kami tak perlu bimbang dengan permintaan Perkasa untuk meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran Pas menggunakan perkataan Islam pada parti kami," kata Salahuddin lagi.
Seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau tidak mahu melayan pendirian Perkasa itu kerana mereka mewakili kumpulan terbesar rakyat negara ini.
"Biarkan mereka (Perkasa) nak buat apa pun, saya tak mahu layan mereka kerana ahli mereka pun bukannya ramai," Mahfuz.
Dalam pada itu, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib pula berkata, fatwa bukanlah satu perkara yang boleh dibincangkan dalam masa yang singkat.
"Fatwa adalah perkara serius dan memerlukan masa yang panjang untuk mengeluarkannya," katanya.
DAP: Umno guna agama takutkan pengundi Melayu
Fakhrurrazi Usuldin dan Jamilah Hamzah
12 Mei 2012
SHAH ALAM - DAP mendakwa Barisan Nasional (BN) khususnya parti terasnya Umno terus-menerus menggunakan pendekatan menakutkan orang Melayu dengan mengatakan ia sebuah parti anti-Melayu dan anti-Islam.

Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari berkata, ia sebahagian daripada strategi Umno-Bn menanam persepsi buruk dalam masyarakat Melayu terhadap parti itu untuk kekal berkuasa.

"Dia (Umno) akan guna apa saja isu untuk menakutkan orang Melayu kerana jika orang Melayu boleh terima konsep politik pelbagai kaum, maka Umno-BN akan menjadi tidak relevan, akan hilang sebab kewujudan," kata beliau pada Wacana Melayu Islam DAP di sini.

Wacana itu dianjurkan oleh portal Rocketkini. Selain Zairil, ahli panel lain terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad; Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Maszlee Malik.

Beliau juga berkata, DAP sebuah parti yang sah dan tidak pernah diharamkan sejak kewujudannya selain berprinsipkan demokrasi sosial.

Beliau juga mengulas mengenai sama ada DAP parti berfahaman sekular.

"Dalam konteks DAP, sekular yang dimaksudkan bukan sekularisme sebagai satu ideologi, itu lain, yang kita maksudkan dalam konteks adalah satu proses pentadbiran, bukan antiagama tetapi mempertahankan hak untuk semua orang mempertahankan agama masing-masing.

"Kita mengambil pendirian begitu kerana dasar parti DAP yang tidak mahu mana-mana agama dipergunakan dalam konteks politik, dipermainkan seperti mana digunakan oleh Umno selama ini yang  menggunakan agama menakutkan orang Melayu," katanya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, apa yang dialami DAP di kalangan masyarakat Melayu pernah juga dialami Pas dalam masyarakat bukan Melayu satu ketika dahulu, yang menganggap Pas parti ekstremis agama.

"Ini merupakan pendekatan politik Umno-BN untuk menentukan bahawa hanya mereka saja yang dilihat sebagai seimbang, bertoleransi, bersikap moderat (sederhana) dan bersikap wasatiyah," katanya.

Khalid juga berkata, Dasar DAP dilihat banyak persamaan walaupun mereka berbeza ideologi.

"Walaupun DAP mendukung ideologi demokrasi sosial dan Pas ideologi Islam, tetapi dari segi dasar yang nak dilaksanakan banyak persamaan.

"Dalam Pakatan Rakyat walaupun ideologi berbeza tapi kita cuba dapatkan polisi sosial  yang sama atas melalui perbincangan dan kata sepakat," katanya.

Maszlee melontarkan pandangan sama ada DAP sedia menerima orang Melayu Islam menyertai parti itu.

"Adakah DAP bersedia untuk menerima aktivis Islam untuk menyertai dan menjadi pemimpin mereka.

"Adakah DAP bersedia untuk memberi peluang wanita berhijab menjadi ahli jawatankuasa atau ahli Parlimen DAP," katanya.

Wacana itu turut dihadiri hampir 50 orang peserta.
Pas sedia muzakarah soal Islam
MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN
13 Mei 2012
Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR – Pas bersedia membuka pintu dan bermuzakarah dengan semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuklah Umno bagi menyelesaikan isu dakwaan yang mengatakan perjuangan parti tersebut sudah jauh terpesong dari perjuangan asal.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dakwaan seperti ini adalah serius dan menegaskan Pas sentiasa konsisten berpegang dengan perjuangan asal iaitu memartabatkan agama Islam di negara ini.

“Pas bersedia bermuzakarah dengan semua pihak, pejabat Pas sentiasa terbuka termasuklah kepada Umno sendiri.

“Pas ada majlis Syura Ulama, oleh itu Pas sentiasa memelihara Islam dan bersedia berbincang isu-isu melibatkan umat Islam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Namun, sejurus selepas Hadi berkata demikian, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar mencelah dengan mengatakan “tidak muzakarah dengan Umno”.

Kelmarin, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kewajaran Pas menggugurkan perkataan Islam pada parti itu bagi mengelakkan kekeliruan.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menggesa Hadi berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai hudud, beliau menegaskan, Karpal seharusnya meraikan perbezaan pendapat ini.

Katanya, apa yang paling penting sekarang adalah semua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) perlu fokus kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Isu ini jelas, boleh rujuk kenyataan saya sebelum ini. Kita perlu tumpu apa yang berlaku sekarang, perkara itu apabila kita sudah perintah nanti, sekarang belum lagi,” katanya.
Perkasa sokong tubuh Majlis Peguam baru

13 Mei 2012
TAWAU - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali menyokong cadangan mewujudkan Majlis Peguam baru di negara ini memandangkan Majlis Peguam sedia ada dilihat 'gagal memainkan peranannya secara profesional'.
  
Beliau berkata majlis peguam sedia ada bukan sahaja tidak beretika dan berat sebelah malah tidak langsung menunjukkan sikap profesionalismenya ketika mendepani isu-isu semasa negara.
  
"Pandangan badan ini sentiasa memihak kepada (pembangkang). Ini tidak bererti saya meminta mereka menyokong kerajaan. Tetapi mereka kena bersifat profesional. Kalau dia sokong kerajaan semata-mata pun saya tidak setuju. Majlis Peguam perlu dilihat lebih profesional dan bebas," katanya.
  
Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Perkasa Pribumi Sabah, Gabungan Pantai Timur Sabah yang turut dihadiri Naib Presiden Perkasa yang juga Yang Dipertua Perkasa Sabah Datuk Dr Mohd Jeffry Osman di sini hari ini.
  
Menurut Ibrahim sikap tidak profesional Majlis Peguam berkenaan sudah lama berlaku dan terbaru Majlis Peguam berkenaan begitu terburu-buru mengeluarkan laporan berhubung perhimpunan Bersih 3.0 tanpa membuat siasatan rapi mengenai kejadian sebenar yang berlaku.

Sementara itu, Perkasa Sabah dalam perhimpunan hari ini meluluskan tujuh resolusi berkaitan demonstrasi jalanan Bersih 3.0 untuk diserahkan kepada kerajaan bagi tindakan segera.
  
Antara resolusi ialah meminta kerajaan segera menahan dan mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa telah memberi arahan kepada peserta Bersih 3.0 merempuh penghadang dan anggota polis sedangkan mahkamah sudah memerintahkan peserta tidak boleh memasuki Dataran Merdeka.
  
Resolusi berkenaan juga meminta kerajaan supaya segera menahan dan mendakwa Datuk Ambiga yang merupakan penganjur utama Bersih 3.0 kerana telah melanggar syarat-syarat berhimpunan iaitu gagal mengawal peserta Bersih 3.0 sehingga sebahagian mereka dikatakan melakukan keganasan terhadap anggota polis dan semasa perhimpunan. - Bernama

Tiada ulasan: