Selasa, 15 Mei 2012

BILA YANG KOMEN...ATAU BERKATA ITU KURANG CERDIK...ATAU MAIN TIBAI AJE...WALAUPUN KIASAN TIADA BERMUTU SERTA KETINGGALAN ZAMAN...NAMPAK SANGAT PENDIDIKAN SANGAT LEMAH LAGI SEMPIT

Pendidikan percuma


14 Mei 2012
Ibnu Khaldun ialah pemikir Islam bertaraf dunia sepanjang zaman. Beliau banyak membentangkan teori kemasyarakatan mendahului zamannya beberapa abad. Buku karangannya berjudul Muqaddimah yang bermaksud pendahuluan, diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa dunia di timur dan barat, walaupun ia adalah pendahuluan kepada buku sejarah karangannya. Akhirnya kitab Muqaddimah sahaja yang dikaji  kerana analisa ilmu kemasyarakatan yang menarik sehingga Ibn Khaldun diberi gelaran bapa ilmu kemasyarakatan.

Ibn Khaldun mengulas berkenaan pelajaran dan pendidikan dalam bab yang khusus, melibatkan ilmu secara menyeluruh mengikut perspektif Islam yang berbeza dengan teori Barat yang berteras dan berkonsepkan sekularisme yang memisahkan agama dengan dunia.

Paling menarik Ibn Khaldun meletakkan ilmu dan pendidikan ke dalam aspek sina’ah (industri). Bermakna aktiviti ilmu bukan sahaja keperluan ruh dan akal yang menjadi sebahagian daripada kejadian manusia, bahkan kegiatannya yang betul dan saksama menghasilkan kemajuan dalam aspek yang lain termasuk aspek ekonomi yang menambahkan hasil negara.

Lapangan ilmu dan pendidikan adalah peranan pembangunan manusia dalam segala aspek kejadian mereka secara fitrah, dan perkembangan percambahan ilmu keperluan mereka yang dicipta selepasnya secara pengalaman dan kajian mengikut keperluan semasa, realiti dan situasi yang sentiasa berubah di sepanjang zaman.

Peranan ilmu dan pendidikan mengikut Islam adalah selaras dengan naluri manusia dan peranan mereka. Manusia adalah makhluk berunsurkan jasad, ruh dan akal, individu, keluarga dan wajib bermasyarakat madani, mampu mengendalikan urusan makhluk sekelilingnya. Maka manusia adalah makhluk yang layak mentadbir urusan bumi sekiranya berilmu dan pendidikan yang merangkumi aspek naluri mereka.

Ilmu dan pendidikan adalah agenda pembangunan manusia bagi memakmurkan dunia. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan yang memenuhi kehidupan manusia tersebut dalam perkara wajib mengikut kedudukan ilmu itu. Semua bidangnya  tidak terkeluar daripada fardu ain dan fardu kifayah.

Ilmu dan pendidikan bagi membina peribadi manusia supaya beriman dan budiman  dimasukkan dalam fardu ain yang wajib bagi setiap individu, begitu juga alat dan kemudahan untuk menghasilkannya seperti mambaca, menulis dan alatnya serta pelajarannya secara sistematik mengikut zaman. Perkara ini termasuk dalam doruriyat kepada ruh dan akal, sama seperti keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada jasad. Maka menjadi kewajipan kepada ibu bapa atau ketua keluarga atau penjaga dan kerajaan yang memerintah negara  membantu kalangan yang tidak berkemampuan.

Ilmu dan pendidikan yang memberi kemudahan kepada masyarakat dalam segala aspeknya dimasukkan dalam fardu kifayah (wajib secara umum), menjadi fardu ain pula kepada mereka yang layak menunaikannya seperti para pemimpin kerajaan.

Dalam masa yang sama setiap anggota masyarakat digalakkan menunaikan kewajipan ini sehingga dimasukkan dalam amal kebajikan yang besar pahalanya dan fadilatnya berpanjangan walaupun pengamal dan penyumbangnya telah meninggal dunia. Sabda Rasulullah S.A.W:
إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاثٍ: صدقةٍ جاريةٍ، أو علمٍ ينتفع به، أو ولدٍ صالحٍ يدعو له
Maksudnya: Apabila matinya seseorang manusia, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sumbangan sedekah (harta ) yang berterusan kebaikannya,  ilmu yang memberi manfaat dan anak yang baik sentiasa berdoa untuknya. (Riwayat Muslim)

Menunjukkan bahawa kewajipan pendidikan dan pelajaran dalam negara berkebajikan mengikut Islam menjadi tanggungjawab bersama yang tidak membebankan kerajaan sahaja, kerajaan dan masyarakat tidak boleh melarikan diri daripadanya.

Manusia yang dibangunkan insannya dengan sempurna menambahkan produktiviti negara, bukannya menjadi bebanan negara dengan gejala sosial seperti akhlak dan pengangguran. Apa yang berlaku hari ini adalah kesilapan dasar, konsep dan sistem yang memerlukan satu huraian yang lain. Dalam ruangan ini perlu dijelaskan dengan tegas bahawa agenda pendidikan dan pelajaran percuma yang betul meningkatkan hasil negara bukannya menjadikannya bankrap.

Ilmu dan pendidikan peribadi yang betul, melahirkan manusia beriman, budiman dan berilmu sehingga beramal dengan ikhlas, tidak menyeleweng, rasuah dan menyalahgunakan kerja, jawatan, serta tidak merosakkan hasil negara. Ilmu dan pendidikan pengurusan, kemahiran dan sebagainya untuk masyarakat  mendatangkan hasil  yang maju dan meningkat. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan bagi keperluan peribadi dan masyarakat tidak boleh dipisahkan di antara satu sama lain. Ilmu dan pendidikan fardu ain  bagi membentuk diri manusia adalah asas yang wajib bagi setiap individu lelaki dan wanita. Kemudian ditingkatkan secara fardu kifayah (wajib secara umum) mengikut kemampuan di bidang masing-masing, sehingga tidak ada yang tercicir dalam masyarakat, termasuk yang gila dan cacat menjadi kewajipan keluarga dahulu, kemudiannya masyarakat dan kerajaan.

Kalangan para ulama yang mendalami perkembangan semasa, menjadikan sebahagian peruntukan zakat  sumbangan kepada penuntut ilmu, kerana ia juga adalah medan perjuangan untuk meninggikan Islam dan umat. Kepada penganut Islam, zakat tetap wajib dibayar walaupun dibatalkan oleh kerajaan kerana sifat ibadatnya yang berbeza dengan cukai  yang di arah oleh kerajaan kerana zakat adalah perintah Allah.

Dalam masyarakat Islam yang lebih lama tamadunnya didirikan  institusi pendidikan percuma sehinggalah masuk ke zaman penjajah dan merdeka semula. Contohnya Universiti al-Azhar di Mesir, Deoband dan Aligarh di India, pengajiannya bukan sahaja jurusan Islam bahkan meluas ke bidang sains dalam segala aspeknya. Pelajarnya belajar percuma, universitinya hidup dengan harta wakaf dan zakat.

Ada juga kalangan negara Barat yang meniru tamadun awal Islam menganjurkan pendidikan percuma dengan mengenakan cukai daripada kalangan yang kaya raya tanpa membebankan kalangan miskin, walaupun negara itu tanpa mempunyai sumber bumi yang banyak tetapi pandai mengurusnya tanpa membebankan rakyat. Sedarlah kita betapa bumi yang berhasil daripada perutnya dan subur tanahnya. Mengapa tidak mampu dan takut apabila disebut pendidikan percuma. Sebabnya kerana hasil negara banyak masuk ke dalam perut para pemimpin dan konco-konconya.

Ibn Khaldun menegaskan lagi, bahawa pertambahan jumlah penduduk yang meningkat juga kalau diolah dengan baik boleh meningkatkan produktiviti bukannya pengangguran dan gejala sosial, sekiranya agenda pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Allah.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Kemenangan kedua mahasiswa lawan Auku!

Muhammad Safwan Anang @ Talib,
Tanggal 10 Mei lalu telah menyaksikan bagaimana mahasiswa menang buat kali kedua bagi kes mahasiswa mencabar undang-undang drakonian iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Mahkamah telah memutuskan kemenangan bagi pihak 5 orang mahasiswa daripada Kolej Universiti Insaniah (KUIN) apabila mereka telah mencabar keputusan penggantungan 5 orang pelajar KUIN yang didakwa bersalah atas perbuatan melakukan demonstrasi di dalam kawasan kolej Mei 2011.

Kemenangan pertama mahasiswa adalah apabila mahkamah juga telah memutuskan kemenangan bagi pihak 4 orang mahasiswa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah di dakwa melanggar AUKU kerana terlibat dengan kempen pilihanraya kecil Hulu Selangor. Akhirnya mahkamah juga telah memutuskan kemenangan bagi pihak mahasiswa walaupun selepas itu kedengaran Perdana Menteri akan membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan pula.

Perkara ini sangat mendukacitakan kerana sebelum diputuskan kemenangan mahasiswa tersebut, kerajaan juga telah membuat pengumuman penting bahawa mahasiswa akan dibenarkan terlibat dengan politik setelah AUKU dipinda.  Mahasiswa masih ragu dengan perubahan yang bakal dilaksana oleh kerajaan melihat kepada senario yang melanda dalam kes 4 mahasiswa UKM ini.

Apa yang mahu saya tegaskan di sini, memandangkan kes 5 orang mahasiswa daripada KUIN ini adalah berbeza daripada apa yang berlaku di kampus-kampus IPT lain adalah berkenaan pentadbiran KUIN dibawah kerajaan Pakatan Rakyat Kedah seharusnya menolak penggunaan sebarang undang-undang zalim seperti AUKU yang mencengkam kebebasan suara mahasiswa. Terbaru juga mengenai AUKU apabila saya dan 2 orang mahasiswa Universiti Malaya juga telah digantung pengajian dek kerana demonstrasi pemansuhan PTPTN. Inilah undang-undang yang membuatkan ramai kalangan mahasiswa tidak berani kehadapan sedangkan mereka adalah jurubicara rakyat!

Menjelang pilihanraya umum ke – 13 ini, amat besarlah hasrat mahasiswa untuk melihat perubahan dalam negara menuju Malaysia yang lebih sejahtera. Perubahan yang bakal terlaksana dalam negara terutama kami di peringkat mahasiswa mahu AUKU dimansuhkan dan bukan sekadar dipinda bagi kepentingan mana-mana parti politik sekalipun.

Universiti perlu dibebaskan sama sekali daripada pengaruh politik dan mahasiswa perlu diberikan kuasa autonomi seperti mana yang telah dituntut dalam Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik sebelum ini iaitu memansuhkan AUKU dan AKTA 174, membebaskan ilmuan berakademik, membebaskan mahasiswa bersuara, memberi hak mahasiswa mengurus pilihan raya kampus, membebaskan mahasiswa mengurus persatuan dan aktiviti dan memberi hak kepada mahasiswa berpartisipasi dalam politik sepenuhnya.

Kami merasakan pemansuhan AUKU ini akan memberikan banyak perubahan kepada mahasiswa di menara gading. Salah satu perkara yang ingin saya tegaskan juga kepada mahasiswa di luar sana, janganlah berfikiran tertutup dengan agenda pemansuhan AUKU ini. Kami sering dikaitkan dengan agenda pembangkang sekiranya tidak selari dengan kerajaan sedangkan agenda pemansuhan AUKU ini tiada kaitan langsung dalam memberi kepentingan kepada pembangkang mahupun kerajaan. Ianya adalah tuntutan hak mahasiswa dan ahli akademik supaya tidak dicengkam undang-undang zalim.

Kita tahu bahawa semua pihak ingin melihat mahasiswa maju tampil kehadapan dan bukan sekadar belajar di bilik kuliah tanpa mempedulikan keadaan sekeliling serta menyelesaikan permasalahan yang kian meruncing dalam negara termasuklah gejala-gejala negatif, membanteras rasuah, menolak politik tidak matang dan memimpin negara akan datang. Ayuh, bebaskan mahasiswa!

Muhammad Safwan ialah Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia sesi 2012/2013

Tok Guru Nik Aziz bapa setengah orang kafir

Subky Latif, 14 Mei 2012
KITA tidak tahu apa telah jadi kepada Rahim Nor yang dibuang dari Ketua Polis Negara kerana membelasah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berbelas tahun dia hilang tiba-tiba dia keluar dengan menuduh Nik Aziz Bapa Kafir.


Tidak diketahui dia waraskah atau cacat ingatankah?

Rasanya tiada orang Islam yang siuman boleh mengeluarkan kenyataan bahawa Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan  itu adalah Bapa Kafir.

Sekalian yang mengenal Ustaz Nik Aziz mengakui beliau adalah seorang yang soleh. Akhlaknya,  ibadatnya dan penampilannya dengan masyarakat melayakkannya menjadi orang soleh.

Tiada ada makhluk yang boleh menyangka beliau akan jadi kafir dan mati kafir. Apalah lagi Bapa Kafir. Tuduhan terhadapnya bukan sekadar kafir biasa disebabkan oleh murtad atau menyengutukan Allah atau Islam liberal atau jadi ateis, tetapi bapa segala kafir.

Di kalangan makhluk manusia bapa kafir itu adalah seperti Firaun, Namrud, Abu Jahal dan Abu  Lahab. Bapa Kafir ini boleh lebih teruk dari Iblis. Kafir Iblis tidak mengaku dirinya tuhan. Tetapi Bapa Kafir seperti Firaun dan Namrud mengaku diri mereka tuhan. Bagi Rahim Nor, logiknya Tok Guru Nik Aziz itu setara Firaun dan Namrud. Barang dijauhkan Allah.

Tidak susah bagi Allah hendak menjadikan orang  Islam itu kafir seperti  tidak sukar bagiNya hendak memberi hidayat kepada orang kafir. Iblis yang pernah menjadi tok guru kepada malaikat boleh jadi kafir yang pertama kerana takburnya, maka mana-mana orang Islam boleh tergelincir imannya. Tetapi manusia tidak arif untuk membuat telahan seorang beriman itu kafir apa lagi Bapa Kafir.

Melainkan orang ada cacat fikiran. Orang yang cacat fikiran perlu berjumpa doktor jiwa atau mendapatkan bantuan bomoh bagi memulihkan ingatannya.

Mungkin apa yang berlaku adalah gara-gara badi kerana rasa bersalah memukul Anwar dulu. Atau dia tidak betul semasa memukul Anwar dulu. Orang yang betul tidak pukul orang macam itu. Tetapi cara memukulnya macam orang  gila.

Atau mungkin juga kerana kesan dari kena buang kerja dan terganggu hendak bertemu orang disebabkan perbuatannya itu.

Biarkanlah dia dengan keadaannya. Orang pun tidak terpengaruh dengan kata-katanya. Tiada yang peduli dengannya kecuali oleh orang yang ada masalah jiwa juga.

Merugikan air liur saja melayannya.

Ada pun Tok Guru  Nik Aziz itu tiada kafir dia kerana orang kata dia kafir. Moga-moga tidak terganggu fikirannya dengan kata-kata nanar itu.

Sehingga ini tidaklah boleh dikata dia Bapa Kafir kerana amat bertentangan hakikat itu dengan  amal solehnya selama ini.

Tetapi dengan pemerintahannya melayan secara adil baik rakyat itu  Islam atau kafir, menyebabkan ramai orang bukan Islam tertarik kepadanya malah bukan sekadar melihatnya sebagai pemimpin orang Islam bahkan pemimpin mereka juga.

Justeru keadilannya itu ramai orang bukan Islam menganggotai Dewan Himpunan Penyokong PAS. Mereka menerima pimpinannya dan secara sukarela mahu menjadi penyokongnya.

Subra, Timbalan Ketua DHPP ketika Tok Guru hendak menunaikan haji ke  Mekah datang menyerahkan sampul surat berisi wang kepadanya dan berkata, ‘Tok Guru! Ini sedikit belanja di Mekah nanti.’

Ada di antara orang bukan Islam menerimanya sebagai bapa. Kalau ada orang bukan Islam sudah menerimanya sebagai bapa mereka, maka bolehlah beliau menjadi bapa kepada setengah orang kafir.

Jika ada orang kafir merasakan sebagai bapa, tidaklah beliau menjadi kafir. Masih beliau seorang yang soleh. Masakan orang kafir menganggapkan sebagai bapa, maka dia menjadi kafir pula. Tentulah beliau dapat menyesuaikan diri sebagai orang  Islam yang menjadi bapa kepada setengah orang bukan Islam.

Dalam keadaan demikian beliau tidak boleh Bapa Kafir seperti yang Rahim Nor kata, tetapi beliau sudah boleh diterima sebagai Bapa kepada setengah orang kafir.

Kalau Rahim dalam apa keadaan pun kata Nik Aziz Bapa Setengah Orang Kafir, maka ia betul dan dapat  diterima.

Zakat dan royalti mampu selesaikan isu kebajikan

Salmah Mat Husain, 14 Mei 2012

(Husam dan pemimpin persatuan di majlis perasmian)

KOTA BHARU: Pembayaran royalti petroleum pada kerajaan Kelantan di samping perbelanjaan yang tidak boros oleh pemimpin di setiap negeri terutama di negeri pengeluar minyak, akan menyelesaikan masaalah kebajikan rakyat yang tidak pernah selesai.

Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, kerana Kerajaan Pusat menggelapkan bayaran royalti kerajaan Kelantan, kebajikan rakyat tidak boleh diatasi sebaik mungkin kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang besar.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Majlis Persatuan Kebajikan Semenanjung Malaysia Ke-61, di sebuah hotel di sini tengahari tadi.

Husam juga turut mempersoalkan bayaran zakat dengan cukai kesemuanya dibayar untuk tujuan kebajikan.

“Cuma yang berbeza zakat pembayarannya mesti meliputi lapan kumpulan sasar yang telah ditentukan oleh syarak,”ujarnya lagi.

Menurut Husam lagi, dengan hasil keuntungan Petronas setahun mencecah RM80 billion, sudah tentu bayaran zakatnya sebanyak RM2 juta.

Tambahnya, dengan wang zakat tersebut kerajaan mampu menyalurkan sumbangan kepada rakyat miskin di seluruh negeri melalui pelbagai peruntukkan sama ada pembinaan rumah, bantuan persekolahan dan lain-lain lagi.

Husam seterusnya menambah kata, jika ia berlaku, isu kemiskinan, masaalah ekonomi di kalangan rakyat, kenaikan harga barang dengan sendirinya secara automatik dapat diatasi.

“Tetapi malangnya, apa yang berlaku adalah sebaliknya wang zakat dari Petronas tidak dikeluarkan, royalti untuk kerajaan Kelantan juga tidak dibayar dan negeri-negeri pengeluar minyak juga tidak membantu rakyat yang miskin sepenuhnya,”ujarnya.

Tegasnya, apabila pentadbiran berlandaskan Islam, segala kekusutan akan terlerai dengan mudah termasuk bukan Islam yang turut bernaung di bawah negeri-negeri berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu kerajaan Kelantan membelanjakan sejumlah RM54 juta kepada wasi Takaful Kifaalah setelah pencarumnya meninggal dunia sejak ianya diperkenalkan tahun 2007.

Sambungnya, bantuan RM1,500 setiap keluarga yang dinamakan ke atas wasi masing-masing telah dapat menyelesaikan masaalah pengurusan jenazah khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.

Husam berkata demikian dipercayai menjawab persoalan yang dibangkitkan Yang Dipertua majlis berkenaan, Datuk Mastika Junaidah Husin, yang meminta pendapat bagaimana untuk mencari dana yang besar untuk membantu masyarakat khususnya warga emas yang dhaif.

Junaidah berkata demikian dalam ucapan aluannya sempena mesyuarat agong majlis tersebut.

Katanya, dengan dana yang begitu berkurangan, ditambah pula kepeluang masyarakat yang semakin meningkat di seluruh negara, menyebabkan bantuan pihaknya untuk golongan itu terbantut.

“Sekiranya sebelum ini majlis tersebut mendapat dana yang besar dari Loteri Kebajikan Masyarakat, namun selepas ianya dimansuhkan kerana bertentangan dengan syariat, dana semakin berkurangan.

“Jadi kita perlu pandangan bagaimana caranya untuk kita mendapatkan semula peruntukkan untuk membantu golongan yang amat memerlukan ini tanpa mengharapkan pihak lain,”ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua MPKSM Kelantan, Datuk Ismail Hassan, lain-lain pimpinan MPKSM peringkat pusat dan negeri.

PAS bina surau Al-Harakah di Pulau Shanghai

Zulkifli Sulong, 14 Mei 2012


(Surau Al-Harakah di pulau Shanghai, Sandakan drasmikan walaupun belum siap sepenuhnya)

SANDAKAN: Cita-cita penduduk pulau Shanghai, yang terletak setengah jam perjalanan bot dari Sandakan, untuk memiliki sebuah surau dan tempat berkumpul menjadi kenyataan apabila sebuah surau didirikan dan dirasmikan hari ini.

Surau ini dinamakan Al-Harakah sempena penyumbang utama untuk pembinaannya adalah datangnya dari pembaca Harakahdaily.


(Tuan Ibrahim menandatangani plak surau Al-Harakah)

Ia selamat dilancarkan hari ini oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang disertai sama oleh Haji Hamzah Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah.

Turut serta adalah anggota Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat yang menjadi penganjur kepada pembinaan surau ini.

Lebih 150 penduduk tempatan turut sama dalam majlis pelancaran surau ini hari ini.

Majlis pelancaran surau itu dibuat melalui tandatangan ke atas plak surau itu yang disempurnakan oleh Tuan Ibrahim dengan disaksikan penduduk tempatan.

(Doa dibacakan oleh Tuan Ibrahim dan diaminkan oleh yang hadir)

31 Disember tahun lalu Tuan Ibrahim yang memimpin ekspedisi ke pulau ini memacakkan tiang tanda janji untuk membina sebuah surau di pulau itu.

"Kita mahu surau ini menjadi pusat perpaduan penduduk di pulau ini. Pusat aktiviti, pusat kerjasama," kata Tuan Ibrahim dalam ucapannya hari ini.


Tuan Ibrahim ketika mengimbau kembali lawatan pertamanya ke sini Disember lalu berkata, apabila ditanya penduduk di sini, apa yang mereka perlukan di sini mereka  berkata banyak yang tak ada di sini.

(Kayu yang dipacakkan 31 Disember 2011 kini sudah menjadi surau untuk pulau ini)

"Dari banyak yang  takda, air bersih, letrik, dewan, surau,  kami pilih buat surau tempat berhimpun dan berjamaah," katanya.

Selepas itu, kempen dibuat untuk mengumpul dana untuk surau ini keseluruh dunia termasuk ke Arab Saudi.

Ekoran itu lebih  RM60,000 berjaya dikumpul khasnya dari pembaca Harakahdaily ekoran iklan yang disiarkan dalam laman web ini.

"Terima kasih kepada semua yang terlibat memberikan sumbangan khasnya pembaca Harakah kerana menjayakan projek ini.

(Bergambar kenangan bersama penduduk pulau Shanghai selepas merasmikan surau mereka)

"Atas dasar itu kita namakan surau ini Al-Harakah," kata Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim yakin PAS dan Pakatan Rakyat akan berbuat lebih lagi untuk rakyat Sabah jika diberikan mandat untuk mentadbir negara.

(Rombongan Muslimat PAS yang tiba dengan bot ke pulau Shanghai)

"Ini tempat untuk semua orang untuk memenuhi keperluan didik agama kepada anak-anak, program motivasi, solat dan sebagainya.

"Kami serahlah kepada tuan-tuan semua untuk mengisi program di sini agar surau ini sentiasa hidup dengan program," katanya.

(Selamat jalan semoga kita jumpa lagi...lambaian dari penduduk pulau Shanghai dari tangga surau baru mereka selepas ditinggalkan rombongan)

Beliau juga berkata, selepas ini surau kedua pula akan dibantu oleh PAS untuk dibina iaitu di Keningau.

"Di sana ada satu kampung yang gereja ada dua buah tetapi tidak ada satu pun surau di situ sedangkan orang Islam ramai," katanya.

Ismail sokong Hanif tidak pulih reputasi panel bebas

Harakahdaily, 14 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mei: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat sokongan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar atas pelantikan Tun Hanif Omar untuk mengetuai panel bebas bagi menyiasat insiden keganasan yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0 tidak mampu menjernihkan keadaan serta meredakan kemarahan rakyat.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, ini kerana rakyat masih melahirkan kesangsian dengan pelantikan Hanif yang menurut mereka adalah hanya ‘melepas batuk di tangga’ bagi mengelakkan lebih banyak prejudis rakyat terhadap kerajaan khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan Bersih 3.0.

“Ramai percaya panel bebas yang diketuai oleh Tun Hanif Omar sebenarnya ‘tidak bebas’ dan akan bersifat berat sebelah,” katanya.

Katanya lagi, umum mengetahui bahawa Haniff adalah bekas Ketua Polis Negara dan panel yang beliau ketuai adalah bagi menyiasat insiden keganasan yang didakwa dilakukan oleh institusi yang pernah diketuainya iaitu polis.

Beliau berkta, adalah sukar untuk dipercayai jika beliau mampu memberikan laporan yang adil dan telus terhadap PDRM.

Malah, ujar beliau Haniff pernah mengeluarkan kenyataan yang mengutuk perhimpunan tersebut dan menyalahkan penganjurannya selepas beberapa hari penganjuran bersih 3.0.

Menurutnya, yang lebih dikesali adalah kerajaan menolak cdaangan supaya dilantik pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyiasat perhimpunan Bersih 3.0.

Bagi DPPM, kata Riduan sebaiknya Ismail menyokong saranan banyak pihak untuk melantik wakil dari PBB menyiasat insiden disebalik perhimpunan Bersih 3.0 kerana ia lebih diyakini dan lebih bebas.

Provokasi Umno di saat akhir

Ahmad Lutfi Othman, 14 Mei 2012
Keriuhan teka-teki tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 kembali bergema. Kali ini, ramai bersetuju bahawa ia hampir pasti diadakan sebelum Ramadan; lebih tepat 9 Jun ini, iaitu penghujung cuti sekolah. Namun, ada pihak melihat tarikh itu tidak sesuai, terutama faktor hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong, yang akan dirayakan pada 2 Jun.

Apa pun, cuti sekolah tidak semestinya menjadi ketetapan untuk mengadakan pilihan raya. Puasa dijangka bermula 21 Julai. Maka, boleh saja Parlimen dibubarkan, sebelum bulan penuh keberkatan itu, selewat-lewatnya pertengahan Jun.

Walaupun ada desakan kuat dan menyeluruh agar tempoh kempen minimum ditentukan 21 hari, tetapi seperti diketahui umum, yang dipersetujui Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) hanya 10 hari.

Dengan itu, jangka masa daripada hari Parlimen dibubarkan hingga tarikh mengundi, tidak akan melebihi sebulan. Gosip terkini: Bubar Parlimen, 14 Mei; penamaan calon, 26 Mei; dan mengundi, 9 Jun.

Jika mahu ditunda lagi melepasi Ramadan, tarikh alternatifnya sama ada sebaik saja Aidilfitri, tetapi sebelum penerbangan pertama haji (tempoh yang dilihat begitu singkat dan mengikat), ataupun selepas rombongan terakhir jemaah haji pulang ke tanahair, iaitu hujung November.

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pernah mengadakan pilihan raya semasa musim haji dan dikritik hebat. Saya kira Najib tentu mahu mengelak sebarang insiden yang boleh mencalarkan imejnya lagi, terutama pada kaca mata masyarakat Melayu.

Sesungguhnya gerak-geri Perdana Menteri Najib Razak diperhatikan secara dekat dan cermat. Diari beliau diamati terutama jadualnya ke luar negara, termasuk menghadiri konvokesyen anaknya.

Pengumuman "durian runtuh" kepada peneroka Felda -- meskipun dipertikai daripada segi amaun, yang dilihat kecil (RM15,000) berbanding sepatutnya RM38,000 seperti kata Husam Musa  -- dianggap membawa petanda pembubaran Parlimen semakin dekat.

Sebelum aroma bantuan one-off hilang serinya, Najib perlu mendapat mandat buat kali pertama daripada rakyat. Beliau cukup menyedari, dibantu informasi perisikan rasmi dan tidak rasmi, majoriti pengundi tidak sabar lagi menunggu kesempatan untuk melakukan perubahan menyeluruh.

Ramai menjangkakan, tidak mustahil Najib mencipta sejarah mengejutkan, malah mampu mengalahkan rekod Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, yang gagal melepasi penggal pertama pemerintahannya.

Najib bakal kecundang dalam pilihan raya pertama yang diterajuinya? Ya, cuba bayangkan situasi itu. Masakan Najib dan konco-konconya sekadar menunggu hukuman rakyat? Sudah pasti tidak.

Segala ikhtiar  dan perancangan (lebih tepat, komplot) diusahakan bagi menyekat kemaraan Pakatan Rakyat. Jika komplot jahat dan licik itu didedahkan, misalnya melalui konspirasi SPR-JPN dalam memanipulasi senarai daftar pemilih, mereka bersikap pekak badak saja. Persetankan!

Meskipun Umno-BN kalah di Kelantan sejak sekian lama, dan pernah tewas di Sabah dan Terengganu, manakala empat tahun lalu lebih buruk lagi dilanda tsunami politik, iaitu kecundang di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang (selain Serambi Makkah), namun ia tetap berkuku di peringkat persekutuan, yang masih memungkinkan untuk terus menguasai sumber dan peluang ekonomi.

Kekalahan itu rupanya tidak pernah menginsafkan pemimpin, aktivis dan penggerak Umno. Mereka mungkin lebih kerap turun ke padang, menyantuni rakyat, mengambil berat keperitan orang ramai, dengan pelbagai slogan menarik, tetapi motif utamanya hanyalah untuk meraih kembali kuasa.

Lagak dan gaya kehidupan mewah pemimpin Umno di negeri-negeri yang mereka kalah ini masih tidak banyak berubah. Benar sekali, rasuah politik dan amalan koprupsi tidak dapat dicerai-tanggal daripada budaya Umno. Ubat mujarab adalah memberikan pengajaran bermakna dengan menyingkirkan Umno-BN dari Putrajaya.

Taliah hayat kini mungkin terputus satu saluran, tetapi jantung masih berdegup. Keghairahan untuk kembali merebut takhta tidak pernah pudar, malah mungkin semakin segar-bugar!


Ingat ucapan popular Najib, yang menggesa ahli-ahli Umno mempertahankan Putrajaya walaupun ke "titisan darah yang terakhir". Bagi saya, frasa itu ia bukan sekadar pembakar semangat, tetapi menyimpan motif tersirat yang menggerunkan.

"Sejak awal merdeka, khususnya di zaman Pemuda Tahan Lasak, gelagat Umno memang dikenali dengan tindakan provokasi yang melampau, terutama sewaktu kempen pilihan raya. Saya bimbang, ketika mereka di ambang kejatuhan, macam-macam perkara buruk boleh dicetuskan Umno," petikan emel yang saya terima daripada pembaca Harakah.

Beliau menambah, parti-parti dalam Pakatan Rakyat terbukti sabar dan reda ditimpa kekalahan. Tiada rusuhan dicatatkan, sebaliknya pemimpin dan ahli-ahlinya tabah melalui siri tribulasi yang memedihkan.

Zaman sudah berubah. Rakyat kian matang dan cerdik. Proses pendemokrasian dan fenomena langit terbuka, serta kemajuan ekonomi dan pertambahan kelas menengah telah mengubah lanskap politik Malaysia.

Umno yang gelisah berdepan kebangkitan rakyat, masih memainkan sentimen dan emosi perkauman (kadang-kadang bersalut agama yang dangkal). Ia akan terperangkap dengan jeratnya sendiri. Aksi ganas menganggu aktiviti Pakatan makin memburukkan lagi imej yang sedia jelik itu.

Umno akan mencuba seribu dalih, termasuk serangan psikologi dan juga fizikal, bagi menghalang peralihan kerajaan dalam PRU13 yang kritikal ini.

Ahli dan penggerak Pakatan tidak harus terjerumus dalam "permainan kotor" Umno itu. Rakyat sedang memerhati, menilai dan menghakimi. Tetap istiqamah dengan strategi dan pendekatan yang telah dirumuskan. Sampaikan maklumat secukupnya ke seluruh pelosok tanahair.

"Parti yang paling kurang melakukan kesilapan akan meraih kemenangan dalam PRU13." Peringatan itu saya kira cukup bermanfaat dalam situasi sekarang.

1511: Nor Yakcop ‘buta pekak’ di Pulau Pinang

Harakahdaily, 14 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mei: Jingga 13 menyelar kenyataan yang amat memalukan dan tidak bertamadun oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamad Yakcop di Tasek Gelugor, Pulau Pinang semalam selepas merasmikan Projek Usahawan Gemilang dengan menyatakan bahawa negara akan kembali ke era tahun 1511, dengan agenda bumiputera tidak lagi diwujudkan, sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum ke 13.


“Jingga 13 benar-benar kesal bagaimana seorang menteri boleh mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan kebodohan, tidak matang, memalukan serta tidak realistik apabila menganggap bahawa negara akan kembali ke zaman feudal pada tahun 1511 jika Pakatan Rakyat memerintah Putrajaya,” kata Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa.

Baginya, Nor Mohamad benar-benar 'buta dan pekak' serta menafikan segala fakta apabila cuba membandingkan bahawa negara akan kembali ke zaman penjajahan sepertimana Francis Light dan Alfonso Albuqaque.

Katanya, sedangkan negeri yang beliau keluarkan kenyataan tersebut iaitu Pulau Pinang di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat yang terbukti mampu mengurus tadbir negeri dengan tersangat baik, malah diakui oleh Laporan Ketua Audit Negara serta memberikan keutamaan kepada Melayu dan bumiputera serta tanpa membelakangi kaum-kaum lain.


Menurut Fariz, kemampuan kerajaan negeri Pakatan Rakyat termasuk Selangor, Kedah dan Kelantan terus membangun dan mampu mengurus tadbir negeri dengan sangat baik dan tidak menjadi keterbelakang malah memberikan keutamaan kepada bumiputera serta lebih mengutamakan ketuanan rakyat.


“Jingga 13 mendesak agar Tan Sri Nor Mohamad Yakcop menjawab melibatkan kes Setiausaha Politik beliau yang dituduh  melibatkan pengubahan wang haram RM2.13 juta,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, adalah amat menghairankan jika beliau yang sebelum ini sebagai Timbalan Menteri Kewangan 2 tidak mengetahui berkaitan aktiviti haram yag dilakukan oleh Setiausaha Politik beliau.


Katanya lagi, kebimbangan dan kerisauan terhadap Pakatan Rakyat yang semakin mendapat sokongan rakyat sehingga menggunakan sentimen perkauman dan mengeluarkan fakta yang terlalu dangkal dan memperlihatkan kebodohan.

Tiada ulasan: