Aku di Mandalay, bersama empat orang lagi seniman dari Malaysia – meskipun salah seorang daripadanya, seniman kelahiran Jerman, warga Amerika hanya berpengkalan di Malaysia. Kami di sini atas kunjungan balas. Pada minggu sebelumnya, lima orang seniman Burma hadir ke Malaysia, melakukan presentasi karya, bengkel dan pertunjukan di tempat awam di Jalan Sultan, Kuala Lumpur.

Acara ini dianjurkan oleh Beyond Pressure - sebuah organisasi seni pertunjukan di Yangon -  bersama Buka Kolektif (penganjur Buka Festival, KL) dan Findars Art Space (Ruangan Kendalian Seniman Visual) serta disokong oleh Sekeping Tenggiri (KL). Melalui Beyond Pressure, program ini mendapat dana Open Society Institute.

Kami sedang melakukan sebuah projek seni dengan nama Open Relations In A Time of Transition, suatu program pertukaran kesenian di antara dua buah negara dalam peralihan ini.

Jam kira-kira 8.30 pagi Khamis 24 Mei 2012. Aku sedang melakukan seni pertunjukan berjangka panjang (durational performance), sebuah pertunjukan dengan judul Dedication To The Four Master of Umbrella  – cerita kewujudan cahaya, kerterkaitannya dengan api, pada lampu pelita. Tindakan gerak tubuhku agak statik, aku berdiri, di tebing sungai Irawaddy, di belakangku tembok kota kuno Istana Manadalay.

NONEDi tangan kiriku memegang lampu pelita minyak tanah dan di tangan kananku memegang payung yang terbuka, memayungi sebuah kerusi. Aku cuba untuk berada wujud dalam keadaan itu sepanjang acara pertunjukan ini yang melibatkan para seniman Malaysia dan Burma. Aku memulakan acara sebagai peserta pertama, diikuti dengan pertunjukan dari Lwin Maung, seniman muda dari Yangon, Burma, yang memberikan wisel atau terompet anak-anak kecil yang dibuat daripada straw plastik yang digunting, bila dihembus, menghasilkan
bunyi seakan-akan, “perettt, pettt!”.

Kehadiran khalayak yang ramai, menambah kegembiraan suasana apabila mereka merespon dengan meniup terompet plastik itu. Selanjutnya, Pengetua Alin Dagar Art School, Suu Myint Thein, melakukan pertunjukannya, dengan membawa lampu suluh dan memegang penyapu. Sambil menyuluh dia menyapu permukaan kaki lima di pinggir tebing sungai.

Suu pernah menjadi tenaga pengajar di State School of Fine Art, Mandalay di antara 1995-2008, sebelum menubuhkan sekolah seninya sendiri. Karya-karya seninya meliputi penciptaan lukisan, arca, instalasi dan seni pertunjukan. Karya-karya arcanya pernah dilarang junta tentera daripada dipamerkan.

Badan terikat pada kerusi

Selanjutnya, giliran Aung Myat Htay membuat persembahan. Aung, seniman visual ternama, yang mana pameran solonya pada 2010, dengan judul The Stories (Lantern), berlangsung di muzium seni berprestij Fukuoka Asian Art Museum, Jepun. Dia memberikan kaca mata berbingkai kertas. Warna bingkainya putih, manakala plastik – bukan kaca – mata itu ada bermacam-macam warna.

NONEKhalayak ikut terlibat dalam pertunjukan ini apabila warna pandangan mereka diubah dengan memakai spek mata yang diberikan Aung. Spek mata itu pula tidak seragam, sebaliknya bercitra warna-warninya.

Maung Ni Oo, penyair dan penulis seni daripada generasi 88, kemudiannya meletakkan sebuah kerusi kayu, duduk dan mengikat dirinya dengan tali temali yang terikat dengan loceng, dia

membacakan puisinya dalam bahasa Burma, pendek, kemudian menyumbatkan bulp lampu yang di tampal pita pelekat berwarna merah ke dalam mulutnya.

Dia bergerak-gerak menggerakkan badannya yang terikat dengan kerusi, berulang-ulang kali, sehingga ia bergerak dalam jarak kira-kira tujuh meter, dan pertunjukannya pun tamat.

Moe Satt mewakili seniman muda kontemporari Burma hari ini. Lahir pada 20 Julai 1983 di Yangon, Burma. Dia merupakan seniman visual dan pertunjukan, yang terkenal di seluruh litar festival  performance art dunia, juga bertanggungjawab menubuh dan menganjurkan festival antarabangsa Beyond Pressure secara tahunan di Yangon, Burma. Malah, untuk tahun ini, Moe merupakan salah seorang kurator undangan di Bhusan Bienalle.

Lengkap, berpakaian tradisional, Moe Satt memulakan permainan interaktif dengan khalayak, suatu pertunjukan ucapan lisan dan gerak. Dengan kapur dia menulis di lantai kaki lima jalan huruf M-Y-A-N-M-A-R. Daripada huruf-huruf itu, orang ramai di minta memberikan makna daripada huruf itu, dan Moe Satt akan menulisnya dengan kapur, menyambungkan tulisan awalnya tadi. Misalnya huruf M untuk Mandalay.

Reza Mukmin (seniman muda Malaysia) pula menyarung kain Long YI (ala kain pelikat) ke dalam kepalanya, mengikat, kemudian bergelut cuba untuk keluar daripada sarungannya sendiri itu. Pendek durasi masanya, tapi mantap dan cukup padat, sepadat pergelutannya sendiri.

Polis datang


Sementara pertunjukan-pertunjukan ini berlangsung, aku masih tercegat berdiri dalam posisi di tangan kini memegang pelita dan di tangan kanan memegang payung, di hadapanku kerusi yang telah direspon khalayak, mereka bersilih ganti duduk di atas kerusi itu. Sudah hampir sejam rasanya acara berlangsung. Tiba-tiba, seniman dan salah seorang penganjur, Suu Myint Thein datang mendekatiku, “Rahmat, you should stop your performance, the police already came” (Rahmat, anda perlu hentikan persembahan anda, polis sudah sampai). Dengan penuh taat, seperti saranan seorang guru, aku menurutinya, memahami keadaan situasi.

NONEManakala Chelsea Heike pula, menggunakan tikar untuk menyelubungi dirinya, kemudian terus berguling-guling sepanjang kaki lima jalan, sehinggalah Moe Satt membawa pesan kedatangan anggota polis. Chelsea Heike, seniman kelahiran Jerman, warga Amerika Syarikat, kini berkesenian di Malaysia, hadir bersama anak kecil perempuannya, Kalillah yang berusia kurang dua tahun.

Ketiga-tiga penganjur, Moe Satt, Maung Ni Oo, Suu Myint Thein terus ditahan dan dibawa ke balai dengan kenderaan polis. Kesemua seniman yang tertinggal, kemudiannya mengambil keputusan berehat. Kami sempat minum jus mangga di warung kaki lima menghadap istana Mandalay.

Kemudian datang lagi anggota polis, dengan kenderaan sewa kami sendiri, kami diiringi anggota polis ke balai polis daerah Mandalay. Di sana, kami dibawa masuk ke pejabat ketua balai. Kesemua pasport kami diminta. Kemudian kami ditanya tentang makna seni pertunjukan kami. Mereka bertanya, apa makna pertunjukan aku yang membawa lampu pelita itu.

“Lampu pelita yang hadirnya dalam kegelapan cukup terang menyuluhi penglihatan mata. Manakala di saat kewujudan jutaan lampu-lampu neon elektrik, atau di saat matahari memancar, sinar lampu pelita tidak bermakna apa-apa.” Begitu ku jelaskan, dengan dibantu Moe Satt sebagai penterjemah, menjawab soalan pegawai polis yang menyiasat. Malah aku turut menambah rujukanku kepada mereka berkenaan sejarah pelita daripada mitologi Greek, Hermit (Pendita).

Mereka cuba mengaitkan pertunjukan-pertunjukan kami dengan protes cahaya yang mula merebak ke seluruh Burma. Pada hari
pertama kami menjejakkan kaki ke Mandalay, tanggal 21 Mei, di sebelah malamnya berlangsung protes besar-besaran menuntut hak kemudahan asas bekalan elektrik.

Bekalan elektrik sering terputus dan tenaga elektrik belum lagi menjadi tenaga dominan menggerakkan teknologi dan penghidupan rakyat Burma hari ini. Selanjutnya, keesokan harinya, protes yang sama mula merebak ke Yangon dan kota-kota lainnya. Waktu itu, beberapa orang aktivis telah ditahan.

Bilik ketua polis

Kemudian, kami dibawa ke ibu pejabat polis negeri Mandalay pula. Kami ditempatkan di dalam sebuah bilik mesyuarat di bangunan dua tingkat pejabat polis itu. Meski bertingkap, tetapi bahang cuaca Mandalay yang panas menyebabkan kami cepat kering dan dahaga. Anak kecil Chelsea, mula mendapat ruam dan menangis.

Kami dibiarkan menunggu di dalam bilik itu, tanpa diberitahu apa sebabnya kami perlu berada di situ. Sementara itu, tiga penganjur sedang disoal siasat di bilik Ketua Polis Mandalay. Pasukan Imigresen juga telah tiba. Kami kemudiannya diarahkan mengisi borang mengandungi maklumat diri dan dokumen perjalanan, nombor pasport, jantina, tempat pasport dikeluarkan, alamat dan lain-lain lagi.

Seterusnya, kami dipanggil seorang demi seorang ke dalam bilik ketua polis. Moe Satt bertindak sebagai penterjemah. Di dalam kamar. Aku dikelilingi ramai pegawai seragam polis dan imigresen. Mereka mengambil fotoku, dan bertanyakan sekali lagi makna pertunjukanku.

Setelah beberapa jam ditahan, kami pun dibebaskan pada sebelah petangnya, dan pasport kami dipulangkan. Mengikut jadual penerbangan, kami memang akan balik ke Malaysia pada Sabtu 12 tengahari, penerbangan pesawat MAS MH741 ke KLIA. Kami juga telah membeli tiket pulang ke Yangon dari Mandalay, bertolak jam 9.30 malam.

NONEPada hari Jumaat, 25 Mei 2012, seharian kami berjalan ke luar kota Mandalay, ke pagoda-pagoda dan kuil-kuil kuno. Sewaktu kami di sebuah binaan kuno bernama Pagoda Tujuh Petala Langit dan Laut, pasukan imigresen tiba. Kami disuruh pulang segera ke hotel, diiringi pasukan imigresen ini. Setibanya di hotel, anggota imigresen dan polis telah ramai.

Para seniman Malaysia, diberitahu bahawa kami dideportasi – dihalau keluar dari Burma! Kami menaiki van yang disewa khas oleh pihak imigresen, meski disewa khas, ia tanpa penghawa dingin.

Perjalanan antara Mandalay ke Yangon, yang biasanya mengambil masa lapan hingga 10 jam, menjadi 12 jam. Kami bertolak sekitar jam 4 petang. Perlahan dan lama pula berhentinya. Sementara para seniman Burma yang di Mandalay tadi pula diiringi anggota polis ke stesen bas untuk menaiki bas jam 9.30 malam ke Yangon. Kami dipisahkan. Cuma Moe Satt sahaja yang dibenarkan mengikut kami kerana dia bertindak sebagai penterjemah.

Pasport bercop deportee


Kami tiba di Yangon, pada kira-kira jam 4 pagi. Permintaan untuk penginapan hotel ditolak para pegawai pengiring. Kemudian kami dibawa bersarapan dekat dengan lapangan terbang Yangon. Seterusnya, selesai bersarapan di warung, kami dibawa ke daerah berdekatan lapangan terbang, ke sebuah kampung, ke sebuah pejabat yang tidak tahu di mana letak duduknya.

Kami disuruh menunggu di situ sehinggalah sampai waktu check in, jam 10 pagi nanti. Kami tidak diberikan makan dan minum, tetapi dibenarkan pergi ke warung berseberangan pejabat imigresen tersebut. Kami juga tidak dibenarkan menggunakan tandas untuk mandi.

Kalillah, anak Chelsea mula meragam dan badannya meruam. Pihak berkuasa tidak mahu kami, seniman Malaysia, menemui para seniman dan wartawan di Yangon. Wong Eng Leong dan Kyl Mohammad, dua orang seniman Malaysia yang hadir tetapi tidak membuat pertunjukan, turut dideportasi. Malah pihak polis dan imigresen mengarahkan mereka memadamkan gambar, foto atau video yang dirakamkan mereka.

Jam 10 pagi, kami dibawa ke lapangan terbang yang jaraknya kira-kira 15 minit sahaja dari tempat ‘rehat’ (atau tahanan) kami tadi. Sampai di pintu masuk, kami cuma sempat bersalaman dengan para seniman Burma yang ikut hadir ke lapangan terbang, Ma Ei, Nge Lay, Suu Myint Thein dan Aung Myat Htay.

Moe Satt hanya mengiringi kami sehingga ke pintu imigresen. Kami pun berpisah. Sementara pasport kami, masih dipegang pihak berkuasa Myanmar. Masuk ke kapal terbang, kakitangan MAS pula yang memegang pasport kami. Sampai di KLIA, pasport kami masih dipegang kakitangan MAS di kaunter MAS, KLIA.

Setelah bertengkar dan marah-marah, akhirnya pasport kami diberikan. Hujah kami, jikalau mahu memegang pasport setelah sampai ke KLIA, yang berkuasa melakukannya ialah pegawai

imigresen dan polis Malaysia, bukan kakitangan MAS yang berlagak menjadi seperti agen junta Myanmar!

Kami seniman Malaysia, telah selamat. Malah berbangga, kerana seperti pelakon The Lady, Michelle Yeoh, pasport kami juga bercop deportee. Besok tanggal 30 Mei 2012, seniman/penganjur Moe Satt, Maung Ni Oo, Suu Myint Thint dan seniman Burma  Aung Myat Htay dan Lwin Maung, akan dihadapkan ke mahkamah kerana menganjurkan

acara seni pertunjukan (public performance art) tanpa kebenaran pihak berkuasa menurut undang-undang No. 11, Akta Polis Myanmar.

Jika sabit kesalahan ia boleh membawa hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali, maksimum tiga tahun penjara.

Burma merdeka yang demokratik daripada cengkaman kuku besi, masih lagi jauh kelihatannya. Inilah musim peralihan, kering tandus, musim panas kegersangan. Rejim transisi tidak boleh berpatah balik, Aung San Suu Kyi perlu terus maju, generasi kebangkitan mahasiswa tahun 88 meski menongkah arus musim hujan dan bertahan dalam hembusan angin musim dingin.
PM bentang bajet 28 September
4:01PM Mei 29 2012  
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa Bajet 2013 akan dibentangkan pada 28 September.
Najib yang juga menteri kewangan berkata Belanjawan 2013 akan memberi tumpuan terhadap pertumbuhan seimbang dan berkualiti selain kebajikan rakyat.

NONE"Hari ini saya di sini untuk mendengar pandangan dan saranan anda terhadap isu-isu yang kita hadapi.
   
"Dalam perundingan Belanjawan, kita menerima 84 memorandum. Cadangan anda akan ditimbangkan sebagai input untuk Belanjawan 2013," kata Najib di Majlis Konsultasi Belanjawan 2013 yang dihadiri oleh semua pemegang kepentingan di Putrajaya hari ini.
   
Perdana Menteri yang mempengerusikan sesi itu, berkata tema Perundingan Belanjawan 2013 ialah Memacu Transformasi Ke Arah Negara Maju.
"Malaysia kini dalam tahun ketiga perjalanan ke arah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.
   
"Banyak yang sudah kita capai dalam tempoh yang singkat ini. Bagaimanapun, masih banyak yang mesti dilakukan," katanya.

Sementara itu, perdana menteri berkata kerajaan perlu menyediakan peluang saksama untuk pendidikan dan pekerjaan selain memastikan kualiti hidup rakyat yang lebih tinggi.
   
Beliau berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi bagi mengukuhkan daya saing untuk bersaing dalam pasaran global.
   
Perdana menteri juga memberi jaminan bahawa penyepaduan fiskal berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana sekitar tiga peratus menjelang 2015.    
"Saya menyedari mengenai kebimbangan terhadap pengurusan fiskal kita. Kami terus komited untuk mengukuhkan kewangan awam.
   
"Mengekalkan momentum pertumbuhan ketika wujud cabaran luar merupakan keutamaan, namun ia akan dilakukan dengan penuh tanggungjawab," kata perdana menteri.
   
Najib berkata beberapa inisiatif sedang dilaksanakan dalam regim perbelanjaan selain usaha untuk meningkatkan kutipan perolehan.
   
Beliau berkata pengurusan nilai telah dilaksanakan untuk projek-projek pembangunan melebihi RM50 juta manakala belanjawan pusingan dua tahun, yang diperkenal tahun lepas, menyediakan pengurusan perbelanjaan anjal.
   
"Selain itu Kajian Perbelanjaan Awam dilaksanakan dengan bantuan Bank Dunia dan kerajaan bertindak atas cadangan. Kita juga sudah membentuk jawatankuasa di Perbendaharaan untuk mengkaji isu-isu fiskal berkekalan jangka panjang," katanya.
- Bernama
Shafie: Biarlah RCI siasat isu imigran Sabah
  • S Pathmawathy
  • 7:48PM Mei 29 2012
 
Naib presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal berkata dakwaan berhubung usaha memberi kerakyatan kepada warga asing di Sabah untuk membolehkan golongan itu mengundi perlu disiasat oleh Suruhanjaya Diraja (RCI).

MP Semporna itu berkata, satu mekanisme kawalan diperlukan untuk membendung masalah itu.

"Biarlah mereka (RCI) siasat. Ianya (kuasa) perdana menteri untuk buat pengumuman," tegasnya ketika ditanya mengenai usaha berkenaan yang masing belum dijalankan hingga kini.

Pusat kajian bebas Merdeka Centre minggu lalu mendedahkan bahawa 79 peratus daripada 1,019 responden menyokong untuk mengadakan siasatan tersebut.

"Jika RCI baik untuk negara, kenapa tidak? Tiada sesiapa pun di mana-mana negara yang mahu warga asing di negara mereka," katanya yang turut membangkitkan isu lanun di kawasan yang diwakilinya.

Usaha untuk mengadakan siasatan tersebut diluluskan kabinet pada Februari namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih belum membuat pengumuman rasmi mengenainya.
Legenda rock Amy Search sertai Umno
7:23PM Mei 29 2012  
Legenda rock tanah air, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abd Rahman, menyertai Umno kerana yakin perpaduan orang Melayu hanya mampu dikekalkan jika parti itu terus mentadbir negara.

"Hanya Umno sahaja yang mampu membuat rakyat kembali bersatu. Saya lihat Umno merupakan sebuah parti yang mampu menjamin masa depan negara dan rakyat melalui segala usaha yang dilakukan pemimpin-pemimpinnya," kata Amy, 54, kepada pemberita selepas menyerahkan borang keanggotaan menyertai Umno bersama Mus May atau Mustaffa Din dan Ibnor Riza Ibrahim di ibu pejabat Umno di ibu negara hari ini.

Ditanya tindakan sesetengah artis menyertai PAS atas alasan agama, beliau berkata Umno juga memperjuangkan agama dengan cara lebih baik dan tidak terlalu ekstrem.

"Bagi saya, jika nak perjuangkan agama tidak semestinya menyertai PAS. Umno juga memperjuangkan agama, dan dalam pentadbiran, Umno juga tidak mengetepikan golongan ulamak. Jika nak perjuangkan agama, bagi saya tidak semestinya sokong parti yang ahlinya berjubah sahaja," katanya.

Sementara itu, Mus, 44, berkata beliau menyertai Umno selepas menyedari hanya parti itu mampu memberikan yang terbaik untuk negara selama ia memerintah.

"Umno sudah matang dan sudah lama memerintah negara... Sudah banyak yang dilakukan kerajaan bagi menjaga dan memberi keselesaan kepada rakyat Malaysia,"katanya.

Bagi Ibnor Riza, 51, beliau telah lama bercadang untuk menyertai Umno setelah sedar akan kemampuan parti itu dalam memberi masa depan yang cerah, khususnya kepada pembangunan negara.

Borang mereka diterima Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh, dan ketiga-tiga artis akan menjadi anggota Umno Cawangan Dataran Merdeka dalam bahagian Bukit Bintang.

Ab Rauf berkata Umno sentiasa menyokong langkah penggiat seni tanah air menyertai parti itu, dan mereka boleh bertindak sebagai duta Umno.

"Penggiat seni tanah air yang menyertai Umno ini saya lihat akan menjadi duta kepada Umno dalam menarik minat masyarakat di luar sana untuk masuk ke dalam keluarga Umno," katanya.

Kini terdapat 43 anggota Umno Cawangan Dataran Merdeka dalam Bahagian Bukit Bintang yang terdiri daripada artis, antaranya Tan Sri Jins Shamsudin dan Jamal Abdillah.

-Bernama
Amcham: Perhimpunan BERSIH tidak jejas pelaburan
  • Aidila Razak
  • 6:53PM Mei 29 2012
 
Dewan Perniagaan Amerika (Amcham) tidak melihat sebarang impak ke atas sentimen pelabur di kalangan ahlinya selepas siri perhimpunan BERSIH dijalankan.
NONE
Gabenor Amcham, Wong Siew Hai (kanan) berkata kajian oleh Malaysian American Electronics Industry malah mendapati pelaburan meningkat sejak tahun lalu.

Beliau berpendapat bahawa perhimpunan berkenaan tidak memberikan impak dan kebanyakan syarikat anggotanya semakin berkembang.

Pelabur hanya "memerhati dari sisi" namun dijangka tidak mengurangkan pelaburan mereka, katanya kepada pemberita di persidangan Invest Malaysia 2012 di Kuala Lumpur hari ini.

Ada di kalangan syarikat berkenaan turut membuka pejabat serantau mereka di sini, katanya lagi.
JAIS serbu pejabat penerbit buku Irshad Manji
  • S Pathmawathy
  • 12:04PM Mei 29 2012
 
Jabatan Agama Islam Selangor hari ini menyerbu pejabat syarikat ZI Publications yang menerbitkan buku Allah, Kebebasan dan Cinta oleh penulis kontroversi Irshad Manji.

Pengarah syarikat terebut, Ezra Zaid dalam tulisan di Twitter berkata pasukan 20 orang penguatkuasa itu turut merampas 180 naskhah buku dalam serbuan di Merchant Square, Petaling Jaya.
NONEOperasi itu dibuat mengikut Seksyen 16(1)(a) atau (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor berhubung "kesalahan penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak" mengikut waran geledah yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam semalam.
Penguatkuasa berkenaan turut mengheret anak lelaki kepada presiden parti KITA itu ke mahkamah berkenaan petang ini.
Ketika dihubungi, peguam Nizam Bashir berkata Ezra kemudiannya dibebaskan petang ini selepas dikenakan jaminan RM1,800, walau tidak dikenakan sebarang dakwaan. JAIS bertindak demikian mengikut Seksyen 22(5) Enakmen Prosedur Jenayah Syariah Selangor, katanya.
Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengharamkan penerbitan buku berkenaan dan juga versi bahasa Inggerisnya Allah, Liberty and Love kerana mengelirukan orang awam dan menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan hadis.
Perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 kerana kandungannya "boleh menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam."
Kerajaan turut mengharamkan buku Irshad bertajuk The Trouble With Islam Today pada 2009.
Tolak debat perbuatan 'lemah jiwa', kata exco Pemuda Umno
  • Abdul Rahim Sabri
  • 12:23PM Mei 29 2012
 
Exco Pemuda Umno Datuk Muhd Khairun Che Aseh menyifatkan Hiu Woong Sin - individu yang mengganggu ucapan perdana menteri di London baru-baru ini - sebagai "lemah jiwa" kerana menolak cabaran debat dengan pergerakan itu.

NONE"Rupanya tuan tidak seperti raja pahlawan. Oleh itu, saya menyerah kepada rakyat untuk membuat penilaian terhadap beliau," katanya.
Beliau juga menyifatkan tindakan Hiu itu sebagai "(ayam) berkokok di luar gelanggang, tiba di tengah menyusup di celah kelangkang."

Sebelum ini pihaknya telah mengutus surat kepada Hiu untuk berdebat melalui Kelab Umno di London.

Kemudian, pemuda itu membalas dalam laman sosial Facebooknya bahawa beliau sedia berdebat dengan Pemuda.

Bagaimanapun Hiu kemudiannya menolak cadangan untuk berdebat, seperti dalam satu surat kepada pengarang Malaysiakini pada 25 Mei.
"Dalam surat tersebut mesejnya sangat pendek sebenarnya. Beliau tidak sanggup berdebat atau menerima pelawaan saya.
"Oleh yang demikian, kita hormat ketidaksanggupan beliau," kata Muhd Khairun dalam sidang media.

NONEMuhd Khairun berkata pintu berdebat itu bagaimanapun sudah tertutup dan Pemuda tidak akan mengulangi tawaran itu kepadanya, jika Hiu mengubah fikirannya.

"Kita rasa tempoh tujuh hari sudah cukup (untuk beliau berfikir)," katanya sambil menambah surat tawaran itu dihantar kepada Hiu pada 18 Mei lalu.

Mengulas lanjut tindakan Hiu yang mengganggu ucapan Najib itu, Muhd Khairun berkata isu kebebasan bersuara juga "mempunyai had."
Beliau mengemukakan contoh pada 2006, bekas Presiden China Hu Jintao diganggu oleh seorang individu sewaktu menyampaikan ucapan di Amerika Syarikat.

"Individu itu ditahan dan dituduh... Perlakuan menganggu ucapan bukan dalam perimeter kebebasan bersuara," kata Muhd Khairun.

Muhd Khairun turut mengulas satu kenyataan Hiu di Facebook yang menggelar sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebagai "pengikut setia (lap dog)" Pemuda Umno kerana menyiarkan cabaran debat itu.
Katanya, beliau berasa sedih dengan tindakan itu kerana berpendapat, gelaran "lap dog" dalam tulisan pada 18 Mei itu bermaksud "anjing."
Ketika ditanya, Muhd Khairun berkata beliau tidak akan mengambil apa-apa tindakan atas gelaran tersebut.
"Tidak, tidak... Kita nak tegaskan kepada beliau, apa yang dilakukan tidak sesuai dengan menggelarkan The Star sebagai anjing," katanya.
Dalam tulisan di Facebook itu, Hiu berkata: "Umno melalui pengikut setianya The Star, mencabar saya untuk berdebat dengan mereka, mereka kata satu surat akan dihantar kepada mereka dan saya mesti menjawab dalam (tempoh) tujuh hari. Saya beritahu mereka saya sudahpun bersedia sekarang."