Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini menolak dakwaan Umno Lembah Pantai bahawa PKR memulakan provokasi sewaktu kejadian baling batu dan telur pada ceramah berkembar di Pantai Dalam Khamis lalu.

"Saya nak tanya dua jam lebih Ummi Hafilda dan penceramah lain keluar kata-kata kesat kepada Anwar, kami tak buat apa-apa.

"Itu pun, on record, kita minta semua bersabar," kata naib presiden PKR itu.

Menurutnya, bukti terbaik yang akan menjelaskan kejadian sebenar pada malam itu adalah rakaman video yang dibuat wartawan portal berita yang membuat liputan ceramah itu.

"Bukti terbaik adalah video rakaman," katanya.

Ketua Pemuda Umno Lembah Pantai Mohamad Sazali Kamilan pagi tadi mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat provokasi menyebabkan berlakunya ketegangan dan kecederaan dalam insiden itu.

Beliau mendakwa, Anwar pada malam itu mengeluarkan kenyataan berbunyi: "Pemuda Umno sial, Pemuda Umno celaka".

Nurul Izzah berkata, tindakan Umno Lembah Pantai yang tidak menafikan insiden itu dan hanya menuding jari kepada Anwar merupakan "pengakuan" mereka memang terlibat.

Katanya, Ketua Umno bahagian Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin juga tidak tampil menafikannya.

"Jadi saya anggap itu merupakan satu pengakuan," kata Izzah lagi.

Beliau membuat kenyataan itu selepas menemani mangsa yang terkena balingan objek keras di kepala pada malam ceramah, Raja Ismail Raja Din, 60, membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Pantai dekat ibu negara.

Ahli PKR Petaling Jaya Selatan itu mendakwa beliau terasa dilastik berulang-kali dengan objek dipercayai besi gegalas (bearing) pada malam kejadian.

Turut menemani Raja Ismail membuat laporan tengah hari tadi ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Talha.
Asrul tersentuh dengan pembaca, KM

  • Susan Loone
  • 2:07PM Mei 26 2012
Pembaca Malaysiakini dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng nyata tersentuh dengan keberanian dan keazaman Asrul Wadi Ahmad yang mahu terus berjuang untuk pilihan raya bersih dan adil.

Asrul, peserta BERSIH yang mungkin buta sebelah mata akibat terkena kanister gas pemedih mata dalam perhimpunan di Kuala Lumpur pada 28 April lalu, berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang membantunya.

Lelaki 26 tahun itu berkata, sifat murah hati dan sokongan awam akan memberikan motivasi padanya untuk berjuang ke arah Malaysia yang lebih baik.

"Jutaan terima kasih kepada semua pihak atas sikap ambil berat dan sumbangan rakyat Malaysia tidak mengira kaum dan bangsa," katanya kepada Malaysiakini.
Umno: Anwar provokasi insiden Lembah Pantai

  • Nigel Aw
  • 12:56PM Mei 26 2012
Umno Lembah Pantai hari ini mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanggungjawab membuat provokasi menyebabkan berlakunya ketegangan dan kecederaan dalam ceramah Pakatan Rakyat kelmarin.

Ketua Pemuda Umno bahagian itu Mohamad Sazali Kamilan mendakwa, Anwar pada malam itu mengeluarkan kenyataan berbunyi: "Pemuda Umno sial, Pemuda Umno celaka".

Dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Mohamad Sazali berkata, daripada ucapan itu boleh dijangkakan apa yang bakal terjadi.

Dalam ceramah di Pantai Dalam malam tadi, seorang warga emas dan kanak-kanak 12 tahun cedera terkena balingan batu daripada kawasan ceramah Umno yang hanya beberapa meter sahaja dari ceramah PKR.
Penganjur acara Merlimau lapor polis di KL

  • Aidila Razak
  • 1:54PM Mei 26 2012
Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Melaka Rajah Shanmugam hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Bandar, Kuala Lumpur berhubung kekecohan Sabtu lalu dalam acara mereka di Merlimau.

Rajah berkata, laporan itu dibuat di ibu negara kerana beliau tidak percaya pada polis setempat.

Beliau juga secara sinis berkata polis Merlimau dan Umno seperti saudara.

Dalam laporannya, Rajah berkata, demonstrasi oleh Umno tempatan dan cawangan PERKASA menentang rancangan penganjuran majlis minum petang bersama Pengerusi Bersama BERSIH S Ambiga melanggar Akta Perhimpunan Aman.

Rajah yang juga seorang peguam berkata, peserta mencabuli Seksyen 4 akta itu, yang antara lain melarang demonstrasi jalanan.
Exco: Batu dan telur idea p'raya bebas Najib?
4:28PM Mei 26 2012
Exco Selangor Teresa Kok mempersoalkan tindakan perdana menteri berdiam diri terhadap "serangan ganas" terhadap ceramah Pakatan Rakyat akhir-akhir ini sebagai idea sederhana yang dipromosikannya.

Anggota Dewan Undangan Negeri Seputeh itu berkata, rakyat Malaysia tidak syak lagi hidup dalam ketakutan dan malu akibat insiden itu.

"Adakah ini konsep 1Malaysia yang dikempen oleh kerajaan? Inikah Pergerakan Global untuk Kesederhanaan yang dipromosikan perdana menteri?

"Inikah maksudnya pilihan raya bebas dan adil," soal Teresa merujuk kepada pelbagai insiden dalam ceramah Pakatan termasuk di Merlimau, Lembah Pantai, Bangi and Kuala Kangsar dalam masa terdekat.

Sementara itu, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan pula berkata, insiden keganasan, terutamanya di Lembah Pantai amat dikesali, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku dalam kawasan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

"Insiden ini juga memperlihatkan seolah-olah ada pihak merasa amat cemas dengan kebangkitan rakyat dan gerun mendengar pendedahan demi pendedahan mengenai skandal pemimpin-pemimpin Umno yang semakin terbongkar," kata timbalan ketuanya Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.
'Kenapa polis serbu pekerja asing waktu gaji?'

  • Hazlan Zakaria
  • 11:16AM Mei 26 2012
Sekumpulan pekerja Burma menyatakan perasaan tidak puas hati dengan serbuan polis dan imigresen ke setinggan mereka di Kajang yang menyaksikan 31 telefon bimbit dan wang tunai RM11,000 dirampas.

Di samping itu, 14 orang turut ditahan.

Menurut pekerja, lebih 40 anggota polis dan 15 pegawai imigresen tiba dalam dua trak dan kereta peronda di rumah mereka di Kampung Baru Balakong pada awal pagi Sabtu.

Serbuan pada jam 1 pagi itu berlaku sejurus selepas hari gaji untuk hampir 200 pekerja Burma di kilang berdekatan.

"Saya percaya mereka memerhati dan tahu bahawa ia hari gaji kepada pekerja," kata Father George Harrison yang mewakili pekerja asing itu.

Pembantu jemaah paderi itu memberitahu Malaysiakini bahwa kesemua rakyat Burma itu mempunyai permit kerja yang sah dan dokumennya tersimpan dengan baik.