Ahli Parlimen Tangga Batu Datuk Idris Haron tampil membela Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam kontroversi membabitkan perkahwinan anak lelaki beliau di Melaka baru-baru ini.

Menurutnya, Ali dikenali rakyat sebagai pemimpin yang akan memenuhi setiap jemputan rakyat baik majlis kahwin atau kematian.

Justeru, penganjuran majlis kahwin anak lelaki Ali dengan kehadiran ramai rakyat adalah sebahagian daripada amalan ketua menteri itu yang akrab dengan rakyat.

NONE"KBSM - kahwin, bersalin, sakit, mati - telah menjadi darah daging Ali Rustam.

"Dia tidak melakukannya hanya kerana politik, tidak seperti sesetengah pemimpin yang letak sejadah di bahu untuk menunjuk-nunjuk yang dia akan bersolat jenazah sedangkan umum tahu yang solat jenazah tak perlu sejadah pun," kata Idris kepada Malaysiakini.

Idris juga tidak terkejut dengan kesudian ramai tetamu ke majlis tersebut kerana menurutnya Ali Rustam sendiri pernah memenuhi 23 undangan kenduri kahwin rakyat dalam masa sehari.

"Dalam adat Melayu Melaka, adalah wajib memenuhi undangan dan apabila orang hadir ke majlis kita dan menyumbang, itu diistilahkan 'menanam'.

"Kita wajib membalasnya apabila tiba masa mereka mengundang kita pula. Jika orang tak minat, jemput sejuta orang pun tetamu tak datang.

"Saya tidak lihat majlis ini sebagai kontroversi tetapi kebahagiaan antara pemimpin dan rakyat atas ikatan tulen yang dibina sekian lamanya," katanya.

Umno Cheras: Mereka tak faham adat Melayu
Sementara itu, Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang kebiasaanya dilihat berani mengkritik Umno dari dalam turut mengambil pendirian mempertahankan Ali.

NONEMenurutnya isu itu dipolitikkan DAP Melaka yang tidak faham adab Melayu yang tidak mempersoalkan majlis perkahwinan terutamanya jumlah tetamu atau perbelanjaan.

"Yang peliknya pemimpin bukan Melayu seperti DAP yang suka buat isu.

"Pembangkang akan bangkang dan politikkan apa-apa sahaja isu jika babitkan pemimpin Melayu untuk alih sokongan rakyat," katanya.

Setiausaha DAP Melaka, Khoo Poay Tiong merangkap ADUN Ayer Keroh sebelum ini menggesa Ali Rustam mendedahkan perbelanjaan majlis kahwin anaknya yang dihadiri lebih 100,000 tetamu.

Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin turut membuat laporan SPRM Melaka dan membangkitkan kemampuan Mohd Ali menganjurkan majlis tersebut.
Rekod kenduri kahwin terbesar kekal
  • Koh Jun Lin
  • 11:13AM Okt 6 2012
 
Walaupun dihurung kontroversi, rekod kehadiran teramai ke kenduri kahwin anak Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam akan tetap kekal dalam Malaysia Book of Records (MBR).

"Apa yang penting bagi MBR, kami tetapkan kaedah dan peraturannya dan mereka memenuhinya.

NONE"Berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), saya tidak boleh komen apa-apa," kata jurucakap MBR kepada Malaysiakini ketika ditanya sama ada siasatan itu akan menjejaskan rekod yang dicipta.

Menurutnya MBR lagi, penganjur berjaya membuktikan jumlah kehadiran tetamu, termasuk memberikan senarainya.

Perkahwinan anak sulung ketua menteri Mohd Ridhwan Ali dengan pasangannya Nur Azieha Mohd Ali pada 30 September lalu dikatakan dihadiri seramai 130,000 tetamu, yang membolehkannya direkodkan dalam MBR.
Sangat kaya dianggap rasuah?
  • Aidila Razak
  • 6:49PM Okt 6 2012
 
Patutkah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dipinda supaya pihak yang sangat kaya diminta membuktikan kekayaan mereka?

Perkara ini dicadangkan oleh Ketua Transparency International Malaysia Paul Low bagi menangani kelemahan undang-undang yang menyebabkan SPRM terhalang dalam siasatan rasuah melibatkan pemimpin politik.

NONE"Mungkin apa yang terhadap dalam Seksyen 114A Akta Keterangan patut diguna pakai juga dalam Akta SPRM, yang menyebut pihak berkuasa boleh memaksa pihak yang memiliki jumlah kekayaan tidak dapat dijelaskan menunjukkan bagaimana ia diperoleh," katanya ketika dihubungi.

Low (kanan) memberikan contoh kes yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Syariah melibatkan anak ketua menteri Sarawak Mahmud Abu Bekir Abdul Taib dan bekas isterinya Shahnaz Abdul Majid.

Shahnaz menuntut mutaah RM400 juta dan aset bersama hasil daripada 19 tahun perkahwinan mereka.

"Bawah undang-undang sedia ada, SPRM tidak boleh buat apa-apa (kepada Bekir), tetapi kekayaannya tidak boleh dijelaskan. Bagaimana dia boleh ada RM800 juta?

"Jika ada perubahan undang-undang, SPRM boleh sepina isterinya untuk memberikan bukti," kata Low.
Karpal bidas laporan 'nepotisme' pembangkang
  • Susan Loone
  • 7:38PM Okt 6 2012
 
Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh membidas laporan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris yang melabelkan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat sebagai pengamal nepotisme.

NONELaporan New Straits Times hari ini dengan tajuk "Nepotisme in opposition worrying" (nepotisme dalam pembangkang merisaukan) memuatkan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya Nurul Izzah, gambar Karpal Singh sendiri bersama anaknya Gobind Singh Deo.

Turut dimuatkan gambar anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang dan anaknya Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Karpal menegaskan hak untuk terlibat dalam politik tidak patut dinafikan kepada mana-mana anak ahli politik kerana ia dilindungi di bawah perlembagaan persekutuan yang menetapkan semua warganegara adalah setaraf.

Tambahnya, anak mana-mana pemimpin politik mempunyai hak untuk maju ke hadapan dalam kerjaya politik mereka.

"Bagaimana pun, jika kebolehan anak seorang pemimpin politik dan juga seorang individu lain adalah sama, individu itu diberikan keutamaan berbanding anak pemimpin berkenaan," kata Karpal pada sidang media di Air Itam, Pulau Pinang hari ini.
Bangkit: Kenyataan Ahmad Maslan makan diri
NUR SHARIEZA ISMAIL
6 Oktober 2012
Abd Rahman - Bangkit
Abd Rahman
SEREMBAN – “Saya rasa beliau lupa," kata Pengerusi Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit), Abd Rahman Ramli berhubung kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang mendedahkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) merupakan sebuah pertubuhan haram kerana tidak berdaftar.

Menurut Abd Rahman, kenyataan dibuat Ahmad memberi peluang kepada kepimpinan Anak untuk membidas semula.

“Datuk Ahmad Maslan seakan terlupa bahawa Anak ditubuhkan di bawah parti Pas sendiri. Pertubuhan ini sebenarnya tidak perlu berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Jelas sekali nampak kedangkalan beliau mengenai perkara itu. Kenyataan semborononya itu seperti telah memakan diri sendiri," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Abd Rahman juga mempersoalkan kewujudan beberapa lagi pertubuhan yang tidak berdaftar di bawah RoS tetapi tidak dibangkitkan Ahmad.

“Antara pertubuhan dikenal pasti adalah Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR), Gerakan Peneroka Wanita (GPW) dan Belia Felda.

“Anak memang sebuah pertubuhan tetapi kewujudan Anak tidak menyalahi undang-undang kerana ia berjalan atas tiket parti Pas tetapi mempunyai perbezaan dengan JKKR dan GPW,” katanya.

Beliau turut mendesak Ketua Pengarah RoS, Datuk Abdul Rahman Othman mengambil tindakan sewajarnya ke atas pertubuhan itu juga.
Mazlan: ‘Betul tak daftar tapi Anak tidak salah’
NURUL AINI MOHAMED ALI
6 Oktober 2012
mazlan aliman
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman
SHAH ALAM – Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mengaku tidak pernah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tetapi bergerak sebagai sebuah entiti di bawah Pas bagi memperjuangkan nasib anak-anak peneroka.

Sehubungan itu katanya, Anak mempunyai akaun bank mereka sendiri dan mengikut prosedur undang-undang tubuh Pas.

Ia ditubuhkan pada November 2007.

“Memang kami tidak pernah berdaftar, saya tidak boleh nafikan.

“Tetapi apa yang penting, persatuan kami ini tidak salah kerana kami bergerak di atas tiket kami sendiri, mempunyai akaun persatuan sendiri di bawah Pas,” kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Kelmarin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mendedahkan yang Anak merupakan pertubuhan haram kerana tidak berdaftar.

Ketua Pengarah Ros, Datuk Abdul Rahman Othman juga mengesahkan Anak tidak tersenarai sebagai sebuah persatuan yang berdaftar di bawah agensinya.

“Isu ini merupakan isu basi yang sengaja dikitar  semula oleh Ahmad Maslan kerana sebelum ini banyak pihak cuba membangkitkan status Anak tetapi saya tidak mahu bermain dengan soal status kerana apa yang penting ialah perjuangan kami dalam mempertahankan hak kaum peneroka dan anak-anak generasi kedua Felda,” ulas Mazlan yang juga ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Tambah Mazlan, Ahmad cuba bermain api dan cuba mengelak menjawab kontroversi yang sedang melanda Felda kebelakangan ini.

“Janganlah terlalu emosi memberi hukuman kepada Anak, apa yang penting sekarang bukan isu status tetapi beliau (Ahmad) perlu bergerak di atas semangat intelektual, jadi jangan heret kami soal status,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai ajakan debat yang ditolak oleh Ahmad, Mazlan berkata, timbalan menteri itu hanya tahu “berkokok di luar gelanggang, tetapi tidak berani masuk gelanggang sendiri.”

“Saya cabar untuk berdebat tetapi ditolak. Tidak mengapalah, tetapi mengapa beliau juga menolak ajakan saya berdialog atau sekurang-kurangnya duduk bersama-sama bagi membincangkan isu dan masalah dalam Felda?”katanya.

Tambah beliau, “soal menang atau kalah bukan menjadi persoalan tetapi jika boleh duduk semeja berbincang, mereka boleh bersama-sama berkongsi idea dan pandangan.”
SPRM siasat Talam

6 Oktober 2012
sprm
SPRM
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan awal terhadap dakwaan berlaku urusan meragukan bernilai lebih RM1 bilion antara kerajaan negeri Selangor dengan Talam Corp, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull hari ini.
  
"Kita siasat tanpa takut atau pilih kasih semua maklumat yang kita terima. Jika terdapat asas yang cukup bahawa kesalahan dilakukan di bawah Akta SPRM, kita akan teruskan siasatan," katanya kepada Bernama di sini.  
  
Shukri, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
  
Beliau mengulas kenyataan ketua Biro Profesional Muda MCA Datuk Chua Tee Yong bahawa kerajaan Selangor telah menyelamatkan Talam yang menghadapi masalah kewangan dan telah menguasai aset syarikat itu menerusi langkah penyusunan semula hutang pada harga jauh lebih tinggi dari yang dinilai secara rasmi.
  
Tee Yong mencabar kerajaan negeri supaya menjelaskan bagaimana langkahnya mendapatkan semula hutang RM382 juta daripada Talam berakhir dengan urusan meragukan bernilai lebih RM1 bilion.  - Bernama
Guan Eng cabar PM isytihar harta
Wartawan Sinar Harian
6 Oktober 2012
Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
SHAH ALAM – Semua pemimpin kerajaan dan Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dicabar mengisytiharkan harta masing-masing  jika mereka ikhlas dan bersungguh-sungguh mahu membanteras rasuah.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, selain pengisytiharan harta, kerajaan BN juga harus laksanakan tender terbuka, melarang ahli keluarga mereka mempunyai urusan perniagaan dengan kerajaan serta gugurkan pemimpin yang amalkan gaya hidup mewah.

“Sekali lagi, Najib telah gagal buktikan diri dalam usaha membanteras rasuah sehingga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam boleh dengan bangganya menganjurkan kenduri kahwin anaknya untuk seramai 130,000 orang. Tidak kisahlah siapa yang bayar atau berapa jumlah harga kenduri tersebut.

“Dan sehingga kini juga tiada jawapan kepada soalan yang ditanya tentang kekayaan keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud,” katanya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, sekiranya Najib mahu meyakinkan rakyat, beliau disarankan mengikut tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang telah pun membuat pengisytiharan harta secara terbuka.

“Pada masa yang sama, pemimpin BN yang hidup mewah dengan rumah mewah, kereta dan plat nombor yang mahal harus digugurkan. Ahli-ahli keluarga juga harus dilarang terlibat sebarang urusan perniagaan dengan
kerajaan

“Satu elemen yang yang wajib dalam usaha membanteras rasuah adalah untuk menginstitusikan tender terbuka. Tanpa tender terbuka, projek-projek awam dirunding secara terus dan dianugerahkan kepada kroni yang menyebabkan rakyat kerugian,” katanya.

Selain itu, Guan Eng turut mempertikaikan peruntukan RM386 juta untuk 57 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Sabah dan Sarawak seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2013.
Zahid: Ketua Audit Negara sah pembelian Scorpene ikut prosedur

6 Oktober 2012
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
BAGAN DATOH - Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Ketua Audit Negara telah memperjelaskan pembelian kapal selam Scorpene mengikut prosedur perundangan dan laporan rasminya harus diterima pakai oleh semua pihak.
  
Mengulas usaha pihak pembangkang untuk menjemput peguam dari Perancis, William Bourdon, untuk memberi taklimat kepada anggota Parlimen mengenai urus niaga kapal itu, Zahid berharap pihak tertentu supaya jangan cuba menyeleweng fakta yang sedia ada.
  
Beliau berpendapat peguam itu dijemput oleh pihak pembangkang semata-mata untuk urusan politik bukannya atas urusan perundangan.
  
Zahid memberitahu pemberita selepas merasmikan Temasya Sukan Sekolah Agama Rakyat Al-Ulum Al Tarbiah, Kampung Tanah Lalang di sini, hari ini.
  
Ahmad Zahid berkata pembelian kapal selam itu harus dilihat dari aspek program 'offset', latihan dan jaminan mutu kerja untuk tempoh tertentu dan isu ini adalah perkara lama yang sengaja dibangkitkan semula untuk menimbulkan kemarahan dan mengelirukan pemikiran rakyat.

Ditanya mengenai perkara lain iaitu permintaan elaun RM500 setiap bulan oleh veteran tentera zaman darurat, beliau terserah kepada budi bicara Perdana Menteri untuk menunaikannya sekiranya kerajaan berkemampuan melakukan demikian.
  
"Permintaan elaun tetap RM500 sebulan adalah sesuatu yang berat untuk dilakukan oleh kerajaan. Kita harus bersyukur dengan pemberian saguhati RM1,000 yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2013 sebagai tanda kerajaan menghargai sumbangan veteran tentera yang bertugas semasa darurat," katanya. - Bernama