Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM400,000 terhadap Anggota Parlimen Sabak Bernam Datuk Abdul Rahman Bakri dan pembantunya Rosli Busro yang didapati bersalah atas lapan pertuduhan melakukan tuntutan palsu melibatkan RM80,000 empat tahun lepas.
  
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas menolak rayuan mereka untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman Teh pada 1 Mac lepas.
  
Akhtar turut menolak permohonan Abdul Rahman dan Rosli untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sebaliknya memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
  
Dalam penghakimannya, Akhtar berkata Abdul Rahman menghadapi lapan  pertuduhan membuat tuntutan palsu ketika menjadi ADUN Sungai Air Tawar sementara Rosli didakwa bersubahat dengannya melakukan kesemua kesalahan itu.
  
Beliau berkata peguam perayu berhujah bahawa keterangan dua saksi terpenting dalam kes itu iaitu Mohd Harmizar Sulaiman dan Rizam Ismail tidak sepatutnya diterima oleh mahkamah atas alasan kedua-dua mereka merupakan rakan sejenayah.

"Saya telah baca keterangan kedua-dua saksi itu dan saya tidak anggap bahawa mereka rakan sejenayah. Mereka lebih merupakan pak turut atau menurut apa-apa yang diminta oleh tertuduh pertama (Abdul Rahman) dan tertuduh kedua (Rosli).

Kalaupun kedua-dua saksi ini dikatakan sebagai rakan sejenayah tetapi keterangan mereka telah disokong oleh keterangan saksi bebas lain.
  
"Justeru saya berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kesilapan apabila menerima keterangan kedua-dua saksi ini. Jelas daripada keterangan mereka bahawa kedua-dua tertuduh jelas mempunyai niat untuk membuat tuntutan palsu," katanya.
  
Akhtar berkata perkara itu terbukti apabila wang yang diterima bukan digunakan untuk program atau aktiviti seperti dalam tuntutan tetapi lebih kepada untuk kegunaan sendiri.
  
"Peguam tertuduh juga berhujah bahawa tuntutan berkenaan bukan palsu kerana program berikut telah diadakan tetapi bukan di tempat yang dinyatakan seperti dalam tuntutan itu. Bagaimanapun saya lebih cenderung menyatakan ia adalah tuntutan palsu.
  
"Dalam rayuan ini saya puas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak membuat sebarang kesilapan bila mendapati kedua-dua tertuduh bersalah atas semua tuduhan dan hukuman juga adalah setimpal dengan kesalahan serta jawatan kedua-dua tertuduh. Justeru rayuan terhadap sabitan serta hukuman ditolak dan hukuman dikekalkan," katanya.
  
Abdul Rahman dan Rosli diwakili peguam Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan Badrul Munir Mohd Bukhari sementara Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Zaki Salleh mewakili pihak responden.
  
Abdul Rahman, 47, didakwa menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat ADUN mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak pernah dijalankan.
  
Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cendera mata dan jamuan Program Motivasi Pelajar Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana Peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas.
  
Semua tuntutan palsu itu membabitkan RM10,000 setiap satu.
  
Abdul Rahman didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Jan dan 12 Feb, 2008.
  
Bagi setiap pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
  
Rosli, 44, pula didakwa bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kesemua kesalahan itu.

- Bernama

Exco lawan menteri: 7 saksi beri keterangan

Aslani M, 11 Okt 2012
KOTA BHARU: Seramai tujuh saksi dijangka memberi keterangan berhubung kes saman fitnah anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah terhadap Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen.

Perbicaraan kes tersebut yang menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta ditetapkan pada 4 hingga 8 November depan.

Peguam Hisham Fauzi yang mewakili plaintif berkata, kes tersebut akan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Ng Yen Yen yang juga Pengerusi MCA Kelantan diwakili Peguam Tara Singh Delip.

Sebelum ini menteri terbabit membuat kenyataan yang disiarkan akhbar berbahasa Cina bertajuk “MCA Kelantan: Isu Bazar Tok Guru “Anuar Tan terus berdolak-dalik”. Kenyataan tersebut disiarkan akhbar Sin Chew Jit Poh pada 29 April 2011.

Manakala akhbar Nanyang Siang Pau pada tarikh sama menyiarkan berita bertajuk “Menangani Isu Bazar Tok Guru MCA Kelantan: Anuar Tan berdolak-dalik”.

Anuar Tan dalam writ samanya menjelaskan kedua-dua berita tersebut secara jelas menyebut secara langsung berita yang tidak benar dikaitkan terhadapnya.

Menurutnya kenyataan itu keseluruhannya merupakan fitnah yang melaporkan secara tidak benar cuba mengaitkan plaintif sebagai seorang penipu dan tak bertanggungjawab.

Turut dinamakan defendan pada saman tersebut Datuk Seri Kong Cho Ha dan MCA Kelantan.

Anuar yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kota Bharu juga sebelum ini menuntut defendan terbabit memohon maaf secara bertulis kepada plaintif tanpa syarat.

Selain itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pau. Turut dituntut ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.

Tidak daftar SABK bukti Pusat diskriminasi SAR

Harakahdaily, 11 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Hanya menyalah Sekolah Agama Rakyat (SAR) tidak mahu mendaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)  dengan Kementerian Pelajaran untuk tidak mendapat peruntukan dari Kerajaan Pusat adalah alasan yang lemah dan menunjukkan diskriminasi ke atas SAR.
Sehubungan itu, Teras menggesa pihak Kementerian Pelajaran mengadakan pertemuan bersemuka dengan wakil SAR untuk mendengar alasan mereka kenapa ada yang tidak mahu mendaftar sebagai SABK.

“Adalah sangat angkuh bila Timbalan Menteri Datuk Puad Zarkashi menuding Lembaga dan Mudir SAR tidak mahu kehilangan kuasa jika berdaftar dengan Kementerian Pelajaran kerana ini seolah menyatakan SAR ditubuhkan untuk kepentingan peribadi,” kata Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, pihak menteri perlu kembali kepada dasar memberi peruntukan perkapita kepada SAR seperti sebelumnya yang telah dibatal oleh kerajaan ketika Tun Mahathir menjadi PM.

Beliau berkata, Tun Mahathir dan Timbalan PM ketika itu termasuk sejumlah menteri dalam kerajaan telah menuduh SAR sebagai sarang pembangkang dan Datuk Seri Najib sendiri menyatakan SAR adalah umpama bom jangka.

“Inilah sebenarnya alasan yang menyebabkan SAR dianaktirikan. Pada hal jasa dan manfaat kepada rakyat tidak dapat dinafikan termasuk meringankan beban kerajaan untuk menyediakan sekolah aliran agama yang semakin popular di kalangan masyarakat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, ujarnya Teras menggesa pihak kerajaan mendengar tuntutan wakil guru dan pelajar yang telah berhimpunan di Parlimen hari ini (gambar) untuk menuntut hak mereka dari kerajaan.

Menurutnya, SAR adalah institusi rakyat yang unik di negara ini sebagai upaya dari masyarakat Islam yang mahu melaksanakan pendidikan Islam dalam erti kata sebenar.

“Walaupun mungkin ada kelemahan yang boleh diperbaiki namun pendekatan yang harus dilakukan harus bersifat mengukuh dan menambahbaik bukan mengambil alih seperti yang ada dalam skim dan syarat SABK,” ujarnya lagi.

Pemuda PAS Johor serah memo ke UTHM

Harakahdaily, 11 Okt 2012
BATU PAHAT: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) semalam menghantar satu memorandum kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ekoran seorang pegawai kanan kampus itu didakwa menyuruh pelajar menyokong BN.

Delegasi seramai 50 orang yang diketuai oleh saudara Khairul Faizi Ahmad Kamil selaku Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia dan saudara Suhaizan Kayat selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor telah menyerahkan memorandum bantahan kepada Timbalan Pendaftar UTHM, Naim Maslan.

Dalam memorandum itu, mereka mendakwa Penolong Naib Canselor UTHM Prof Ir Dr Amir Hashim Mohd Kassim cuba mempengaruhi dan mengugut mahasiswa supaya menyokong BN dalam satu program pada 19 September lalu.

Program tersebut yang dinamakan Program Amanat Penolong Naib Canselor Bersama Jawatankuasa Kolej Kediaman Sesi 2012/2013  telah diadakan di Pejabat Hal Ehwal Pelajar kampus itu.

Rakaman ucapannya turut dimuat naik ke Youtube.

Petikan rakaman ucapan itu antara lain didakwa mereka berbunyi:

"Bila sebut penjawat awam ni, kami ini apa? Kerja dengan siapa?, kerajaan… Kerajaan kita siapa? Barisan Nasional lah. Nak ke tidak kita menyokong kerajaan? Jadi saudara ni dilantik sebagai apa… jawatankuasa kolej kediaman sepatutnya menyokong kami, siapa tidak menyokong, saya boleh persilakan keluar dari bilik ini".

Menurut Suhaizan, tindakan Amir Hashim itu telah bercanggah dengan Peraturan 21 dalam Perintah Am Kerajaan.

Pada Bab D peraturan itu, secara jelas menyebut bahawa kakitangan kerajaan dari Pegawai Kumpulan Pengurusan tinggi dan Kumpulan Pengurusan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam politik atau memakai lambang parti politik.

Ianya juga termasuk tidak boleh membuat pernyataan menyebelahi mana-mana parti politik, mengedarkan atau menerbitkan bahan bercetak mengenai politik dan merayu undi.

"Dalam rakaman tersebut, pegawai terbabit secara jelas menggunakan kedudukannya sebagai pegawai kanan universiti untuk memberikan tekanan kepada pelajar di dalam majlis tersebut agar memberikan sokongan kepada parti Barisan Nasional.

"Ianya telah benar-benar memberi imej yang sangat tidak baik kepada UTHM khasnya dan sektor awam negara amnya," katanya.

Sehubungan itu, DPPNJ ujarnya memberi tempoh14 hari untuk pihak pentadbiran UTHM melakukan siasatan berhubung isu tersebut.

Mereka juga mendesak pentadbiran UTHM menggantung tugas Amir Hashim sepanjang tempoh siasatan untuk mengelakkan sebarang pengaruh yang boleh menjelaskan sisatan.
Biro Politik PKR tak bincang kes Faekah secara khusus
NIZAM ZAIN & SALMIAH DRUHMAD DRAHSIN
11 Oktober 2012
Faekah sedia disiasat SPRM
Faekah
PETALING JAYA – Mesyuarat Biro Politik PKR tidak membincangkan isu berkaitan dengan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, yang menjadi perhatian ramai sejak awal minggu ini, "secara khusus."
Ketika dihubungi Sinar Harian Online lewat malam tadi, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang ditanya sama ada kes Faekah ada dibincangkan, beliau berkata, "tak."
Beliau seterusnya berkata, "ada bincang isu disiplin, tetapi tidak secara khusus."
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, "kita bercakap secara umum, beri peringatan, tumpu kepada pilihan raya."
Kata Saifuddin, mesyuarat mingguan malam tadi tidak membincangkan secara terperinci aduan disiplin dan salah laku ke atas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar itu.
Sebaliknya Ahli Parlimen Machang memberitahu, isu Faekah hanya dibincangkan secara sepintas lalu.
“Satu perkara yang menjadi agenda tetap yang dimasukkan dalam mesyuarat mingguan adalah perkara pengurusan dan disiplin.
“Jawatan Disiplin akan melaporkan jumlah aduan yang diterima, jadi mereka laporkan sama ada dari Perlis, Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan di ibu pejabat PKR di sini, malam tadi.
Ketika ditanya sama ada ada menerima aduan bertulis secara rasmi daripada PKR Selangor tentang Faekah, beliau berkata, "tiada gesaan memecat, mana ada gesaan memecat, saya bercakap berkenaan aduan rasmi yang diterima oleh ibu pejabat, tiada aduan memecat, saya tidak kata PKR Selangor tidak hantar aduan, saya kata tiada aduan diterima yang merupakan gesaan memecat.
“Aduan diterima, aduan disiplin paling banyak dari cabang itu, cabang ini, dalam kes aduan kita terima semua, siapa punya gesaan itu? Kami cakap hanya yang kita terima.
“Kalau mereka hantar mungkin kepada Setiausaha Agung, cuma yang disebut ada gesaan sahaja, kalau ditanya tentang dokumen rasmi, itu lah jawapan saya," kata beliau.
Saifuddin berkata, mesyuarat memutuskan supaya jentera parti menumpukan sepenuh perhatian kepada persiapan pilihan raya umum akan datang.
“Kami membincangkan isu-isu persiapan pilihan raya, itu agenda tetap berkenaan dengan status rundingan kerusi, berkenaan dengan proses pemilihan calon dan berkenaan persediaan logistik serta kempen Jelajah Merdeka Rakyat, sambutan setakat ini kami bincang sepintas lalu,” jelasnya lagi.
Dr Asri: Saya hanya rakyat marhaen
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
11 Oktober 2012
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
SAYA ingin menulis sesuatu yang agak peribadi, tetapi rasanya boleh dikongsi. Ini kerana baru-baru ini saya menerima beberapa mesej bertulis dari orang-orang muda yang dihantar kepada saya oleh beberapa pihak yang merasakan tidak sedap hendak disebut nama saya bersama dengan gelaran Datuk kerana tidak mesra kata mereka.

Mereka kata kami semua sejak dulu terbiasa memanggil Dr Asri ataupun Dr MAZA, rasa macam tidak sedap sebut Datuk pula kata depan nama. Saya senyum. Saya tidak pernah kisah tentang itu semua.            

Sebelum saya meneruskan, saya ingin terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Raja Perlis atas penganugerahan kepada saya gelaran Datuk Arif Perkasa sempena hari keputeraan ada 17 Mei 2012 yang lepas. Semasa itu saya berada di UK dan tidak dapat menghadiri upacara berkenaan.

Hanya pada 25 September baru-baru ini saya dapat menghadirikan diri untuk sesi saya yang tertangguh tersebut. Saya berterima kasih kerana pihak Istana Arau sudi kerana mentauliahkan saya yang merupakan rakyat marhaen ini Datuk bergelar bagi Istana Arau. Di sini saya coret satu perkara yang boleh kita kongsi.

Siapalah Saya

Apabila pihak Kerajaan Perlis mengumumkan anugerah tersebut di media pada bulan Mei lepas, ramai yang menghantar ucapan tahniah. Namun dalam masa yang sama ada beberapa e-emel yang saya terima memohon agar saya tidak memakai apa-apa gelaran kebesaran.

Saya perlu kekal sebagai Dr Asri, ataupun Dr MAZA. Saya perlu kekal sebagai suara rakyat marhaen, kata mereka. Baru-baru ini setelah pulang ke Malaysia dan saya terlibat dengan banyak program, seringkali nama saya diiklankan bersama gelaran Datuk, beberapa orang menghantar pandangan kepada saya dengan sungutan seakan ‘alangkah baiknya jika Dr Asri ataupun Dr MAZA itu kekal dengan panggilan asalnya. Itu lebih mesra dan dekat di hati kami. Saya terkesan dengan hal itu.

Sebenarnya, anugerah yang diberikan kepada saya itu, hanyalah atas kemurahan hati pihak Istana Perlis sahaja. Dari segi jasa, tiada apa jasa besar saya untuk disebut ataupun dikenang. Dari segi harta, jika gelaran Datuk itu sering dibayangkan orang yang berharta, maka saya tidak termasuk untuk dibayangkan.

Saya tidak berharta, melainkan sekadarnya seperti rakyat kebiasaan yang lain. Sehingga artikel ini ditulis, jika anda berjumpa saya di hotel mewah, itu biasanya ada penganjur program yang sewakan untuk saya. Jika anda bertemu saya dalam kereta mewah, itu menunjukkan ada orang bermurah hati menumpangkan saya. Rezeki masa depan hanya ALLAH Yang Tahu.

Setiap kita mengetahui siapakah diri kita. Selepas ALLAH Yang Maha Tahu segalanya, insan itu sendirilah yang paling tahu tentang dirinya. Segala penampilan, pujian, gelaran dan pangkat yang manusia berikan tidaklah semestinya sama dengan hakikat sebenar diri yang berkaitan itu di sisi ALLAH Yang Maha Mengetahui. Betapa ramai orang yang dipuji dengan pelbagai pujian, dia sendiri pun tahu dia bahawa dia bukan layak dengan segala ungkapan itu.

Betapa banyak orang yang dianggap tiada nilai ataupun rendah kedudukannya, dia di sisi ALLAH jauh lebih baik dari mereka yang banyak dipuji dan dipuja.  Nabi s.a.w bersabda: “Boleh jadi orang yang kusut masai, berdebu, yang dihalau di pintu (tidak diterima kedatangannya), jika dia bersumpah dengan nama ALLAH nescaya ALLAH tunaikan”. (Riwayat Muslim).

Justeru, orang yang mempunyai gelaran kebesaran, belum tentu lebih baik di sisi ALLAH dibanding rakyat marhaen biasa. Ustaz yang berceramah di depan majlis, belum tentu lebih disayangi ALLAH dari mereka yang duduk di bawah mendengar ceramahnya.

Bahkan mungkin yang berceramah itu ALLAh benci disebabkan kesombongan, riyak dan ‘gila dunia’ yang bersarang dalam jiwanya. Sementara yang hadir mendengar dengan ikhlas, tanpa sebarang tujuan melainkan mencari redha ALLAH, dia sangat ALLAH sayangi. Saya memberitahu dalam kuliah saya bahawa dalam sunnah, bayi yang lahir dibawa kepada Nabi s.a.w lalu didoakan.

Maka, eloklah membawa anak kita kepada orang soleh yang mustajab doanya supaya mendoakannya. Ada yang salah faham, mereka sering membawa anak-anak mereka berjumpa saya supaya saya mendoakannya.

Saya terpaksa beritahu mereka, saya mungkin seorang yang agak terpelajar dalam bidang agama tetapi itu tidak menunjukkan saya seorang soleh, ataupun saya ini dikasihi ALLAH sehingga doa saya mustajab. Carilah orang yang soleh, sekalipun mereka itu tidak ternama.

Rahsia Insan

Insan yang baik ialah insan yang hubungannya dengan ALLAH sangat indah, melebihi apa yang disangka oleh manusia. Sesiapa yang baik hubungannya dengan ALLAH, maka ALLAH akan membaiki urusannya.

Namun dalam pergaulan sesama insan, kita tidak disuruh oleh Islam untuk mencari rahsia peribadi orang lain. Bahkan kita diharamkan menyingkap keaiban yang disembunyikan oleh seseorang. Kita menilai manusia apa yang zahir sahaja.

Adapun urusan batinnya, itu antara dia dengan ALLAH. Khalifah ‘Umar bin al-Khattab menyebut: “Sesungguhnya manusia pada zaman Rasulullah s.a.w diambil tindakan berdasarkan (pemberitahuan dari) wahyu. Sesungguhnya wahyu pada hari ini telah terputus. Maka kami pada hari ini bertindak berdasarkan apa yang zahir pada kami dari amalan kamu.

Sesiapa yang menzahirkan kebaikan, maka kami berikannya kedamaian (tidak diganggu) dan memuliakannya. Kami tidak masuk campur urusan rahsia batinnya. Sesiapa yang menzahirkan keburukan, maka kami tidak berinya kedamaian dan tidak mempercayainya sekalipun dia berkata batinnya baik”. (Riwayat al-Bukhari).

Batin yang baik, akan melahirkan akhlak yang baik. Namun tidak dinafikan, ada batin yang jahat, tetapi berpura-pura baik pada zahirnya. Adapun kita hanya mampu menilai yang zahir, urusan rahsia batin seseorang akan dinilai oleh Tuhan. Justeru, kita berdoa agar batin dan zahir kita, kesemuanya dinilai baik di sisi Tuhan. ALLAH Maha Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi.

Ada Apa Pada Gelaran

Kita hormati gelaran baik yang orang berikan. Namun, kita hendaklah sentiasa tahu hakikat diri kita bukan bergantung kepada apa orang sangka, tetapi kepada siapa sebenarnya kita. Rahsia batin antara dia dan Tuhan adalah intipati sebenar diri seseorang.

Saya tersenyum apabila mendengar kisah ada orang agama yang cuba memberikan pelbagai gelaran kehebatan untuk dirinya sendiri. Saya teringatkan Nabi s.a.w yang menyebut: “Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba ALLAH. Katakanlah: “Hamba ALLAH dan rasulNya” (al-Bukhari).

Namun dalam pergaulan, sebagai muslim, agama mengajar kita menghormati orang lain dan beradab sopan. Kita memanggil manusia dengan panggilan yang layak atau panggilan baik yang dipanggil kepada mereka. Ketika Nabi s.a.w menghantar surat kepada Maharaja Rome, baginda Nabi s.a.w tetap menyebut kebesaran pangkatnya.

Nabi s.a.w memulakan surat baginda: “Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad Pesuruh ALLAH kepada Hercules Orang Maha Besar Rome…” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Nabi s.a.w menyebutkan selepas namanya kedudukannya sebagai ‘azim ar-Rum’. Azim bererti orang yang teramat besar Rom.

Saya tidak kisah sama ada sesiapa hendak memanggil saya Datuk ataupun tidak. Itu semua tidak mengubah apa-apa dalam hidup saya sebagai rakyat marhaen ini. Namun, saya tidak menggalak hal itu dibuat kepada orang lain kerana mungkin nanti mereka tidak suka. Sedangkan dalam hadis riwayat Muslim secara ta’liq dan sahih: Kata ‘Aishah r.a: “Nabi s.a.w memerintahkan kami meletakkan manusia pada kedudukannya”

Adapun saya, tidak kisah selagi tidak memanggil dengan panggilan yang buruk kerana itu tidak disukai oleh agama ini. Kemuncak kepada kehidupan bukan gelaran dan pangkat, tetapi di manakah nanti tempat kita di akhirat. Ini mengingatkan saya sekali lagi kepada dialog Khalifah Umar bin ‘Abdul Aziz dan penasihatnya yang jujur Rajak bin Haiwah.

Kata Rajak bin Haiwah: Ketika ‘Umar bin ‘Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepadaku: “Wahai Rajak! pergi belikan untukku sehelai baju”. Aku pun belikan untuknya sehelai baju yang bagus, harganya lima ratus dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya murah.”

Selepas beberapa tahun beliau menjadi khalifah. Suatu hari beliau berkata kepadaku: Belikan untukku sehelai baju”. Maka aku membeli untuknya sehelai baju yang murah lagi amat sederhana, harganya hanya lima dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya mahal”.

Aku kehairanan, bagaimana mungkin baju yang aku beli untuknya di Madinah beberapa tahun lalu dengan harga lima ratus dirham dianggap murah dan baju yang aku beli sekarang dengan harga hanya lima dirham dianggap mahal. Perasaanku tersentuh dengan perkataan beliau dan aku pun menangis. ‘Umar bin Abdul Aziz bertanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rajak?. Kataku: “Perkataanmu wahai Amirul Mukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju yang lepas yang berharga lima ratus dirham murah, dan baju sekarang yang berharga lima dirham mahal?.

Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz: “Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, lalu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya”. (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).

Pangkat dan nama adalah panggilan dan kedudukan di dunia. Hakikatnya apabila mati, seperti yang ALLAH nyatakan: (maksudnya) “dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada Hari Kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah Kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu dakwa bahawa mereka ialah sekutu-sekutu ALLAH dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu dakwa” (Surah al-An’am, 94).

Panggillah saya dengan apa sahaja panggilan yang sopan sebagai insan Muslim, yang sesuai pada penilaian anda. Panggillah dengan panggilan yang masing-masing dapat menjaga kesopanan Muslim serta menjadikan jiwa kita lunak dan kita dapat bersahabat di dunia dan di akhirat. Marilah kita pentingkan persahabatan melebihi segala pangkat dan panggilan.

* Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis
MP Pakatan: Hentikan undang kapal perang Amerika
  • Hazlan Zakaria
  • 3:59PM Okt 11 2012
 
Anggota Parlimen Pakatan Rakyat mendesak kerajaan untuk kembali kepada prinsip dasar luar berkecuali dan menolak diplomasi disertai kekerasan (gunboat diplomacy) yang diamalkan Amerika Syarikat.

Mereka juga mahukan kerajaan berhenti membenarkan atau mengundang kapal perang negara kuasa besar dunia itu ke pelabuhan negara ini.

parliament 161008 kamaruddin jaafarKamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) berkata, langkah itu sudah diguna pakai sejak tahun 70-an lagi selepas Asia Tenggara diisytiharkan sebagai Zon Aman dan Berkecuali (Zopfan).

Bercakap dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, Kamaruddin berkata, langkah itu patut diambil kerana kita tidak mahu menjadi alat kepada kuasa asing.

Beliau menarik perhatian atas tindakan kerajaan membenarkan kapal perang Amerika Syarikat melawat negara ini kerana ia boleh dilabelkan sebagai "saluran" dan "pangkalan operasi" untuk hegemoni Amerika Syarikat.

Dalam politik antarabangsa, diplomasi disertai kekerasan merujuk kepada usaha mencapai objektif dasar asing dengan bantuan yang terang-terangan menunjukkan kuasa ketenteraan.