Khamis, 2 Jun 2011

BERKATA..BERJANJI..BERUCAP LEBIH MUDAH DARI MELAKSANAKANNYA...TAK KAN SEMUA IA CAKAP BENAR...ALLAH SAJA TAHU IA TIPU ATAU TAK.....

Muslimat: 'Tawan' pengundi, rakan dan musuh
Hazayani Zakaria
SHAH ALAM, 2 Jun: Muslimat PAS di semua peringkat diseru mempraktikkan segala ilmu dan kepakaran berkaitan pilihan raya yang diperoleh sebelum ini bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Ketuanya, Nuridah Salleh berkata, sudah sampai masanya segala pengalaman yang diperoleh melalui kursus dan bengkel yang dianjurkan parti selain melalui 16 siri pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak digunakan sebagai persedian akhir menghadapi PRU ke-13.

"Gendang PRU ke-13 sudah dipalu dan mulai hangat kedengaran ke seluruh pelusuk negara. Umno BN telah mula mengembar-gemburkan slogan-slogan “Satu Malaysia”, transformasi ekonomi dan sebagainya serta telah menabur janji-janji manis.

"Marilah kita tekadkan azam, kuatkan semangat, merancang dan melaksanakan gerak kerja PRU dengan penuh komitmen. Tiada alasan menasabah untuk kita masih bertangguh-tangguh.

"Kita memerlukan komitmen semua ahli-ahli PAS seluruhnya dan para muslimat adalah satu komponen penting jamaah kita dalam menguruskan gerak kerja bagi mencapai kejayaan," katanya sewaktu menyampaikan ucap tema di muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-51, di Dewan Bankuet bangunan SUK Shah Alam, dekat sini hari ini.

Dalam ucapan bertema "Memimpin Perubahan, Meneraju Kebangkitan", Nuridah mensasarkan tiga golongan untuk 'ditawan' melalui tiga pendekatan sebagai persediaan PRU ke-13 iaitu, pertama; menawan hati pengundi-pengundi melalui penerangan dan dakwah berhikmah.

Menurut Nuridah, muslimat seharusnya telah turun padang mengenal pasti pengundi-pengundi, mendaftarkan pengundi-pengundi muda dari kalangan kita dulu, jiran tetangga dan rakan taulan termasuk menziarahi setiap rumah di bandar-bandar, pinggir-pinggir bandar, di setiap kampung dan desa menyeru dan meraih mereka agar memilih Islam yang syumul.

"Kita ketuk pintu-pintu hati mereka dengan penuh keinsafan dan kesedaran beragama serta keharmonian bermasyarakat. Kita jelaskan juga cita-cita perjuangan PAS – PAS For All – PAS untuk semua dan terangkan kepada mereka segala tawaran Pakatan Rakyat seperti yang tertera pada Buku Jingga," katanya.

Muslimat juga tegasnya harus menjelaskan perubahan dan pembaikan yang telah dilakukan terhadap negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat terutamanya peranan muslimat PAS khususnya dan wanita Pakatan Rakyat amnya dalam urusan pentabdiran kerajaan dengan menerajui portfolio yang mencabar seperti pelaburan dan perindustrian, pendidikan tinggi dan pembangunan insan di Selangor. Juga menerajui portfolio kesihatan, kebajikan masyarakat dan pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Kedua; menawan hati rakan melalui ketulusan hati.

Nuridah berkata, bagi menawan hati rakan, semangat setiakawan bersama-sama rakan-rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat, semua wanita ahli-ahli dan penyokong Dewan Himpunan Penyokong PAS, PKR, PSM dan DAP harus diperkukuhkan bagi berganding bahu melaksanakan strategi serta muafakat setempat.

"Fokuskan kepada kepentingan dan matlamat bersama dan kecilkan segala salah faham dan pekara titik-bengik yang menghalang kita dapat bergerak maju dengan penuh kesepaduan. Kejayaan Pakatan Rakyat adalah kejayaan kita bersama," katanya.

Ketiga; menawan hati lawan melalui strategi bijaksana.Nuridah menyeru seluruh muslimat mematuhi segala arahan pimpinan dalam melaksanakan strategi menghadapi pihak lawan dan tidak terburu-buru mengambil keputusan sendiri serta tidak menangguhkan sesuatu pelaksanaan.

"Contoh teladan para sahabat Rasulullah yang setia mematuhi segala arahannya. Ambillah tugasan yang kita ukur dengan kemampuan kita janganlah cemburu dengan kemampuan sahabat dan rakan seperjuangan. Juga kita perlu berani mencuba dan jangan ragu-ragu dengan segala keputusan yang telah dimuafakatkan," katanya.

Justeru ujarnya, seluruh muslimat samaada golongan muda atau veteran harus bersama-sama berjuang untuk kelangsungan parti tanpa ada sikap suka berlengah-lengah.

"Mari kita bergerak di dalam satu saf jamaah bersepadu secara terancang dan tersusun mengikut kemampuan kita dan terus mara ke medan jihad. Selagi kita tidak bermula dengan mengharapkan orang lain, selagi itu kita tidak akan mampu menahan gelombang dakyah kehidupan sekular yang membawa dosa dan kemaksiatan secara berseorangan," katanya.

Tambah beliau lagi, sudah tiba masanya muslimat mengurangkan atau meninggalkan terus segala aktiviti yang tidak bermanfaat sebaliknya menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk membantu jemaah melawan Umno Bn.

"Masa untuk bersenang-senang, sembang-sembang di atas tangga, membeli-belah tanpa menghirau masa di pasaraya, bersantai-santai dengan teman membiar masa berlalu begitu saja, duduk berjam-jam di depan tv, melayari internet tanpa tujuan perlulah dihentikan segera.

"Masa untuk sibuk dengan agenda peribadi sahaja telah berakhir! Marilah kita bersama-sama turun padang mengharungi segala onak dan duri. Masa untuk kita terlalu singkat sedangkan terlalu banyak perubahan dan pembaikan yang perlu dilakukan. Kerana kematian dan pertemuan dengan Allah sangat hampir. Kita amat bimbang amanah yang dipikul ini tidak sempat ditunaikan dengan baik," katanya.

Muslimat sasar 1 Dun, 1 Parlimen setiap negeri
Hazayani Zakaria
SHAH ALAM, 2 Jun: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) sedang mensasarkan satu negeri satu Dewan Undangan Negeri (Dun) dan satu Parlimen bagi calon wanita.

Pengarah pilihan raya DMPP, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, cabaran bagi mereka adalah memadankan calon wanita dengan kerusi Dun atau Parlimen yang sesuai.

Menurutnya, PAS tidak mempunyai masalah kekurangan calon tetapi perlu melihat beberapa faktor sebelum diletakkan di sesuatu kerusi terutamanya dari segi anak tempatan atau tidak.

"Kita minta setiap negeri menyediakan dan mengemukakan calon wanita untuk Dun dan Parlimen.

"Cabaran sekarang ini untuk mencari calon yang boleh menang untuk diletakkan di Dun atau Parlimen. Dalam perkiraan politik tak guna kita letak calon wanita tapi tak boleh menang.

"Kena ada kerusi dan calon yang sesuai dan sokongan yang jitu daripada jentera juga," katanya pada sidang media tengahari tadi.

PAS bagaimanapun katanya tidak meletakkan kuota 30 peratus untuk calon wanita.

"Kita tak letak kuota 30 peratus. Kalau ada ramai muslimat dan banyak tempatnya kita akan letak ramai. Kita tak mahu terlalu mendadak.

"2004 kita letak 13 calon muslimat hanya seorang sahaja yang menang iaitu di Tanjung Mas," katanya.

Menyentuh mengenai kriteria calon wanita yang akan dipilih pula, Timbalan DMPP, Siti Zailah Mohd Yusuf dengan mengambil contoh di Kelantan berkata, calon anak tempatan lebih diutamakan.

"Saya ambil contoh di Kelantan, sebelum menjadi calon, seseorang itu perlu mendapat keizinan suami atau ibu bapa bagi yang belum berkahwin dan mempunyai kemampuan bukan sahaja dari segi akademik tapi juga dari segi berhadapan dengan masyarakat dan mengemukakan masalah mereka di Dun atau Parlimen.

"Biasanya calon tempatan lebih diterima. Contoh di Kelantan anak tempatan lebih diterima dan bilangan ahli keluarga yang ramai menjadi keutamaan kerana ia akan mempengaruhi undi," katanya yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang.

Faktor umur pula tidak menjadi masalah samaada golongan muda ataupun muka-muka lama.

Untuk rekod, PAS mempunyai seorang senator, tiga ahli Dewan Rakyat dan tiga Adun ketika ini.

Turut bersama dalam sidang media tersebut Ketua DMPP, Nuridah Salleh, naib ketua, Senator Mumtaz Md Nawi dan ketua penerangan Salbiah Wahab.

PAS harapan rakyat
Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my
DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan sahabat yang muttaqin.

Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-57 yang berlangsung di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar 3-5 Jun ini amat di nanti-nantikan oleh rakyat yang menyokong PAS, dan juga pendokong aspirasi Pakatan Rakyat keseluruhannya.

Rakyat ingin melihat, siapakah yang bakal dipilih perwakilan untuk menerajui PAS menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Rakyat ingin mengetahui sejauhmana PAS bersedia menggalas harapan rakyat untuk menggantikan Umno sebagai sebuah kerajaan bersama Pakatan Rakyat.

Dalam Muktamar ini juga, rakyat ingin mengetahui apakah agenda yang ditawarkan PAS kepada rakyat Malaysia, yang boleh disandarkan bagi membuktikan kesungguhan PAS untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Sebagai sebuah parti Islam yang terbesar, berpengalaman luas dan semakin bertapak dalam negara, PAS harus tampil sebagai parti terulung yang menyelamatkan negara daripada kedurjanaan Umno-Barisan Nasional.

Pemimpin dan perwakilan PAS dari seluruh negara, harus membuka minda mereka seluas-luasnya dan harus memuhasabah diri, memikirkan apakah ciri-ciri yang melayakkan mereka menjadi penyumbang kepada peneraju perubahan dalam negara.

Sesungguhnya keberadaan PAS dalam negara ini, bukan untuk menjadi parti yang menumpang arus yang diciptakan oleh rakan seperjuangan, tetapi sudah sampai masanya PAS menjadi pemain utama yang mencipta arus rakyat.

Untuk itu, kepimpinan dan seluruh ahli PAS harus berganding bahu, bukan sahaja membentuk jati diri mereka sebagai muslim yang komited dengan sahsiah yang unggul, malah harus mempunyai elemen-elemen yang dikagumi rakyat keseluruhannya.

PAS wujud untuk memartabatkan Islam, memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, bukan untuk dalam kalangan PAS sahaja, tetapi ianya untuk seluruh rakyat Malaysia.

Dalam menghadapi pemilihan kali ini, seluruh perwakilan harus meletakkan keutamaan menyediakan PAS, untuk terus memainkan peranan utama dalam pentas politik negara bersama Pakatan Rakyat.

PAS harus semakin memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti KeADILan dan DAP. PAS harus ke hadapan dalam menjalim hubungan dengan NGO, khususnya dari kalangan bukan Melayu, bukan Islam.

Untuk mendepani cabaran ini, untuk meletakkan PAS terus unggul di persada politik negara, PAS harus membentuk agenda perjuangannya sesuai dengan aspirasi rakyat.

Agenda yang menepati kehendak atau aspirasi rakyat adalah suatu agenda yang meletakkan keutamaan memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat dengan adil dan saksama tanpa memilih warna kulit, kaum mahu pun agama.

Rakyat mahu melihat terus melihat bagaimana kerajaan negeri yang diterajui PAS di Kelantan, sepenggal di Terengganu dan kini di Kedah, mengamalkan dasar negara berkebajikan mengikut kehendak Islam.

Keadilan Islam yang diterajui perjuangannya menerusi PAS harus dilaksanakan, ditawar dengan sebaik-baiknya agar seluruh rakyat Malaysia memahaminya.

Apabila rakyat sudah faham dan menikmati kebaikan dan kebajikan berasaskan Islam, sekali gus sebarang persepsi buruk terhadap Islam itu sendiri akan dapat dihapuskan.

Dengan penghapusan jurang ini, ia semakin mendekatkan PAS dengan rakyat. Perjuangan PAS adalah untuk semua. Untuk memperjuangan hak semua rakyat pemimpin PAS harus dekat dihati rakyat.

Maka perwakilan Muktamar PAS kali ini mempunyai peranan yang amat besar. Iaitu memilih pucuk pimpinan dan menetapkan agenda yang mampu memartabatkan PAS ke tahap yang lebih unggul.

Moga-moga perjuangan Islam yang dibawa PAS akan diterima dan diiktiraf, serta meletakkannya sebagai peneraju unggul dalam Kerajaan Pusat bersama Pakatan Rakyat pada PRU akan datang.

Selamat bermuktamar!


AMK dan DAPSY terima baik ucapan Ketua Pemuda PAS
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 2 Jun: Dua rakan Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam Pakatan Rakyat menerima baik ucapan dasar Memimpin Kebangkitan Anak Muda yang dibentangkan oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi malam tadi.

Bagi mereka, ia adalah ucapan terbaik dan panjang mencakupi semua hal ehwal semasa termasuk suasana politik yang berlaku dalam negara ini telah berjaya dikemukakan oleh Ketua Pemuda PAS itu, wajar disambut dengan positif oleh seluruh generasi muda Malaysia.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Akin dan Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, ucapan dasar Ustaz Nasrudin itu merupakan penegasan dalam membentuk satu perubahan lanskap baharu politik negara.

Kedua mereka turut hadir dan bercakap kepada HarakahDaily selepas meneliti ucapan dasar Dewan Pemuda PAS Pusat yang dibentangkan ketuanya sempena Muktamar Tahunan ke 52 yang berlangsung di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini.

Dalam huraian panjang lebar oleh kedua-dua tokoh pemuda ini, mereka melihat ucapan itu sangat bernas dan mampu meyakinkan generasi muda dengan gerakan menyeluruh ke bawah selepas ini untuk menyertai golongan itu.

Apatah lagi dalam ucapan juga disebutkan bilangan pengundi muda dalam pilihan raya akan datang melewati jumlah tujuh juta yang merupakan satu modal perubahan yang sangat mahal nilainya kepada negara.

Shamsul berkata, ucapan itu menjurus kepada isu-isu penting yang perlu digarap oleh generasi muda terutama dalam Dewan Pemuda PAS untuk berhadapan dengan pengundi muda yang sofistikated.

Ini ditambah dengan penegasan Ustaz Nasrudin memperakui pengaruh dan peranan media baharu yang signifikan dengan golongan muda mutakhir ini.

"Kecenderungan pendekatan terkini oleh Pemuda PAS harus dilihat bukan sekadar untuk memikat tetapi hendak sampaikan mesej kepada orang muda kerana mereka diangggap sebagai partner dalam negara ini.

"Saya menerima baik ucapan beliau, paling bernas, antara terpanjang mencakupi keseluruhan aspek penting dalam usaha memperkasakan generasi muda terutama dalam hal-hal manfaatkan media-media baru yang sekarang ini menjadi trend.

"Perkara ini penting kerana dalam keadaan kita ingin menarik dan memberikan pendidikan politik kepada generasi muda, saya juga melihat ini merupakan satu ingatan penting kepada pimpinan muda Pakatan Rakyat untuk berani menyampaikan pandangan dan menerima kritikan melalui laman-laman maya," tegasnya.

Shamsul sebagai seorang pengamal undang-undang berkata, inilah trend revolusi yang berlaku di Mesir yang menggunakan pendekatan strategik baru dan beliau yakin dengan impak besar dalam pilihan raya akan datang.

Menurutnya, kini senjata media baru ini lebih ringkas dan lebih ampuh yang diminati golongan muda kerana itu harus ada keberanian untuk memanfaatkan peluang yang sedang terbuka luas ini bagi menyampaikan pendidikan politik.

Bercakap tentang sukarnya Pemuda Umno sukar untuk menerima gagasan Pemuda PAS sedangkan Pemuda DAP boleh faham, Shamsul berkata, ini disebabkan oleh faktor politik apa yang besar di hadapan mereka, politik mereka bercakap ingin menjadi perdana menteri dan menteri.

AMK tegasnya boleh menerima pendirian Pemuda PAS kerana sama menggunakan kaedah jalur politik di jalur dakwah dan jalur dakwah di jalur politik dan dengan DAP pula untuk sama-sama tegakkan kebenaran dan keadilan.

"Kita gerakkan politik tidak taksub menjadi agenda bersama oleh mana-mana parti politik bijaksana dan ini tidak terpakai kepada Pemuda BN," tegasnya.
Harapan beliau kepada generasi muda mesti berani melakukan perubahan kerana mereka sudah lama mengimpi dan mendambakan sebuah negara yang mampu membantu dan mengangkat martabat rakyat.

Bagi beliau, tujuh juta pengundi muda menunjukkan satu kekuatan politik baru dan sesiapa pun yang ingin menang dalam pilihan raya mesti meyakinkan golongan muda, dalam Pakatan Rakyat jelas, ruang dan peluang diberikan sepenuhnya kepada generasi sebilang masa bukan di waktu pilihan raya sahaja.

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah pula berkata, ucapan Ustaz Nasrudin sungguh terkehadapan kerana menggariskan cabaran yang memang banyak berlaku di Malaysia sekarang ini lalu beliau megggariskan bagaimana cara berhadapan dengan situasi semasa.

"Beliau memberikan kefahaman kepada seluruh Pemuda PAS tentang cabaran yang sedang berada di hadapan dan saya juga tertarik dengan fokus beliau tentang bagaimana untuk mendampingi golongan muda yang beliau sifatkan generasi millenium.

"Bagi saya, fokus yang diberikan beliau amat tepat sekali kerana generasi itu adalah penentu kepada bentuk sesebauh negara di masa hadapan," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan gagasan gerakan politik kini mesti lebih kreatif untuk memenuhi citarasa masakini sesuai dengan trend dan budaya politik pada hari ini, justeru perlu kepada usaha lebih baik untuk memenuhi cabaran dan ruang lingkup semasa.

Loke yakin sekiranya Pemuda PAS dapat memahami dan melaksakan segala gerakerja yang digariskan, Pemuda PAS bakal menjadi satu gerakan yang berpengaruh sekali kerana jumlah anggota ramai dan organisasi mantap.

Katanya, Pemuda PAS jika dapat menggunakan pendekatan baru seperti facebook dan twitter di alam maya, wadah mereka akan berlainan dan lebih berkesan dalam memenuhi keperluan semasa.

"Saya menerima baik khususnya beliau menolak fitnah bahawa kerjasama dengan DAP dan Keadilan adalah satu proses diluluskan oleh Majlis Syura melalui Tahalluf Siyasi dan penegasan melalui mulut Ketua Pemuda PAS sendiri serta tulisannya meminta Pemuda PAS menerima dengan baik.

"Saya lihat Ketua Pemuda PAS amat komited dalam Pakatan Rakyat dan menolak persepsi negatif untuk menggagalkan pakatan itu meskipun ada musuh politik yang cuba berbuat demikian," tegasnya lagi.

Dalam pada itu, jelasnya, beliau berharap pemuda Malaysia seluruhnya dapat memahami bahawa masa depan negara terletak di tangan generasi muda pada hari ini sebaliknya jika mereka gagal memahami kehendak ini, masa hadapan Malaysia akan berada dalam keadaan tidak baik.

Menurutnya, pengundi muda seramai tujuh juta merupakan modal besar jika dapat digabung dalam satu suara untuk menuntut perubahan ke arah terbaik.

Bercakap tentang Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai nanti, Pemuda DAP dalam konteks Pakatan Rakyat akan memberikan kerjasama terbaik dalam menuntut pilihan raya lebih bersih dan adil.


650 pewakilan tentukan pimpinan pemuda

Afiq Hizami, Pelatih UKM

SHAH ALAM, 2 Jun: Seramai 650 pewakilan dari seluruh negeri yang menjadi perwakilan Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke 52 ini bakal menentukan kepimpinannya sesi 2011-2013.

Mereka bakal menentukan siapa akan menjadi Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Timbalan Ketua, Naib Ketua, 12 Ahli Jawatankuasa Kerja DPPP dan dua Pemeriksa Kira-kira.

Mereka mula membuang undi jam 10.00 pagi tadi. Keputusan pemilihan dijangka akan diumumkan malam ini.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang menang tanpa bertanding, Ustaz Nasrudin Hassan menyatakan pemilihan jawatankuasa kerja kali ini adalah sangat sengit dan sukar untuk menentukan siapa yang akan memenangi kerusi tersebut.

Ditanya mengenai ciri-ciri yang menjadi autoriti kepada calon pemilihan tersebut, beliau menyatakan bahawa pemilihan mungkin dilihat dari dua aspek iaitu aspek glamor dan juga cara berkerja yang dilakukan oleh calon selama dua tahun sebelum ini.

Bercakap pada masa yang sama, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Khairil Faizi Ahmad Kamil melahirkan kegembiraan terhadap kelangsungan muktamar dewan pemuda kali ini.

"Ini kali pertama kita bermuktamar dengan perwakilan terus dari kawasan dan kita memastikan pewakilan yang datang menghampiri 700 ahli serta layak mengundi untuk pemilihan pada kali ini," jelas beliau sewaktu berucap di Dewan Auditorium MBSA Shah Alam.

Beliau juga calon dalam merebut jawantankuasa dewan pemuda PAS kali ini juga menyerah kepada pewakilan untuk menentukan pemilihan yang dirasakan sesuai.



Gelak-gelak dalam borak online KJ
Regina Lee
Jun 2, 11
3:54pm

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam sesi borak dalam talian anjuran Yahoo! Malaysia dihujani pelbagai soalan, termasuk yang menggelikan hati.

NONEDalam sesi selama sejam setengah pagi tadi, kebanyakan soalan yang diajukan mampu membuatkan Khairy tidak senang duduk.

Tetapi sama ada Khairy dalam mengelaknya dengan hujah penuh diplomasi dan kepetahannya bermain kata, sesi itu turut mewujudkan suasana ceria dan gelak-ketawa.

Berikut petikan daripada sesi itu:

Tentang kroni dan proksi

Soalan: Apa kaitan YB dengan Jason Lo, Tony Fernandes dan adakan terdapat hubungan dalam sokongan YB terhadap AirAsia dalam peruntukan perjalanan.

Jawapan: Jason Lo kawan baik saya. Saya kenal dia sejak kecil. Tony juga kawan saya. Saya tidak punya sebarang saham dalam AirAsia. Siapa buat dakwaan ini boleh jumpa saya di mahkamah. Saya sokong peruntukan perjalanan kerana ia baik untuk negara ini supaya lebih pelancong tiba. Kamu tak mahu lebih ramai melawat Malaysia.

KJ, kamu tiada saham dalam AirAsia, tetapi adakah anggota keluarha terdekat mempunyai saham dalam AirAsia? ;)

Anggota terdekat saya tiada saham dalam AirAsia, begitu juga kawan-kawan atau proksi. Sekali lagi, saya sedia bertemu sesiapa sahaja di mahkamah berhubung perkara ini.

Impian masa depan

NONEYB, adakah YB masih mampu menjadi PM ketika berumur 40 tahun?

Hahaha. Ini firnah! Urban legend. Saya tak pernah kata mahu jadi PM pada umur 40 atau mahu jadi PM. Saya hanya mahu berkhidmat atas kapasiti yang rakyat mahukan.

Apa kamu akan jadi/buat sekiranya tidak berada dalam politik?

Koresponden perang.

Hal ehwal lelaki

Apa kelemahan PM kita?

Beliau suka lagu 'Nobody But You' oleh (Wondergirls)? Ini kelemahan yang buruk.

Khairy, siapa penyanyi kegemaran kamu?

Tentulah bukan Wondergirls. Haha. Maaf DS Najib. Saya suka U2, Counting Crows dan Dave Mathews. Artis tempatan, saya suka Faizal Tahir. Beliau cool.

Makanan kegemaran YB?

Patin atau ikan keli.

NONEApa pendapat anda tentang Justin Bieber?

Muntah. Maaf kepada semua Beliebers. Mungkin hilang undi mereka di sana.

Tentang rakan dan lawan

Apa pandangan kamu pada Raja Petra Kamaruddin?

Dia suka putarkan pembohongan dan semuanya terdedah akhir-akhir ini.

Khairy, apa pendapat kamu tentang Mukhriz Mahathir, adakah kamu fikir beliau sebagai ancaman kepada karier politik kamu?

Beliau pemimpin muda Umno dengan potensi yang besar. Sebagai pemimpin Umno kami mesti bekerjasama. Walaupun kami pernah bersaing sesama sendiri untuk jawatan ketua Pemuda, saya rasa kedua-dua kami cukup matang bekerjasama untuk parti.

Patutkah Mahathir kembali menjadi perdana menteri?

Saya rasa kita patut lihat ke hadapan.

NONEKamu amat kritikal kepada polisi dan legasi Tun M. Kenapa?

Saya kritikal pada dasar. Ia bukan berkaitan peribadi kepada siapa pun. Jika ada yang saya tidak setuju, saya akan suarakan pendapat sendiri. Saya telah lakukan banyak kali kepada kerajaan ini dan dalam parlimen juga. Baru-baru ini saya menentang signal daripada kerajaan untuk menaikkan harga petrol RON95. Dasar, bukan orangnya.

YB... Bagaimana hubungan dengan (Anwar Ibrahim) dan keluarganya?

Saya tiada sebarang hubungan peribadi dengan Datuk Seri Anwar dan anggota keluarganya. Saya hanya lihatnya di parlimen.

YB, adakan benar kamu sepatunya berkahwin dengan Nurul Izzah suatu masa dulu?

Hahaha. Tak akan. Saya tak kenal langsung beliau kecuali melihatnya di parlimen sahaja. Satu lagi pembohongan dan urban legend. Orang ramai percaya pada omong kosong.


Inkues kematian Sarbani akan diadakan
Jun 2, 11 4:34pm

Pihak polis mencadangkan supaya diadakan inkues bagi menyiasat kematian pegawai kastam Ahmad Sarbani Mohamed ketika disoalsiat Suruhanjaya Pencegahan Rasiah Malaysia (SPRM).

NONEPeguam negara telah menyatakan persetujuannya, kata ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, lapor The Star.

Pada 8 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz membayangkan kemungkinan sebuah inkues ditubuhkan bagi menyiasat kematian itu.

Bagaimanapun, tambahnya, polis perlu menyelesaikan siasatan terlebih dahulu.

Mayat allahyarham, 56, ditemui dalam tertiarap di gelanggang badminton di Tingkat 1 SPRM Wilayah Persekutuan dengan kesan kecederaan di kepala pada 6 April.

Beliau antara 62 pegawai kastam yang ditahan semasa operasi SPRM bersama enam agensi lain dalam Operasi 3B pada 1 April lalu di Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan dalam kes rasuah, penggubahan wang haram dan beberapa kesalahan lagi.

Tiada ulasan: