Rabu, 29 Jun 2011

LAIN ORANG BERILMU....YANG JAHIL LAGI BODOH....DAN KAKI BODEK MENILAI SESUATU ATAU BERJUANG SESUATU...SEDAR TAK MAHU...

Sewa rumah PM, TPM RM18,000 sehari
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 28 Jun: Jika dibahagikan, secara mudahnya kos sewa bagi kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya lebih RM18,000 untuk sehari.

Kos baik pulih pula mencecah RM60,000 sebulan, bil elektrik RM5,704 sehari dan bil air RM1,092 sehari.

"Dari satu sudut, rakyat disuruh berjimat, agensi kerajaan disuruh berjimat, tiba-tiba untuk dua pemimpin negara ini, wang rakyat diguna sebanyak itu", kata Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) pada sidang media di Parlimen hari ini.

Turut serta pada sidang media itu, Dr Siti Mariah Mahmood (PAS-Kota Raja) dan Anthony Loke (DAP-Rasah).

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS sebelum ini menanyakan kepada kerajaan berhubung jumlah pembiayaan kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri setiap tahun bermula tahun 2006 hingga 2010.

Dalam jawapan bertulis semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz menjelaskan kerajaan membelanjakan RM48,789,115.03 setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi kedua-dua pemimpin negara itu.

Dalam perincian jawapan yang diberikan itu, Nazri menjelaskan kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu adalah berjumlah RM32,972,115.55, kos baik pulih RM3,581,744.78, bil elektrik RM10,267,868.15 dan bil air RM1,967,386.55 untuk satu tahun.

Untuk rekod, kedua-dua rumah kediaman rasmi itu adalah disewa oleh kerajaan daripada Perbadanan Putrajaya.

"Rumah bernilai berjuta-juta, kita tak tahu apa yang dibaik pulih setiap bulan," katanya lagi sambil mendakwa ia satu pemborosan melampau.

Tak rasa kesusahan rakyat

Anthony Loke dalam pada itu berkata, tidak hairanlah jika pemimpin negara ini memotong subsidi rakyat dengan menaikkan harga barangan seperti gula dan petrol.

Ia kerana, pemimpin negara tidak pernah merasai kesusahan rakyat kerana tenggelam dalam kehidupan mewah dan boros mereka.

"Saya tinggal dengan ibu bapa saya di rumah, maksimum bil elektrik saya RM150 sebulan. Bil setahun elektrik rumah rasmi PM dan TPM boleh bayar boleh bayar untuk 100 tahun bil elektrik saya.

"Kalau bil air, di Selangor subsidi 20 meter padu iaitu RM11, cukup untuk dua orang guna satu bulan.

"Kalau RM32,789 sebulan di kediaman rasmi PM dan TPM, bermakna ia diguna lebih kurang 5961 orang.

"Ini satu angka yang memeranjatkan," katanya.


Bila lagi Umno BN mahu jadi anak jantan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Jun: Datuk Seri Najib Razak diminta membuktikan beliau dan Umno benar-benar anak jantan di dalam pilihan raya umum akan datang.

“Pembangkang sudah lama bertarung secara jantan, masalahnya bila pula Umno dan BN hendak bertukar menjadi anak jantan,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Sebenarnya, kata beliau Umno BN sudah tidak ada roh perjuangan, ia hanya hidup dengan talian hayat jentera kerajaan.

“Jantan sangatkah Umno dalam pilihan raya, jika kaki dan tangan pembangkang diikat kemudian disuruh berenang,” katanya.

Soalnya, macam mana hendak menjadi jantan jika BN menggunakan segala kekuatan media dan polis untuk menyekat maklumat supaya sampai kepada rakyat.

“Suara Keadilan digantung permit, kartun Zunar dirampas, ceramah dikepong, pakai baju kuning ditangkap, apakah ini dikatakan anak jantan?” katanya.

Katanya, jika benar Najib anak jantan sila bertarung di padang sama rata.

Tambahnya, biarlah parti melawan parti, bukannya menggunakan jentera kerajaan melawan pembangkang.

Justeru, beliau menyeru supaya dihapuskan undi pos, biar media perdana adil, menggunakan dakwat untuk elak penggundi berulang.

“Kalau perkara ini Najib tidak mampu membuat reform janganlah beliau mendakwa Umno anak jantan,” katanya.

Polis halau keluarga anggota PSM yang ditahan
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 28 Jun: Hasrat keluarga anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan polis untuk berkampung di hadapan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kepala Batas malam ini tidak kesampaian apabila mereka dihalau pada waktu Maghrib tadi.

Seramai 30 orang ahli keluarga mangsa 30 orang yang ditahan reman di tiga lokasi berasingan di Pulau Pinang bertindak demikian sebagai tanda protes terhadap tangkapan yang nyata bercanggah dengan tujuan asal rombongan terbabit yang hanya mahu menghadiri kempen 'Udah BN... Bersaralah' yang dijadualkan di Sungai Ara, Pulau Pinang dua hari lepas.

Bas yang turut dinaiki Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj ditahan polis di Tol Sungai Dua ketika ingin ke Sungai Ara untuk bersama-sama menjayakan program berkenaan. Beliau merupakan salah seorang pemidato malam tersebut.

Menurut Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan (kiri) kedatangan mereka ke IPD Kepala Batas semata-mata mahu melihat kaum keluarga yang ditahan bukan berniat mahu menimbulkan huru hara atau berdemo.

Berilah peluang untuk keluarga yang ditahan melawat atau bertanya khabar ahli keluarga bukan membiarkan mereka bersendirian menanggung masalah yang dicipta oleh polis kononya mereka hendak melawan Yang di-Pertuan Agong dan mahu menghidupkan fahaman komunisme.

"Berilah peluang kepada waris melihat atau bertanya khabar mangsa dalam lokap polis. Apa salah mereka sehingga ditahan dan direman. Ini satu pencabulan hak," tegasnya.

Sementara itu, Bendahari Kehormat PSM, A. Sivarajan yang turut berada di lokasi berkenaan kesal kerana pihak polis baru bertindak setelah dua puluh laporan polis dibuat sejak pagi tadi di dua lokasi iaitu di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang dan IPD Kepala Batas.

Katanya, antara dua daripada dua puluh laporan polis itu ialah meminta pihak polis menyampai ubat penyakit jantung kepada Dr Jeyakumar Devaraj namun sampai tengah hari tadi belum diserahkan.

Tetapi, ujarnya setelah diasak dengan laporan polis barulah mereka membawa beliau ke hospital untuk rawatan.

Belau berkata, bukan sahaja Dr Jeyakumar Devaraj menghadapi masalah tersebut sebaliknya pemandu bas turut dinafikan menerima ubat harian.

"Kenapa mereka sanggup berbuat demikian sedangkan mereka adalah rakyat Malaysia yang sah. Kenapa Kerajaan Barisan Nasional (BN) begitu gentar terhadap Himpunan Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) sehingga menangkap secara mendadak," jelasnya.

Harakahdaily dimaklumkan seramai 7 orang masih ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, seramai 21 lagi di IPD Kepala Batas dan dua orang iaitu anak Dr Jeyakumar, Raveen dan rakanya, Thivyakumar masing-masing berumur 18 tahun kini berada di lokap Balai Polis Sungai Dua.


Pembeli rumah terbengkalai serah memo minta kerajaan bertindak
Afiq Hizami, Pelatih UKM

KUALA LUMPUR, 29 Jun: Seramai 300 orang pembeli rumah terbengkalai dengan berpakaian jingga berhimpun secara amam di lobi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada jam 2.30 petang tadi di Pusat Bandar Damansara.

Perhimpunan itu bagi menyerahkan dua memorandum rayuan terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu Datuk Wira Chor Chee Heung untuk menggesa pihak kementerian membantu menyelesaikan masalah mereka.

Menurut Mohd Akram Mohd Akhbar yang mengetuai penyerahan dua memorandum tersebut, satu memorandum mewakili komuniti projek rumah terbengkalai daripada pemaju syarikat Talam Corporation di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur manakala satu lagi mewakili Badan Bertindak Casa Gemilang daripada pemaju Capital Lane Sdn. Bhd.

Bagaimana pun pihak pembeli sedikit kecewa apabila dikatakan Menteri dan Timbalan Menteri KPKT tidak datang dan memorandum itu diserahkan kepada seorang pengarah KPKT.

"Ada di antara kami yang menunggu selama lapan tahun untuk rumah mereka siap dan wang pula dibayar pada setiap bulan.

"Tapi sampai sekarang projek tersebut masih terbengkalai, kami tanya apa alasan pihak pemaju mereka kata masalah kewangan.

"Kami telah banyak bersabar dan memutuskan untuk berbincang membuat satu perhimpunan yang amam bagi menyerahkan memorandum ini untuk merayu kepada kerajaan supaya menyelesaikan masalah ini," kata Mohd Akram yang juga pembeli rumah terbengkalai.

Selain daripada itu, menurut Jaafar Ismail Pengerusi Badan Bertindak Casa Gemilang (BBCG) mahu pihak kerajaan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak pemaju yang tidak bertanggungjawab ini.

"Ada antara kami tertindas dalam hal ini, pemaju cuba menipu kami dengan menyediakan perjanjian yang langsung tidak memihak kepada kami dan dilihat menguntungkan syarikat pemaju.

"Justeru itu, kami berharap pihak kerajaan mengambil berat mengenai masalah kami dan menyelesaikan dengan secepat mungkin kerana kami telah mengambil masa yang terlalu lama untuk menduduki rumah idaman kami.

"Dan kami juga difahamkan beribu-ribu keluarga pembeli di Selangor dan Kuala Lumpur mengalami kesengsaraan dan beban ekonomi yang teruk disebabkan kegagalan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Tan Sri ini dalam menyiapkan rumah mereka yang kini tertunggak lebih daripada enam tahun," jelas beliau lagi.

Difahamkan syarikat Talam Corporation dikatakan milik seorang 'Tan Sri' yang menjadi Pengarah Bukan Eksekutif syarikat tersebut mempunyai tujuh anak syarikat pemaju yang bertanggungjawab terhadap lapan projek rumah terbengkalai di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Malah, menurut pembeli ada antara anak syarikat Talam Corporatian ini yang sudah tidak beroperasi lagi malah tidak mempunyai lesen yang sah.


Terima kasih kerana promosi percuma Bersih

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Jun: Walaupun ditekan dengan pelbagai asakan, PAS mengucapkan ribuan terima kasih kepada polis dan media BN kerana membuat promosi percuma untuk perhimpunan Bersih 9 Julai ini.

"Apa pun kami berterima kasih kepada polis, pak menteri dalam negeri, Perkasa, pemuda Umno, Utusan Malaysia, RTM dan TV3 kerana tolong mempromosi secara percuma perhimpunan bersih pada 9 julai ini.

"Segala 'jasa baik' kamu tersebut kami serahkan pembalasannya pada Allah," kata peguam Mohamed Hanipa Maidin (gambar), AJK PAS Pusat.

Namun begitu, kredibiliti timbalan ketua polis negara dipertikaikan beliau dan disifatkan sebagai bukan sahaja jahil undang-undang bahkan beliau telah menyalahguna kuasa.

Hanipa mempertikaikan "Adakah orang sebegini yang akan menjadi Ketua Polis Negara kelak?"

Hanipa membuat kenyataan itu ketika mengulas kenyataan Datuk Sri Khalid Abu Bakar yang berkata, sebarang permohonan permit tidak akan dilayan untuk mengadakan perhimpunan Bersih.

Bagi beliau, kerajaan BN merestu tindakan polis yang menyalah gunakan kuasa itu.

Bagi Hanipa yang menang dengan undi yang besar dalam pemilihan pimpinan PAS Pusat baru-baru ini, hasrat menganjurkan perhimpunan bersih secara aman pada 9 julai ini yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menerima reaksi 'gila' dari Kerajaan zalim BN yang menggunakan instrumen Polis untuk mewujudkan ketakutan di kalangan rakyat.

Katanya, pelbagai tuduhan tidak masuk akal digunakan oleh polis untuk mengganggu program bersih .

Tuduhan paling 'common' adalah perhimpunan bersih adalah perhimpunan haram kerana tiada permohonan permit dikemukakan, katanya.

"Hakikatnya polis yang suka perhimpunan haram diadakan kerana Timbalan Ketua Polis Negara sendiri dilaporkan berkata sebarang permohonan permit tidak akan dilayan.

"Apa gunanya permohonan permit dipohon jika Timbalan KPN sendiri menyatakan permohonan tersebut tidak akan dilayan," kata Hanipa.

Sebenarnya, kata Hanipa, kenyataan Timbalan KPN tersebut adalah bercanggah dengan sekyen 27 Akta Polis 1967 kerana tugas meluluskan permit adalah di tangan Ketua Polis Daerah (KPD) .

"Jika Timbalan KPN sudah mendahului KPD apakah jaminan KPD akan berani mengatasi keputusan Timbalan KPN? Adalah jelas Timbalan KPN bukan sahaja jahil undang-undang bahkan beliau telah menyalahguna kuasa beliau . Adakah orang sebegini yang akan menjadi Ketua Polis Negara kelak ?" soal beliau.

Tuduhan lain terhadap bersih adalah perhimpunan bersih akan menjejaskan keselamatan negara dan mengganggu keamanan.

"Bagaimanakah suatu perhimpunan yang belum diadakan sudah diketahui akan menjejaskan keselamatan dan mengganggu keamanan? Adakah polis bertindak sebagai pak nujum di sini?" katanya.

Penganjur Bersih, jelas beliau, telah berulang kali menyatakan perhimpunan yang ingin diadakan adalah perhimpunan aman bagi menuntut satu pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini.

Jika benar ia mengganggu keamanan maka sudah tentu ia bukan datangnya dari bersih sebaliknya boleh dihujahkan datang dari mereka yang ada ajenda buruk ingin mengganggu perhimpunan aman bersih, tegasnya.

Selanjutnya adalah menjadi tugas polis menjaga keamanan dan polis sepatutnya menolong bersih dari gangguan anasir -anasir yang ingin mengganggu keamanan perhimpunan bersih.

Hanipa yang menang beberapa kes saman terhadap polis berkata, polis mesti jujur dan profesional.

"Adakah perhimpunan bersih yang ingin diadakan secara aman akan menjejaskan keselamatan negara atau ianya menjejaskan keselamatan Umno dan BN? Sejarah membuktikan polis di negara ini gagal membezakan antara keselamatan negara dan keselamatan Umno ?" tambah Hanipa.

Katanya, Bersih mempunyai rekod yang bersih menganjurkan perhimpunan ratusan manusia di Kuala Lumpur secara aman dan polis pula mempunyai rekod yang kotor mengganggu perhimpunan aman bersih.

Mahkamah sendiri telah menyatakan di dalam kes perhimpunan bersih yang pertama dahulu bahawa perhimpunan bersih adalah aman dan tidak menjejaskan keamanan sebaliknya polis yang menganggu perhmpunan aman tersebut.

Saksi-saksi polis yang memberi keterangan di dalam kes bersih sendiri mengakui semasa di soal balas oleh peguambela bahawa perhimpunan bersih yang pertama adalah aman dan tidak menjejaskan negara.

"Untuk rakyat yang cintakan demokrasi dan pilihanraya yang adil dan bersih marilah sama sama kita beramai ramai menyertai perhimpunan aman bersih pada 9 hb Julai 2011 ini. Buktikan pada semua bahawa kita adalah rakyat yang cintakan keamanan dan demokrasi yang tulin," katanya.


Impian Umno punah, peniaga dapat kunci Bazar esok
Aslani

KOTA BHARU, 29 Jun: Usaha Umno menjadikan isu Bazar Tok Guru sebagai modal besar menjelang pilihan raya umum ke-13 kini punah apabila hampir kesemua peniaga menandatangani perjanjian memiliki lot niaga di situ.

Hampir kesemua 336 peniaga dari Pasar Lama MPKB dan Arked Uda telah menandatangani perjanjian pembelian lot kedai dan dokumen berkaitan urusan peguam.

Program menandatangani perjanjian itu diadakan mulai 27 Jun lalu dan dijangka berakhir esok.

Pengurus Pemasaran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Khalili Abdul Kadir berkata, esok peniaga terbabit akan diserah kunci lot kedai bagi membolehkan mereka memindahkan barang.

“Sehingga hari ini sebahagian besar daripada 336 peniaga sudah menandatangani perjanjian dengan PMBK untuk memiliki lot kedai di Bazar Tok Guru.

“Dijangka pada Jumaat ini mereka boleh membawa masuk barangan jualan masing-masing,” katanya di sini.

Sebelum ini Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB melemparkan pelbagai tuduhan kepada kerajaan negeri berkaitan isu Bazar Tok Guru.

Malah berdasar kepada laporan media persatuan itu juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno Kelantan termasuk pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ahli persatuan juga dilapor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penjualan Pasar Lama MPKB, namun tiada sebarang penyelewengan ditemui.

Isu perpindahan peniaga Pasar Lama MPKB dan peniaga Arked Uda juga dimuatkan dalam akhbar Umno, Khabar yang disebar secara percuma di kaki lima masjid April lepas.

Biar pun dikecam hebat persatuan, kerajaan negeri tetap berusaha menyelesaikan bagi kebajikan peniaga termasuk menawar lot di Bazar Tok Guru secara percuma selama setahun di tingkat bawah dan dua tahun di tingkat satu.

Selain itu mengurangkan harga setiap lot sebanyak RM25,000 menjadikan harga ditawarkan RM63,000 jauh lebih rendah berbanding harga asal RM88,000.

Tawaran memiliki lot di tingkat bawah dan tingkat satu dengan harga RM63,000 hanya sah sehingga 31 Mei lalu.

Dan selepas 31 Mei sehingga akhir Jun harga setiap lot ditawarkan sebanyak RM70,000 dan setiap peniaga perlu mengurus sendiri pinjaman bank.

Daftar awal boleh pilih

PMBK juga memberi peluang mana-mana peniaga yang mendaftar awal boleh memilih lot dan pendaftaran lewat akan diberi lot secara pengundian.

Selain itu PMBK memperluaskan lorong di bahagian belakang di mana 29 lot kedai diroboh.

Khalili berkata, 29 lot diroboh bagi memberi keselesaan kepada peniaga biar pun PMBK kehilangan pendapatan lebih RM2 juta, di mana setiap lot bernilai RM88,000 pada harga semasa.

“Jumlah RM2 juta yang dimaksudkan hanya kehilangan pendapatan ekoran 29 lot kedai diroboh,” katanya.

Beliau juga berkata, 96 peniaga yang mendaftar awal diberi peluang memilih sendiri lot tanpa perlu mengundi berdasarkan kepada polisi ditetapkan daftar dahulu dapat awal.

Bazar Tok Guru yang terletak di Jalan Sultan Ibrahim setinggi tiga tingkat mempunyai 860 lot. Lot di tingkat satu dan dua ditawar kepada orang ramai yang berminat berharga antara RM84,000 hingga RM92,000.

Lebih separuh lagi lot di tingkat satu dan dua dibuka tawaran kepada orang ramai yang berminat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Bahagian Jualan PMBK di talian 747 4545 atau 013 907 3209 (Norin) atau 014 507 9001 (Izziani).


Umno buat kecoh di hadapan IPD Kepala Batas
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 29 Jun: "Polis boleh lihat siapakah yang biadap dan tidak menghiraukan keamanan dan kedamaian sebaliknya bersikap kasar, hiruk pikuk, bising dan samseng," kata Ketua Penerangan PAS Kepala Batas, Othman Ayob.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian penyokong Umno cuba mencetuskan kekecohan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas semalam untuk menghalang 30 keluarga mangsa tangkapan di Tol Sungai Dua berkampung di situ sebagai protes.

Katanya, jika tidak kawalan pihak polis sendiri pasti Umno dan Perkasa bertindak kasar dengan niat mahu mencetuskan provokasi supaya himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini dibatalkan.

Padahal, katanya keluarga mangsa tahanan itu bukan mengadakan demontrasi, berpekik dan berteriak mengatakan sesuatu kepada polis tetapi hanya duduk berhampiran perhentian bas dengan menanti pemasangan khemah yang disediakan oleh Parti Keadilan Rakyat Cabang Kepala Batas.

"Kenapa Umno tiba-tiba datang seramai 300 orang buat bising dengan keadaan samseng, seolah-olah Malaysia ini mereka yang punya.

“Mereka patut merasai kehairanan kenapa polis bertindak begitu terhadap rombongan yang menaiki bas yang hanya datang untuk menghadiri program parti," jelasnya.

Baginya, pihak polis sepatutnya bertindak menangkap beberapa orang Umno yang memekik dengan kata-kata perkauman, bukannya mendesak keluarga mangsa tahanan bersurai.

“Mujurlah keluarga mangsa dan ahli parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat tidak melatah atau bertindak melawan sebaliknya berdiam diri sambil melihat telatah Umno,” katanya.

Akhirnya, ujar beliau hasil campur tangan Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang, Johari Kassim yang berbincang dengan pihak polis keluarga mangsa dibawa ke Markas Tarbiyah PAS di Pongsu Seribu untuk bermalam di situ.

Tiada ulasan: