Orang Melayu Tidak Sejahil Sangkaan UMNO - YB Lim Kit Siang
UMNO menganggap orang Melayu kurang cerdik dan mudah dicucuk hidung. Matlamat UMNO menyerang DAP adalah untuk menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap DAP, dan seterus supaya menolak Pakatan. Ini adalah pakej UMNO mengajak Melayu membenci DAP, dan ia diulas untuk membuktikan UMNO sendiri tahu yang para pemimpinnya banyak omong kosong dan terlalu bergantung kepada fitnah.
Mengapa orang Melayu tidak ramai menyertai DAP?
Kerana UMNO berjaya menfitnah sejak zaman-berzaman, mereka memberi persepsi buruk terhadap DAP dengan mengaitkan hal perkauman, agama dan ideologi komunis. Hakikatnya, semua dakwaan itu palsu dan UMNO sendiri pun tahu yang ia palsu. Semua fitnah ini telah dibuktikan tidak relevan dan salah sama sekali. Komunis tidak mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan tetapi DAP menjunjung Perlembagaan dan segala isinya. Ideologi DAP adalah demokrasi social yang ditolak dan ditentang oleh komunis. Dalam UMNO, pernah ada pemimpin ditahan di bawah ISA kerana dituduh komunis. Bagaimana UMNO boleh menyamakan kuda dengan basikal?
Apakah benar DAP parti berbilang bangsa dan Melayu boleh menjadi pemimpin dalam DAP?
UMNO menerusi ejen-ejen seperti Utusan dan Perkasa melukis gambaran pada fikiran orang Melayu bahawa mereka hanya akan menjadi kuda tunggangan orang-orang Cina dalam DAP. Hakikatnya, untuk menjadi pemimpin yang baik dalam mana-mana organisasi, setiap individu perlu mempunyai kualiti dalam semua segi. Kualiti hanya akan wujud sekiranya organisasi itu mempunyai jumlah kuantiti yang mencukupi. Tanpa kuantiti, sukar untuk memilih kualiti yang terbaik di kalangannya. Sifir ini dengan mudah menjelaskan, mengapa orang Melayu belum ada yang menjadi pemimpin besar dalam DAP, kerana jumlahnya masih sedikit. Senario ini juga adalah kesan dari kempen UMNO BN menakut-nakutkan orang Melayu kepada DAP, hingga jumlah ahli Melayu dalam DAP belum ramai. Kini, masa depan kita pasti akan berubah.
Pada masa yang sama, perlu ditanya: MCA itu kuda tunggangan UMNO atau UMNO kuda tunggangan MCA?
Benarkah DAP menjaga kepentingan Melayu di Pulau Pinang?
Sebelum PRU 2008, kita semua tidak akan tahu jika tidak diuji. Kini, pentadbiran Pulau Pinang termasuk kerajaan negeri-negeri Pakatan yang lain, adalah manifestasi kerajaan yang mendukung Perlembagaan dan menghormati Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Yang DiPertua Negeri masih kekal, jabatan dan agensi kerajaan kekal, kepentingan dan kedudukan semua kaum di Pulau Pinang tetap terpelihara. Pendek kata, tidak ada apa-apa perubahan dibuat untuk mengubah struktur pentadbiran negeri.
Yang baru dan amat berbeza adalah corak dan pendekatan pentadbiran. Ia kini lebih bersih, telus dan saksama dengan agihan ekonomi yang semakin adil. Maksudnya, semua ini boleh dilakukan sebelum 2008 tetapi tidak dilakukan oleh UMNO, Gerakan dan BN. Tetapi ia telah dilaksanakan oleh DAP dan Pakatan Rakyat. Ini adalah proses, dan proses adalah bukti nyata. Mana-mana ahli forensik sekali pun tidak mampu menyangkalnya. Jangan lupa, yang telah diuji pula telah gagal – UMNO. Lihat sendiri track record mereka, dulu, kini dan selamanya – gagal.
Dengan adanya pemimpin Melayu didalam DAP, adakah ia akan merosakkan hubungan dalam Pakatan Rakyat?
UMNO hanya faham politik kaum. Pemimpin mereka ingat orang lain pun seperti mereka. Melayu letak dalam UMNO, Cina dalam MCA dan India dalam MIC. UMNO kata lompat, komponen-komponen BN lain tanya, berapa tinggi mahu lompat. Oleh kerana tidak faham atau pura-pura tidak faham, UMNO terus melaga-lagakan hubungan antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Itu kerja mereka. Bagi rakyat yang sudah celik – biarlah si Luncai terjun dengan labunya..biarkan. Hakikatnya, apa yang didukung oleh PKR, DAP dan PAS semuanya bersifat politik terbuka. Yakni rentas kaum, agama dan budaya. Ini perjuangan kemanusiaan. Semua ini menjadi dasar bersama PR yang kuat.
Benarkah DAP akan menjadikan negara ini negara Kristian? DAP mahu Perdana Menteri dari orang Cina?
Ini adalah dakyah terbesar UMNO-BN tahun ini. Mereka ibarat berkhayalkan pisang akan berbuah nangka. Dakyah ini menghina intelek masyarakat. Semata-mata mahu membangkitkan kemarahan orang Melayu, mereka telah mencipta berita palsu. Mereka ingat orang Melayu bodoh dan tidak faham Perlembagaan. Sedangkan UMNO bising melalak tentang Perlembagaan dan Islam sebagai agama Persekutuan. Tidak masuk akal langsung tuduhan itu.
Lagi satu, mungkin pemimpin dan ahli UMNO lupa bahawa pemimpin besar mereka Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang sesiapa yang layak menjadi Perdana Menteri tanpa mengira kaum dan agama. Namun DAP adalah parti berprinsip yang menerima hakikat masyarakat, realiti politik bahawa orang Melayu dan Bumiputera ialah kaum majoriti di Malaysia. DAP dengan hati terbuka menerima Perdana Menteri dari kalangan orang Melayu dan Islam; syaratnya pemimpin yang jujur, ikhlas, bersih dan telus dan adil.
Malah apabila ada pemimpin UMNO yang cuba “cucuk” Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan mahu menjadi Perdana Menteri, dengan senyum tenang, Presiden PAS itu menjelaskan beliau tidak berminat untuk memegang jawatan itu. Jelas, hanya UMNO yang gila kuasa dan tidak sanggup hilang dari kuasa yang membolehkan mereka membuat segala kebejatan.
Pemimpin UMNO selalu tuduh DAP, PAS dan PKR gila kuasa. Tapi rakyat sudah tahu kelentong dan tembelang UMNO.
Dan akhirnya…
Parti mana yang akan menjadi pembangkang yang ‘kuat’ di Malaysia?
Jawabnya ialah UMNO dan mana-mana komponen BN yang setia dengannya. Ini adalah kerana UMNO-BN yang paling kuat membangkang semua keperluan dan kehendak rakyat.
Rakyat mahu hapuskan tol, ia dibangkang ‘kuat’ oleh UMNO-BN
Rakyat mahu sistem pendidikan dirombak, UMNO-BN bangkang dengan’kuat’
Guru-guru mahu gaji, elaun dan pengurangan kerja pentadbiran untuk tumpu kepada mengajar, UMNO-BN bangkang dengan ‘kuat’
Wartawan, seniman dan mahasiswa mahukan kebebesan, UMNO-BN bangkang lagi ‘kuat’
Rakyat mahu negara berkebajikan, UMNO-BN tolak keras
Rakyat tidak mahu subsidi dikurangkan, UMNO-BN peduli apa kerana rakyat tidak sepenting kroni korporat mereka.
Oleh kerana hebat benar bangkangan UMNO dan BN terhadap aspirasi dan keperluan rakyat, maka elok sangat jika UMNO menjadi ketua pembangkang selepas PRU akan datang. – Roketkini.com
YB Lim Kit Siang
June 12, 2011 - KHIR TOYO PENDERHAKA KEPADA RAKYAT...???
Ada pemimpin yang tidar menyedari bahawa mereka diletakkan di singahsana oleh rakyat. Tempat yang dianugerahkan dikhianati dan rakyat diperhambakan.
Tiada apa yang boleh Umno banggakan mempunyai pemimpin seperti bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo. Malahan lebih berfaedah sekiranya pemimpin seperti Khir Toyo disingkirkan dari parti dan diperosok ke penjara kerana mengkhianati negara dan rakyat.Berapa gaji Khir Toyo ketika beliau menjadi Menteri Besar Selangor? RM100,000 sebulan? RM50,000 sebulan?.
Seorang Jawa, budak kampung dan doktor gigi mampu mengubahsuai rumah dengan harga RM6.5 juta?Rakyat mana yang tak marah. Siapa yang menanggung bebannya? UMNO!Bukan perkara mudah untuk memperbetulkan persepsi orangramai. Di mahkamah minggu lepas, Khir Toyo dikatakan membayar secara TUNAI sebanyak 8 kali dan setiap kali bernilai RM500,000 untuk kos mengubahsuai mahligai beliau.
http://www.bernama.com.my/
Pemimpin negara perlu diberi pengajaran bahawa jawatan yang diberi adalah amanah rakyat. Mereka berada di jawatan apa pun, adalah pemberian rakyat.
Baik jawatan Ketua Bahagian, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, Timbalan Menteri, Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Perdana Menteri malah isteri Perdana Menteri adalah pemberian rakyat.
Janganlah keterlaluan sehinggakan rakyat diperbodohkan kerana rakyat akan menghukum setiap sifat kesombongan kita. Banyak kita dengar mengenai kesombongan Menteri-menteri dan isteri-isteri mereka.
Pemimpin tidak akan hilang apa-apa. Khir Toyo akan kekal kaya walaupun dipenjarakan. Tetapi siapa yang akan merana. UMNO yang akan menerima musibahnya.
Posted by mae
Mengapa Selalu Fikir Tentang Cinta dan Hati?
Hati dan perasaan cinta merupakan satu fitrah insaniah tidak kira sesiapapun. Manusia perlukan cinta dan memerlukan kasih sayang. Perasaan untuk mencintai kepada lawan jantina memang tidak dinafikan, ia merupakan sesuatu yang perlu bagi setiap manusia.
Tapi, mengapa kita terlalu sibuk memikirkannya?
Adakala setiap masa dan waktu kita fikirkannya,
Sampai satu tahap, jika sentiasa memikirkan hal ini, kita pasti akan terjebak dalam "couple". Bukankah couple itu sebuah jalan yang penuh dengan liku-liku yang salah?
Jika anda masih belum mampu, jangan sekali bermain dengan perasaan. Ia tidak akan membawa kemana-mana. Perjalanan masih terbentang jauh.
Jodoh?
Masih tidak yakin dengan janji Allah.?
Di dalam kuliah, seorang ustaz menerangkan bahawa qada' bermaksud perkara yang akan berlaku dan qadar perkara yang telah ditetapkan sejak azali . qada' terbahagi kepada dua iaitu qada' muallaf iaitu yang akan berubah manakala qada' mubra adalah perkara yang telah ditetapkan sejak azali yang merangkumi jodoh, ajal, rezeki dan beberapa perkara lagi.
Bukankah Jodoh itu telah ditetapkan oleh-Nya?
Lihatlah.
Anda punyai misi untuk islam. Mengapa mudah goyah kepada perasaan dan cinta. Ramai yang mengatakan "aku mahu berkahwin, bernikah" tetapi dimanakah persediaan kita? untuk menjadi isteri kepada seorang suami atau suami kepada seorang isteri?
Ia bukanlah sebuah perkara yang mudah. Adakah ia hanya sebuah keseronokan? Untuk merealisasikan mimpi indah? Tidak. Ia satu tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah SWT suatu ketika nanti. Adakah kita telah melaksanakan tugas sebagai khalifah dengan sebaik-baiknya
Mari Menjadi Hamba kepada pencipta
Menjadi sebaik-baik hamba memerlukan pengorbanan bukan hanya pada kata-kata. Jika kita imbas kembali bagaimana sahabat-sahabat rasulullah yang sentiasa memperbaharui dan meningkatkan Iman mereka. Keyakinan mereka adalah di tahap yang tinggi. Mereka melihat syurga di hadapan mereka. Amal yang mereka lakukan adalah semaksimum yang mungkin.
Bukan seperti kita? Mengimpikan syurga tetapi kita hanya bermimpi tanpa mempertingkatkan amal. Sedarlah! Hidup ini satu perjuangan. Jadi, berusahalah Untuk Menyihatkan IMAN!
Jangan terlalu fikirkan cinta
Cinta dan perasaan satu keperluan. Tetapi kita mesti pandai menguruskannya. Bercintalah tetapi melalui jalan-jalan yang Islam telah tunjukkan. Buat persediaan, dan lakukan ta'aruf dan seterusnya. Islam itu dipenuhi cinta dan kasih sayang, tapi banyak cinta dan kasih sayang yang menyimpang dari islam kerana kita tidak menghayati Islam sepenuhnya.
Jom sama-sama kita mencari cinta dan RedhaNya.
Lihatlah cinta yang sebenar ini!
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya ALLAH TA'ALA berfirman pada Hari Kiamat kelak; mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-KU? Hari ini KU-naungi mereka, di mana tidak ada naungan yang lain selain naungan-KU."
Halusnya Cara Allah
Masya-Allah, Astaghfirullah.
Aku seolah-oleh baru tersedar dari mimpi. Mindaku seolah-olah baru bangun dari kelalaian yang lama. Aku sangat-sangat bersyukur kerana Dia masih menginginkan aku untuk berubah menjadi lebih baik. Menginginkan aku kembali merujuk kepada-Nya dalam melayari kehidupan ini.
Kedatangan rakanku bersama rakannya yang tidak aku kenali, benar-benar memberi hidayah kepadaku. Sememangnya rakan perempuanku itu telah memberitahu untuk datang ke rumahku pada hari itu. Setelah mendapat izin suamiku, aku pun menerima kedatangannya. Namun tidak disangka dia membawa seorang lagi kawan perempuannya yang tidak pernah aku kenal sebelum ini. Aku tidak tahu bagaimana hendak menolak kehadiran tetamu baruku itu kerana aku belum meminta izin suamiku. Inginku menelefon atau menghantar sms pada masa itu di hadapan tetamu, terasa tidak sesuai. Apa yang perlu aku lakukan? Hati aku berdolak-dalik. Sekiranya aku menjemput dia masuk, berdosa kah aku kerana tidak meminta izin suamiku dahulu? Kalau aku tidak menerima kehadirannya, apa pula perasaannya? Bagaimana kendak ku terangkan kepada tetamuku? Bukan aku tak sudi tetapi, aku tersepit antara adat dan tuntutan. Masya-Allah, sesungguhnya tuntutan adat sememangnya selalu bercanggah dengan tuntutan agama.
Otakku ligat membuat keputusan, yang akhirnya aku terpaksa membenarkan tetamu-tetamu ku masuk. Di dalam hatiku, hanya Allah yang tahu betapa rasa bersalahnya aku kerana mengizinkan orang lain masuk ke rumah tanpa izin suamiku. Pada masa itu juga aku telah bertekad untuk memohon maaf kepada suamiku bila pulang dari kerja. Semoga suamiku faham situasiku pada masa itu. Amin.
Ternyata, kedatangan kawanku bersama rakannya, ada hikmahnya dan memberi hidayah kepada aku. Selama ini aku sememangnya telah bertekad untuk berhenti mengumpat atau berkata tentang orang lain sama ada orang itu aku kenal atau pun tidak. Namun, bertahun telah berlalu, semakin aku usaha, semakin banyak pulak dugaan yang menggalakkan aku terus mengumpat tanpa tahu cara untuk mengelaknya. Tambahan pula jiran-jiranku terdiri daripada wanita-wanita yang sama sikapnya, iaitu mengumpat.
Ya Allah, setiap kali aku bersembang dengan jiranku, mengumpat itu mesti ada. Fitnah, entahlah. Aku pun tidak tahu. Aku yang tidak tahu apa-apa cerita tentang orang di sekitar aku kerana aku sememangnya tidak mempunyai ramai kawan, akan menjadi tahu hanya dengan bersembang bersama jiran-jiranku. Sama ada ceritanya benar atau tidak hanya Allah yang tahu. Setiap kali aku masuk ke rumah setelah habis bersembang, aku akan rasa bersalah sendiri. Aku memohon ampun kepada-Nya kerana mengumpat, namun ia berulang kembali. Aku belum mempunyai kekuatan untuk berubah. Aku sering mengingatkan diriku dengan sering membaca buku-buku azab Allah kepada sesiapa yang mengumpat supaya aku boleh berubah. Tetapi, itulah tipu daya syaitan laknatullah. Semakin kita berusaha untuk berubah, semakin kuat hasutannya.
Dengan izin Allah, Dia mendatangkan aku seorang tetamu yang tidak ku kenal, menceritakan masalahnya yang telah di burukkan oleh orang yang dia kenal dan baik hubungannya dimana orang tersebut juga merupakan salah seorang jiranku. Semakin dia bercerita, semakin banyak keburukan orang tersebut terbongkar. Tiba-tiba aku tersedar.
Maha Suci-Mu Ya Allah, kalau kita selalu menceritakan keburukan orang, Allah pasti akan membuka aib kita. Aku yang pada asalnya hanya kenal sedikit tentang insan itu, menjadi semakin kenal dengan sikap buruknya hanya dengan melalui cerita orang lain. Terbukti Allah telah membuka aibnya kerana sikapnya yang suka menceritakan keburukan orang lain.
Ia memberikan aku kesedaran dan keinsafan. Aku tidak mahu aibku di buka oleh Allah SWT. Aku benar-benar insaf. Pada masa itu juga aku bertekad untuk tidak mengumpat lagi. Azamku semakin kuat untuk berubah walaupun aku tahu cabarannya banyak. Sebagai langkah permulaan, aku menguatkan hati dengan berkata kepada kawan dan tetamu baruku itu agar semua ceritanya itu cukuplah sampai di sini sahaja kerana aku tidak mahu keaiban kita pula di buka oleh Allah.
Alhamdulillah, tetamu-tetamuku bersetuju. Begitulah halusnya cara Allah, dan aku bersyukur kerana aku diberi petunjuk, hidayah dan kekuatan untuk aku terus berubah. Sekarang ini, sekiranya aku bersembang, aku membuat keputusan agar otakku mendengar juga apa yang dituturkan oleh mulutku agar otakku boleh tapis dan menghalang agar aku tidak mengumpat lagi. Aku juga seboleh daya cuba mengelak dari banyak bercakap dan mengurangkan aktiviti suka bersembang bersama jiran-jiranku.
Semoga usahaku akan berjaya kerana aku tidak mahu di hidangkan dengan daging manusia di akhirat nanti. Insya-Allah.
Kehebatan Syurga Berdasarkan Al-Quran
Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.
Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran tentang kehebatan syurga Allah SWT yang sempat saya kumpul :
"Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka." (Surah Ar-Ra'd; 35)
"Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan." (Surah Ar-Rahman; 48)
"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang mengalir." (Surah Ar-Rahman; 50)
"Di dalam kedua syurga itu terdapat segala macam buah-buahan yang berpasangan." (Surah Ar-Rahman; 52)
"Mereka bertelekan di atas permadani yang sebelah dalamnya dari sutera. Dan buah-buahan di kedua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat." (Surah Ar-Rahman; 54)
"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin." (Surah Ar-Rahman; 56)
"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang memancar." (Surah Ar-Rahman; 66)
"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik." (Surah Ar-Rahman; 70)
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan..." (Surah Luqman, 8)
"Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah "salam"" (Surah Ibrahim; 23)
"Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezeki di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Maryam; 62)
"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21)
"Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta." (Surah Yasin; 57)
"(Bagi mereka) syurga 'Adn mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka didalamnya adalah sutera." (Surah Fathir; 33)
"....Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman." (Surah Al-Furqan; 76)
Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. Jadikanlah kami hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa. Kami teringin menemui-Mu di syurga. Ampunkahlah dosa-dosa kami.
Sungguh Menarik dan Tertarik
Petang itu cuaca agak muram. Sang mentari mula melarikan diri. Tiga bulan berkhidmat tanpa henti, mungkin sudah tiba masanya untuk berehat seketika. Biarkan hujan pula merahmati bumi Shamrock ini.
Aku dan Mr. X masih asyik bersembang sambil menikmati kopi panas yang meletup!
"Kita akan tertarik kalau sesuatu itu menarik."
Alamak..Mr. X sudah memulakan bicara falsafahnya.
"Mmm..betul," jawabku ringkas.
"Jadi kalau semua benda ini menarik maka kita akan tertarik," sambung Mr.15.
"Betul," aku masih lagi kurang faham akan maksud sebenar pernyataan ini.
"Maka kalau kita menarik semua orang akan tertarik."
"Cumanya...setiap orang itu berbeza daya tarikannya," responku
"Kenapa perlu mencari perbezaan dalam keadaan kita banyak persamaan. Cuba kalau disusun semula kenyataan kami; setiap orang itu sama daya tarikannya," balas Mr.15.
"Mm...secara teori kita boleh bercakap tentang persamaan, tetapi realitinya...."
"Itulah masalahnya Usop..mari saya ceritakan satu kisah," Mr. X membuka cerita misteri...jeng jeng jeng...
Kampung Y adalah sebuah kampung yang jauh di pedalaman. Kampung ini mempunyai populasi sekitar 500 orang. Uniknya, semuanya tidak berselipar ataupun bersepatu.
Satu hari mereka dikunjungi oleh dua orang pemuda dari bandar. Ahmad dan Abu. Ahmad dan Abu adalah jurujual kasut dari dua syarikat yang berbeza. Mereka datang untuk membuat tinjaun melihat ruang-ruang pemasaran yang ada di kampung ini.
Pulang dari membuat tinjauan, Ahmad dan Abu menyiapkan tugasan yang diberikan.
Laporan Abu :
Kita akan mengalami kerugian yang besar sekiranya kasut kita dipasarkan di kampung ini kerana tidak ada seorang pun yang memakai kasut di sini.
Laporan Ahmad :
Kita bakal mendapat keuntungan yang besar! Tidak ada siapa pun lagi yang pernah memasarkan kasut di sini. Cepat!
"Faham?" Mr. X menutup ceritanya.
"Mm...faham cerita tu..tapi apa kaitannya dengan perbualan kita tadi?" tanyaku sedikit kehairanan.
"Kamu ni...begini...dalam hidup ni, kita akan sentiasa melihat sesuatu itu dari pelbagai aspek; aku ringkaskan; kita lihat daripada 2 aspek yakni positif dan negatif.
Ramai orang pilih untuk melihat dari aspek negatif, hanya segelintir yang melihat secara positif.
Ingat, what u see is what u get!
Orang ke kedai nak beli gula takkan dapat garam! Jadinya, kalau kamu terus menerus melihat perbezaan, kamu akan terus menerus mencari perbezaan. Sampai mati pun kamu akan cakap pasal perbezaan. Yang kita ketandusan sekarang ini adalah manusia yang proaktif yang mencari persamaan!
.....
"Faham?!"
Aku menganggukkan kepala. Berfikir. Sungguh menarik dan tertarik.
Biodata Kolumnis
Usop adalah nama singkatan bagi salah seorang co-founder iLuvislam.com Wan Yusof Norilham Ezani Wan Jeffery. Kini beliau merupakan pelajar perubatan di University College Dublin, Ireland. Penulisannya boleh dibaca di usop.iluvislam.com.
Ancaman Daripada Segenap Sudut
" Jika musuh kita menyerang daripada segenap sudut yang ada, adakah kita akan selamat dengan bertahan hanya pada satu sudut? "
" Jika mata kita selamat daripada melihat aurat belum tentu telinga kita selamat daripada mendengar orang mengumpat. "
" Jika tangan kita bebas daripada mencuri, belum tentu kaki kita terhindar daripada melangkah ke tempat maksiat."
" Jika mulut kita bersih daripada yang haram, belum tentu kemaluan kita terhindar daripada dosa dan rangsangan. "
Musuh itu pasti menyerang daripada segenap sudut dan melalui segala kemungkinan yang ada. Musuh itu berupakan nafsu yang ada di dalam dirimu atau godaan daripada luar.
Dalam dunia yang sedang kita jalani sekarang, serangan itu semakin menjadi-jadi. Semua perkara dan alat yang kita gunakan di dalam kehidupan seharian akan diaplikasikan oleh musuh-musuh kita untuk melemahkan dan menghancurkan kita.
Hanya dengan melayari internet, kita terus terdedah kepada serangan tersebut sekalipun kita tidak berniat untuk melakukan kemungkaran. Apabila memandu melalui jalan-jalan di kota, kita terus dapat melihat serangan itu terpapar besar di papan-papan iklan. Wanita-wanita mendedahkan bahagian tubuhnya yang merangsang pemikiran lelaki.
Hanya dengan berjalan di sebuah pasaraya untuk memberi barangan keperluan, kita akan terlihat begitu banyak bentuk rangsangan yang merosakkan kekhusyukan ibadah kita. Bahkan hanya dengan memiliki sebuah telefon bimbit, sekian banyak 'SMS' yang masuk menawarkan aksi-aksi panas.
Serangan-serangan yang sedang kita hadapi ini bukanlah sesuatu yang biasa dan sangat menyesakkan dada. Setiap hari kita berhadapan dengannya tanpa diminta. Kita merasakan selamat kerana kita telah sebati di dalamnya. Boleh jadi juga kita sebenarnya telah kalah dan mungkin telah menjadi agen dalaman yang menyerang orang lain.
Kita sebenarnya tidak selamat jika kita hanya bertahan daripada satu sudut. Kita memerlukan sistem pertahanan yang memelihara kita daripada segenap sudut. Kita mesti menahan seluruh anggota yang mungkin diserang oleh musuh termasuk hati. Ya, sekalipun jasad kita selamat daripada benar-benar tewas, hati kita mungkin diserang penyakit yang sukar diubati.
Lebih teruk lagi jika kita gagal menyedari bahawa serangan-serangan itu wujud. Bahkan bertambah malang jika kita sudah tidak mahu bertahan lagi dan asyik dengan hidangan-hidangan yang dipaparkan kepada kita. Suatu hari, kita pasti hancur bersamanya.
Ghazwul fikri (serangan pemikiran) yang kita hadapi ini perlu ditentang dan dilawan secara berterusan. Walaupun kita belum mampu membina sebuah gelombang atau sistem yang boleh menghancurkan serangan sedia ada, bertahanlah daripada serangan dalam diri masing-masing.
"Aku sudah cukup kuat, aku pasti selamat."
" Bagaimana dengan ibu dan ayah kita? Adik-beradik kita, anak dan isteri kita nanti? Adakah kita ingin selamat seorang diri sedangkan Al-Quran memerintahkan untuk kita menjaga diri dan ahli keluarga kita daripada api neraka? "
Binalah kekuatan dalaman dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh kesedaran bahawa kita tidak akan selamat jika kita tidak bersedia untuk sebarang kemungkinan.
" Boleh jadi hari ini kita dapat mengelak, namun esok engkau kita terkandas jua."
Kekuatan iman dan takwa perlu digilap dan ditingkatkan supaya kita boleh bertahan dengan semua bentuk serangan. Kuncinya, bersabarlah kerana memang tak mudah.
" Sedarlah bahawa kita ibarat hidangan di mata musuh kita, bila-bila masa kita akan diterkam dan dimusnahkan jika kita tidak berjaga-jaga. Ya, musuh yang boleh muncul daripada mana-mana sudut dalam apa jua keadaan. Bersedialah. "
Mustahilkah Untuk Melakukan Perubahan?
Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil.
Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).
Tiba-tiba terfikir satu persoalan.
Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?
Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?
"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah Az-Zukhruf 43 : 37
"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62
Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.
Yang mana lebih kita kejarkan? Perbuahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?
Pastinya yang lebih baik.
Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang peuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.
Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:
"Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"
"Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"
Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.
Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.
Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2
Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?
Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.
Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.
Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.
Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.
Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun. Jangan biar jalan kita dihiasi dengan futur.
Ertinya:
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan diMekkah). Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi saw. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu".
H.R. Termizi
Keterangan
Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad saw. menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad saw. mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita”, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.
Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari berbuat ibadat kepada Allah swt., sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi Tetapi, bila dibanding dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari berbuat ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk rnenambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw., "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)".
Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehaloban manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi di saat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan. OIeh itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan. Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan