Sabtu, 25 Jun 2011

HUKUM ISLAM TU SEMUA BETUL DAN TEPAT...LEMAHLAH ALLAH JIKA ADA KEKURANGANNYA..CUMA KITA MENGAWAL DAN MENYUSAHKANNYA....

Penganalisis: Pakatan cuba kekal momentum
Jun 25, 11 4:09pm
Perhimpunan haram yang dicadangkan oleh kumpulan pengacau pada 9 Julai sebenarnya adalah satu cubaan untuk mengekalkan momentum pembangkang bagi menghadapi pilihan raya akan datang, kata penganalisis politik.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Asri Salleh berkata selain itu kumpulan itu juga mahu menguji populariti mereka atau 'to test the waters' untuk menilai sejauh mana sokongan terhadap mereka selain mencetuskan rasa benci rakyat terhadap kerajaan.

"Mereka ini juga boleh dianggap sebagai mereka yang sengaja mencabar undang-undang yang ada. Agenda mereka hanya mahu berhimpun. Ini boleh mencetuskan bahaya (kekacauan) di ibu kota.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menawarkan untuk berbincang dan sebagainya. Kenapa mereka tolak? Kenapa tak mahu buat di stadium dan sebagainya, seperti yang dicadangkan sesetengah pihak?" katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Asri juga mempersoalkan sama ada aspek keselamatan di dalam perhimpunan itu boleh dijamin oleh pihak penganjur demonstrasi haram dalam ribuan orang yang bakal hadir sebagaimana didakwa kumpulan berkenaan.

"Kalau 100,000 orang nak berhimpun apa jaminan mereka (penganjur) bahawa perhimpunan itu terkawal. Dalam istilah psikologi, dalam kumpulan terdapat segelintir yang akan bertindak mengambil sikap 'mob behaviour' (tingkah laku samseng). Ahli politik dan psikologi tahu perkara ini.

"Tambahan lagi dalam hal ini, yang dilakukan di tempat terbuka... tindakan yang mungkin tidak ada apa-apa pada asalnya boleh bertukar ganas. Sebagai contoh... lihat di dalam stadium sekalipun, di dalam tempat tertutup rusuhan tetap tercetus dengan awalnya hanya sedikit pergaduhan," katanya.

Beliau berkata apabila seekor tebuan menyerang musuhnya, yang lain turut berbuat demikian.

Asri berkata sekiranya perkara ini berlaku, tentunya pihak polis yang akan dipersalahkan kelak, sedangkan pihak berkuasa sejak awal lagi sudah memaklumkan bahawa perhimpunan itu haram dan tidak mendapat permit untuk berkumpul.

Katanya, provokasi pula boleh didalangi mana-mana pihak dan ini boleh menyebabkan situasi tidak terkawal, tambahan pula tiga lagi kumpulan dijangka turut berkumpul pada hari yang sama iaitu Pemuda Umno, PERKASA dan orang awam.

"Agak menghairankan juga kenapa setiap kali demonstrasi hanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kenapa tidak di Jalan Bukit Bintang dan sebagainya? Pastinya ada udang di sebalik batu oleh pengajur dalam memilih lokasi itu," katanya.

Dari sudut perlembagaan walaupun perhimpunan dibenarkan namun ia mestilah dibaca dengan klausa atau perkara yang lain supaya tidak menjejaskan keselamatan atau perniagaan dan rakyat yang lain yang berhak menjalani rutin harian mereka dalam aman, tambahnya.

Sementara itu Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Ghapa Harun berkata situasi itu boleh dilihat dalam dua aspek iaitu golongan yang menyokong demonstrasi dan yang membantah demonstrasi.

Beliau berpendapat senario berkenaan ialah di mana satu pihak yang mengatakan bahawa perhimpunan ini dibolehkan kerana untuk memperlihatkan tuntutan-tuntutan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan seperti hak bersuara dan hak untuk berhimpun.

Katanya, mana yang dilihat baik adalah bergantung kepada bagaimana seseorang membina pandangan daripada perspektif mana yang dipilih.

Beliau berkata bagaimanapun perlu dilihat juga situasi di mana orang yang berhimpun tidak menyusahkan orang lain daripada sudut keamanan, ekonomi dan sebagainya.

"Perhimpunan ini dikatakan tidak mendapat kebenaran oleh pihak berkuasa jadi pihak berkuasa perlu memikirkan, menilai dan mentafsir apa yang sepatutnya dibuat dalam situasi di mana berlakunya perhimpunan atau tidak berlakunya sebarang perhimpunan untuk mengelakkan sebarang kekacauan berlaku," katanya.

Beliau lebih cenderung supaya polis bertindak sebelum perhimpunan haram itu bermula dengan mengambil langkah-langkah tegas yang diperuntukkan oleh undang-undang negara demi menjaga kestabilan dan keharmonian.

--Bernama


Pendakwaan trio Umno satu konspirasi?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Jun: Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada prosiding kes melibatkan trio Umno Datuk T di Mahkamah Majistret yang sudah tertangguh hampir tiga bulan, tetapi dapat diselesaikan semalam sebahagian daripada konspirasi bersama Peguam Negara dan pihak polis.

“Apa yang berlaku di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur (semalam) dalam kes (trio Umno) Datuk T trio dan seks video Sri Carcosa merupakan salah guna proses mahkamah, menyebabkan proses kehakiman negara menjadi bahan ketawa.

“Misalnya, terdapat satu testimoni seorang pakar bahawa orang lelaki dalam video seks itu 99.99 peratus adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” selar Kit Siang, sambil menyoal kredibiliti testimoni pakar tersebut apabila ia tidak dicabar oleh sebarang kenyataan oleh para pakar yang lain.

“Ini menyebabkan testimoni tersebut menjadi akuan satu belah yang tidak lebih daripada khabar cakap,” tambah beliau.

Semalam, trio Umno atau Datuk T mengaku bersalah mengedarkan video lucah dan masing-masing didenda antara RM3,000 hingga RM1,000 setiap seorang.
Ketiga-tiga mereka, bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik didenda RM1,000; Datuk Shazryl Eskay Abdullah RM3,000 manakala bekas bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim RM1,500.

Namun, bagi Kit Siang, apa yang melucukan pada prosiding di Mahkamah Majistret pagi semalam ialah cara Datuk T menjustifikasikan jenayah mereka kononnya demi kepentingan negara.

“Apa yang boleh lebih penting untuk negara selain memperjuangkan pembasmian rasuah, terutamanya budaya rasuah semasa pemimpin negara apabila Indeks Rasuah Ketelusan Antarabangsa (Transparency International) menunjukkan kejatuhan teruk dari tangga 23 di 1995 ke 56 dalam masa 11 tahun,” bidas Kit Siang.

Bahkan, kata beliau, trio Umno itu dilayan seperti VVIP, dan dibenarkan untuk meninggalkan mahkamah tanpa membayar duit denda yang dikenakan.

Kit Siang, yang juga merupakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, turut menyoal Peguam Negara sama ada beliau bersetuju bahawa ia adalah relevan untuk mengurangkan hukuman terhadap sesiapa saja, sama ada mencuri dokumen atau melanggar Akta Rahsia Rasmi, sekitanya jenayah itu dilakukan dengan tujuan murni seperti mendedahkan rasuah besar melibatkan menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin dalam kerajaan.

“Soalan yang saya hendak ajukan ialah sama ada Peguam Negara dan polis adalah sebahagian daripada konspirasi dalam salah guna kuasa proses mahkamah trio Datuk T yang menyebabkan kelewatan tiga bulan dalam mendakwa mereka supaya kononnya ‘testimoni pakar’ dapat disiapkan dan dilaporkan ke mahkamah untuk menuduh bahawa orang di dalam seks video Carcosa ialah Anwar,” soal Kit Siang.

Jika ya, beliau berkata kedua-dua Peguam Negara dan Ketua Polis Negara harus menjelaskan mengapa mereka kompromi dalam kebebasan, profesionalisme dan integriti pejabat mereka dengan melibatkan diri dalam permainan politik trio Umno Datuk T dan ketua-ketua mereka dalam Umno.




"Ketua Umno SPR" didesak letak jawatan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Jun: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sekali lagi mengulangi desakannya agar Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar perlu meletak jawatan.

Desakan itu dinyatakannya hari ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui wujud "pengundi hantu" dalam rumah ibu Ahli Parlimen Gombak itu yang beralamat di Kg. Klang Gate Baru.

"Wan Ahmad Wan Omar cabar saya buktikan dakwaan wujud pengundi hantu. Saya buktikan dan SPR akui. Wan Ahmad wajib berundur," katanya.

Sebelum ini, Azmin dicabar Wan Ahmad agar membuktikan dakwaannya bahawa ada penipuan dalam daftar pemilih yang dikeluarkan SPR.

Wan Ahmad berkata, Azmin tidak bercakap benar dalam isu itu.

Menyahut cabaran itu, Azmin ketika berucap pada Konvenysen Pilihan Raya KEADILAN minggu lalu kemudiannya mendedahkan rumah diduduki ibunya di Kampung Klang Gate memiliki 11 pemilih berdaftar iaitu enam Melayu dan lima Cina sedangkan ibunya tinggal berseorangan.

Nama yang didaftar di rumah ibunya ialah Mohamed Azmin Ali, Tan Teek Hock, Shamshida Taharin, Mohamed Azwan Ali, Lokman Abdul Rashid, Moufed Yazli Mohd Yazit, Aminudi Harun, Cgee Tom Yahaya, Tan Teek Fong dan Lim Hock Seng.

Bukti penyelewengan itu ujar Azmin berdasarkan daftar pemilih induk terbaru yang diwartakan 13 Mei lalu.

Sehubungan itu beliau mahu Wan Ahmad yang juga disifatkannya sebagai "Ketua Umno dalam SPR" meletak jawatan segera.

"Kekalkan Wan Ahmad Wan Omar di SPR adalah menghina institusi YDP Agong kerana institusi Raja adalah institusi yang mulia dan adil", tulisnya di Twitter.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan penipuan SPR itu sebagai "bodoh" kerana melibatkan rumah pimpinan tertinggi PKR.

Beliau juga turut mencabar Wan Ahmad meletak jawatan dan bertanding atas tiket Umno melawan Azmin di Gombak pada pilihan raya umum nanti.

Pembuktian itu juga jelasnya antara faktor kenapa Himpunan Bersih 2.0 yang dijadual 9 Julai ini wajar diadakan.



Lynas: GMSR bersama masyarakat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Jun: Gerakan Mahasiswa Selamatkan Rakyat (GMSR) membuktikan tekad mereka untuk bersama masyarakat bukan omongan kosong apabila turun ke Gebeng, Kuantan bagi menentang usaha pembinaan loji nadir bumi Lynas.

Menurut jurucakapnya, Ahmad Shukri Kamaruddin, pagi ini mereka memulakan aktiviti dengan bergerak secara berkumpulan dari rumah ke rumah penduduk kawasan itu.

"Ada lima penempatan menjadi tumpuan hari ini seperti Balok Seberang, Balok Perdana, Balok Pine, Balok Baru dan Balok Makmur," katanya kepada Harakahdaily.

Seramai 50 mahasiswa menyertai program bersama masyarakat ini yang terdiri daripada Solidariti Mahasiswa Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), dan beberapa pertubuhan mahasiswa yang lain.

Selain program ziarah dan penerangan dari rumah ke rumah, beberapa program lain turut diadakan seperti forum dan tinjauan sendiri ke Lynas.

"GMSR akan berada di Gebeng sehingga esok. Malam ini akan ada malam ekspresi anak muda bersama pemuda-pemuda tempatan," katanya.

Tambahnya, esok akan diteruskan dengan program solidarity walk bersama NGO Save Malaysia dan perjumpaan dengan NGO-NGO di Gebeng untuk membincangkan isu Lynas.

"Program akan berakhir petang dan kami menjemput anak muda untuk bersama-sama kami," katanya.


Bersih 2.0: Aktivis AMK, Pemuda PAS antara ditahan polis malam tadi
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Jun: Sekurang-kurangnya sembilan orang ditahan polis dalam tiga tangkapan berasingan malam tadi dipercayai berkaitan dengan memakai dan meyebar risalah berhubung perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadual 9 Julai ini.

Di Shah Alam, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainudin atau Jonah ditahan polis Selangor ketika sedang minum bersama rakan-rakannya di sebuah restoran kira-kira jam 11 malam tadi.

Menurut Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip, beliau difahamkan Khairul Anuar yang memakai baju Bersih, pada waktu itu baru sahaja selesai memesan minuman sebelum didatangi pihak polis dan meminta beliau mengeluarkan kad pengenalan.

"Minuman sampai, tak sempat minum pun. Polis tengok IC Jonah dan terus gari dia. Dia kemudian dibawa ke IPD Shah Alam", katanya.

Malam tadi merupakan pelancaran awal kempen Bersih 2.0 di Seksyen 24 Shah Alam yang merupakan sebahagian daripada program menjelang Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai ini.

Pada masa yang sama, seorang lagi anggota Dewan Pemuda PAS difahamkan turut ditahan malam tadi.

Pemuda tersebut yang hanya dikenali sebagai Shafri ditahan di Padang Jawa sebelum dibawa juga ke IPD Shah Alam.

Beliau ditahan dipercayai kerana membawa barangan serta pakaian yang juga ada kaitan dengan himpunan Bersih 2.0.

Bagaimanapun Jonah dan Shafri masing-masing dibebaskan jam 1.10 pagi dan 1.40 pagi selepas kenyataan mereka dirakam pihak polis.

"Tak sampai 24 jam, satu lagi siri tangkapan dibuat...Ternyata polis cuba menyekat hak dan kebebasan rakyat yang dijamin perlembagaan", kata Rozan lagi.

"Ini cubaan menakutkan rakyat. Kita seru rakyat jangan putus asa, kita ada hak berhimpun secara aman 9 Julai ini", tambahnya.

Selain itu Di Johor, tujuh lagi aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan ketika sedang mengedarkan risalah berkaitan himpunan Bersih.

Risalah itu diedar dalam pelancaran kempen parti itu 'Udahlah tu ...Bersaralah'.

Kempen 'Udahlah tu...Bersaralah' ditumpukan ke bandar-bandar kecil di Semenanjung Malaysia, melalui penjelajahan jelajah dari 24-26 Jun untuk mendedahkan rekod BN.


Gobind: Mana mereka hilang, polis?
Fadzly Esa
Jun 25, 11
3:41pm

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo hari ini tampil di ibu pejabat Polis Bukit Aman menyerahkan memorandum berhubung lima lelaki yang didakwa hilang di Sri Kembangan pada 4 April lalu.

Beliau ditemani 10 orang ahli keluarga mangsa dilihat berkumpul di luar perkarangan ibu pejabat Polis itu kira-kira jam 11.50 pagi sebelum beredar kira-kira 30 minit kemudian.

Memorandum dua tuntutan itu diserahkan kepada timbalan pengawal pusat kawalan ASP LV Ariva mewakil Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

teoh family sue macc officer intimidate prontip 050110 gobindDalam sidang media ringkas selepas penyerahan itu, Gobind (kanan) berkata, mereka mahukan pengesahan sama ada kelima-lima lelaki India itu ditahan polis tidak kira di peringkat mana.

Ini kerana jika benar, perkara itu tidak menghormati hak mereka kerana anggota keluarga patut dimaklumkan di mana lokasi mereka ditahan, tambah wakil rakyat DAP itu.

Dalam tuntutan kedua pula, menurut Gobind lagi, beliau dan ahli keluarga mahukan penjelasan insiden yang disyaki mereka sebagai penculikan itu.

Menurutnya pihak keluarga mangsa juga telah melakukan siasatan sendiri dan telah memberikan maklumat berkaitan serta "bukti" kepada pihak polis.

"Selain itu, pihak keluarga mengesyaki berkemungkinan kelima-lima lelaki ditahan pihak polis," katanya.

Ditanya tindakan selanjutnya, Gobind berkata, beliau akan membangkitkan perkara ini dalam sidang parlimen pada Selasa depan.

"Saya akan meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyiasat perkara sebenar," katanya.
WAY undang beliau diolog, larang demo
Elissa Helmy
Jun 25, 11
3:50pm

Presiden Perhimpunan Belia Sedunia (WAY), Datuk Idris Haron menasihati golongan belia supaya jangan "membuang masa" menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 yang diatur pada 9 Julai ini.

Sambil menganggap ia perhimpunan haram, beliau berkata, kaum belia perlu sedar terhadap kewujudan pihak tertentu yang mahu mengeksploitasikan peranan mereka demi mencapai kepentingan pihak tertentu.

NONEJelasnya, sekiranya belia tetap berminat berhimpun, pihaknya menyarankan supaya mengikuti program Dialog Antarabangsa Belia Melaka anjuran WAY pada 26 hingga 29 Jun ini di Everly Resort Tanjung Kling, Melaka terlebih dahulu.

Ini kerana, katanya, antara objektif dialog kali ke-11 itu adalah untuk menyedarkan belia tentang usaha pihak terbabit yang sengaja mahu memperalatkan golongan belia demi kepentingan agenda mereka.

"Belia tidak seharusnya melepaskan peluang menyertai dialog tersebut kerana melaluinya, belia diberi kesedaran tentang hak dan peranan mereka dalam pembangunan negara selain penyalahgunaan tenaga belia untuk tujuan tertentu.

"Dialog kali ini membawa tema 'Membentuk Generasi Usahawan Masa Hadapan' namun ia turut mengandungi perbincangan secara global tentang penyalahgunaan kuasa pihak tertentu ke atas belia bagi mencapai kepentingan pihak tertentu," katanya.

Idris yang juga ahli parlimen Tangga Batu berkata, dialog tersebut amat bertepatan dengan perkembangan isu semasa yang sedang melanda negara pada masa ini terutama penganjuran demontrasi BERSIH 2.0 yang akan diadakan.

"Perhimpunan ini nyata bakal menggalak kekacauan dan bakal mewujudkan keadaan huru-hara dan penganjurannya turut dikutuk pimpinan antarabangsa.

"Kepada belia, tak perlu buang masa anda menyertai perhimpunan haram itu lebih baik anda sertai dialog ini kerana ia mendidik belia untuk menjadi usahawan pada masa depan," katanya.


'Larangan polis tak sah, langgar perlembagaan'
Hazlan Zakaria
Jun 25, 11
1:23pm

Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berpendapat tindakan pihak polis malarang perhimpunan BERSIH pada 9 Julai depan bukan sahaya tidak sah, malah melanggar perlembagaan.

"Mereka bertindak secara tidak sah apabila secara umum memaklumkan tidak akan mengeluarkan permit.

NONE"Sebagai pihak berkuasa awam, mereka hanya boleh membuat keputusan apabila permohonan dibuat," kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu kepada Malaysiakini.

Abdul Aziz (kanan) menjelaskan, bawah perlembagaan, polis perlu menimbangkan setiap permohonan permit dan tidak patut membuat sebarang pertimbangan tidak wajar.

Beliau berhujah, polis membuat penghakiman awal berhubung perkara itu dan sekali gus menentang undang-undang.

Paling teruk apabila ia bertentangan dengan hak yang dijamin dalam perlembagaan.

Katanya, mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Perskutuan, polis tiada sebarang hak melarang perhimpunan aman yang dijamin.

"Hatta mahkamah juga tidak boleh melakukannya," kata pensyarah undang-undang itu.


Kelab Taat Suami kembang sayap
Jun 25, 11 12:12pm

Kelab Taat Suami yang mencetuskan kontroversi tidak lama dahulu kini melebarkan sayapnya ke pelbagai negara lain, termasuklah Jordan, Thailand dan Singapura.

NONEKelab yang ditubuhkan Global Ikhwan - syarikat bekas pengikut al-Arqam - itu sedang meraih populariti, terutamanya di negara dengan kepadatan umat Islam yang tinggi, lapor Reuters.

Bagi seorang rakyat Indonesia Gina Puspita, beliau sanggup meninggakan kerjaya dalam bidang kejuruteraan pesawat untuk memenuhi misi menyampaikan ajaran Islam dan membantu wanita muda membina perkahwinan yang bahagia melalui amalam seks yang baik.

Ibu berpendidikan Perancis itu menganjurkan program keagamaan melalui kelab itu, berdasarkan kepercayaannya bahawa memenuhi tuntuhan seks merupakan penawar kepada masalah sosial "gaya Barat" seperti penceraian dan penderaan rumah tangga,

"Isteri mesti taat kepada suami dalam segenap aspek kehidupan, seperti menyediakan makanan dan minuman, menenangkan dan memberi sokongan kepada suami, termasuk juga dalam hubungan seks," Puspita dilaporkan sebagai berkata kepada agensi berita antarabangsa itu.




Tiada ulasan: