'Hasut' BERSIH: 59 anggota PSM ditahan
Susan Loone
Jun 25, 11
10:34pm
Bas membawa 31 anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) menghala ke Pulau Pinang malam ini dihentikan polis di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang hari ini.
Awal petang tadi, sebanyak 28 lagi anggota parti itu ditahan dalam bas di Tangkak, Johor tadi, termasuk Setiausaha Agung A Arutchelven.
Menurut anggota jawatankuasa pusat PSM Choo Chon Kai, kira-kira 30 anggota polis menghentikan bas di Sungai Dua pada jam 3.30 petang.
Katanya, bas daripada Sungai Petani itu menghala ke Pulau Pinang untuk ceramah 'Udahlah tu, bersaralah BN' di Bayan baru.
Kumpulan itu dibawa ke ibu pejabat polis daerah Kepala Batas untuk disoalsiasat.
"Kami diberahi bahawa bas dihentikan kerana kami cuba menghasut orang ramai menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai," katanya.
Haram minum 'bir halal' hingga fatwa keluar
Keputusan berkenaan isu 'bir halal' hanya akan dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jakim Mat Ali Sarbini.
Beliau berkata sehinggalah Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenainya, bir berkenaan itu adalah haram untuk diminum oleh umat Islam.
Beliau berkata pada masa ini sampel bir berkenaan masih berada di makmal-makmal universiti tempatan untuk dikaji perincian kandungannya termasuk alkohol.
"(Keputusan) belum (ada) lagi. Masih dalam peringkat penyelidikan. Oleh kerana makmal ini mempunyai giliran-gilirannya, jadi banyak benda-benda yang perlu diberikan keputusan yang menjadi perhatian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha merasmikan mesyuarat agung Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) kali ke-16 di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields hari ini.
Isu bir halal timbul sejak 28 Mei lalu selepas akhbar melaporkan penjualan bir berkenaan di pasaran semakin popular di kalangan umat Islam di negeri Johor dan penjualannya dikesan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).
Pada 29 Mei lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan berkata umat Islam tidak dibenarkan meminum bir berkenaan kerana kandungan alkohol bir berkenaan sebanyak 0.5 peratus iaitu melebihi paras alkohol yang dibenarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu 0.01 peratus.
Minuman yang diimport dari sebuah negara Islam di Timur Tengah itu banyak terdapat di kafe-kafe di negara ini dan dijual antara RM3 hingga RM5 sebotol.
Mat Ali berkata pada bulan depan Jakim akan mengedarkan naskhah Al-Quran dalam bentuk Braille kepada Jabatan Agama Islam Negeri bagi diagihkan kepada sekolah-sekolah orang cacat penglihatan di negeri masing-masing.
Beliau turut berkata bantuan yang diberikan kepada orang cacat penglihatan bukan sahaja meliputi bantuan Al-Quran dalam bentuk Braille tetapi juga meliputi bantuan-bantuan lain termasuklah kewangan.
Pada majlis itu, Mat Ali menyerahkan dua naskhah Al-Quran Braille berharga RM500 sebuah sumbangan Malaysia Building Society Berhad (MBSB) kepada dua anggota Pertis.
--Bernama
2 KP JKR: Biar JPA selesaikan, kata menteri
Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor meminta pegawai dan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan tugas mereka seperti biasa tanpa memikirkan isu pelantikan ketua pengarah jabatan itu.
Beliau berkata mereka perlu membiarkan isu berkenaan diselesaikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Saya dapati operasi JKR berjalan lancar dan saya yakin isu itu dapat diselesaikan oleh pihak JPA dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kementerian Kerja Raya Ke-60 di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, Shaziman berkata beliau yakin kontroversi itu dapat diselesaikan kerana sistem perkhidmatan awam negara memiliki tata cara tersendiri.
Semalam, Ketua Pengarah JPA Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata pelan penyelesaian yang dirangka dijangka mampu menangani isu berkenaan jika ia diterima pihak terbabit.
Kemelut pelantikan jawatan itu timbul apabila bekas Ketua Pengarah JKR Datuk Seri Judin Abdul Karim, yang dipinjam bagi mengisi jawatan Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada 1 Mei lalu, enggan mengosongkan biliknya meskipun pengganti beliau Datuk Mohd Noor Yaacob mula bertugas.
Pada karnival itu, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) berjaya mencipta nama dalam Malaysia Book of Records bagi kategori masakan terbanyak disiapkan dalam satu masa.
Pengerusi Puspanita Kementerian Kerja Raya Datin Mary Thomas berkata seramai 3,000 warga kementerian menyediakan 1,000 jenis masakan dalam "Sajian 1Malaysia"
"Juadah masakan ini dijual pada harga antara RM1 hingga RM2, dan hasil jualan akan disalurkan ke Tabung Bencana Negara," katanya.
Antara juadah Sajian 1Malaysia ialah Shanghai Style Chicken, Sheredded Chicken with Pandan Leaves, Steam Plain Chicken, Lam Varuval Stir Fried, Kofta, Kheema, Thenga Sadam, Nasi Beriani Ayam, Nasi Badam, Nasi Ayam Masala dan Nasi Ayam Madu.
--Bernama
Umno BN sangat bimbang 8 tuntutan Bersih Hazayani Zakaria |
KUBANG PASU, 25 Jun: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan Umno BN sangat bimbang dengan lapan tuntutan Bersih 2.0 sehingga meningkatkan usaha menyekat rakyat hadir ke himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Beliau mempersoal undang-undang yang dipakai Umno BN yang melarang rakyat memakai dan menjual baju kuning. "Di Malaysia ini begitu ganas dan zalimnya pimpinan Umno, bila pakai baju kuning dan jual baju bersih dianggap satu kesalahan. "Undang-undang mana yang mereka pakai? Ini satu bentuk keangkuhan kuasa dan tindakan terdesak kerajaan sebab mereka tengok kita minta pilihan raya Bersih. "Ada mereka pertahankan kebersihan pilihan raya?" katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Dun Bukit Kayu Hitam dan Pejabat PKR Kubang Pasu petang tadi. Anwar yang juga ketua pembangkang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa orang yang ditahan dan disoal siasat kerana memakai baju berlogo Bersih 2.0 malam tadi dan hari ini. Beliau turut mendakwa pilihan raya di Malaysia tidak ada bezanya dengan pilihan raya di Mesir sehingga rakyat bangkit melakukan perubahan. Katanya lagi, rakyat negara ini turut mahu melakukan perubahan terutamanya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri mengakui wujudnya pertindihan daftar pemilih. "Pilihan pilihan raya di Malaysia tidak ada beza dengan siapa yang boleh nafikan ada masalah daftar pengundi? "Bukan sahaja PKR PAS lebih terperinci bawa kes ini yang saya lihat sendiri dari jauh. Ada ruang media yang bebas? Tidak ada. "Apa beza pilihan raya Najib Tun Razak dengan pilihan raya Hosni Mubarak di Mesir, tolong jelaskan. "Mengapa rakyat dan dunia menyokong perubahan pilihan raya di Mesir dan adakah salah kita menuntut pilihan raya yang sama?" soalnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh. Tambahnya, Pakatan Rakyat tidak menuntut pilihan raya untuk kepentingan mereka tapi demi rakyat. "Kita tidak minta perubahan yang memihak kepada Pakatan Rakyat kita minta perubahan yang tunduk kepada peraturan dan ketelusan," katanya. Mengulas mengenai tahanan dua mahasiswa yang terlibat dalam program masyarakat di Gebeng, Kuantan petang tadi, beliau menyifatkan ianya untuk menakutkan golongan muda. "Dia akan tangkap sesiapa yang dilihat ke depan untuk menakutkan rakyat," katanya.
OPR – Siapakah yang diutamakan kerajaan BN akhirnya? Dr. Dzulkefly Ahmad | Jawapan kepada soalan YB Rembau tentang sebab dan rasional Menteri Kewangan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement-SRR) tidak meyakinkan. Berkebetulan saya juga (Kuala Selangor) menghantar soalan yang sama.
Untuk pengetahuan umum, SRR dan OPR adalah antara ‘kaedah monetari’ yang mampu digunakan oleh sesebuah kerajaan sepertimana hal cukai (taxation) dan subsidi adalah ‘kaedah fiskal’ yang digunakan untuk mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan. Kedua-dua kaedah ini disebutkan sebagai kaedah pengimbang atau ‘stabilising measures’ dalam pengurusan ekonomi dan kewangan Negara.
Pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menetapkan kenaikan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada 3% dari jumlah deposit bank-bank adalah menasabah difahami. Langkah tersebut adalah untuk menangani atau ‘menyerap’(mop-up) kelebihan kecairan akibat kemasukan dana dari luar.
Namun, langkah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekaligus adalah sangat dipertikaikan pelbagai pihak sebab kenaikan OPR, yang merupakan ukuran kadar faedah pinjaman perbankan, sekaligus mempengaruhi kenaikan Kadar Pinjaman Dasar atau Base-Lending Rate (BLR).
Jawapan soalan lisan dua hari lalu oleh Timbalan Menteri yang sama , berkenaan sebab-punca inflasi, mendapat pengesahan bahawa punca inflasi di Negara kini, adalah disebabkan oleh “Cost-Push” atau disebabkan kos yang meningkat (akibat kos komoditi dan penarikan balik subsidi) dan bukan “Demand Pull” atau inflasi disebabkan peningkatan permintaan oleh rakyat.
Dengan kata lain, kaedah monteri, bukan kaedah penyelesaian nya secara berkesan, kalau inflasilah isu dan masalah yang hendak ditangai atau di atasi. Dengan kenaikan OPR dan kemudiannya BLR, kerajaan wajar menyedari bahawa kos pinjaman serentak dengan itu kos menjalankan perniagaan (cost of doing business) juga mengalami kenaikan.
Sejak tahun lalu, kerajaan melalui BNM telah menaikkan OPR sebanyak 4 kali dan pada setiap kali 25 kadar mata asas (or 0.25 pewrcentage point). Dan sekaligus ini menaikkan BLR. Dengan kata lain, kalau seseorang membayar 5% kadar faedah untuk pinjaman rumah setahun lalu, maka kini ia akan mengalami 20% kenaikan dalam kos kadar faedah.
Saya bersedia menerima bahawa pengurusan ekonomi dan kewangan ini bukanlah mudah, namun jelasnya, tindakan BNM, dalam suasana rakyat menanggung kos saraan hidup yang terus meningkat, hutang isi-rumah (pinjaman kereta, rumah, kad kredit dsbnya) yang ke tahap RM544 bilion atau 74% KNDK dan ekonomi yang sedang mengalami pemulihan dan pertumbuhan yang belum rancak, khususnya dalam suku pertama tahun ini, maka sikap kerajaan untuk menaikkan lagi OPR telah member isyarat salah dan bakal memalapkan lagi perbelanjaan atau “consumption” untuk memacu “Pertumbuhan”.
Tindakan menaikkan OPR juga dilihat sebagai hanya mengaharapkan pihak pengurus dana antarabangsa untuk membawa masuk dana luar bagi mengambil kesempatan kadar faedah yang tinggi dari rantau lain. Dana atau ‘hot money’ seperti ini juga bukanlah yang dihajatkan oleh negara sebagai “quality investment’.
Sudahlah subsidi yang dikatakan ‘candu’ yang menjadi ‘ketagihan’ rakyat terus ditarik balik atas nama ‘rasionalisasi subsidi’, sekaligus mencetuskan kenaikan kos saran hidup dan inflasi, sementara pihak pemilik konsesi seperti IPP, sektor air dan lebuhraya terus mendapat pembelaan kerajaan, maka apakah kerajaan melalui BNM akan menaikkan lagi OPR dalam masa terdekat ini?
Pokonya rakyat ingin tahu, kepentingan siapakah yang menjadi keutamaan kerajaan BN ini, apabila menentukan polisi-polisi fiskal – cukai dan subsidi dan monetari –OPR dan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan yang lain ??
Selarikah dan wajarkah polisi-plisi ini dengan slogan PM Najib –“Mengutamakan Rakyat?
KENYATAAN AKHBAR – AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR Dzulkefly Ahmad, 21 hb Jun 2011.
Hikmah di sebalik Israk dan Mikraj Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang | Marilah kita mendengar firman Allah Taala yang menceritakan tentang peristiwa agung yang berlaku dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun para ulama telah bertelingkah di dalam menentukan bulan dan tahun berlakunya Israk tetapi ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada Rasulullah s.a.w. kerana peristiwa ini dinyatakan oleh al-Quranul Karim dan diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadisnya yang sahih, yang diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi. Matlamat yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu. Firman Allah Taala (maksudnya): "Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israk: 1) Peristiwa Israk dan Mikraj untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam, firman Allah (maksudnya): "Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam." (A-li Imran: 19). Dan Allah menyatakan juga (maksudnya): "Dan sesiapa yang mencari (berpegang) dengan agama selain daripada Islam, maka Allah tidak akan menerima dan pada hari akhirat dia tergolong dalam orang-orang yang rugi." (A-li Imran: 85) Pada malam yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dihimpun bersama dengan roh para nabi dan rasul 'alaihimus solatu wassalam di Masjidil Aqsa, mereka solat berjemaah bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi imam kepada mereka. Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w. Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana di kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa. Adapun mereka yang tidak memahami dan buta al-Quran tidak akan percaya kepada peristiwa Israk dan Mikraj, kerana pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. ditemukan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan Bani Israil dan nabi-nabi dan rasul di kalangan umat-umat yang lain, yang cerita-cerita mereka disebut dalam al-Quran, sebuah kitab Allah yang masih wujud sehingga hari ini. Ini menandakan kebenaran al-Quran. Kebenaran al-Quran bukan sahaja menandakan betulnya Rasululah s.a.w. bahkan juga menjadi pengajaran kepada umatnya. Semua nabi adalah menganut agama yang satu iaitu agama Islam. Semua mereka bersolat dalam keadaan menghadap Allah SWT dengan cara-cara solat yang diajar oleh Allah. Semua nabi berpegang dengan akidah tauhid lailahaillallah, tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah, tuhan yang layak disembah kepada-Nya, tuhan yang menjadikan dan menguruskan alam ini. Alam ini tunduk di bawah undang-undang peraturan Allah, maka wajib manusia hanya tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah SWT. Itulah ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terpaksa berjuang mengharungi perjuangan yang panjang. Di dalam peristiwa itu juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. rasul yang disertai oleh pengikut yang ramai. Ada rasul yang disertai oleh pengikut yang sedikit, ada yang berjalan seorang diri, ada nabi yang dibunuh dan ada yang dipenjara. Itulah nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa ajaran Allah yang berdepan dengan cabaran golongan manusia yang menjadi bala tentera iblis yang akan wujud sehingga hari kiamat. Peristiwa Israk dan Mikraj untuk meningkatkan semangat Rasulullah s.a.w. supaya jangan takut dan gentar di dalam perjuangan Islam, kerana Islam yang dibawa itu ialah Islam Allah SWT. Seluruh kuasa besar yang ada dalam dunia adalah habuk-habuk yang kecil yang boleh ditiup angin, bahkan ia lebih kecil lagi apabila berdepan dengan ketuhanan Allah SWT pada hari kiamat. Seseorang yang menganut Islam hendaklah merasa mulia, tinggi dan hebat dengan Islam, dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Allah SWT memuliakan umat ini dengan Islam. Kehinaan yang menimpa umat ini apabila mereka meninggalkan Islam. Ditunjukkan pada malam Israk dan Mikraj itu di mana perginya orang yang berpegang dengan Islam sehingga mati dan ke mana arah orang yang menyeleweng dan meninggalkan agama Islam. Orang yang berpegang dengan Islam diletakkan di syurga dan mereka yang menyeleweng daripada Islam berada di dalam neraka. Hal ini digambarkan dengan jelas supaya diberitahu kepada umatnya sehingga kiamat. Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT. Firman Allah (maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (A-li Imran: 102). | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan