Selasa, 14 Jun 2011

BIASA AKHBAR MEMUTARBELIT...MENANAM KEBENCIAN...BETULKE...TAK MEMIHAK PADA RAKYAT..TAK PE...NI MEMIHAK PADA POKET..TUAN POKET SAMPAI MASA MATI GAK...

Akhbar mengarut, bila PAS ubah dasar
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 13 Jun: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata PAS tidak pernah mengubah dasar dalam perjuangannya sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951 hingga kini.

Menurutnya, apa yang diucapkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada muktamar baru-baru ini berhubung Negara Berkebajikan, adalah sebahagian intipati perjuangan parti Islam itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa pihak yang mencabar PAS menggugurkan perkataan Islam pada perjuangannya sebagaimana yang disiarkan oleh sebuah akhbar harian hari ini.

Ahl Majlis Tertingg Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berpendapat PAS wajar menggugurkan perkataan Islam takut masyarakat keliru, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan nama Islam kerana PAS telah memperalatkan agama.

Ketika ditemui di kediamannya Pulau Melaka sebentar tadi, Tuan Guru Nk Abdul Aziz yang Menter Besar Kelantan berkata konsep yang dibawa PAS iaitu Negara Berkebajikan, berpandukan ajaran Islam serta nas yang mana Baginda Rasulullah sendiri sebagai modelnya.

Ketika hijrah Rasulullah mendapat mimpi dari Allah, suatu hari nanti baginda akan memasuki Kota Makkah yang ketika itu masih kekal dengan pegangan ajaran nenek moyang mereka.

“Sewaktu baginda dan para sahabat dalam perjalanan ke Makkah, baginda disekat oleh pembesar Makkah ketika itu. Walaupun usaha baginda untuk melakukan umrah di baitullah tidak dibenarkan, namun bertolak dari situ wujudnya perjanjian di Hudaibiyah.

“Perjanjian yang memulakan tulisan perjanjian itu dengan ‘Bismillahirrahmanirrahim…kemudiannya digantikan dengan ‘Bismikallahumma…dilakukan semata-mata kerana sikap lunak baginda sendiri di samping berpandangan jauh tentang Islam pada masa akan datang walaupun ianya berat sebelah,” ujar Tuan Guru lagi.

Tegasnya, di mana salahnya Presiden PAS menyebut negara berkebajikan, ianya bukan dasar kerana dasar perjuangan PAS tetap mendaulatkan Islam.

“Dalam surat khabar harian selalu menyebut PAS ubah dasar, bila PAS ubah dasar?

“Akhbar ni mengarut dan menyusahkan orang dan bukannya nak menyenangkan hati orang,” ujarnya.

Sambungnya lagi, beliau difahamkan Mohd Puad aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (Abm), sebaiknya menasihati perjuangan Umno agar kembali pada Islam dan bukannya PAS yang sudah memperjuangkannya.

“Yang tak setuju cara pentadbiran Islam orang Yahudi dan Nasrani saja, malah ulama Umno sebelum ini yang tidak suka pada dasar Umno sendiri telah keluar Umno dan tubuh PAS pada tahun 1951.

“Kami ni hanya meneruskan perjuangan ulama Umno terdahulu yang keluar parti menubuhkan PAS semata-mata tidak sukakan dasar yang Umno bawa,” ujarnya lagi.

Beliau juga turut membayangkan PAS akan menjadi Parti Islam Sedunia suatu ketika nanti bukan hanya di negara ini.


PKR Selangor hargai Dr Hasan, tahniah Dr Rani
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Jun: PKR Selangor senantiasa meraikan pembaharuan rakan parti dalam Pakatan Rakyat demi keutuhan kesepakatan yang telah pun dicapai sebelum ini.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata pembaharuan adalah perlu dibuat dalam memastikan tanggungjawab yang diberi oleh rakyat menjadi satu amanah yang tidak akan dikhianati.

PKR Selangor sendiri, katanya sudah beberapa kali berubah kepimpinan pasca 2008 dan akan terus berubah demi rakyat.

Sehubungan itu, ujarnya PKR Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada Dr Abd Rani Osman kerana telah dilantik memikul amanah sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor yang baru bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Ali yang telah banyak menabur jasa kepada Pakatan Rakyat terutama semasa menghadapi PRU 12 yang lepas.

“Kecekapan Dr Hasan Ali menangani beberapa isu sensitif membuktikan beliau seorang pemimpin yang berwibawa dan berjiwa besar.

“Kepadanya PKR Selangor kalungkan penghargaan atas khidmat cemerlang dan jasa yang telah ditaburkan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, PKR Selangor percaya perlantikan Dr Abd Rani bakal memberikan satu 'mimpi ngeri berpanjangan' kepada seteru politik bersama iaitu, Umno Selangor.

“Sudah pasti mimpi ngeri ini berulangan hampir setiap malam kepada kepimpinan Umno hingga ke PRU 13 akan datang,” katanya yang juga Adun Sri Muda.

Tambahnya, perlantikan itu juga memberi impak yang sangat besar kepada rakan dalam Pakatan Rakyat Selangor kerana hubungan baik beliau dengan pemimpin PKR Selangor dan barisan hadapan kepimpinan DAP Selangor.

Katanya, komitmen beliau dalam kesepaduan Pakatan Rakyat turut dilihat dalam kesudian beliau hadir ratusan ceramah kempen 'JELAS- Tawan Malaysia!' anjuran PKR Selangor dan gerak kerja kempen lain sebelum ini.

Menurutnya, rombakan kepimpinan baru di dalam PAS Pusat mahupun PAS negeri merupakan kehendak akar umbi dan pembaharuan itu merupakan satu 'berita buruk' untuk Umno Selangor yang satu ketika 'gila talak' menghulur tangan 'perpaduan' yang keikhlasan sebenar mereka sudah dimaklumi rakyat.

“Perubahan ini bererti nothah penamat sudah dimeterai,” katanya.

Beliau menambah, PKR Selangor akan sentiasa menjaga amanah, hubungan perpaduan dan sokongan tidak berbelah bagi pada kepimpinan baru PAS Selangor agar hasrat bersama membenamkan Umno Selangor tercapai.

“Pada PKR Selangor, siapa juga yang di pilih, mereka adalah pemimpin yang sangat komited dalam agenda memertabatkan hak rakyat.

“Ia sama sekali tidak akan mengubah 'rasa' dalam Pakatan Rakyat, bahawa UmnoBN adalah seteru politik yang mesti dihapuskan, ditanam dan dikuburkan segera kerana 'bau yang ada sudah tidak tertahan!” katanya.


PAS Bukit Katil ucap tahniah pada Adly
Ahmad Danial

BUKIT KATIL, 13 Jun: PAS Kawasan Bukit Katil mengucap tahniah kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka yang baru iaitu Adly Zahari.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Yusof Wahab berkata PAS Kawasan sentiasa komited untuk membantu Pesuruhjaya Negeri Melaka yang bagi memacu perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat di negeri Melaka.

"PAS Kawasan memberikan sokongan penuh atas perlantikan beliau dan percaya Adly berupaya untuk memimpin PAS negeri dengan baik.

"Dengan pengalaman dan karisma yang ada pada beliau saya yakin PAS Melaka akan lebih maju dan mantap berjuang seiring dengan DAP dan PKR di Melaka," kata Yusof.

Semalam Presiden PAS telah mengumumkan bahawa Adly Zahari dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka yang baru menggantikan Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.

Yusof berkata, dengan tenaga, ilmu dan pengalaman serta kenalan yang ramai, beliau yakin Adly mampu mentadbir dan mengepelai jentera PAS Melaka pada Pilihanraya Umum akan datang dengan lebih baik.

"PAS Bukit Katil sentiasa menyokong penuh sesiapa juga yang dilantik oleh Presiden untuk memimpin PAS Negeri, kita akan bekerja secara berpasukan bagi memimpin PAS Negeri dan Kawasan sebagai persediaan untuk kita menggantikan Umno yang semakin lama semakin tenat," kata Yusof.

Berusia 40 tahun, Adly berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dari UTM merupakan bekas Jurutera dan pentadbir beberapa syarikat korporat sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Beliau kini seorang ahli perniagaan yang berjaya. Berasal dari Durian Tunggal Melaka, beristeri dan mempunyai 6 orang cahaya mata.

Pernah diamanahkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Setiausaha PAS Negeri, AJK Dewan Pemuda PAS Negeri. Sekarang ini beliau juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

Beliau merupakan anak muda yang komited kepada perjuangan di mana sebaik sahaja tamat pengajiannya beliau bertugas sepenuh masa di Pejabat Perhubungan PAS Melaka selama beberapa tahun.

Berpengalaman bertugas di bawah beberapa orang Pesuruhjaya antara Ustaz Jalaluddin Abdul Wahid, Haji Omar Baba dan Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.

Beberapa orang pemimpin kawasan yang ditemui yakin pengalaman dan komitmen beliau kepada PAS selama ini menjadi teras kepimpinan beliau bagi membawa PAS Melaka ke era gemilang pasca Pilihanraya Umum ke 13.


Bersih 2.0 diteruskan walau Perkasa halang
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata, PAS tidak akan berganjak bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) untuk mengadakan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, 9 Julai ini.

Katanya, biarpun kumpulan pendesak Melayu, Perkasa memberi amaran untuk menghalang, namun himpunan tersebut tetap akan diteruskan.

"Kita akan buat terus, dia (Perkasa) nak buat himpunan itu hak dia," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dalam sidang media di parlimen hari ini memberitahu pertubuhan itu akan melawan habis-habisan himpunan Bersih 2.0 itu.

Sambil menyifatkan himpunan itu sebagai "mengacau", Ibrahim turut memberi amaran akan membuat himpunan serupa bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 tersebut walaupun terpaksa berlaku pertembungan.

Ibrahim, yang juga ahli parlimen Pasir Mas, juga mendakwa himpunan Bersih itu akan menimbulkan huru hara apabila ada pesertanya membaling batu dan membakar kereta.

Membidas kenyataan Ibrahim itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, bukan Perkasa yang menentukan himpunan tersebut huru-hara atau tidak.

"Itu kerja polis la nak tentukan aman atau tidak. Datuk Ambiga (Pengurusi Bersih), sudah beri jaminan kita akan buat himpunan secara aman," katanya.

Beliau turut memberi contoh himpunan Bersih pertama pada 2007 lalu, menyaksikan himpunan berlangsung secara aman.

"Perkasa kalau nak buat juga himpunan, buat hari lain la, kita dah cadang tarikh ni lebih awal lagi," katanya.

Declare perang fizikal

Seorang lagi AJK Bersih, Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan tindakan Perkasa memberi amaran mahu bertembung dengan peserta himpunan Bersih sebagai tidak wajar.

"Kita tak pernah halang Perkasa nak berhimpun. Tapi berhimpun lah untuk memperjuang hak sendiri, bukan sebab nak halang kita semata-mata.

"Ini sudah declare perang secara fizikal. Bukan begini caranya, ini cara pengganas," katanya.


Markaz tarbiyah kian sempit
Subky Latif

SELEPAS tujuh tahun PAS mengadakan Muktamar di Kuala Lumpur, ia kembali mengadakan Muktamarnya di Markaz Tarbiyah di Taman Melewar Kuala Lumpur.

Ia tidak mengadakan Muktamar di situ kerana kerajaan membaiki prasarananya betul-betul di sempadan Markaz Tarbiyah, malah sedikit dari kawasan tapak Markaz itu diambil bagi membesarkan sistem perparitan dan jalan.

Dalam masa tujuh tahun itu Pejabat Agung parti telah pindah ke tempat lain di tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Dan Markaz itu telah bertukar menjadi kampus Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad – KUIZM.

Bangunannya sudah berubah – berwajah baru – meskipun struktur dan saiznya kekal seperti dulu.

Ada perwakilan yang hadir setiap kali Muktamar memberitahu, kehadiran kali ini tidak seramai sebelumnya. Saya tidak dapat memastikannya kerana sebelumnya saya lebih banyak berada dalam dewan dan banyak memerhatikan suasana di luar.

Yang saya terasa kali ini markaz yang bertukar menjadi kampus itu bertambah sempit dan orang yang bermuktamar nampak lebih padat.

Kali ini saya hanya seorang pemerhati – bukan lagi ahli muktamar.

Saya cuba masuk ke dewan untuk mengikuti muktamar, saya dapati ada perwakilan yang melempah keluar mengisi kerusi yang disediakan untuk pemerhati.

Saya tanya mengapa duduk di luar?

Jawabnya di dalam sempit dan padat.

Saya tidak jadi masuk ke dewan, takut ia menambah sempitkan suasana yang sudah bersesak itu. Ada pemerhati masuk ke dalam, ada kerusi disediakan. Tetapi ia menambah kepadatan perwakilan.

Ketika markaz itu dibina tahun 80-an dulu, ia dirasakan cukup lapang. Kerusi meja untuk muktamirin ada jarak antara satu perwakilan dengan yang lain. Ada ruang selesa buat bentara lalu mengedarkan kertas dan minuman. Masih banyak ruang sekali pun semua perwakilan dimuatkan di situ.

Tetapi perwakilan ketika itu tidak sebanyak yang ada sekarang. Tidak semua kawasan Parlimen di Semenanjung ada Kawasan PAS. Perlembagaan parti masa itu memperuntukkan satu Kawasan terdiri dari tiga wakil.

Perlembagaan telah dipinda, satu perwakilan mengikut bilangan ahli parti di kawasan itu. Minimanya tiga dan jika ahlinya ramai ia boleh menghantar sampai enam atau tujuh orang.

Sebagai pindaan perlembagaan diluluskan kelihatan perwakilan bertambah dan ahli muktamirin pun bertambah. Mana-mana kawasan parlimen yang tidak ada Kawasan PAS, menubuhkan Kawasan.

Bukit Bintang, Cheras, Seputih dan Kepong di Wilayah Persekutuan yang padat dengan penduduk bukan Islam pun dapat menubuhkan Kawasan PAS.

Langkah pernah diambil membesarkan dewan bagi menampung keperluan yang bertambah. Dalam keadaan dewan sudah dilebar dan dipanjangkan, ia sudah ketara sesaknya.

Dulu kawasan pemerhati di luar dewan itu dapat menampung pemerhati yang ramai. Mereka dapat mengikuti perbahasan dengan jelas dari luar. Mereka dapat melihat wajah perwakilan berbahas dari kaca TV yang disediakan.

Halaman di depan Markaz itu dulu dipasang khemah untuk minum semasa muktmar berihat. Kali ini ia dijadikan tempat untuk perhati dan di sebelahnya di jadikan musalla.

Pemerhati bersesak-sesak. Kerusi yang disediakan tidak cukup. Yang berdiri lebih ramai dari yang duduk.

Tiga hari saya hadir untuk mendengar perbahasan. Keadaan menyebabkan tidak banyak yang saya dapat ikuti. Saya masuk ke dalam dewan kerana memahami keadaan. Kalau perwakilan ada yang selesa mendengar dari luar, baiklah mendengar dari luar saja.

Di luar bukan tempat yang sesuai untuk menjadi pemerhati. Orang nampak kita berdiri atau duduk di situ akan datang mengajak bersembang. Itulah masa yang ada bagi rakan-rakan dari seluruh ceruk rantau yang jarang berjumpa untuk bertanya khabar dan sebagainya.

Maka sebahagian dari memerhati itu terpaksa dihabiskan di gerai-gerai.

Yang menjadi ia padat dan markaz itu dilihat seperti bertambah kecil adalah disebabkan Kawasan PAS sudah merayap hingga ke Sabah dan Sarawak. Selepas pilihan raya negeri Sarawak sudah beberapa Kawasan baru ditubuhkan. Semuanya menghantar wakil. Jika semua Kawasan di Sabah dan Sarawak berisi selepas ini, memaksa PAS bersedia membina markaz yang lebih besar.


IPP: JK khas kabinet tidak memihak kepada rakyat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Rakyat Malaysia tidak yakin bahawa jawatankuasa khas kabinet BN yang ditubuhkan untuk menilai subsidi gas dan Perjanjian Pembelian Tenaga yang ditandatangani antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Penjana Tenaga Bebas (IPP) akan memihak kepada rakyat apabila masih tiada tindakan diambil ke atas skandal kehilangan saham bumiputera sebanyak RM52 bilion.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) berkata, hanya Suruhanjaya Diraja atau jawatankuasa dwipartisan yang terdiri daripada wakil BN dan Pakatan Rakyat (PR) yang terpilih sahaja akan dapat mengembalikan keyakinan umum bahawa rakyat Malaysia tidak akan terjejas dengan rundingan semula IPP.

Ini, katanya berikutan rakyat telah kehilangannya ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mewajibkan perjanjian subsidi gas yang berat sebelah dan tidak adil yang memberi kelebihan kepada IPP.

Katanya, kerajaan telah memperuntukan RM54 bilion saham bumiputera tetapi hanya RM2 bilion sahaja yang tinggal dan masih dipegang oleh bumiputera, RM52 bilion telah diagihkan kepada beberapa pemimpin UMNO dan BN untuk kepentingan diri sendiri.

Lim dalam kenyataan kepada Harakahdaily menambah, sekiranya RM52 bilion saham bumiputera masih dipertahankan, ekuiti syarikat bumiputera kini dengan mudah akan melebihi 40%.

“Inilah sebab utama yang mana BN enggan untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal kehilangan RM52 bilion saham bumiputera dan atas sebab itu jugalah, rakyat Malaysia tidak yakin bahawa BN akan menyebelahi rakyat dalam rundingan semula dengan IPP berkenaan,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurutnya, mereka yang terlibat dalam skandal kehilangan RM52 bilion saham bumiputera dan IPP semuanya adalah kroni-kroni BN yang menikmati subsidi yang bernilai berbilion-bilion ringgit disebabkan oleh percaturan politik.

Katanya lagi, stas sebab itu jugalah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak begitu yakin menegaskan bahawa kerajaan beliau tidak akan melihat kepentingan IPP tetapi sebaliknya akan memastikan segalanya akan menyebelahi rakyat, bunyi seperti kosong dan langsung tidak menyakinkan ketika kerajaan BN menolak untuk mengambil tindakan dan memaksa semua yang terlibat dengan skandal saham bumiputera RM52 bilion untuk mengembalikan semula keuntungan haram yang dinikmati dan menyerahkannya semula kepada bumiputera miskin dan orang Melayu.

“Inilah sebabnya DAP menyokong cadangan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang mencadangkan agar sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat perjanjian IPP dan subsidi gas untuk kebaikan 27 juta rakyat Malaysia.

“Mengapa hanya seorang ahli parlimen BN iaitu Tengku Razaleigh Hamzah sahaja yang dapat melihat kesan pemotongan subsidi dan kenaikan kadar tarif elektrik terhadap kos sara diri rakyat Malaysia yang biasa?” soalnya.

Ahli parlimen Bagan itu juga mempersoalkan adakah ahli Parlimen BN yang lain terikat dengan IPP dan sanggup melihat pemotongan subsidi kepada golongan miskin akan tetapi langsung tidak menyentuh berpuluh-puluh bilion ringgit subsidi gas yang dinikmati oleh IPP sehingga membolehkan keuntungan tahunan sehingga berbilion-bilion ringgit.

“Suruhanjaya Diraja atau jawatankuasa dwipartisan yang terdiri daripada wakil pemimpin BN dan PR adalah sangat penting bagi memastikan tiada sebarang perjanjian tersembunyi terhadap Perjanjian Pembelian Kuasa antara TNB dan para IPP,” ujarnya.


Qazaf jadi mainan politik jijik Umno
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Umno tetap tidak mahu berubah dan menjadikan Islam sebagai mainan politik jijik mereka apabila mempertikaikan khutbah Jumaat Negeri Selangor yang bertajuk ‘Jenayah Qazaf adalah berdosa besar’.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, qazaf dan hudud sama seperti sembahyang, puasa dan perintah-perintah lain yang terdapat di dalam Al-Quran adalah perintah Allah dan wajib dilaksanakan.

Menurutnya, masjid merupakan tempat yang sesuai bagi menerangkan perintah Allah SWT walaupun sebenarnya menyampaikan dakwah tidak terhad hanya di masjid namun apabila menerangkan hukum Allah supaya umat Islam faham akan betapa besarnya dosa memfitnah dan mengaibkan seseorang kemudian dibawa sekali jalan penyelesaian sepertimana yang dituntut oleh agama dianggap politik, ini benar-benar menunjukkan yang Umno sememangnya jahil.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal dan Ketua Pemuda Umno Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan mempertikaikan isi kandungan khutbah tersebut yang mana kononnya bermotifkan politik dan mempunyai maksud di sebaliknya.

Firdaus menganggap tindakan Kerajaan Negeri Selangor memberikan kefahaman kepada rakyat akan dosa qazaf semasa khutbah Jumaat bertepatan dengan masanya memandangkan ketika itulah rata-rata umat Islam memenuhi ruang masjid berbanding dengan semasa kuliah-kuliah umum di waktu lain.

Tambahan pula, katanya isu fitnah video seks sedang berleluasa ketika ini yang mana umum mengetahui siapa dalang di sebalik penyebaran video tersebut.

Umno jelas tidak boleh membezakan antara politik dengan perintah Allah di mana hukum qazaf wujud sebelum wujudnya Umno di muka bumi ini.

“Apakah menerangkan perkara-perkara wajib yang terkandung di dalam Al Quran salah?

“Bukankah itu satu kewajipan bagi pemerintah bagi menjadikan rakyat berilmu dan tidak mudah ditipu?” soalnya.

Menurutnya, Umno sememangnya suka jika rakyat dibiarkan hidup dalam keadaan jahil serta buta ilmu supaya rakyat mudah ditipu oleh Umno.

Bagi Umno, ujarnya selagi rakyat buta maklumat dan ilmu, selagi itu mereka boleh terus berkuasa dan memperbodohkan rakyat.

Kata beliau, sememangnya Umno tidak boleh dibiarkan lagi menjadi pemerintah di Malaysia ini.

Mereka, katanya jelas bertopengkan agama demi meraih habuan politik.

“Bagi mereka agama sekadar solat, puasa dan zakat, tidak lebih daripada itu sedangkan Islam syumul dan menjadi panduan kepada kehidupan kita,” katanya.


Jawatankuasa siasat IPP tidak wakili suara rakyat
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 13 Jun: Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mempersoal tindakan kerajaan menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat isu pengeluar tenaga bebas (IPP) kerana didakwa tidak mewakili suara rakyat.

Mahfuz (gambar) sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini sebaliknya berkata, kerajaan sewajarnya mempertimbangkan cadangan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat konsesi IPP.

"Apa perlu tubuh jawatatankuasa. Jawatankuasa tidak mewakili suara rakyat. Saya setuju dengan cadangan Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah) yang minta ditubuhkan suruhanjaya untuk siasat bagaimana perjanjian itu dibuat dengan IPP yang langsung tidak mengambil kira kepentingan negara sendiri," katanya.

Naib Presiden PAS itu juga menyelar tindakan kerajaan yang sewenang-wenangnya menarik subsidi rakyat sebaliknya meneruskan subsidi kepada IPP.

Tambahnya, sia-sia kerajaan melantik konsultan dari luar negara semata-mata untukmemberi idea yang menguntungkan kerajaan.

"Pengguna yang terpaksa menanggung defisit kerana pendapatan pengguna tidak bertambah tapi perbelanjaan terus meningkat dengan berlaku kenaikan harga barang. Jadi saya nak minta penjelasan kenapa dengan pengguna begitu mudah untuk kurangkan subsidi, naikkan harga tetapi dengan IPP bila kita cadang macam-macam baru nak tubuh jawatankusa untuk nak kaji dan sebagainya.

"Saya pun hairan apa guna kita ada makmal, kita lantik konsultan daripada luar negara hanya bagi cadangan kepada kerajaan jika nak kurangkan defisit negara ialah kurangkan subsidi,tarik subsidi daripada rakyat.

"Yang itu tak payah lantik konsultan dari luar negaralah. Siapa-siapa pun boleh jawab. Kenapa sangat sukar untuk nak mengurangkan subsidi daripada IPP?" soalnya.

Sebelum itu, Datuk Seri Tiong King Sing dalam soalan asalnya meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan pelan jangka masa panjang kerajaan dalam menangani fenomena kenaikan harga minyak global terutamanya pengurangan subsidi minyak oleh kerajaan telah meningkatkan beban hidup rakyat.

Beliau juga ingin tahu persiapan syarikat-syarikat petroleum dalam menyediakan kemudahan stesen-stesen NGV dalam usaha menggalakkan penggunaan NGV sebagai bahan bakar alternatif.

Semalam, Kabinet telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji pelbagai aspek termasuk isu pengeluar tenaga bebas (IPP) dan bekalan tenaga kepada negara pada masa depan.

Jawatankuasa tersebut melibatkan tiga Menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Tiada ulasan: