Ahad, 19 Jun 2011

APABILA PADAH MUNGKIN DITERIMA HASIL DARIPADA PENIPUAN...ZALIM...DOUBLE STANDARD....TAK AMANAH DAN BERMACAM HAL...KESILAPAN YG PAYAH DIBETUL LAGI...

Kalau menang, Pakatan dah sedia jawatan untuk Najib
Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 19 Jun: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno BN sedang berusaha keras mencari jalan memecahkan perpaduan di antara PAS, PKR dan DAP.

Bercakap sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan di Konvensyen Pilihanraya Keadilan di sini, beliau mengingatkan seluruh pemimpin dan ahli PKR di segenap peringkat agar bersedia menghadapi taktik kotor Umno BN.

Umno BN, jelasnya kini terdesak dan akan menghalalkan segala tindakan bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

"Pastikan hubungan kita dengan PAS dan DAP erat kerana Datuk (Seri) Najib (Razak) masih merencana bagaimana nak pecahkan kita.

"Mereka menggunakan polisi penjajah iaitu pecah dan perintah. Kita harus waspada", katanya dihadapan lebih 4,000 ahli PKR yang hadir dari seluruh negara memenuhi Dewan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Antara taktik kotor Umno BN itu jelasnya, tindakan "membeli" pemimpin tertentu dari Pakatan Rakyat untuk dijadikan "tukang karut" menghentam dan memfitnah pemimpin dan dasar Pakatan Rakyat.

"Menjelang pilihan raya harga naik, bukan harga barang tapi harga tokoh-tokoh khianat.

"Mereka akan cari, tak dapat pemimpin kanan, pemimpin negeri. Tak dapat negeri, pemimpin cabang. Tak dapat cabang, pemimpin ranting. Tak dapat ranting, pemimpin tewas termasuk yang gagal menjadi calon", katanya melontar jangkaan.

Sehubungan itu beliau memberi ingatan kepada seluruh ahli PKR bersedia berdepan bakal "pengkhianat" itu.

Mengulas peluang Pakatan Rakyat pada PRU-13, Anwar yang juga Ketua Pembangkang yakin jalan ke Putrajaya makin hampir.

"Kalau tidak kerana penyelewengan dan taktik kotor Umno BN pada PRU 2008, tak payah tunggu 2011 ni, sekarang ini kita sudah berada di Putrajaya," jelasnya disambut sorakan hadirin.

Namun apa yang penting tegasnya, setiap ahli perlu berkerja keras bukan sahaja menyampaikan maklumat sebenar kepada pengundi, malah menyekat taktik kotor Umno BN itu jika mahu menguasai Putrajaya pada PRU akan datang.

"Ada PRU kita menang insya Allah... Ada kata worst case scenario, Anwar masuk penjara. Saya kata Anwar masuk penjara, tapi kita menang.

"Satu lagi best case scenario, Anwar tak masuk penjara, dan kita menang," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Konvensyen pilihan raya Keadilan merupakan kali pertama seumpamanya di Malaysia dan belum pernah diadakan mana-mana parti politik lain sebelum ini.

Dengan tema "Demi Rakyat" konvensyen itu menghimpunkan perwakilan PKR dari seluruh negara untuk mendengar amanat pimpinan tertinggi menjelang pilihan raya umum ke-13 yang mungkin berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

"Ada orang tanya, kalau Pakatan menang, apa nak buat dengan Datuk Najib. Tak mengapa, kita dah sedia jawatan untuk dia," kata Anwar.

Himpunan Bersih diugut tangkap, lawan tak apa
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Sebenarnya tidak ada masalah perhimpunan atau perarakan yang dibuat oleh mana-mana pihak kerana ia adalah hak yang dibenarkan oleh perlembagaan.

“Biarlah pihak yang membantah perhimpunan Bersih membuat bantahan,” kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau mengulas laporan akhbar perdana hari ini mengenai beberapa perarakan membantah perhimpunan Bersih yang dianjurkan oleh ‘baby Umno’ Perkasa di Kota Bharu dan Alor Setar.

Laporan itu menyebut di Kota Bharu dihadiri oleh 2,500 orang ketika membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu yang diketuai oleh Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Tindakan yang sama dibuat oleh Presiden Kimma, Datuk Syed Ibrahim Kader di Kuala Lumpur.

Di Alor Setar, kira-kira 500 ahli Perkasa Daerah Kota Setar berkumpul di kawasan dataran berhadapan Masjid Zahir, bagi menyatakan bantahan terhadap perhimpunan Bersih.

Himpunan dibuat sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada pukul 10.30 pagi.

“Persoalannya kenapa himpunan aman Bersih pada 9 Julai ini, belum buat sudah diugut untuk ditangkap. Manakala perhimpunan menentang Bersih tidak diapa-apakan.

“Apakah di negara ini sudah ada dua undang-undang?” soal Idris.

Katanya, jika himpunan dibuat oleh pihak sokong Umno ia kebal daripada sebarang tindakan.

Sebaliknya, kata beliau jika pihak Pakatan Rakyat, belum himpunan dibuat sudah hendak ditangkap, seperti kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar kepada penganjur Bersih.

“Inilah Malaysia negaraku, inilah polis di negaraku,” ujarnya.


Himpunan Bersih 2.0 aman, polis patut kerjasama
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tetap memberi jaminan bahawa himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini akan berjalan dalam keadaan aman jika pihak polis memberikan sepenuh kerjasama.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjaga keselamatan peserta himpunan dan memastikan tiada sebarang kekecohan.

"Saya merayu sekali lagi kepada Polis Diraja Malaysia, ketua polis negara supaya menjaga keamanan dan keselamatan rakyat serta tidak melakukan tindakan keras kepada rakyat yang menuntut demokrasi dan pilihan raya adil dan bebas," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Mohamad yakin polis mampu memantau mana-mana pihak yang berniat melakukan kekacauan dan rakyat akan berasa gembira sekiranya memorandum tersebut pada diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong dalam keadaan aman.

"“Kalau kita sampai ke Istana Negara dengan selesa dan baik, semuanya akan berjalan dengan lancar…kita juga akan bersurai dengan baik.

“Keadaan akan jadi tidak elok apabila polis bertindak sembur gas pemedih mata dan air asid, itu yang sebabkan peserta berlari, peniaga terpaksa tutup kedai, peniaga air kena buang air sebab dimasuki air asid.

“Kalau perkara ini tidak berlaku naka saya percaya semua akan gembira, rakyat akan gembira dan peniaga juga akan gembira,” katanya.

Jangan peduli "gendang" Perkasa

Sementara itu, naib presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, penganjur Bersih 2.0 tidak perlu tunduk kepada amaran polis kerana matlamatnya jelas untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

Beliau berkata, pihak penganjur harus mencontohi Mesir yang menyediakan buku panduan ringkas kepada peserta demonstrasi mereka.

"Revolusi di Mesir mereka ada buku panduan. Kalau pergi demonstrasi macammana tak nak berlaku huru hara.

"Kita pergi demo memang nak secara aman tpi kalau FRU datang sembur kita, orang jadi panik, mata tak nampak, tak boleh bernafas macammana nak buat?

"Dalam tips ini sebut kena bawak air lemon, atau cuka epal untuk lindungi kita. Ini satu cadangan yang baik.

"Mata kena pakai cermin mata yang boleh lindungi mata, pakai baju banyak lapis supaya orang tak nampak kita nak pergi Bersih tapi nampak kita macam nak pergi shopping," katanya sewaktu bercakap dalam satu forum di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur (KLSCAH) malam semalam.

Beliau juga berkata, tindakan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) yang juga mahu mengadakan perhimpunan membantah Bersih pada hari yang sama tidak harus dihiraukan.

"Perkasa kata mereka nak pergi saya rasa adalah dalam 30 orang.

"Kalau kita berhimpun 1,000 hingga 2,000 orang, Perkasa jadi sangat kecil dan kita tak perasan pun ada Perkasa di situ.

"jadi jangan takut. Bila gendang bunyi kuat, biasanya isinya kosong. kalau Perkasa bunyi kuat, mesti tak ramai datang," katanya disambut ketawa hadirin.

Sementara itu,BERSIH akan mengadakan pelancaran Perhimpunan Bersih 2.0 di Dewan Utama, KLSCAH pada jam 8.30 malam ini.

Pemimpin Bersih, NGO dan masyarakat awam akan memberikan ceramah dan taklimat berhubung perkembangan dan tuntutan Bersih.


Jelaskan maahad mana terlibat dengan keganasan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) mendesak agar kerajaan menjelaskan sekolah maahad swasta manakah yang dikatakan sedang menjalani proses mengkaderkan anggota-anggota Jamaah islamiah (JI) dan siapakah sumber yang dikatakan "risikan anti keganasan" seperti yang disiarkan di muka hadapan Mingguan Malaysia hari ini.

Akhbar itu juga melaporkan, kononnya maahad itu sebagai transit merekrut rakyat tempatan sebelum menjalani latihan ketenteraan di kem Al-Qaeda dan MILF di Selatan Filina selain masih aktif sehingga hari ini menyebarkan fahaman Salafiah Jihadiah.

Maahad tersebut juga dikatakan menjadi tempat perlindungan Abu Bakar, Abdullah Sungkar, Mohd. Iqbal Abdul Rahman, Hambali dan 16 anggota kanan kumpulan Darul Islam dari Solo, Jawa Tengah melarikan diri ke Malaysia selepas pemerintahan Presiden Suharto.

Ketua DPP, Nasrudin Hassan berkata, apa yang merisaukan laporan akhbar itu terlalu samar bilamana sumber risikan itu tidak didedahkan dan sekolah maahad mana tidak disebut secara langsung.

Tambahnya, ini akan menimbulkan rasa takut dan tidak selesa dalam negara terutamanya ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah maahad.

“Apa yang meragukan lagi, tahanan-tahanan yang ditahan di bawah ISA atas tuduhan menganggotai Jamaah Islamiah (JI) dan rangkaian Al-Qaeda masih belum dibuktikan bersalah walaupun ada yang telah bertahun-tahun merengkok di dalam penjara. Kewujudan JI di Malaysia masih meragukan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya betul wujud, pihaknya meminta didedahkan sekolah yang terlibat kerana Sekolah Agama Maahad diwujudkan bukan untuk mengkaderkan pengganas seperti yang digambarkan oleh akbar berkenaan, tetapi adalah untuk melahirkan ilmuan-ilmuan Islam yang faqih dalam bidang pengajian duniawi dan ukhrawi.

“Tindakan Utusan ini juga secara tidak langsung melabelkan Islam dengan keganasan dan kita tidak mahu kerajaan Malaysia mengikut telunjuk US yang mengaitkan Islam dengan keganasan, mereka-reka cerita JI dalam negara semata-mata untuk menyedapkan telinga US dan Israel.

“Jangan hanya kerana cerita yang sumbernya entah siapa maka sekolah-sekolah Maahad ini menjadi manjadi mangsa dan kesannya ibu bapa takut menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah maahad ini selain pandangan buruk umum kepada sekolah maahad,” ujarnya lag.

Telah terbukti, katanya sekolah-sekolah maahad ini walaupun tidak di bawah kelolaan kementerian pelajaran, mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik setanding dengan sekolah-sekolah kebangsaan malah lebih hebat lagi insan yang dilahirkan itu mempunyai akhlak yang baik.

Pemuda PAS juga, katanya tidak mahu ini menjadi suatu taktik kerajaan Umno BN untuk menghalalkan akta zalim ISA, seterunya menangkap penganjur-penganjur dan peserta-peserta Bersih 2.0 menjelang himpunan aman itu nanti.


9 Julai penentu akhir tarikh PRU 13
M Faqih

HALAMAN Masjid Negara penuh sesak dengan lautan manusia. Fenomena itu masih diingati ramai. Ia berlaku pada tanggal 20 September 1998.

Rentetan peristiwa bermula selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim disingkir dengan cara mengaibkan. Orang Melayu bangkit menjadikan jalan raya dan tempat awam sebagai medan.

Ribuan anak muda Melayu mulai mengenal erti reformasi. Kejayaan rakan mahasiswa di Indonesia menyingkirkan rejim Suharto turut merebak ke Malaysia.

Ini bermakna perhimpunan ratusan ribu rakyat sudah lama berlaku di nusantara. Ia jauh lebih awal berbanding apa yang berlaku di wilayah Arab tahun ini.

Demontrasi bermula di Tunisia pada Januari lalu. Selepas itu merebak ke Dataran Tahrir di Kaherah. Babak demonstrasi di Tunisia dimulakan seorang anak muda.

Penjual sayur, Mohamed Bouazizi, 26 graduan sains komputer mencetus kebangkitan rakyat.

Kisahnya malangnya berlaku pada 17 Disember lalu. Barangan jualan disita polis di Kota Sidi Bouzid. Baouzizi memprotes, akhirnya kecewa dan membakar diri. Bouazizi meninggal pada 4 Januari 2011.

Peristiwa itu berjaya membakar amarah rakyat Tunisia. Kesannya Presiden Zine El Abidine Ben Ali terpaksa melarikan diri. Di Kaherah pula pada 3 Febuari pasukan bersenjata menembak penunjuk perasaan. Pada awalnya enam terbunuh dan lebih 800 cedera.

Setelah jumlah korban bertambah akhirnya Presiden Hosni Mubarak, 82 tinggalkan jawatan. Bantahan awal di Mesir juga dimulakan seorang lelaki. Dia menggunakan senjata facebook.

Dan selepas itu saki baki gerakan rakyat menular ke Libya dan negara Asia Barat lain. Yaman dan Syria masih berdepan dengan gelodak rakyat sehingga sekarang.

Semuanya itu berlaku sebagai usaha akhir bagi mengembalikan hak rakyat. Inilah yang dinamakan politik baru. Ia mulai muncul di negara-negara umat Islam.

Di negara umat Islam ruang demokrasi tidak mampu menggoncang pemerintah yang ada. Malah pilihan raya hanya menguatkan posisi kerajaan.

Akhirnya rakyat memilih jalan raya bagi meluahkan perasaan. Inilah yang berlaku di mana-mana negara umat Islam sekarang. Kejayaan demontrasi rakyat di negara Arab lebih hebat kerana dibayar nyawa dan harta benda.

Berlainan demontrasi jalanan dicetus di Indonesia dan Malaysia pada 1998. Tiada angka korban kecuali dikurung sementara di sel besi dan merasai pedih water canon.


Misi kemanusiaan ke Palestin, Libya berlepas subuh tadi
Mohd Rashidi Hassan

DOHA (Qatar), 19 Jun: Misi Kemanusiaan Yayasan Amal Malaysia ke Gaza, Palestin dan Beghazi, Libya berlepas dari ibu negara jam 3.30 pagi tadi.

Rombongan seramai tujuh anggota diketuai Presiden Yayasan Amal, Husin Ismail bertujuan untuk memantau pelaksanaan projek kemanusiaan serta menghulur bantuan persekolahan dan barangan keperluan makanan kepada rakyat Palestin.

Manakala di Libya, Yayasan Amal akan menghulurkan bantuan kepada rakyat Libya dan Tunisia yang terperangkap akibat peperangan.

Anggota rombongan lain terdiri daripada Jamuliddin Elias (Timbalan Presiden Yayasan Amal), Zaman Abdullah (Bendahari),
Abd Hamid b. Seman (KSU), Che Salmi Che Ibrahim (AJK Amal Terengganu), pegawai perubatan, Dr Abdul Kadir Jailani dan Mohd Rashidi Hassan (Harakah).

Menurut Presiden Yayasan Amal, anggota rombongan yang kini transit di Qatar, akan berlepas ke Kaherah jam 2 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia).

Dari Kaherah rombongan Yayasan Amal akan merentasi perjalanan sejauh 400 km ke Rafah sempadan Mesir-Palestin.

"Selepas selesai tugasan di Gaza, rombongan akan kembali ke Kaherah dan meneruskan perjalanan sejauh 700 km ke Beghazi.

"Tetapi kita belum pasti jadual perjalanan. Jika kita mendapat lampu hijau kita akan masuk ke Gaza dahulu, jika tidak kita akan ke Libya dahulu," katanya.

Menurut beliau, rombongan Yayasan Amal dijangka dapat menyempurnakan tugasan dalam tempoh sepuluh hari.


PAS dakwa Umno kuasai program LL4G
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa program Majlis Pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia cuba dimonopoli oleh Umno BN termasuk NGO milik mereka, Aman Malaysia.

Beliau berkata, perkara ini jelas terbukti apabila nama beliau digugurkan sebagai salah seorang pemidato di saat-saat akhir sedangkan pada awalnya beliau sudah diingatkan agar bercakap soal Palestin tanpa menyentuh isu politik.

"Saya telah mendapat restu daripada PAS untuk hadir program malam tadi kerana program isu Gaza ini isu bersama.

"Saya mestilah sangat gembira dapat duduk satu pentas dengan Perdana Menteri.

"Tapi apabila nama saya digugurkan daripada berucap, saya rasa kesallah sedangkan mereka kata isu ini isu bersama," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan sebab ketidakhadiran beliau ke program yang diadakan di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Bagaimanapun, seorang lagi pemidato Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hadir walaupun slot pidato dibatalkan.

"Ini bukan soal kecewa tidak dapat berucap tapi saya tak pergi langsung malam tadi sebab nampak Umno macam nak ambil alih program tersebut," katanya.

Mohamad pada mulanya diminta menyampaikan pidato menyentuh isu Palestin selama 20 minit yang kemudiaanya dipendekkan kepada 10 minit dan akhirnya dimaklumkan pembatalan slot pidato jam 10 pagi semalam.

Khalid fikir dua kali

Misi kemanusiaan International Freedom Flotilla ll ke Gaza akan berlepas ke sana pada 26 Jun ini dan PAS akan diwakili oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad.

Khalid bagaimanapun ketika dihubungi sebentar tadi memberitahu beliau sedang mempertimbang samaada akan turut serta atau tidak.

Ini kerana beliau turut sependapat dengan Mohamad bahawa Umno BN ingin menjadikan misi tersebut program mereka sendiri.

"Saya pun sedang fikir balik samaada nak pergi atau tidak labih-lebih lagi bila diberitahu Mat Sabu tidak diberi peluang berucap malam tadi dan nampak Umno BN nak guna program ni untuk naikkan nama mereka," katanya yang juga ahli Parlimen Shah Alam.

Beliau turut mengingatkan Umno BN agar jangan mengambil kesempatan di atas penderitaan umat Islam untuk mengharumakan nama parti.

"Bagi saya Umno BN nak ambil kesempatan untuk naikkan nama mereka di atas penderitaan umat Islam.Ini tidak bagus untuk keamanan sejagat," katanya.

LIHAT VIDEO



Himpunan Bersih 2.0 membuang kotor
Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor

Menuju BERSIH 2.0, sudah beratus-ratus laporan polis dibuat oleh wakil-wakil BN melalui UMNO di seluruh Malaysia dan proksi-proksi yang dihantar atau ditubuhkan di pelbagai NGO. Termasuklah ugutan pihak kerajaan untuk menggunakan 'penjara kekal' ISA. Hentaman demi hentaman di peringkat awal kepada seluruh aktivis masyarakat yang digemparkan bahawa penangkapan awal secara besar-besaran oleh pihak polis bagi menyekat gegaran BERSIH 2.0 ini.

Pihak kerajaan perlulah bersikap adil dengan lawan mereka. Jika BN menggunakan KOTOR, maka lawan mereka pastilah menggunakan BERSIH. Doktrin KOTOR melalui siaran televisyen sebenarnya lebih hebat dan tiada lawan yang mampu menyekatnya. Persepsi betapa teruknya Pakatan Rakyat dan betapa mulianya UMNO diserap ke dalam minda rakyat melalui 'risalah saraf' Utusan Malaysia dan sekutunya.

Jadi, BERSIH tidaklah setanding KOTOR yang dianjurkan oleh UMNO. BERSIH hanyalah sekadar perhimpunan aman yang ingin membuat beberapa tuntutan sempena pilihanraya umum. BERSIH hanyalah sekadar berjalan kaki secara beramai-ramai yang pastinya tidak menimbulkan kekacauan serta keganasan yang dimanipulasikan oleh beberapa pihak.

Tidak relevan bagi pihak berkuasa untuk memulakan kekacauan. Tiada hujan tanpa awan. Mana mungkin akan berlaku huru-hara tanpa satu tekanan atau desakan. Itulah bidang tugas polis FRU yang hadir pada setiap kali demonstrasi. FRU datang dengan pelbagai pakaian, samada uniform biru berkepala merah atau uniform rakyat yang menjadi provokator utama.

Persoalan demokrasi dan kebebasan bersuara sudah tidak perlu diperbahaskan lagi. Malaysia mengamalkan perkara tersebut hanyalah untuk menutup mulut ahli-ahli akademik. BERSIH 2.0 dikatakan bakal menggemparkan dunia politik tanah air sepertimana BERSIH kali pertama. Itulah muhasabah bagi UMNO yang digunakan untuk BERSIH 2.0.

Apa pun ancaman yang digunakan untuk menyekat kemaraan aktivis rakyat, perkara itu tidak dipandang pun. Jika kerajaan BN belajar menyekat daripada pengalaman kerajaan Mesir, Yaman dan Tunisia sebelum ini, maka rakyat memperoleh semangat juang daripada rakyat mereka.

Justeru, kerajaan Putrajaya tidaklah perlu takut jika kekuatan mereka sangat tinggi. BERSIH 2.0 hanyalah himpunan rakyat membuang KOTOR.


Menanti pertembungan sengit di Parlimen
Mohd Rashidi Hassan rashidi@harakah.net.my

Mohd Rashidi Hassan rashidi@harakah.net.my

Parlimen minggu ini kembali rancak dengan kemasukan semula empat pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas enam bulan digantung berhubung isu APCO.

Selain Anwar, Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh dan Timbalan Presiden KeADILan, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden KeADILan,R Sivarasa kembali ke Parlimen 16 Jun lepas

Pada 16 Disember lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menggantung Anwar dan tiga wakil rakyat terbabit daripada menghadiri persidangan selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa APCO Worldwide dengan kerajaan Malaysia.

Karpal yang merupakan wakil rakyat DAP bagi kerusi Bukit Gelugor, Azmin (KeADILan-Gombak) dan Sivarasa (KeADILan-Subang) digantung kerana menghina dewan akibat membantah penggantungan Anwar.

Isunya di sini bukan soal penggantungan empat MP Pakatan Rakyat semata-mata. Tugas menggantung adalah hak Speaker, namun usul dan motif penggantungan itu yang dipertikaikan.

Umno-Barisan Nasional mengemukakan usul tersebut mereka mereka sudah tidak tahan dengan Anwar. Anwar dan MP Pakatan Rakyat, berjaya membongkar rahsia besar Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menggunakan khidmat perunding Yahudi untuk kepentingan BN. Itu sahaja isunya.

Ketiadaan Anwar dan tiga lagi MP selama enam bulan tidak dinafikan memberikan sedikit kesan. Pertembungan dengan BN tidak setajam ketika semua MP Pakatan Rakyat hadir semuanya.

Tiada siapa dapat menafikan masalah besar kepada Umno-BN adalah Anwar. Sasaran mereka adalah Anwar. Fitnah yang dilemparkan juga teruknya ke atas Anwar. Mengapa Anwar?

Ketika saya bersembang sembang dengan rakan dari Umno di lobi Parlimen, beliau dengan serius mengatakan, "Umno tidak ada pilihan, kalau Anwar masuk dalam (penjara) baru Umno selamat.

"Belum tentu Umno selamat, itu andaian saudara, bagaimana jika sebaliknya?" soal saya.

Beliau tidak menjawab soalan yang bersifat futuristik tersebut. Pada beliau, by hook or by crook, Anwar harus direhatkan jika Umno mahu selamat.

Namun beliau tidak pula menafikan Umno agak gelojoh dalam usaha mereka untuk memusnahkan karektor peribadi Anwar.

Belum pun kes liwat selesai, Umno-BN mendalangi isu video seks, macam-macam lagi yang dijangka akan dikeluarkan, semata-mata untuk menghapuskan hayat politik Anwar.

Tetapi Umno juga sedar, bukan senang mereka hendak berhadapan dengan Anwar. Umno-BN agak termanggu apabila PAS dan DAP cukup setia bersama Pakatan Rakyat dalam menangani isu Anwar

Usaha mereka untuk memecah belahkan Anwar dengan PAS dan DAP gara-gara isu video, menjadi buntu.

"Saya berterima kasih kepada PAS dan DAP, khususnya kepada Dewan Ulama PAS Pusat yang meluluskan usul menolak isu video seks," kata Anwar kepada saya semasa kami bersembang-sembang di lobi MP bersama Senator Saiful Izham Ramli dari Kedah.

Saya turut bertanya kepada Anwar, jadualnya disusun begitu padat, kudrat sesiapa pun ada batasnya.

"Tidak letih ke Dato' Seri menghadapi tekanan setiap hari?" soal saya.

Sambil tersenyum beliau menjawab, "Letih juga, tetapi mengenangkan kejahatan Umno-BN yang melampaui batas, ia menzahirkan kekuatan.

"Kita tidak akan beri mereka laluan mudah, kita harus bertekad tumbangkan mereka (PRU nanti)," katanya penuh keyakinan.

"Apa pilihan yang kita ada?" tambahnya.

Pada saya, semangat seperti inilah yang diperlukan dalam Pakatan Rakyat. Semangat ini harus diterjemah dan diwarisi oleh seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat jika kita mahu menumbangkan BN pada PRU akan datang.

Kami terus berbual-bual mengenai isu politik semasa. Anwar kelihatan mahu memesan makanan, tetapi beliau tidak tahu apa yang hendak dimakan.

"Saya belum makan apa lagi, tapi tengahari ini saya tak mahu makan yang berat-berat. Kawan-kawan selalu ingatkan saya, jangan makan banyak sangat nanti perut buncit macam dalam video," seloroh beliau.

Akhirnya beliau memesan semangkuk sup cendawan yang dimakan dengan roti. Saya cukup dengan kopi o secawan.

Sambil-sambil bersembang datang beberapa orang MP BN yang menyapa Anwar. Tetapi mereka kelihatan agak takut untuk duduk lama-lama dengan Anwar. Mereka sekadar hanya bersalaman dan mengucapkan selamat kembali ke Parlimen, kemudian berlalu pergi.

Beberapa orang menteri dan MP Umno hanya menjenguk dari jauh. Agaknya mereka takut dekat dengan Anwar. Takut dituduh simpatisan Anwar, walaupun hakikatnya memang begitu.

Kelibat Anwar dan rakan-rakan MP Pakatan Rakyat ditakuti kerana mereka mampu menggegarkan Dewan Rakyat. BN nampaknya tidak mampu berhadapan dengan Pakatan Rakyat. MP Umno-BN ibarat keris tumpul.

Sebab itu mereka menggunakan MP pencacai untuk menggendong najis-najis BN. MP-MP yang khianat daripada KeADILan ini, bersama 'sang katak' digunakan setiap hari oleh media talibarut Umno sama ada TV mahu pun akhbar untuk menyerang Anwar dan Pakatan Rakyat.

Tetapi mereka hanya kelihatan menang di tv dan akhbar. Hakikat sebenar dalam dewan, mereka tidak mampu berhadapan dengan Pakatan Rakyat.

Yang penting, sepanjang sebulan ini Parlimen akan kembali rancak. Kembali hiruk pikuk kerana panglima-panglima sudah berkumpul semuanya. Pertembungan dengan BN dijangka kembali sengit.

Sayangnya hiruk pikuk ini terpaksa saya tinggalkan seketika kerana mempunyai tugasan yang besar di luar negara bersama misi kemanusiaan Yayasan Amal. Ketika rencana ini disiarkan saya sudah berlepas ke Mesir, dari sana saya akan memasuki Rafah dan terus ke Gaza jika tidak dihalang di sempadan.

Insya Allah jika tiada aral, kami akan merentasi laluan yang jauh ke sempadan Libya untuk meninjau pelarian yang terperangkap akibat kezaliman Muammar Gaddafi.

Bagi sesiapa yang berhasrat untuk membantu rakyat Palestin dan Libya, mereka boleh menyalurkan sumbangan tersebut menerusi Tabung Kemanusiaan Harakah, nombor akaun 14069010021298 (BIMB).

Tiada ulasan: