KUALA LUMPUR, 10 Jun: Para pemimpin PAS sememangnya wajar menjadi 'gila kuasa' untuk ke Putrajaya, bagi membolehkan PAS dan Pakatan Rakyat merampas kuasa pemerintahan daripada puak yang gila kuasa sekarang. Sehubungan itu, para pemimpin dan ahli-ahli PAS tidak perlu risau dengan dakwaan Umno yang mengatakan para pemimpin PAS kini gila kuasa yang dikaitkan dengan pemilihan barisan kepimpinan sesi 2011-2013 pada Muktamar PAS Ke-57 pada 3 hingga 5 Jun lalu. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata, para pemimpin Umno BN yang sememangnya sudah diketahui umum yang gila kuasa sudah tidak sepatutnya dibiarkan terus memerintah negara demi kepentingan negara dan seluruh rakyat negara ini. Menurut beliau, semenjak Umno BN memerintah, rakyat bukan semakin senang, malah semakin terhimpit dalam hidup akibat tindakan tidak sepatutnya yang dilakukan oleh para pemimpin Umno BN. Katanya, antara tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh Umno BN termasuklah menaikkan harga barangan keperluan utama sehingga amat menyusahkan rakyat. "Dalam masa yang sama, indeks rasuah dan jenayah dalam negara semakin meningkat sehingga amat mencemaskan rakyat," katanya pada program rakaman Persepsi Harakahdaily di pejabat Harakahdaily, di sini, petang semalam. Demi kepentingan negara dan seluruh rakyat, menurut beliau, PAS perlu merampas kuasa dari Umno BN bagi melakukan perubahan di negara ini dengan corak pemerintahan yang jauh lebih baik dari Umno BN itu sendiri. "Jadi kalau mereka (Umno BN) kata kita gila kuasa, memang benarlah kita gila kuasa kerana kita nak rampas kuasa dari orang gila kuasa yang sudah tidak boleh dibiarkan lagi memerintah negara. "Kalau dibiarkan Umno BN terus memerintah, negara pasti menjadi bertambah teruk dan rakyat pasti menjadi semakin susah dari sehari ke sehari," katanya. Jika PAS tidak merampas kuasa dari Umno BN, katanya, PAS dan Pakatan Rakyat tidak boleh memerintah bagi melakukan perubahan, sedangkan dalam masa yang sama rakyat sudah tidak tertahan berada di bawah pemerintahan Umno BN dan berharap kepada PAS untuk melakukan perubahan itu. Bagi merealisasikan perubahan itu, PAS menjanjikan negara berkebajikan kerana ia selaras dengan tuntutan Islam, bagi menbela rakyat dalam segala aspek dan di semua peringkat. "Jika PAS dan Pakatan Rakyat diberikan mandat memerintah negara, rakyat bolehlah menilai sendiri tindakan yang kita lakukan selaras dengan janji kita itu. "Sekiranya janji itu tidak kita tunaikan dan pemerintahan Pakatan Rakyat tidak juga berubah tetapi sama juga dengan Umno BN, rakyat berhak menumbangkan kembali kerjaaan Pakatan Rakyat," tegasnya. Namun sekira PAS dan Pakatan Rakyat memerintah, katanya, rakyat pasti dapat melihat perubahan yang dijanjikan itu dalam negara ini kerana para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat amat jauh berbeza dengan para pemimpin Umno BN. "Umno BN bukannya membela rakyat. Mereka sebenarnya gila kuasa kerana untuk kepentingan mereka sendiri. Mereka tak hirau pun tentang rasuah dan jenayah sebab itulah indeks rasuah dan jenayah dallam negara tak menurun. "Mereka gunakan wang negara dengan sewenang-wenangnya untuk kepentingan peribadi mereka, termasuk untuk menyelesaikan urusan pertunangan anak di Khazastan, pada hal itu urusan keluarganya, bukannya urusan negara dan wang yang digunakannya itu wang rakyat," katanya. Begitu juga dengan isteri Perdana Menteri, ujarnya, yang juga selalu ke luar negara dan turut menggunakan wang rakyat dengan begitu banyak untuk kepentingan peribadi dan keluarganya. "Semua itu hanyalah sebahagian contohnya yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat bagaimana teruknya pemimpin Umno BN. "Itu semua tidak akan dilakukan oleh para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat jika diberikan mandat memerintah negara kerana kita sememangnya berbeza dengan mereka," ujar beliau.
Apabila final Piala FA bukan sekadar sukan Mohd Nasir Awang | “Ambo rasa Kelantan akan menang, tapi ambo tetap sokong Terengganu. Kita orang Terengganu, mestilah sokong negeri kita,” luah seorang peminat bolasepak dari Besut. Anak muda itu secara jujur menyatakan pendiriannya mengenai kemungkinan keputusan yang bakal berlaku di final Piala FA antara dua negeri Pantai Timur itu, Sabtu (11 Jun ) ini. Pertandingan dijadual diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara. Walau pun bolasepak kerap dianggap tidak lebih sekadar agenda sukan, bual bicara mengenainya di forum-forum rakyat sebenarnya tidak terbatas setakat itu. Di sana tersirat berbagai unsur lain, sama ada politik, agama, patriotisme dan seumpamanya. Komen peminat di atas adalah contoh terbaik bagaimana semangat wataniah (perasaan cintakan negeri sendiri) tersemai kukuh di hatinya kendati pun apa hakikat yang berlaku. Secara jujur beliau menilai kekuatan pasukan negerinya (Terengganu) tidak sehebat Kelantan. Apatah lagi selepas aksi hambar Skuad Penyu yang dimalukan di hadapan penyokong sendiri oleh The Red Warriors, Isnin lalu. Namun di atas rasa cintakan negeri sendiri, sokong tetap sokong. Pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 6 Jun lalu, Terengganu tewas 3-0 kepada Kelantan. Tidak syak lagi aksi sedemikian di ketika kemuncak perhitungan kekuatan antara kedua pasukan itu berbaki hanya lima hari seolah-olah memberikan gambaran awal pertarungan akhir nanti. Perkembangan itu secara jelas tambah menghangatkan lagi bual bicara masyarakat mengenai final Piala FA. Forum-forum sembang popular, sama ada di warung dan kedai kopi ketika bersarapan, di pejabat sambil melayan pelanggan, di pasar sambil membeli-belah, di pagar jambatan ketika asyik memancing, bahkan di anjung surau dan masjid sementara menunggu bilal iqamat, seakan ‘dikuasai’ topik bola sejak kebelakangan ini. Mereka yang obses atau mesra dengan dunia siber pula memanfaatkan laman-laman sosial untuk menyatakan sokongan kepada pasukan masing-masing. Banyak entri berkaitan isu bola dan perlawanan akhir itu menjadi pilihan untuk dipaparkan di ‘wall’ masing-masing. Agak rancak pertukaran pandangan antara mereka yang kekadang beralih menjadi perbahasan dan ‘pertikaman’ kata apabila masing-masing canggah-menyanggahi demi mempertahankan pasukan yang disokong. Setiap mereka ada hujah dan sandaran tersendiri. Semakin hampir kepada tarikh final Piala FA, perbahasan dan bual bicara mengenainya semakin rancak dan hangat. Apa yang pasti bolasepak bukan lagi sekadar isu sukan. Ia sudah memaut bersamanya unsur-unsur lain. Jika pendirian peminat dari Besut tadi dikaitkan dengan semangat wataniah, khalayak politik pula mengambil kesempatan keghairahan peminat bola ini untuk agenda politik mereka. Menyedari hakikat bahawa bolasepak adalah sukan nombor satu rakyat negara ini, ditambah lagi hakikat betapa sebahagian besar penyokong fanatik setiap pasukan bola adalah kalangan anak muda, maka meraikan minat dan kecenderungan kelompok ini dirasakan boleh memberikan keuntungan politik kepada mana-mana pihak. Sebab itu dapat dilihat kini bagaimana parti-parti politik seakan berlumba menyertai keghairahan peminat bolasepak menuju malam kemuncak itu. Mendahului persaingan menambat hati peminat bolasepak ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. Sebaik negerinya mengesahkan tiket ke final Piala FA pertengahan Mei lalu, Ahmad terus sahaja mengarahkan setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu menyediakan bas bagi membawa penyokong Skuad Penyu. “Jumlah bas terpulang kepada wakil rakyat berdasarkan peruntukan bantuan am yang masih ada. Kita ingin melihat stadium dipenuhi penyokong Terengganu,” tabloid harian edisi Terengganu, 20 Mei memetik katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal turut memaklumkan akan menyediakan 15 buah bas khusus untuk Dun itu sahaja. “Sudah pasti ada ganjaran yang akan menanti pemain, namun biarlah ia (Piala FA) berada di tangan kita dahulu,” ujar Ahmad. Tidak dipastikan apakah pemimpin Kerajaan Kelantan turut menjanjikan sesuatu ganjaran untuk pemain The Red Warriors, atau turut menyediakan bas-bas sewa khas mengangkut ribuan peminat pasukan negeri itu ke ibu negara. Namun, apa yang pasti persaingan meraikan peminat bola bukan terhenti setakat itu. Kini sasaran parti-parti politik beralih pula kepada khalayak peminat di peringkat tempatan. Lagi pun jumlah yang mampu diangkut ke Bukit Jalil sudah tentu tidak seramai yang masih tinggal di kampung masing-masing. Lalu Bahagian, Kawasan atau Cabang parti-parti seakan berlumba mengajak anggota masyarakat menyaksikan perlawanan akhir itu dalam persekitaran dianjurkan masing-masing. Pemidang dan poster memaklumkan lokasi tayangan menerusi skrin besar dapat dilihat di merata ceruk tanahair. Ia turut diiklan menerusi laman sosial di dunia siber. Penganjurnya pula bukan lagi hanya syarikat gergasi, premis niaga atau pihak berkepentingan dalam perniagaan. Ia turut diambilalih parti-parti politik, khususnya sayap pemuda masing-masing. Politik telah menguasai suasana demam bola kini. Sebab untuk itu tidak sukar dimengertikan. Keghairahan anak-anak muda sememangnya elok disantuni kerana mereka adalah kelompok sasaran meraih undi pilihan raya. Apatah lagi demam pilihan raya semakin dirasai bahangnya kini. Suratan atau kebetulan, dua negeri bakal berentap di final Piala FA kali ini bukan sahaja berjiran. Pada nilaian politik, mereka sebenarnya mewakili dua bentuk pemerintahan berbeza diterajui dua parti yang sama sekali berlawanan halatuju – Umno/BN di Terengganu dan PAS di Kelantan. Justeru tidak menghairankan apabila persembahan memberangsangkan skuad The Red Warriors dikaitkan dengan keberkatan pemerintahan seorang ulama. Bagi mereka yang berfirasat sedemikian (sudah tentulah orang PAS!), kemenangan pasukan Kelantan ke atas Terengganu adalah ibarat kejayaan PAS menewaskan Umno. “Ini dah jadi macam Tok Guru (Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan) lawan Mat (Ahmad) Said ni,” latah seorang aktivis PAS berasal dari Kuala Berang, Terengganu. Beliau adalah antara sebilangan anak negeri itu yang meletakkan kecintaan kepada parti mengatasi kesetiaan kepada negeri. Maaf cakap, tidak sedikit di kalangan peminat bola di Terengganu yang berpendirian seperti itu. Baca pula coretan seorang rakan dari Rusila ini, sejurus sebelum sepak mula perlawanan antara Terengganu dan Kelantan, 6 Jun lalu: “... saya memohon maaf kepada peminat bolasepak Terengganu, kerana dalam perlawanan malam ini atau final Piala FA nanti saya telah tekad menyokong Kelantan.....Bendera hijau putih bro.” Ya, itulah rahsianya. Bendera hijau-putih. Bagi mereka ini, parti lebih utama daripada negeri sendiri. Sepertimana disebutkan tadi, rakan ini juga menganggap Kelantan mewakili PAS, parti dicintainya. Manakala Terengganu mewakili Umno/BN. Setelah diasak rakan-rakan menerusi laman sembang itu, yang antara lain mempertikaikan kelunturan semangat kenegeriannya itu, rakan tadi menjelaskan: “Sebabnya, seronok kalau Piala FA juga dibawa balik ke negeri di bawah pimpinan ulama' (Kelantan). Ingat sejarah telah membuktikan bahawa Terengganu boleh wat (bawa) balik Piala M'sia hanya ketika di zaman ulama' (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) memimpin dan Kelantan juga boleh wat balik Piala Malaysia di zaman ulama' memimpin”. Ya tak ya juga, bukan? Itulah fakta dan hakikat sejarah yang tidak mungkin dapat dinafikan sesiapa pun. Bahawa buat pertama kali Terengganu berjaya menjulang Piala Malaysia ialah pada 3 November 2001, ketika ulama menjadi Menteri Besar. Tentu sekali jika kepercayaan terhadap keberkatan pemerintahan Islam itu menjadi asas kepada sejumlah peminat bola di Terengganu beralih arah menyokong Kelantan, ia suatu hakikat yang amat tidak disenangi Umno, termasuk para pemimpin Umno Kelantan sendiri. Bahawa di sana sudah tersemat kesetiaan kepada parti politik yang mengatasi semangat kesukanan, sesuatu yang sudah tentu tidak berlaku di kalangan peminat bolasepak bermazhab Umno! Ataukah ada peminat bola (penyokong Umno) di Kelantan bersedia mengalih sokongan kepada Terengganu semata-mata di atas dasar parti? Nayyy... payah la sikit rasanya! BN sengsara mahu pikat undi Tionghua Harakahdaily | AMPANG, 10 Jun: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, kaum Tionghua memainkan peranan yang besar dalam politik negara sebenarnya. Malahan, undi 80% kaum Tionghua di Ampang telah memberi kemenangan kepadanya dan PKR sewaktu Pilihanraya Umum 2008 lalu. Katanya, perubahan yang dibawa kaum Tionghua jelas sudah menakutkan MCA dan BN. Justeru, beliau yakin, taktik kotor BN yang dikepalai oleh Umno dengan memainkan isu video lucah fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim langsung tidak memberi kesan kepada undi kaum Tionghua. Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Makan Malam Sempena Ulangtahun Pertama Persatuan Persahabatan Pekan Ampang di Pekan Ampang, di sini semalam. Zuraida turut membidas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek baru-baru ini untuk menarik sokongan kaum Tionghua yang disifatkannya "retorik semata-mata" dan hanyalah sia-sia. "Buktinya, lihat sahaja kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek baru-baru ini yang jelas menunjukkan bahawa MCA dan BN sebenarnya kini sedang dalam sengsara mahu menarik kembali undi kaum Tionghua. "BN harus sedar bahawa kaum Tionghua sangat matang dalam menilai politik dan semua kenyataan retorik yang tanpa perlaksanaan adalah tidak berguna dan sia-sia," kata beliau. Coretan Muktamar PAS ke-57 Khalid Samad | Dari kedai kopi hingga ke Pak Menteri dan tidak ketinggalan juga yang masih merasakan dirinya Perdana Menteri; telah banyak yang diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat semenjak berakhirnya Muktamar PAS yang ke 57 pada hujung minggu yang lalu.
PROSES PEMILIHAN Saya telah hadir ke Muktamar di Taman Melewar yang bermula pada Jumaat 3 Jun hingga Ahad 5 Jun pada sekitar jam 4 petang. Ucapan dasar yang disampaikan membentangkan konsep ‘Negara Berkebajikan’ dan ini didakwa sebagai bukti PAS telah menyimpang dari dasarnya. Yang mendakwa sedemikian adalah UMNO yang dari awal tidak memahami apa yang PAS perjuangkan! Ini akan saya ulas secara lanjut di bawah.
Pada sebelah petang, pengundian dijalankan sambil minit mesyuarat, laporan tahunan dan laporan kewangan dibentang untuk dibahas. Hakikatnya, ini merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh ramai dan setelah selesai, ramai yang tidak sabar-sabar untuk tibanya esok hari kerana ingin mengetahui keputusan.
Amalan baru, ‘bidaah hasanah’, yang dilakukan pada tahun ini, setiap calon jawatan TP dan 3 NP telah melantik wakilnya untuk melihat proses perkiraan undi. Sambil itu, 5 orang lagi diambil secara rambang dari perwakilan untuk melihat proses tersebut bagi pihak calon AJK PAS Pusat. Bukan soal tidak percaya, tetapi untuk menentukan tiada fitnah yang dapat ditimbulkan lebih-lebih lagi oleh pihak lawan yang begitu kemaruk ingin memburuk-burukkan PAS dan mengadu-domba di kalangan ahli PAS.
Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan pada keesokan harinya, semua bergegas ke dewan muktamar dengan ada kedengaran bermacam-macam khabar angin. Saya juga turut ingin mendengar keputusan, lebih-lebih lagi untuk jawatan-jawatan tertinggi parti. Malangnya, jam 8.33 pagi saya menerima panggilan dari anak sahabat saya, Abdul Rahman Mayan, memberitahu bapanya baru sahaja meninggal dunia!
AL-MARHUM SAUDARA A. RAHMAN MAYAN Semua yang bergiat dengan PAS Shah Alam mengenali A. Rahman Mayan. Beliau bergiat sebelum saya tiba di Shah Alam dan merupakan di antara penggerak utama PAS Shah Alam. Dewan restorannya di Temasya Food Court, semasa ianya disewa oleh Al-Marhum, sering digunakan untuk diadakan Mesyuarat Agung, Seminar dan Konvensyen. Beliau merupakan seorang periang, sangat-sangat murah hati dan penggerak yang komited. Beliau di antara pengasas Kelab Penyokong PAS yang sekarang ini telah dinaik taraf menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS. Keikhlasan orang seperti Al-Marhum sebenarnya adalah dorongan bagi diri saya sendiri. Hakikatnya, perjuangan ini panjang dan sukar, tidak mungkin ditanggung seorang diri. Dengan adanya orang-orang seperti Al-Marhum, yang berkorban walaupun bukan dia yang menjadi calon, memberi suntikan semangat untuk kami terus berjuang.
Saya bergegas keluar dari dewan walaupun keputusan belum lagi diperolehi dan terus menuju ke rumah Al-Marhum. Ramai yang telah mula berkumpul. Saya sempat bertahlil ringkas dan membaca Yaa Siin dan sejurus selepas itu, jenazahnya dibawa ke Masjid An-Nahdah Seksyen 18. Saya diberi penghormatan mengimamkan salat jenazahnya dan selepas itu, dengan perasaan yang serba sebak, sempat juga menyampaikan kata-kata ringkas akan kebaikan Allahyarham.
Seterusnya kami mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan di Sek 21 dan sejurus itu berita melalui SMS diterima yang menyatakan keputusan pemilihan, termasuk bahawa saya juga telah dipilih, tidak mampu menyerikan suasana sedih yang menyelubungi kami ketika itu.
Ramai yang berkumpul di tanah perkuburan sehingga 3 khemah yang disediakan tidak mampu menampung jumlah orang yang hadir. Al-Marhum dikenali dan disenangi ramai. Saya yakin tiada hutang yang ditinggalkan tetapi sebaliknya yang berhutang dengannya mungkin ada.
Jam 2 tengah hari, selepas makan tengahari, saya bersama sahabat kembali ke muktamar di Taman Melewar. Keputusan menunjukkan suatu line-up diperingkat tertinggi yang diluar dugaan. Ini kerana, ramai yang menganggap jawatan-jawatan tertinggi akan dimenangi oleh golongan berlatar belakang pendidikan agama secara rasmi. Akhirnya, jelas tidak begitu.
KEPUTUSAN PEMILIHAN Seperti yang telah dijangkakan, pada keesokan harinya Utusan Malaysia melalak, “PAS menolak kepimpinan Ulama”. Apabila saya ditanya mengenai perkara ini, maka saya menjawab bahawa, “pemilihan merupakan pimpinan parti bukan pertandingan ‘Anugerah Ulama’ terbesar di dalam PAS’! Ianya pemilihan untuk memilih orang yang dianggap paling mampu membuat kerja tertentu. Dalam soal ini, Ulama’ atau bukan ulama’ tidak relevan sama sekali. Yang relevan, siapa yang boleh membuat kerja-kerja berkenaan. Soal kepimpinan ulama’, ianya telah diinstitusikan dalam PAS melalui terbentuknya Majlis Syura Ulama’. Jika ingin memilih ahli Majlis Syura, barulah persoalan ulama’ atau tidak diambil kira”.
PAS sentiasa dibawah kepimpinan ulama’ dengan adanya Majlis Syura Ulama’. Inilah sebabnya perlembagaan PAS dipinda pada tahun 80an dahulu dan ditambah peruntukan ‘Majlis Syura Ulama’. Sebelum itu badan ini dengan kuasa-kuasanya tidak wujud. Yang wujud hanyalah Dewan Ulama’. Sekarang adanya Dewan Ulama’ dan Majlis Syura Ulama’. Oleh yang demikian, Majlis Syura inilah senenarnya yang paling berpengaruh kerana ia memantau dan menentukan semua yang dilakukan PAS tidak bercanggah dengan Islam.
UMNO yang sendiri menangguhkan pemilihan parti itu, riuh mengenai pemilihan dalam PAS dan bagaimana kononnya PAS mengenepikan ulama’. Hendak termuntah membaca tulisan Utusan Malaysia, lidah tidak rasmi UMNO. Dalam UMNO, ulama di mana? Hanya Biro agama, sepertimana Biro sukan! Tidak segagah Pemuda dan Wanitanya. Malahan tenggelam bila dibanding dengan Puteri dan Puteranya (‘Puteri Putera’ – maklumlah UMNO ni golongan yang perasan Bangsawan!).
MUKA BARU! Ada pula yang mengatakan, “dengan naiknya muka-muka baru ini, maka jelaslah satu perubahan menyeluruh telah berlaku dalam PAS!”.
Hmmmmmm... Muka baru? Eh sudah lupakah kita semua bahawa pada tahun 2009, jawatan Timbalan Presiden turut ditandingi. Mat Sabu, Husham dan Nasharuddin bertanding. Pada ketika itu, Nasharuddin menang dengan memperolehi lebih kurang 42% dari undi. Yang selebihnya dikongsi di antara Mat Sabu dan Husham. Kali ini, Mat pula yang menang dengan mendapat lebih kurang 40% undi majoriti, manakala bakinya dikongsi pula di antara Tuan Ibrahim dan Nasharuddin.
Husham pula bertanding untuk jawatan Naib Presiden dan beliau merupakan mantan Naib Presiden 2007 – 2009. Maka, mana ada muka baru itu? Bagi saya, semua muka yang sama termasuklah Idris Ahmad, Nik Amar dan Nizar. Nizar pada pemilihan yang lepas telah mendapat undi terbanyak apabila bertanding AJK PAS Pusat sesi 2009 – 2011 dan agak wajar ada yang ingin melihat beliau ke jawatan Naib Presiden. Idris Ahmad pula sebagai mantan Ketua Penerangan. Maka adalah wajar ada yang mencalonkan beliau untuk jawatan Naib Presiden. Begitu juga Nik Amar, orang lama, Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan yang mencalonkan beliau mengambil-kira Kelantan Negeri yang telah lama diperintah PAS.
Seperti yang saya katakan tadi, tiada ‘muka baru’ hanya apa yang dilakukan perwakilan ialah memilih siapa yang dianggap mereka mampu meneraju parti untuk menghadapi PRU yang menjelang tiba. Ada yang menganggap orang ini, ada yang menganggap orang itu. Namun akhirnya, setelah diketahui keputusan, PAS akan kembali bersatu seperti biasa dan berhadapan dengan UMNO/BN sebagai sebuah parti yang mantap dan gagah. Hakikat ini turut difahami oleh UMNO.
Yang boleh dikatakan ‘muka baru’, seperti yang disebut DS Presiden, adalah saya dan Wahid Endut. Walaubagaimanapun, saya ini pun tidaklah baru sangat. Dari 1987 hingga 1993 saya pernah menjawat jawatan AJK PAS Pusat. Selepas 1993, saya tidak bertanding dan menumpu kepada usaha diperingkat cawangan dan kawasan. 1997 saya menjadi YDP Shah Alam dan menumpukan usaha di peringkat Negeri Selangor. Pernah menjawat jawatan Ketua Penerangan, Bendahari dan akhirnya Timbalan Pesuruhjaya 2 Negeri iaitu dari 2001 sehingga 2009. Saya kembali ke peringkat Pusat selepas hampir 20 tahun! Sudah pasti bukan ‘muka baru’, sebenarnya yang lama itu jugalah!
Begitu juga YB Wahid Endut yang pernah bersama saya dahulu dalam Pemuda Pusat (1983 – 1989) dan seterusnya beliau menumpukan usaha beliau di peringkat Negeri. Menjadi ADUN dan MP Kuala Terengganu. Juga bukan ‘muka baru’, tetapi baru sahaja dipilih menjadi AJK PAS Pusat.
Bagi saya, pemilihan ini menzahirkan betapa ramainya calon yang layak memimpin PAS dan betapa kayanya PAS dengan pemimpin-pemimpin yang berpotensi! Jauh, jauh sangat bezanya dengan UMNO.
Bagi yang telah mengundi saya, saya ucapkan berbanyak terima kasih di atas kepercayaan tuan-tuan terhadap diri saya. Saya berharap tuan-tuan akan mendoakan saya supaya mampu melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin.
NEGARA BERKEBAJIKAN DAN NEGARA ISLAM Isu yang turut dilaung-laungkan ialah bahawa kononnya PAS sudah menggugurkan matlamat perjuangannya dan menerima matlamat perjuangan PKR dan DAP. Ini adalah kerana cogan kata yang digunakan PAS adalah ‘Negara Berkebajikan’ dan bukannya ‘Negara Islam’.
Hakikatnya, sekiranya ada parti politik yang ingin mengubah matlamat perjuangannya, ianya bukan dengan mengemukakan cogan-kata tertentu. Ianya mesti melalui pindaan perlembagaan parti tersebut. Selagimana perlembagaan tidak diubah, maka apa cogan kata sekalipun mesti ditafsir berdasarkan perlembagaan yang digunapakai.
Istilah ‘Negara Berkebajikan’ bagi ahli PAS ialah ‘sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah’ (Perlembagaan PAS fasal 5).
Istilah ‘Negara Berkebajikan’ digunapakai kerana ingin memberi penegasan kepada aspek kebajikan yang terjamin dalam sesebuah masyarakat yang sedemikian rupa. Istilah ‘Negara Islam’ tidak digunapakai kerana penekanan melalui istilah itu adalah hukum-hakam Islam, khususnya Hudud, seolah-olah itu sahajalah apa yang terdapat di dalam pemerintahan yang diinginkan PAS. Sedangkan hukum-hakam Islam, termasuk Hudud, adalah bertujuan untuk menghasilkan kebajikan kepada manusia! Termasuk dalam takrif ‘berkebajikan’ itu adalah keadilan, kebertanggung-jawaban dan keamanan.
Dalam erti-kata yang lain, istilah ‘Negara Berkebajikan’ membawa rakyat untuk melihat kepada hasil dan kesudahannya; sambil istilah ‘Negara Islam’ memperlihatkan mekanisma dan perundangannya.
Jikalau dirujuk di dalam Al-Quran, istilah yang masyhur yang terdapat di dalamnya adalah ‘Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafuur’ atau ‘Negara yang baik serta pengampunan dari Tuhan’. Ianya merupakan istilah yang menumpukan kepada persoalan hasil yang diinginkan dan hasil ini mampu menarik minat semua pihak.
Lagipun, semua yang mengaji memahami kaedah ‘Al-Hukmu yadurru ‘alal musamma laa ‘alal ismi’ atau ‘hukum (sesuatu perkara) bergantung kepada perkara yang dinamakan itu, bukan kepada namanya’. Dalam erti kata lain, ‘apa ada pada nama, yang penting benda atau isinya!’
SETERUSNYA... Saya yakin, semua yang kalah bertanding jawatan Timbalan dan Naib akan dilantik kembali. Tugas-tugasan akan diberi dan bahtera yang kita kenali sebagai PAS ini akan terus belayar dengan gagahnya. Tiada yang akan merajuk dan tiada yang akan kecewa kerana di dalam PAS, jawatan sesuatu yang tidak dicari. Ianya amanah dan ianya tanggungan yang berat, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.
Yang penting ialah untuk bersatu dan bersedia untuk menghadapi PRU. Rakyat mengharapkan kemenangan bagi PAS dan PR yang membawa kepada satu perubahan yang bersejarah. Saf pimpinan yang telah dipilih menggalas harapan ini.
Hanya satu harapan saya di sini, semoga Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) digunakan seterusnya untuk seminar yang sering dianjurkan PAS. Dan juga untuk Mesyuarat Agung Kawasan, tetapi tidak lagi untuk Muktamar Tahunan. Kerana ianya telah menjadi terlalu kecil dan PAS telah menjadi semakin besar.
WaLlahu 'Alam KHALID SAMAD | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan