Beliau menegaskan bahawa sehingga kini belum ada satu pun kes murtad yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah, lapor Bernama.
Jamil Khir menjelaskan 135 kes itu dipohon di bawah murtad tetapi setelah diteliti oleh Mahkamah Syariah mereka didapati tidak sah masuk Islam, sekali gus tidak timbul soal (mereka) murtad.
"Timbul kekeliruan di sini, contohnya seseorang itu memohon untuk kedudukannya sebagai Islam, tetapi kemudian mahu kembali ke agama asalnya, setelah disiasat, mahkamah mendapati dia bukan Islam, jadi tidak timbul soal murtad.
"Sama juga untuk pasangan berkahwin yang hendak daftar untuk perceraian, tetapi mahkamah mendapati mereka berkahwin secara tidak sah di Thailand kerana tiada saksi dan wali, jadi tidak timbul soal perceraian," katanya kepada Bernama pada Rabu.
Malaysiakini kelmarin melaporkan jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan adalah 135 orang.
Jawapan di parlimen
Laporan itu dibuat berdasarkan jawapan Jamil Khir yang menjawab pertanyaan lisan anggota parlimen Bakri Er Teck Hwa di parlimen kelmarin.
Soalan itu berbunyi: "Tuan Er Hwa [Bakri] minta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah permohonan yang diluluskan mengikut negeri dari tahun 2000 - 2010 serta tindakan Jabatan Agama Islam untuk menangangi gejala murtad."
Sementara jawapan Jamil Khir pula berbunyi: "Permohonan menukar status agama oleh orang Islam di Mahkamah Syariah dari tahun 2000 hingga 2010 adalah berjumlah 863 kes. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 168 kes telah diluluskan."
Jamil Khir juga memberikan statistik lengkap yang menyatakan jumlah permohonan dan kelulusan mengikut negeri.
Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan kepada Dewan Rakyat itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira.
Mengikut kiraan Malaysiakini, jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang.
Menurut Dr Abd Rani Osman yang baru dilantik ke jawatan itu, pemilihan jawatankuasa baru antara agenda penting yang akan dibincangkan dalam mesyuarat pertama PAS Selangor sesi baru pada Isnin ini.
"Kita akan putuskan timbalan (pesuruhjaya) baru," katanya yang menyerahkan perkara itu bulat-bulat kepada mesyuarat untuk memutuskannya.
"Saya tidak mahu dictate (kuasai) mesyuarat."
Selepas penyingkiran beberapa tokoh penting PAS negeri oleh Dr Hasan (tengah) pada November 2008, keputusan itu amat dinantikan.
Ia penting bagi melihat sama ada tindakan itu menguatkan rangkaian Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam hierarki negeri.
Menariknya, perwatakan Dr Abd Rani dilihat mirip kepada Mohamad yang dilihat sebagai tokoh "pendamai" antara dua kumpulan berbeza pendapat yang sering dirujuk sebagai Erdogan dan pro-ulama.
Khalid ke jawatan lama?
Bagaimanapun, tokoh sebegini dilihat didokong kuat kumpulan Erdogan yang mendorong kepada penguasaan besar dalam kepimpinan tertinggi parti itu dalam pemilihan parti awal bulan ini.
Lobi melobi dan cakap-cakap bagaimanapun sudah kedengaran sejurus selepas selesai muktamar ke-57 parti itu pada 6 Julai lalu.
Walaupun gagal dipilih menggantikan Hasan, akar umbi PAS terus berdebar menunggu sama ada ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad (bersongkok) akan dibawa masuk kembali mengisi jawatan lamanya sebagai timbalah pesuruhjaya II.
Tiga timbalan pesuruhjaya PAS negeri sekarang adalah ahli akademik Dr Osman Sabran, exco kerajaan Selangor Iskandar Abdul Samad dan anggota parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat.
Walaupun tidak jelas kecenderungan mereka, Khalid sendiri pernah berpandangan ketiga-tiga pemimpin itu dilihat pasukan "serasi" kepada Dr Hasan.
Pada November 2008, Khalid dan ketua penerangan PAS Selangor ketika itu Saari Sungip dilucutkan jawatan oleh Dr Hasan yang difahamkan "kepanasan" dengan kritikan berhubung isu agama dan kaum dalam pentadbiran negeri.
Cabaran besar
Tempat Khalid digantikan Dr Che Rosli dan setiausaha akhbar presiden PAS ketika itu dan Roslan Shahir Mohd Sharir (bawah, kanan) pula menggantikan Saari.
Rombakan drastik tersebut dilihat sebagai usaha mengukuhkan kedudukan aliran pro-ulama yang mana Dr Hasan dilihat antara pemimpin pentingnya.
Menurut sumber-sumber PAS, kecuali jawatan setiausaha perhubungan negeri yang kini disandang Khairuddin Othman, hampir semua jawatan lantikan masih tidak jelas akan kekal atau tidak.
Khairuddin walaupun dilihat sealiran dengan Dr Hasan, beliau dikatakan tiada masalah untuk dikekalkan ekoran prestasi baiknya selama ini.
Bagaimanapun, menurut amalan biasa PAS, Dr Hasan berkemungkinan besar dilantik kembali dalam jawatankuasa negeri dan sekurang-kurangnya diberikan tugas sebagai anggota jawatankuasa.
Sementara itu, nama lain yang paling disebut-sebut layak dilantik sebagai timbalan pesuruhjaya adalah exco kerajaan negeri Dr Halimah Ali.
Jika terpilih, exco pendidikan negeri itu bakal menjadi wanita pertama dilantik ke jawatan itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Abd Rani nampaknya sedar pada cabaran sebenar dihadapinya yang bukan semata-mata berdepan dengan Umno sebagai musuh politik mereka.
"Cabaran kita berdepan Umno dan BN memang besar, tetapi pada saya, cabaran lebih besar untuk satukan saf kita," kata Dr Abd Rani.
Walaupun enggan dilihat menyebelahi mana-mana pihak Dr Abd Rani difahamkan lebih senang bergandingan dengan Khalid dan Saari sebagai "orang yang bekerja".
Dr Abd Rani juga menghadapi tugas berat menukar imej PAS Selangor yang mencetuskan pelbagai kontroversi sebelum ini, antaranya dalam isu larangan penjualan arak di negeri itu.
“Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini didakwa atas penghinaan ke atas Islam," kata Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam satu kenyataan lewat petang tadi.
Katanya, penyiaran kartun di akhbar milik Umno itu secara jelas menghina ulama dan Islam dan tidak harus dibiarkan.
Sheikh Abdul Halim berkata kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.
“PUM meminta supaya para Mufti juga turut menegur Utusan yang menyiarkan kartun yang menghina hukum hakam agama. Sepatutnya akhbar menjadi alat perpaduan dan menimbulkan kesedaran, bukan menambah pergeseran dan perpecahan umat.
“Sehubungan dengan itu PUM meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian berhubung dengan perkara ini,” katanya.
Sheikh Abdul Halim mengulas kartun pada halaman 15 akhbar itu dengan tajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang dilukis oleh 'Miko'.
Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh pegawai Jabatan Agama kerana tidak mempunyai empat saksi.
Lakaran kedua itu pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima duan itu.
Dia hanya Besi
Dialognya berbunyi “Bagus...Alat itu pun boleh jadi bukti!”
Selain itu, dialog lain yang dikatakan menghina Islam adalah: “Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.”
Menurut Sheikh Abdul Halim Utusan sepatutnya mendapatkan pandangan cerdik pandai dalam bidang agama sebelum mengeluarkan sesuatu bahan seumpama itu.
“PUM juga menyarankan agar pihak kerajaan adakan lebih banyak konvensyen nasional bagi menyelesaikan isu-isu dalam kalangan umat Islam sekarang yang kebanyakkan masyarakat Islam sekarang dilihat kurang berpengetahuan agama,” katanya.
Turut membidas penyiaran kartun oleh akhbar milik Umno itu ialah Dewan Pemuda PAS negeri Melaka yang mahu Utusan meminta maaf kepada umat Islam.
"Inilah akibatnya apabila akhbar Utusan Malaysia di-umno-kan. Tidak lagi seperti dahulu. Campur tangan Umno akan merosakkan semua, paling menyedihkan apabila agama sendiri dipersenda, kata ketuanya, Aizat Baharuddin dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Ruangan kartun itu, kata Aizat jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam iaitu hukum tentang persaksian kes zina.
"Dalam hukum Islam jelas dinyatakan bahawa apabila seseorang Islam dituduh melakukan zina orang yang menuduh perlu dibawakan empat orang saksi yang tidak fasiq."
Begitu jahil
Katanya, dialog kartun yang cuba digambarkan oleh pelukis langsung tidak sensitif pada hukum Islam bahkan mempersendakan hukum Islam.
“Ia menggambarkan seolah-olah hukum membawa empat orang saksi itu tidak boleh diguna pakai tetapi video dan gambar boleh dijadikan sebagai bukti.
“Kartun tersebut juga menggambarkan bahawa golongan agamawan begitu jahil dan tidak serius berbanding pihak polis," kata Aizat.
Menurut beliau tindakan akhbar itu jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam yang datangnya dari Allah.
"Ia dipercayai berkaitan tentang isu video seks dan liwat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang menjadi bahan utama (persendaan) akhbar itu," katanya.
Menurut Aizat, Utusan perlu meminta maaf kepada umat Islam kerana sesungguhnya penghinaan seumpama itu hanya akan merugikan umat Islam.
"Cukuplah Islam dihina oleh musuh Islam, janganlah orang Islam sendiri yang menghina hukum yang Allah tetapkan disebabkan kejahilan sendiri." katanya.
"Bayaran perkhidmatan asas yang dikenakan oleh Astro kepada pelanggan sekarang tidak akan diubah, apa-apa pertambahan Astro perlu berunding dahulu dengan SKMM sebelum memutuskan untuk menaikkan caj perkhidmatan mereka," katanya.
Astro perlu mendapat kelulusan dari SKMM sebelum menaikkan harga perkhidmatan saluran televisyen berbayar mereka, kata Rais.
Kementerian akan berbincang dengan Astro mengenai isu tersebut, kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Malam Penghargaan Industri Filem 2011 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Petaling Jaya, malam semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Finas Mohd Mahyidin Mustakim.
Astro baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai ini dengan harga langganan diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.
Sesetengah pelanggan mungkin mengalami kenaikan sekitar RM1 hingga RM15 sebulan, manakala yang lain pula akan menikmati penjimatan RM4 hingga RM14.95 sebulan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan