Selasa, 21 Jun 2011

MAKSUD KEBAJIKAN NI LUAS...IA TERMASUK PERKARA YG ALLAH SUKA KITA BUAT....MELARANG ORANG MEMBUAT MUNGKAR...INI JUGA KERJA2 KEBAJIKAN...

Ketua Puteri Umno Jerlun ditiduh berkhalwat
Jun 21, 11 9:26am

Ketua Puteri Umno Bahagian Jerlun, Kedah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Jitra, Kedah atas tuduhan khalwat dengan seorang lelaki.

Menurut laporan TV Selangor, Yusmawati Yaacob, 31 tahun didakwa mengikuti Seksyen 9(1) Akta Kanun Acara Jenayah Syariah Kedah 1988 manakala pasangannya, Mohd Jasmi Ismamil, 47, dituduh mengikut Seksyen 9(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh didenda RM2,000 atau setahun penjara atau kedua- duanya sekali.

Kedua- dua pasangan itu ditahan sepasukan Pegawai Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Daerah Kubang Pasu dalam sebuah rumah di Taman Tengku Sarina, Jitra, jam 1:20 pagi, 11 Mei lalu.

Kedua-dua pasangan itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Sheikh Kamaruslan Mustapha menetapkan 4 Julai depan, tarikh sebutan semula kes.

Ini kerana peguambela tertuduh, Sukri Zakaria dan pendakwa syarie, Juliana Ramli perlu mengemukakan hujah masing- masing kepada mahkamah dalam tempoh dua minggu.

SPR: Kemenangan parti ikut sentimen pengundi
Jun 21, 11 9:12am

Kemenangan dan kekalahan sesuatu parti yang bertanding di dalam pilihan raya berubah mengikut sentimen pengundi.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sepatutnya dipersalahkan di atas keputusan sesuatu pilihan raya, kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

NONE"Parti dan calon yang disukai akan menang. Buatlah macam mana pun, sentimen memainkan peranan. Ini sentimen pada (pilihan raya umum) 2008. Pada 2004 berbeza.

"Dan saya yakin sentimen akan berubah (lagi) dan ini jangan salahkan SPR. Ada masanya kita menang ada masanya kita kalah," katanya semasa wawancara khas bersama RTM bertajuk "SPR Menepati Proses Demokrasi" selama 30 minit yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Seksyen Berita TV Jabatan Penyiaran Malaysia Sayuti Mukhtar di Kuala Lumpur, malam semalam.

Menyentuh mengenai cadangan menurunkan had umur mereka yang layak mengundi kepada 18 tahun daripada 21 tahun pada masa ini, Abdul Aziz berkata ia memerlukan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, seperti juga penggunaan dakwat kekal bagi mengelakkan pengundi mengundi dua kali dalam satu-satu pilihan raya.

Katanya, tidak ada peruntukan di dalam Perlembagaan yang menghalang seseorang itu mengundi sekiranya terdapat dakwat kekal di jari, tangan malahan pada badan sekalipun dan tindakan menghalang boleh menyebabkan SPR dicabar mengikut undang-undang.

NONE"Untuk pinda Perlembagaan, ia memerlukan persetujuan dua pertiga anggota Dewan Rakyat. Untuk dapat dua pertiga sangat susah kerana hasil risikan saya, jika pemerintah setuju, pembangkang tidak bersetuju, pindaan tak boleh lulus dan begitu juga sebaliknya," katanya.

Abdul Aziz berkata sekiranya pindaan ini diluluskan, barulah Malaysia boleh mencontohi India dan Indonesia yang menggunakan dakwat kekal dalam proses pilihan raya mereka.

Selepas program itu, Abdul Aziz memberitahu Bernama bahawa SPR sentiasa membuka ruang perbincangan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk berbincang bagi menambahbaik perjalanan pilihan raya di negara ini.

NONE"Di sini juga saya ingin membetulkan laporan yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian, Sabtu lepas yang mengatakan SPR telah menutup pintu perbincangan kepada kumpulan itu ( Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

"Sebenarnya SPR tidak menutup pintu perbincangan malah bersedia berbincang dengan mana-mana pihak termasuk parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan untuk kebaikan dan menyuburkan proses demokrasi di negara ini," katanya.

- Bernama

  • Nazar Deros · Pengulas Tertinggi · UPM (Bachelor Mekanikal & Sistem)1993
    PENGERUSI SPR NIE BAIK JADI PENGETUA TADIKA SAHAJA. DIA ANGGAP MASYARAKAT SEMUA BUTA INFO. KALAU SENARAI PENGUNDI TIADA PEMUTIHAN KERJA-KERJA PILIHANRAYA AKAN JADI PROSES YANG TAK ADIL, TENGOK MACAM HUSNI MUBARAK, MASA PILIHANRAYA DAPAT UNDI LEBIH DARI 90%, TAPI TETAP DIGULINGKAN RAKYAT. INI BERMAKSUD PILIHANRAYA YANG DIJALANKAN PENUH DENGAN TIPUDAYA SPR MESIR.
    • Zaman Bujang · Pengulas Tertinggi
      Jgn jatuhkan martabat bebudak Tadika. Spatutnya bebudak Tadika lah yng lebih layak jadi Ketua SPR......

Khalid, Saari kembali ke perhubungan PAS Selangor
Harakahdaily

SHAH ALAM, 21 Jun: Khalid Samad dan Shaari Sungib dilantik semula ke jawatan masing-masing sebelum ini iaitu timbalan pesuruhjaya (TPJ) III dan Ketua Penerangan PAS Selangor dalam mesyuarat pertama perhubungan negeri semalam.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman berkata, turut dilantik adalah Iskandar Samad sebagai TPJ I manakala Salehin Muhyi TPJ II.

Khairudin Othman telah dikekalkan sebagai setiausaha perhubungan manakala Izham Hashim telah dilantik sebagai bendahari perhubungan yang baru.

Bekas Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hasan Ali telah dilantik ahli perhubungan bersama dengan seorang lagi Exco Selangor dari PAS, Dr Halimah Ali.

Turut dilantik adalah Noraini Husin, Mohd Sani Hamzan (timbalan ketua pemuda negeri), Ahmad Mohd, Ustazah Mariam dan pakar IT Abdul Rahman Sadikin.


Dokumen Harapan Baru tuntut mahasiswa berubah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Dokumen Harapan Baru Mahasiswa Malaysia bakal menyuntik kesedaran di kalangan mahasiswa selaku tonggak masa depan negara bangkit menuntut perubahan dan keadilan demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

Pengarah Biro Mahasiswa AMK, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, dokumen yang bertemakan 'Demi Rakyat: Mahasiswa Bangkit' itu telah dilancarkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dalam Himpunan Mahasiswa pada Ahad lepas di Kajang.

Katanya, dokumen yang mengambil semangat Buku Jingga dirangka melalui proses wacana meja bulat bersama mahasiswa dan pihak pimpinan Angkatan Muda Keadilan di bawah Biro Mahasiswa AMK.

Menurutnya, hasil Pendekatan 'bottom-up' ini memberikan fokus kepada enam isu utama yang melibatkan Kebebasan Universiti, Auku, PTPTN, biasiswa, peluang pekerjaan dan isu kemudahan asas mahasiswa.

“Dokumen ini memberikan satu harapan dan jawapan kepada masalah-masalah yang membelenggu mahasiswa,” ujarnya.

Belau berkata, Angkatan Muda Keadilan komited untuk merubah dasar pengajian tinggi dengan mandat yang bakal diberikan di peringkat persekutuan dalam PRU ke 13 akan datang.

Katanya lagi, Dokumen Harapan Baru Mahasiswa Malaysia di bawah anjuran Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia ini akan mencetak dan diedarkan di kampus-kampus seluruh Malaysia termasuk awam dan swasta dengan anggaran 1,000 cetakan setiap kampus.



Dun Kelantan lantik Dr Johar Mat sebagai senator
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 21 Jun: Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Datuk Dr Johari Mat (gambar) dipilih sebagai Anggota Dewan Negara (Senator) bagi menggantikan Senator Rosli Ibrahim bermula awal Julai ini.

Perlantikannya diumumkan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud dalam Sidang Dun Kelantan semalam setelah ianya dicadangkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Cadangan itu disokong oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakob dan mendapat sokongan Anggota Dewan Undangan Negeri yang lain selepas diundi.

Dr Johari Mat yang dilahirkan pada 28 April 1952, merupakan anak jati negeri Kelantan.

Johari ketika ditemui mengucapkan terima kasih pada kerajaan negeri kerana memilihnya menggantikan kekosongan itu.

Katanya, beliau akan membawa hasrat kerajaan negeri untuk membela nasib rakyat tanpa mengira kaum.

“Ianya adalah sebahagian asas yang dipertanggungjawabkan oleh setiap
pemimpin yang beragama Islam,” ujarnya.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan (1960 – 1961), kemudiannya ke Sekolah Menengah Arab Ihsan, Tanah Merah, Kelantan (1963 – 1969) dan seterusnya ke Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan (1970 –1971).

Beliau mendapat BA Syariah dan Undang-Undang di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan (1972 – 1975) dan seterusnya MA Usuluddin Universiti Imam Mohd Ibn Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Saudi Arabia (1978 – 1982) (Pengkhususan : Akidah dan Aliran Pemikiran Semasa)

Beliau memperolehi Ph.D Usuluddin Universiti Imam Mohd Ibn Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Saudi Arabia(1990 – 1994) (Pengkhususan: Akidah dan Aliran Pemikiran Semasa)

Sebelum ini beliau pernah bertugas sebagai tutor, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) 1976 – 1981

1981 - 1983 - Tutor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

1983 – 1999 - Pensyarah, Akademi Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

1999 - 2001 – Prof Madya, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur

2001 – 30/4/2003 - Prof Madya, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kelantan.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Malaya (1983 – 1985), Penyelaras Pendidikan Islam, Universiti Malaya (1984 – 1985).

Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Malaya (1985 – 1990)

Pemangku Ketua Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya (1987)
Ketua Jabatan Akidah Dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya (1996 – 1999).


Utusan dihalang buat liputan kerana hina Islam
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 20 Jun: Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini gamat seketika apabila Mat Yusof Abdul Ghani (BN-Nenggiri) yang berniat untuk mempertahankan akhbar Utusan dalam menyiarkan bahan tersasar.

Kenyataannya yang mendakwa tindakan akhbar terbabit mungkin bertujuan untuk mencari keuntungan ketika menyiarkan sebarang isu termasuk kes lucah yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disambut dengan tepukan meja oleh pihak kerajaan.

Menurut Mat Yusof, adalah menjadi hak akhbar terbabit untuk menyiarkan apa sahaja bentuk berita.

Beliau berkata demikian ketika meminta laluan sewaktu Muhammad Mustapha (PAS-Demit) berucap menyokong perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2011, sempena Sidang Dun Kelantan, hari ini.

“Kita tidak boleh menyekat mereka, itu hak dia untuk menyiarkan apa saja dalam akhbarnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian akibat tidak berpuas hati berhubung tindakan kerajaan negeri menghalang akhbar Utusan dari membuat sebarang liputan terutama sidang Dun Kelantan.

Bagaimanapun, Muhammad sewaktu mengulas kenyataan Adun Nenggiri itu memberitahu tindakan akhbar terbabit (menyiar fitnah dan gambar lucah) mendedahkan sifat akhbar terbabit kepada umum.

“Andainya Yang Berhormat mendakwa ia adalah hak mana-aman akhbar untuk menyiarkan sebarang isu atau seumpamanya, ianya juga menjadi hak kerajaan negeri untuk menghalang mana-mana pihak untuk membuat sebarang liputan.

“Kita tidak boleh berkata apa apabila menyentuh tentang hak, Allah dan Rasul juga ada hak, kita juga ada hak kita, tetapi jangan sekali-kali mencabul hak Allah dan Rasul termasuk memfitnah mana-mana individu,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan wakil BN supaya tidak membuat sebarang fitnah sekiranya ingin mendapatkan sokongan rakyat.

Menurutnya, rakyat hanya akan memilih perjuangan yang baik.

“Kalau kita (BN) merupakan perjuangan yang baik, tidak perlu kita membuat sebarang fitnah untuk mendapatkan sokongan rakyat, sudah tentu mereka akan menyokongnya,” ujarnya.

Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Mengkebang) bagaimanapun memberitahu, tindakan kerajaan negeri menghalang akhbar terbabit membuat liputan majlis kerajaan negeri termasuk kenyataan Menteri Besar bukan hanya masalah fitnah, sebaliknya menyiarkan kartun yang menghina Islam.

Katanya, boikot itu langsung tidak ada kaitan dengan Anwar, sebaliknya kerana menyiarkan kartun menghina Islam.

“Kita desak akhbar ini meminta maaf secara terbuka kerana sekiranya perkara itu dipertahankan ianya akan merosakkan akidah,” ujarnya.

Menurutnya, tidak ada sebab akhbar terbabit tidak boleh memohon maaf secara terbuka memandangkan tindakan itu melukakan hati umat Islam.


9 Julai 2011 jadi tarikh keramat
www.seutastasbih.blogspot.com

Tarikh 9 Julai 2011 mungkin akan menjadi tarikh keramat. Tarikh di mana rakyat Malaysia berpesta meraikan demokrasi dan merayakan hak mereka di bawah Perlembagaan.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah menyatakan hasrat mereka untuk membuat perarakan di ibu kota pada 9 julai ini. Tidak ketinggalan UMNO juga mengumumkan bahawa mereka bercadang untuk membuat perarakan pada hari yang sama untuk ‘memperkukuhkan sistem demokrasi yang ada dan turut serta Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) yang di katakan akan membawa gelombang berlawanan iaitu ‘anti BERSIH’.

Ada beberapa persoalan yang timbul di sini? Pertama siapa yang ingin memulakan kekecohan? Bagi saya pihak BERSIH sendiri sudah berjanji akan lakukan perhimpunan secara aman. Kenapa ada pihak yang mesti pilih masa yang sama iaitu 9 julai untuk berhimpun bagi memperkukuhkan system demokrasi ataupun anti kepada BERSIH bermakna tidak setuju dengan 6 tuntutan yang di sepakati oleh rakyat. Jika Perkasa benar-benar bencikan himpunan seperti ini atau mengangap ianya tidak wajar, kenapa pula Perkasa tidak lancarkan ‘anti UMNO’, sebab UMNO juga di khabarkan akan turut serta dalam himpunan aman tersebut dan kenapa pula mereka iaitu Perkasa juga ingin berhimpun?

Saya menghormati dan mendukung hak mana-mana pihak yang ingin berarak untuk berhimpun dengan aman, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata. Ini selaras dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang memperuntukkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan untuk berpersatuan.

Hak untuk berhimpun dengan aman adalah hak asasi yang dijamin Perlembagaan dan juga merupakan suatu kebebasan politik dan sivil. BERSIH 2.0, UMNO mahupun Perkasa, mereka mempunyai hak yang sama rata untuk berhimpun dengan aman. Cuma yang menjadi persoalan kenapa ada pihak yang sengaja ingin menimbulkan kekecohan. Adakah sengaja ingin mencari sebab untuk menangkap rakyat yang sertai BERSIH 2.0?

Umno mahupun Perkasa yakin bahawa bukan puluhan ribu rakyat akan turun berhimpun, tetapi ratusan ribu akan turun sertai BERSIH 2.0, oleh sebab itu berbagai usaha yang di lakukan untuk menakutkan rakyat dengan ugutan dan sebagainya. Perlu diingat seseorang itu mempunyai hak untuk mendesak permansuhan Akta Dalam Negeri (ISA), menyeru kebebasan badan kehakiman atau membantah ketidakadilan adalam sistem pilihan raya.

Pihak polis sepatutnya memainkan peranan yang sepatutnya. Tidak perlu membazirkan masa dan wang ringgit untuk menghalang perhimpunan yang akan berlaku. Tidak ada gunanya mengenakan sekatan jalan raya, menahan orang yang berbaju warna kuning dan mungkin memudahkan perjalanan orang berbaju merah sebagai contoh. Perta demokrasi tidak wajar dihalang. Peranan polis seharusnya memudahkan demonstrasi yang akan diadakan. Tidak perlu menembak cecair ataupun gas pemedih mata, kerana tindakan itu yang memulakan kekecohan. Tunggu dan lihat, pastikan semuanya aman, itu yang terbaik. Baik sepertimana yang dilakonkan dalam Gerak Khas.

Saya cukup yakin anak muda pasti akan turut bersama dengan rakyat, bagi saya anak muda mahupun rakyat bukan penakut yang hanya sembunyi di dalam rumah kerana bimbang dengan ugutan di tangkap dan sebagainya. Saya bersetuju dengan kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya “ Najib nak batal BERSIH, boleh. Kalau esok kerajaan ambil keputusan jamin akan adakan pilihan raya bebas dan adil termasuk bersihkan senarai daftar pengundi, saya akan arahkan Ambiga untuk batalkan”. Saya kira kenyataan ini cukup jelas tiada agenda tersembunyi sepertimana Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liong Tiong Lai nyatakan bahawa himpunan aman ini merupakan taktik kotor pihak pembangkang membangkitkan emosi rakyat supaya membenci kerajaan.

Sepatutnya UMNO, MCA dan Perkasa mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan bersumpah tetapi supaya berjanji untuk mengadakan Pilihan Raya Umum yang akan datang secara telus, bersih dan adil. Itu jalan yang terbaik bukannya turun menentang himpunan rakyat yang hanya akan menimbulkan kekecohan.


Jual beli bangunan Tabung Haji-TTDI diragui
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Jun: Datuk Mahfuz Omar (PAS- Pokok Sena) mendakwa wujud keraguan dalam proses jual beli bangunan 38 tingkat di Platinum Park di antara Tabung Haji dengan TTDI Development Sdn Bhd.

Beliau meminta kerajaan menjelaskan mengenai keraguan dalam proses jual beli dan tawar menawar memandangkan pengarah urusan Kumpulan TTDI, Datuk Johan Ariffin yang merupakan pihak yang menjual turut bertindak sebagai kontraktor membina bangunan tersebut.

"TTDI Development menjual dan membina bangunan untuk Tabung Haji di mana pengarahnya sendiri adalah menjadi lembaga pengarah bebas kepada dua anak syarikat Tabung Haji iaitu Tabung Haji Properties Sdn Bhd dan Tabung Haji Technology Sdn Bhd.

"TTDI jual dan jadi kotraktor membina bangunan untuk Tabung Haji dengan harga RM466 juta," kata beliau sewaktu membahaskan perbekalan tambahan 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Tabung Haji membeli bangunan tersebut pada 2009 dengan harga RM466 juta berasaskan keluasan lantai 360 ribu kaki persegi dengan harga RM1,298 satu kaki persegi.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS turut mempersoal ketelusan pembelian itu kerana mendakwa pengarah urusan TTDI Development boleh mempengaruhi keputusan Tabung Haji.

Sedangkan ujarnya Tabung Haji boleh menyerahkan pembinaan bangunan itu kepada dua anak syarikatnya yang akan menjimatkan kos.

"Kenapa Tabung Haji nak bagi tanggungjawab membina bangunan itu kepada anak syarikatnya?

"Jika kepakaran menjadi isu kenapa Tabung Haji tidak serahkan projek tersebut kepada Tabung Haji Properties yang kini sedang membina menara wakaf di Jalan Perak Kuala Lumpur dan sedang menyiapkan beberapa projek lain seperti balai polis di USJ Subang.

"Isu kepakaran tidak timbul kerana saya difahamkan Tabung Haji Technology berjaya membina projek-projek lain," katanya.

Selain itu beliau turut mempersoal sama ada telah ada atau tid amengenai pengesahan daripada penilai hartanah bebas mengenai harga pasaran iaitu RM1,300 kaki persegi.

"Apakah nasihat penilai hartanah bebas ini telah dibentangkan kepada lembaga pengarah untuk makluman mereka apatah lagi terdapat keraguan dalam urus niaga?" soalnya.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan menjelaskan keraguan tersebut kerana melibatkan wang penyimpan Tabung Haji yang majoritinya ialah orang Islam.

"Masalah-masalah ini boleh menjejaskan masa depan Tabung Haji dan kesannya ialah kepada penyimpan-penyimpan Tabung Haji yang terdiri daripada orang Islam.

"Tabung Haji sebagai satu institusi untuk menjana dana kewangan untuk ekonomi umat Islam sepatutnya dipelihara dengan baik dan diuruskan sebaik-baiknya.

"Kita tidak mahu wang penyimpan Tabung Haji dikhianati," katanya.


Bersih 2.0: Wakil BN jangan kelirukan orang ramai
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 20 Jun: Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Sri Gading, Mohamed Aziz, mendesak Kementerian Dalam Negeri menahan Pengerusi Gabungan Pillihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di bawah ISA.

Desakan tersebut dibuat bagi menghalang Himpunan Bersih 2.0 diadakan 9 Julai ini yang didakwa untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku yang akan menyusahkan orang ramai.

Beliau mendakwa, sekiranya Datuk Ambiga dan Mohamad Sabu tidak ditahan di bawah ISA, Himpunan Bersih 2.0 pasti akan diadakan seperti yang dirancang 9 Julai ini dan pasti akan mencetuskan kejadian tidak diingini termasuk pertumpahan darah dan pertembungan sesama orang Melayu.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang bangkit mencelah ketika Mohamed berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2011 Bacaan Kali Yang Kedua petang ini, mengesyorkan agar Ambiga dikenakan ISA.

Ketika memberikan respons terhadap syor itu, Mohamed Aziz menegaskan bukan hanya Ambiga sahaja yang patut dikenakan ISA, tetapi beliau mendesak agar Mohamad Sabu juga ditahan di bawah ISA.

Melanjutkan desakan itu, beliau mengemukakan dakwaan tidak berasas lain mengenai himpunan aman yang diadakan oleh Pakatan Rakyat termasuk Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan oleh Bersih pada 9 Julai nanti.

Desakan dan dakwaan tidak berasas Mohamed itu mendorong ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangkit untuk membetulkan tanggapan salahnya mengenai Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan itu.

Antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang paling awal bangun, Ahli Parlimen Lembah Pantai dari PKR, Nurul Izzah Anwar.

Mohamed bagaimanapun tetap tidak memberikan peluang kepada Nurul Izzah untuk bercakap walaupun Nurul Izzah berdiiri agak lama.

Sebaliknya, beliau menegaskan tidak mahu memberikan jalan kepada Nurul Izzah.

Katanya, beliau anak jantan, jadi tidak mahu berkelahi dengan perempuan tetapi kalau dengan lelaki, tidak gentar untuk bergaduh pada bila-bila masa.

Sikap beliau ditempelak oleh Nurul Izzah dengan mengatakan tindakannya itu amat tidak wajar kerana membuat dakwaan dan desakan tidak berasas, manakala beliau pula hanya bangun untuk menjelaskan realiti sebenar.

"Saya nak jelaskan perkara sebenar sebab YB cakap perkara yang tak betul. Jangan nak kelirukan (orang ramai dengan membuat dakwaan tak berasas)," kata Nurul yang terpaksa bangun duduk beberapa kali di tengah ucapan meleret bernada tinggi Mohamed yang tidak memberi peluang kepadanya berucap.

Selain Nurul Izzah, beberapa orang ahli Parlimen Pakatan Rakyat lain yang juga kesal dergan sikap Mohamed itu turut bangun untuk memberikan penjelasan.

Mereka termasuklah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dari PKR dan Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar dari PAS.

Bagaimanapun, mereka juga tetap tidak diberikan peluang untuk berucap oleh Mohamed bagi memberikan respons terhadap dakwan-dakwaannya yang tidak berasas itu, menjadikan beliau terus berucap berseorangan sehingga tamat tempoh.


Pemimpin muda isi Dewan Harian PAS Wilayah
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 20 Jun: PAS Wilayah Persekutuan telah selesai membentuk barisan kepimpinan baru badan perhubungannya, dengan empat pimpinan muda mengisi Dewan Harian sebagai timbalan pesuruhjaya 1 dan 3, setiausaha dan ketua penerangan.

Diketuai oleh Mohamad Nor Mohamad sebagai pesuruhjaya, dua muka baru dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya iaitu Salbiah Abd Wahab sebagai Timbalan Pesuruhjaya (TPJ) 2 dan Ahmad Sabki Yusuf sebagai TPJ 3.

Salbiah merupakan bekas Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), manakala Ahmad Sabki merupakan bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP).

PAS Wilayah Persekutuan dalam mesyuarat pertama barisan kepimpinan barunya malam tadi turut mengekalkan pemimpin muda, Dr Azhari Yaakub sebagai Timbalan Pesuruhjaya (TPJ 1.

Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan yang baru, Mohd Nasaie Ismail berkata, tiga muka baru yang telah dilantik mengisi jawatan setiausaha, bendahari dan ketua penerangan.

Menurut beliau, jawatan setiausaha diamanahkan kepada Khairul Anwar Abd Manaf, bendahari, Ir Najib Ahmad.

"Pengarah Pilihanraya kekal kepada Abdul Halim Hasan, manakala tiga Penolong Setiausaha terdiri daripada Kamaludin Mohd Noh, Amran Abd Majid dan Abd Rani Abd Majid," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Tujuh dilantik sebagai AJK Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan, menurut beliau, terdiri daripada Zamri Ahmad Zakaria Aziz, Mohamad Saidu, Izamudin Ludin, Jailius Arsyad dan Liti Atini Yahya.

Katanya, dengan gandingan kepimpinan lama dan baru itu, PAS Wilayah Persekutuan diharap menjadi pasukan yang kuat untuk membantu pesuruhjaya melaksanakan tanggungjawabnya.

"Antara usaha yang akan dilakukan dengan memfokuskan kepada pembelaan masalah masyarakat bandar yang terlalu banyak berlaku khususnya dalam isu tanah Kampung Baru dan kampung tradisi, perumahan dan pengangkutan awam.

"Selain itu, fokus kita untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi bagi mempertahankan Titiwangsa dan menawan Parlimen Putrajaya dan Labuan," katanya.

Beliau juga yakin pasukan kepimpinan baru itu tidak akan memberi ruang yang selesa khususnya kepada Umno BN yang selama ini selesa bertindak sesuka hati kepada rakyat.


Subsidi IPP: PAS dakwa kerajaan 'flip-flop'

Afiq Hizami, pelatih UKM

KUALA LUMPUR, 20 Jun: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub kecewa dengan kenyataan flip flop kerajaan berhubung isu subsidi kepada ppenjana tenaga bebas (IPP).

Beliau merujuk jawapan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui terhadap soalannya yang didakwa bercanggah dengan kenyataan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Dalam soalannya, Salahuddin menanyakan berapakah cadangan jumlah pengurangan subsidi kerajaan kepada IPP dan ke manakah penjimatan itu akan dibelanjakan.

Dalam jawapan di Dewan Rakyat hari ini, Peter Chin bagaimanapun menafikan wujud cadangan pemotongan ataupun subsidi oleh kerajaan kepada IPP.

Sedangkan kata Salahuddin, Idris Jala sendiri sebelum ini secara terbuka mengakui kerajaan akan mengkaji semula pemberian subsidi kepada syarikat tersebut.

"Apabila saya bangkitkan perkara itu dalam soalan tambahan beliau dengan sengaja mengabaikan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Sri Idris Jala) dengan alasan bahawa tidak ada sebarang pemotongan atau tidak ada sebarang apa yang dikatakan subsidi oleh pihak kerajaan mahupun oleh pihak petronas kepada IPP," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Idris Jala sebelum ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengkaji semula atau membuat pemotongan semula ke atas "subsidi" yang diberikan oleh Petronas kepada IPP.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS, berkata pengumuman Idris Jala itu satu berita gembira apabila mahu mengkaji semula pemberian atau penganugerahan subsidi kepada IPP.

Namun jawapan yang diberikan oleh menteri katanya, telah menafikan secara langsung kenyataan yang pernah dinyatakan sebelum ini.

"Mereka hanya bermain dengan kata-kata kalau nak harga minyak naik mereka gunakan istilah 'mengstrukturkan kembali' maka keesokan harinya rakyat akan menunggu harga minyak akan naik.

"Ini tidak menggunakan istilah subsidi kononnya tapi menggunakan istilah "pelepasan pendapatan" oleh pihak Petronas," jelas beliau lagi.

Beliau menegaskan isu IPP ini penting bagi bagi khalayak memahami perkara yang sebenar iaitu menggesa pihak kerajaan supaya mengkaji semula tentang pemberian subsidi yang begitu mewah kepada pihak IPP ini.

Bagaimana pun, beliau mengatakan bahawa pada tahun 1997 bekas Pengerusi Eksekutif TNB, Tan Sri Ani Arope pernah mendedahkan terdapat lebihan tenaga sebanyak 50% dan pemberian subsidi berterusan ini yang telah didedahkan dari 1997 hingga 2010.

Justeru itu, beliau menegaskan IPP telah mendapat sebanyak RM49.3 bilion nilai subsidi iaitu sebanyak 42.3% dan angka itu merupakan satu jumlah sangat besar yang sepatutnya kerajaan perlu komited untuk menyemak semula penganugerahan subsidi ini kepada pihak IPP.

"Kalau tidak TNB akan berterusan mengunakan pendapatannya untuk membeli tenaga daripada IPP yang telah pun dinyatakan terdapat lebihan tenaga serta mengurangkan pendapatan TNB itu sendiri.

"Hasilnya rakyat tetap akan dikenakan bayaran yang lebih untuk tarif elektrik yang telah dinaikkan kepada 7.12% baru-baru ini.

"Sekiranya kerajaan tidak menyemak tentang perjanjian antara TNB dengan IPP ini, rakyat akan berterusan menghadapi masalah kenaikan tarif elektrik apabila setiap kali TNB mengemuka cadangan untuk menaikkan tarif tersebut,” katanya.


Tambah RM13 juta bukti Kelantan berkebajikan
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 20 Jun: Langkah kerajaan negeri menambah peruntukan lebih RM13.1 juta dilihat bersesuaian dengan kehendak semasa dan keperluan rakyat pelbagai peringkat, terutama golongan muda.

Drs Zainuddin Awang Hamad, (PAS-Limbongan) berkata, tindakan kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan membuktikan sikap kerajaan negeri yang benar-benar menzahirkan kebajikan.

Ketika membahas ucapan menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2011 pada persidangan Dun Kelantan hari ini, beliau berkata peruntukan tambahan yang diberikan pelbagai sudut termasuk golongan beliau membuktikan kerajaan negeri benar-benar berkebajikan.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana telah berjaya melahirkan sebuah kerajaan yang benar-benar bersih dari sebarang penyelewengan hingga mendapat sijil bersih dari Jabatan Audit Negara.

“Perkara ini berlaku hasil pengurusn kewangan yang baik dan berhemah, di sini saya ingin mengucapkan tahniah pada kerajaan negeri, Pegawai Kewangan negeri serta pegawai-pegawainya yang lain atas usaha ini,” ujarnya lagi.

Menurutnya, walaupun jumlahnya kecil namun kemampuan pengagihan sehingga dapat dinikmati oleh kebanyakkan rakyat tanpa mengira fahaman politik itu yang lebih bermakna.

Sementara itu, Mohd Hanifa Ahmad (PAS-Pengkalan Pasir), pula mengkritik kerajaan Pusat kerana mengganggu urusan kerajaan negeri dalam kes tuntutan royalti minyak dari Petronas.

Menurutnya, tindakan kerajaan Pusat sedemikian supaya kerajaan negeri turut menyamannya.

“Kalau kerajaan negeri hanya menyaman Petronas mereka tidak boleh memainkan peranannya dengan meletakkan hakim yang akan memihak pada mereka,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama beliau berkata, langkah kerajaan negeri menambah peruntukkan termasuk Al-Itam sebanyak RM500,000 untuk 60 orang penerima lagi di setiap Dun begitu mengujakan.

Katanya, pemilihan kerajaan negeri yang diangkat melalui penghulu benar-benar menepati sasaran apabila ada di antara mereka menuntut sehari lebih awal berbanding majlis penyerahan kerana beras yang diperlukan telah kehabisan.

Sementara itu, Dun menjadi gamat seketika apabila beliau berkata 20 peratus hasil royalti Kelantan akan diagihkan pada kerajaan negeri lain sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara sebagaimana yang tertera dalam Buku Jingga.

Bagaimanapun beliau ketika itu mengangkat buku kecil berwarna ‘hijau’ ditegur oleh Abdul Fatah Harun (PAS-Bukit Tuku) sambil berkata “itu buku hijau”.

Beliau menunjukkan reaksi sedemikian sebagai menjawab soalan Abdul Fatah adakah sekiranya kerajaan Pakatan Rakyat yang menguasai negara akan membantu negeri lain melalui hasil royalti.


Tiada ulasan: