Khamis, 30 Jun 2011

YANG KITA CINTAI ATAU BODEK SERTA TAAT AKAN MATI...MANUSIA TIDAK DAPAT MELEPASKAN DARI NERAKA ALLAH...MAKA JANGAN BUAT KEZALIMAN...



“YA ALLAH ENGKAULAH YANG MEMPERELOKKAN KEJADIANKU MAKA PERELOKKANLAH PULA AKHLAKKU. YA ALLAH YA TUHANKU, BERIKANLAH AKU KEKUATAN IMAN...”


Baju kuning: Pakai tak salah, tangkap salah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Jun: AJK PAS Pusat, Hanipa Maidin (gambar) berkata, memakai baju kuning berlambang Bersih adalah tidak haram kerana tiada mana undang-undang yang melarang pemakaian baju kuning.

“Yang salah dan haram adalah tidak memakai baju dan seluar di khalayak ramai,” katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, polis yang menangkap mereka yang memakai baju kuning berlambang Bersih telah bertindak di luar batas undang-undang dan boleh disaman kerana melakukan tangkapan yang tidak sah.

Jelasnya lagi, Perkara 5 [1 ] Perlembagaan Persekutuan secara jelas melindungi mana-mana orang dari dilucutkan kebebasannya (deprived his liberty) kecuali menurut undang-undang.

“Menangkap mana mana orang yang memakai baju Bersih sedangkan memakai baju tersebut tidak dilarang oleh mana-mana undang-undang adalah melibatkan pelucutan kebebasan seseorang dan yang demikian ianya melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya yang juga pengamal undang-undang.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada portal Malaysikini semalam yang melaporkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyokong tindakan polis menangkap mereka yang memakai baju kuning berlabelkan Bersih.

Ini kerana ujar Hishamuddin adalah haram memakai baju kuning tersebut.

Kata Hanipa, bagi Umno dan Hishammuddin janganlah terlalu paranoid dengan warna.

Menurutnya, jika satu waktu dulu Umno takut dengan warna hijau Petronas kerana warna hijau Petronas dilihat sama dengan warna bendera PAS, kini warna kuning pula yang ditakuti.

“Sampai bila Umno nak takut dengan warna?” soalnya.

Mengenai hujah Hishamuddin adalah jika aktiviti Bersih adalah haram, maka memakai baju kuning Bersih juga adalah haram, beliau bekata malang sungguh bagi rakyat Malaysia kerana mempunyai menteri yang ada kelulusan undang-undang tetapi jahil undang-undang.

“Saya mengesyorkan kepada Hishammuddin jika pun kamu benci sangat dengan Bersih janganlah sampai menggadaikan maruah dan integriti kamu.

“Ada masanya elok juga untuk kita menyembunyikan kejahilan kita,” ujarnya.

Beliau berkata, haram atau halal sesuatu perkara baik dari segi agama atau undang-undang adalah berdasarkan dalil dan bukannya berdasarkan kenyataan menteri.

Mungkin, katanya Hishammuddin boleh tunjukkan kepada kita di bawah peruntukan mana dan di dalam undang-undang mana memakai baju kuning berlambang Bersih adalah satu kesalahan.

“Jika kita menerima hujah Hishamuddin memakai baju kuning Bersih adalah haram kerana aktiviti Bersih adalah haram maka secara logiknya jika seseorang terlibat dengan berlumba motor secara haram, maka segala peralatan yang beliau pakai termasuklah helmet, seluar, jacket kulit dan motor yang beliau tunggang adalah kesemuanya haram,” katanya lagi.


Baju kuning salah, merah Patriot tak apa
Mohd Syuwari

Terpanggil saya sebagai mahasiswa yang melihat perkembangan politik tanah air sekarang apabila melihat sendiri polis yang laungkan "kami berintigeriti" "kami adil telus dan amanah" sudah lari dari motifnya. maaf saya katakan sedemikian, sebagai anak muda yang melihat sendiri malah berfikir dengan perkembangan suasana Malaysia sekarang amatlah jauh berbeza dengan negara demokrasi yang lain.Malah boleh dikatakan polis Malaysia sama saja dengan pihak polis semasa pemerintahan Husni Mubarak di mesir sebelum terjadinya rusuhan.

Dalam kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pihak polis bukan sahaja mengisytiharkan perhimpunan 9 Julai itu adalah haram tetapi juga melarang penggunaan kemeja kuning dan apa-apa yang mempunyai logo BERSIH.

Dukacitanya, ramai dari pengikut Pakatan Rakyat yang memakai baju Kuning telah ditahan oleh pihak polis namun dalam akhbar hari ini yang dipetik dari Malaysikini atas tajuk "LOKMAN MAHU SAMAN SAIFUDDIN RM 500,000.99" terpampang gambar pemuda UMNO ini memasuki balai polis dengan pakaian rasmi perhimpunan 9 Julai akan datang yang tidak di kenakan sebarang tindakan atas pemaikaian mereka itu. adakah ini ADIL?

Sepekara lagi,mari kita rujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri dalam akhbar Malaysiakini bertarikh 29 Jun atas tajuk "HISYAM: HARAM PAKAI BAJU BERSIH, BOLEH DITANGKAP." Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata adalah satu kesalahan bagi mana-mana individu yang memakai baju yang berkaitan dengan aktiviti haram.

Jadi amatlah tidak berakhlak boleh saya katakan kepada pihak yang hanya menyerang sebelah pihak tanpa melihat pihak yang lai,n dalam masa yang sama menghukum mereka dan membebaskan yang lain.Contohnya pengikut Pakatan hanya memasuki pasar dengan pakaian Kuning telah ditangkap, tapi satu lagi pihak masuk kedalam balai polis dengan pakaian Merah PATRIOT. Sedangkan kenyataan polis mana-mana perhimpunan 9 Julai adalah HARAM.


Peniaga serbu PMBK dapat kunci Bazar Tok Guru
Salmah Mat Husain Foto Rizal Tahir

KOTA BHARU, 30 Jun: Biar pun masih ada usaha cuba menghalang peniaga Pasar Lama MPKB berpindah ke Bazar Tok Guru, namun berlainan pula bagi peniaga, mereka seperti tidak sabar lagi mahu berniaga di premis baru.

Ramai peniaga ketika ditemui semasa mengambil kunci di pejabat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) hari ini meluah rasa gembira.

Mereka seperti tidak sabar lagi mahu memulakan perniagaan di Bazar Tok Guru.

Seorang peniaga Siti Mastura Ismail, 33, meluah rasa gembira ketika datang mengambil kunci lot kedainya di Bazar Tok Guru.

Beliau berniaga di Pasar Lama MPKB sejak 10 tahun lalu berharap perniagaannya di tempat baru lebih maju kerana kedudukannya begitu strategik.

“Tidak ada apa yang kami harapkan semoga perniagaan kami bertambah maju di tempat baru ini, InsyaAllah,” ujarnya.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan seorang peguam Nor Azli Ahamed menasihatkan peniaga menangguhkan menandatangani perjanjian jual beli lot Bazar Tok Guru kerana mendakwa terdapat sedikit kekeliruan.

Manakala Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Salim Ahmad pula dilapor mahu kerajaan negeri sekali lagi menangguh perpindahan peniaga.

Difahamkan sebelum ini Umno menyediakan peguam bagi membantu peniaga dalam isu Bazar Tok Guru.

Bagaimanapun apa yang berlaku pagi tadi peniaga tidak menghiraukan nasihat peguam dan Salim. Ramai peniaga menyerbu pejabat PMBK sebaik sahaja dibuka jam 8.00 pagi.

Peniaga menandatangani dokumen tertentu sebelum diberi kunci lot kedai masing-masing. Peniaga juga diminta membayar kos maintenance termasuk elektrik dan air bagi tempoh setahun sebanyak RM838.

Seorang lagi peniaga, Zaharah Mohd Salleh dan anaknya Rafeah Yusoff juga tidak sabar untuk memulakan perniagaan di tempat baru.

Katanya, mereka akan berpindah segera ke Bazar Tok Guru untuk meneruskan perniagaan di tempat baru.

Peniaga diberi peluang berniaga percuma dalam tempoh setahun di tingkat bawah dan dua tahun di tingkat satu sebagai usaha kerajaan negeri meringankan bebenan mereka.


Bersih 2.0: Polis tidak patut double standard
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 30 Jun: Sikap double standard pihak polis dalam menangani perarakan dengan jelas memberikan kerjasama yang baik kepada pihak Umno, tetapi bertindak sebaliknya pula ke atas Pakatan Rakyat, dikecam keras oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia.

Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon ketika membuat kecaman itu berkata, pihak polis tidak seharusnya bersikap sedemikian kerana ia jelas bertentangan dengan undang-undang.

Menurutnya, namun ketika Umno dan pihak polis sendiri telah melakukan pelbagai provokasi untuk menghalang Himpunan Bersih 2.0 yang dirancang pada 9 Julai ini, pihak polis juga turut bersikap sebaliknya pula terhadap perarakan yang diadakan oleh Umno.

Katanya, sikap double standard pihak polis itu boleh dilihat dengan jelas oleh orang ramai hari ini apabila mereka telah memberikan kerjasama yang baik kepada Pemuda Umno Malaysia yang mengadakan perarakan ke Balai Polis Tropicana untuk membuat laporan polis.

"Walaupun tindakan Pemuda Umno itu sendiri jelas merupakan provokasi, tetapi pihak polis tetap juga memberikan kerjasama yang baik kepada mereka dari awal hingga akhir sehingga mereka bukan sahaja boleh melakukan perarakan dengan baik, tetapi juga boleh melaksanakan agenda mereka dengan sempurna," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Sebelum itu, sekitar 40 orang Pemuda Umno Malaysia telah melaksanakan agenda provokasi mereka dengan membuat laporan polis di Balai Polis Tropicana, berhubung dakwaan yang dikatakan oleh mereka sebagai tidak berasas yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution baru-baru ini.

Mereka yang diketuai oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Seri Nizar Marican dan Exconya, Lokman Adam serta Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Rizal Man pada awalnya dijangka tiba di Balai Polis Tropicana sekitar jam 11.00 pagi tetapi terlewat sehingga jam 12.00 tengah hari.

Pada awalnya, mereka didakwa akan benar-benar bertindak di luar batas dengan membakar ibu pejabat PKR ekoran kenyataan mereka sendiri mengenai perkara itu, tetapi sebenarnya hanya sekadar hadir untuk membuat laporan polis.

Ekoran dakwaan itu, seramai tidak kurang 30 orang ahli AMK telah berkawal di ibu pejabat PKR sejak sekitar jam 11.00 pagi ini bagi menyelamatkan ibu pejabat parti mereka dari menjadi mangsa provokasi pemuda Umno.

Setelah sejam menunggu, Nizar, Lokman, Rizal dan rakan-rakannya akhirnya muncul juga dengan berpakaian baju merah bertulis Patriot dengan membentuk satu perarakan, sesetelah memberhentikan kereta mereka di tepi jalan raya sekitar 300 meter dari balai polis tersebut.

Perarakan mereka ternyata mendapat kerjasama yang baik dari pihak polis sehingga mereka terselamat dari sebarang ancaman dari pihak AMK yang ternyata mampu mengawal perasaan dengan baik, walaupun tindakan pemuda Umno itu sendiri telah dirasakan sebagai tindakan provokasi yang jelas terhadap mereka.

Setelah laporan polis dibuat, Nizar dan Lokman pada sidang media mereka menegaskan, dakwaan pihak PKR bahawa mereka ingin membakar ibu pejabat PKR disifatkan sebagai satu tuduhan liar, malah mereka mendakwa tidak mempunyai niat untuk berbuat demikian dan melakukan sebarang provokasi.

Sehubungan itu, mereka ingin mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifuddin berhubung dakwaan itu.

Pada sidang media itu, mereka juga menegaskan, Pemuda Umno tetap akan turun untuk mengadakan perarakan pada 9 Julai ini sekiranya Bersih tetap meneruskan perancangannya untuk mengadakan perhimpunan pada hari itu.

Menurut Khai Loon, dakwaan Pemuda Umno yang mereka tidak mempunyai niat untuk melakukan provokasi ternyata tidak berasas kerana sebelum ini mereka sendiri telah mengeluarkan kenyataan untuk membakar ibu pejabat PKR.

Beliau mendakwa, kenyataan Lokman untuk membakar ibu pejabat PKR itu bukan sekadar didengar oleh pihak tertentu, tetapi juga turut dirakam oleh pihak tertentu dan rakaman itu juga turut berada dalam simpanan PKR.

"Begitu juga dengan dakwaan mereka yang mereka sekadar ingin membuat laporan polis dengan aman, ternyata tidak berasas kerana Balai Polis Tropicana terletak amat dekat dengan ibu pejabat PKR.

"Jadi, kalau tidak kerana hendak membuat provokasi, kenapa mereka memilih Balai Polis Tropicana untuk membuat laporan polis, sedang masih banyak lagi balai-balai polis lain yang mereka boleh kunjungi untuk membuat laporan?

"Dalam masa yang sama, pihak polis pula memberikan kerjasama yang baik kepada mereka. Tindakan pihak polis itu amat berbeza ke atas pihak Pakatan Rakyat sehingga mereka menentang keras rancangan Bersih untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai ini.

"Jadi sekarang kepada pihak polis, kita minta mereka bertindak adil. Jika mereka boleh memberikan kerjasama dan layanan yang cukup baik kepada Pemuda Umno, pihak polis juga diharap turut bersikap sedemikian kepada pihak Pakatan Rakyat dan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini," katanya.

Beliau turut lega apabila kunjungan Pemuda Umno ke kawasan itu hari ini tidak disambut dengan kekasaran oleh ahli AMK, walaupun mereka mendakwa cuba diprovokasikan dengan beberapa tindakan, termasuk menerusi cabaran agar mereka ditumbuk oleh AMK jika AMK berani.

Kunjungan Pemuda Umno ke kawasan itu dikawal dan diberikan kerjasama baik oleh kira-kira 20 anggota polis. Selain mengawal keadaan, pihak polis turut mengadakan dua sekatan jalan raya di kawasan itu bagi menghalang kedua-dua pihak mengadakan perhimpunan lebih besar.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) kesal dan kecewa di atas tindakan segerombolan Pemuda Umno yang diketuai oleh exco pergerakan pemudanya, Lokman Nor Adam kerana cuba untuk mencetuskan provokasi dan huru-hara di hadapan ibu pejabat PKR di Tropicana, di sini, semalam.

Tindakan tersebut dilakukan oleh mereka dengan mengadakan perhimpunan khas yang ternyata satu perhimpunan tidak sah serta disulami dengan pelbagai ugutan, ancaman dan kata-kata berbaur hasutan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, lebih dikesali oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor apabila himpunan tersebut berlaku berhampiran dengan Balai Polis Tropicana.

Menurut beliau, bagaimanapun, anggota polis di situ hanya menjadi penonton dengan tiada sebarang tindakan dan tangkapan dibuat ke atas mereka.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor akan memantau dan mengharapkan penjelasan daripada pihak polis tentang tindakan mereka terhadap perkara itu.

"Ini kerana terdapat 2 versi yang berbeza berkenaan tindakan polis untuk menangani perhimpunan yang membabitkan orang ramai.

"Sekiranya pihak Umno/BN ataupun pihak yang pro kepada mereka, maka pihak polis akan memberikan kerjasama dan kawalan keselamatan yang baik untuk mempastikan perhimpunan berjalan lancar," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Namun, menurut beliau, sikap pihak polis ternyata berbeza pula apabila pihak NGO dan parti pembangkang yang pro Bersih cuba untuk mengadakan himpunan aman.

"Pada hal, himpunan yang diadakan oleh NGO dan parti pembangkang yang pro Bersih itu tanpa ada sebarang unsur-unsur provokasi, kecaman, ugutan dan kata-kata berbaur hasutan, tetapi tidak pula mendapat kerjasama pihak polis, malahan ada yang ditangkap di atas sebab-sebab keselamatan.

Katanya, pihak polis sepatutnya tidak bersikap “double standard” di dalam menangani persoalan itu kerana ini akan menjatuhkan maruah dan integriti pihak polis sebagai pasukan yang dihormati pada pandangan masyarakat sekiranya terus dipergunakan sebagai alat untuk meneruskan kesinambungan penguasaan kuasa pihak tertentu.

"Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan pihak polis agar berlaku adil, telus dan berwibawa di dalam menangani isu yang membabitkan hak-hak rakyat Malaysia sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 10(1) (b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat," tegasnya.


Kakitangan pusat diwajib hadir sambut Najib
Fuad Nurhadinata

PASIR PUTEH, 30 Jun: Petunjuk pilihan raya umum ke-13 kini semakin jelas apabila kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan Sabtu ini dikatakan melengkap misi jelajah Presiden Umno ke seluruh negara.

Ukuran konvensional akan digunapakai bagi mengukur seramai mana rakyat Negeri Cik Siti Wan Kembang meraikan kedatangan Perdana Menteri. Ia dijangka menjadi faktor penyumbang menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13.

Pemimpin Umno di sini tidak mahu mengulangi kesilapan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Bachok bulan lepas kelihatan hambar, tiada sambutan.

Oleh itu bagi menjaga imej ketua negara, pemimpin Umno di Pasir Puteh, Machang dan Kota Bharu kini terpaksa bekerja keras memastikan kehadiran Najib mendapat sambutan hangat.

Di Pasir Puteh kakitangan kerajaan pusat sudah menerima kad jemputan supaya hadir pada program perhimpunan bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Sri Aman, Kampung Tok Nik.

Difahamkan kad tersebut akan dikutip semula wakil-wakil jabatan yang berada di tempat program untuk memastikan kesemua kakitangan pusat hadir.

Seorang guru ketika ditemui mendakwa beliau menerima kad jemputan tersebut untuk hadir pada program bersama perdana menteri Sabtu ini.

“Kad yang diterima mesti diserah balik kepada pihak urusetia yang menunggu di tempat program di SK Sri Aman” katanya di sini.

Difahamkan ada tempat khas disedia kepada wakil-wakil setiap jabatan pusat di tempat program untuk memungut kembali kad jemputan daripada setiap kakitangan yang hadir.

Guru terbabit juga memberitahu setiap Pengerusi PIBG dikehendaki membawa lima ibu bapa pelajar hadir di program berkenaan.

Arahan serupa juga diberi kepada mubaligh Jabatan Pembangunan Persekutuan, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan guru-guru Kafa.

JKKKP difahamkan perlu membawa sekurang-kurang 10 orang penduduk. Begitu juga mubaligh yang makan gaji dengan kerajaan pusat.

Seorang peniaga, Hussin Mamat pula memberitahu beliau menerima kad jemputan daripada sebuah bank supaya hadir pada program bersama Perdana Menteri di SK Sri Aman.

Beliau juga mendakwa penduduk kampung yang mendapat bantuan di bawah kerajaan pusat juga dikerah hadir.

Baru-baru ini Ketua Umno Pasir Puteh, Zawawi Othman menganggar kira-kira 20,000 ahli parti itu menyertai program lawatan Perdana Menteri di jajahan tersebut 2 Julai ini.

Menurutnya badan-badan bukan kerajaan terutama golongan belia, peniaga, petani dan nelayan akan turut serta.

Sebelum ini Zawawi dikatakan mengarahkan Pejabat Pelajaran Daerah mewajibkan semua guru di Pasir Puteh hadir pada pelancaran program gelombang merah.

Kehadiran guru-guru berbaju merah dianggap ketua Umno terbabit sebagai sambutan luar biasa. Sedangkan kehadiran mereka dipaksa.

Seorang lagi guru mendakwa Ahad ini dijangka diumumkan sebagai cuti peristiwa bagi sekolah-sekolah di Pasir Puteh.

Najib juga dijadual menunaikan solat Zohor di Masjid Kampung Pulau Lima. Sebelum itu Najib dan isteri dijangka tiba di Gong Kedak, Terengganu pada jam 9.40 pagi.


DPPWP kutuk serangan ke atas pejabat Umno
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Jun: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengutuk serangan pihak tidak bertanggungjawab yang menyimbah cat dan membaling ayam yang disembelih ke bangunan pejabat Umno Cheras dan Bandar Tun Razak pagi ini.

“Tindakan ini jelas bertentangan dengan Islam,” kata ketuanya, Kamaruzaman Mohamad kepada Harakahdaily.

DPPWP juga, katanya kesal dengan tindakan samseng pemuda Umno yang berkumpul dan membuat bising di hadapan pejabat PKR baru-baru ini.

Beliau berkata, begitu juga dengan beberapa siri himpunan Perkasa sebelumnya yang membakar gambar Ambiga sambil melaungkan slogan perkauman.

Katanya, DPPWP menolak sebarang aktiviti provokatif, mengugut, ekstrem dan samseng dalam menyampaikan pandangan kepada mana-mana pihak.

“DPPWP yakin rakyat juga tidak lupa insiden membaling kepala babi, membakar gereja dan rumah ibadat lain sebelum ini yang sengaja dilakukan bagi memberikan ketakutan kepada rakyat.

“DPPWP tidak menolak, tindakan ke atas bangunan Umno kali ini juga mempunyai niat yang sama,” ujarnya.

Mengimbas suasana sebelum himpunan Bersih yang pertama, beliau berkata semuanya berjalan dengan aman.

Pada ketika itu, ujar beliau tiadanya pertubuhan ekstrem seperti Perkasa hari ini yang setiap hari mencanangkan ugutan dan membakar kemarahan rakyat.

Tambahnya, DPPWP memberi jaminan, Himpunan Bersih 2.0 tetap berjalan dengan aman walaupun Perkasa, Pemuda Umno dan penyokong mereka tidak mahu berhenti dari melakukan tindakan provokasi mereka.

“Kepada peserta himpunan Bersih 2.0, datanglah beramai-ramai ke Kuala Lumpur dengan aman dan pedulikan provokasi Perkasa dan Pemuda Umno.

“Negara ini milik anda juga dan sesiapa pun bebas berada di mana-mana tempat di negara ini,” katanya.


Protes: Ahli parlimen Pakatan berpakaian 'kuning'
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 30 Jun: Sebagai membantah tindakan pihak polis yang memerangi sebarang unsur sokongan kepada himpunan aman Bersih 2.0, ahli parlimen Pakatan Rakyat hadir ke Dewan Rakyat hari ini dengan berpakaian kuning.

Ada antara mereka berbaju kuning, dan ada juga bertali leher kuning bercetak Bersih 2.0 sekaligus dilihat seperti mencabar pihak berkuasa yang sedang giat melakukan tangkapan terhadap mereka yang memakai baju kuning bercetak Bersih 2.0.

Ahli parlimen wanita pula memakai pakaian kuning.

Dua dari mereka, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa dan Bukit Gantang Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin memakai baju-T Bersih 2.0.

Pada sidang media mereka di lobi parlimen hari ini, mereka turut mengecam tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussin berhubung kenyataannya bahawa menyokong himpunan Bersih adalah haram.

"Kami di sini untuk menyokong himpunan Bersih bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil," kata Penasihat DAP Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur)

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata baju-T Bersih haram dipakai dan mereka yang berbuat demikian boleh ditangkap.

"Tindakan kami memakai kuning hari ini sebagai protes kami kepada tingkah laku pihak berkuasa yang kami rasa sudah melampaui batas," kata Dr. Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai).

9 Julai 'Hari Gotong Royong Negara'
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 30 Jun: Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi mengisytiharkan Himpunan Bersih pada 9 Julai depan sebagai Hari Gotong Royong Perdana Peringkat Negara.

Sebelum itu, beliau menggambarkan suasana hanyir dan meloyakan dengan segala macam sampah sosial berselerakan di seluruh pelosok negara menerusi sebuah sajak khas untuk Bersih.

Antara bait sajaknya berbunyi: 'Rasuah berselerak di laman politik negara' yang menggambarkan keadaan politik yang penuh dengan kucar kacir ditambah suasana pilihan raya yang tidak adil dan bersih.

Beliau menyeru semua golongan masyarakat agar hadir dalam himpunan 9 Julai depan untuk sama-sama bergotong royong membersihkan negara dari segala kekotoran memualkan selama ini.

Ustaz Nasrudin berbuat demikian mengakhiri pidatonya di Majlis Solat Hajat dan Pidato Perdana yang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini malam tadi.

Turut berucap adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; wakil Suaram, K Arumugam, Ketua Muslimat Selangor, Ustaz Wan Hasrina Hassan.

Berucap sama adalah Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pusat, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Peguam Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Mohd Ridwan.

Dalam ucapannya juga, Nasrudin menyatakan memang tunjuk perasaan atau demontrasi mesti dilakukan secara beramai-ramai dan tidak boleh dilakukan seorang diri.

“Pergilah buat demontrasi seorang diri di mana-mana tepi jalan atau pun taman bunga dan menjeritlah kuat-kuat, bukan FRU yang datang tapi ambulans kerana dikatakan orang itu sudah tidak betul,” selorohnya.

Ustaz Nasrudin juga sempat membetulkan kefahaman rakyat tentang erti sebuah hadis.

Menurutnya, selama ini orang ramai menterjemahkan hadis berkenaan dengan erti yang salah menyebabkan tiada apa-apa berlaku meskipun sudah lama membaca hadis tersebut.

Katanya, perkataan 'mengubah' dalam Hadis bila kamu melihat kemungkaran hendaklah diubah dengan tangan, lidah dan hati itu perlu dibetulkan kepada perkataan 'menukar'.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar jangan bimbang kerana Pemuda PAS Malaysia menyediakan semua keperluan seperti 300 peguam dan paramedik terdiri daripada pengamal perubatan yang akan memberikan rawatan awal jika berlaku apa-apa melibatkan kecederaan.

Sementara itu, Zamri juga memberi jaminan 300 peguam akan berkhidmat pada hari itu.

"Mereka bukan sahaja datang untuk memberikan khidmat nasihat perundangan kepada peserta Himpunan Bersih malah mereka juga akan berarak sama pada 9 Julai depan," tegasnya.

Subversif: Pemuda PAS tempelak Reezal Merican
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menempelak kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican dalam Utusan Malaysia hari ini yang menuduh PAS, PKR, DAP dan Sekretariat Bersih mengamalkan kegiatan subversif dan anarki.

“Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS mencabar Pemuda Umno khususnya Reezal Merican untuk membuktikan apakah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengharamkan rakyat berhimpun secara aman dan tanpa senjata?

“Sedangkan saya mahu Reezal Merican melihat apakah tindakan provokasi ratusan Pemuda Umno Malaysia yang berhimpun untuk mengecam dan mencabar untuk membakar bangunan Parti Keadilan Rakyat beberapa malam yang lalu adalah perbuatan sopan dan baik,” kata ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Beliau mempersoalkan adakah Reezal Merican sedar bahawa Pertubuhan Peribumi Perkasa Negara (Perkasa) yang melancarkan Gerak Aman dan Pahlawan Keamanan sambil melontarkan beberapa kenyataan berbaur pertembungan fizikal bukan sesuatu yang mengancam keamanan negara.

Malah, tanya beliau lagi adakah Reezal Merican tahu terdapat pertubuhan silat di negara ini yang bersedia untuk menghalang peserta himpunan aman Bersih 9 Julai dengan tanpa jaminan bahawa anak-anak buah pertubuhan silat itu akan melakukan tindak balas yang agresif.

Katanya, sejak Sekretariat Bersih mengumumkan Himpunan Aman Bersih 2.0, tidak ada satu pun kenyataan kami yang menggambarkan akan berlaku kekacauan dan huru hara pada hari tersebut.

Tetapi sebenarnya, kata beliau reaksi emosional Umno termasuk rangkaian dan media miliknya yang cuba menanamkan rasa takut kepada jiwa rakyat sehingga pelbagai ancaman dilemparkan penganjur Bersih.

“Siapakah sebenarnya yang cuba bersikap subversif?

“Oleh yang demikian, saya tetap menyeru kepada rakyat khususnya anak muda yang cintakan keadilan di Malaysia dan menginginkan kehidupan yang lebih baik di negara ini agar dapat turun menyatakan sokongan tanpa rasa takut kerana perhimpunan ini dijamin di sisi Perlembagaan Persekutuan dan ia akan dilakukan secara aman tanpa sebarang perancangan dan agenda sulit,” katanya.


Khalid Samad sertai misi baru ke Gaza
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 30 Jun: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad terus mendakwa misi kemanusiaan Lifeline for Gaza (LL4G) dicemari dengan agenda politik Umno BN.

Oleh sebab itulah tegasnya, beliau menarik diri daripada menyertai misi tersebut dan menyertai misi baru yang mempunyai tujuan sama iaitu memberikan bantuan kepada penduduk Gaza.

Beliau memberitahu bahawa beliau telah menunggu di Arab Saudi pada 20 Jun yang lalu untuk mendapatkan maklumat mengenai misi tersebut namun tidak dimaklumkan sebarang perkembangan.

"Saya dapat tahu ada banyak campur tangan politik dalam LL4G.

"Saya berada di Saudi Arabia sejak 20 Jun, yang mana Saudi Arabia tak sampai 1,000 kilometer pun dari Gaza tapi tak dapat sebarang maklumat pun daripada pihak penganjur.

"Jadi saya rasa mereka tak serius itu sebablah saya tarik diri," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau membangkitkan kembali isu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang tidak dibenarkan berucap dalam program pelancaran LL4G 18 Jun lalu.

Beliau mempersoalkan sikap ketua misi LL4G, Dr Noorazman Mohd Samsudin yang menafikan mendapat tekanan daripada pejabat Perdana Menteri sedangkan pada awalnya mengakui perkara tersebut.

"Timbalan Presiden PAS tak dibenar berucap pada pelancaran LL4G 18 Jun. Penganjur Dr Nor Azman telefon bagitahu atas sebab tekanan dari JPM.

"Tapi lepas Mat Sabu buat sidang media, Nor Azman nafi pula ada tekanan. Saya tanya kenapa perlu menipu, dia beri pandangan negatif kepada Timbalan Presiden PAS.

"Dia kata kenyataan itu tak betul, dia ditanya waktu memandu, jadi soalan tak jelas. Nak buat keluar kenyataan baru, malangnya kenyataan menyokong (JPM)," katanya.

Beliau turut mendakwa Umno tidak serius dalam isu Palestin sebaliknya hanya untuk berlagak hero.

"Ini menunjukkan mereka tidak serius, saja nak tunjuk bela Palestin tetapi sehingga hari ini mereka tak iktiraf Hamas," katanya.

Dengan nada seloroh, Khalid berkata Umno BN seperti sudah terkena 'sumpahan' apabila segala program yang disertai parti itu akan tercemar dengan agenda politik mereka.

"Umno ni kena sumpahan, macam sejarah King Midas dulu pegang semua benda akan jadi emas, tapi Umno pegang apa sahaja jadi kotor, termasuklah pilihan raya, dan program LL4G ini," katanya.

Misi baru sebelum Ramadhan

Bagaimanapun kata Khalid, beliau tetap akan menyertai satu misi baru dengan tujuan sama yang akan disertai NGO Cakna Palestin, Muslim Care dan Mawaddah.

"Kita akan buat misi baru.Masuk pintu Rafah, dan akan masuk sebelum Ramadhan.

"Kita dah hantar surat ke Wisma Putra dan kedutaan Malaysia di Mesir," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata PAS konsisten dalam membawa isu kemanusiaan dan sanggup bekerjasama dengan mana-mana parti sekali pun.

"PAS konsisten, dulu Presiden Ustaz Fadzil Nor duduk bersama Tun Mahathir dalam forum di dewan bahasa (dan pustaka) bincang isu Palestin.

"Tapi Umno sekarang, duduk sepentas dengan PAS pun tak mahu," katanya yang juga ahli Parlimen Tumpat.


Peneroka saman Felcra RM100 juta
M Faqih

RANTAU PANJANG, 30 Jun: Pada 1970 sekumpulan lebih 70 penduduk dari Gual Ipoh, Tanah Merah dan beberapa tempat lain meneroka tanah di Bukit Tandak di sini untuk dijadikan kebun.

Bagaimanapun selepas kerajaan PAS tewas pada 1978 kawasan yang diteroka itu disertai lebih ramai lagi peneroka lain sehingga menyebabkan berlaku perebutan.

Namun Timbalan Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Hussien Ahmad meminta peneroka terbabit menyerah tanah yang diteroka kepada Felcra untuk diurus bagi menyelesai pertelingkahan.

Malangnya kumpulan kedua yang datang kemudian difahamkan berjaya mendapat geran kebun seluas tiga ekar, sedangkan peneroka awal diketepikan.

Dan lebih malang lagi sejak tanah tersebut diserah kepada Felcra peneroka tidak mendapat sebarang dividen daripada agensi kerajaan pusat terbabit seperti dijanjikan.

“Pakcik amat sedih kerana kita mengharap tanah yang diusaha menjadi sumber rezeki namun tidak menjadi kenyataan kerana Felcra enggan membayar sebarang dividen.

“Keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa mencari kerja lain termasuk menoreh pawah di kebun getah milik orang lain.

“Kita sudah habis ikhtiar mendapatkan semula hak ke atas kebun yang diserah kepada Felcra namun tidak berjaya. Cuma sekarang kerajaan negeri berusaha menyelesaikannya,” kata Abdullah Mustapha, 69.

Beliau antara generasi pertama meneroka tanah di kawasan itu bersama Muhamad Muhd Kassim, 63 yang dilantik sebagai ketua bagi kumpulan peneroka terbabit.

Sebahagian besar daripada 180 peneroka di Kampung Rahmat Felcra Bukit Tandak menghadiri perjumpaan bersama anggota Exco, Datuk Husam Musa dan wakil rakyat malam tadi.

Hadir sama Adun Gual Periuk, Ustaz Mohamad Awang, Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun, Adun Kadok, Azami Mohd Nor, peguam, Helmi Abdullah dan seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur, Datuk Maarof.

Sebelum majlis penerangan bermula mereka menunaikan solat hajat di rumah Mohamad. Peneroka yang hadir serius mendengar penjelasan diberi anggota Exco dan peguam.

Mohamad juga masih menyimpan segala dokumen berkaitan bagi mengesahkan mereka merupakan peneroka awal tanah tersebut sebelum dimajukan Felcra.

Tanah diurus Felcra di Bukit Tandak dianggap kerajaan diteroka secara haram kerana tidak mempunyai sebarang geran hak milik.

Ekoran itu kerajaan negeri mengambil balik semula tanah tersebut daripada Felcra pada 2008 bagi membolehkan peneroka asal diberi semula hak mereka.

Muhamad berkata, pada peringkat awal Felcra menjanjikan mahu membayar dividen kepada peneroka namun sehingga 2008 tiada bayaran dibuat.

“Saya sebagai mewakili peneroka menuntut Felcra membayar RM100 juta memadangkan sepanjang tempoh 30 tahun tiada satu sen pun dibayar kepada peneroka,” katanya.

Pada majlis itu juga Mohamad menyerahkan segala dokumen berkaitan kepada peguam untuk membolehkan kes tuntutan terhadap Felcra dibawa ke mahkamah sekiranya notis bayaran tidak diendahkan.

Husam berkata, kerajaan negeri berusaha menyelesaikan masalah yang begitu lama berlarutan di Felcra Bukit Tandak bagi membolehkan peneroka awal mendapat hak mereka.

(Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang).

Tiada ulasan: