Selasa, 14 Jun 2011

ISLAM TAKUT...TAK SUKA ISLAM MACAMANA YANG DIKATAKAN NAK BELA ISLAM....TENTU PELIK...BELA KAUM MEMANG DILARANG...

Tak patut haramkan permainan kutu di kampung
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan diingatkan agar tidak mengharamkan aktiviti pengumpulan wang kutu yang dimainkan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung.

Sebaliknya aktiviti pengumpulan wang kutu di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung perlu digalakkan kerana ia tidak berasaskan keuntungan, malah mengukuhkan ekonomi keluarga.

Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata, perkara itu amat berbeza dengan penganjuran pengumpulan wang kutu yang dimainkan (dilakukan) secara besar-besaran dan komersial oleh pihak tertentu walaupun atas alasan sumbangan ikhlas.

Menurut beliau, oleh itu, sebarang pindaan undang-undang yang hendak digubal oleh kerajaan perlu memperjelaskan perkara itu bagi membolehkan aktiviti pengumpulan wang kutu yang dimainkan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung dikecualikan dari sebarang tindakan undang-undang.

Katanya, sekiranya undang-undang yang digubal itu turut mengenakan tindakan terhadap aktiviti pengumpulan wang kutu yang dimainkan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung, ia pasti menimbulkan pelbagai kesulitan kepada orang ramai.

"Pada hal pengumpulan wang kutu di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung itu apalah salahnya. Jadi yang itu tak patutlah diharamkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan pembentangan Rang Undang-Undang (Larangan) Kumpulan Wang Kutu (Pindaan) 2011 Bacaan Kali Yang Kedua oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menerusi pindaan rang undang-undang itu, mereka yang terbabit dengan kesalahan pengumpulan wang kutu akan dikenakan tindakan hukuman denda RM500,000 atau 10 tahun penjara dari rang undang-undang tahun 1971 yang hanya denda RM5,000 atau 3 tahun penjara.

Menurut Nasir, pindaan rang undang-undang tersebut, jika tidak mengecualikan pengumpulan wang kutu yang dimainkan di pejabat-pejabat atau di kampung-kampung, pasti akan menjadikan undang-undang tersebut amat zalim dan tidak praktikal.

Bagi mengelakkan kejadian itu, beliau menyarankan agar pindaan rang undang-undang tersebut hanya difokuskan kepada aktiviti pengumpulan wang kutu yang dilakukan secara komersial oleh pihak tertentu.

"Pengumpulan wang kutu secara besar-besaran itu sememangnya dilakukan secara komersial, mahukan keuntungan, penuh dengan kekeliruan, berunsur penipuan dan berunsur riba.

"Ia ternyata tidak jelas penganjurnya, sering berlaku penipuan kepada orang ramai, kadar pulangan yang tidak pasti.
Yang itulah yang perlu diharamkan," tegasnya.

Selain itu, beliau turut kesal apabila aktiviti pengumpulan wang kutu turut diselewengkan oleh pihak tertentu, atas alasan pinjaman Tekun, yang turut membabitkan pemimpin Umno.

Terdahulu dari itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail turut mengingatkan pihak kerajaan agar mengecualikan para pemain pengumpulan wang kutu kecil-kecilan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung dengan pindaan rang undang-undang tersebut.

"Malah mereka sebenarnya yang kebanyakannya kaum wanita di kampung-kampung turut memainkan peranan penting bagi pertumbuhan ekonomi negara sehingga berjaya mengumpul RM2 bilion," katanya.

Manakala Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga AJK Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad ketika bangun membahaskan pembentangan rang undang-undang itu meminta pihak kerajaan memperjelaskan yang mana aktiviti pengumpulan wang itu yang tidak dimasukkan dalam perniagaan dan yang dimasukkan dalam perniagaan.

Ini kerana dalam Akta Pengesahan Wang Kutu 1974 tidak memperjelaskan perkara ini, malah mengatakan walau apa-apa pun undang-undang yang berlawanan sah di sisi undang-undang dan dikuatkuasakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menggulung perbahasan itu menegaskan, kesemua pandangan tersebut akan diambil kira oleh kerajaan.

Dengan itu, pindaan rang undang-undang itu pasti akan mengecualikan para pemain pengumpulan wang kutu kecil-kecilan yang tidak berasaskan keuntungan di pejabat-pejabat dan di kampung-kampung.


Belanja RM1.8 juta untuk Facebook?
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Kementerian Pelancongan dikritik hebat ekoran membelanjakan RM1.8 juta untuk membuka akaun dan mempromosi program kementerian itu di laman Facebook.

Perkara itu dibangkitkan Anthony Loke (DAP-Rasah) yang mempersoal kenapa begitu besar jumlah wang 'dibazirkan' untuk Facebook itu yang sebenarnya hanya boleh dibuat secara percuma.

"Pada pemerhatian terakhir saya, terdapat 20,308 peminat di Facebook kementerian.

"Dibandingkan dengan laman Facebook 'Visit Penang' yang kerajaan Pulau Pinang tidak mengeluarkan sesen pun, mendapat lebih 100,000 peminat.

"Kenapa membelanjakan RM1.8 juta? "katanya pada soalan tambahan.

Terdahulu, beliau mahu Menteri Pelancongan menyatakan justifikasi perbelanjaan sebanyak RM1.8 juta dalam 'social media branding', pecahan secara terperinci dan nama syrarikat yang dianugerahkan projek tersebut.

Soalan serupa turut ditanya Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Ir Idris Haji Haron.

Dalam jawapannya, Timbalan Menteri Pelancongan, James Dawos Mamit memberitahu projek itu diberikan kepada agensi pengiklanan yang dilantik, Impact creations Sdn Bhd bermula 2011 sehingga 2013.

Jumlah itu termasuk kos kerja kreatif, konsep dan idea, reka bentuk, flash programming, coding, testing, debugging, uploading, launching of application, system server deployment, maintenance, development of database from the contest, campaign management and monitoring serta online advertisement dan fans recruitment di Facebook dan google.

Anthony Loke kemudianya mendakwa, sangat pelik jika tidak ada seorang pun di kementerian terbabit mempunyai kemahiran untuk menguruskan atau mengemaskini Facebook kementerian itu sehingga terpaksa melantik syarikat pengiklanan untuk menguruskannya.

Malah secara sinis beliau mencadangkan pihak kementerian agar mendapatkan nasihat dari pelbagai pihak termasuk ahli perlimen Pakatan dan BN yang rata-ratanya 'pakar' menggunakan jaringan sosial.

Pandangan bahawa jumlah itu sebagai 'pembaziran' juga turut dipersetujui Khairy Jamaludin (BN Rembau).

"Sekarang ini hanya ada 2,013 'like' dan rekabentuknya tidak ada apa yang lebih. Ia hanya guna template yang sama.


Nik Aziz tarik balik saman, selesai luar mahkamah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik balik saman terhadap Utusan Malaysia berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah.

Setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan, ia berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah oleh pihak defendan berdasarkan sejumlah bayaran yang tertentu.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan sebagai merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian hari ini.

Berikut penjelasan beliau.

Saya merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini 14 Jun 2011 di halaman 20 di bawah tajuk 'Kes Nik Aziz Saman Utusan RM20j Selesai Luar Mahkamah'.

Laporan yang sama juga disiarkan oleh Sinar Harian hari ini di halaman N4.

Sukalah saya mengesahkan laporan tersebut dengan sedikit penambahan berdasarkan kronologi berikut:

Pada 12 Jun 2009, Utusan Malaysia telah menyiarkan satu artikel dengan petikannya di muka hadapan di bawah tajuk “Nasihat Saya Mesti Didengar” dengan beberapa isi kandungan yang memfitnah YAB Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan.

Antaranya menyebut, “Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa nasihatnya itu mesti didengar kerana mempunyai hujah jelas untuk menangkis cadangan yang dianggapnya sebelum ini sebagai ‘ilham’ UMNO.”

Artikel tersebut mengundang kepada beberapa pandangan balas yang mengecam YAB Tuan Guru, antaranya ialah seperti yang tersiar di dalam akhbar yang sama di muka surat 12 bertarikh 16 Jun 2009. Artikel yang ditulis oleh Ramli Abdul Halim itu mengecam YAB Tuan Guru dengan mendakwa tindakan tersebut bercanggah dengan Islam.

YAB Tuan Guru telah menafikan kenyataan yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 12 Jun 2009 dan penafian ini disiarkan oleh akhbar yang sama di muka surat dua pada 18 Jun 2009.

Setelah melalui proses rundingan di antara kedua-dua pihak bersama dengan peguam yang dilantik, Utusan Malaysia telah memohon maaf kepada pihak YAB Tuan Guru di atas laporan yang salah tersebut dan permohonan maaf ini disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia 29 Julai 2009.

Memandangkan laporan tersebut yang dianggap begitu tersasar dan mendatangkan kesan khususnya kepada keputusan pilihanraya kecil Dun Manek Urai, pihak YAB Tuan Guru tetap meneruskan usaha untuk memfailkan saman sebanyak RM20 juta ke atas Utusan Malaysia.

Kes ini dijadualkan mula dibicara pada 12 Jun 2011 di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Pada 10 Jun 2011, pihak Utusan Malaysia melalui peguam yang dilantik telah menghantar notis tawaran penyelesaian di luar mahkamah dengan sejumlah bayaran ganti rugi kepada pihak YAB Tuan Guru.

Justeru pada prosiding mahkamah yang bermula pada 13 Jun 2011, berasaskan kepada notis yang dihantar tersebut, YAB Tuan Guru telah berbesar hati untuk menarik balik saman dengan sejumlah bayaran yang ditawarkan oleh pihak defendan.

Justeru, sukalah saya mengulangi sekali lagi bahawa apa yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada hari ini 14 Jun 2011 iaitu YAB Tuan Guru telah menarik balik saman RM20j adalah benar namun perlu disebut bahawa ia dilakukan berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah oleh pihak defendan berdasarkan sejumlah bayaran yang tertentu.


Negara Berkebajikan mengikut feqah politik Islam
Subky Latif

SEPANJANG pimpinan Dr. Burhanuddin al-Hilmy dalam PAS banyak yang disarankannya tentang pengisian sebuah negara merdeka Islam mengikut konsep Baldatun Toyibatun Warrabun Ghaffur yang diterjemahkannya sebagai membentuk negara berkebajikan yang mendapat restu – keredhaan – Allah.

Dalam Muktamar PAS ke 57 awal Jun lalu Presidennya Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang menyarankan sasarannya dalam muafakat Pakatan Rakyat bagi Membangun Negara Berkebajikan sebagai thema Ucapan Dasarnya.

Sarjana lepasan Oxford yang memimpin Pemuda UMNO mengira saranan negara kebajikan yang PAS hidupkan semula itu telah lari dari pejuangan asalnya bagi mendirikan negara Islam.

Menteri Nazri Aziz mengiranya ia meniru apa yang UMNO/BN laksanakan selama ini. Perdana Menteri Najib mengira ia bukan suatu yang bagi kerajaan dan parti yang diwarisinya, manakala Muhyiddin Yassin pula mengira PAS cuba buat yang sama dengan yang UMNO buat.

Ustaz Haji Hadi berjaya menarik perhatian semua pemimpin Barisan Nasional apabila sekaliannya segera memberi reaksi yang berbagai-bagai mengikut pengajian dan fahaman mereka.

Sarjana lepas Oxford ternyata gagal memahami ajaran Islam tentang kenegaraan dan pemerintahan. Atau cetek pengetahuannya mengenai subjek itu sekali pun dia pernah berkhidmat dengan ISIS, satu istitusi yang menghilang semua pemikiran dan perkembangan dunia.

Tidak sampai pengajian orang di Universiti Oxford bahawa pengisian negara berkebajikan itu adalah antara isi negara Islam. Kalau negara Islam itu ditakuti oleh orang-orang jahil kerana disangka kerjanya adalah untuk memotong tangan pencuri dan merejem penzina tetapi dengan tertegaknya negara kebajikan mengikut feqah politik Islam dapat menambah jelaskan bentuk dan corak negara Islam itu.

Yang takut kepada Islam selama ini mulai melucutkan perasaan itu hingga ramai yang mendaftar diri menjadi anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS. Masyarakat bukan Islam dunia sendiri kian bersungguh menerima konsep makanan halal dan sistem perbankan Islam.

Semuanya itu adalah sebahagian dari pengisian muamalat Islam dalam cara pemerintahan Islam. Bukanlah Islam itu sekadar solat, jihad, puasa dan menutup aurat bagi wanitanya saja, tetapi dalam negara Islam itu ada konsep negara kebajikannya.

Kalau negara Islam itu menyukarkan orang memahaminya tetapi negara kebajikan itu menyenangkan orang menyukainya. Kafir Quraisy Mekah enggan menerima perdamaian Hudaibiyyah yang dibuat dengan Muhammad Rasulullah tetapi bersetuju dengan perjanjian yang dibuat dengan Muhammad saja sekali pun isi perjanjian itu sama.

Kalau Islam digeruni oleh kebanyakannya tetapi kebajikan itu disukai oleh semuanya. Dalam pendekatan dakwah, apa saja kaedah yang menarik orang ramai yang tidak bercanggah dengan sunnah Allah dan sunnah RasulNya adalah wajar dan dikehendaki.

Tidak berbangkit kebajikan yang disarankan PAS meniru mana-mana politik dunia kerana kebajikan yang hendak diserlahkan adalah bersandar kepada feqah politik Islam.

Negara berkebajikan yang mendapat restu-keredhaan Allah adalah ajaran al-Quran yang sudah disebutkan oleh Dr. Buhanuddin sejak sebelum negara merdeka dan sebelum bonda dan ayahanda Khairy Jamaluddin kahwin. Demikianlah tuanya konsep negara berkebajikan itu pada PAS.

Tiadalah meniru PAS akan konsep itu dari UMNO kerana kebajikan yang difahami dan diamalkan oleh UMNO ialah mengikut politik dunia dan sekular yang menghalalkan cara sedang kebajikan PAS itu adalah mengikut kehendak feqah politik Islam.

Kalau ulama yang tidak berpijak kepada feqah politik Islam boleh terjerumus dalam UMNO maka apa lagilah yang sekadar mengaji di Oxford dan Cambridge serta yang sekadar bersekolah atap dan tidak pernah menjejak kaki di tangga sekolah pondok.

Amat dibimbangi ulama yang tidak memahami feqah politik Islam lebih lemah fahamannya tentang politik Islam dari anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS. Mungkin yang layak berdebat dengan ulama UMNO adalah anggota kelab menyokong PAS – bukan ulama PAS.

Tentang perintahan kebajikan yang Ustaz Hadi sarankan itu ialah ‘PAS wajib menghapuskan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang menjadi amalan kerajaan UMNO/BN sehingga mengambil kesempatan mendapatkan hasil melalui rukun hidup rakyat. Rakyat yang berniaga terpaksa berdepan dengan kerajaan yang berniaga. Kerajaan yang berniaga melalui GLC pula mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham kroni tertentu, manakala kerugian peniagaan ditanggung oleh kerajaan, yang akhirnya dibebankan kepada rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat biasa.’

Sistem kebajikan UMNO membawa kepada duiawi dan rasuah, sistem negara berkebajikan yang PAS mahu bagi membawa pahala dan menjauhkan dosa.


Dewan Rakyat tolak usul kematian Sarbaini
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) April lalu.

Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee yang menolak usul tersebut di bawah peraturan mesyuarat 18 (1) berkata ianya tidak perlu disegerakan kerana masih di bawah siasatan polis dan inkuesnya akan bermula 4 Julai depan.

Kit Siang (gambar) menghantar notis usul tersebut pada Jumaat lalu kepada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendesak Parlimen membahaskan isu kematian Sarbaini ketika siasatan SPRM dengan menumpukan kepada dakwaan terbaru oleh editor portal Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin.

Raja Petra dalam tulisan di blognya berkata polis telah menyiasat aset Ahmad Sarbaini dan mendapati dia tidak memiliki "kekayaan luar biasa" seperti yang didakwa.

"Ahmad Sarbaini hanya mempunyai Perodua Kancil, Honda CRV terpakai dan Proton Pesona serta motosikal Modenas Kriss yang ditunggang ke pejabat SPRM, hari kematiaannya.

"Tiada kekayaan luar biasa," katanya.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat sebuah bangunan SPRM setelah dilapor pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.


Hapuskan PTPTN, tambah biasiswa JPA

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengulangi tuntutan rakyat supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan dan pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian dalam negara diberikan keutamaan untuk menerima biasiswa atau pendidikan secara percuma.

“Hanya inilah jalan terbaik untuk kerajaan melabur bagi mempercepatkan pembangunan modal insan demi masa depan negara,” kata setiausahanya, Nurul Islam Mohamed Yusoff.

Justeru, pihaknya memandang serius masalah agihan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2011 yang penuh kontroversi hingga menyebab ramai pelajar cemerlang SPM 2010 yang layak tidak menerima biasiswa itu.

DPPWP, katanya mendapati jumlah dana biasiswa yang diberikan kepada JPA setiap tahun amatlah terhad, dan Kerajaan BN lebih cenderung mendidik pelajar-pelajar cemerlang ini berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai salah satu langkah bagi melepaskan tanggungjawab sosial kepada rakyat.

Sehubungan itu, ujarnya DPPWP mencadangkan supaya JPA mendedahkan jumlah peruntukan sebenar yang diberikan oleh Kerajaan BN untuk dana biasiswa ini setiap tahun.

DPPWP juga, katanya menuntut agar Kerajaan BN meningkatkan peruntukan dana biasiswa JPA selari dengan jumlah pelajar cemerlang yang kian meningkat saban tahun.

“Sekiranya jumlah pelajar cemerlang semakin bertambah dan jumlah biasiswa diperuntukan masih sama atau tidak mencukupi, maka sampai bila-bila pun masalah ini tidak akan selesai,” katanya.

Tambahnya, dalam masa yang sama kerajaan BN juga harus akur dengan tuntutan rakyat yang mahu PTPTN dihapuskan dan ditukar kepada biasiswa.

Dalam bab yang lain, katanya DPPWP juga menuntut agar JPA mendedahkan jumlah peruntukan yang diberikan kepada setiap pelajar yang melanjutkan pengajian di dalam negara berbanding yang pergi ke luar negara.

Ini, ujarnya kerana DPPWP melihat kos pengajian di dalam negara lebih murah berbanding kos pengajian diluar negara.

“Berdasarkan pengalaman alumni universiti dalam dan luar negara, ramai yang mengakui bahawa dengan kos setiap pelajar yang ditaja keluar negara, Kerajaan mampu untuk menaja 4 orang pelajar belajar di dalam negara,” katanya.

Pada hari ini, katanya negara memiliki lebih dari 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam, diikuti dengan puluhan Universiti Pengajian Tinggi Swasta serta pelbagai kolej-kolej dan politeknik yang menawarkan tempat untuk pelajar Malaysia.

Malah, kata beliau kebanyakan bidang yang diajar di universiti luar negara seperti kedoktoran, kejuruteraan dan perakaunan kini sudah ada ditawarkan oleh IPT tempatan.

Ini, ujarnya berbeza dengan tahun-tahun 50-an hingga 80-an kerana pada masa itu jumlah dan bidang kursus yang ditawarkan oleh IPT tempatan masih terhad.

Oleh itu, tambahnya ada baiknya kerajaan memfokuskan untuk menarik lebih ramai pelajar-pelajar cemerlang ini untuk menyambung pengajian di IPT dalam negara dengan memberikan mereka bantuan biasiswa.

Menurutnya, dengan dana yang terhad kerajaan boleh menawarkan biasiswa kepada lebih ramai pelajar di dalam negara berbanding ke luar negara.

DPPWP, jelasnya tidak menolak jika ada permohonan biasiswa kalangan pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara, tetapi biarlah kursus yang mereka ditawarkan itu adalah kursus yang tidak ditawarkan oleh IPT dalam negara yang mana kita tidak mempunyai kepakaran yang mencukupi untuk mengajar mereka seperti bidang berkaitan kajian tenaga nuklear, kejuruteraan industri aeroangkasa, dan yang seumpamanya.

“DPPWP juga berharap agar Kerajaan Persekutuan membuat penyelarasan dengan kerajaan-kerajaan negeri yang turut menawarkan biasiswa untuk anak-anak negeri mereka supaya agihan yang dibuat tidak bertindih hingga menyebabkan keciciran peluang bagi pelajar lain yang juga berhak.

“Agihan juga haruskan adil bagi semua kaum dan tidak dipengaruhi oleh ahli-ahli politik yang memegang kuasa dalam kerajaan,” katanya.


Negara Berkebajikan: PAS kebah Umno demam
Wan Nik Wan Yusssof

Muktamar PAS ke-57 lalu mencipta satu lembaran baru dengan warna yang terang dan ceria. Ia selari dengan keputusan pemilihan ‘saf pilihan raya’ yang agak sepadan (matching) dengan tema dan kandungan ucapan dasar presiden, Membangun Negara Berkebajikan.

Kandungan ucapan dasar itu dikira sebagai suntikan vaksin mujarab bagi PAS untuk lebih sihat dan bertenaga melangkah ke medan pilihan raya umum ke-13. Betapa misi dan aturan kerja parti PAS sudah jelas untuk menawan sokongan rakyat. Ini kerana program berkebajikan adalah hak dan keperluan majoriti rakyat masa kini.

Sekaligus, pihak pimpinan Umno kelihatan gelisah dan meracau di siang hari, apabila dikhabarkan program berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat. Maka logiknya Umno sudah mengalami suhu badan mencecah paras ‘demam panas’. Apa pun PAS tidak seharusnya setakat menjadi pelawat kepada pesakit demam panas. Apa yang diingini PAS sepatutunya sedia menjadi doktor terus memberitahu rakyat supaya tidak lagi menghampiri Umno yang sudah demam yang mengancam kesihatan awam. Sewajarkah rakyat membawa Umno ke ‘wad sakit’ dalam pilihan raya nanti?

Bukti Umno sudah mengalami demam panas boleh disaksikan daripada komen ‘meracau’ pimpinan mereka tentang negara berkebajikan. Bermula daripada Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak (The Malaysian Insider, 10 Jun 2011) yang menganggap PAS mengikut jejak kerajaan Barisan Nasional dalam isu negara berkebajikan.

Ia suatu respons Mohd Najib terhadap ucapan dasar Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar PAS ke-57. Komen sebegitu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang bertaraf perdana menteri kerana denyutan jantung rakyat sentiasa kencang (melebihi 60 denyutan seminit) selama di bawah dasar dan program kerajaan pimpinan Umno yang banyak mendera rakyat.

Hakikatnya ia sudah bercanggah dengan nilai-nilai berkebajikan––petrol dan gas naik harga mendadak, semua pelajar lepas IPT menjadi pemiutang pelajaran, harga air minuman botol semahal harga minyak, pemborosan wang rakyat kerana terlalu banyak lawatan rasmi ke luar negara dan tiada jaminan pendapatan rakyat meningkat sebaliknya pendapatan kapitalis terus berganda. Kesemuanya menderakan rakyat!

Apa yang jelas, pemimpin Umno sudah kabur (kemamar) bila melihat negara berkebajikan tawaran PAS adalah realistik menurut persepktif Islam. Maka Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin (The Malaysian Insider, 5 Jun 2011) telah menyifatkan PAS sudah mengubah matlamat perjuangan Negara Islam kerana mahu membangun negara kebajikan. Malah menafikan matlamat PAS, sebaliknya menegaskan kononnya Malaysia sudah lebih awal melaksana negara berkebajikan. Nampak sangat gopohnya Muhyidin di dalam memahami maksud negara berkebajikan yang dihurai oleh presiden PAS.

Turut memberi respons yang songsang (mungkin kerana demam panas) ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Utusan Malaysia, 11 Jun 2011). Nor Yacop sangat kabur tentang konsep negara berkebajikan. Justeru bagi Nor Yacop kerajaan Barisan Nasional sudah lama mengamalkan konsep negara kebajikan. Agak pelik pula, berkebajikan itu disamakan dengan langkah transformasi ke arah negara maju menjelang 2020.

Nampak jelas menteri itu seorang yang temberang, kerana tidak merasai sama denyutan kencang jantung rakyat akibat permainan ‘ekonomi kapitalis’ yang segala-galanya mendahulukan kelompok kapitalis.

Sekarang rakyat terus dipaksa membayar lebih, sebagaimana harga minyak disel sudah mencecah RM1.90 sen (akan naik lagi ke paras RM2.00), sedangkan Malaysia pengeluar minyak. Jika dilihat kepada Arab Saudi yang juga pengeluar minyak, harga diselnya hanya SR0.25 seliter (bersamaan RM0.22). Begitu pula, harga kenderaan, termasuk yang diimport amat mahal akibat dasar percukaian yang mesra kapitalis. Misalnya, harga kereta Toyota Camry di Malaysia melebihi RM180 ribu, sedangkan di Arab Saudi yang lebih jauh dari bumi Jepun, harga Cuma SR90 ribu (sekitar RM79 ribu). Bayangkan nilai cukai yang duipaksa bayar oleh rakyat semata-mata ingin memakai kereta Toyota tersebut.

Oleh itu, sewajarnya omongan berkebajikan jajaan pemimpin Umno itu boleh difahami sebagai negara bercukai. Cukai dikutip sudah melebihi kadar yang mesra rakyat, sebaliknya sudah membebankan. Munasabahnya kerajaan Barisan Nasional hari ini dipanggil kerajaan bercukai memaksa dan membeban rakyat. Natijahnya, Saudi Arabia yang dilitupi padang pasir itu lebih berkebajikan dan mesra rakyat.

Apa beza kebajikan Malaysia dibandingkan Arab Saudi? Sangat ketara bezanya ialah untung harga minyak dikaut kapitalis milik negara, iaitu Petronas! Berapa banyak untung itu dipulangkan untuk kebajikan rakyat? Lihat sahaja bangunan milik Petronas, Menara Kembar di Kuala Lumpur, tidak sampai 10 peratus rakyat menerima lelehan minyak itu!

Model berkebajikan tajaan Umno tidak mendahulukan rakyat kerana kesemua aspek daruriyat rakyat sudah dikapitaliskan. Aspek pendidikan telah diIPTA dan diIPTSkan yang kesemuanya memaksa rakyat membayar sendiri. Kerajaan Barisan Nasional telah bertindak sebagai pemudahcara menyedia wang untuk dipinjam dan dikenakan faedah (berlindung di sebalik perkataan caj perkhidmatan) secara paksa. Lagaknya kebajikan itu sudah berupa ‘along’ yang halal. Belum lagi dibicara isu kebajikan hospital, tabung penanaman semula Felda dan skim Amanah Ikhtiar! Natijahnya, dasar berkebajikan di sisi kerajaan Barisan Nasional adalah bermaksud rakyat perlu membayar lebih untuk hidup, sementara kerajaan pengaut untung di belakang tabir. Kesannya rakyat terdera dengan kelicikan aturan dan peraturan yang diabsahkan oleh kuasa demokrasi yang sudah tua, berusia 54 tahun!

Namun, seorang pensyarah undang-undang, Dr Abdul Aziz Bari (The Malaysian Insider, 10 Jun 2011) kali ini agak bersetuju dengan misi negara berkebajikan PAS. Menurut Abdul Aziz, PAS sudah pun menekankan soal negara berkebajikan sejak akhir 1970-an.

Mungkin yang dimaksudkan Dr. Aziz ialah sebagaimana amalan PAS ketika memerintah Kelantan era 1960-an dan masa kini (terlalu banyak, tidak perlu disebut di sini). Malah semua pihak mengetahui. Cuma pemimpin Umno sahaja tidak mengaku yang mereka sebenarnya tahu aspek kebajikan ditawarkan oleh kerajaan Kelantan di bawah pimpinan ulama, Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Justeru, kenyataan Dr Aziz itu telah membela PAS, sekaligus menolak dakwaan Mohd Najib dan Muhyidin serta Nor Yacop. Sebenarnya PAS tetap istiqomah dengan dasar perjuangan Islam. Apa yang nyata, hala tuju bernegara masih menjadi matlamat PAS. Justeru Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (The Malaysian Insider, 9 Jun 2011) menegaskan ‘negara berkebajikan” adalah lebih menepati maksud konsep bernegara adalah selari dengan Islam yang terdapat di dalam al-Quran.

Paling membuat Umno terus mengalami demam panas ialah tatkala Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya (Malaysiakini, 11 Jun 2011) turut memberi respon. Sahibul samahah yang dilihat ‘berpolitik’ itu sudah mencadangkan agar PAS mengadakan jawatankuasa pemandu merangka konsep negara berkebajikan memandangkan kedua-dua kerajaan Barisan Nasional dan PAS (Pakatan Rakyat) berebut-rebut cuba membuktikan mereka berada di depan dalam agenda tersebut.

Apa pun pandangan Dr. Juanda itu amat bermakna ke arah memantapkan hala tuju perjuangan Islam agar mudah diterima rakyat. Justeru pandangan mufti negeri yang paling utara itu boleh dianggap sebagai aulawiyat (keutamaan) kerana momentum kesedaran rakyat sedang amat kuat kepada PAS dan Pakatan Rakyat!

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menegaskan pihak parti bakal mengadakan munaqasyah ucapan dasar presiden pada muktamar lalu amat dialu-alukan demi memperincikan konsep negara berkebajikan itu. Ia perlu disegerakan bagi melengkap pengetahuan kepada pimpinan dan ahli PAS. Malah ia cukup penting bagi menjawab cakap merapu (umpama orang demam panas) pimpinan Umno yang menidakkan penegasan PAS dalam usaha membangun negara berkebajikan. Syabas, pimpinan PAS yang diperbaharui semula pada muktamar lalu.

Wan Nik Wan Yusssof adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.


Umno benci nama Islam tapi mahu negara Islam?

wfauzdin.blogspot.com

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd. Puad Zarkashi kelmarin mencabar PAS menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu bagi menjaga hubungannya dengan parti pembangkang yang lain. Terfikir juga dibenak hati ini mengapa terlalu bencinya pemimpin Umno ini kepada nama `Islam'.

Pemimpin Umno semenjak dahulu hingga kini masih gagal mengemukakan hujah apakah kesalahan PAS di dalam menggunakan nama `Islam' di dalam parti tersebut. Kita tahu di zaman Tun Dr Mahathir menjadi PM, sudah ada usaha untuk mengharamkan nama `Islam' di dalam parti. Alhamdulillah, ketika itu Majlis Fatwa tegas menyebut bahawa tiada salahnya nama `Islam' dimartabatkan.

Sekiranya Umno yang memartabatkan nama bangsa Melayu dan semangat kebangsaannya di dalam parti mereka, apakah dosa besar bagi PAS untuk memartabatkan nama `Islam'? Jika mahu disebut dengan hujah betapa Umno lah sebenarnya `menjual' nama bangsa di dalam parti berkenaan, tidak cukup halaman untuk kita membuktikannya. Paling mudah, Dasar Ekonomi Baru (DEB) ternyata gagal mengangkat bangsa Melayu walaupun telah berpuluh tahun ianya dilaksanakan sehingga dasar tersebut tenggelam begitu sahaja.

Di mana salahnya PAS di dalam menggunakan nama `Islam' di dalam parti tersebut? Adakah PAS melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam? Adakah PAS merestui amalan rasuah dengan melantik kaki rasuah menjadi Ketua Menteri/MB Negeri atau Ketua Pemuda? Mungkin Ali Rustam dan KJ boleh menjawab hujah ini. Adakah PAS juga memilih kaki rasuah sebagai Wakil Rakyat? Mungkin Isa Samad tahu hal ini. Pernahkah PAS bercita-cita untuk meluluskan judi bola sepak Piala Dunia? Atau, pemimpin PAS terlibat dengan tragedi pembunuhan Altantuya? Mungkin Najib boleh terangkan jawapannya.

Pernahkan PAS merestui akta zalim Akta ISA yang diharamkan oleh Islam itu? Cuba buktikan siapa pemimpin PAS yang tidak bermoral dan isterinya tidak menutup aurat? Hal ini boleh ditanya kepada Najib dan Rosmah atau pun Shahrizat Jalil. Cuba pemimpin Umno berani sedikit untuk berhujah bagi menyatakan betapa PAS perlu membuang nama Islam di dalam parti tersebut kerana PAS melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam.

Adakah dengan Konsep Negara Berkebajikan, bersahabat dengan DAP dan PKR boleh dianggap bertentangan dengan Islam? Adakah bersubahat dengan Umno yang menjadi sekutu Apco serta terus mengekalkan kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, menyalahgunakan kuasa, mempertahankan kroni dan banyak lagi dasar Umno yang bertentangan dengan moral, akhlak serta Islam itu boleh dianggap bersesuaian dengan Islam?

Nampaknya Umno semakin tidak menentu apabila PAS kini membuka lebih luas ruang untuk rakyat menerima perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Jika sebelum ini Umno terlalu gilakan DNA atau sumpah laknat DS Anwar, kini Umno mula tergila-gilakan `Negara Islam dan Hukum Hudud' pula. Setiap hari media pencacai mereka menyebut tentang Negara Islam yang kununnya telah ditinggalkan oleh PAS. Jika benar ikhlas, kuasa kini berada di tangan mereka, Nah, laksanakan lah jika benar-benar ikhlas.

Sehingga saya selesai menulis artikel ini, saya masih belum mendapat jawapan mengapa pemimpin Umno terlalu benci kepada nama `Islam' tetapi mahu kepada Negara Islam. Mungkinkah tahap meroyan Umno kini semakin kritikal?

"Tak perlu tengok page Penang Tourism, bahkan ada ahli parlimen di sini lebih popular," katanya.

Tiada ulasan: