Sabtu, 18 Jun 2011

SEGALA PENIPUAN AKHIR AKAN TERBUKA...BUKA ATAU TIDAK....TU KUASA ALLAH....ALLAH BOLEH BUKA SEMUA KEJAHATAN...TIADA SAPE BOLEH MENAFIKAN....

Mohamad Sabu hadir pelancaran LL4G malam ini
Ismail Hashim

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengesahkan akan hadir dalam Majlis Pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia yang diadakan malam ini di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, dekat sini.

Sebagai salah seorang pemidato dalam majlis itu, beliau akan berada sepentas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bakal melancarkan program itu bermula jam 8.00 malam.

"Ya, saya akan hadir dalam majlis itu," katanya.

Ketika ditanya harapannya kepada rakyat Malaysia, beliau berkata, semua anggota masyarakat perlu bangkit menentang kezaliman di mana sahaja ia berlaku termasuk dalam negara ini.

Terdapat tiga lagi ucapan selain dari beliau yang mewakili Pakatan Rakyat, Pengerusi LL4G, Noorazman, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dan Najib.

Selain pidato, hadirin akan melihat persembahan multimedia mengenai apa yang berlaku dalam Flotilla 1, persembahan lagu Gaza dan deklamasi sajak Palestin oleh Dr Lim Swee Tin.

Penyanyi nasyid, Muadz Dzulkifley juga akan menghiburkan penonton dengan lagu-lagu bersemangat termasuk adaptasi daripada Hadis Nabi Muhammad SAW.

Menghimbau sejarah pada 8 Mei 2002, dua pemimpin utama Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor pernah berada sepentas berbicara tentang isu sama, Palestin.

Pertemuan dua pemimpin utama umat Islam negara ini telah menghasilkan Pernyataan Bersama berbunyi:

"Atas semangat kemanusiaan dan keamanan sejagat, kami atas nama rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan keturunan serta fahaman politik yang berbeza-beza, berkongsi rasa, cita dan perjuangan dengan seluruh rakyat Palestin yang mempertahankan hak di bumi kelahiran mereka.

"Kami menggesa seluruh warga dunia agar turut serta menyuarakan dan memberikan sumbangan dalam bentuk apa sahaja sehingga rakyat Palestin dapat hidup dengan aman dan damai di negara yang berdaulat''.

Sementara itu, AJK Pemandu LL4G Malaysia, Zulkefli Mohd Nani dalam kenyataannya berkata, penentangan terhadap kezaliman Israel menuntut kesanggupan semua rakyat negara ini tanpa mengira ras, agama dan budaya.

Menurutnya, LL4G adalah sebuah gabungan badan bukan kerajaan Malaysia, akan menyertai bersama lebih 600 sukarelawan antarabangsa dari pelbagai bangsa dan agama, dalam Misi Kemanusiaan “International Freedom Flotilla 11” ke Gaza hujung bulan ini.

Menurutnya, kesemua kapal antarabangsa ini dijangka berada di lautan pada 27 atau 28 Jun ini.

"Misi Pelayaran Kemanusiaan ini bakal disertai oleh 13 buah kapal antarabangsa; 10 kapal penumpang dan tiga kapal kargo, akan belayar bersama menghantar bantuan kemanusiaan.

"Sekali gus memberi tekanan supaya Israel menamatkan embargo ekonomi yang dikenakan ke atas penduduk di Gaza dan Palestin.

"Bertemakan Pertahankan Kemanusiaan atau Stay Human, misi ini bergerak berdasarkan prinsip-prinsip keamanan dan mematuhi seluruh undang-undang antarabangsa termasuk semua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," jelasnya.

Zulkefli turut memaklumkan misi ini akan membawa bersama bantuan kemanusiaan seperti peralatan hospital yang amat diperlukan oleh penduduk di Gaza, bahan-bahan pendidikan untuk kanak-kanak serta barangan pembinaan asas yang diperlukan dalam pembinaan semula bangunan.

Justeru, beliau berkata, mereka yang ingin menghulurkan bantuan dan menaja pembelian peralatan yang diperlukan, boleh melalui akaun Muslim Care (Viva Palestin: 564490211159 (Maybank).


Khairy jilat ludah ‘beruk-beruk di jalanan’
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat melihat keputusan Pergerakan Pemuda Umno yang juga mahu menganjurkan satu perhimpunan bagi memperkukuh sistem demokrasi pada 9 Julai ini sebagai satu sokongan (silent support) kepada agenda utama Bersih yang mahukan pemulihan demokrasi dilakukan.

Ketua penerangannya, Ustaz Riduan Mohd Nor berkata, ni sekaligus dilihat sebagai tindakan memperlekehkan ketidakmatangan organisasi Umno dan Perkasa yang sebelum ini beria-ria membuat laporan polis yang kononnya mendakwa perhimpunan aman Bersih 2.0 sebagai ancaman kepada warga Kuala Lumpur dan kestabilan negara.

“Dengan begitu banyaknya laporan polis yang dibuat, akhirnya Pemuda Umno membuat keputusan yang boleh dianggap seperti menjilat ludah sendiri dan menempelak organisasi Umno-Perkasa,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, rakyat tidak lupa bagaimana ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin pada 2007 pernah menggelarkan rakyat yang menyertai himpunan Bersih sebagai ‘beruk-beruk di jalanan’.

“Kini beliau sendiri mahu turun ke jalanan atas alasan mahu memperkukuhkan demokrasi. Mungkin dia sudah sedar siapa dirinya,” katanya.

Belau menambah, alasan Khairy itu juga membuktikan bahawa adanya kepincangan dalam sistem demokrasi negara, adanya kecacatan yang harus diperbaiki dan begitu banyak masalah yang belum diselesaikan hingga Pemuda Umno pun mahu berhimpun.

Tambahnya, tidak kisahlah kalau mereka hanya mahu berhimpun kalangan puak-puak mereka sahaja di PWTC dan bukannya bersama rakyat.

Tetapi dengan pengumuman itu, kata Riduan rakyat sudah mendapat signalnya bahawa Pemuda Umno sendiri jelas tidak berpuas hati dengan sistem demokrasi yang ada.

Beliau berkata, phaknya akan mengerahkan semua ahli Pemuda PAS di dalam dan luar negara bagi menyertai himpunan itu sebagai tanda solidariti bersama rakyat.

Justeru, beliau mengajak rakyat turun beramai-ramai pada 9 Julai ini untuk menyatakan bantahan kepada sistem demokrasi yang lemah dan pincang kerana hanya rakyat sahajalah yang mampu membuat perubahan.


Anak muda Melaka bantah harga air naik
Ahmad Danial

MELAKAN, 17 Jun: Gerakan Anak Muda Melaka (GERAM) hari ini meneruskan kempen membantah kenaikan harga air negeri Melaka dengan mengadakan demonstrasi aman di perkarangan Masjid Al-Azim selepas solat Jumaat.

Sebelum ini GERAM telah membuat siri jelajah di setiap kawasan di negeri Melaka dengan mendapatkan tanda tangan rakyat Melaka selain siri-siri penerangan berbentuk ceramah dan risalah sebagai kaedah untuk memberitahu rakyat tantang kenaikan harga air yang membebankan itu.

Ketua Penggerak GERAM, Yuhaizad Abdullah dalam ucapannya pada demonstrasi tersebut berkata kerajaan negeri sengaja tidak mengeluarkan notis kepada rakyat bagi memaklumkan kenaikan air tersebut pada April lepas.

"Beberapa exco kerajaan negeri sebelum itu telah memberitahu untuk mengadakan perbincangan sedangkan tarif air telah dinaikkan, sepatutnya perbincangan itu dilakukan sebelum tarif air dinaikkan bagi mendapat maklum balas rakyat, bukan selepas harga air dinaikkan.

"Tindakan kerajaan seolah-olah sengaja untuk mengelirukan rakyat supaya mereka tidak membantah kenaikan ini yang jelas membebankan rakyat," kata Yuhaizad yang juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka.

Shamsul Iskandar pula menegaskan tujuan bantahan ini adalah untuk menyedarkan rakyat supaya bangkit membuat perubahan di atas tindakan kerajaan BN yang menekan rakyat.

"Apa guna status negeri maju andai rakyat masih lagi terbeban dengan pelbagai kenaikan. Rakyat Melaka perlu berani berubah, jangan anggap kerajaan Barisan Nasional akan kekal selamanya.

"Kita berjanji akan menurunkan harga air dan mengkaji balik segala perkara yang membebankan rakyat andai Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di Melaka nanti," ujar Shamsul.

Demosntrasi tersebut selesai dengan lancar dan aman setelah pihak polis membenarkan demonstrasi tersebut berlangsung sehingga tamat.

Turut hadir menyertai demonstrasi tersebut ialah pimpinan Pakatan Rakyat perlbagai peringkat.


Memperingati Mala Petaka Rakyat Malaya 18 Jun
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 17 Jun: PAS Kawasan Batu akan mengadakan satu majlis khas pada malam esok, 18 Jun, mulai jam 9.00 malam, di Markas PAS Kawasan Batu di Taman Melewar, di sini, bagi memperingati hari mala petaka bagi rakyat Malaysia yang berlaku pada 18 Jun 1948 lalu.

Sehubungan itu, para pencinta sejarah dan orang ramai dijemput hadir ke majlis itu yang akan diisi dengan pengkisahan tentang mala petaka yang melanda seluruh rakyat negara ini, ekoran kekejaman pihak British dengan kerjasama Umno.

Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Batu, Ishak Surin menjelaskan, mungkin ramai yang tidak menyedari, esok, 18 Jun, adalah hari amat malang bagi rakyat Malaysia kerana pada hari esoklah pihak British yang menjajah negara kita telah mengisytiharkan darurat di negara kita.

Menurut beliau, setelah pengisytiharan darurat pada 18 Jun 1948 itu, semua parti-parti politik di negara kita telah diharamkan, tokoh-tokoh politik di seluruh negara ditangkap, dipenjarakan dan dibunuh.

Bagaimanapun, katanya, catatan sejarah hitam itu mungkin tidak disedari oleh sesetengah rakyat negara ini terutama generasi muda, sehingga membangkitkan kesedaran kepada beliau untuk mengadakan majlis tersebut.

Katanya, selain beliau, majlis itu akan melibatkan dua lagi ahli panel yang terdiri daripada Pengarah Arkib PAS, Fadli Abdul Ghani dan Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif dari Jabatan Penyelidikan PAS Pusat.

"Selepas ini, saya bercadang untuk mengembangkan lagi peringatan kita terhadap hari mala petaka bagi rakyat Malaysia ini dengan menyarankan kepada PAS agar menubuhkan Badan Penyelamat Maruah Bangsa pula," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Majlis Memperingati Mala Petaka Terhadap Rakyat Malaya yang akan diadakan malam esok, menurut beliau, diharapkan akan menjadi pencetus bagi penubuhan badan tersebut untuk membolehkan PAS mengatur langkah-langkah lain yang lebih jauh, demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

"Penubuhan badan itu pada saya merupakan sesuatu yang penting kerana selepas itu bolehlah kita menuntut pihak British meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kekajaman yang dilakukan oleh mereka kepada kita dulu.

"Permohonan maaf dari pihak British itu penting kerana mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya kepada kita kerana jika tidak mereka akan dikutuk oleh sejarah," katanya yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Badan Bertindak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat.

Menurutnya, majlis yang akan diadakan pada malam esok merupakan yang julung-julung kali diadakan di negara ini dan ia merupakan satu majlis yang penting bagi membolehkan rakyat negara ini mengingati kembali detik hitam sejarah negara.


711 peneroka Jengka pula saman Felda
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 17 Jun: Seramai 711 peneroka dari 16 tanah rancangan Felda seluruh Jengka memfailkan saman berjumlah RM344 juta kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhubung dakwaan berlaku penipuan dan pecah amanah dalam urusan jualan hasil sawit.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui peguam Ms Daim & Gamany pagi ini, dengan menamakan Felda sebagai defendan pertama dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, selaku defendan kedua.

Dalam kenyataan tuntutan, mereka mendakwa sentiasa dibayar mengikut kadar perahan gred (KPG) sejak 15 tahun yang lalu hanya 18.5% seperti yang dinyatakan dalam Akuan Penerimaan BTS, iaitu resit yang diberikan bagi setiap lori yang menghantar tandan buah sawit.

“Sedangkan tidak ada bukti jelas yang menunjukkan bagaimana Felda Palm Industries menetapkan kadar yang berbeza itu, yang diberikan setiap hari di setiap tempat penghantaran.

“Peneroka mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila kadar KPG sawit yang mereka terima tidak menyamai kadar lebih tinggi yang diperakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia,” kata peguam Sivarasa Rasiah yang membacakan kenyataan tersebut kepada media.

Tambahnya, berdasarkan kes Mahkamah Persekutuan mengarahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM11 juta kepada penerokapeneroka melalui wakil mereka, telah menghantar contoh hasil buah kelapa sawit mereka kepada tiga makmal bebas untuk menilai kadar sebenar KPG.

“Keputusan ujian makmal itu menunjukkan kadarnya ialah 31.5% dan setelah diselaraskan peneroka percaya purata KPG tidak kurang daripada 27%. Ini bermakna terdapat perbezaan purata 8.5% yang digunakan oleh defendan kedua.

“Kami mempunyai bukti menunjukkan bahawa pada 2008, 711 peneroka dari 16 rancangan Felda Jengka telah menghantar purata hasil 120 tan setiap seorang dan dibayar oleh Felda dengan purata harga RM560.

“Jadi dengan menggunakan angka kekurangan 8.5 peratus itu, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM257.60 setan, iaitu kira-kira RM30,912 bagi tahun 2008 sahaja. Justeru peneroka menganggap telah berlaku penipuan dan pecah amanah,” katanya.

Menurut Sivarasa, semua peneroka berkenaan mendakwa mereka terikat oleh Felda untuk hanya menghantar hasil kelapa sawit kepada Felda Palm Industries sahaja.

Dalam pada itu, peneroka mendakwa kilang Felda juga telah memotong buah sawit dengan kadar 200 kilogram sebulan tetapi tidak dikembalikan kepada mereka.

Dakwa mereka, ini membawa kerugian kepada mereka dengan kadar RM560 x 2.4 atau RM1,344 setahun bagi setiap peneroka atau RM14,333,760 bagi semua peneroka dalam tempoh 15 tahun.

“Ini bermakna dalam tempoh yang sama, Felda telah menyebabkan kerugian kepada 711 peneroka-peneroka ini sebanyak lebih RM344 juta,” kata Sivarasa yang mengetuai panel peguam.

Sementara itu, Sivarasa berkata laporan ini merupakan kes pertama di Pahang dan yang keempat di Malaysia melibatkan peneroka menyaman Felda dalam isu KPG.

Sebelum ini sudah terdapat peneroka di Felda Kemahang, Moakil dan Serting.


Anak mahu suruhanjaya bebas siasat Felda
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 17 Jun: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggesa satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menyiasat pengurusan kewangan Felda yang didakwa mengalami kerugian teruk.

Ia juga ekoran pinjaman sebanyak RM6 bilion yang dibuat Felda daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang didakwa Anak sebelum ini.

Dakwaan itu kemudiaannya diakui sendiri oleh timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan sewaktu menjawab soalan ahli parlimen Permatang pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata, jawapan Ahmad bahawa sebahagian wang tersebut digunakan untuk tanam semula adalah sangat meragukan.

"Pengakuan Datuk Ahmad Maslan bahawa Felda buat pinjaman daripada KWSP mengesahkan dakwaan saya sebelum ini dan apa penjelasan beliau tentang jumlah RM6 bilion itu?

"Saya sangat ragu bila beliau kata sebahagian wang digunakan untuk tanam semula kerana jumlahnya begitu besar.

"Kalau beginilah amalan Felda yang sangat tidak telus saya fikir bukan satu yang mustahil zaman BN ini Felda akan jadi bankrap," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mazlan turut menyifatkan kenyataan Ahmad bahawa Felda akan bankrap jika Pakatan Rakyat memansuhkan Felda Plantation seperti yang terkandung dalam Buku Jingg sebagai tidak masuk akal.

sebaliknya kata beliau, seramai 80 ribu anak peneroka akan mendapat faedah daripada program pemberian tanah itu dan kakitangan Felda tidak akan diberhentikan sebaliknya khidmat mereka akan terus digunakan untuk memajukan tanah generasi kedua dan ketiga.

"Apa justifikasi beliau berkata demikian sebab seharusnya beliau melihat perspektif jauh lebih besar.

"Bila Pakatan Rakyat berikan tanah kepada generasi kedua dan ketiga 10 ekar setiap pemilik, ia akan beri manfaat kepada 80 ribu anak peneroka dan itu akan mengangkat ekonomi mereka dan sebagai jaminan masa depan.

"Kalau beliau kata 23 ribu kakitangan Felda dan 60 ribu peneroka hilang pendapatan jika Felda Plantation, bukan bermakna kakitangan Felda diberhentikan kerja tapi mereka akan diserap masuk untuk kendalikan tanah yang diberikan kepada generasi kedua kerana tenaga mereka masih diperlukan untuk memberi tunjuk ajar kepada peneroka baru.

Tambahnya, 43 anak syaraikat Felda sudah tentu mampu membayar gaji kepada kakitangan Felda.

Memorandum kepada Yang Dipertuan Agong

Selain itu, Anak juga sedang mengumpul semua bukti yang ada berkaitan kegagalan Felda dan dmasukkan ke dalam memorandum untuk diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong.

"Kita akan nyatakan bagaimana perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu yang mengasaskan Felda dan hari ini Felda telah dicemari dengan pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan salah guna kuasa.

"Kita akan masukkan isu-isu Felda yang terkini dan kita akan kumpulkan dan hantar kepada Yang Dipertuan Agong supaya Tuanku campur tangan," katanya.

Peneroka Jengka saman Felda

Sementara itu, seramai 711 peneroka tanah rancangan Jengka, Pahang memfailkan saman RM344 juta berhubung dakwaan berlaku penipuan dan pecah amanah.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui Tetuan Daim & Gamany pagi tadi, dengan menamakan Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.

Saman itu berhubung penipuan Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit (KPG) yang diterima mereka sejak 15 tahun lalu.

Peneroka terbabit menerima KPG yang rendah dari nilai sebenar iaitu antara 17 hingga 18 peratus.

Mereka sepatutnya memperoleh KPG yang lebih tinggi sehingga boleh mencapai ke tahap 32 peratus.


KDN mesti bertanggungjawab isu bogel pelancong
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 17 Jun: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mesti bertanggungjawab dengan kejadian tidak sepatutnya yang berlaku di sempadan negara, sehingga dua pelancong asing diarahkan berbogel dan ketuk ketampi, akibat kelemahan sistem proses kemasukan rakyat asing ke negara ini.

Kecuaian KDN dalam melaksanakan tanggungjawabnya telah menyebabkan imej negara tercalar, pelancong asing yang gagal memahami peraturan menjadi mangsa, manakala pegawai Imigresen yang bertugas teraniaya.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Suhaizan Kaiat berkata, kejadian yang berlaku di sempadan negara, khususnya di pintu masuk ke negara ini di Johor, jelas berpunca dari kelemahan sistem proses kemasukan rakyat asing ke negara kita yang sepatutnya sudah diatasi oleh KDN sekian lama.

Menurut beliau, kelemahan tersebut berlaku akibat penghadang di kaunter tol berada di tempat yang berasingan dengan kaunter Jabatan Imigresen, pada hal kaunter tol dan kaunter Jabatan Imigresen sepatutnya disatukan seperti yang dilakukan di Singapura.

Katanya, selain itu, Jabatan Imigresen tidak disediakan alat pengimbas bagi mengesani para pelancong asing yang ingin masuk ke negara ini, sehingga menyebabkan para pegawai Imigresen bertugas mengalami kesulitan untuk mengesani mereka yang keluar masuk di sempadan negara.

"Akibat kecuaian KDN dalam perkara itu, pelancong asing yang tidak faham dengan peraturan di negara kita menjadi terkeliru lalu melakukan kesilapan.

"Dalam masa yang sama, pegawai Imigresen yang bertugas pula terpaksa menggunakan cara lama untuk mengesani seseorang pelancong asing, sama ada turut membawa masuk barangan terlarang atau tidak ke negara kita yang disembunyikan dalam badan mereka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Semalam Harakahdaily melaporkan, pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen disaran melakukan beberapa langkah wajar bagi mengatasi kesilapan pada proses kemasukan rakyat asing ke negara kita, tanpa perlu mengarahkan pelancong asing berbogel dan melakukan ketuk ketampi akibat kesilapan yang berlaku.

Antara langkah yang perlu dilakukan termasuklah dengan menyatukan kaunter Jabatan Imigresin dan kaunter tol seperti yang dilakukan di Singapura dan membuat fasa-fasa munasabah bagi memasukkan data cap jari pelancong yang masuk ke negara ini.

Suhaizan yang juga Ketua Pemuda PAS Johor berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pengarah Jabatan Imigresin Johor, Amran Ahmad, 15 Jun lalu, di Pejabat Jabatan Imigresin Negeri Johor, Taman Setia Tropika, Kempas, berhubung isu 2 orang warga Singapura yang ditahan oleh pihak berkuasa dan telah diarahkan berbogel dan ketuk ketampi.

Menurut beliau, Amran bagaimanapun tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung isu tersebut kerana tidak diberikan mandat oleh pihak atasan untuk membuat sebarang kenyataan kepada Pemuda PAS Negeri Johor.

Katanya, bagi menjaga nama baik agensi kerajaan khususnya Jabatan Imigresin Malaysia, Pemuda PAS Negeri Johor lebih memberi fokus terhadap ruang kesilapan manusia yang terdapat pada proses masuk ke negara kita.

"Dua orang warga Singapura itu menyatakan bahawa mereka telah melalui kaunter Jabatan Imigresin tetapi tiada pegawai di kaunter tersebut. Kemudian mereka meneruskan ke kaunter tol.

"Mereka membuat bayaran tol dan penghadang pun dibuka. Seterusnya mereka masuk ke negara kita dengan anggapan bahawa negara kita mungkin telah melaksanakan sistem biometrik yang tidak memerlukan pegawai untuk pengesahan masuk," katanya.

Dewan Pemuda PAS Johor, menurut beliau, berpendapat terdapat ruang yang membolehkan manusia membuat kesilapan semasa proses masuk ke negara kita.

Penghadang di kaunter tol, katanya, sepatutnya berada di kaunter Jabatan Imigresin, bukannya berada di kaunter tol dan kebenaran masuk perlu dibuat oleh pegawai. Setelah mendapat kebenaran maka penghadang akan dinaikkan dan pelancong boleh masuk ke negara kita.

"Adalah lebih baik jika kaunter Jabatan Imigresin dan kaunter tol disatukan seperti proses masuk ke Singapura. Ini bagi mengelakkan kekeliruan berlaku kepada pelancong terutamanya bagi mereka yang kurang memahami peraturan-peraturan dalam negara kita," katanya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, tegas beliau, berpandangan Jabatan Imigresin boleh membuat fasa-fasa yang munasabah bagi memasukkan data cap jari pelancong yang masuk, contohnya satu bulan.

"Keadah berfasa ini dapat mengelakkan kesesakan di sempadan negara kita. Cadangan ini boleh dijadikan panduan untuk tindakan pada masa yang akan datang," ujar beliau.

Hari ini pula, dua pegawai imigresen dilaporkan digantung tugas ekoran laporan bahawa dua wanita Singapura dipaksa melakukan ketuk ketampi dalam keadaan berbogel minggu lalu selepas ditahan kerana dipercayai memasuki Malaysia secara tidak sah.

Akhbar Straits Times Singapura dalam laporannya hari ini berkata, Kementerian Luar republik itu melihat perkembangan tersebut sebagai “sesuatu yang serius dan menimbulkan kebimbangan.”

“Kami mengalu-alukan pengumuman segera pihak berkuasa Malaysia bahawa siasatan segera akan diadakan,” kata akhbar itu memetik jurucakap kementerian tersebut.

Akhbar itu melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad semalam bahawa pegawai-pegawainya telah digantung tugas sehingga satu inkuiri pelbagai peringkat selesai.

Alias berkata, panel tujuh orang itu akan menyerahkan laporannya kepada Jabatan Imigresen dan kemungkinan akan memanggil kedua-dua wanita itu jika perlu.

Menurut Suhaizan, beliau amat bersimpati dengan nasib pelancong asing dan dua pegawai Imigresen terbabit yang tidak sepatutnya menjadi mangsa akibat kejadian itu.

"Semua itu berlaku akibat kecuaian KDN dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Kejadian itu tidak akan berlaku jika tidak kerana kelemahan sistem yang digunakan di negara kita.

"Oleh itu, saya menyarankan KDN agar membetulkan sistem proses kemasukan rakyat asing ke negara kita dengan menyatukan kaunter tol dan kaunter Jabatan Imigresen," katanya.

Selain itu, jelas beliau, KDN perlu menyediakan alat pengimbas bagi membolehkan pegawai Imigresen yang bertugas menjalankan tugasnya dengan baik.

"Penyediaan alat pengimbas itu amat penting kerana dengan adanya alat itu, pegawai Imigresen yang bertugas tidak perlu mengarahkan pelancong asing berbogel dan ketuk ketampi untuk memastikan mereka tidak menyembunyikan barangan terlarang dalam badan mereka, akibat memasuki negara kita secara tidak sah.

"Pada hal, semua itu berlaku disebabkan kelemahan sistem proses kemasukan rakyat asing ke negara kita, akibat kecuaian KDN, bukannya kerana kesilapan para pegawai itu sendiri semata-mata," ujar beliau.


Pemuda Umno, Perkasa boleh berhimpun hari lain
Afiq Hizami, Pelatih UKM

KUALA LUMPUR, 17 Jun: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyarankan kepada Pemuda Umno dan Perkasa agar mengadakan perhimpunan mereka pada hari lain.

Belau berkata, sekiranya tidak mereka akan bertembung dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan pada 9 Julai ini.

Sewaktu dihubungi sebentar tadi, katanya tujuan perhimpunan kedua-dua pihak tersebut adalah untuk menghalang perhimpunan Bersih 2.0.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kesediaan Pemuda Umno dan Perkasa untuk mengadakan perhimpunan pada hari yang sama dengan perhimpunan Bersih 2.0.

"Kita melakukan demokrasi secara amam dengan tujuan yang bersih tapi mereka mengadakan perhimpunan semata-mata dengan tujuan kotor dan jahat menghalang kelancaran tujuan demokrasi yang kita buat," jelas beliau.

Ditanya mengenai sendaan mengajak Khairy untuk turut sama bergabung dalam perhimpunan Bersih 2.0, beliau hanya terbahak-bahak apabila disebut tentang itu.

"Dulu dia (Khairy) pernah ludah kata orang yang berhimpun ini seperti beruk-beruk di jalanan. Tapi sekarang ini dia sendiri jilat balik ludah tersebut dengan turut sama mengadakan perhimpunan.

"Lagi pun kalau dia mahu sertai kita sekalipun kita tak bagi sebab perjuangan kita dengan dia lain," jelas beliau sambil ketawa.

Beliau juga ditanya mengenai sekiranya berlaku pertembungan tiga pihak sama ada perkara yang tidak diingini mungkin akan berlaku.

"Bagaimana pun kita tidak perlu risau dengan pertembungan itu dan kita juga mengharapkan pihak polis melakukan tugas mereka dengan yang baik bagi membendung perkara ini sebaik mungkin.

"Tapi apa yang kita harap adalah perkara ini tidak akan berlaku," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada Pemuda Umno dan Perkasa sekiranya mereka ada niat yang bersih untuk berhimpun maka pilihlah pada hari yang lain agar perhimpunan Bersih 2.0 kali ini dapat mancapai matlamatnya.


Kalau SPR terima cadangan, Himpunan Bersih tidak diadakan

Harakahdaily

Kenyataan media PAS Miri

MIRI, 17 Jun: Tujuan Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini adalah untuk mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berlaku adil kepada semua pihak yang bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Fungsi utama Suruhanjaya Pilihan Raya adalah seperti yang berikut:

1) membuat kajian dan persempadanan semula Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri setiap tidak kurang daripada 8 tahun selepas tarikh siapnya urusan kajian dan persempadanan semula yang terdahulu;

2) menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar pemilih; dan

3) menjalankan pilihan raya umum ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, dan menjalankan pilihan raya kecil sekiranya berlaku kekosongan.

Dasar Suruhanjaya Pilihan Raya adalah untuk memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi di negara ini melalui pilihan raya yang bebas dan adil. Adalah menjadi tanggungjawab Suruhanjaya bagi memastikan rakyat dapat memilih wakil-wakil mereka melalui undian terus dalam setiap pilihan raya.

Kita mendesak agar SPR dapat menjalankan amanah yang diberi kepada mereka dengan adil dan bebas dari sebarang pengaruh politik. Sekiranya SPR dapat melaksanakan tugas seperti yang tersebut diatas dengan baik tidak timbul orang ramai meragui sebarang tindakan SPR selama ini. Sekiranya SPR dan kerajaan tidak mahu himpunan bersih diadakan SPR dan mereka yang berwajib seharusnya bersedia untuk bertemu,berunding dan menyelesaikan masalah tersebut dengan cara yang professional.

Pihak SPR sepatutnya bersedia untuk berubah demi kebaikan untuk semua. Sebarang pemintaan dari rakyat seharusnya diambil perhatian yang serius dari pihak SPR agar perkara yang tidak sepatutnya berlaku dapat dielakkan. Jadi kita mohon agar mereka yang telah diberi amanah menjaga SPR seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya keatas perkara yang tersebut tadi. Jangan pandang ringan masalah rakyat yang mahu keadilan dan kebebasan untuk bersuara.

Mungkin hari ini kamu diberi kuasa untuk menjaga amanah rakyat dan suatu hari nanti bila kamu sudah tidak berkuasa kamu yang akan menanggung akibat dari perbuatan kamu yang tidak jujur dan tidak amanah. Bagi mereka yang beragama sudah pasti mereka tahu akibat perbuatan mereka didunia akan di soal di akhirat nanti.

Kepada pengurusi SPR kita minta kamu supaya berlaku adil dan amanah dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada kamu, mari kita perbetulkan segala kesilapan dan kesalahan yang lalu agar kamu akan dihormati oleh rakyat dan janganlah kamu tunduk kepada arahan yang bercanggah dengan tugas kamu. Kalau kamu sukar untuk melaksanakan tugas kamu dengan adil dan bebas lebih baik kamu letak jawatan secara terhormat, Insya-Allah rakyat akan memandang mulia dan menghormati keputusan kamu.

Sekali lagi kita minta SPR agar menunaikan hasrat dan pemintaan orang ramai agar dapat mengubah apa yang patut demi kebaikan semua. Marilah kita menuju ke arah Negara berkebajikan dan adil untuk semua.

PAS Miri
Jofri Jaraiee


Tiada ulasan: