Selasa, 5 Februari 2013

BILA RAKYAT TERPAKSA TOLAK...MUNGKIN KESALAHAN@SONGLAP SERTA TIPU TERLALU BANYAK

Undi tidak percaya kepada Najib

Harakahdaily, 05 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Umno dicadang supaya membuat undi tidak percaya kepada Datuk Seri Najib Razak ekoran kegagalannya dalam menguruskan negara ini.

Mohd Soberi Shafii (gambar), bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, kegagalan Najib mentadbir negara dan Umno memalukan seluruh ahli Umno.

"Bila Najib ke Kelantan baru-baru ini sekali lagi Najib memalukan Umno apabila membuat janji yang telah dibuat oleh Pak Lah sebelum ini," kata Soberi.

Menurut Soberi, akibat kesilapan  yang dilakukan oleh Najib kini menyebabkan Umno dan BN diambang kekalahan yang memalukan dalam sejarah negara.

Ketika melawat Kelantan  baru-baru ini, Najib membuat 7 Janji kepada rakyat Kelantan.

Akibat dari janji-janji itu, Najib dan Umno dipermain-mainkan oleh rakyat Kelantan.

Pelbagai pihak menjadikan 7 Janji itu sebagai bahan tulisan masing-masing dengan mempermainkan Najib.

Akibatnya, ahli Umno di Kelantan sendiri merasa malu dengan 7 Janji Najib itu, kata Soberi yang juga bekas Setiausaha Kerja Pemuda Umno Kelantan.

PGU: PAS T'ganu tawar kerajaan yang lebih baik

Harakahdaily, 05 Feb 2013
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu bersikap lebih terbuka dengan menjadikan Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU) sebagai medan dialog bersama rakyat khususnya berkaitan manifesto PRU13 bagi negeri ini.

Himpunan PGU yang akan diadakan pada 15 dan 16 Febuari ini merupakan himpunan rakyat terakhir sebelum berlakunya pilihan raya umum.

Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu Datuk Husain Awang yang juga pegarahan himpunan berkata, PAS menawarkan pemerintahan yang lebih baik kepada rakyat negeri itu sekiranya diberi mandat memerintah selepas PRU13.

"Ini himpunan terakhir, justeru kita jumput orang ami untuk memberi pandangan dan teguran termasuk membincangkan 'tawaran 100 hari' sebaik PAS menjadi kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata, program itu akan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kemuncaknya akan diadakan Dailog Manifesto PAS Terengganu bersama dengan pimpinan parti.

Beliau berkata demikian pada satu majlis sidang medianya di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.

PGU juga adalah kesinambungan dari himpunan yang sama pernah diadakan di Kemaman, Besut, Kuala Terengganu, Marang, Setiu dan Dungun sebelum ini.

PGU ini akan diadakan di Kampung Banggol Peradong, Teluk Pasu yang dilhat amat sesuai dan banyak kemudahan dan ianya lebih selesa dengan keluasan kawasan yang boleh menampung jumlah hadirin yang ramai.

Saya yakin PR menang - Strategis tentera

Harakahdaily, 05 Feb 2013
AMPANG: "Saya yakin kali ini Pakatan Rakyat akan menang," kata bekas strategis Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafiz Abdul Hamid (gambar).

Penegasan itu dibuat beliau ketika memberikan ucapan dalam Himpunan Perdana Ummah Bersama PAS.

Datuk Ghafir, bekas Timbalan Ketua Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu berkata, semasa pilihan raya 2008, beliau tidak yakin Pakatan boleh menang.

"Pada pilihanraya lepas, Pakatan Rakyat mungkin tidak menang. Itu sebab saya tidak mengeluarkan apa-apa statemen.

"Tetapi saya begitu yakin kali ini PR akan menang," kata beliau disambut tepukan dan teriakan takbir dari para hadirin.

Menurut Datuk Ghafir, mesej ini bukan beliau buat untuk anggota tentera tetapi lebih kepada orang awam.


Klik gambar untuk menonton ucapan Datuk Ghafir

Umno terpaksa kitar ahli PAS untuk tebang PAS

Harakahdaily, 05 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Oleh kerana terdesak untuk melawan kebangkitan PAS yang mendapat sokongan orang Islam dan bukan Islam, maka Umno terpaksa mengambil ahli dan bekas ahli PAS yang bermasalah.
“Mereka ini sudah dikenali bermasalah di dalam parti. Sekarang mereka menjadi hulu kapak untuk menebang PAS,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Menurutnya, mereka hanya laku sebelum pilihanraya sahaja, selepas pilihanraya mereka akan menjadi sisa toksid yang tidak dipedulikan oleh  Umno lagi.

Katanya, kenapa mereka tidak belajar daripada sejarah orang-orang yang terdahulu yang khianat perjuangan PAS.

“Ada yang berjawatan Yang Dipertua PAS, Panglima Jihad, Setiausaha Agung, Naib Presiden PAS, Ahli Majlis Syura, apabila mereka menyertai Umno dan menyokong Umno akhirnya seperti habis madu sepah dibuang,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Paling menyedihkan sekali, ujarnya tidak ada kemulian dan penghormatan di kalangan masyarakat, hatta ahli Umno sendiri terutama apabila mereka berada di penghujung usia.


Tambahnya, yang paling lucu sekali mereka ini, kononnya tidak puas hati hubungan PAS di dalam Pakatan Rakyat sedangkan Majlis Syura PAS telah meluluskan tahaluf siasi sejak tahun 1986.

“Merekalah berdegar-degar mempertahankan tahaluf siasi ketika memimpin PAS. Kenapa sekarang baru hendak pertikai, setelah tidak berada di dalam saf kepimpinan parti?” tanya Idris.

Bagi beliau, alangkah ruginya usia dan tenaga dihabiskan untuk bersama dengan PAS, tetapi menjadi penentang ketika usia di hujung senja.

“Kenapa tidak bersama dengan Umno ketika usia masih muda dan banyak nikmat dunia boleh dikecapi?” ujarnya lagi.

Najib melukah di tempat yang genting

Aspan Alias, 05 Feb 2013
BN sudah mula membahagi-bahagikan Bantuan Rakyat 1Malaysia. BRIM buat kali kedua dan inilah dia senjata terakhir UMNO serta BN untuk menentukan hidup matinya parti pemerintah selama 56 tahun itu. Bantuan RM500 itu menjadi kebanggaan Najib dan pimpinan BN kononnya begitu prihatin terhadap rakyat yang susah dan tidak berkemampuan. UMNO terutamanya Najib mengesahkan persepsi ramai yang UMNO sentiasa bergantung kepada kesusahan rakyat dengan menitiskan setitik dua air ke tekak mereka yang dahaga. Najib kini sedang melukah di tempat yang genting dan sempit.
Persoalannya, bagaimana sebuah negara yang telah merdeka selama 56 tahun masih berjuta-juta rakyat yang susah dan terpaksa memberikan bantuan RM500 bila pilihanraya tiba? Kalau lah keadaan sebegini, bagaimana pimpinan kerajaan kita begitu bangga mengaku yang negara kita sudah menghampiri ketahap negara maju? Bagaimana kah wang sejumput itu boleh menukar taraf hidup rakyat keseluruhannya? Inikah dia Program Transformasi Ekonomi Najib dan UMNO? Sampai bila budaya ini akan dilakukan oleh kerajaan dan apakah benar bantuan ini boleh menaikkan pendapatan per kapita rakyat seperti yang di gembar-gemburkan oleh Najib dan UMNO nya?

Itu sebabnya rakyat lebih berkeyakinan cara yang hendak dilakukan oleh Pakatan Rakyat jika mandat itu adalah cara yang lebih baik, malahan jauh lebih berfaedah dari apa yang di amalkan oleh UMNO dan BN ini. Kalau ditanyakan apakah pandangan pihak pimpinan UMNO tentang bajet ‘alternative’, PR itu mereka sudah tentu akan menghinanya kerana mereka tidak mahu PR memerintah dan melaksanakan apa yang dihajati oleh pihak Pakatan Rakyat itu.

Saya tidak mahu menyentuh tentang semua yang bakal dilakukan oleh Pakatan Rakyat setelah diizinkan Tuhan untuk membentuk kerajaan nanti kerana masa dan ruang terlalu suntuk untuk dimuatkan ke dalam blog ini. Tetapi biarlah saya sentuh dengan ayat dan bahasa yang mudah bagi memudahkan rakyat yang membaca blog ini untuk memahaminya. Pihak UMNO yang bakal menjadi pembangkang ini akan membidas apa yang saya perkatakan ini. Mereka akan memulakan kritikannya terhadap apa yang saya perkatakan ini sebagai tindakan yang akan mengbankrapkan negara dan sebagainya.

Menghapuskan tol lebuhraya yang telah lama seperti lebuhraya Utara Selatan itu sememangnya satu niat yang baik dan boleh terlaksana jika Pakatan ingin melakukannya setelah mendapat mandat rakyat nanti. Lebuhraya yang berharga RM6 billion itu telah mengutip hampir RM30 billion dan tidak ada sebab untuk pihak yang mendapat konsesi itu tidak boleh menurunkan harga tol atau pihak kerajaan memansuhkan kutipan tol itu sama sekali.

Jika janji yang satu ini sahaja terlaksana sudah cukup untuk memberikan keringanan kepada rakyat, malahan lebih jauh berfaedah dari rakyat beratur di tengah panas terik menerima baucer RM500 yang tidak tentu berapa kali kita akan menerimanya. Jika kutipan tol ini dihapuskan satu perjalanan dari Johor ke Perlis sahaja sudah menghampiri 50 peratus dari wang BRIM yang Najib dan UMNO bahagi-bahagikan itu. Jika Pakatan Rakyat memerintah tidak payah berikan wang BRIM ini kerana adalah lebih baik memberikan laluan perjalanan secara percuma kerana perjalanan kita ke utara ke selatan dan balik itu lebih kerap dan faedah secara terus terhadap rakyat itu adalah lebih praktikal untuk kesenangan mereka.

Jika dihapuskan PTPTN pula ia akan lebih memberikan faedah kepada semua keluarga kerana setiap keluarga mesti berbelanja untuk anak-anak mereka belajar sampai ke tahap menara gading. Pengapusan PTPTN ini merupakan satu perkara yang amat menyentuh jiwa dan perasaan semua rakyat kerana keseluruhan rakyat kita menghadapi masalah pembiayaan pelajaran untuk anak-anak mereka. Apa yang susah sangat hendak menghapuskan PTPTN ini seolah-olah PTPTN ini sudah wujud sejak merdeka. PTPTN ini hanya wujud di zaman Dr Mahathir sahaja kerana dalam pentadbiran beliau wang ringgit kerajaan di gunakan untuk membina ‘empire’ perniagaan kroni dan suku-sakat mereka sahaja. Selain dari itu wang rakyat yang ‘bertrillion’ telah digunakan untuk melaksanan projek yang tidak mendatangkan hasil kepada rakyat.

Sebelum pemerintahan Dr Mahathir tidak ada pun PTPTN dan semua anak-anak yang pergi belajar ke peringkat universiti semuanya di biayai oleh biasiswa yang puncanya datang dari berbagai pihak. Sehingga pengakhir tujuh puluhan, mahasiswa masih berbincang sesama sendiri bertanyakan biasiswa mana mereka dapat untuk masuk universiti. “You scholarship mana?” itu merupakan soalan popular di antara mahasiswa semasa itu. Jawapannya banyak. Ada yang kata mereka mendapat ‘state scholarship’, ada yang menjawab ‘Bank Bumi Scholarship’ atau ‘federal scholarship’ dan berbagai-bagai lagi.

Semasa itu pendapatan negara tidaklah sebesar mana pun tetapi rakyat mendapat biasiswa dengan mudah. Tetapi di samping menjerit dan mengaku negara kita sebuah negara yang sudah hampir ke tahap negara maju, rakyat tidak dapat lagi biasiswa dan disebaliknya rakyat diberikan pinjaman PTPTN yang akhirnya telah menjerumuskan rakyat yang masih muda terbeban dengan hutang yang bertimbun. Belum pun mendapat pekerjaan hutang sudah menanti dan surat saman pun mula datang berulang kali.

Kita telah mendengar cemuhan dari pihak UMNO dan pimpinannya terhadap cadangan Pakatan Rakyat ini. Berbagai-bagai macam jawapan dikeluarkan untuk meremehkan niat Pakatan Rakyat itu dengan mengungut rakyat yang negara akan menjadi muflis jika Pakatan melaksanakan niat mereka ini. Pimpinan BN selalu meletakkan kemampuan orang lain sama rendahnya dengan tahap kemampuan pihak lain. Mereka menganggap cita-cita Pakatan Rakyat itu tidak praktikal kerana mereka menyamakan kemampuan orang lain dengan kemampuan yang terbatas di kalangan mereka.

Sebenarnya BN bukan tidak mampu melakukan apa yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat itu, tetapi oleh kerana di dalam BN itu ada elemen rasuah dan ketidak jujuran maka ia tidak mungkin dapat dilaksanakan. Untuk melaksanakan usaha dan niat Pakatan Rakyat itu ia memerlukan usaha gigih tanpa mempunyai unsur rasuah. Jika pemimpin mengamalkan budaya rasuah sesiapa pun yang memimpin itu tidak akan berdaya untuk membuat keputusan yang baik kerana ada kepentingan peribadi.

Di kesebelasan negara Scandinavia dan beberapa negara di Eropah, pelajaran adalah percuma sedangkan negara-negara itu bukannya negara kaya yang dilimpahi dengan penghasilan minyak dan sebagainya. Tetapi oleh kerana kerajaan mereka merupakan kerajaan yang bersih dan tidak berbelanja wang rakyat seperti wang datuk atau nenek mereka, maka dapatlah mereka memberikan pelajaran dan pendidikan percuma sehingga ke peringkat yang tinggi.

Tetapi di Malaysia ini rakyat sebaliknya terpaksa berkorban kerana kerenah dan sikap pembaziran pemimpin serta keluarga mereka menggunakan kesempatan untuk memberikan tumpuan bagi kepentingan kroni dan keluarga mereka. Maka pemimpin-pemimpin tidak akan memberikan tumpuan untuk memberikan hak rakyat itu. Untuk memberikan hak rakyat itu ia memerlukan pimpinan yang serius serta kerajaan yang peka terhadap keperluan rakyat itu dengan pelan pembangunan untuk mereka (rakyat) yang berkesan.

Kita perlu mengenepikan pemimpin-pemimpin yang terlalu joli dengan wang rakyat tanpa rasa bersalah itu dan kebetulannya pemimpin jenis ini semuanya dari UMNO dan MCA. Budaya bersukaria menggunakan kemudahan dan wang rakyat ini sudah di budayakan dan adalah menjadi dosa yang begitu besar jika rakyat membiarkan perkara ini berterusan berlaku. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Pemimpin ibarat seorang pengembala

Mohd Nurhadi Hamsar, 05 Feb 2013
Salah satu sebutan yang Rasulullah SAW gunakan untuk menggambarkan kepemimpinan adalah kata ra’in, yang membawa konotasi pada makna pengembala. Sebutan ini bukan untuk merendahkan posisi seorang pemimpin, tetapi lebih untuk mengingatkan peranan dan tanggungjawab yang perlu ada pada seorang pemimpin.

Dari Ibnu Umar ra, katanya: “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: ‘Tiap seorang dari engkau semua adalah pengembala dan setiap seorang dari engkau itupun akan ditanya perihal pengembalaannya. Pemimpin adalah pengembala dan akan ditanya perihal pengembalaannya. Seorang lelaki adalah pengembala dalam keluarganya dan akan ditanya perihal pengembalaannya. Seorang wanita adalah pengembala dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal pengembalaannya. Buruh adalah pengembala dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal pengembalaannya. Jadi setiap seorang dari engkau itu adalah pengembala dan tentu akan ditanya perihal pengembalaannya” (Muttafaq’alaih)

Selain itu, para nabi yang diutuskan oleh Allah SWT semuanya adalah seorang pengembala kambing. Allah swt memberi latihan kepemimpinan kepada para nabi melalui pekerjaan sebagai seorang pengembala kambing.

Dari Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda: “Tiada seorang nabi pun yang diutus oleh Allah, melainkan ia tentu mengembala kambing”. Para sahabat bertanya, “Dan tuan?” Baginda saw menjawab, “Ya, saya juga mengembala kambing iaitu di Qararith. Kambing itu kepunyaan penduduk Makkah” (HR Bukhari)


Sosok pengembala menjadi pilihan Rasulullah SAW dalam menggambarkan watak kepemimpinan kerana mencerminkan sifat-sifat yang patut menjadi pelajaran, iaitu:

1. Seorang pengembala boleh dipercayai mengurus begitu banyak haiwan ternakan bukan kerana tahap pendidikannya yang tinggi dan pengalamannya yang luas, akan tetapi seseorang majikan mempercayai untuk menyerahkan ternakannya itu kepada seorang pengembala kerana sifat amanah dan jujur yang ada padanya.

Seorang pengembala tidak akan mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual haiwan milik tuannya kepada orang lain tanpa pengetahuan tuannya. Sifat ini tergambar dalam kisah Abdullah bin Umar bersama dengan seorang pemuda pengembala kambing di pinggiran Madinah. Abdullah ibn Umar ingin membeli kambing yang digembala pemuda tersebut. Tetapi pemuda itu tidak dapat menjualnya kerana kambing itu bukan miliknya. Abdullah ibn Umar mendesak untuk membelinya dan meminta pemuda tersebut mengatakan kepada tuannya bahawa kambing itu telah dimakan serigala. Lantas, pemuda pengembala itu mengatakan bahawa walaupun tuannya itu tidak tahu dan dia boleh menipu akan tetapi tuan kepada tuannya iaitu Allah SWT mengetahui akan perbuatannya.

Kekaguman Abdullah Ibn Umar terhadap kejujuran dan sifat amanah pemuda pengembala ini menyebabkan beliau membeli pemuda tersebut beserta seluruh kambing daripada tuan pemuda tersebut. Kemudian beliau memerdekakan pemuda yang amanah itu dan diberikan seluruh kambing gembalaannya itu sebagai hadiah kejujurannya.

Dari Abu Ya’la iaitu Ma’qil bin Yasar ra, katanya; “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Tiada seorang hamba pun yang diserahkan oleh Allah SWT untuk mengembala suatu pengembalaan (memimpin sesuatu umat atau bangsa), lalu ia mati pada hari kematiannya sedang dikala itu ia dalam keadaan menipu pada pengembalaannya, melainkan Allah SWT mengharamkan padanya untuk masuk syurga” (Muttafaq’alaih)


2. Seorang pengembala juga adalah seorang yang rajin dan bekerja keras. Pengembala yang baik akan bangun pada awal pagi dan membawa haiwan gembalaannya untuk mencari rumput yang terbaik dan air yang segar. Dia tidak kisah dengan halangan mendaki gunung-ganang dan merentasi gurun demi memastikan haiwan gembalaannya mendapat makanan dan sumber air yang terbaik.

Alangkah malangnya haiwan gembalaan yang diuruskan oleh seorang pengembala yang malas dan culas. Dia tidak berusaha untuk membawa haiwan gembalaanya untuk mencari sumber makanan yang terbaik sebaliknya dia tidak ingin bersusah payah dan hanya membiarkan haiwan gembalaan tersebut yang bekerja keras merayau mencari makanan sehingga menganggu tanaman oranglain.

“Sesungguhnya seburuk-buruk pengembala ialah orang-orang yang tiada belas kasihan pada pengembalaannya. Maka dari itu janganlah engkau termasuk golongan mereka itu” (Muttafaq’alaih)


3. Pengembala yang baik akan sentiasa melindungi haiwan gembalaannya daripada sesuatu yang boleh mengancam keselamatannya. Pengembala akan berusaha untuk melindungi dan melawan haiwan-haiwan buas lain yang datang menyerang haiwan gembalaannya.

Hal ini adalah antara tanggungjawab yang sangat besar bagi seorang pengembala bagi memastikan haiwan gembalaannya selamat dan tidak menjadi habuan makanan haiwan buas. Pengembala akan memastikan dan memantau sentiasa pada haiwan gembalaannya daripada segala kemungkinan yang boleh mengancam nyawa haiwan gembalaannya.

Tidak sekadar itu, seorang pengembala juga akan sentiasa melindungi haiwan gembalaannya daripada berbuat salah. Ia akan berusaha untuk mencegah haiwan gembalaannya daripada memasuki pagar tanaman dan memakan tanaman oranglain. Apabila haiwan gembalaannya itu mendekati tanaman oranglain, dia akan menghalaunya.

Seorang pengembala itu tidak ingin melihat haiwan gembalaannya melakukan kesalahan sehinggakan dia melakukan pendekatan mencegah dan pengawasan yang terus menerus terhadap haiwan gembalaannya. Dia akan memastikan haiwan gembalaannya hanya berada pada kawasan yang sepatutnya tanpa memasuki kawasan tanaman oranglain dan merosakkannya.

“Dan barangsiapa yang telah jatuh dalam kesyubhatan, maka jatuhlah ia dalam keharaman, sebagaimana halnya seorang pengembala yang mengembala di sekitar tempat yang terlarang, hampir saja haiwan ternaknya itu makan dari tempat larangan tadi” (Muttafaq’alaih)


4. Pengembala juga akan mengusahakan sesuatu yang bermanfaat daripada haiwan gembalaannya untuk kegunaan makhluk lain. Jika haiwan yang digembalanya adalah kambing, maka susu dan dagingnya bermanfaat untuk digunakan. Sekiranya lembu atau kerbau, boleh digunakan untuk membajak sawah, membawa barang  dan daging yang bermanfaat untuk digunakan.

Oleh itu, seorang pemimpin itu laksana seorang pengembala yang mengembala haiwan gembalaannya yang mana apabila ia tidak melaksanakan tugasnya sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, maka haiwan ternak itu lebih baik dan bermanfaat daripada dirinya.

Dari Abu Hurairah r.a katanya, "Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT akan menanya kepada para khalifah perihal cara pengembalaan mereka kepada umatnya” (Muttafaq’alaih)

Tiada ulasan: