Ahad, 3 Februari 2013

BIAR DAPAT SIKIT TAPI BERKAT...BANYAK TAK GUNA KALAU TAK BERKAT....TAMBAH PULAK BELANJA TAK IKUT SYARIAT SERTA TAK TELUS

PRU13: PAS berpantang 90 hari

Hazayani Zakaria, 02 Feb 2013
SERI KEMBANGAN: PAS berada dalam tempoh berpantang selama 90 hari sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata Naib Presidennya,  Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, dalam tempoh berpantang ini, PAS tidak boleh melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat untuk memilih PAS pada PRU13.

"Kalau orang perempuan berpantang selepas bersalin, kita berpantang sebelum bersalin. Kandungan kita ialah harapan perubahan rakyat Malaysia.

"Jadi sewaktu berpantang ini, kita tidak boleh melakukan satu pun kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan di Konvensyen Mara Bersama Keberkatan Menuju Putrajaya di sebuah hotel dekat sini hari ini.

Husam juga berkata, PAS tidak boleh mengabaikan pengundi-pengundi yang sangat penting untuk membantu kemenangan parti.

Undi yang dimaksudkan ialah undi tentera dan peneroka Felda  yang sebelum ini berpihak kepada BN.

"Kali ini kita mensasarkan 45 peratus undi tentera. Kita tak boleh abaikan undi tentera.

"Begitu juga undi Felda. Sebab itu kita memberikan fokus khas kepada Felda dengan program-program yang diatur," katanya di hadapan kira-kira 1,000 jentera dari setiap negeri yang hadir.

Jentera yang hadir merupakan wakil dari 60 Parlimen yang disasarkan bertanding pada PRU13.

Tambah Husam juga, ahli khususnya jentera harus mendekati pengundi dengan komunikasi yang paling baik selain menjaga hubungan dengan Allah.

"Dalam tempoh ini kita mesti berhubung dengan manusia lain dengan komunikasi paling baik.

"Hubungan kita dengan Allah juga harus diperbaiki dengan memperbanyak doa dan munajat kepada Allah," katanya.

Umno sudah tidak ada yang berkepimpinan lagi

Aspan Alias, 02 Feb 2013
Anwar Ibrahim menafikan tuduhan Dr Mahathir yang beliau (Anwar) terlibat secara terus dalam pemberian kad pengenalan kepada pendatang haram untuk mendapatkan undi dalam pilihan raya negeri 1994 dahulu. Dr Mahathir menyatakan yang beliau tahu Anwar terlibat secara terus dalam pembahagian kad pengenalan itu walaupun beliau tidak dapat membuktikannya.
Saya setuju dengan pendapat Dr Mahathir yang beliau tidak ada bukti tentang penglibatan Anwar dalam isu itu kerana sememangnya Anwar tidak terlibat kerana jabatan pendaftaran negara tidak terletak di bawah jagaan Anwar. Anwar tahu yang Kementerian Dalam Negeri merupakan Kementerian yang bertanggungjawab keatas isu ini dan Dr Mahathir adalah menterinya dan Megat Junid, timbalannya.

Dalam pemberitahuan oleh bekas pengarah immigresen, Ramli beliau diarahkan untuk mengeluarkan resit dengan nombor yang sesuai dan bertepatan dengan nama dalam pendaftar pengundi. Megat Junid yang merupakan timbalan kepada Dr Mahathir yang juga Menteri Dalam Negeri semasa itu adalah orang kuat Dr Mahathir dan beliau dibantu oleh Setiausaha Politik beliau, Aziz Shamsuddin, untuk urusan pemberian kad pengenalan itu.

Seperti biasa Dr Mahathir akan memilih untuk mengalihkan tuduhan itu kepada orang lain termasuk Anwar Ibrahim. Dr Mahathir sememangnya sifat beliau begitu. Beliau yang selalu membaling batu kepada rakan-rakan politik beliau dan akan menyorokkan tangan beliau yang membaling batu itu. Beliau yang membuatkan Datuk Hussein Onn menarik diri kerana Mahathir jugalah yang meletakkan Sulaiman Palestin untuk menentang Hussein semasa beliau (Mahathir) menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Akhirnya yang menerima cercaan ialah Sulaiman Palestin sedangkan Dr Mahathir menyorokkan tangan jahatnya dan terus mendapat mengambilalih jawatan yang dipegang oleh Hussein Onn sebagai Perdana Menteri. Tidak ada seorang pun pemimpin yang seiringan dengan beliau tidak mendapat musibah dari tindakan politik beliau yang tidak jujur itu.

Akhirnya semua rakan-rakan seangkatan dengan beliau tumpas bergelimpangan dan hanya beliau seorang yang kekal terpacak dalam kepimpinan UMNO dan beliau menggantikan mereka yang tumpas itu dengan barisan baru yang beliau boleh lakukan sebagai burung balam itu. Maka mudah bagi Dr Mahathir untuk membina budaya ampu mengampu tanpa had kerana mengampu itu merupakan cara menaiki tangga ke kuasa dengan mudah tanpa perlu membina kepimpinan yang sangat diperlukan oleh rakyat dan negara.

Justeru negara kehilangan kepimpinan kerana Mahathir tidak menumpukan untuk membina kepimpinan selepas beliau. Beliau hanya memberikan tumpuan untuk kekal dalam kuasa tanpa memikirkan elemen terpenting iaitu pembinaan kepimpinan masa depan untuk negara. Apabila beliau meninggalkan jawatan, maka negara kehilangan dan kepupusan kepimpinan dan inilah yang kita hadapi sekarang.

Apa yang ada hanyalah kumpulan yang dijadikan pemimpin tetapi tidak memahami kenapa mereka berada di pesada  kepimpinan itu. Mereka merupakan kumpulan pemimpin yang keliru kerana mereka tidak tahu samada mereka berada diatas itu kerana kepimpinan mereka atau kerana hasil pengampuan itu.

Apabila negara berada dalam keadaan sekarang maka mereka menyalahkan orang lain. Mahathir hanya memberikan fokus untuk menyalahkan dua orang manusia yang beliau benci, itu Anwar dan Abdullah Badawi. Beliau tidak juga nampak kesalahan beliau sendiri. Abdullah disalahkan kerana mewarisi kerajaan yang lemah sedangkan Abdullah itu sendiri adalah orang yang beliau naikkan menjadi pengganti beliau.

Jika orang ramai di tepi jalan pun merasakan jika Abdullah mengambil tempat Dr Mahathir negara akan kecundang, takkan lah Mahathir yang dianggap pemimpin besar semasa itu tidak tahu yang Abdullah terlalu lemah dan akan dipersoalkan oleh rakyat ramai. Saya selalu menyebut isu ini selalu kerana disebabkan Mahathr lebih menjaga kepentingan peribadi dari negara ia telah menyebabkan negara tidak lagi mempunyai seorang pun yang dianggap sebagai ‘material’ sebagai Perdana Menteri di kalangan pimpinan UMNO itu.

Oleh kerana terlalu tertumpu memperkuatkan diri untuk menjadi kuat dalam UMNO maka beliau tidak menyedari yang orang yang berkepimpinan berada di luar kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO atau pun berada di dalam parti pembangkang. Rakyat yang telah sedar kepupusan kepimpinan dalam parti pemerintah ini telah tercari-cari mereka yang berkepimpinan maka mereka mengikut di mana sahaja dan siapa sahaja yang boleh memberikan keyakinan untuk memberikan kepimpinan kepada mereka yang ramai ini. Justeru mereka mengikut pembangkang kerana yang berkepimpinan itu berada di sebelah pembangkang itu.

Oleh itu pembangkang sepatutnya menjadi pilihan ramai kerana yang berkepimpinan semuanya berada di pihak pembangkang. Yang ada di dalam UMNO itu hanyalah merupakan ahli-ahli politik yang juga ahli-ahli peniaga dan sebahagian mereka itu semuanya berada di dalam kabinet kerajaan hari ini.

Negara perlukan kepimpinan. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Guru tidur dalam kereta ditukar tergesa-gesa

Khairil Abdul Rahim, 02 Feb 2013



BERA: Seorang guru terpaksa bermalam dalam kereta akibat ditukarkan secara tergesa-gesa dari sebuah sekolah di Temerloh ke sini oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang yang didakwanya tidak berperikemanusiaan.

Azman Mohd Nazir, 40, berkata beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Felda Mayam dari Sekolah Kebangsaan Paya Pulai, Temerloh dan diminta mendaftar diri ke sekolah barunya pada 16 Januari tapi surat arahan dari JPN itu hanya dapat ke tangannya pada 18 Januari.

“Akibat pertukaran secara tergesa-gesa dan tidak berperikemanusiaan ini, saya terpaksa tidur dalam kereta kerana belum ada kediaman. Tak larat kalau nak berulang-alik dari rumah sejauh 140 kilometer sehari,” katanya ketika ditemui setelah menerima laporan orang ramai.

Katanya, beliau kesal arahan pertukaran dibuat dalam keadaan tergopoh-gapah sehingga guru di sekolah barunya yang sepatut digantikannya, belum berpindah lagi kerana belum mendapat surat tukar.

Tambahnya, sedangkan guru di sekolah lama tempat beliau mengajar masih belum diganti guru baru.

“Yang ruginya ialah murid-murid yang sepatutnya dapat pelajaran yang sempurna. Tetapi oleh kerana saya menjadi seperti kambing hitam, murid-murid pula terbabit sama menjadi mangsa,” katanya yang merupakan guru prasekolah.

Katanya, di sekolah Paya Pulai (sekolah lamanya) selama dua tahun, beliau telah menyiapkan banyak bahan bantu mengajar.

“Saya juga banyak peranan dan sumbangan sebagai guru aset sekolah, guru penyelaras kelas prasekolah, jurulatih catur, guru pembimbing pelatih praktikal, AJK projek perintis I-Think sekolah dan AJK PIBG,” ujarnya.

Ditanya sebab pertukaran, Azman beliau tidak menolak disebabkan faktor politik memandangkan beliau tidak mempunyai masalah moral tetapi mengakui aktif bersama program-program PAS.

Baginya, pertukaran secara tergesa-gesa itu satu penganiayaan dan salah guna kuasa kerana diarah berpindah secara tidak bertamadun.

“Saya masih pegang keratan akhbar kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran (Datuk Fuad Zarkashi) yang mengatakan pertukaran mengejut akan dikaji semula dan akan pastikan lebih jelas supaya prosedur difahami lebih jelas.

“Prosedur biasa pertukaran hanya dua kali setahun iaitu bulan Jun dan Disember,” katanya.

Beliau mengakui banyak kali ditukar sekolah sejak berkhidmat sebagai guru dipercayai atas sebab politik. Tetapi baginya, aktiviti politik dilakukannya di luar waktu bertugas dan beliau tahu sempadan antara tugas berkhidmat sebagai guru dan tugas sebagai ahli parti.

“Sekarang saya terpaksa tidur dalam kereta. Mujurlah PAS Cawangan Mayam bermurah hati mempelawa saya tidur di markas pada masa akan datang,” katanya.

Azman yang belum berumah tangga, berkata beliau menjaga ayahnya yang tinggal bersendirian di Taman Sri Semantan Temerloh. Apabila ditukarkan, jiwanya merasa sedikit tertekan.

Turut sama menziarahi Azman ialah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bera Musaniff Abdul Rahman dan Setiausaha PAS Kawasan, Mohd Wali Ahmad.

Cerita sedih mahasiswa berkunjung ke Pengerang

Safwan Anang, 02 Feb 2013


PENGERANG: Pada 27 Januari yang lalu Jelajah Mahasiswa telah tiba di Pengerang bertemu sendiri dengan wakil Gabungan NGO Pengerang untuk mendapatkan maklumat dan pandangan sebenar daripada penduduk tempatan mengenai isu hangat di sana.

Seawal jam 10.15 pagi, mahasiswa yang dipimpin oleh wakil NGO Pengerang, Cik Anis Afida dan Bendaharinya,  Chong Ah Sin atau dikenali sebagai Ah Chai telah melawat ke kawasan perkuburan baru di Kg Tunggal, di mana kubur baru tersebut hanyalah panjang sekitar 3 kaki dan jarak di antara kubur adalah tidak menepati syarat malahan tidak berpagar. Lebih mengejutkan kami, terdapat bekas tapak kaki babi hutan dikesan kawasan kubur tersebut sehingga kesan sondolan jelas kelihatan.

Kami turut dikejutkan apabila kontraktor terlibat, Encik Salleh hanya menjawab dengan mengakui bahawa projek ini dilakukan secara tergesa-gesa walaupun beliau menafikan bahawa pemindahan itu menyalahi prosedur pemindahan.

Namun, apa yang melegakan kami adalah apabila bantahan dibuat Mufti Johor mengarahkan supaya pemindahan tersebut dihentikan serta-merta sehinggalah syarat-syarat dipenuhi.

Seterusnya, kami bertemu beberapa penduduk di sekitar Air Tawar, dimana kawasan perumahannya terkesan dengan projek mega Rapid ini. Namun, masih jelas bahawa gerakan di peringkat rakyat masih kurang kesedaran akan besarnya isu ini dan masih takut untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka sendiri.

Kemudian, kami teruskan ke tapak rumah baru yang akan ditawarkan kepada penduduk asal di Pengerang. Pampasan tanah yang diberi hanya sekitar RM20,000 dan mereka ini perlu membeli rumah yang baru, sedangkan rumah yang ditawarkan paling murah berharga RM65,000! Sedangkan lokasi perumahan sangat jauh dari pantai bagi yang bekerja sebagai nelayan dan jauh dari tanah subur untuk pertanian bagi petani.

Kami turut melawat sekitar kawasan perumahan asal penduduk yang terletak bersebelahan dengan tapak projek yang tingginya 1.5 meter dari jalanraya. Buat pertama kalinya kawasan tersebut banjir akibat aliran hujan lebat turun ke kawasan perumahan.

Kami ke Sungai Rusa pula, di mana akan dijadikan pengkalan 1,000 orang nelayan. Dijanjikan untuk siapkan jeti nelayan dengan peruntukan lebih RM3 juta, namun walaupun sudah hampir setahun masih tiada apa-apa perkembangan. Kami turut bersama Pak Yahya , salah seorang dari NGO Pengerang, yang pertama ditangkap atas sebab mempertahankan perkuburan Islam di sekitar Pengerang. Menurut rakan NGO Pengerang lagi kawasan perkuburan Cina juga akan dipindah tempat namun masyarakat Cina lantang untuk membantah perpindahan kubur Cina.


Waktu petang kami dibawa ke rumah rakan NGO Pengerang untuk meniliti peta dan segala maklumat berkenaan projek yang akan dijalankan. Selain itu gambar gambar tiga anak beranak yang dipercayai penduduk setempat membunuh diri akibat tekanan isu rampasan tanah juga ditunjukkan.

Dalam penerangan yang diberikan, rakan NGO Pengerang yang juga sering bersama mangsa iaitu Ah Cai memberitahu bahawa sebelum mangsa membunuh diri, si mangsa sering menjaja sekiranya beliau dapat pampasan yang diberikan sedikit, si mangsa akan bunuh diri.

Kenyataan mangsa ternyata ada kebenarannya, namun ada pihak yang cuba mempolitikkan isu bunuh diri tersebut sehingga ada pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan surat palsu yang kononnya surat tersebut ditulis oleh mangsa. Akhirnya apabila surat tersebut dirujuk pada jurubahasa ternyata surat tersebut adalah palsu berdasarkan ayat dan penggunaan tulisannya.

Setelah itu, kami dibawa ke kawasan asal kubur Islam di Kg Jawa Darat untuk melihat tapak perkuburan yang asal, namun dihalang oleh Pak Cik Yaakob atau dikenali sebagai Pak Itam Salleh yang mendakwa bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab untuk menjaga kawasan kubur tersebut dan pagarnya terpaksa dikunci. Tanpa melengahkan masa lagi, Ah Cai terus membawa kami menziarahi rumah mendiang 3 beranak yang membunuh diri.

Kami teruskan lagi tinjauan ke kampung nelayan Sungai Kapal, di mana terletaknya kilang belacan yang menjadi pusat pengeluar utama bagi Semenanjung Malaysia yang turut dieksport ke negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang untuk proses pembungkusan semula.

Malah kami turut dimaklumkan bahawa hasil keluaran kilang tersebut mencecah ratusan ribu ringgit dengan setiap kali tangkapan kira-kira 5 tan anak udang. Akhirnya disebabkan projek Rapid ini, persisiran pantai yang menempatkan bot-bot nelayan telah berlumpur dan nelayan terpaksa menggunakan bot rata untuk ke tengah laut sebagai ‘transit’ ke bot mereka. Turut kami perhatikan, beberapa bot yang dibiarkan di tengah-tengah lumpur sebagai tanda protes nelayan kepada projek Rapid ini.

Bot-bot dibiarkan supaya projek tambak tanah dibelakang tidak menghalang laluan nelayan.

Akhirnya, kami ke rumah penduduk yang telah lama menetap di Pengerang, Ah Teck yang merupakan seorang mekanik. Beliau meluahkan rasa kecewanya kepada pemerintah sedia ada, walaupun dahulu beliau antara penyokong kuat parti politik.

Beliau beranggapan bahawa pihak tidak bertanggungjawab yang melaksanakan projek atas angin ini terlalu memikirkan keuntungan tanpa mendapatkan persetujuan semua pihak terutama penduduk setempat.

Beliau mempersoalkan pampasan yang diberikan tidak setimpal dan tiadanya jaminan pekerjaan kepada penduduk Pengerang sekiranya projek berskala besar ini dilaksana nanti.

Apa yang kami ceritakan ini adalah bertujuan membangkitkan kesedaran di kalangan mahasiswa dan rakyat keseluruhannya. Kita perlu cakna mengenai apa yang sedang berlaku di sekeliling kita kerana antara peranan mahasiswa juga adalah sebagai agen penyampai maklumat sebenar.

Sejarah Baling 1974 dahulu juga telah memperlihatkan peranan besar yang mahasiswa mainkan dalam usaha membela petani miskin sehingga kerajaan mula menggubal Akta yang mengekang mahasiswa daripada turun bersama dengan rakyat. Ayuh mahasiswa, kita bangkit bersama rakyat!


Penulis ialah Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia.

Mahathir pecah belah Umno dari dulu hingga sekarang

Harakahdaily, 02 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Niat Mahathir sekarang ialah untuk membawa Muhyiddin pula ke pucuk kepimpinan negara, tulis Aspan Alias di dalam blognya semalam.

“Beliau akan terus melakukannya jika beliau berupaya untuk melakukannya.

“Akhirnya Muhyiddin sendiri akan diketepikan dengan menggunakan kelemahan Muhyiddin yang tidak kurang teruknya jika dibandingkan dengan Najib,” tulisnya di dalam blog http://aspanaliasnet.blogspot.com/.

Tulisan penuh beliau seperti di bawah.

Dr Mahathir semalam berkata nasib Najib bergantung kepada kehendak UMNO jika BN tidak dapat kejayaan lebih dari apa yang diperolehi oleh Abdullah Badawi dalam pilihanraya yang lalu. Beliau memberi pandangan peribadi beliau yang Najib sepatutnya memberikan laluan kepada Muhyiddin Yassin jika prestasi BN lebih lemah dari pilihanraya ke-12 dahulu.

“Hanya nasib Najib tidak berapa baik kerana beliau mewarisi kerajaan lemah Abdullah Badawi dahulu” kata Mahathir lagi. Walau bagaimanapun Mahathir berpendapat perkara itu terpulanglah kepada UMNO untuk menentukannya. Kenyataan Mahathir ini merupakan satu kenyataan yang membawa makna seperti yang diduga oleh banyak pihak. Menggalakkan Najib untuk mengambil alih Abdullah dahulu merupakan tindakan sementara sahaja.

Najib merupakan pemimpin yang paling sesuai untuk dijadikan ‘stop-gap Prime Minister’ kerana dari awal lagi semua pihak tahu yang Najib tidak boleh kekal kerana mempunyai ‘baggage’ peribadi yang terlalu besar. Keadaan Najib tidak membolehkan beliau kekal lama sebagai Perdana Menteri. Sesungguhnya Dr Mahathir mahukan Muhyiddin untuk mengambilalih kepimpinan negara dari Najib dalam tempoh yang singkat sahaja.  Maka isu yang dipergunakan untuk menaikan Muhyiddin secara ‘expedient’ ialah isu dan masalah peribadi Najib itu sendiri.

Dalam pada itu Dr Mahathir pun tidak mempunyai keyakinan yang penuh tentang kemampuan Muhyiddin itu. Seperti biasa beliau sedaya upaya mahukan Muhyiddin mengambilalih untuk membuat persediaan untuk seorang ahli keluarganya untuk menggantikan Muhyiddin pula. Jika alasan Muhyiddin adalah orang terbaik untuk menggantikan Najib, ia merupakan alasan yang meleset.  Waktu akan menentukan yang Muhyiddin akan menghadapi masalah yang sama apabila Mahathir mahu menurunkan beliau (Muhyiddin) untuk memberikan laluan untuk keluarga beliau mengambil alih kepimpinan negara suatu masa yang tidak berapa lama lagi.

Pendeknya Mahathir tidak pernah mahukan dan menyayangi sesiapa pun di dalam politik ini. Hanya mereka yang lemah tetapi bercita-cita tinggi dalam UMNO itu mengambil kesempatan untuk menjadi pemimpin sementara Mahathir menunggu orang yang sebenar-benarnya menjadi pucuk pimpinan negara itu menjadi kenyataan. Apabila sampai keadaan itu barulah negara mempunyai kepimpinan yang terbaik dalam sejarah kemerdekaan negara kepada Dr Mahathir.

Itulah politik Dr Mahathir. Bagi Mahathir yang paling utama ialah peribadi dan keluarga. Selepas itu untuk parti kerana parti itu boleh menaikan keluarga dan kehendak beliau kerana parti hanyalah alat untuk memudahkan mendapatkan kehendak dan kemahuan beliau. Selepas itu barulah untuk negara. Negara merupakan isu yang paling akhir dan tidak mempunyai prioriti langsung bagi Dr Mahathir.

Semasa beliau mengambilalih kepimpinan kerajaan dengan pengorbanan rakan-rakan seperjuangan Mahathir merupakan seorang PM yang tidak mempunyai ‘grassroot’ yang kuat. Mahathir memulakan kepimpinan negara dengan menyisihkan pemimpin sebarisan dengan beliau secara sistematik. Jika dikaji dan dipandang dari apa sudut sekali pun Tengku Razaleigh lah yang sepatutnya menjadi pemimpin selepas beliau. Tetapi beliau tidak mahukan Tengku Razaleigh kerana beliau tidak mahu dibayangi oleh TR yang semasa itu menjadi ikon kepimpinan dalam UMNO. Jika TR menjadi Timbalan beliau niat beliau untuk menjadi Perdana Menteri berdekad-dekad lamanya itu tidak akan tercapai.

Seperti beliau gunakan Muhyiddin sekarang ini semasa itu beliau menggunakan Musa Hitam yang kebetulan juga seorang yang bercita-cita tinggi tetapi tidak dapat menyaingi kepopularitian TR. Mahathir memilih Musa untuk menyaingi TR dengan menggunakan pengaruh beliau (Mahathir) dengan merancang pertandingan Timbalan Presiden pada tahun 1981 dahulu. Padahal beliau tidak juga menyukai Musa. Musa hanya di perguna untuk melemahkan TR secara sistematik. Akhirnya Musa sendiri terpaksa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana Mahathir meletakkan mereka yang tidak sebulu dengan Musa seperti Daim dan Anwar Ibrahim yang baru menyertai UMNO semasa itu.

Begitulah cara Mahathir bermain politik. Beliau tidak memberikan tumpuan untuk membentuk kepimpinan, sebaliknya semua pemimpin didikan Tun Razak itu dilaga-lagakannya untuk meletakkan beliau duduk dengan aman dalam jangkamasa yang amat lama. Ghaffar Baba mengambilalih dan selepas itu Ghaffar di jadikannya mangsa dengan merancang Anwar untuk menandingi Ghaffar sehinggakan Ghaffar lari dan meletakkan jawatan sebelum pertandingan parti di adakan pada 4 November tahun 1993 dahulu.

Selepas itu terjadi pula perpecahan beliau dengan Anwar yang membawa  kepada UMNO sehingga hari ini dan menggantikan pula dengan Abdullah yang begitu lemah dalam memimpin negara. Abdullah yang sedang mengantuk disorongkan bantal semata-mata untuk menggantikan Anwar dan semasa itu beliau sudah mentadbir negara selama 22 tahun mengikut sistem beliau yang membawa perpecahan itu. Beliau tahu Abdullah bukannya ‘material’ sebagai seorang PM tetapi beliau merancang untuk menjadi de facto Perdana Menteri menggunakan Abdullah yang beliau sangkakan boleh dipusing kepala dari luar.

Malangnya Abdullah yang lembut itu rupa-rupanya seorang yang degil dan tidak mahu mengikut telunjuk dan kemahuan beliau maka Abdullah di hinanya dan bertindak mahu menjatuhkan Abdullah dan beliau sanggup meninggalkan UMNO sebentar sementara Abdullah di buang atau meletakkan jawatan.

Beliau tahu Najib juga bukan material sebagai seorang PM yang baik tetapi beliau gunakan Najib untuk menolak Abdullah dan sekarang permainan yang sama sedang berlaku dan menggunakan kelemahan Najib yang beliau tahu dari awal lagi. Niat Mahathir sekarang ialah untuk membawa Muhyiddin pula ke pucuk kepimpinan negara. Beliau akan terus melakukannya jika beliau berupaya untuk melakukannya. Akhirnya Muhyiddin sendiri akan diketepikan dengan menggunakan kelemahan Muhyiddin yang tidak kurang teruknya jika dibandingkan dengan Najib.

Apabila berlaku satu di antara dua kejadian sahaja yang akan memberhentikan Mahathir melakukan kerja mengadu-domba ini. Yang pertamanya jika beliau tiada lagi dalam dunia ini dan keduanya jika Mukhriz berjaya mencecah pucuk pimpinan negara kita ini.

Sementara menunggu niatnya itu terkabul kita semua akan jahanam dan politik negara tidak akan dapat dikenali oleh sesiapa lagi.

Itulah sebabnya rakyat perlu melakukan perkara yang sangat penting untuk dilakukan…iaitu kita tolak sahaja UMNO dan BN dalam pilihanraya ini sebelum nasi menjadi bubur untuk negara kita ini.

Kita hanya mempunyai masa dua bulan sahaja untuk melakukan kerja yang baik untuk masa depan negara. Rakyat harus berpakat-pakat untuk membetulkan kembali landasan perjuangan rakyat dalam negara kita yang sepatutnya sebuah negara demokrasi ini.

Jangan segan silu untuk bertindak dan jangan merasa takut untuk melakukannya. Lagi kita merasa takut lagi mereka (UMNO) ini akan menekan pemikiran rakyat sehingga tidak ada lagi rakyat yang boleh berfikir dan mempertahankan nilai kemanusiaan yang di berikan akal dan fikiran oleh Allah swt.

Kelantan dapat royalti emas RM10 juta tahun ini

Rizal Tahir, 01 Feb 2013

(Tuan Guru menunjukkan mok cek yang diterima hasil dari royalti lombong emas di Kelantan)

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dijangka menerima RM10 juta royalty emas tahun ini dari Syarikat CNMC Goldmind Ltd, memandangkan hasil bumi itu yang terletak di Sokor, Tanah Merah dijangka bertambah tahun ini.

Pada tahun 2012, kerajaan Kelantan telah menerima sebanyak RM5 juta dari syarikat berkenaan sebagai royalty hasil kejayaan syarikat itu.

Semalam, Pengarah  Eksekutif syarikat terbabit, Prof Lin Xiang Xiong, telah menyerahkan royalty terbabit kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebanyak RM386,926,97.

Manakala cek berjumlah RM347,115.45 pula dibayar kepada Ketua Ekesekutif PKINK, Haji Sabri Abdullah, mewakili anak syarikat kerajaan negeri yang turut serta dalam perlombongan itu.

Majlis ringkas itu diadakan di Pejabat Menteri Besar, yang turut dihadiri oleh Setiausaha-Setiausaha Menteri Besar, serta pegawai dari syarikat perlombongan emas itu.

Lin Xiang Xiong, berkata pihaknya menjangkakan sebanyak RM10 juta royalty bakal diberikan pada kerajaan Kelantan memandangkan syarikatnya berjaya melombong hasil bumi itu dari setahun ke setahun.

Jelasnya, di pasaran dunia harga emas kini USD153 billion untuk sekilogram.

Sementara itu, Tuan Guru berharap sekiranya syarikat luar dapat membayar balik royalty pada Kelantan melalui perlombongan emas, beliau juga berharap royalty minyak dapat juga dibayar.

Menurutnya, mana boleh ambil hak kerajaan negeri begitu sahaja, apa lagi perjanjian telah dibuat.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa syukur kerana rezeki kerajaan negeri untuk rakyatnya akan bertambah.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah di atas rezeki yang dikurniakan Allah ini dan mudahan berkat doa kita semua rezeki yang ada dapat kita kongsikan bersama rakyat,”ujarnya.

Syarikat CNMC Holding itu mula beroperasi di Kelantan untuk carigali emas pada tahun 2007, setelah majlis perjanjian usahasama berhubung perkara itu dibuat dengan anak syarikat kerajaan negeri sebelum itu.

Antara dosa-dosa Umno BN yang Najib minta maaf.

http://www.erapasca.com, 02 Feb 2013


#TumbangBN #KOBN #KL112
Mari kita kenali Umno/BN .... tak kenal maka tak cinta, bila dah kenal ... hang tentu rasa nak terajang punya ....
P/S : Fakta ni baru sikit ... banyak lagi sebenarnya


1,000 jentera PAS sertai Konvensyen Pilihan raya

Harakahdaily, 02 Feb 2013



KUALA LUMPUR: Hampir 1,000 pemimpin PAS dari seluruh negara berhimpun di sebuah hotel terkemukadi sini hari ini bagi menyertai Konvensyen Pilihan raya parti itu.

Tema seminar ini adalah Mara Dengan Keberkatan Menuju Putrajaya.

Himpunan besar yang menghimpun kesemua jentera pilihan raya PAS ini membawa slogan Negara Berkebajikan Demi Rakyat.

Ia telah dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sekejap tadi.

Perhimpunan ini bakal menjadi panduan utama kepada jentera PAS di seluruh negara dalam PRU13 akan datang.

Tiada ulasan: