Sabtu, 4 Jun 2011

TAHNIAH PENGERAK ISLAM YANG BARU DILANTIK..DALAMI ILMU...SEBARKAN ILMU..DAKWAH MENYELURUH..MUJAHADAH YG TINGGI...NIATKAN KERANA ALLAH SEMATA2...

Mohamad Sabu, Salahudin, Husam, Mahfuz menang
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 4 Jun: Mohamad Sabu menang untuk jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan penyandang asalnya Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohamad mendapat 420 undi berbanding Tuan Ibrahim 399 dan Nasha 224 daripada jumlah keseluruhan 1045 undi.

Manakala untuk jawatan Naib Presiden pula dimenangi Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ust Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Salahudin mendapat 753 undi, Husam (660), Mahfuz (616), Idris (491), Nik Amar (321) dan Nizar (217).

Kesemua mereka akan menerajui kepimpinan PAS bersama Presiden, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menang tanpa bertanding.

Keputusan rasmi itu dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS 2011-2013, Datuk Abdul Halim Abd Rahman kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Berikut adalah senarai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2011-2013:

1) Mazlan Aliman (804)
2) Dr Mohd Hatta Md Ramli (765)
3) Datuk Kamarudin Jaafar (739)
4) Hanipa Maidin (735)
5) Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721)
6) Dr Zulkefly Ahmad (702)
7) Dr Mujahid Yusof Rawa (651)
8) Khalid Samad (643)
9) Abdul Ghani shamsuddin (579)
10) Amiruddin Hamzah (576)
11) Abdul Wahid Endut (556)
12) Abu Bakar Chik (527)
13) Datuk Mohd Amar Abdullah (470)
14) Dr Siti Mariah Mahmud (445)
15) Datuk Mahfodz Mohamed (449)
16) Datuk Hassan Ali (437)
17) Abdul Ghani Abd Rahman (430)
18) Nuridah Salleh (416)


Muslimat tekad berjuang barisan hadapan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyatakan komitmen untuk seiring dengan seluruh kepimpinan, jentera parti dan aktivis kaum lelaki dalam memikul tanggungjawab merealisasikan tema "Membangun Negara Berkebajikan".

Ahli jawatankuasa DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi sewaktu membahaskan ucapan dasar Presiden di Muktamar PAS Pusat ke-57 hari ini berkata, bagi mencapai matlamat itu, muslimat memerlukan bantuan mereka untuk meningkatkan daya dan pengupayaan muslimat di semua peringkat.

Dewan Muslimat juga katanya mengharapkan bantuan Dewan Ulama dalam menanamkan keyakinan bahawa peranan muslimat amat diperlukan dalam PAS.

"Janganlah hendaknya ada sebarang tindak tanduk yang akhirnya merencatkan faham di kalangan anggota muslimat khususnya yang berada di peringkat akar umbi tentang kewajipan mereka untuk komited memberi khidmat dalam perjuangan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menyentuh mengenai "amanat" Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya mengenai tujuh cabaran terhadap muslimat yang disimpulkan sebagai "jihad fardhu ain".

Tujuh cabaran itu ialah peranan muslimat sebagai pendidik keluarga, peranan sebagai benteng utama dalam pelbagai serangan pemikiran cetusan fenomena media elektronik, peranan sebagai pendakwah dalam masyarakat, peranan sebagai duta penerangan PAS yang akan hadir ke setiap pintu rumah rakyat, peranan sebagai entiti demokrasi negara yang diterjemahkan daripada nilaian setiap undi lelaki dan wanita, peranan sebagai kepimpinan organisasi dan jentera yang berkesan tetapi harus sentiasa bermuhasabah dan meningkatkan keupayaan, dan peranan sebagai entiti yang berkesandalam pemerintahan dan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, DMPP juga merakamkan ucapan tahniah kepada Ustaz Hadi di atas pemilihan tema "Membangun Negara Berkebajikan" yang memberikan isyarat jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa PAS telah bersiap siaga memberikan khidmat pemerintahan bernegara yang jauh lebih amanah, bersih, bertanggungjawab, adil dan berkebajikan.

"Presiden melalui tema ucapan dasar ini berusaha meletakkan satu arahan bertindak komprehensif kepada seluruh kepimpinan organisasi dan jentera parti di semua peringkat untuk menyantuni umat," katanya.

PAS perlu lebih kontemporari
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi, PAS diingat untuk menggunakan pendekatan pelbagai bagi mendampingi rakyat.

Perwakilan dari Perak, Muhaimin Sulam berkata PAS bukan sahaja memerlukan perubahan luaran, malah perlu kepada tajdid dalam yang lebih dinamik.

"PAS mesti mengubah menjadi parti yang lebih ceria, digeruni, kontemporari tanpa meninggalkan asas perjuangan parti.

"Hari ini PAS bukan saha dimiliki oleh ahli Mekah, ahli Madinah, tetapi oleh pelbagai latar belakang ahli," katanya yang mahu pendekatan tarbiyah juga diperluas.

Perubahan itu penting katanya bagi memperlihatkan PAS sebuah parti yang boleh diterima untuk semua.

"Cabaran kita hari ini tidak tertumpu kepada berdepan Umno sahaja, tetapi kepada usaha meyakinkan orang melayu bahawa kita mampu memimpin,"katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga menyarankan kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat agar terus meningkatkan kualiti urus tadbir dan membela nasib rakyat.

Namun, ia katanya tidak bermakna negeri yang ditadbir BN lebih baik dari Pakatan.

Selain itu beliau turut membangkitkan isu pembahagian kerusi pilihan raya anatara parti dalam Pakatan Rakyat.

PAS katanya diakui sebuah parti yang mempunyai jentera paling ramai dan komited, lantas wajar mendapat lebih kerusi termasuk di kawasan campuran.

"Kita juga perlu memberi kefahaman kepada PKR dan DAP berhubung tahaluf siasi,"katanya.


Rakyat perlu bangkit, jangan terus ditindas
Ismail Hashim
GOMBAK, 4 Jun: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi menegaskan kerajaan diktator di mana-mana sahaja di dunia mempunyai pemikiran dan tindakan sama.

Menurutnya, mereka sangat suka rakyat berada di dalam miskin, lalai dan jahil kerana dengan tiga kelemahan itu, rakyat sentiasa bergantung pada kerajaan.

Katanya, kerajaan boleh lakukan apa sahaja kepada rakyat yang memiliki tiga sifat lemah ini kerana hanya menurut dan tiada sikap menentang.

Ustaz Nasrudin demikian ketika menyampaikan ucapan dalam majlis ceramah isu antarabangsa sempena Muktamar Tahunan PAS ke 57 di sini.

Turut berucap dalam majlis yang diadakan di padang Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Gombak Setia berhampiran Taman Melewar adalah AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu dan pimpinan antarabangsa.

Nasrudin membuat perbandingan bagaimana rakyat di negara lain bangun menunjukkan penentangan terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga roti sebanyak 15 sen.

"Rakyat negara kita, naiklah berapa sen pun mereka tidak terasa apa-apa, sebagai contoh kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen.

"Dalam keadaan kenaikan berbagai harga keperluan semasa, masih terdapat pujian daripada rakyat.

"Ada yang berkata, kenaikan harga itu memang patut kerana boleh menambah pendapatan negara, saya tidak terasa apa-apa kerana saya tidak punyai kereta," tegasnya.

Sedangkan, menurut Nasrudin, meskipun mereka tidak menggunakan minyak untuk kereta sendiri tetapi harga keperluan harian tetap meningkat dan menjerat leher rakyat.

Namun kerana sikap rakyat yang memiliki jiwa hamba kepada kerajaan diktator, mereka tidak mampu bangun melakukan penentangan.

Kerana itu, tegasnya, rakyat sewajarnya berani lakukan perubahan sikap agar kehidupan mereka menjadi lebih baik di masa hadapan.

Sebelum itu, Haji Mohamad berkata, janganlah diharapkan musuh Islam seperti Amerika dan Israel serta sekutu mereka untuk menghargai Islam.

Malah, katanya, kerajaan yang hanya memberikan ketundukan kepada New York dan London, tidak mampu melakukan apa-apa perubahan terbaik dalam pemerintahan mereka.

Beliau menegaskan, keadaan hanya akan menjadi lebih baik jika semua kerajaan di negara dunia Islam ini mengambil Islam sebagai sumber penyelesaian mereka.

"Selagi mana sesebuah kerajaan itu mengikut telunjuk musuh Islam, tidak mungkin Islam akan dapat ditegakkan.

"Sudah lama umat Islam berada di dalam kesengsaraan, pemikiran mereka tidak merdeka dan hidup mereka menjadi terlalu hina," tegasnya.

Sudah sampai masanya, umat Islam di semua negara mengambil pendekatan baharu dengan mengubah sikap menjadi lebih berani di dalam bertindak ke arah pembebasan negara dan kemerdekaan jiwa.


Tiada ulasan: