Jumaat, 3 Jun 2011

RASUAH TAK KIRA SAPE...PEMBERI DAN PENERIMA..DUA2 MASUK NERAKA...ALLAH SEMUA TAHU APA YG MEREKA BUAT...BAIK PEMERINTAH ATAU PEMBANGKANG..INGATLAH MATI

Pemilihan PAS antara dua garis politik
Hishamuddin Rais
Jun 3, 11
12:50am

Saya selalu membaca dan mengamati tulisan, komentar dan analisa politik terkini tentang negara kita ini. Saya membaca dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris. Ada yang menarik. Sayangnya banyak pula yang membosankan. Membosankan kerana sang penulis hanya bergelut dengan personaliti individu - si politikus. Tidak lebih dari itu.

Politik bukan hanya tentang individu. Politik ialah tentang kuasa. Perjuangan politik ialah perjuangan untuk merebut kuasa. Merebut kuasa bertujuan untuk merebut punca-punca ekonomi. Di belakang punca ekonomi ialah kelas. Perjuangan politik ialah perjuangan kelas.

Kelas dan ekonomi tidak dapat dipisahkan macam santan dengan kelapa. Setiap sosok manusia tergolung ke dalam satu kelas. Secara kasar, ada dua kelas - yang memerintah dan yang diperintah. Contohnya yang berkuasa dan yang tidak berkuasa. Yang berkuasa ialah mereka yang memiliki harta dan kekayaan. Yang tidak berkuasa ialah mereka yang tidak memiliki harta kekayaan dan golongan miskin.

Dalam sistem ekonomi kapitalis seperti dalam negara kita ini, golongan miskin adalah kaum tani, kaum nelayan dan kaum buruh. Mereka ini adalah kumpulan terbanyak. Manakala kumpulan terkaya tidak ramai. Kumpulan kaya amat sedikit. Mereka adalah kumpulan minoriti. Tetapi mereka menjadi pemilik harta kekayaan yang terbanyak. Justeru melalui harta kekayan, mereka dapat membeli kuasa.

Ini bukan tulisan propaganda. Ini hakikat, fakta sahih yang boleh dirujuk kepada Jabatan Statistik Negara. Fakta-fakta – ekonomi dan kelas ini - menjadi kabur atau sengaja dikaburkan dengan agenda agama, dengan agenda bahasa, dengan agenda kaum dan bangsa. Politik ialah agenda merebut kuasa. Period. Tamat. Agenda-agenda yang lain hanyalah alat dan taktik untuk mengolah persetujuan orang ramai untuk bangun merebut kuasa.

Justeru untuk saya, perjuangan politik untuk melupuskan kuasa kumpulan kaya yang sedikit dan mengambil alih punca-punca ekonomi yang ada dalam tangan mereka. Harta kekayaan wajib diambil kembali untuk diagih-agihkan kepada rakyat terbanyak. Ini seperti yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan Selangor. Kerajaan Pakatan Rakyat telah mengambil kembali hak air dari syarikat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan memberikan secara percuma pada orang ramai.

Justeru berlaku perlawanan yang maha hebat antara Pakatan dengan gerombolan United Malays National Organisation di Selangor. Perlawanan ini ialah perlawanan untuk merebut punca ekonomi. Ini adalah perlawanan dua kelas – kelas kaya yang menindas sedang berlawan dengan rakyat. Suara orang teramai - suara rakyat - diwakili oleh Pakatan.

Hingga ke tahap ini, jika masih ada penulis dan pemberi komentar politik tidak memahami hakikat kelas dan ekonomi maka si mamat atau si minah itu wajib rajin membaca dan mentelaah. Panjangkan akal dan panjangkan ilmu. Sehingga ke hari ini memiliki akal fikrah yang kritikal masih belum dicukai lagi.

Kalau saya membawa para pembaca ke luar Malaysia, hakikat yang sama juga dapat kita lihat. Di Amerika Syarikat, Barack Obama dipilih untuk mempertahankan dan menjaga kepentingan saudagar senjata dan para taikun di Wall Street. Raja Abdulah dipilih untuk mempertahankan kepentingan gulungan feudal di Arab Saudi. Sarkozy di Perancis dipilih untuk mempetahankan kepentingan saudagar Perancis dan kaum Zionis di Perancis.

Parti borjuis kecil

Apabila tuan pembaca telah memahami asas-asas politik dan ekonomi diatas maka saya akan membawa pembaca untuk memahami apa makna dan tanda perebutan puncuk pimpinan PAS yang sedang berjalan hebat sekarang. Perlawanan hebat yang saya maksudkan ialah perebutan kerusi Timbalan Presiden PAS di antara Mohamad Sabu dengan Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Untuk saya pertandingan ini adalah perebutan kuasa. Perebutan kuasa ini ialah perjuangan kelas. Kalau kita kaji dari segi politikal ekonomi, dalam istilah politik moden parti PAS ialah parti yang mewakili kepentingan borjuis kecil Melayu. Parti yang mewakili kepentingan borjuis besar dan borjuis nasional ialah United Malay National Organisation. Justeru saya berani berkata di sini bahawa tidak mungkin Daim, Ananda, Vincent Tan atau Syed Mokhtar menjadi ahli PAS. Parti PAS tidak akan memperluaskan kepentingan ekonomi mereka.

PAS mewakili guru-guru Melayu, tok peraih, penjaja, tuan empunya warung, kontraktor kelas bawah, peneroka, nelayan, termasuk juga askar dan polis pencen. Golongan ini merasa kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka dapat dipertahankan oleh parti PAS.

Kalau PAS ini parti bojuis kecil Melayu, bagaimana pula dengan ulama dalam PAS? Biar saya terangkan di sini bahawa dari segi ekonomi para alim ulama juga memiliki kelas. Dari segi pensejarahan, penubuhan parti politik di Malaysia kita akan dapat memahami bahawa alim ulama dalam PAS ini tergolongn kepada borjuis kecil Melayu. Mereka merasa diri mereka akan dipinggirkan oleh United Malays Natioanal Organisation yang amat mesra bersekongkol dengan tauke dari MCA atau bekas penjajah British. Hujah agama ketika keluar dari payung United Malays National Organisation pada ketika itu adalah hujah terbaik untuk mempertahankan kepentingan ekonomi kelas borjuis kecil Melayu.

Justeru hari ini kita akan bertemu dengan ulama yang bekerja dengan United Malay National Organisation. Mereka ini saudagar agama yang kaya dan lumayan. Kerja mereka ialah mencari ayat-ayat dan hadis nabi untuk 'menghalalkan' apa saja dasar dan tindak tanduk United Malay National Organisation.

Dengan ini apakah Mat Sabu dan Nasarudin ini memiliki pandangan politik dan kelas yang sama kerana mereka berdua berpayung dalam parti PAS? Jawabnya tidak. Parti MCA adalah parti tauke tetapi ramai juga buruh yang menjadi ahli ini. Parti MIC ialah parti Chettiar can mandur tetapi ramai kuli estet yang menjadi ahli.

Awas dan waspada. Di dalam kumpulan borjuis kecil ini juga akan terdapat sosok-sosok yang berminat untuk menjadi borjuis besar dan borjuis nasional. Di dalam PKR juga pasti ada yang bermimpi untuk menjadi borjuis nasional. Bermimpi untuk menjadi tuan pemilik kuasa jana elektrik atau pemilik kilang gula dan beras. Ini bukan sesuatu yang mustahil.

Di tahap ini dalam politik negara kita apa yang wajib kita kenali ialah kepentingan kelas apa yang diwakili oleh Mat Sabu. Kepentingan kelas siapa pula yang diteraju oleh Nasharudin. Seperti saya tulis di atas tadi, perjuangan politik ialah perjuangan kelas. Untuk saya mustahil kedua-dua mereka ini mewakili kelas yang sama. Jika mereka dari kepentingan kelas yang sama mustahil mereka akan bertempur.

Nasharudin dikatakan dari jalur ulama. Tetapi dalam analisa politikal ekonomi, istilah ulama ini tidak memiliki apa apa makna. Ini hanyalah 'tagline' untuk menjual produk. Ulama hanya jenama yang dikenali umum. Majoriti ahli PAS adalah manusia warak yang ritual agama Islamnya terjaga rapi. Untuk para ritualis ini, jenama ulama ini cukup memyakinkan. Justeru dengan bijak Nasharuddin telah melabelkan dirinya ulama. Jenama ini amat baik untuk meraih sokongan dalam parti PAS.

Tabur racun

Dalam analisa ini bukan jenama ulama yang kita bincangkan tetapi 'calon ulama' atau yang 'bukan calon ulama' itu mewakili kelas yang mana? Ini soalan yang wajib kita terus bertanya apabila kita membaca politik. Jika kita dapat memecah persoalan kelas maka kita akan dapat memahami pertembungan politik yang sedang berlaku dihadapan mata kita.

Akhbar Utusan Malaysia dianggap suara musuh oleh PAS dan Pakatan. Kebelakangan ini, sebelum muktamar PAS berlangsung, akhbar ini tiba-tiba menyatakan rasa gembira dan senang hati jika 'kumpulan ulama' dalam Pas ini mencapai kemenangan. Malah sekali imbas kita lihat Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) – kumpulan Umno pencen – tiba-tiba berkempen untuk Nasarudin. Jelas suara United Malay National Organisation ini mahu 'tim ulama' menang dan terus berkuasa.

Beberapa tulisan dalam akhbar Utusan semuanya memperlihatkan bahawa United Malays National Organisation merasa takut jika sekiranya Mat Sabu berjaya mengalahkan Nasaruddin dan Tuan Ibrahim. Utusan kelihatan berhempas pulas menabur racun berkempen agar ahli PAS akan mengenepikan Mat Sabu.

Lalu timbul persoalan, kenapa Utusan sibuk mahu Mat Sabu kalah? Jawapan untuk soalan ini ialah kelas. Dalam pemahaman politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas mustadhafin atau kelas tertindas. Dalam bahasa politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas kaum proletar – kaum buruh dan kaum tani – kaum majoriti yang tertindas.

Nasharudin walau pun dalam parti PAS tetapi dilihat memiliki niat dan mimpi untuk menjadi borjuis besar - borjuis nasional. Cita-cita untuk menjadi borjuis nasional ini hanya akan termakbul jika sekiranya PAS dan United Malay National Organisation dapat bersatu dan bekerjasama dalam satu perserikatan yang baru. Penyatuan ini di bawah lambang perpaduan Melayu.

Justeru pertembungan Mat Sabu, Nasarudin dan Tuan Ibrahim ini memiliki implikasi yang amat jauh merentas markas tarbiah PAS di Gombak. Kemenangan Mat Sabu akan membuka satu garis baru dalam PAS. Garis ini ialah garis memperjuangan golongan tertindas. Jangan lupa Mat Sabu ini pernah menimbulkan isu padi kunca di Kedah di mana tuan tuan pemilik tanah sawah yang luas merasa tergugat.

Tuan-tuan tanah ini ada yang menyokong PAS. Lalu mereka merasa marah kerana kain sarong topeng agama mereka telah diselak terbuka oleh Mat Sabu. Manakala Nasarudin tidak memiliki apa-apa budaya politik melawan. Malah Nasarudin ini didakwa sedia bersekongkol dengan United Malay National Organisation. Manakala Tuan Ibrahim mencelah bertanding untuk memastikan garis musthadafin yang dibawa oleh Mat Sabu dikuburkan.

Dari sini amat jelas menunjukkan bahawa kepentingan kelas melintasi kepentingan parti politik. Ini samalah seperti United Malay National Organisation yang melaungkan ketuanan Melayu tetapi akan sedia berkerjasama dengan para cukong dari MCA atau MIC untuk kepentingan kelas mereka.

Pasti ada sosok-sosok dalam Pas yang bersedia berkerjasama dengan United Malays National Organisation untuk memastikan – Insya-Allah – mimpi mereka untuk menjadi borjuis nasional termakbul. Juga memastikan kepentingan ekonomi mereka dipertahankan dan dikembangkan. Jangan pula hairan jika saya katakan hari ini sosok-sosok jenis Nasarudin ini juga ada dalam PKR dan DAP. Cuma ketika ini suasana politik tanah air kita belum memberanikan mereka menunjukkan muka.

Jelas di sini United Malay National Organisation mahu garis Mat Sabu dikalahkan. Tetapi semuanya terpulang kepada ahli PAS sendiri. Mereka yang membuat keputusan untuk memilih di antara dua garis politik ini. Politik kuasa orang kaya di satu pihak dan politik kaum buruh dan kaum tertindas di satu pihak lagi.


Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Husam bergelut dengan dakwaan upah bloger
Jun 3, 11 12:18am

Calon naib presiden PAS Datuk Husam Musa yakin perwakilan tidak terkesan dengan dakwaan beliau mengupah ratusan ribu ringgit kepada penulis blog terkenal Syed Azidi Abdul Aziz untuk berkempen baginya dalam pemilihan parti.

Husam juga mempertikaikan laporan Utusan Malaysia berhubung perkara itu dengan memetik tulisan di beberapa blog - yang digelarnya sebagai "picisan" dan "pencacai Umno".

husam musa pas interview 170507"Ahli-ahli Umno sendiri pun tidak pernah memberikan kepercayaan mereka kepada blog-blog picisan ini," katanya yang yakin dengan didikan Islam yang dilalui anggota dan perwakilan PAS.

Utusan kelmarin melaporkan keengganan penulis blog Kickdefella mengulas dakwaan di blog bahawa beliau menerima bayaran RM300,000 untuk berkempen bagi pihak Husam.

Bagaimanapun, akhbar sama semalam melaporkan Syed Aziz mengakui menerima wang RM350,000 dari Husam, tetapi bukan bagi tujuan itu.

Beliau juga dilaporkan berkata tidak bertemu lagi dengan Husam sejak tahun 2009 dan hanya berbual di telefon dan bertukar SMS sahaja.

Syed Azidi sedia ke mahkamah

Dalam kenyataan hari ini, Husam berkata beliau hairan kenapa laporan itu dikeluarkan pada hari terakhir sebelum pemilihan PAS di mana beliau bertanding.

syed azidi syed abdul aziz kickdefella police pc 171008 04"Adakah kerana beliau tahu bahawa dakwaan palsu beliau akan berhadapan dengan tindakan undang-undang dan bagi mengelakkan tindakan seperti itu ia dibangkitkan pada saat akhir seperti ini?" soalnya.

Beliau menafikan mempunyai wang sebanyak itu atau ada berbual melalui telefon dengan Syed Azidi kebelakangan ini.

Sementara itu, Syed Azizi pula memberitahu Malaysiakini, beliau dengan rendah diri dan insaf meminta Husam mengambil tindakan undang-undang terhadapnya sekiranya kenyataan yang dikeluarkannya tidak benar.

"Saya juga bersedia memohon maaf secara terbuka sekiranya apa yang saya katakan tidak benar," katanya.

Pada pemilihan PAS kali ini, Husam bertanding merebut jawatan naib presiden bersama-sama lima calon lain iaitu Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Datuk Mohd Amar Abdullah, Idris Ahmad dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.


Ulama ditegur duduk di masjid saja
Abdul Rahim Sabri
Jun 2, 11
11:48pm

Perwakilan Dewan Ulama PAS dari Kelantan menegur perwakilan ulama yang lain agar lebih ke depan dalam masyarakat dan tidak hanya melakukan kerja "berpada-pada" antaranya sekadar duduk di masjid sahaja.

Sedangkan Mansor Daud, beliau menggesa ulama agar mencontohi ulama terdahulu dan guru pondok dahulu yang terlibat secara langsung dalam masyarakat.

"Mereka mempunyai kedudukan tinggi (dalam masyarakat), mereka ada kehebatan, bukan sahaja dihormati tetapi juga digeruni. Kalau berpada-pada sekadar di masjid, kita tidak menuju ke hadapan.

"Ulama mesti terlibat dalam pilihan raya, bukan sahaja sebagai ketua urusan ulama. Ulama mesti menjadi pengarah pilihan raya, mesti mengetahui unit-unit dalam jentera pilihan raya," katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya ulama mengetuai rombongan membuat aduan kepada pihak bertanggngjawab sekiranya wujudnya pengundi hantu.

"Rasa-rasanya jika ulama mengetuainya, hantu pun takut kepada ulama... Jadi ulama kena 'sengoti'(bersungguh-sungguh)," katanya sewaktu membahaskan usul peranan ulama dalam pilihan raya umum ke-13.

Tumpang jentera orang lain

Sementara itu, perwakilan Pulau Pinang turut mencadangkan jawatankuasa penerangan supaya menyediakan isu, tema atau tajuk isu semasa yang boleh digunakan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Mereka boleh memuatkan isu-isu, ayat, tema yang boleh dimanfaatkan daripada laman web (untuk digunakan) di seluruh negara dan jentera penerangan lain di seluruh negera," katanya membahaskan usul itu.

Perwakilan Pulau Pinang juga turut menggesakan kepada pewakilan ulama yang lain memainkan peranan penting untuk memanaskan jentera pilihan raya dewan tersebut.

Menurutnya, memandangkan paluan gendang pilihan raya semakin kuat, tetapi masih terdapat di kalangan jentara yang "masih tidur".

Menjawab persoalan tersebut, pengarah pilihan raya sayap itu Datuk Hussin Awang berkata beliau mencadangkan supaya mewujudkan jentera pilihanraya ulama sehingga ke peringkat Majlis Tindakan DUN (MTD) atau Unit Peti Undi (UPU).

Katanya penubuhan tersebut terpulang kepada kawasan PAS berdasarkan kepada kemampuan dan keadaan di kawasan masing-masing.

"Sehingga hari ini, saya tidak dapat pastikan apakah jentera pilihan raya wujud atau MTD masing-masing. Pada pengamatan saya dalam beberapa pilihan raya kecil, secara tidak langsung organisasi ini masing belum wujud di peringkat MTD atau masih belum tersusun.

"Jika tidak mula daripada sekarang, hanya bergerak sebagai identiti ulama, maka ulama hanya menumpang kepada jentera orang lain," katanya dalam menyampaikan ucapan penggulungan usul tersebut.

Nik Abduh Timbalan Ketua Pemuda PAS
Harakahdaily
SHAH ALAM, 2 Jun: Nik Abduh Nik Abdul Aziz dipilih menjadi timbalan ketua Dewan Pemuda PAS selepas beliau mengalahkan tiga lagi calon untuk jawatan itu.

Naib ketua pula dimenangi oleh Raja Al Hiss Raja Yaakob, iaitu bekas Setiausaha Politik Datuk Mahfuz Omar ketika beliau menjadi Ketua Pemuda PAS sebelum ini.

Yang menarik juga, 13 dari 17 pemimpin Pemuda PAS yang terpilih sessi ini adalah berpendidikan agama.

Berikut adalah senarai Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat untuk Sesi 2011/2013:

Pengerusi Tetap: Ustaz Misbahul Munir Haji Masduki

Timbalan Pengerusi Tetap: Ustaz Kamal Ashaari

Ketua: Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

Timbalan Ketua: Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz

Naib Ketua: Raja Al Hiss Raja Yaakob

Ahli Jawatankuasa:
1) Ustaz Riduan Mohd Noor
2) Khairul Faizi Ahmad Kamil
3) Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah
4) Adram Musa
5) Ustaz Kamaruzzaman Mohamad
6) Ustaz Ahmad Fadley Shaari
7) Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi
8) Ustaz Nazri Chik
9) Ustaz Yusni Mat Piah
10) Mohd Sany Hamzan
11) Ustaz Syed Abdul Qadir Al Jufri
12) Ustaz Mohd Noor Hamzah


Usah obses dengan PRU13
Ahmad Lutfi
Muktamar tahunan PAS kali ke-57 mendapat perhatian istimewa. Walapun sorotan media lebih tertumpu kepada proses pemilihan parti, khususnya membabitkan jawatan timbalan presiden yang sukar diramal keputusannya, namun rakyat dilihat mengharapkan ia bakal menjadi medan perbahasan yang berkesan terhadap isu-isu kritikal yang melanda negara.

Selain mempertemukan petugas parti pelbagai peringkat dari seluruh negara, dalam satu perhimpunan tahunan terbesar, yang menjanjikan pengukuhan persaudaraan dan jalinan ukhuwwah yang mantap, saling bertukar maklumat dan penyegaran idea baru, muktamar juga bakal menyaksikan satu persidangan menarik mengupas pelbagai persoalan penting menjelang pilihan raya umum ke-13.

Meskipun banyak pihak beranggapan tarikh PRU13 mungkin tidak seawal yang dijangkakan, terutama selepas kenaikan tarif elektrik dan dipercayai disusuli kenaikan harga bahan api, muktamar yang bermula 3 Jun ini masih dianggap sebagai muktamar terakhir sebelum Parlimen dibubarkan. Justeru, perbincangan mengenai persiapan pilihan raya tetap menjadi agenda terpenting dan diharap setiap pembahas melakukan homework terlebih dahulu.

Pada hemat saya, isu-isu yang bakal mendominasi perbahasan mungkin berkisar di sekitar pendekatan terbaik PAS untuk mendekati dan menarik sokongan pengundi Melayu terutama di kampung-kampung tradisi (termasuk kawasan Felda) di luar kubu kuat oposisi, menangani komplot jahat SPR-BN-JPN khususnya menyekat manipulasi senarai daftar pemilih, prestasi kerajaan negeri Pakatan Rakyat (juga wakil-wakil rakyatnya), juga memantapkan posisi PAS dalam persefahaman politik bersama KeADILan dan DAP.

Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Sufian menekankan, PAS kini menghadapi situasi yang agak mencabar untuk mengembalikan sokongan dan undi Melayu-Islam sebagai alternatif kepada Umno. Selain itu, program "PAS Ganti Umno" juga dikatakan masih jauh daripada matlamat yang digariskan. Propaganda dan sentimen perkauman yang ditiupkan media Umno tidak boleh diremehkan.

Rakyat terutama di negeri yang diperintah Pakatan sentiasa memerhati dan membuat perbandingan dengan kerajaan terdahulu. Namun begitu, kegagalan PAS mempertahankan Terengganu, hanya selepas sepenggal memerintah perlu direnung kembali. Semasa menyalahkan taktik kotor Umno-BN yang gagal dihidu pada peringkat awal, kesilapan membaca persepsi pengundi juga tidak boleh dipandang ringan. Begitu juga dengan sikap tidak peduli Adun atau Ahli Parlimen terhadap masalah kehidupan rakyat. Semuanya mengundang padah.

"Saya bimbang dengan keghairahan Pakatan untuk menguasai kerajaan persekutuan sehingga mengabaikan usaha mengekalkan kemenangan di negeri sedia ada. PRU13, iaitu selepas penggal pertama Pakatan memerintah Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, adalah masa paling sesuai untuk BN merebut balik. Apabila sudah berakar macam di Kelantan, sehinga Umno sudah lima kali gagal untuk merampas negeri itu memang sukar sekali untuk merampasnya semula," kata seorang pensyarah sains politik.

Pengalaman Kelantan wajar ditelaah penggerak parti dan strategis pilihan raya PAS yang lain. Seperti rumusan Prof Dr Mohammad Redzuan Othman yang berkampung semasa kempen PRU13 di negeri itu: "Kemenangan cemerlang yang dicapai PAS di Kelantan bukan berlaku secara kebetulan tetapi sebaliknya hasil perancangan dan kerja keras yang dilakukan setelah mengalami kejutan apabila hampir kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum 2004." (Rujuk buku Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-12 -- Isu dan Pola Pengundian; Penerbitan Universiti Malaya, 2011).

Muktamar juga harus memberikan fokus kepada kompleksiti anak muda, dengan tidak menganggap mudah bahawa kecenderungan mengundi mereka tetap bersama Pakatan dalam PRU13. Begitu juga dengan golongan wanita. Justeru, sayap terpenting parti, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat, mempunyai tanggungjawab besar untuk memikat hati dan pemikiran mereka, dan memastikan parti secara keseluruhannya memang bersifat mesra dengan dua kelompok besar ini.

Bagaimanapun, saya lebih mengharapkan muktamar kali ini dapat mempamerkan kepada masyarakat umum bahawa PAS begitu peduli dan prihatin dengan denyut nadi kehidupan rakyat yang makin terhimpit ini. Kalau Umno menganjurkan siri himpunan Juara Rakyat di seluruh negara, maka PAS secara lebih jujur dan tulus perlu mengangkat problem rakyat secara tuntas dalam perbahasan di muktamar.

Saya tidak risau keupayaan perwakilan untuk membincangkan persoalan PRU13 dengan baik, sistematik dan menyeluruh. Cuma, saya lebih berpuas hati jika isu-isu rakyat (yang tidak terlalu "politikal" sifatnya, terutama yang melanda masyarakat Melayu-Islam, mencakupi pelbagai bidang, dapat diungkapkan dengan bernas dan penuh meyakinkan. Biar rakyat dapat melihat betapa seriusnya muktamar PAS mencari jalan keluar terhadap segala macam masalah yang menghimpit rakyat.

Perdebatan tentang strategi dan pendekatan PRU13 mungkin boleh dilanjutkan dalam program-program dalaman lainnya, tetapi isu-isu kritikal rakyat yang perlu langkah reformatif yang urgent harus mendominasi sidang perbahasan dalam muktamar kali ini. Media alternatif, termasuk di internet, seharusnya lebih memberikan keutamaan melaporkan isu-isu seumpama itu, berbanding hal-hal sensasi yang hanya menarik minat "pencandu" politik sahaja.


Bodohnya nak sedekah kepada Syed Azidi - Husam
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Jun: AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa (gambar) menafikan beliau memberikan duit sebanyak RM350,000 kepada seorang blogger, Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi.

"Adalah bodoh untuk saya mensedekahkan wang sebesar itu kepada orang seperti beliau sedangkan saya sendiri tidak pernah mempunyai wang sebanyak itu sepanjang hayat," kata Husam dalam kenyuataannya kepada Harakdaily.

Husam mengulas kenyataan Syed Azidi yang disiarkan Utusan Online yang mengaku menerima wang sebanyak itu dari wakil Husam di China.

Kenyataan itu ekoran dakwaan para blogger Umno kononnya Husam memberikan duit sebanyak itu kepada Syed Azidi untuk membantu kempen beliau menjelang muktamar ini.

Selain isu memberi wang kepada Syed Azidi, hampir semua blogger Umno menyerang Husam menjelang pemilihan kali ini.

Husam bertanding naib presiden PAS dan baru pulang dari India dan China untuk urusan kerajaan negeri Kelantan.

Berikut kenyataan penuh Husam:.

"Saya merujuk kepada kenyataan Syed Azidi yang disiarkan Utusan online dan dijangka akan disiarkan edisi cetak Utusan besok.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan kehairanan saya terhadap minat Utusan yang terlalu nyata untuk mencampuri pemilihan PAS sejak 2008 yang lalu.

"Mengenai dakwaan Syed Azidi, saya merasa hairan dakwaan ini dikeluarkan pada hari terakhir sebelum pemilihan PAS esok hari di mana saya ikut bertanding.

"Adakah kerana beliau tahu bahawa dakwaan palsu beliau akan berhadapan dengan tindakan undang-undang dan bagi mengelakkan tindakan seperti itu, ia dibangkitkan pada saat akhir seperti ini.
"Sampai hari ini saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun saya dan adalah bodoh untuk saya mensedekahkan wang sebesar itu kepada orang seperti beliau sedangkan saya sendiri tidak pernah mempunyai wang sebanyak itu sepanjang hayat.

"Mengnenai kononnya saya ada berbual melalui talipon dengan beliau kebelakangan ini, juga adalah palsu. Rekod talipon saya dan beliau boleh disemak.

"Namun saya akui beliau ada menghantar beberapa mesej seminggu dua yang lalu memaklumkan beliau menulis mengenai kenaikan harga minyak dan saya membalasnya sekali dengan berkata tahniah.

"Syed Azidi telah beberapa kali menimbulkan sensasi tetapi setiap kali sensasi itu berlalu, kredibiliti beliau semakin pudar."



Pemilihan Muslimat: Giliran tugas adik beradik
Salhan K Ahmad
Jun 2, 11
10:07pm

Ahli parlimen Rantau Pajang, Siti Zailah Mohd Yusof hari ini dipilih sebagai ketua muslimat PAS, manakala ahli parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dipilih sebagai timbalan ketua sayap itu.

Siti Zailah yang meraih 358 undi menewaskan pencabarnya Nuridah Mohd Salleh, menurut keputusan yang diumumkan oleh anggota jawatankuasa pemilihan PAS, Datuk Wan Mutalib Embong.

Siti Mariah yang meraih 437 undi pula menewaskan pencabarnya Wan Hasrina Wan Hassan, menurut keputusan yang diumumkan pada kira-kria jam 7.30 malam itu.

Jawatan naib ketua pula dimenangi Mumtaz Mohd Nawi dengan 377 undi, menewaskan tiga pencabar – Mastura Mohamad, Najhatussolehah Ahmad dan juga Normala Sudirman.

Seramai dua belas orang anggota jawatankuasa muslimat yang dipilih pula termasuk anak bekas veteran PAS, exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali dan juga esco negeri Kelantan, Wan Obaidah Wan Omar.

Turut dipilih ialah Aida @ Nurul Huda Yusof Rawa, Aiman Athirah Al-Jundi, Dr Asiah Ali, Azizah Khatib Mat, Kartini Ahmad dan Mastura Mohamad.

Lima lagi yang dipilih ialah Dr Najihatussolehan Ahmad, Normala Sudirman, Rohani Ibrahim, Dr Rosni Adam.

Keputusan diumumkan oleh Datuk Wan Mutalib Embong daripada jawatankuasa pemilihan.

Dalam ucapannya selepas pengumuman keputusan berkenaan, Siti Zailah berkata keputusan hari ini menunjukkan bahawa muslimat PAS tidak ketandusan pemimpin untuk mencapai perubahan.

“Saya harapkan dalam gagasan saya, untuk pimpinan kita sama-sama bersama saf kita untuk perkasakan lagi wanita Pakatan Rakyat, di semua peringkat untuk bina golongan pelapis untuk sambung perjuangan.

“Insya-Allah, kita sama-sama bangkit untuk jatuhkan Umno dan BN,” kata ahli parlimen Rantau Panjang itu lagi.

Siti Zailah turut mengambil peluang berkenana untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada barisan kepemimpinan baru dan juga para perwakilan yang menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Beliau yang mengakui masih terkejut dengan keputusan itu juga berkata, apa yang berlaku hari ini hanyalah giliran tugas antara adik beradik dalam muslimat PAS.

“Sekiranya saya terlupa ingatkan saya. Saya ingatkan kepada ahli di kawasan dan DUN, jika ada kesalahan, tegurlah kami. Kami terbuka untuk terima tunjuk ajar,” katanya lagi.


Tiada ulasan: