Mengapa Utusan Malaysia dan akhbar arus perdana begitu takut dengan keputusan pemilihan perwakilan muktamar PAS ke-57? Apakah perubahan besar yang mereka jangka akan berlaku berikutan keputusan ini?
Benarkah dalam muktamar PAS kali ini golongan ulama tewas? Tepatkah bacaan dan tafsiran yang dibuat oleh media arus perdana yang memang selama ini tidak pernah bersimpati kepada PAS dan kerabat Pakatan Rakyat itu?
Yang jelas, tafsiran dan analisis media arus perdana yang diketuai oleh Utusan Malaysia ini memang salah! Mungkin kesalahan ini berlaku kerana kejahilan atau niat sengaja untuk mencari-cari kelemahan dalam PAS dan Pakatan Rakyat.
Hakikatnya ialah, PAS memang sebuah parti yang bergerak berteraskan ajaran Islam. Maka setiap ahlinya secara langsung atau tidak harus melalui proses tarbiyah untuk bukan sahaja mengenali erti halal haram tetapi bagaimana menentukan keadilan kepada semua dalam tata-kelola negara dan masyarakat.
Sebab itu, apabila Utusan dan Berita Harian membuat laporan kekalahan ulama dalam muktamar kali ini, ia menggambarkan kebebalan mereka memahami sejarah, ideologi perjuangan dan juga konsep politik yang diperjuangkan parti itu.
Menurut Datuk Husam Musa, seorang yang digelar profesional dan dikatakan condong kepada pemikiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap pemimpin profesional yang dipilih menerajui PAS kali ini adalah anak didik ulama PAS sendiri.
Oleh itu, tidak timbul soal ulama kalah dalam pemilihan kali ini. Sebaliknya, ulama yang menang. Pentarbiyahan ulama PAS sudah menampakkan hasilnya. Anak-anak muda yang dilatih dengan sejarah perjuangan PAS dan memiliki ijazah profesional kini menggalas tanggungjawab menjadikan PAS parti lebih dinamis dalam iklim politik Malaysia.
Lantas apa yang dapat disimpulkan daripada laporan media arus perdana akan pemikiran pemimpin Umno, ahli-politik yang tercicir dalam sayembara siasah Malaysia dan media pencacai mereka ialah cemas, kalut dan sedih.
Nada cemas dan membuahkan reaksi kalut ini dapat diukur di segi betapa bercelarunya komen yang dikutip oleh akhbar-akhbar pro-Umno ini. Ada di kalangan pemimpin UImno yang meratapi anjakan yang dibuat oleh PAS kerana dikatakan tidak lagi memperjuangkan konsep negara Islam dan memilih moto negara berkebajikan.
Jika benar mereka ikhlas dalam memberi komen, maka kini barulah kita tahu bahawa mereka selama ini adalah pengkagum PAS yang mahu menegakkan negara Islam. Dan, kini mereka amat bersedih kerana PAS beranjak mahu negara berkebajikan. Salah seorang dari mereka dari golongan ini adalah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Rupa-rupanya Utusan dan pemimpin Umno berkenaan cuba belajar dari sejarah. Melihat kejayaan pejuang Islam mengambil alih pemerintahan Turki dari golongan sekular seperti Umno di Malaysia, mereka cuba melekatkan persepsi bahawa golongan ini di bawah payung pemikiran Anwar Ibrahim mahu mengambil alih pemerintahan negara daripada Umno yang sekular.
Mereka namakan golongan ini sebagai kumpulan Erdogan, sempena nama pemimpin gerakan Islam Turki hari ini.
Baiknya sudut pandangan ini ialah, Utusan dan pemimpin Umno berkenaan mengaku bahawa golongan sekular memang boleh ditundukkan seperti yang berlaku di Turki dan dalam iklim politik Malaysia yang sekular ialah Umno.
Cuma cop kumpulan Erdogan ini digunakan untuk menakut-nakutkan orang Melayu yang belum celik perubahan sejarah, betapa Umno yang sekular akan tersungkur dalam pilihan raya umum akan datang.
Ada juga yang tiba-tiba menafsirkan pemilihan itu sebagai kejayaan DAP menyempurnakan penguasaannya terhadap parti berteraskan perjuangan Islam dan Melayu itu. Seorang yang mempunyai pemikiran liar begitu ialah, janda politik, Zulkifli Noordin yang menjadi wakil rakyat tetapi tidak mempunyai parti selepas diceraikan oleh Parti Keadilan Rakyat.
Entah ilmu mantik apa yang digunakannya, kesimpulan beliau bahawa DAP kini sudah menguasai PAS ternyata ucapan seorang yang “meroyan”. PAS dengan DAP kini merintis jalan mencari lebih banyak titik persamaan – menumbangkan Umno-BN – dan tidak timbul soal siapa menguasai siapa. Namun tidak sukar difahami pemikiran Zulkifli yang sempit kerana telah terlalu lama hidup bersendirian sebagai seorang “janda politik”.
Mungkin dengan bercakap betapa PAS terlepas peluang pimpinan ulama, Zulkifli berharap ada ulama yang menaruh belas kasihan dan melamarnya untuk masuk PAS seperti Ibrahim Ali yang tidak berparti tetapi diambil PAS untuk menjadi anak angkat dan disokong bertanding pilihanraya umum ke-12 lalu. Namun bila golongan profesional memimpin PAS, peluang ini tertutup sama sekali. Kasihan Zulkifli si-janda politik.
Apa jua logik yang digunakan untuk menafsirkan pemilihan lebih ramai profesional dalam barisan pimpinan PAS itu, ternyata dibuat dari lubuk hati yang cemas dan menghasilkan komen yang kalut dan dangkal.
Pengkagum Umno, Syed Azidi Abdul Aziz yang menggunakan nama samaran Kickdefella dalam blognya, menyatakan bahawa bagi rakyat Malaysia beragama Islam, pertembungan PAS dan Umno pada masa hadapan bukan lagi untuk memilih syurga dan neraka di akhirat, tetapi syurga dan neraka di dunia mereka.
Jelas betapa sempitnya kefahaman Islam Kickdefella ini. Mungkin beliau tidak faham bahawa kebaikan dan keadilan yang dilaksanakan di dunia ini akan menentukan ganjaran apa yang diterima di akhirat. Sebab itu PAS mahu menegakkan negara berkebajikan untuk kebaikan umat di dunia demi mendapat ganjaran syurga di akhirat!
Sukar hendak pastikan pandangan insan sebegini sama ada ia bebal, jahil atau semata-mata kerana pintu hati sudah tertutup daripada mengenali kebenaran.
Pandangan yang meragu-ragukan seumpama ini dikutip oleh Utusan daripada Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya. Beliau dilaporkan sebagai mencabar PAS supaya segera menjelaskan pengertian negara berkebajikan dan tidak meninggalkan rakyat tertanya-tanya apakah pengertian negara Islam yang sebelum ini hendak diperjuangkan oleh PAS.
Jika benar itu yang dikatakan oleh Dr Juanda, maka ternyata beliau pun tidak jauh daripada kelompok Kickdefella. Cuma jika benar Dr Juanda berkata demikian, maka dia sendiri seharusnya tahu apa hukumnya iaitu, tugas seorang mufti seharusnya turut mengimarahkan konsep negara berkebajikan ke cuping telinga pemimpin-pemimpin Umno beragama Islam dan bukan cuba menanam kesangsian di kalangan rakyat mengenai konsep negara berkebajikan itu.
Namun Awang Selamat, jaguh Utusan, seperti biasa cuba melontarkan sudut pandang yang negatif terhadap sesiapa sahaja yang cuba mencabar Umno. Kini apabila PAS melangkah untuk membuktikan dinamisme politiknya, Utusan meratapi kekurangan bilangan kepemimpinan ulama dalam PAS.
Memang sikap hipokrit. Ini kerana apabila PAS dipimpin ulama, mudah bagi Utusan menggambarkan betapa ulama tidak arifnya kepemimpinan PAS dalam banyak hal tatakelola kerajaan dan isu antarabangsa.
Ini memang alur pemikiran umno. Jika rakyat terus dibebalkan dengan hiburan dan kemunduran ekonomi, ia beranggapan bahawa rakyat, khususnya melayu, akan terus bergantung harap kepada Umno untuk memelihara dan memperjuangkan nasib dan masa depan ekonomi mereka.
Maka Utusan dan media pro-Umno menggunakan logik ini dalam menafsirkan apa yang berlaku dalam PAS. Ternyata andaian atau gagasan pemikiran ini salah, zalim. Malah ia satu penghinaan terhadap dayafikir orang Melayu-Islam yang membuat dalam keputusan memilih barisan pimpinan baru PAS.
Sebenarnya, apa yang ditakuti ialah golongan profesional Islam ini akan berhasil meneraju PAS diterima setiap lapisan rakyat Malaysia dan menggantikan Umno!
Nazri Abdullah |
KUALA LUMPUR, 5 Jun: Biarpun PAS diserang hebat oleh media sebelum dan selepas keputusan pemilihan semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetap mengucapkan tahniah kepada perwakilan dan pemimpin yang telah dipilih. TAKWA DAN PERPADUAN ASAS KESELAMATAN DI AKHIR ZAMAN H.R. ABU DAUD DAN TIRMIZI Daripada Abi Najih 'Irbadh bin Sariyah ra. berkata : "Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata : Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami. Lalu baginda pun bersabda : "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umur nya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnah ku dan sunnah para Khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-Khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat". Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga dari pada Rasulullah saw bagi umatnya, terutama bila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan iaitu zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw dalam hadis ini iaitulah : - 1. Hendaklah ia melazimi takwa kepada Allah dalam apa juga keadaan pun dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya. 2. Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan Al-Quran dan sunnah Nabi saw dan sunnah-sunnah khulafa ArRasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada Al Quran dan Hadis Nabi saw. 3. Berpegang teguh kepada sunnah Nabi saw dan sunnah para khulafa ArRasyidin Al Mahdiyin (Abu Bakar, Omar, Osman dan Ali ra) yang mana mereka telah mendapat pertunjuk daripada Allah Taala, iaitulah berpegang kepada fahaman dan amalanm ahli sunnah wal jamaah yang mana hanya penganut fahaman ini sahaja yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan yang bertuah mendapatkan syurga pada hari kiamat nanti. InsyaAllah... 4. Menjauhi perkara-perkara atau apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama. KENAPA DUNIA ISLAM MENJADI SASARAN PEMUSNAHAN? H.R. BUKHARI MUSLIM Daripada Ummul Mu'minin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah saw), beliau berkata :" (pada suatu hari) Rasulullah saw masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya'juj dan Ma'juj seperti ini", dan Baginda menemukan ujung ibu jari dan hujung jari sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya :"Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?" Lalu Nabi saw bersabda :"Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak". Hadis di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing pada hari qiamat akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan. Oleh itu, segala macam kemungkaran dan kafasiqan hendaklah segera dibasmi dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi melapetaka yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi ianya menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu. Dalam hadis di atas, walaupun disebutkan secara khusus tentang bangsa Arab tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi kita saw, sendiri dari kalangan mereka, dan yang menerima Islam pada masa permulaan penyebarannya adalah kebanyakannya dari kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali dari bangsa yang lain. Begitu pula halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju-mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Selain daripada itu, bahasa rasmi Islam adalah bahasa Arab. Kemudian Ya'juj dan Ma'juj pula adalah dua bangsa (dari keturunan Nabi Adam as) yang dahulunya banyak membuat kerosakan di permukaan bumi ini, lalu batas daerah dan kediaman mereka ditutup oleh Zul Qarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga, maka dengan itu mereka tidak dapat keluar, sehinggalah hampir tibanya hari qiamat. Maka pada masa itu dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah kedua-dua bangsa itu dari kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan di permukaan bumi ini. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari qiamat sudah dekat sekali tibanya. ILMU AGAMA AKAN BERANSUR-ANSUR HILANG H.R. MUSLIM Daripada Abdullah bin Amr bin ash' ra berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :" Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim-ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai peminpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain." Sekarang ini alim-ulama sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa Melayu mengatakan "patah tumbuh hilang berganti", peribahasa itu tidak tepat berlaku kepada alim-ulama. Mereka patah sayap payah tumbuh dan hilang payah berganti. Sampailah suatu masa nanti permukaan bumi ini akan kosong dari ulama. Maka pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup. Sebenarnya alim-ulama lah yang memberikan makna dan erti pada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. maka apabila telah pupus alim ulama, hilanglah segala sesuatu yang bernilai. Di akhir-akhir ini kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW tadi. Dimana bilangan ulama-ulama hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkan pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia. Inilah realiti masyarakat kita di hari ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya. UMAT ISLAM MENGIKUTI LANGKAH-LANGKAH YAHUDI DAN NASRANI H.R. MUSLIM Daripada Abu Said Al-Kudri ra berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :" Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya, " "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?" Nabi SAW menjawab, " Siapa lagi kalau bukan mereka". Umat Islam yang mengikut jejak langkah apapun "cara hidup" orang-orang Yahudi dan Nasrani, hinggalah dalam urusan orang kecil dan perkara-perkara yang tidak munasabah. Contohnya, jikalau orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikut mereka. Zaman sekarang ini kita dapat melihat kenyataan sabdaan Rasulullah SAW ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mere hanya meniru "cara hidup" Yahudi dan Nasrani samada mereka sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani dan ramai pula orang yang menjadi alat dan tali barut mereka. PENYAKIT UMAT-UMAT DAHULU H.R.HAKIM Daripada Abu Hurairah ra katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :"Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi SAW menjawab, " Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok (2) terlalu mewah (3) menghimpun harta sebanyak mungkin (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia (5) saling memarahi (6) hasud menghasud sehingga zalim menzalim". Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tadi telah banyak kita lihat di kalangan kaum Muslimin di hari ini. Disana sini kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam di landa krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan menimbun harta benda sebanyak-banyak nya untuk memuaskan hawa nafsu. Maka apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak dan yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasud-menghasud dan sebagainya. Marilah kita merenung maksud hadis ini, dan marilah kita bermuhasabah!!!!! |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan