Selasa, 10 September 2013

YANG PENTING SOLAT...JANGAN ADA IJAZAH KEATAS MEMANG BIJAK KOD....TAPI SIA2 KALAU TAK SOLAT...BEGITU JUGA YANG LAIN...YANG TAK SOLAT

Ranking universiti utama negara merosot

Rafizi Ramli, 10 Sep 2013
Kedudukan 800 universiti teratas di seluruh dunia bagi tahun 2013 yang dilaporkan oleh QS World University Rankings sewajarnya menjadi isu utama negara mutakhir ini, selain dari isu kenaikan harga minyak kerana kedua-duanya mempunyai kesan besar kepada kebajikan rakyat.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa enam dari tujuh universiti awam negara yang tersenarai di dalam 800 universiti teratas telah mengalami kemorosotan seperti berikut:
Hanya UTM yang menokok sedikit kedudukannya dari tangga 358 (2012) kepada 355 (2013).

Kedudukan ini dibuat berdasarkan kriteria-kriteria berikut:

1.      Reputasi pencapaian akademik (40%)

2.      Kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan (10%)

3.      Nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti (20%)

4.      Rujukan penyelidikan (citation) mengikut fakulti (20%)

5.      Keantarabangsaan pelajar (5%)

6.      Keantarabangsaan tenaga pengajar fakulti (5%)

Ramai pimpinan Barisan Nasional yang masih berdolak dalih dan tidak mahu menerima hakikat bahawa persoalan mutu pendidikan tinggi dan kedudukan universiti awam negara adalah isu utama yang membawa kesan besar kepada rakyat.

Kedudukan universiti awam negara yang tidak berdayasaing menyukarkan graduan mendapat kerja yang baik dengan gaji yang berpatutan. Malah, masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya di kalangan graduan Melayu/Bumiputra banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang saban tahun disahkan oleh kedudukan universiti awam negara.

Oleh sebab itu, hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.

Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya univesiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China.

Ramai yang tidak tahu bahawa NUS mempunyai sejarah yang sama dengan Universiti Malaya kerana kedua-duanya diwujudkan sebagai University of Malaya di Singapura dalam tahun 1949 mengikut saranan Suruhanjaya Carr- Saunders. Pada tahun 1959, University of Malaya mempunyai dua kampus yang berasingan iaitu kampus asal di Singapura dan kampus baru di Kuala Lumpur. Pada tahun 1962, kedua-dua kampus ini berpisah menjadi dua universiti berasingan iaitu Universiti Malaya (di Kuala Lumpur) dan NUS (di Singapura).

Selepas 50 tahun, walaupun bermula dari titik yang sama, Universiti Malaya tidak pun berada di dalam kedudukan 100 teratas di dunia sedangkan NUS menjadi universiti terbaik di Asia.

Ini adalah hakikat yang perlu ditangani secara terbuka tanpa prejudis politik atau perkauman kerana mutu dan kedudukan universiti awam negara mempengaruhi taraf hidup rakyat dan daya saing negara seluruhnya.

Oleh yang demikian, saya menyarankan supaya perkara-perkara demikian dibahaskan secara terbuka dan reformasi pendidikan tinggi dijalankan secara segera seperti berikut:

1.      Kembalikan kebebasan akademik kepada universiti-universiti awam dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campur tangan kementerian dan kerajaan

2.      Pemilihan kepimpinan universiti awam mengikut merit berdasarkan kredibiliti akademik, pengalaman mengurus universiti ternama, integriti peribadi yang bebas dari pandangan partisan dan ciri-ciri lain yang ada  pada kepimpinan universiti ternama dunia

3.      Kembalikan kebebasan minda yang sepenuhnya kepada siswazah dan gerakan mahasiswa dengan menghentikan serta merta sebarang aktiviti atau program yang mengongkong perkembangan minda bebas siswazah, termasuklah program propaganda politik yang dianjurkan oleh BTN dan badan-badan yang serupa dengannya

4.      Menilai semula sistem pemberian biasiswa yang menekankan penghantaran pelajar terbaik ke universiti-universiti luar negara dan beralih kepada sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada mereka di universiti-universiti terbaik Malaysia, dan

5.      Program khusus memperkasakan kredibiliti akademik fakulti di universiti-universiti awam dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia


Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran Universiti Malaya berada di dalam tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.

Saya juga akan membuat kunjungan hormat ke NUS dalam bulan November 2013 untuk mempelajari sendiri langkah-langkah yang dilaksanakan selama ini untuk menjamin kualiti pendidikan di universiti itu.


*Penulis adalah pengarah strategi PKR

MB perinci perancangan ekonomi Kelantan

Aslani M, 10 Sep 2013
KOTA BHARU: Biarpun ada pihak mendakwa kepemimpinan baru kerajaan Kelantan tiada idea, namun tanpa sedar kerajaan negeri telah menapak jauh bagi menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakub berkata, tumpuan diberi bagi menarik pelabur dari Asia Barat dan Asia Timur ke Kelantan.

Katanya, Asia Barat termasuk Oman, Kuwait, dan negara-negara Arab lain, manakala Asia Timur pula China dan Jepun.

“Enam siri pelaburan ke luar negara akan dilaksanakan tahun hadapan. Tiga misi perdagangan akan memberi tumpuan kepada negara di Asia Barat dan tiga lagi ke Asia Timur,” katanya di sini.

Delegasi itu akan diketuai Menteri Besar selaku pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi dan Pelaburan Negeri.

Ahmad juga berkata, tumpuan diberi kepada pelaburan dalam bidang halal hub dan industri berasaskan mineral terutamanya limestone yang belum diusahakan secara industri.

Menurutnya juga tumpuan kerajaan negeri sekarang berusaha bagi mencapai sasaran membina 5,000 rumah mampu milik kepada rakyat berpendapatan rendah.

Katanya, kerjasama agensi kerajaan negeri dan pihak swasta sedang dijalankan.

Baru-baru ini Yayasan Islam Kelantan dengan kerjasama syarikat Hectares dan Acter Sdn Bhd melancar projek bercampur di kawasan seluas 115 ekar di Kok Lanas. Sebanyak 135 unit rumah mampu milik akan dibina.

“Kita yakin boleh capai sasaran 5,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 5 tahun. Program tersebut sebagaimana dijanjikan PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan pada pilihanraya umum lalu,” katanya.

Projek usahasama tersebut membabitkan pembinaan 653 unit kediaman. Menteri Besar juga berkata, Kelantan juga sedang menyediakan Dasar Pelaburan Negeri.

Kayuhan tunjuk solidariti buat rakyat Mesir

Muhammad Arif Ismail, 10 Sep 2013

GOMBAK: Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (Adun) Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan menyifatkan sambutan menggalakan dalam program kayuhan solidariti untuk rakyat Mesir mengambarkan keprihatinan golongan belia terhadap perjuangan rakyat negara itu.

Menurutnya, program yang dianjurkan Alternatif Cycle Club (ACC) bersama Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam) itu bertujuan menyatakan sokongan terhadap usaha rakyat negara itu mengembalikan lunas demokrasi yang sempurna.

"Ia menyampaikan mesej kepada masyarakat agar sedar bahawa kita juga merasai keperitan, kepahitan yang dialami oleh rakyat Mesir untuk mengembalikan keamanan dan demokrasi," katanya ketika merasmikan majlis tersebut yang diadakan di Dataran Greenwood baru-baru ini disini.

Turut hadir iaitu Pengerusi Ilmam Selangor, Mohd Farhan Madzlan dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Gombak, Syarhan Humaizi Halim.

Seperti juga Alternatif Riding Club (ARC), ACC juga merupakan sebahagian daripada Dewan Pemuda PAS yang bertujuan mengalakkan semua aktiviti itu dikalangan belia negara ini.

Kayuhan basikal sejauh 28 kilometer menerusi laluan lama Gombak ke Bentong, Pahang itu telah disertai oleh 50 peserta daripada pelbagai lapisan usia.

Aktiviti riadah berbasikal itu dilepaskan oleh Hasbullah bermula di Dataran Pasar Malam Greenwood .

Hasbullah turut bersama-sama peserta mengayuh basikal menuju ke destinasi iaitu di Genting Sempah.

Sementara itu, AAC yang diketuai oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak, Syarhan Humaizi Abdul Halim turut menyerahkan sumbangan untuk disampaikan kepada rakyat Mesir menerusi Ilmam sebanyak RM1,000.

TPPA: NGO cadang himpunan sambut Obama

Hazayani Zakaria, 10 Sep 2013

KUALA LUMPUR: Gabungan Membantah TPPA (Bantah) akan mengadakan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) pada 11 Oktober depan sempena kedatangan Presiden Amerika, Barrack Obama.

Menurut jurucakap Bantah, Badrul Hisham Shahrin yang juga Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), himpunan tersebut mesti diadakan walaupun kerajaan mengumumkan  Perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPPA) tidak akan ditandatangani ketika kedatangan Presiden Obama.

Katanya, di sebalik pengumuman kerajaan itu, rakyat tidak sedar proses menandatangani perjanjian TPPA hanyalah satu penangguhan dan akan tetap berlaku setelah pasukan perunding mencapai kata sepakat yang disembunyikan daripada pengetahuan umum.

"Semua rakyat harus disedarkan betapa perjanjian TPPA adalah keganasan ekonomi yang bukan sahaja akan menyebabkan rakyat ditindas oleh konglomerat bertaraf dunia yang bersifat 'samseng antarabangsa' secara terus, malah maruah kedaulatan negara tergadai.

"Oleh sebab itu kita akan tetap mengadakan demonstrasi pada 11 Oktober ini ketika kedatangan Obama bagi menunjukkan bantahan kita terhadap perjanjian TPPA," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala  Lumpur-Selangor (KLSCAH), dekat sini hari ini.

Jelajah Bantah TPPA

Menurut Badrul Hisham juga, bagi memastikan perhimpunan tersebut mendapat penyertaan yang menyeluruh, SAMM bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama Bantah dengan pendokong utamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan mengadakan Jelajah Bantah TPPA bermula 17 September ini.

"Jelajah Bantah TPPA yang berbentuk ceramah umum ini akan merangkumi 13 lokasi di seluruh negara dengan agenda utamanya menggerak mobilisasi untuk demonstrasi di KLCC.

"Jelajah ini akan menampilkan wakil dari parti politik Pakatan Rakyat dan BN selain aktivis Bantah dan wakil MTEM utuk sepentas menerangkan bahana penjajahan TPPA," jelasnya.

Selain itu katanya, Bantah akan mengundang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berada atas satu pentas raksaksa pada malam kemuncak Jelajah Bantah TPPA di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, 10 Oktober.

"Kedua-dua tokoh ini dilihat begitu lantang menggesa kerajaan Malaysia menolak perjanjian TPPA. Dalam masa yang sama, Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar juga saling menuduh masing-masing pro US.

"Maka kita sediakan ruang dan peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk mengenepikan tuduhan, lantas mengenepikan permusuhan politik domestik demi mempertahan kedaulatan negara.

"Rakyat sudah tentu ingin melihat sama ada tokoh-tokoh ini semata-mata ingin pertahan ego politik domestik atau tampil mempertahankan negara dari dijajah ekonominya," katanya lagi sambil menambah surat rasmi akan diserahkan esok kepada kedua-dua tokoh tersebut.

Berikut merupakan jadual Jalajah TPPA dari 17 September hingga 10 Oktober:

17 September: Taman Melati, Wangsa Maju Kuala Lumpur
19 September: Bukit Gedong, Bayan Baru Pulau Pinang
20 September: Dewan Kampung Berjaya, Alor Setar, Kedah
21 September: Dataran Rakyat Dun Indera Kayangan, Kangar, Perlis
24 September: Meru, Ipoh, Perak
26 September: Kompleks Pendidikan ISlam, Badak, Bachok, Kelantan
27 September: Jalan Gong Pasir, Dungun, Terengganu
28 September: Padang Balok Makmur, Kuantan, Pahang
1 Oktober   : Pusat Khidmat Dun Kuala Kurau, Parit Buntar
4 Oktober   : Pusat Komuniti Bakri-Bentayan, Muar, Johor
5 Oktober   : Taman Asean, Bandar Melaka, Melaka
6 Oktober   : Taman Tasek Jay, Senawang, Seremban, Negeri Sembilan
8 Oktober   : Dewan Seri Sekinchan, Selangor
10 Oktober  : Grand Finale, Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Q&A: Solat ba’diyah dan witir selepas jamak

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 10 Sep 2013
Soalan;

Saya mohon pencerahan tentang kemusykilan yang berikut - bolehkan melakukan solat sunat ba'diyah Isyak dan solat sunat witir selepas solat jamak taqdim Maghrib dan Isyak?

Jawapan;

Selepas melakukan solat secara jamak taqdim, kita dibolehkan terus melakukan solat ba’diyah Isyak dan juga solat witir berdasarkan fatwa ulama, antaranya Imam an-Nawawi yang menjelaskan dalam kitabnya Raudhatu at-Talibin; “Bagi jamak Isyak dan Maghrib (secara taqdim), mulai dengan mengerjakan kedua solat fardhu (yakni Maghrib dan diikuti Isyak), kemudian diikuti solat sunat selepas Maghrib, kemudian solat sunat selepas Isyak, kemudian witir. Bagi jamak Zuhur dan Asar, mulai dengan solat sunat sebelum Zuhur, kemudian solat Zuhur, diikuti solat asar, kemudian solat sunat selepas Zuhur, kemudian solat sunat Asar” (Raudhatu at-Talibin, bab al-jam’u baina as-solataini, 1/402).

Solat sunat yang datang selepas solat fardhu, ia mengikut solat fardhu itu sendiri. Oleh sebab dalam jamak taqdim solat fardhu kedua (yakni Asar atau Isyak) dipercepatkan ke dalam waktu pertama (Zuhur atau Maghrib), maka solat sunatnya juga dipercepatkan kerana mengikuti solat fardhu yang dipercepatkan. Solat witir pula, waktunya ialah selepas menunaikan solat Isyak hinggalah solat Subuh. Oleh sebab dalam jamak taqdim solat Isyak dipercepatkan, maka waktu solat witir juga boleh dipercepatkan iaitu sebaik selesai solat Isyak secara jamak taqdim (lihat; al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, bab Solat al-Musafir, 2/207).

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Tiada ulasan: