Khamis, 19 September 2013

JANGAN KITA HIDUP DENGAN MENIPU DAN PUTAR BELIT

Rugi 1.6 bilion jika tidak cekap urus air

Piarapakaran S.,
Bekalan air terawat berasaskan komuniti merupakan asas untuk pembangunan sistem bekalan air bersepadu. Dengan peningkatan penduduk dan pembangunan yang berterusan, permintaan bagi air terawat sentiasa meningkat. Di samping itu, zon permintaan tidak lagi berasaskan komuniti. Sesetengah zon permintaan meletakkan jauh dari sumber air itu sendiri. Dengan kemajuan dalam teknologi, ini menjadi kemungkinan melalui kejuruteraan.

Infrastruktur dan sistem operasi yang digunakan untuk jangkamasa panjang akan usang serta menyebabkan proses perawatan dan bekalan air menjadi tidak cekap. Tambahan pula, anda akan membayar melalui tarif bagi ketidakcekapan ini. Negara membangun menangani ketidakcekapan serta peningkatan dalam permintaan air terawat dengan membina loji-loji perawatan air yang baru. Ini bukan satu penyelesaian kejuruteraan yang mampan. Adakah Malaysia jatuh di bawah kategori yang sama? Pada tahun 2012, terdapat 473 loji perawatan air di Malaysia dengan jumlah kapasiti reka bentuk 17,901 Juta Liter Sehari (JLH).

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan penyelidikan dan pemodelan secara berterusan untuk memastikan dasar dan kemajuan teknikal yang betul dilaksanakan. Kami telah membangunkan Model 3C50. Melalui alat perancangan ini, AWER dapat memastikan dan membantu agensi-agensi kerajaan dalam pelaksanaan dasar yang betul.

Kejayaan pertama kami dalam melaksanakan model 3C50 untuk pengurusan permintaan adalah pembentukan Pasukan Petugas Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan untuk melaksanakan Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan terperinci di Malaysia. Selepas perjuangan yang lama, kabinet meluluskan penubuhan pasukan petugas di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Anggaran kehilangan pendapatan setiap tahun disebabkan oleh NRW adalah melebihi RM 1.6 bilion. Untuk memastikan kerajaan serius dalam pengurangan NRW, model kewangan telah dicipta oleh AWER untuk membolehkan negara melihat kuantiti air terawat yang terbazir dalam bentuk Ringgit. Kini, Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan hampir selesai dan memberikan pendekatan yang menyeluruh untuk mengurangkan NRW di Malaysia. Sebagai contoh, pengurangan 30 peratus dalam tahap NRW semasa di seluruh negara secara berterusan selama 5 tahun adalah bersamaan dengan membina Loji Perawatan Air Langat 2 lebih besar dengan kapasiti tambahan melalui penjimatan ini.

Di Perlis, tahap NRW meningkat daripada 59.8 peratus pada tahun 2011 kepada 66.4 peratus pada tahun 2012. Nilai ini bukan disebabkan oleh kegagalan pihak berkuasa untuk mengurangkan NRW. Ini adalah disebabkan peningkatan tekanan dalam sistem bekalan air akibat tambahan loji perawatan air yang baru. Hal ini juga menunjukkan bahawa pembinaan loji perawatan yang banyak tidak akan menyelesaikan peningkatan permintaan. Sebaliknya, ia akan meningkatkan nilai NRW secara mendadak disebabkan oleh infrastruktur yang usang. Ini adalah satu contoh klasik mengapa AWER mendesak pelan tindakan pengurangan NRW yang ketat dengan mekanisme terperinci termasuk pembiayaan (funding).

Isu pembiayaan membawa kepada pelan kedua di bawah model 3C50, iaitu menyiapkan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara menjelang akhir tahun 2013. Proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air sepatutnya telah siap pada akhir Rancangan Malaysia Ke-9 pada tahun 2010. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) adalah lewat tiga tahun dan ini melambatkan rancangan untuk industri perkhidmatan air di dalam Rancangan Malaysia ke-10. Pada awal suku kedua tahun ini, AWER telah bertemu dengan Ketua Setiausaha dan pegawai-pegawai beliau di KeTTHA untuk membincangkan perkara ini dengan terperinci. Keputusan perbincangan memihak kepada proses penstrukturan semula dan ia telah dipersetujui bahawa menjelang akhir tahun 2013, proses penstrukturan semula bagi Selangor, Kedah, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan akan selesai. Ini adalah Indeks Pencapaian Utama (KPI) yang kita semua perlu pantau secara bersama-sama bagi KeTTHA.

Di Malaysia, 2/3 daripada air terawat digunakan oleh pengguna domestik dan strategi-strategi pengurusan permintaan (demand side management) yang sesuai adalah penting untuk membantu mereka mengurangkan penggunaan air secara berkesan. Berdasarkan proses konsultasi, kajian pasaran dan ujian yang telah dijalankan oleh AWER dalam tempoh 18 bulan lepas, satu peranti atas talian, Tangkap si Hydro (Catch d' Hydro), telah dibangunkan di bawah model 3C50 yang sama melalui pembiayaan Dana Inovatif Komuniti (Community Innovative Fund - CIF) oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Peranti ini akan membantu pengguna domestik mengukur penggunaan air untuk pelbagai aktiviti di rumah serta mengenal pasti aktiviti-aktiviti yang mempunyai penggunaan air yang tinggi. Kalkulator ini boleh dilayari secara terus melalui www.water.org.my atau www.awer.org.my (di bawah Seksyen H2O tool).

AWER telah menggunakan kaedah "pintu ke pintu" (gate to gate) daripada pendekatan Kajian Kitar Hayat (Life Cycle Assessment - LCA) untuk menghasilkan Tangkap si Hydro dan mendapatkan kadar penggunaan air (water footprint) bagi sebuah isi rumah. Tambahan pula, ia juga boleh digunakan oleh pengguna antarabangsa. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesyorkan penggunaan air harian sebanyak 165 liter/kapita/hari dan berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh SPAN, purata penggunaan air kebangsaan adalah 212 liter/kapita/hari bagi tahun 2012. Ini adalah peningkatan daripada 210 liter/kapita/hari pada tahun 2011. Melalui pengurangan penggunaan air kepada 180 liter/kapita/hari, Malaysia akan mempunyai tambahan kapasiti air terawat hampir 1000 Juta Liter Sehari (JLH). Ini boleh dilakukan oleh pengguna domestik tanpa sebarang perbelanjaan.

Dengan melaksanakan ketiga-tiga komponen ini, fasa pertama strategi Pengurusan Permintaan bagi air terawat oleh AWER boleh berjaya dilaksanakan. Setelah beberapa parameter terpilih dicapai, kami akan mendedahkan fasa kedua strategi Pengurusan Permintaan. Sekarang, KeTTHA dan kerajaan-kerajaan negeri perlu memastikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air lengkap pada tahun ini. Ini adalah satu elemen penting untuk maju ke hadapan dalam pengurusan permintaan dan menambahbaik industri perkhidmatan air kita.

Berdasarkan anggaran konservatif dalam mengurangkan NRW dan mengekalkan penggunaan air domestik pada tahap yang cekap, kita akan dapat menjimatkan lebih daripada RM9.09 bilion antara tahun 2015 dan 2025. Secara komersial, ia boleh mencapai 2 atau 3 kali penjimatan yang dianggarkan. Maka, menjadi cekap air lebih bermakna dalam Ringgit. Apa yang kita sedang tunggu?

Piarapakaran S.

Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Mahathir banyak berahsia waktu saya TPM - Anwar

Muhammad Faizal, 19 Sep 2013


KOTA KINABALU: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan yang telah dibuat oleh bekas ketuanya Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau mengetahui tentang projek IC di Sabah.

Beliau memaklumkan demikian ketika memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diketuai bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Steve Shim hari ini.

Katanya, walaupun beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu namun terlalu banyak perkara yang dirahsiakan oleh Mahathir.
Malah katanya lagi, beliau juga tidak pernah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat melibatkan isu dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya menafikan setiap apa yang diperkatakan oleh Mahathir sebelum ini dan saya tidak mengetahui langsung dengan projek IC Sabah.

"Walaupun saya memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, terlalu banyak perkara yang dirahsiakan, malah saya juga tidak dipanggil langsung untuk menghadiri mesyuarat membabitkan isu keselamatan negara," jelas beliau.

Anwar turut menegaskan ketika  beliau memegang jawatan sebagai pemangku Perdana Menteri selama dua bulan, beliau tidak pernah diberi taklimat berhubung dengan projek tersebut, apatah lagi menandatangani dokumen berkaitan isu yang dibangkitkan ini.

"Ketika memegang jawatan sebagai pemangku Perdana Menteri saya juga tidak diberi taklimat berhubung dengan projek ini.

"Malah tidak pernah melihat ataupun menandatangi sebarang dokumen untuk kelulusan pemberian IC.

"Dulu dalam kerajaan setiap perkara yang ingin dilakukan perlu mendapat kebenaran ataupun kelulusan dari Perdana Menteri, sesiapa pun tidak boleh membuat sebarang keputusan termasuk memberi IC tanpa kebenaran Mahathir," katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut memberitahu isu pemberian IC kepada pendatang asing bukan sahaja berlaku di Sabah malah turut berlaku di beberapa buah negeri di semenanjung sebelum pilihanraya umum yang lalu.

Beliau yang juga turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai bukti mengatakan beliau ada menandatangani dokumen berkaitan projek IC di Sabah boleh mendedahkannya.

"Saya cabar mana-mana pihak terutamanya di dalam Umno yang mengatakan saya ada menandatangani dokumen berkaitan projek tersebut sila kemukakan.

"Perkara ini tidak pernah dibincangkan sepanjang saya berada dalam kerajaan sebelum ini, dalam kerajaan tanpa arahan politik dari Perdana Menteri pemberian IC ini tidak akan berlaku," sambung beliau.

Beliau yang turut mencadangkan kepada RCI bahawa penguatkuasaan perlu dipertingkatkan terutamanya membabitkan soal keselamatan negara.

Katanya lagi, soal pemberian IC yang melibatkan bukan warganegara, perlu melalui proses yang ketat kerana ini bukan sahaja melibatkan soal keselamatan tetapi akan turut melibatkan soal pemilihan sesebuah kerajaan pada pilihanraya.

Pemerkasaan ekonomi untuk raih sokongan Melayu

Hazayani Zakaria, 19 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera disifatkan sebagai ulangan janji pemimpin Umno BN untuk meraih kembali sokongan orang Melayu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mazlan Aliman berkata, pempimpin Umno BN sedar mereka sangat bergantung kepada undi orang Melayu hingga terpaksa mencari jalan mengekalkan sokongan mereka yang dilihat semakin merosot.

"Pengumuman Perdana Menteri itu mengulangi iltizam pemimpin BN khususnya Umno yang mengemudi kerajaan daripada Perdana Menteri dulu sampai sekarang.

"Ia merupakan retorik daripada pemimpin Umno untuk mengekalkan sokongan terutama orang Melayu yang hari ini mereka nampak sangat bergantung kepada undi Melayu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mengkhususkan kepada dua strategi iaitu memantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat dan memperkukuhkan pemilikan aset bukan kewangan bumiputera, Mazlan berkata ekuiti bumiputera tidak pernah meningkat sebaliknya menurun sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan.

"Ekuiti Bumiputera tidak pernah melonjak bahkan pada beberapa ketika menurun. Dasar Ekonomi Baru mensasarkan 30 peratus penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara, namun selepas DEB tamat pada 1990, ekuiti Bumiputera tidak pun mencecah 20 peratus. Sebaliknya daripada RM54 bilion pegangan saham Bumiputera di Bursa Malaysia, jumlahnya hanya tinggal RM2 bilion pada 2010. Ke mana hilang RM52 bilion lagi?" katanya.

Menurut beliau, jika benar kerajaan berazam membantu bumiputera, mereka tidak akan membiarkan projek Rapid di Pengerang, Johor diteruskan kerana ia melibatkan tanah dan kampung tradisi orang Melayu.

"Kalau mereka benar-benar iltizam untuk membantu orang Melayu terutama isu yang menyangkut soal pembangunan di Pengerang secara mudahnya adakah ia mengangkat martabat ekonomi orang Melayu bila projek berjumlah RM60 bilion menjahanamkan tanah-tanah orang Melayu, perkampungan orang Melayu, orang Melayu yang ditindas?

"Bahkan mereka yang menerajui projek ekonomi itu bukan Melayu. Di mana letaknya orang Melayu akan mendapat manfaat daripada pembangunan di sesuatu tempat?

"Ini didedahkan sendiri oleh Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Datuk Syed Ali Alattas bagaimana Pembangunan Wilayah Iskandar di Johor, 80 peratus dimiliki oleh syarikat asing manakala tanah orang Melayu lenyap," katanya.

Menyentuh mengenai Melayu Pulau Pinang yang terpinggir sewaktu di bawah BN, Mazlan berkata institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Bhd (AHB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Usahawasan Nasional Bhd (PUNB) tidak memainkan peranan mereka untuk membantu bumiputera.

"Apa yang diungkapkan oleh Perdana Menteri tak lebih daripada satu retorik untuk menggambarkan bahawa Umno ini benar-benar prihatin kepada orang Melayu dengan lancar kempen-kempen untuk menolong orang Melayu tapi hakikatnya merekalah yang menjadi pengkhianat yang menjahanamkan harta orang Melayu.

"Melayu Pulau Pinang contohnya, apa guna ada Mara, Uda, PUNB, yang sepatutnya diperuntukkan untuk orang Melayu tapi tanah orang Melayu tergadai. Nak beli rumah pun kos rendah sahaja yang orang Melayu mampu sedangkan pemaju berlumba buat rumah kos mahal," katanya.

Lima strategi yang diumum Najib Sabtu lalu ialah mendaya modal insan bumiputera, memantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan bumiputera, memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan bumiputera dan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Gimik bakar Obama tanda bantah TPPA

Harakahdaily Foto SK, 19 Sep 2013

KUALA LUMPUR: Sekumpulan aktivis yang bergabung dalam NGO Bantah TPPA malam tadi membakar patung Presiden Amerika, Barack Obama sebagai gimik pelancaran program Jelajah #BantahObama #TolakTPPA anjuran mereka.

Pada majlis yang berlangsung di Taman Melati, Wangsa Maju malam kelmarin itu mereka turut membakar bendera Amerika Syarikat di hadapan ratusan hadirin yang hadir.

Aksi itu dibuat menjelang kehadiran Obama pada 11 Oktober ini di KLCC, di mana mereka telah menyatakan pendirian akan "menyambut" presiden AS itu pada hari tersebut.

Barack Obama dijadualkan ke Kuala Lumpur untuk menjadi saksi tandatangan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian TPPA, namun tekanan yang hebat dari rakyat dan pelbagai NGO telah menyebabkan kerajaan Malaysia menangguhkan tandatangan metrai perjanjian tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan berkata, aksi "bakar Obama" itu sebagai satu amaran penting simbolik penolakkan terhadap perjanjian penuh kerahsiaan TPPA dan juga kehadiran Obama ke Kuala Lumpur.

"Jelajah #BantahObama #TolakTPPA akan merentasi seluruh negara merangkumi 13 lokasi dari setiap negeri.

"Hari ini, jelajah siri kedua akan menyusul ke utara tanahair di Bayan Baru, Pulau Pinang bertempat di Tapak bekas Astaka Bukit Gedung bermula jam 8.30 malam, sebelum ke Kangar dan Alor Setar pada hari berikutnya," katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut malam semalam termasuk pemimpin parti politik seperti Tian Chua, Dr Hatta Ramli serta aktivis Che'Gu Bard, Hishamuddin Rais, Adam Adli dan Safwan Anang.

Wakil dari NGO pula termasuk Syed Ibrahim (IKRAM), Azlan Awang (Blindspot), Sivarajan (JERIT).

Bekas setpol Shahrizat akui disiasat SPRM

Harakahdaily, 19 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Suhaimi Ibrahim semalam tampil mengadakan sidang media bagi membersihkan namanya yang dikaitkan dengan penyelewengan dana program akhiri zaman miskin (1AZAM).

Dalam sidang media di Kelab Tasik Putrajaya semalam, Suhaimi mengakui bahawa beliaulah individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilaporkan oleh media sebelum ini.

"Tiada apa yang hendak disembunyikan. Ya, saya ditahan tetapi maklumat yang disiarkan di blog dan portal tidak semuanya betul.

"Saya tidak terlibat dalam program 1AZAM. Saya telah bekerjasama dengan SPRM dan kini saya mahu membersihkan semula nama saya," katanya dipetik The Malaysian Insider.

Beliau sebelum ini ditahan empat oleh SPRM bermula Jumaat lalu sebelum dibebaskan pada Selasa.

Sementara itu, media sebelum ini melaporkan bahawa SPRM  turut merampas sebanyak sepuluh kenderaan mewah milik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benta, Pahang itu.

Antara kenderaan yang dirampas ialah Toyota Alphard, Vellfire, Camry, Volkswagen Golf GTI dan mosikal berkuasa tinggi.

"Jika ada pihak yang mempersoal kemewahan saya, seperti tersiar di blog, itu hasil usaha keras saya.

"Saya seorang ahli perniagaan sejak 1995 dan dari situlah datang sumber kewangan itu," katanya lagi.

Adlin kekal Yang Dipertua PAS Lembah Pantai

Anis Nazri, 19 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Lembah Pantai mengekalkan hampir 90 peratus kepimpinan sesi lalu pada mesyuarat agung tahunan kawasan itu yang diadakan pada 15 September lepas.

Jawatan Yang Dipertua PAS kekal disandang Adlin Salleh, manakala Timbalan Yang Dipertua diamanahkan kepada Hazmi Mamat.

Bagaimanapun, terdapat perubahan bagi jawatan Naib Yang Dipertua yang menyaksikan bekas bendahari, Zulkifli Ismail dipilih perwakilan.

Menyentuh usul-usul yang dibawa PAS Lembah Pantai, Adlin yang dihubungi Harakahdaily, hari ini memaklumkan kebanyakan usul yang diputuskan bersifat dalaman.

"Antara usul yang dibawa Lembah Pantai, usul supaya dipromosikan semula kempen 'Keluargaku Ahli PAS', selain usul menggerakkan kerja-kerja awal bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14)," kata beliau.

Dalam pada itu, tambah beliau PAS Lembah Pantai turut mengemukakan usul untuk menzahirkan PAS dalam bentuk PAS yang tergolong dalam apa yang disebutkan PAS For All.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa telah menyempurnakan perasmian mesyuarat agung tahunan tersebut.

Ketika ini, kebanyakan kawasan-kawasan sedang giat menyempurnakan mesyuarat agung di kawasan masing-masing sebagaimana yang dikehendaki PAS Pusat.

PAS Pusat telah menetapkan tarikh bermula 12 Ogos hingga 30 September untuk PAS kawasan menyempurnakan mesyuarat agung kawasan masing-masing.

Bagi Muktamar Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak peringkat negeri pula, tarikh yang ditetapkan adalah bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober manakala dewan-dewan peringkat pusat akan berlangsung pada 20 hingga 21 November.

Muktamar Tahunan PAS ke-59 tahun ini akan diadakan pada 22 hingga 24 November depan, dengan Selangor dipilih menjadi tuan rumah.

Muktamar tahun ini juga akan menyaksikan proses pemilihan kepimpinan yang baru bagi setiap peringkat untuk sesi dua tahun berikutnya iaitu 2013-2015.

Saksi dakwa nampak anggota SPR kira undi dalam lokap

Harakahdaily, 19 Sep 2013
SUBANG JAYA: Saksi ketiga yang tampil memberi keterangan dalam prosiding Tribunal Rakyat berkait proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, membuat pendedahan mengejutkan.

Abu Hussin Tamby, wakil calon Dun Air Limau, Melaka ketika memberi keterangan berkata beliau nampak anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat kiraan undi awal biarpun pengundian awam belum berlangsung.

Kejadian itu katanya berlaku pada 2 Mei iaitu tiga hari sebelum pengundian awam berlangsung, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira jam 3.15 petang.

Semasa kejadian, saksi bersama dua wakil calon lain diiringi dua anggota polis ke IPD berkenaan untuk menyerahkan kotak peti undi awal dari Lubuk Cina.

Semasa masuk ke balai itu, katanya, beliau dengan jelas menyaksikan kira-kira tujuh anggota SPR mengelilingi longgokan kertas undi di satu sel lokap.

“IPD itu memang menjadi tempat simpanan peti undi. Semua kotak undi dikumpulkan dalam lokap," katanya dipetik Selangorku.

“Semasa tiba di lokap, saya lihat tujuh atau lapan orang memakai baju SPR mengelilingi timbunan kertas undi itu, menunjukkan mereka sedang buat kiraan.

“Hanya nampak kertas undi tetapi kotak peti tiada. Saya percaya ia dari Parlimen Alor Gajah dan Masjid Tanah,” katanya yang memberitahu ada membuat laporan polis di IPD Masjid Tanah selepas kejadian itu.

Beliau ada memohon kepada polis untuk menonton semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari kejadian tetapi ditolak tanpa sebarang alasan.

“Polis tidak boleh beri jawapan tepat. Mereka cuma kata segala keputusan terhadap salah laku itu diserahkan kepada atasan,” katanya.

Sementara itu, prosiding Tribunal Rakyat berlangsung di Hotel Empire di sini bermula semalam sehingga 22 September ini.

Ia mengkaji, menyiasat dan menilai rungutan mengenai insiden menjelang PRU 13 atau di sekitar pilihan raya termasuk proses pengundian.

Perangsang Selangor turut urus telekomunikasi FRiENDi

Harakahdaily, 19 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPSB) akan menjual 56.57% sahamnya pada harga 83.6 sen sesaham di Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) ke Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB).

KDEB, adalah syarikat pelaburan milik Kerajaan Selangor dan syarikat induk kepada KPSB.

Urusniaga dijangka dimeterai bulan depan mengikut laporan The Sun.

Difahamkan sejumlah RM99.2 juta daripada RM212.8 juta hasil daripada penjualan saham itu akan dibayar sebagai dividen kepada para pemegang sahamnya.

Baki yang lain akan digunakan untuk pelaburan baru (RM56 juta), pembayaran hutang (RM18 juta) dan RM38 juta sebagai modal kapita.

Jumlah hutang KPSB berada pada paras RM1.2 bilion pada Jun 30, 2013, dan pembayaran hutang sebanyak RM18 juta akan menjimatkan RM1.8 juta setahun daripada faedah hutang.

RM12 juta daripada RM56 juta yang dikhaskan untuk pelaburan akan digunakan untuk membiayai pelaburan KPSB di Ceres Telecom Sdn Bhd yang menawarkan khidmat Telekomunikasi terbaru FRiENDi.

KPSB, melalui anak syarikatnya Perangsang Telco Sdn Bhd telah membeli 30 peratus di Ceres Telecom pada harga RM24.2 juta.

KPSB akan bersama-sama dengan syarikat berpengkalan di Dubai iaitu Virgin Mobile Middle East & Afrika (VMMEA) yang separa dimiliki oleh Richard Branson dari Virgin Group dalam menguruskan FRiENDi.

Setakat ini, difahamkan FRiENDi hanya menawarkan khidmat pra-bayar dan akan mengembangkan perniagaannya dengan menawarkan khidmat data internet.

FRiENDi kini menyewa dan membeli kapasiti daripada U Mobile Sdn Bhd dan juga Maxis.

Mengikut laporan Reuters, penetrasi mobile di Malaysia sudahpun mencecah 143 peratus pada akhir bulan Jun.

Daripada data yang diperolehi pada 2012, laporan itu menyebut jumlah pelanggan telekomunikasi di negara Malaysia sudah mencapai tahap tepu.

Namun mengikut Paul Budde, seorang pengarah pengurusan di BuddeCom yang berpangkalan di Sydney,  mobile virtual network operator (MVNO) atau operasi rangkaian maya mudah alih yang diterajui VMMEA mempunyai potensi yang tinggi di Malaysia untuk para pelancong luar negara.

Di Malaysia, Maxis menerajui pasaran Telekomunikasi dengan menguasai 38 peratus saham pasaran, diikuti Celcom pada 34 peratus, Digi pada 28 peratus dan U Mobile pada 7 peratus.

FRiENDi telah dilancarkan di talian U Mobile minggu ini.

Tiada ulasan: