Khamis, 26 September 2013

USTAZ AZIZAN....ALFATIHAH

Ustaz Azizan kembali ke rahmatullah

Harakahdaily, 26 Sep 2013


ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak kembali ke rahmatullah jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.

Jenazah almarhum akan disolatkan di Markas PAS Kawasan Pokok Sena, Jalan Langgar dan dikebumikan di Muasasah Darul Ulum, di sini selepas solat Asar.

Ribuan tunai solat jenazah Ustaz Azizan

Bashir Ishak, 26 Sep 2013


POKOK SENA: Ribuan rakyat  hadir menunaikan solat jenazah mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak di Markaz PAS Pokok Sena, Jalan Langgar, dekat sini jam 4.15 petang tadi.

Solat jenazah dimamkan anak lelaki Allahyarham, Izzatul Islam Azizan manakala doa dibacakan ulama tempatan, Tuan Guru Haji Salleh Musa.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Muassasah Darul Ulum, 17 km dari sini yang menempatkan  kubur mantan Presiden PAS,  Ustaz Datuk Fadzil Mohd Nor untuk dikebumikan dengan diiiringi ribuan kenderaan.

Kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham sampai di pekarangan Muassasah Darul Ulum pada jam 4.55 petang disambut ribuan hadirin.

Solat jenazah sekali lagi diadakan dengan diimamkan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Ustaz Azizan  kembali ke rahmatullah pada jam 11.10 pagi ini di Unit Kawalan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar di sisi ahli keluarganya dan pemimpin PAS Pusat dan negeri, antaranya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Sebelum ini, bekas Pesuruhjaya Pas Kedah itu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.

Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman, dan kemudiannya dipindahkan ke HSB pada 14 Ogos lalu selepas tahap kesihatannya dilihat memuaskan walaupun masih ditempatkan di ICU.

Hujung bulan lalu, almarhum menunjukkan perkembangan positif apabila doktor mula menukar tiub pernafasan, selain mula bersuara biarpun masih perlahan, bagaimanapun ia mula merosot sejak jam 3.30 pagi, semalam.

Allahyarham meninggalkan dua  isteri, Puan Sri Faikah Syeikh Hamzah dan Shamsiah Shafie dengan 14  anak.

Agong turut ziarah, penghormatan terakhir buat Allahyarham Ust. Azizan

http://greenboc.blogspot.com, 26 Sep 2013

[GAMBAR & VIDEO] Penghormatan Terakhir Buat Allahyarham Ust. Azizan, Agong Turut Ziarah


Yang di-Pertuan Agong ziarahi jenazah Ustaz Azizan

POKOK SENA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berangkat menziarahi jenazah mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Razak di Dewan Kompleks PAS Pokok Sena, Jalan Langgar, jam 4.05 petang tadi.

Tengku Bendahara Kedah turut menziarahi jenazah Allahyarham pada jam 3.50 petang.

Antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan para pemimpin PAS di semua peringkat.

Orang ramai turut berpusu-pusu memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah disembahyangkan sebaik selesai solat Asar. -HD


Yang di-Pertuan Agong ziarahi jenazah Ustaz Azizan

Bashir Ishak, 26 Sep 2013
POKOK SENA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berangkat menziarahi jenazah mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Razak di Dewan Kompleks PAS Pokok Sena, Jalan Langgar, jam 4.05 petang tadi.

Tengku Bendahara Kedah turut menziarahi jenazah Allahyarham pada jam 3.50 petang.

Antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan para pemimpin PAS di semua peringkat.

Orang ramai turut berpusu-pusu memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah disembahyangkan sebaik selesai solat Asar.

Kembara menuju Yaumiddin

Rosli Daud, 26 Sep 2013
Kembara menuju Yaumiddin
(26 Sept 2013 kala Ustaz Azizan mengadap Tuhan)

Hidup ini kembara menuju Yaumiddin
Amanah khalifah, dosanya jangan digalas bersama
Abdi hamba, hina adalah serupa
Paras rupa, beza adalah amalnya
Sujud kita, kiblat adalah sehala
Hentiannya barzakh, moga ruangnya cerah
Tenanglah, bermimpilah yang indah.

Hidup ini kembara menuju Yaumiddin
Di sana Hakimnya Tuhan
Di sana saksinya anggota badan
Di kanan amalan
Di kiri jangan ada kemungkaran

Berlarilah seberapa pantas
Meniti sirat ke Jannah.

Tiada istilah rehat bagi Ustaz Azizan – Presiden

Harakahdaily, 26 Sep 2013
KUALA LUMPUR: “Sepanjang hayatnya, umat menyaksikan komitmen beliau yang tinggi dalam perjuangan Islam. Sepanjang hayat tiada istilah rehat bagi beliau, sehinggalah Allah SWT menjemputnya dari ribaan umat,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Justeru, kata beliau pemergian bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai sahabat, guru dan pemimpin adalah satu kehilangan besar buat PAS.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyanjung tinggi khidmat dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh almarhum sepanjang memimpin PAS di Kedah dan menjadi Menteri Besar pertama daripada PAS.

“Sama-sama kita mengambil ruh semangat Ustaz Azizan yang mendedikasikan hayatnya untuk perjuangan Islam.

“Mudah-mudahan beliau telah membenarkan janjinya kepada Allah SWT. Semoga segala jihadnya diterima oleh Allah SWT,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas.

Beliau kini berada di Lahore, Pakistan bersama Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad bagi menghadiri sidang meja bulat tergempar gerakan Islam sedunia bagi membincangkan isu-isu Ummah terkini terutamanya di Syria dan Mesir.

Turut menyampaikan ucaan takziah kepada keluarga Ustaz Azizan adalah seluruh pimpinan gerakan Islam seperti Amir Jamaat Islami Dr. Munawar Hassan, Sheikh Hammam Saidi dari Ikhwan Jordan dan Dr. Muhamad Nazzal dari Harakah Hamas Palestin yang hadir di sidang meja bulat di Lahore.

Saya berhajat benar untuk menziarahi beliau – TG Nik Aziz

Harakahdaily, 26 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pemergian Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak satu kehilangan besar kepada perjuangan Islam, khususnya kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

“Beliau seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan takziah di atas kembalinya Ustaz Azizan yang pernah menjadi Menteri Besar Kedah pada 2008 hingga 2013 itu ke rahmatullah jam 11.10 pagi tadi.

“Saya berhajat benar untuk menziarahi beliau sebelum ini, tetapi disebabkan masalah kesihatan, niat itu tertangguh. Termasuklah ketika Multaqa Ulamak baru-baru ini saya berhasrat hadir dan berniat untuk menziarahinya.

“Namun, Allah mentakdirkan ia tidak berlaku disebabkan kesihatan saya. Saya mendoakan semoga rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan para solihin,” ujarnya.

Pemimpin Pakatan Rakyat rakam ucapan takziah

Muhammad Faizal, 26 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Rakyat mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak yang kembali ke rahmatullah pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui laman facebook beliau menyifatkan Ustaz Azizan sebagai serang sahabat dan pemimpin PAS yang mempunyai semangat juang yang gigih serta berjasa kepada parti.
"Innalillah...Allahyarham Ustaz Azizan mantan MB Kedah,sahabat dan pemimpin Pas, pejuang gigih yang berjasa. Moga Allah cucuri rahmat keatas rohnya," jelas Anwar melalu laman facebook.

Bagi Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula, khidmat dan jasa Tan Sri Azizan sebagai Menteri Besar yang menerajui kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dari 2008 hingga 2013 akan sentiasa dikenang.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman," ujarnya dalam satu kenyataan.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat Kedah.

"Deepest condolences to family of former Kedah Pakatan Rakyat Mentri Besar Tan Sri Azizan Abdul Razak on his passing," petik beliau melalui twitter.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bagi pihak kerajaan negeri, melahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.
"Mengenali Allahyarham Tan Sri, beliau merupakan seorang pemimpin yang berkaliber dan disegani ramai. Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri," ujarnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga mengucapkan takziah juga masih terkenang ketika bersama Allahyarham Azizan ketika persidangan Menteri Besar Pakatan Rakyat pada tahun 2010.

Beliau menyifatkan Azizan merupakan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada masyarakat.

"Kenangan bersama Allayarham Tan Sri Azizan Abdul Razak sewaktu Persidangan Menteri Besar Pakatan Rakyat 2010.

"Moga Allah cucuri rahmat ke atas roh beliau dan kurniakan maghfirah buat tokoh yang telah banyak berjasa kepada masyarakat ini. Al-Fatihah," ucap beliau melalui facebook.

Jenazah almarhum akan disolatkan di Markas PAS Kawasan Pokok Sena, Jalan Langgar dan dikebumikan di Muasasah Darul Ulum, di sini selepas solat Asar.

Orang ramai berpusu ziarahi jenazah Ustaz Azizan

Anis Nazri, 26 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah akan berangkat menziarahi bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak yang kembali ke rahmatullah, petang ini.

Setiausaha Khas Azizan, Muzaini Azizan, Sultan Abdul Halim akan tiba sekitar jam 3.30 petang di Markas PAS Pokok Sena, Jalan Langgar, di mana jenazah almarhum ditempatkan ketika ini.

Harakahdaily dimaklumkan, jenazah almarhum akan ditempatkan di markaz tersebut sehingga selesai solat jenazah dan solat Asar, sebelum dikebumikan di Muassasah Darul Ulum.

Dalam pada itu, Muzaini berkata suasana di markaz PAS tersebut mula dipenuhi orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada almarhum.

"Keadaan di sini sudah mula sesak, dengan anggaran ribuan orang mula datang menziarah. Suasana pilu turut dirasai dengan pemergian almarhum," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, sebentar tadi.

Sebelum itu, jenazah almarhum dimandikan dan dikafankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Kemudian, jenazah di bawa ke Markaz PAS Pokok Sena dengan diiringi beberapa peronda polis.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir turut menziarahi almarhum pada jam 11.40 pagi tadi.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum melalui laman Twitternya.

"Al-Fatihah. Takziah kepada keluarga Tan Sri Azizan Abdul Razak atas pemergian arwah, semoga roh beliau dicucuri rahmat," kata beliau yang kini berada di Amerika Syarikat.

Almarhum kembali ke rahmatullah pada jam 11.10 pagi ini di HSB di sisi ahli keluarganya dan pimpinan PAS di peringkat pusat dan perhubungan negeri, antaranya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Sebelum ini, bekas Pesuruhjaya Pas Kedah itu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.

Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman, dan kemudiannya dipindahkan ke HSB pada 14 Ogos lalu selepas tahap kesihatannya dilihat memuaskan walaupun masih ditempatkan di ICU.
Hujung bulan lalu, almarhum menunjukkan perkembangan positif apabila doktor mula menukar tiub pernafasan, selain mula bersuara biarpun masih perlahan, bagaimanapun ia mula merosot sejak jam 3.30 pagi, semalam.

Almarhum meninggalkan dua orang isteri, Puan Sri Faikah Syeikh Hamzah dan dan Shamsiah Shafie dengan 14 orang anak.

Semoga ramai lagi seperti Ustaz Azizan dalam PAS

Salmiyah Harun, 26 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Pemergian Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak adalah satu kehilangan besar kepada perjuangan Islam di tanah air.

Ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, Ustaz Azizan telah melakukan pengorbanan yang besar dalam pentas politik Islam Malaysia dalam mendaulatkan Islam.

“Semoga roh beliau dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama para anbia, para sahabat dan para solihin serta para mujahidin di jalan Allah SWT.

“Semoga pengorbanan beliau selama ini dalam menegakkan agama Allah SWT berada dalam timbangan yang berat di sisi Allah SWT di hari akhirat kelak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mewakili dewan itu termasuk di negeri-negeri serta ahli-ahli seluruh negara merakamkan ucapan takziah kepada kepada kaum keluarga Ustaz Azizan.

Sementara itu, setiausaha dewan itu, Dr Khairuddin Aman Razali turut membacakan sepotong ayat Al-Quran yang bermaksud semoga Allah besarkan pahala kalian semua.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, pemergian allahyarham satu kehilangan besar kepada PAS khususnya di peringkat Syura dan Ulamak PAS Pusat itu sendiri.

"Malah beliau juga orang yang berjaya memberi kemenangan besar kepada parti PAS khususnya di peringkat negeri Kedah," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Justeru, Khairuddin yakin akan ramai lagi orang seumpama allahyarham akan lahir dalam PAS.

Kami pernah ketawa dan menangis bersama - Mahfuz

Hazayani Zakaria, 26 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak disifatkan sebagai pemimpin PAS yang sangat mencintai perjuangan Islam dan bidang pendidikan.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, Allahyarham Ustaz Azizan banyak memberikan sumbangan kepada PAS dan dalam bidang pendidikan.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyifatkan pemergian allahyarham sebagai kehilangan besar kepada PAS dan negeri Kedah.

"Pemergian allahyarham suatu yang sangat menyedihkan saya kerana pengorbanan jasa yang besar yang beliau curahkan kepada parti terlalu besar maknanya.

"Sepanjang lima tahun jasa beliau sebagai menteri besar menerajui kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah begitu besar dan berjaya melakarkan satu lanskap baru politik di Kedah dan melakarkan perubahan baru kepada urus tadbir Kedah.

"Saya kenal allahyarham sewaktu beliau menjadi pensyarah di UKM dan UIA dan sangat besar sumbangan kepada pendidikan negara dan sepanjang jadi menteri besar beliau fokus kepada pembangunan pendidikan sehingga terbentuknya kampus Kuin. Beliau sangat cintakan bidang pendidikan," katanya letika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Bercakap secara peribadi, Mahfuz berkata, allahyarham seorang yang sangat menjiwai segenap lapisan masyarakat dan seorang teman yang berfikiran terbuka.

"Secara peribadi kami pernah bertengkar, menangis dan ketawa bersama, beliau seorang yang bersifat terbuka, kami boleh bersembang beliau faham jiwa orang muda.

"Beliau menjiwai jiwa segenap lapisan masyarakat dan ahli parti,” katanya yang juga Ketua Whip PAS.

Justeru Mahfuz berharap, ada orang yang dapat menggantikan tempat Allahyarham dan mempelajari ilmu yang ditinggalkan allahyarham.

"Dengan kehilangan beliau saya percaya ada orang dapat mempelajari apa yang ditinggalkan untuk parti dan masyarakat," katanya sambil menambah beliau akan terus pulang ke Kedah bagi menghadiri majlis pengkebumian allahyarham.

Allahyarham kembali ke rahmatullah pada jam 11.10 pagi ini selepas beberapa bulan mengalami masalah kesihatan yang kritikal.

Ustaz Azizan: Kombinasi ulama dan profesional

Anis Nazri, 26 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, 69, yang meninggal dunia jam 11.10 pagi tadi di wad ICU Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sebelum ini dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.

Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman.

Hujung bulan lalu, almarhum menunjukkan perkembangan positif apabila doktor mula menukar tiub pernafasan, selain mula bersuara biarpun masih perlahan, bagaimanapun ia mula merosot sejak jam 3.30 pagi, semalam.

Almarhum merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Datuk Seri Mahdzir Khalid selepas PAS dan Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Negeri Kedah atas kemenangan dalam Pilihan raya Umum ke-12, pada 2008.

Upacara mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah telah diadakan di hadapan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Wisma Darul Aman pada jam 3.40 petang, 9 Mac 2008.

Pada 16 Julai 2008, almarhum telah dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pada 1 Jun 2013, almarhum merupakan antara penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran Tan Sri.

Almarhum mula menyertai PAS pada tahun 1978 di England, kemudiannya bergiat aktif di Malaysia pada tahun 1986.

Almarhum pernah diamanahkan sebagai Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga Mei 2013), Setiausaha Perhubungan PAS Kedah dan mewakili PAS ke Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) pada 1989. Almarhum pernah menjadi Pengarah Urusan Harakah.

Almarhum memenangi Dun Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai Dun Sala) mulai 1995 hingga 2013 mengalahkan calon Barisan Nasional.


Pada Pilihan raya Umum ke-13 lalu, almarhum menang dengan memperolehi 13,294 undi dengan majoriti 2,774 berbanding tiga lagi pencabarnya dalam pertandingan empat penjuru.

Almarhum mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, selain pernah menuntut di Maktab Mahmud, pada tahun 1959-1965. Almarhum berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar, Mesir dan undang-undang dari Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom.
Almarhum pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1983-1984 dan 1986-1995.

Almarhum meninggalkan dua orang isteri, Puan Sri Faekah Syeikh Hamzah dan dan Shamsiah Shafie dengan 14 orang anak.

Ustaz Azizan: Perginya seorang tokoh Islam

Harakahdaily, 26 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Seluruh warga Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Teras Pengupayaan Melayu (Teras) merakamkan takziah kepada ahli keluarga Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak di atas kembalinya beliau ke rahmatullah.

“Sesungguhnya kami mendoakan roh beliau akan tergolong bersama golongan siddiqin, solehin dan para mujahidin,” ujar Presiden Mapim dan Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Baginya, pemergian Ustaz Azizan adalah suatu kehilangan yang besar bukan sahaja buat rakyat Kedah malah seluruh negara, bahkan beliau seorang tokoh ilmuan dan ulama gerakan Islam yang akan menjadi teladan kepada banyak kalangan pencinta Islam.

“Kami kagum dengan keupayaannya dan jasanya berkhidmat kepada rakyat menyumbang kepada kemajuan dan kebajikan warga Kedah ketika beliau memegang amanah sebagai Menteri Besar,” katanya lagi.

Mohd Azmi menambah, sebagai  ilmuan, ulama dan ahli politik, tidak dapat dinafikan khidmat cemerlang Ustaz Azizan memikul amanah mentadbir negeri Kedah yang mengutamakan ilmu dan kebajikan rakyat yang terpinggir.

“Ketika beliau menjadi ketua pentadbir negeri Kedah polisinya jelas mendahulukan rakyat dan sangat menekankan soal pendidikan Islam. Jasa beliau mewujudkan Kolej Universiti Insaniah amat dikagumi,” katanya.

Tambahnya, ternyata Ustaz Azizan telah menunjukkan kebolehan memimpin dengan teladan seorang pemimpin yang sederhana bukan sahaja dalam cara memimpin malah juga dalam kehidupannya sendiri.

Beliau berkata, Ustaz Azizan tidak menunjukkan kemewahan hidup sebagai MB malah terus hidup di rumahnya sendiri di Alor Setar seperti rakyat biasa.

“Takziah juga kami sampaikan kepada seluruh warga PAS yang telah kehilangan seorang pemimpin yang ulung dan akan terakam sebagai ahli yang sangat besar sumbangannya kepada perjuangan parti Islam.

“Moga segala contoh kepimpinannya dapat memberi inspirasi kepada seluruh perjuangan pencinta Islam dalam parti PAS yang menjadi wadah perjuangan beliau sehingga ke akhir hayat,” katanya lagi.

PAS Pusat rakam takziah buat keluarga Ustaz Azizan

Harakahdaily, 26 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS Pusat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, mantan Menteri Besar Kedah yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 11.10 pagi ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar bagi parti dan rakyat negeri Kedah khususnya.

“Beliau merupakan Ahli Majlis Syura telah berjaya memimpin parti sehingga berjaya menawan negeri Kedah dalam PRU ke-12,” ujarnya dalam satu kenyataan, selanjutnya sebagaimana di bawah.

Kesihatan beliau mulai merosot dalam kempen menghadapi PRU13 dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani pembedahan dan kaki beliau terpaksa dipotong.

Namun, kesihatan beliau mulai pulih sehingga beliau dibawa pulang ke Kedah, namun dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Alor Setar.

Kegagalan PAS mengekalkan kemenangan di Kedah merupakan suatu tamparan besar bagi parti.

Beliau masih sempat berpesan kepada Datuk Muhriz, Menteri Besar baru agar mempastikan Kolej Insaniah dapat dijaga dan dijayakan.

Beliau sepanjang menjadi Menteri Besar banyak menumpukan usaha membangunkan kolej tersebut di samping pelbagai kemajuan yang telah dilaksanakan.

Kematian beliau akan membuka ruang bagi mengadakan satu pilihanraya kecil bagi Dun Sungai Limau. Parti akan menghadapi PRK ini dalam suasana persiapan menghadapi muktamar. Dengan PRK ini diharap akan memperkukuh lagi jentera parti bagi memastikan kejayaan.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada rohnya. Al-Fatihah.

Tiada ulasan: