Khamis, 19 September 2013

ISLAM PATUT@WAJIB BERSATU KERANA MUSUH@IBLIS DAN KUNCU2NYA BERHASRAT NAK MEMUSNAHKAN ISLAM

Menjerat Kedah dalam isu air

Zulkifli Yahaya, 18 Sep 2013
SEWAKTU di bawah Pakatan Rakyat, kerajaan Negeri Kedah berusaha keras menyelamatkan hak-hak negeri berhubung air, dari menjadi mangsa 'penjajahan' oleh kerajaan Persekutuan. Kini apabila Kedah bertukar teraju kepimpinan kerajaan negeri, dengan mudah pula hak tersebut diserahkan kepada Pusat di samping negeri terpaksa menanggung beban tanggungan tertentu. Akibat yang tidak dapat dielakkan dan hampir pasti akan berlaku ialah kenaikan tarif air untuk rakyat!

Sepanjang 50 tahun BN mentadbir Kedah (1957-2007), negeri ini dibebani hutang sebanyak RM2.4 bilion, yang mana RM1.7 bilion daripada jumlah itu adalah pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai perkhidmatan bekalan air.

Setelah mengambil alih pemerintahan pada Mac 2008, kerajaan Pakatan mendapati selain bebanan hutang yang sangat tinggi, infrastruktur dan perancangan perkhidmatan ini jauh ketinggalan di belakang keperluan semasa dan unjuran keperluan masa hadapan.

Hal ini berlaku kerana pihak kerajaan negeri waktu itu lebih cenderung membuat pinjaman daripada kerajaan Persekutuan, berbanding memohon geran (yang menjadi hak rakyat Kedah yang juga rakyat Malaysia) gara-gara keinginan mereka menentukan projek-projek itu dapat diagihkan berdasarkan kepentingan politik mereka.

Hal ini dapat dikesan dengan ketara dalam projek pembinaan loji air di Padang Sanai yang telah dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan Ogos 2010.

hutang tidak berbayar

Pusat sedar akan kelemahan negeri-negeri untuk menjelaskan hutang berhubung pinjaman berkaitan air lantas menggunakan taktik 'penjajahan' melalui pindaan akta Persekutuan. Akta Perkhidmatan Air Negara (Water Sevices Industry Act – WASIA) diluluskan di Parlimen Malaysia dan diwartakan pada 2006 telah membawa kepada pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai entiti pengawal (regulatory) perkhidmatan air seluruh negara.

Melaluinya juga diwujudkan Perbadanan Aset Air Negara (PAAB) sebagai sebuah entiti milik penuh Perbadanan Menteri Kewangan (MOF Incorporated), khusus untuk menyediakan capital/dana untuk pembinaan aset  bekalan air (loji, paip, tangki, pusat rawatan dan lain-lain). PAB juga ditugaskan membeli dan menguruskan semua hutang tidak berbayar (NPL) kerajaan-kerajaan negeri.

Semasa Ustaz Azizan memimpin kerajaan, beliau cuba mempastikan supaya status pinjaman terhadap semua yang berkaitan dengan perkhidmatan air dikaji semula. Projek perkhidmatan air untuk kawasan luar bandar, sepatutnya berstatus geran Pusat bukan pinjaman. Misalnya pembinaan loji pembersih di Padang Sanai (RM155 juta), Lubuk Buntar (RM65 juta), Empangan Ahning (RM48 juta) sepatutnya mendapat peruntukan geran. Semua perkhidmatan luarbandar di Kedah bernilai RM1.3 bilion.

'Cerdiknya' kerajaan BN Kedah selepas mengambilalih pentadbiran adalah menghentikan perbincangan dan mengiktiraf kesemuanya sebagai pinjaman. Apakah negeri mampu membayar balik pinjaman yang besar itu?

Berdasarkan Akta SPAN, Kerajaan Pusat berhak mengambil alih sepenuhnya perkhidmatan bekalan air di mana-mana negeri – melalui arahan Menteri berkaitan - bila mana satu laporan audit oleh SPAN mendapati kedudukan kewangan agensi air negeri tidak berupaya menampung operasinya.

migrasi aset air

Pinjaman kerajaan Pusat yang sebelumnya diberikan kepada kerajaan negeri, kini akan dipindahkan kepada PAAB dan agensi ini berkuasa penuh ke atas sumber tersebut. Semua aset yang dibina/diambil alih oleh dana PAAB akan disewakan kepada syarikat/operator bekalan air pada kadar yang ditentukan oleh PAAB. Sewa ini digunakan untuk membayar hutang kerajaan negeri.

Kini kerajaan negeri dalam proses untuk menandatangai migrasi aset air negeri kepada PAAB. PAAB membeli hutang/NPL kerajaan negeri daripada kerajaan pusat dan bayaran dibuat secara lump-sum (sekaligus) melalui pembiayaan dana antarabangsa. Negeri akan jadi 'hamba hutang' PAAB.

Dilaporkan selepas ini kerajaan negeri, melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan membayar kepada PAAB sebanyak RM65 juta setahun, di samping bayaran pajakan RM5 juta setahun; menjadikan jumlah RM70 juta selama 45 tahun!

Kerajaan BN negeri bukan ada kekuatan untuk membayar hutang. Untuk membayar hutang kampus induk KUIN pun mereka terkial-kial mencari helah (bukan mencari sumber), sehingga terpaksa memburukkan kerajaan lalu. Pilihan terbaik untuk Mukhriz dan kerajaan BN Kedah adalah menaikkan tarif air.

Percayalah, kenaikan tersebut tak dapat dielakkan lagi!

Selepas Syria, giliran Tunisia dan Turki

Mohd Sabri Said, 18 Sep 2013
PERMATANG PAUH: Amerika Syarikat menjadikan negara-negara umat Islam yang diperintah secara kuku besi dan zalim sebagai sasaran untuk dibebaskan atas nama kemanusiaan, kata Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun jelasnya, campur tangan Amerika Syarikat itu boleh menghancurkan sesebuah negara seperti mana yang berlaku di Iraq, Libya dan besar kemungkinan di Syria.

"Sebenarnya kepimpinan umat Islam sendiri yang lalai kerana terlalu asyik mengejar kebendaan, kekayaan dan kekuasaan tanpa sedar mengundang campur tangan Amerika. Bila Amerika datang semuanya akan hancur seperti Iraq dan Libya," tegas beliau ketika berucap di Perhimpunan Kepedulian Kemanusiaan Global anjuran Pejabat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, di Dataran An-Nahdhoh, Penanti, dekat sini, semalam.

Menurut Anwar, tidak hairan jika selepas ini sasaran Amerika Syarikat adalah Tunnisia dan Turki (yang diterajui kumpulan Islam).

Justeru itu jelasnya, Malaysia juga harus berhati-hati dengan agenda itu supaya tidak terperangkap dengan mainan pihak tertentu kerana di negara ini juga wujud penindasan, penyalahgunaan kuasa serta unsur kuku besi.

Sementara itu tetamu jemputan, Syed Qutub (kiri) ketika menceritakan keadaan terbaru di Syria menyifatkan kekejaman yang berlaku sejak dahulu menjadikan Syria tidak semaju negara lain walhal hasil negara seperti minyak cukup banyak.

"Di bumi Syria walaupun hasil keluarannya tinggi tetapi rakyatnya hidup dalam kesengsaraan.  Bila ada suara menentang sebarang usaha kerajaan yang zalim mereka tidak segan membunuh dengan mengunakan kekerasan," tegas beliau.

Turut berucap Timbalan Ketua Menteri, Dato' Abdul Rashid Hasnun, Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Ustaz Soid Mohd Amin, Ahli Parlimen Nibung Tebal, Dato' Mansor Othman, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khair Johari,  dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng.

Fokus jenayah, usah sibuk pantau abu mayat

Muhammad Faizal, 18 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub meminta agar pihak polis lebih fokus dalam isu-isu jenayah bukannya "membuat jenaka" memantau abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dari dibawa pulang ke negara ini.

"Saya nasihat agar pihak polis tidak buat jenaka untuk memantau kemasukkan abu mayat ke dalam negara ini. Jenayah negara terus meningkat sepatutnya itu yang lebih utama.

"Kita sedia maklum pasukan polis tidak mempunyai anggota yang mencukupi dan sekarang mereka nak pantau sempadan untuk halang abu mayat, apa jadi kepada pemantau kes-kes lain," jelas beliau.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa polis memantau semua pintu masuk ke negara ini bagi memastikan abu mayat pemimpin PKM itu tidak diseludup masuk.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, pihak polis sepatutnya tidak hilang fokus dan terlalu mengikut arahan pihak tertentu yang ada kepentingan politik.

Menurut beliau, apabila isu-isu yang berkaitan politik terlalu cepat pihak berkuasa bertindak sedangkan kes pembunuhan membabitkan senjata api masih lagi berleluasa.

"Pihak polis jangan hilang fokus, anda merupakan pasukan yang memastikan keselamatan rakyat dan negara.

"Jangan terlalu mengikut arahan politik pihak tertentu yang mendesak agar abu mayat tidak dibawa masuk, apa yang dapat dilakukan oleh abu mayat itu.

"Soal jenayah membabitkan senjata api masih lagi berlaku, itu perkara paling utama bukannya isu abu mayat," katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin turut meminta penjelasan dari Ketua Polis Negara berapa ramai anggota polis terlibat dalam tugas-tugas pemantauan di pintu masuk negara bagi tujuan tersebut.

"Kalau anggota polis tak cukup boleh ajak pemuda atau puteri Umno turut sama kawal, pantau kemasukan abu mayat," katanya.

PAS Batu antara kawasan adakan AGM 29 Sept ini

Anis Nazri, 18 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Tiga kawasan PAS akan mengadakan mesyuarat agung tahunannya pada 29 Sept ini bagi persiapan menghadapi Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 yang dijadualkan Nov ini.

Kawasan-kawasan tersebut membabitkan kawasan Batu (Wilayah Persekutuan), Tenggara (Johor) dan Rembau (Negeri Sembilan).

Yang DiPertua PAS Batu, Ishak Surin ketika dihubungi Harakahdaily berkata mesyuarat agung kawasan itu akan diadakan di Kolej Universiti Dr Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar, bermula jam 9 pagi.

Tambah beliau, Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof akan merasmikan mesyuarat tersebut.

Sementara itu, Yang DiPertua PAS Tenggara, Mazlan Aliman berkata mesyuarat agung kawasannya akan disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani, Aminolhuda Hassan, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor.

Manakala, PAS kawasan Rembau akan mengadakan mesyuarat agung kawasannya di sebuah dewan di Paroi, bermula jam 9 pagi dengan dirasmikan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari.

Ketika ini, kebanyakan kawasan-kawasan sedang giat menyempurnakan mesyuarat agung di kawasan masing-masing sebagaimana yang dikehendaki PAS Pusat.

Sebelum ini, bagi peringkat PAS cawangan, tarikh yang ditetapkan bagi mengadakan mesyuarat agung tahunan adalah bermula 25 Mei sehingga 15 Julai lalu.

Manakala, bagi peringkat PAS kawasan, tarikh yang ditetapkan adalah 12 Ogos hingga 30 September.

Bagi Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak peringkat negeri pula, tarikh yang ditetapkan adalah bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober manakala dewan-dewan peringkat pusat akan berlangsung pada 20 hingga 21 November.

Muktamar Tahunan PAS tahun ini akan diadakan pada 22 hingga 24 November depan, dengan negeri yang dipilih menjadi tuan rumah adalah Selangor.

Muktamar tahun ini juga akan berlakunya proses pemilihan kepimpinan yang baru bagi setiap peringkat untuk sesi dua tahun berikutnya iaitu 2013-2015.

Tentera kudeta cuba cetus perbalahan agama

Harakahdaily, 18 Sep 2013

MESIR: Ikhwan Muslimin mendakwa serangan terbaru tentera kudeta terhadap penduduk di perkampungan Delga, Al Minya pagi Isnin lalu adalah sebahagian daripada propaganda untuk cuba mencetuskan permusuhan antara agama Islam dengan Kristian.

Pejabat akhbar Ikhwan di London dalam satu kenyataan mengecam keras serangan itu dan menyifatkannya satu tindakan jahat dalam usaha menyekat kebangkitan rakyat pro legitimasi menyatakan bantahan terhadap kudeta.

"Ini adalah sebahagian daripada propaganda junta tentera untuk mewujudkan persengketaan mazhab dan membenarkan kekejaman mereka terhadap orang-orang Delga yang tidak bersalah kerana bantahan tegas mereka terhadap kudeta.

"Pasukan keselamatan tidak pernah berminat untuk melindungi mana-mana warga Mesir selepas Revolusi 25 Januari dan kudeta 3 Julai," kata Ikhwan dalam satu kenyataan.

Isnin lalu tentera telah melancarkan serangan terhadap perkampungan Delga selepas mengepung segenap penjuru perkampungan tersebut dan melepaskan tembakan peluru hidup termasuk tembakan dari atas helikopter.

Serangan turut disasarkan ke atas tempat-tempat ibadat, termasuk serangan ke atas Koptik Mesir dan gereja serta terhadap orang awam yang tidak bersalah.

Tentera kudeta didakwa menggunakan alasan bahawa terdapat persengkataan di antara puak Isam dan Kristian di dalam kampung tersebut, dan menuduh penduduk menyimpan senjata dan pelancar roket.

Selain itu, tentera memberi alasan bahawa serangan itu sebagai usaha "melindungi" Kristian daripada 'militan' Islam.

Seorang paderi, Ayube Yusuf dari Gereja Mary Gerges ketika ditemubual stesyen On TV Ogos lalu menafikan bahawa berlaku persengketaan anatara orang Kristian dan Islam khususnya penyokong Morsi di kawasan itu.

Malah katanya, penduduk Islam dan Kristian bersatu menentang rampasan kuasa yang dilakukan tentera.

Sebaliknya menurut beliau, kekacauan dicetuskan kumpulan samseng yang didakwa dilindungi oleh pihak tentera.

"Sejak rampasan kuasa 3 Julai lalu, samseng telah melancarkan beberapa serangan ke atas gereja dan merampas sebuah biara yang berusia lebih 1,500 tahun.

"Pemimpin (Islam) tempatan telah mengeluarkan beberapa seruan kepada umat Islam untuk melindungi gereja-gereja Kristian di wilayah itu," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa masyarakat di tempatnya telah membuat beberapa aduan kepada pihak polis dan tentera untuk melindungi gereja-gereja mereka dari samseng, namun tiada sebarang kejayaan.

Dalam pada itu seorang penduduk yang juga saksi serangan mendakwa tentera dan polis telah melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ke atas penunjuk perasaan secara langsung.

Mereka juga menyerang menyerang Masjid Ibad Al Rahman, dan menjadikannya sebagai 'penjara' untuk menahan lebih daripada 200 orang awam yang tidak bersalah.

Tiada ulasan: