Rabu, 25 September 2013

FAHAMKE MEREKA YANG KAKI UMPAT DENGAN MUFLIS....FAHAMKE MEREKA YANG SERING MENGADU DOMBA

PAS tak mahu sekongkol, Mahfuz jawab Mukhriz

Muhammad Faizal, 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Persuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar meminta agar Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir memberi keadilan serta menghormati wakil Pakatan Rakyat yang dipilih opada pilihan raya umum yang lalu.

Jelas beliau, pemberian jawatan exco bukan satu penyelesaian dan PAS tidak mahu bersekongkol dalam kegagalan mahupun penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran sekarang.

"Bagi saya menawarkan jawatan exco itu bukan satu penyelesaian dan kita dari PAS tidak mahu bersekongkol dengan kerajaan BN dalam penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan hari ini.

"Jika Muhkriz telus mereka perlu berikan keadilan kepada wakil-wakil dari Pakatan Rakyat terutama dalam menjadi sebagai wakil yang boleh menentukan 'check and balance' pentadbiran kerajaan terutamanya dari soal memberi pendapat dan cadangan," jelas beliau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mukhriz bahawa pernah membayangkan ingin melantik Adun PAS ke dalam barisan exco negeri itu ketika awal kemenangan Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Mahfuz juga mengesa agar kerajaan turut menyediakan peruntukan kepada kawasan-kawasan yang dimenangi Pakatan Rakyat bagi memastikan setiap aktiviti serta pembangunan dapat dijalankan di kawasan tersebut.

"Kerajaan Kedah juga perlu menyediakan peruntukan kepada kawasan-kawasan yang dimenangi Pakatan Rakyat agar rakyat yang memilih calon dari pembangkang akan turut sama dapat menikmati pembangunan.

"Kita tidak boleh menganaktirikan mereka yang mengundi, sebagai negara demokrasi hak mereka perlu kita penuhi, Muhkriz perlu menjadi contoh kepada negeri-negeri BN yang lain," sambung beliau.

Mahfuz yang secara berseloroh sempat menyatakan sepatutnya Mukhriz menawarkan jawatan Menteri Besar bukannya exco kepada PAS, agar adun Umno tidak terpilih memegang jawatan exco tidak berasa kecewa.

Kerajaan tidak pandang serius laporan IPCMC

Hazayani Zakaria, 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Liew Chin Tong (DAP-Kluang) kesal terhadap jawapan Menteri Dalam Negeri yang tidak menyenaraikan secara terperinci tahap pelaksanaan setiap cadangan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (IPCMC).

Semalam, beliau meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan secara terperinci tahap pelaksanaan setiap cadangan yang diberi oleh IPCMC terkini.

Menteri Dalam Negeri dalam jawapan bertulis hanya memberitahu, terdapat sebanyak 125 cadangan penambahbaikan oleh IPCMC bagi meningkatkan sistem operasi dan pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa menyatakan setakat mana cadangan tu sudah dilaksanakan.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 90 (72%) cdangan telah diklasifikasikan telah dilaksanakan, 26 (20%) cadangan telah diklasifikasikan dalam pelaksanaan, 1 (0.8%) cadangan masih di peringkat kajian dan 8 (6.4%) cadangan tidak dilaksanakan," kata menteri tersebut.

KDN juga berkata, antara perkara yang menyebabkan sebahagian kecil cadangan-cadangan ini tidak dapat dilaksanakan adalah kerana ia menyentuh beberapa aspek seperti kerahsiaan dan keselamatan negara, melibatkan kos dan peruntukan kewangan yang terlalu tinggi serta pertindihan akta dan peraturan yang sedia ada.

Liew juga berkata, apa yang lebih dikesali apabila laporan IPCMC yang dikemukakan pada 16 Mei 2005 tidak dipandang secara serius oleh kerajaan.

Siapakah yang muflis itu?

Tengku Fariduddin, 25 Sep 2013
Dosa Mengumpat Hanya Boleh Diampun Oleh Mangsa

Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Rasullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat separti sabda nya bermaksud:

“Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat.” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad) Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.

Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah SAW. “wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering.”

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, diakhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah

“Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”.
Maka Allah menjawab “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”. Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat.

Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti. Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

http://harianislam.com

Barcelona-M’sia: MBSA rugi RM322,471 cek tendang

Selangorku, 25 Sep 2013
SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerugian RM322,471 berikutan penganjur perlawanan persahabatan bola sepak antara Malaysia dengan FC Barcelona menggunakan cek tendang.

Cek itu adalah bayaran penyewaan Stadium Shah Alam daripada penganjur BSC Soccer (M) Sdn Bhd pada perlawanan 10 Ogos lalu.

Hal itu disedari 20 Ogos lalu apabila bank memaklumkan cek yang dideposit MBSA tidak boleh ditunaikan kerana memerlukan tandatangan pihak kedua dari penganjur.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata MBSA sudah membuat laporan polis selain membawa perkara itu kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MBSA hari ini, beliau berkata, penganjur juga boleh disenarai hitam dari menganjurkan sebarang acara khususnya membabitkan sukan bola sepak di Selangor.

“Penganjur dikenakan bayaran sewaan penggunaan Stadium Shah Alam RM300,000 untuk perlawanan sebenar dan RM42,471 untuk latihan pasukan Barcelona.

“Penganjur hanya bayar RM20,000 untuk penyewaan stadium untuk latihan dan cek tendang bernilai RM300,000 pula diberi kepada MBSA sebaik sahaja perlawanan persahabatan berakhir,” katanya.

Selain kerugian hasil sewaan, Mohd Jaafar berkata, MBSA juga terpaksa menanggung kos kerja pembersihan dan lampu sorot stadium.

Tahaaluf siyasi: Menantikan pengisian bukan kajian

Dr Dzulkefly Ahmad, 25 Sep 2013


Syor kajian semula kedudukan PAS dalam muafakat politik Pakatan Rakyat khasnya dengan PKR, atau ‘Tahaaluf Siyasi’ dalam bahasa Arabnya menarik perhatian ramai. Akhirnya saya juga rasa terpanggil untuk menulis.
Untuk peringatan, mengadakan sesuatu muafakat atau koalisi (tahaaluf) adalah satu pendekatan strategik yang pernah dilaksanakan Rasulullah dalam sejarah perjuangan baginda mengikut perhitungan kepentingan "maslahah" perjuangan, serentak bagi mengelak atau mengurangkan kemudaratan "mafsadah".

‘Tahaaluf’ adalah satu perkara ‘ijtihad politik’ yang dilakukan sesebuah kepimpinan gerakan Islam dalam mengemudi perjuangan parti atau organisasinya. Ia antara pendekatan dalam bidang ‘siyasah syariah’ yang diharuskan oleh syariat. Ia tentunya bukan perkara prinsip yang ‘tetap’ bahkan sebaliknya sentiasa tertakluk kepada perhitungan baik-buruk (maslahah-mafsadah) dalam sesuatu masa, realiti keadaan serta tahap perjuangan.
Dalam bahasa fiqhnya, ia tergolong dalam hal ‘ijtihadiyyah’ dan terangkum dalam perkara ‘Mutaghayyirat’ atau yang ‘boleh berubah atau tidak tetap’.
Justeru cadangan menilai semula sesuatu pendirian tentang pendekatan strategi politik adalah menasabah. Namun perlu ada kesediaan pihak pembentang untuk menyatakan secara terbuka, apakah perkara ‘mafsadah syar'iyyah’ – ‘kemudaratan  syariah’ yang menjadikan kerjasama dengan PKR dan DAP itu menjadi ‘mudarat’ kepada perjuangan PAS.
Kalimat  seperti memudaratkan perjuangan atau mafsadah syariah memang emotif dan sensasi. Penulis setelah membuat tinjauan mendapati ‘mafsadah’ (keburukan) yang dimaskudkan adalah kerana ‘kelemahan’ PAS tidak dapat banyak peruntukan kerusi, kurang kerusi menang dan tidak diberikan kerusi bertindih.
Perbincangan yang lebih ilmiah dan teliti mesti bermula dengan menyebutkan tentang baik-buruk (maslahah dan mafsadah) kedudukan ‘tahaaluf’ itu.
Secara mudah, tahaaluf dimanfaatkan gerakan Islam, contohnya PAS, Ikhwan Muslimin dan lain-lain, setelah pimpinan tertinggi parti bermasyawwarah lalu ‘berijtihad’ dan membuat keputusan bahawa mereka mahu mewujudkan tahaaluf dengan pihak tertentu berdasarkan matlamat tertentu.
Ia tentunya sebahagian daripada matlamat besar perjuangan. Tidak timbul keperluan bertahaaluf kalau matlamat tersebut mampu dicapai ‘bersendirian’.
Tegasnya, mengadakan tahaaluf adalah untuk mencapai ‘sebahagian’ daripada matlamat besar perjuangan Islam itu sendiri atau dengan kata lain ‘maslahah kulliy’. Inilah yang cuba dirumuskan dalam huraian ‘Dasar-dasar Bersama Pakatan Rakyat’ (Common Policy Framework, CPF).
Dalam bahasa umumnya CPF ‘bermatlamatkan untuk menegakkan prinsip keadilan dan menyebarluaskan kebaikan atau makruf, kebajikan dan kemakmuran bagi seluruh rakyat Malaysia’. Sekaligus bersama membanteras segala kebejatan rasuah, salah guna kuasa, pembolotan kekayaaan dan pembaziran sumber atau ‘resources’ negara.
Semua ini dapat kita lakukan bersama dalam negeri-negeri yang berjaya Pakatan tawan dan tadbir bersama dengan dasar yang kita sepakati.
Di samping itu, secara lebih khusus atau maslahah juz’iy yang dikecapi antaranya seperti berikut. Sementara pimpinan yang menduduki jawatan MB, EXCO, Ahli Parlimen dan ADUN, ahli biasa juga mendapat kebaikan di segi mendedahkan pengalaman menjadi Ahli Majlis kerajaan tempatan sementara yang berkelayakan memimpin kariah dikampung sebagai ketua kampung dan ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung.
Usaha  dakwah dan bimbingan agama dapat didayakan lagi dengan peranan selaku iman, nazir dan penceramah bebas di masjid, surau di seluruh negeri Pakatan Rakyat.
Telah mula runtuh segala tembok prajudis dan fobia terhadap Islam dan PAS. Kebaikan dan natijah ini adalah hasil positif yang diperkuatkan oleh tahaaluf siyasi. Sikap dan pendirian yang konsisten menjadikan keyakinan bertambah kepada PAS. Semua ini adalah kebaikan serta terus menyerlahkan erti dan penghayatan Islam sebagai “Rahmatan Lil ‘Alamin” sekaligus memperkukuhkan persepsi positif terhadap Islam dan PAS.
Harapnya kita tidak terlepas pandang perkara ini apabila kita bercakap tentang kebaikan atau ‘maslahah’ kerjasama ini.
Penulis perhatikan tatkala dibincangkan tentang kelemahan dan  tahaaluf siyasi khasnya dengan PKR, kita berhujah sekitar isu ‘kerusi’. Penulis pendekkan perbahasan ini dengan menyatakan bahawa tentunya ada kemaslahatan yang cuba dibangkitkan oleh Ketua Dewan Ulama itu.
Namun kalau diteliti dengan cermat berdasarkan penyampaian pembentang, dakwaan tentang ‘pengurangan kerusi’ itu pun masih ada ruang pertikaian dan mensabitkan wujud kelemahan dan ‘mafsadah syariah’ atas perkara itu perlu kepada cara berhujah yang mesti bersifat ‘pengetahuan’ atau ‘data’ atau maklumat yang tepat.
Sebagai contoh, kerusi parlimen yang ditandingi PAS meningkat dari 66 pada PRU ke-12 ke 73 dalam ke-13. Ini sudah menjadi sepertiga daripada keseluruhan kerusi parlimen (222). Maka ia bertambah dan bukan berkurang.
Daripada tujuh kerusi yang PAS bertindih dengan PKR, PAS akhirnya hanya dapat tiga dan PKR empat. Hal banyak kerusi kalah atau tidak mencapai sasaran memerlukan wacana atau diskusi khusus bahkan sebuah post-mortem.
Saya mahu memetik kajian sebuah kumpulan analsis yang membuat kajian ke atas 32 kerusi majoriti Melayu di Selangor iaitu melebihi 51% pengundi Melayu - secara ‘pertandingan semula’ atau ‘rematch’ dengan perlawanan tiga penjuru dalam PRU ke-13. Sandaran dibuat kepada prestasi di Kota Damansara dan ujian perebutan peratus undian sokongan kaum Melayu/Cina/India secara ‘empirikal’ (metodologi tidak ditunjukkan di sini).
Dalam ‘best-case scenario’ sekalipun, sayugia diingatkan PAS akan kehilangan banyak kerusi dan begitu juga PKR. Yang menang besar ialah Umno.
Benar, mungkin ada yang akan mengingatkan saya, kemenangan bukan segala-galanya. Betul tetapi tentunya yang bertanya faham sebaliknya, segala-galanya menantikan kemenangan untuk memungkinkan kita melaksanakan sebahagian daripada cita-cita perjuangan.
Ini tentunya termasuk membenteras penyelewangan, rasuah, pembolotan kekayaan dan pembaziran negara. Semua ini merupakan tuntutan Allah SWT dalam rangka memakmur muka bumi ini serta mengangkat serta mengangkat ‘Karamah Insaniyyah’. Lanjutan daripada mengajak manusia mentaati Allah serta menjaga hak dan kebebasan agama lain untuk mengamalkan agama dan kepercayaan mereka.
Dalam menangani isu yang kontroversi serta membawa keberantakan kaum dan pertentangan agama, PAS teguh dengan pendirian berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah termasuklah isu kalimah Allah. PAS terus konsisten dengan pendekatan ‘murunah’  (flexible) dengan tidak bermudah-mudah (tasaahul), tidak juga ekstrem (tasyaadud) dan juga tidak memberat-berat (takaaluf). Cantik sebenarnya pendirian Mursyidul Am dan Presiden PAS iaitu pendekatan ‘Ummatan Wasotan’  – sangat berimbang, bijak, sederhana sesuai dengan mengambil kudwah sifat al-fatonah bijaksana Rasulullah.
Semua ini dapat kita serIahkan dalam penghayatan muafakat politik Pakatan Rakyat. Ketika PAS menunjukkan semangat kesederhanaan Islam, begitu juga DAP yang dulu dilabel ekstremis Cina juga mengambil pendekatan yang sama dalam semangat setiakawan. Hari ini kerja buat Ketua Menteri disanjungi umat Islam di Pulau Pinang dengan peruntukan dana yang besar kepada MAIPP. Kini kita bersedia untuk memerintah kerajaan Persekutuan dengan pendekatan Pakatan Rakyat yang cocok dengan kehendak rakyat “Malaysia Baru” dalam ‘Politik Baru”.
Kalau ada yang menerjah saya dengan soalan seperti biasa iaitu PAS tidak dapat melaksanakan hudud dalam Pakatan, maka jawapan saya amat mudah dengan satu persoalan lain. Apakah PAS dapat melaksanakan semua itu ketika keluar Pakatan nanti? Inilah perangkap dan makar jahat lawan yang sentiasa mereka adudombakan.
Secara rumusan keseluruhan, adalah dikhuatiri ketika mana-mana pihak terutama pimpinan tertinggi melafazkan sesuatu yang boleh membawa kepada perubahan pendirian atau polisi yang disepakati dalam muktamar, maka wajar ia diteliti dengan lebih cermat. Berfikir secara menyeluruh adalah satu sifat kepimpinan yang dihajati Islam.
Ini adalah sesuai dengan tuntutan prinsip “MaAlat Al-Af’al” yang mentakrifkan bahawa…”Menghitung kepada risiko atau kesan dari perbuatan atau kata-kata (khasnya pimpinan) adalah satu asas hukum yang mesti diambil kira".
Pimpinan termasuk yang menulis ini, wajar mengambil peringatan sekaligus meletakkan 'allignment' mereka selari dan sejajar dengan dasar dan pendekatan parti.
Tahaaluf siyasi yang dipelopori PAS, sebagai satu mata-rantai penting gerakan Islam, sesungguhnya menantikan perancangan pengisian yang lebih mapan dan bukan kajian yang menimbulkan pelbagai kegusaran.

Tiada ulasan: