Sabtu, 14 September 2013

ULAMA PATUT TAK MENGEJAR KEMEWAHAN...TAK PERLU PEMINAT2@PUJAAN2 DARI MANUSIA....TAPI PERLU DARI RAHMAT ALLAH SEBAB KEZUHUDANNYA

Toleransi berlebihan punca hilang sokongan Melayu?

Zulkifli Yahaya, 14 Sep 2013

ALOR SETAR: PAS gagal meyakinkan pengundi Melayu bahawa ia mampu memainkan peranan penting dan berkesan untuk memartabatkan bangsa Melayu dan memelihara kepentingan Islam termasuklah dalam pelaksanaan syariat Islam di Malaysia.

Demikian kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Ustaz  Harun Taib sewaktu menyampaikan ucaptama di Multaqa Ulamak Se-Malaysia yang diadakan di Kompleks PAS Kedah.

Menurut beliau, sikap toleransi berlebihan dan tidak berhati-hati PAS terhadap tawar menawar bukan Islam dan bukan Melayu juga amat meragukan pengundi Melayu terhadap kemampuan PAS dalam memelihara kepentingan mereka.

"Sekalipun undi Cina meningkat 14.1 peratus terhadap PAS pada PRU13 lalu, PAS tetap tidak akan dapat untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruhnya dalam parlimen.

"Adalah mustahil bagi PAS untuk terus berkembang selagi ia tidak mampu memperjuangkan haknya dalam Pakatan Rakyat bagi menambah memenangi lebih banyak kerusi parlimen, apatah lagi untuk PAS menjadi teras kerajaan Malaysia sekiranya Pakatan memerintah kelak," ujarnya.

Beliau berharap PAS Pusat segera menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada PAS serta menilai kembali tahaluf siyasi.

Ketua Dewan Ulamak itu juga menyarankan kepada kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat agar memberikan ruang yang munasabah dan sesuai kepada golongan ulamak untuk turut serta dalam kepimpinan dan pengurusan kerajaan negeri.

Mutaqa Ulamak dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat yang dijadualkan sehari suntuk hari ini, menghimpunkan perwakilan ulamak dari setiap negeri.

Antara yang disenaraikan terbabit dengan ucapan, perbahasan dan wacana ialah Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS, Dato' Haji Mahfuz Omar, Naib Ketua Dewan Ulamak, Dato' Dr. Mahfodz Mohamad, Datuk Dr. Mohamad Khairuddin at Takiri, Dato' Dr. Johari Mat, Dato' Nik Zawawi Salleh, Ustaz Zaharuddin Mohamad, Ustaz Mokhtar Senik dan Dr. Ahmad Nazri Mansor.

Dr Mujahid bukukan pengalaman dialog dengan gereja

Harakahdaily, 14 Sep 2013

PETALING JAYA: Sebuah buku nukilan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa berjudul 'Berdialog dengan Gereja sebuah Travelog kedamaian' telah disempurnakan peluncuran awalnya oleh Pengarang Rencana dan Analisis The Malaysian Insider,  Zulkifli Sulong.

Majlis berlangsung di Old Town White Coffee, Seksyen 13, dekat sini, petang semalam.

Buku terkini Dr Mujahid memaparkan pengalaman beliau selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional yang terlibat dalam dialog dengan pihak gereja, khususnya dalam isu kalimah Allah yang mencetuskan provokasi hubungan antara agama di negara ini.

Dalam ucapan ringkasnya Dr Mujahid menyatakan bahawa buku ini bersifat santai supaya semua pihak dapat membacanya berbanding dengan penulisan akademik yang agak ketat disiplinnya.

Prof Madya Mat Rofa, seorang pakar metematik yang banyak terlibat dalam dialog antara agama turut dijemput membuat ulasan buku.

Menurutnya, usaha berterusan perlu dilakukan untuk memahamkan orang ramai bahawa dialog antara agama adalah jalan ke hadapan dalam melihat hubungan antara agama terpelihara demi kedamaian.

Beliau juga menyebut sifat rahmat Islam adalah ciri utama keperluan dialog ini.

Zulkifli ketika berucap menyifatkan keterlibatan Dr Mujahid dalam dialog isu kalimah Allah bersifat proaktif dan menjelaskan keadaan di mana kisah perjalanan ini dikumpulkan dalam buku ini.

Pengerusi Eksekutif Ilham Books, Hisomudin Abu Bakar dalam ucapannya mengharapakan buku ini dapat memenuhi kehendak pasaran dalam buku-buku bertemakan dialog antara agama.

Majlis diakhiri dengan sesi tandatangan dengan berbagai pihak berpusu-pusu untuk mendapatkan buku dan tandatangan penulis.

Buku berharga RM 25.00 itu boleh diperolehi di laman   www.facebook.com/ILHAMBooks atau hubungi  019 6740644 dan email ilhambooks@gmail.com.

Usaha Umno gugat Pakatan Rakyat gagal

Aslani M, 14 Sep 2013
TUMPAT: Sehingga kini segala usaha dilakukan Umno dan BN bagi memecahkan kekuatan Pakatan Rakyat dianggap belum berjaya.

Namun di sebalik agenda itu PAS terus memperkukuhkan pakatan tersebut. Usaha awal Umno antaranya dikesan melalui agenda yang dinamakan kerajaan perpaduan (UG).

PAS menjadi taruhan utama memandangkan parti Islam tersebut berdepan dengan calon Umno yang mendominasi BN pada setiap pilihan raya yang diadakan.

Anggota jawatankuasa PAS Pusat, Ir Khalid Samad (gambar) berkata, Umno seperti mengakui masa hadapan politik mereka banyak bergantung kepada keupayaan PAS bagi mempertahankan Pakatan Rakyat.

“Seorang veteran Umno mengakui kedudukan Umno pada pilihan raya umum ke-14 nanti banyak bergantung kepada sejauh mana PAS mampu memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

“Sebab itulah dari awal lagi Umno cuba mengugat kedudukan PAS dalam Pakatan dengan melemparkan pelbagai tomahan termasuk mencanangkan isu kononnya PAS menjadi alat DAP,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung PAS di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut diadakan di Resort Pantai Sri Tujuh menyaksikan tiada pertanding jawatan utama, sebaliknya mengekalkan tokoh sedia ada iaitu Ustaz Datuk Ahmad Yakob sebagai Yang Dipertua, Mohd Zaki Ibrahim (timbalan) dan Che Abdullah Mat Nawi (naib).

Ahmad yang juga Menteri Besar sehingga kini kali ketiga menawarkan diri untuk berundur bagi memberi laluan tokoh yang lebih muda,  namun ditolak jawatankuasa PAS  Tumpat.

Oleh itu beliau berharap penggal akan datang jawatan tersebut disandang tokoh lain dengan mengambil kira bebanan tugasnya sekarang sebagai ketua kerajaan negeri.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff dan jawatankuasa PAS Pengkalan Chepa yang bertindak sebagai pemantau pemilihan mesyuarat agung tersebut.

Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam berkata, tahaluf siyasi PAS bersama rakan-rakan dalam Pakatan memberi manfaat besar kepada perubahan politik di negara ini.

Katanya, hasil gabungan itu Pakatan berjaya menafikan majoriti dua pertiga di parlimen bagi penggal kedua berturut-turut.

Bagaimanapun beliau meluahkan rasa hairan ada pihak yang terpengaruh agenda musuh, di mana mereka cuba mempersoalkan kedudukan PAS bersama rakan-rakan lain dalam Pakatan.

“Ternyata masih ada yang terpengaruh dakyah musuh tanpa melihat manfaat besar diperolehi PAS hasil gabungan dalam Pakatan sehingga berjaya membentuk kerajaan di Kedah, Selangor dan Kelantan.

“Malah Kelantan menjadi model pertama tahaluf siyasi dengan berganding bahu dengan Semangat 46 pada 1990 bagi  menumbangkan kerajaan BN,” ujarnya.

Hari Malaysia bersama Pak Samad di Melaka esok

Harakahdaily, 14 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Program Warna Warni Hari Malaysia bersama Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said akan diadakan di hadapan Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka esok (15 Sept) bermula jam 9.00 malam hingga 12.00 tengah malam.

Turur mengambil bahagian ialah Safuan Anang, Adli Abdullah, Cyril Anak Langin dan ramai Lagi.

Program anjuran NGO The Rage For Liberty, Pencinta Malaysia, Suara Mahasiswa UTEM (SMU) dan Radio Suara Rakyat FM menjemput rorang ramai ke pentas untuk luahan hati rakyat itu.

Untuk keterangan lanjut, boleh menghubungi  Shah Kesuma Jaya di talian 012-9727392.

Ulama dilihat hebat secara zahir jadi alat musuh

Harakahdaily, 14 Sep 2013



ALOR SETAR: Ulama dilihat hebat secara zahir, tetapi tidak mempedulikan hal ehwal masyarakat Islam menjadi alat kepada musuh Islam, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib.

Beliau menjelaskan, ulama yang bagus dan mengambil berat kerja-kerja amar makruf dan nahi mungkar.

Memetik kata-kata Imam Ghazali, katanya orang memusuhi lelaki memakai emas, tetapi tidak memusuhi pemerintah yang melanggar hukum Allah adalah ulama jahat.

Justeru, beliau menjelaskan lagi bahawa ciri ulama yang bersama dengan Nabi Muhammad s.a.w ialah yang bersikap keras ke atas kekufuran orang kafir dengan mempertahankan dasar Islam dan tidak menukar agama dengan dunia.

Mereka, ujarnya berkasih sayang sesama dengan orang beriman dan tidak suka berbalah sesama sendiri termasuk ketika ketiadaan musuh kerana mereka mahukan keredhaan Allah.

“Mereka yakin dengan janji Allah bahawa Islam akan menang, walaupun yang mereka cuba laksanakan dimusuhi oleh orang musyrik, kafir dan munafik,” jelasnya ketika berucap pada Multaqa Ulamak Se-Malaysia anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.

Jelas beliau lagi, golongan yang memusuhi Islam ialah orang yang jahil dan tidak kenal Islam, ulama yang jahat (ussu') yang menjual agama untuk kepentingan dunia, kerajaan yang mewarisi dasar-dasar kufur penjajah, orang-orang kafir, Yahudi dan Nasara.

Katanya, mereka tidak perlu masuk Yahudi dan Kristian, tetapi dasar Yahudi dan Nasrani diamalkan di dalam semua urusan kehidupan.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia menerusi facebooknya mengucapkan selamat berultaqa buat semua para alim ulama, para asatizah dan ilmuan Islam yang menggabungkan diri mereka dengan PAS.

“Semoga multaqa ini benar-benar mampu memberi izzah dan meningkatkan prestasi ulama agar lahir ulamak yang haraki yang gigih berjuang, memimpin dan membimbing ummah ke arah mendaulatkan Islam di atas tanah air tercinta,” ujarnya.

Tiada ulasan: