Ahad, 29 September 2013

SOMBONG ...BERLAGAK TAK KENA TEMPAT...SEBAB KURANG CERDIK

Isytihar harta: Ayuh Najib, sahutlah cabaran Ku Li

Harakahdaily, 27 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Sebagai pemimpin veteran yang penuh pengalaman, Tengku Razaleigh Hamzah sedar bahaya dan impak buruk daripada rasuah itu.

Kalau pun ia tidak menghancurkan Umno dan kerajaan dalam waktu yang terdekat ini, lambat-laun bala daripadanya pasti akan tiba.

Untuk mengembalikan keyakinan rakyat serta membuang persepsi rasuah itu, Tengku Razaleigh mencabar Najib Razak agar semua pemimpin dan bekas pemimpin, termasuk dirinya agar mengisytiharkan harta masing-masing supaya rakyat akhirnya boleh membuat penilaian.

“Dalam hal ini adalah wajar Najib menyahut cabaran Ku Li itu bagi membuktikan dirinya serta pasukannya dalam kerajaan adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar berwibawa, berintergeriti dan diyakini rakyat,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Baginya, dalam dunia moden yang menuntut ketelusan, pengisytiharan harta secara terbuka adalah kaedah paling baik menentukan bersih atau tidaknya seseorang pemimpin itu.

Baca di sini

Insiden isteri Mat Yo, penjelasan Azman

Muhammad Faizal, 27 Sep 2013
SUBANG JAYA: Nama Azman Mohd Nayan tiba-tiba menjadi popular sejurus tersebarnya insiden pertengkaran antara beliau dengan isteri Norshahrul Idlan Talaha di laman sosial dan Youtube sejak Selasa lalu.

Azman, 49, seorang pengawal keselamatan di Subang Skypark Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) menjadi individu terbaru yang menjadi topik perbualan di laman sosial ekoran rakaman itu.

Dalam rakaman video selama 54 saat itu, Siti Aisya Adam iaitu isteri Nor Shahrul dirakam sedang berperang mulut dengan Azman.

Rakaman itu turut menampakkan wajah Nor Shahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, yang dilihat menyaksikan pertengkaran itu.

Ketika ditemui Harakahdaily hari ini, Azman berkata beliau hanya menjalankan tugas sebagai seorang pengawal dan tiada niat langsung untuk berbalah dengan sesiapa.

"Ikut pada masa berlaku itu memang rasa nak hilang sabar, tapi fikir sebab saya menjalankan tugas, maka saya buat yang terbaik, saya cakap baik-baik," katanya.

Mengimbas kembali insiden itu, Azman berkata beliau paling sedih apabila dikatakan beliau akan disaman oleh pihak terbabit.

"Bila saya kena macam itu dan kata nak saman saya, saya sedih dan termenung, saya bukan orang senang, nak bayar dengan apa," katanya.

Menurut Azman yang berkerja di sini baru 10 bulan, beliau hanya mengetahui video tersebut selepas diberitahu oleh anaknya.

Tidak lama selepas itu katanya, ramai yang datang menyatakan simpati dan memberikan semangat kepadanya.

Ianya termasuk tawaran guaman percuma dari peguam-peguam yang bersimpati terhadapnya.

"Saya terharu dan sedih, ramai yang menyokong tindakan saya malah pihak majikan sentiasa bersama saya dalam hal ini," ujarnya.

Tambahnya, selain itu ada juga yang datang ke lapangan terbang tersebut mencarinya semata-mata untuk bergambar kenangan.

"Kepada orang di luar, kita kena kerjasama, jangan pandang hina kami yang bekerja seperti ini.

"Jangan menjatuhkan martabat kami, kami menjalan tugas untuk kesenangan semua, hormatilah kami sebagai pengawal," tegasnya.

Lynas: Malunya timbalan menteri kata 'kilang kicap'

Anis Nazri, 27 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kenyataan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Abu Bakar Mohamed yang mengatakan kilang memproses nadir bumi, Lynas selamat seperti kilang kicap dianggap kenyataan memalukan.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang, Andansura Rabu berkata kenyataan seumpama itu tidak layak diucapkan oleh seseorang berpangkat menteri atau timbalan.

"Kalau seorang timbalan menteri tidak dapat membezakan emosi dengan profesionalisme, ia hanya memburukkan keadaan. Malah, kenyataan itu hanya menjadikan rakyat semakin tidak yakin dengan jaminan kerajaan berhubung isu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, turut mengingatkan Abu Bakar agar lebih memahami isu di sebalik pengoperasian kilang Lynas sebelum membandingkannya dengan kilang kicap.

"Beliau kena tahu Lynas ini berasaskan bahan-bahan yang berbahaya, tidak bolehlah nak disamakan dengan kilang kicap," tambah beliau yang kini berada di Mekah.

Semalam, Abu Bakar yang menerima memorandum daripada beberapa aktivis anti-Lynas cuba menenangkan keadaan dengan berkata kontroversi sekitar pusat pemprosesan nadir bumi itu "selamat seperti kilang kicap".

Kenyataan itu menyebabkan berlaku sedikit ketegangan antara beliau dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Kilang bernilai RM700 juta yang dibina di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan itu menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang didakwa boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Kontroversi tersebut berterusan apabila kerajaan meneruskan dan membenarkan operasi kilang tersebut, biarpun beberapa siri demonstrasi diadakan bagi membantah kilang Lynas tersebut.

Cegahlah jenayah, bukan cabuli hak asasi manusia

Suaram, 27 Sep 2013
SUARAM menolak sebarang penggubalan atau pindaan undang-undang yang mengandungi elemen tahan tanpa bicara. Bermula dengan penggubalan SOSMA yang masih menjadi pertikaian banyak pihak, kini kerajaan sekali lagi mengambil langkah ke belakang apabila memasukkan elemen tahan tanpa bicara dalam pindaan terbaru Akta Pencegahan Jenayah 1959. Keadaan ini menjadikan hak asasi rakyat Malaysia terus diperjudikan oleh Kerajaan. Cadangan pindaan terbaru Akta Pencegahan Jenayah menjadi akta tersebut tidak ubah seperiti gabungan tiga akta drakonian iaitu SOSMA, ISA dan EO.

Menteri berbohong, pindaan dibuat tanpa konsultasi yang menyeluruh

SUARAM mempersoalkan ketulusan Menteri Dalam Negeri dalam menyiapkan draf pindaan Akta Pencegahan Jenayah. Sekiranya benar pihak menteri ingin menghasilkan satu undang-undang yang memberi manfaat kepada semua pihak, maka draf tersebut sepatutnya dibuat dengan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak. Namun setakat maklumat yang diterima oleh pihak SUARAM, draf tersebut langsung tidak melalui proses konsultasi yang menyeluruh termasuk tidak diperbincangkan dengan Majlis Peguam.

Perkara ini bercanggah dengan kenyataan beliau yang disiarkan Malaysiakini pada 6 julai lalu sebagai berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan    dengan pelbagai pihak termasuk NGO dan Parti Pembangkang bagi memperkemas sebarang undang-undang baru yang akan diperkenalkan.

SUARAM menyifatkan tindakan membentangkan pindaan Akta Pencegahan Jenayah di parlimen tanpa konsultasi yang menyeluruh merupakan satu pengkhianatan dan pembohongan menteri terhadap rakyat.

Janji Perdana Menteri hanya tinggal janji

Pada 15 September 2011, semasa mengumumkan pemansuhan ISA dan Ordinan Darurat, Perdana Menteri memberi jaminan tidak akan ada lagi undang-undang yang membenarkan tahanan lanjutan. Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa sebarang undang-undang baru yang akan digubal akan tertakluk sepenuhnya dibawah kuasa mahkamah.

Namun dalam cadangan pindaan terbaru Akta Pencegahan jenayah, terdapat peruntukan yang membenarkan seseorang itu dikenakan tahanan lanjutan sehingga dua tahun. Lebih menyedihkan apabila kuasa untuk mengenakan tahanan lanjutan itu terletak dibawah kuasa sebuah Lembaga Khas dan bukannya Mahkamah.

Walaupun ahli Panel Lembaga Khas itu akan dianggotai oleh Hakim samada dari Mahkamah Persekutuan, Rayuan atau Mahkamah Tinggi, namun seorang Hakim tidak memiliki sebarang kuasa untuk menjatuhkan sebarang hukuman ke atas mana-mana individu diluar mahkamah. Turut menjadi persolan ialah bagaimana proses  lantikan panel Lembaga itu dibuat?. Apakah Lembaga ini akan benar-benar bebas daripada pengaruh eksekutif?

Peguam Negara perlu nyatakan pendirian jelas
SUARAM juga menuntut Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menyatakan pendirian jelas mengenai pindaan terbaru Akta Pencegahan Jenayah ini. Peguam Negara sebelum ini dengan tegas mengatakan negara kita sudah tidak memerlukan undang-undang tahan tanpa bicara seperti EO dan ISA. Peguam Negara juga seperti yang dilaporkan The Malaysian Insider bertarikh 25 ogos 2013 sebagai berkata, EO tidak akan menyelesaikan masalah jenayah tetapi Polis sudah ketagih untuk menggunakan EO.

Maka SUARAM ingin bertanya pendirian terkini Peguam Negara mengenai hal ini. Jika benar Tan Sri Abdul Gani Patail jujur dalam membela kepentingan hak asasi rakyat, maka beliau perlu menyatakan dengan tegas bahawa tindakan meminda Akta Pencegahan Jenayah merupakan satu kesilapan.

Cegah jenayah penting, tapi bukan dengan tahan tanpa bicara

SUARAM menyatakan pendirian jelas bahawa SUARAM menyokong sebarang usaha bagi mengekang kejadian jenayah yang semakin meruncing di negara ini. Namun usaha tersebut mestilah dijalankan dengan mematuhi prinsip hak asasi sejagat.

Polis Diraja Malaysia memiliki rekod yang cemerlang dalam mematahkan kejadian jenayah dan memburu penjenayah tanpa menggunakan undang-undang pencegahan. Sebagai contohnya, dalam tempoh Polis menggerakkan Ops Cantas dan Ops Cantas Khas yang bermula ogos lalu, kadar janyah indeks khususnya jenayah kekerasan telah berjaya diturunkan sehingga 42%. Hal ini menunjukkan pihak Polis berjaya mengendalikan kes-kes jenayah dengan menggunakan undang-undang sedia ada.

Oleh itu SUARAM ingin mempersoalkan tujuan sebenar yang terselindung di sebalik cadangan pindaan terbaru ini.

Menteri Dalam Negeri tidak boleh menyalahkan rakyat sekiranya rakyat mempersoalkan niat sebenar pindaan Akta Pencegahan Jenayah ini. Hal ini kerana sejarah telah banyak menunjukkan bagaimana ISA dan EO mencabuli hak asasi rakyat sepanjang akta tersebut berkuatkuasa. Pada tahun 1960, Kerajaan menjadikan keganasan komunis sebagai alasan untuk menggubal ISA. Hasilnya, dalam tempoh 30 tahun, lebih 10,000 aktivis politik dan NGO menjadi mangsa akta zalim tersebut.  Bahkan sehingga kini, masih terdapat 7 orang tahanan ISA yang masih belum dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting.

Kali ini kerajaan menggunakan jenayah sebagai alasan untuk membenarkan penahanan tanpa bicara melalui pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959. Maka sudah pasti ramai pihak akan membimbangi masa depan demokrasi dan hak asasi rakyat Malaysia.

Catatan penghormatan Ustaz Azizan Abdul Razak

Mohd Zuhdi Marzuki, 27 Sep 2013
Ustaz Azizan Abdul Razak adalah sebuah nama besar dalam gerakan Islam di Malaysia, malah turut dikenali di kalangan pimpinan gerakan Islam di luar negara. Seorang yang hidup secara sederhana, suka bergurau tetapi sangat tegas dalam membuat keputusan. Sifat-sifat yang ada pada beliau, menjadikan setiap mesyuarat yang beliau hadiri menjadi hidup dan begitu bermakna. Dalam mana-mana mesyuarat yang beliau hadiri, beliau antara yang kerap memberi pandangan dan komentar. Pernah ketika aku menghadiri satu mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, aku bertanya kepada Setiausaha Politik beliau, Saudara Muhammad Sanusi Md Nor, "Apa khabar Ustaz Azizan?". Kata Sanusi: "Kalau dia banyak cakap dalam mesyuarat tu, tandanya dia sihat".

Ketegasan beliau ini dibawa ke mana-mana sama ada semasa beliau berkhidmat sebagai pensyarah di UKM sehinggalah terlibat secara sepenuh masa dengan PAS. Aku pernah mendapat pengkhabaran, beliau pernah menempelak Dr Yusof al-Qaradawi sewaktu sama-sama hadir mewakili PAS dalam persidangan gerakan Islam sedunia. Beliau menempelak Dr al-Qaradawi disebabkan beliau pernah menyebut PAS sebagai musta'jilun (golongan yang tergesa-gesa) dalam persoalan melaksanakan hukum hudud. Aku diberitahu, Ustaz Azizan bertanya Dr al-Qaradawi, adakah beliau benar-benar faqih dengan realiti Malaysia dan kalau beliau tidak faqih sepatutnya bertanyalah kepada PAS, bukannya ke datang Malaysia terus berjumpa dengan golongan sekular di dalam UMNO.

Aku mula mengenali Ustaz Azizan hampir 20 tahun yang lalu, ketika itu beliau dalam tahun-tahun terakhir berkhidmat di UKM. Ketika itu aku bertemu dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk menyampaikan jemputan memberi pengisian ilmu kepada anak-anak muda yang bakal bertamrin. Tuan Guru Haji Abdul Hadi tidak dapat memenuhi jemputan, lalu beliau mencadangkan nama Ustaz Azizan. Ketika itulah aku mula mengenali nama Ustaz Azizan, salah seorang ulama yang mula berkecimpung sepenuh masa dengan PAS. Selepas bergraduasi, aku menjadi salah seorang ahli jawatankuasa Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat, dan Ustaz Azizan adalah salah seorang anggotanya. Di kesempatan itulah aku semakin mengenali Ustaz Azizan dengan sifat-sifat yang dinyatakan sebelum ini.

Dalam mesyuarat-mesyuarat yang dihadiri bersama, Ustaz Azizan adalah kuat mempertahankan pandangannya, malah beliau begitu tegas dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan kewangan. Beliau sering mengingatkan supaya 'ikut buku' ataupun sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang dibuat. Sebagai contoh katanya, "sekiranya enta berniaga, enta jangan sesuka hati beri anak enta barangan yang diniaga (seperti gula-gula dan lain-lain). Kalau mereka ambil, minta mereka bayar atau enta sendiri keluarkan duit enta untuk membayarnya". Ketegasan Ustaz Azizan itu, menyebabkan kadang-kadang berlaku ketegangan dalam mesyuarat, tetapi selepas selesai mesyuarat, Ustaz Azizan akan kembali ramah seperti biasa.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan sifat-sifat Ustaz Azizan ini, pasti mereka akan terkedu pada permulaannya, tetapi setelah mengenali beliau barulah kita akan memahami tingkahlakunya. Demikianlah sifat-sifat Ustaz Azizan dalam berkecimpung sepenuh masa dengan PAS, sehingga beliau menjadi salah seorang pimpinan PAS yang sangat kritis dalam memberi pandangan dan membuat keputusan. Ustaz Azizan terlibat dengan organisasi PAS di peringkat tertinggi, iaitu Majlis Syura Ulama sehinggalah ke peringkat akar umbi kawasan dan cawangan. Beliau mula menjadi tulang belakang utama PAS di Kedah selepas pemergian Ustaz Fadzil Mohd Nor. Selepas kemenangan PAS di Kedah dalam PRU 2008, beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

Sewaktu menjadi Menteri Besar Kedah, beliau menunjukkan kesederhanaan sebagaimana Mursyidul Am PAS yang menjawat jawatan Menteri Besar di Kelantan. Ustaz Azizan tidak mengambil elaun-elaun selaku pengerusi beberapa syarikat berkepentingan kerajaan negeri (GLC), malah memotong elaun Menteri Besarnya untuk diinfaqkan bagi kegunaan rakyat dan parti. Beliau tidak mendiami rumah rasmi MB, sebaliknya terus hidup di tengah-tengah rakyat bawahan di rumah yang serba sederhana. Cara beliau berpakaian juga sangat sederhana, dengan membeli pakaian-pakaian yang berharga murah sepertimana rakyat kebanyakan. Banyak sekali catatan mereka yang bersama-sama dengan Ustaz Azizan, melihat sendiri kesederhanaan beliau dalam kehidupan sehari-hari.

Ramai yang tidak menyedari bahawa Ustaz Azizan berpendidikan tinggi disebabkan kehidupannya yang seperti orang kampung. Ketika beliau mula menjawat jawatan Menteri Besar, ramai juga yang menyangka beliau berkelulusan sekolah pondok, bekas guru sekolah rendah dan lain-lain sangkaan. Bila diberitahu Ustaz Azizan adalah bekas pensyarah UKM dan berkelulusan sarjana dari University of Kent, United Kingdom, ramai juga yang terkejut. Beliau menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris disebabkan pengalamannya hidup beberapa tahun di Mesir dan United Kingdom. Pengkhususan Ustaz Azizan adalah Syariah dan Perundangan Islam, di samping beliau mahir dalam Usul al-Fiqh. Dengan latar belakang tersebut, Ustaz Azizan sering menjadi kepercayaan Tuan Guru Haji Abdul Hadi untuk menyemak buku-buku yang ditulisnya sebelum diterbitkan.

Ketika aku menziarahi bekas Ketua Pemuda PAS, Ustaz Jais Anwar, di rumahnya di London sekitar tahun 2008, aku diberitahu bahawa Ustaz Azizan adalah salah seorang rakan karibnya. Ketika berbual tersebut, Dr Mahfuzd Mohamad yang ada bersama dalam rombongan itu menyatakan, bahawa selepas tamat pengajian di Universiti Azhar Mesir, mereka seramai empat orang mengambil keputusan tidak mahu kembali ke Malaysia. Sebaliknya mereka merancang untuk menyambung pengajian di United Kingdom. Keempat-empat sahabat itu ialah Ustaz Jais Anwar, Ustaz Azizan Abdul Razak, Dr Mahfuzd Mohamad dan seorang lagi bekas pensyarah UKM yang aku lupa namanya. Mereka berkelana ke UK dengan tiada sebarang biasiswa atau bantuan kewangan dari mana-mana pihak.

Mereka memulakan kehidupan mereka di UK dengan melakukan pelbagai pekerjaan termasuklah membasuh pinggan, menjadi buruh kasar keretapi, berniaga sate dan lain-lain. Bila mereka mempunyai kewangan, barulah mereka menyambung pengajian mereka di peringkat sarjana. Tiga orang dari mereka berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD, dan kembali ke Malaysia menjadi pensyarah di UKM dan UM. Manakala Ustaz Jais Anwar terus menentap di UK sehinggalah beliau meninggal dunia di sana. Aku diberitahu oleh Ustaz Jais dan Dr Mahfuzd, pengalaman mereka di sana menyebabkan mereka tidak begitu bergantung kepada orang lain dan berani untuk menyatakan pendirian masing-masing. Ustaz Jais Anwar yang merupakan menantu Dato Asri Muda, juga meninggal dunia dalam keadaan hatinya terus komit bersama dengan PAS.

Ustaz Azizan telah dijemput oleh Allah pada hari semalam 26 September 2013, meninggalkan jasanya yang begitu besar kepada anak bangsa yang pernah menuntut di UKM dan UIA, dan lebih utama lagi jasanya kepada masyarakat Kedah termasuk legasinya yang cemerlang dalam melaksanakan pentadbiran yang berhemah dan telus. Sudah barang pasti, jasanya kepada perjuangan Islam melalui PAS juga cukup cemerlang, sehingga beliau berjaya mengemudi PAS Kedah untuk menawan negeri Kedah dalam PRU yang ke 12. Semoga ALlah memayungi Ustaz Azizan dengan rahmatNya dan mengampunkan dosa-dosanya, agar ia ditempatkan bersama-sama dengan para anbiya', siddiqin, shuhada' dan salihin. Semua kita akan pasti melalui detik itu, yang berbeza ialah sama ada kita akan mati dalam perjuangan meninggikan kalimah Allah atau tidak.

Tiada ulasan: