Isnin, 23 September 2013

KAD KREDIT MENJERAT DIRI KEPADA HUTANG

Pulau Pinang beri RM40,000 kepada Adun pembangkang

Harakahdaily, 22 Sep 2013
GEORGE TOWN: 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang Umno BN di negeri ini diberikan peruntukan untuk projek pembangunan kecil sebanyak RM40,000 setahun mulai 2014.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu dibincangkan dalam mesyuarat Exco negeri pada 18 September lalu dan telahpun diluluskan secara prinsip.

“Selepas mekanisma peruntukan RM40,000 setahun ini ditetapkan, maka ia akan dibentangkan dalam Belanjawan 2014 kepada Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada akhir tahun ini,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Selepas kemenangan Pakatan Rakyat (PR) dengan tambahan undi popular sebanyak 10 peratus kepada 68 peratus dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) pada bulan Mei lepas, ada 30 Adun PR dan 10 Adun Umno BN.

Sebelum ini, kata Lim kerajaan negeri telah cuba menjemput Adun-Adun Umno untuk menyertai keahlian jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri agar mereka ada membuat kerja sambil menerima peruntukan.

Akan tetapi, ujarnya tawaran ikhlas kerajaan negeri telahpun ditolak sama sekali dengan begitu angkuh sekali oleh Adun Umno kerana tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan PR.

Katanya, kerajaan negeri mahu Adun Umno menjadi ahli jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana bimbang mereka tidak akan ikut standard operating procedure yang ditetapkan seperti tender terbuka secara kompetitif, berintegriti dan melarang penglibatan ahli keluarga pemimpin-pemimpin daripada melibatkan diri dalam urusniaga dengan kerajaan.

Beli apartmen mewah London dengan duit Felda

Shirzad Lifeboat, 22 Sep 2013

LEBIH kerap dari tidak, kematian dalam Umno tidak membawa makna kepada sesetengah orang.  Ambil  sahaja Isa Samad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Setelah dikenakan tindakan disiplin kerana ‘politik wang’, istilah suam kuku Umno bagi amalan merasuah perwakilan di perhimpunan agung bagi memilih jawatankuasa tertinggi parti, Isa kembali mencuri perhatian media.

Selanjutnya, apa juga kesalahan dalam Umno tidak kira sebesar mana sekalipun, tidak akan memadamkan peluang seseorang untuk kembali hidup dan mencapai kedudukan dalam parti dan seterusnya dalam kerajaan.

Justeru kenyataan klasik bekas Presidennya, ‘Melayu mudah lupa’ cukup relevan untuk ahli serta pemimpin Umno.  Hal seperti ini mengingatkan kita kepada kenyataan seorang penulis politik veteran ketika menyindir orang Umno dalam buku-buku tulisan beliau betapa orang Melayu (dibaca orang Umno) mempunyai ingatan singkat atau ‘short memory’.

Tahun 2009 membuktikan hal ini apabila Isa yang dikenakan tindakan penggantungan keahlian selama tiga tahun (24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008)  dipanggil untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Walaupun pencalonan beliau mendapat kritikan dari sesetengah pemimpin Umno sendiri,  Najib mempunyai sebab tersendiri yang hanya diketahui oleh dirinya dalam memilih Isa sebagai calon walaupun tindakan penggantungan bagi seseorang yang telah menjadi Menteri Besar selama 22 tahun (April 1982 hingga Mac 2004) mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan sekaligus tidak lagi layak untuk diletakkan kepercayaan untuk menjawat sesuatu jawatan awam.

Kemenangan Isa di Bagan Pinang menyuntikkan nyawa baru dalam hayat politik beliau.  Walaupun Najib berhati-hati tidak meletakkan Isa kembali ke kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan, namun  Perdana Menteri memeranjatkan semua apabila melantik Isa selaku Pengerusi Felda.

Maka setelah dihidupkan semula dari kematian politik apabila terpilih dan muncul sebagai seorang Adun, perlantikannya selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan,  satu-satunya skim pra-Merdeka (Felda ditubuhkan pada 1956) bagi menangani penempatan semula penduduk miskin luar bandar ke kawasan-kawasan baru dibangunkan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka dengan tumpuan khas diberikan untuk tanaman kontan.

Begitulah sejarahnya.  Namun,  sementara umum tidak begitu pasti apakah ekonomi di peringkat rakyat yang bernaung di bawah Felda telah meningkat berkali ganda, atau sebaliknya beranjak secara marginal,  namun apa yang pasti, badan yang diamanahkan untuk menghapuskan kemiskinan mereka kini sudah menjadi pemain besar dalam dunia korporat.

Benar sebelum ini Felda membuat pelaburan di sana sini dalam bidang bersabit aktiviti terasnya.  Tapi sejak Isa mengambil alih tampuk kuasa pengurusan tertingginya, Felda seolah-olah muncul sebagai sebuah lagi penyerang korporat Malaysia dengan mimpi besar.

Tidak lama dulu, dengan dilatarbelakangi pelbagai bantahan dan dari pelbagai pihak, Isa meneruskan keputusannya mengapungkan saham Felda menerusi penubuhan Felda Global Ventures Holdings.

Kini, Isa meneruskan pencapaian mimpi beliau sebagai ‘corporate raider’ apabila beberapa hari lalu Felda memeterai pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di kawasan Bayswater, London.  Menurut laporan sebuah akhbar bisnes tempatan, bangunan plaza mengandungi 198 unit apartment itu dibeli oleh Felda pada harga STG98 juta (RM499.8 juta).

Banyak pemerhati menganggap pembelian hartanah di ibu negara United Kingdom ini adalah sebahagian daripada aktiviti membeli belah yang dilakukan oleh Felda di bawah Isa.  Bulan lalu Felda menguasai saham Idris Corp Bhd pada kos RM110 juta.  Dan sebelum itu, Felda juga telah membeli Grand Borneo Hotel di Kota Kinabalu.

Kurang pasti bagaimana pelaburan ala-korporat ini akan memberikan pulangan setimpal ke atas modal Felda yang telah dikeluarkan dan bagaimana pula ia akhirnya dapat memenuhi aspirasi asal badan tersebut bagi menaikkan taraf ekonomi golongan miskin yang disasarkan menerusi skim ini.

Namun lebih kepada perwatakan seorang ahli politik berbanding penyerang korporat tulen, sudah tentu Isa mempunyai jawapan kepada setiap soalan yang bakal dikemukakan.

Tamadun Islam semakin hilang di Republik Czech

Lan Jusoh, 22 Sep 2013
PRAGUE: Bangunan reka bentuk aneh bercirikan tamadun Rom menggamit pelancong dari seluruh dunia bertandang ke ibu kota Republik Czech.

Istana Prague, Charles Bridge dan Old Town Square antara lokasi bersejarah yang menggambarkan tamadun awal manusia. Ia mencorak budaya hidup tempatan dengan pengaruh agama dalam acuan seni reka bangunan.

Betul-betul memukau pandangan mata, menyamai keanehan objek yang dianggap ajaib di dunia seperti piramid di Mesir dan Chandi Borobudur di Indonesia.

Seperti juga Borobudur yang dicatat dibina pada abad ke-9 merupakan Mahayana Kuil Buddha di Magelang, Jawa Tengah.

Prague muncul pada zaman Romanesque dan berkembang era Gothic dan Renaissance. Tercatat dua Maharaja Rom bertakhta di situ yang lebih dikenali Empayar Rom Suci.

Prague merupakan bandar utama ketika Monarki Habsburg dan Empayar Austria-Hungary.

Selepas Perang Dunia I muncul sebagai negara Czechoslovakia. Di tengah-tengah bandar tersebut sehingga kini dapat dilihat kesan-kesan pengaruh agama Kristian melatari kehidupan di republik Czech.

Keindahan dan kehebatan seni bina ciptaan warga Czech tidak hairanlah pada 1992, lokasi bersejarah Kristian itu disenaraikan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

Mempunyai berpuluh muzium bagi kegiatan teater, galeri, panggung wayang, dan pameran artifak bersejarah lain.

Difahamkan berdasarkan catatan sejarah Prague pernah dikuasai Khalifah Othmaniah, di mana hampir kesemua penduduk ketika itu beragama Islam.

Malangnya sekarang semuanya itu hilang. Hari ini didominasi penduduk Kristian Katholik dan Protestan. Lebih menyedihkan lagi masjid yang pernah mewajah budaya Czech sekarang sukar lagi ditemui.

Mungkinkah masjid sudah ditukar menjadi gereja atau muzium. Senibina Islam itu tidak mampu dilumpuhkan begitu sahaja kerana masih ada kesannya di Prague.

Sejarah seperti mempamerkan masih ada reka bentuk bangunan lama yang menyerupai masjid dengan bumbung dilengkapi kubah.

Penduduk tempatan yang ditemui tidak tahu di mana terletaknya rumah ibadat orang Islam, sebahagian besar mereka pendatang dari Arab dan Afrika utara.

Seorang pemuda bekerja di kedai menjual pakaian berjenama Hard Rock memberitahu beliau berasal dari Algeria dan berkahwin dengan penduduk tempatan.

“Saya masih Islam, hanya Allah yang tahu keadaan sebenar,” ujarnya yang memakai rantai pelbagai logo. Ada juga kelihatan seperti lambang salib.

Sambil menggeleng-geleng kepala beliau seperti mengakui terpaksa berperang dengan arus kehidupan sosial melanda dirinya sehingga menenggelamkan baka Islam.

Peperangan yang sering berlaku di era tamadun, masih mampu menyelamatkan artifak yang diserapi unsur-unsur Kristian.

Banyak bangunan masih terselamat biar pun pernah dicatat berlaku keganasan dan kemusnahan abad ke-20 di Eropah. Semuanya itu masih terpahat di Wall Lennon dan Petrín.

Prague merupakan bandar ke-14 terbesar di Negara Kesatuan Eropah. Terletak di barat laut negara di Sungai Vltava.

Mempunyai kira-kira 1.3 juta orang namun mampu menarik lebih 4 juta pelancong setiap tahun.

Sejarah kaya dengan unsur Kristian menjadikan Prague pada 2009 dan 2011 bandar keenam paling kerap dilawati di Eropah.

Purata anak muda punyai tujuh kad kredit

Ahmad Tajdid, 22 Sep 2013
SHAH ALAM: Purata anak muda bekerjaya di negara ini memiliki tujuh kad kredit, angka yang menggambarkan tahap berbelanja generasi muda yang membimbangkan.

Malah Pegawai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Muhammad Rapidi Mohd Darus (gambar) mendedahkan pernah memberikan kaunseling kepada seorang  pekerja wanita bank tempatan yang memiliki 42 kad kredit!

“Ini bermaksud wanita itu memohon kad kredit daripada semua bank komersial yang beroperasi di negara ini,” kata beliau ketika membentangkan tajuk ‘Fenomena Muflis Dalam Golongan Muda di Malaysia’ pada Seminar Maqasid Syariah Kebangsaan anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) di Auditorium Karangkraf, dekat sini, petang semalam.

Menurut Rapidi, keadaan ini berlaku kerana permohonan kad kredit  tidak dikawal Bank Negara dan institusi perbankan komersial bersaing menawarkan perkhidmatan tersebut ekoran pulangan yang menarik.

Mengulas lanjut, beliau berkata dari 2010 hingga 2012 berlaku peningkatan 8 peratus jumlah individu yang diisytiharkan bankrap oleh mahkamah iaitu 18,119 pada 2010 dan 19,575 (2012).

Daripada jumlah keseluruhan individu yang diisytiharkan muflis, 84 peratus diakibatkan kegagalan menjelaskan pinjaman termasuk kad kredit.

“Hutang sewa beli (kenderaan) dank ad kredit adalah paling tinggi di kalangan generasi muda,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, ramai anak muda Melayu yang mengalami kebankrapan setelah dua atau tiga tahun bekerja.

Fenomena ini, ujarnya diakibatkan daripada sikap berbelanja boros dan tidak mengikut kemampuan.

Rapidi memberi contoh kecenderungan anak muda Melayu bekerjaya memakai kereta berjenama mewah walaupun baru memiliki pekerjaan.

“Dengan gaji yang tidak seberapa,  mereka dibebankan dengan bayaran semula pinjaman, minyak dan kos penyelenggaraan,” katanya.

Kejahilan dalam memahami syarat-syarat perjanjian jual beli juga, jelas beliau mengakibatkan mereka menghadapi tindakan undang-undang oleh syarikat perbankan apabila menyorokkan kereta yang tidak mampu dijelaskan bayaran sedangkan kaedah yang betul adalah menyerahkan kereta itu  kepada pihak bank.

Statistik yang diperolehi AKPK sehingga Mei 2009, ujar Rapidi menunjukkan 50 peratus individu muflis ialah mereka yang berumur di bawah 30 tahun.

Pada 2005 sejumlah  49.39 peratus mereka yang diisytiharkan muflis berumur di bawah 30 tahun,  46.32 peratus (2006), 55.79 peratus (2007), 48.17 peratus (2008) dan 46.04 peratus (hingga Mei 2009).

Rapidi yang telah berkhidmat lebih enam tahun di AKPK menasihati ibu bapa supaya menanamkan sikap berjimat cermat dan belanja berhemah kepada anak-anak mereka.

AKPK, ujarnya sedia membantu individu yang bermasalah kewangan dengan mengatur pembayaran semula hutang kepada institusi kewangan berdasarkan kemampuan kewangan individu terbabit.

Pihak AKPK juga, jelasnya bersedia member khidmat nasihat kewangan kepada mereka yang menghadapi bebanan kewangan sedangkan sumber pendapatan tidak mencukupi.

Kerajaan PR S'gor tunai janji beri geran tanah

Selangorku, 22 Sep 2013

SUNGAI BULOH: Seramai 90 orang penduduk Kampung Matang Jaya, Paya Jaras berasa teruja kerana penantian puluhan tahun untuk memiliki geran tanah bakal ditunaikan Kerajaan Negeri.

Seorang penduduk, Manimegalaen,35, (kiri) berkata beliau amat terharu tanah yang diduduki selama lebih 20 tahun bakal menjadi miliknya.

“Akhirnya impian saya untuk memiliki geran tanah sendiri selepas segala urusan pada pagi ini selesai, terus-terang saya merasa sangat-sangat gembira kerana sudah menunggu bagi tempoh yang lama untuk memilikinya,” katanya.

Bagi Rajasami, 67, (kanan) pula berkata usaha Kerajaan Negeri memberikan hak milikan kepada penduduk wajib dipuji kerana ia membuktikan kepedulian pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Saya ingin ucapkan terima kasih khusus kepada Kerajaan Negeri dan Tan Sri kerana membuktikan bahawa Kerajaan Negeri pimpinan beliau sentiasa mengutamakan kehendak rakyat yang selama ini dipinggirkan kerajaan sebelumnya,” katanya.

Manimegalaen dan Rajasami ditemui ketika menyelesaikan urusan pemilikan geran tanah yang diuruskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama firma guaman yang terlibat di Dewan Orang Ramai Kampung Matang Pagar dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Safie, 41 (kiri) berpendapat jumlah bayaran premium RM1,000 yang dikenakan Kerajaan Negeri adalah tidak membebankan rakyat yang ingin memiliki geran tanah sendiri.

“Biarpun belum selesai lagi prosesnya, saya rasa jika perlu dibayar RM1,000 pun saya sanggup kerana ia masih berpatutan dan saya percaya penduduk lain juga sependapat dengan saya,” katanya.

Penolong Pegawai Tadbir PKNS, Ismarazi Ismail berkata urusan pengambilalihan geran tanah ini mempunyai beberapa peringkat sebelum penduduk dapat memiliki geran tanah sendiri.

Katanya, PKNS sentiasa membantu bagi melicinkan proses berkenaan dengan bertindak sebagai pengantara diantara penduduk dan firma guaman serta pejabata tanah.

“Tujuan utama program kita hari ini adalah membantu melicinkan proses pemilikan geran tanah supaya penduduk tidak perlu bersusah payah untuk ke firma guaman serta pejabat tanah kerana rata-rata penduduk tidak tahu mengenai kaedah serta prosesnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ismarazi berkata, semua penduduk berkenaan dijangka dapat memiliki geran tanah sendiri dalam tempoh sebulan selepas semua urusan diselesaikan oleh Pejabat Tanah.

Tiada ulasan: