Posted on Monday, September 16 @ 19:26:15 MYT
Dilulus untuk paparan oleh korokkering
KOTA BHARU - Seorang buruh berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri RM1 duit tabung masjid, Selasa lalu.
Hafizuddin Mohmed@Mohamed, 23, dituduh mencuri duit Masjid Al-Tarbiahislimiah di Wakaf Che Yeh di sini, pada jam 11. 41 malam, 10 September lalu.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. Dakwaan dijalankan Pendakwa Raya, Cif Inspektor Saiful Nizam Mislah di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad
Pada prosiding semalam, tertuduh bagaimanapun menafikan tuduhan itu sebaliknya memberitahu mahkamah duit berkenaan adalah duit kepunyaannya yang mahu didermakan kepada masjid itu.
“Saya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan berhenti untuk solat Isyak. Belum sempat nak derma saya dah kena cekup dengan orang kampung,” katanya.
Majistret yang tersenyum mendengar alasan itu kemudian berkata, kalau begitu ramailah yang hendak sembahyang Isyak ditangkap oleh orang kampung.
Beliau kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin. Kes bersambung 13 Oktober depan. Jaminan kemudian dijelaskan ibu tertuduh.
Sinar Harian
16 sept 2013
Laman Fan Page FB Ahmad Said digodam
Posted on Monday, September 16 @ 19:20:40 MYT
Dilulus untuk paparan oleh korokkering
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said hari ini meluahkan rasa kesal dengan perbuatan pihak tertentu yang menggodam laman Fan Page Facebooknya.
Beliau berkata laman itu digodam dua kali pada bulan ini.
"Kali pertama, individu terbabit mengemas kini status Facebook kononnya saya mahu menawarkan diri sebagai calon naib presiden Umno pada pemilihan parti tahun ini.
"Terbaru, status dikemas kini menyatakan kononnya saya mengumumkan cuti selama dua hari kepada rakyat Terengganu sempena program Walk 4 Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Jubli Emas Hari Malaysia di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu di Kuala Terengganu.
Katanya pihak pengurusan pejabat Menteri Besar telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut.
Beliau juga akan membuat laporan polis.
sumber : Bernama
Pantau Guru Yang Menentang PPPM
Posted on Monday, September 16 @ 18:30:32 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
Oleh: upinipin
"KOTA BHARU 15 Sept. - Pengarah Pendidikan di setiap negeri diminta supaya memantau guru-guru yang menentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) secara terang-terangan.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai kakitangan kerajaan mereka sewajarnya menyokong polisi yang dilaksanakan dan bukannya menyerang secara membuta tuli.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menghalang sekiranya golongan pendidik mahu mengkritik PPPM tetapi ia harus dilakukan mengikut saluran yang betul.
"Kalau hendak kritik, boleh kritik tetapi beritahu kepada saya, saya terbuka, saya lihat dalam pelaksanaan ada kelemahan yang perlu kita baiki tetapi tidak secara keseluruhan pelan ini tidak betul dan mengatakannnya ia satu kesilapan yang besar.
"Kalau dalam pelaksanaan ada kesilapan saya terbuka untuk kita betulkan, emel kepada saya, idrisjusoh@moe.gov.my, dalam keadaan sekarang tidak ada apa yang perlu ditutup, kalau ada kelemahan kita sanggup perbaiki, jangan ada secara terus-terusan menyerang kerajaan," katanya kepada pemberita selepas Seminar PPPM 2013-2025 di sini hari ini.-UM
amin ya rabbal alamin"
BONGKAR!!! Rahsia Melangsingkan Dan Menguruskan Badan [SAKSIKAN...]
Posted on Monday, September 16 @ 18:21:28 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
Oleh: matuse68
"Semua orang mementingkan potongan yang baik terutamanya wanita. Untuk menjadikan tubuh anda ramping dan enak di pandang cubalah petua-petua tradisional di bawah ini.
RAHSIA BUAH DELIMA.
Ambil 5 biji (isi bahagian dalam buah delima sahaja) dan masukkan ke dalam 2 gelas air biasa kemudian dicampurkan sedikit garam. Minumlah ramuan ini segelas setiap pagi selepas sarapan. Amalkan selama 2 minggu pada setiap bulan.
KHASIAT REMPAH RATUS.
Rebus sedikit campuran rempah ratus seperti ketumbar, jintan manis, jintan putih, lada hitam dan halia dengan secawan air. Minum sewaktu suam setiap pagi, petang dan malam. Buat sebagai air minuman anda dan anda akan lihat perbezaannya. Insyaallah...
ELAK PERUT BUNCIT.
Perah 2 biji limau nipis serta bancuh secawan teh pekat panas. Campurkan kedua-duanya dalam 1 cawan dan minum sewaktu masih suam. Minum selepas sarapan pagi dan makan tengahari. Ia bertujuan memecahkan lemak di dalam perut.
PERLU DIINGAT JANGAN SESEKALI TAMBAHKAN GULA DI DALAM MINUMAN TERSEBUT.
[Baca seterusnya...]"
SEMUA UNTUNG
Muafakat untungkan Pas
Posted on Monday, September 16 @ 16:09:51 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
IPOH – Muafakat politik Pas bersama PR dilihat banyak membantu melonjakkan rekod parti untuk memperbaiki kedudukan kerusi dalam pilihan raya, kata bekas Naib Presiden Pas Pusat, Ahmad Awang.
Beliau berkata, berbanding sebelum ini, Pas sudah menunjukkan pengaruh yang besar dalam sistem politik negara apabila mampu memenangi beberapa kerusi yang sebelum ini tewas.
“Jika dilihat dari sudut politik, Pas sebagai parti mempunyai tujuan untuk mengembangkan pemikiran, meraih kuasa dan salah satunya adalah melalui sistem pilihan raya sama ada di peringkat Parlimen atau Dun.
“Saya kira jika Pas tiada dalam PR, kita tidak mampu untuk meraih lebih banyak kerusi, seperti di Selangor, kita sudah menjadi sebahagian dalam pentadbiran,” katanya.
Beliau melihat langkah kaji semula Tahaaluf Siyaasi seperti yang diutarakan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib itu seolah-olah memberi kata dua, sama ada membuat keputusan untuk terus kekal dalam Pakatan atau menarik diri.
Sedangkan katanya, dalam menghadapi PRU14 akan datang, Pas mempunyai peranan besar untuk menjuarai pemikiran pengundi Melayu untuk melakukan perubahan.
“Untuk tujuan ini, gabungan PR adalah salah satu alternatif untuk perubahan itu, walaupun diakui ada kalanya wujud perselisihan, tetapi itu hanyalah masalah kecil yang boleh diselesaikan.
“Jadi saya anggap apa yang diutarakan beliau (Harun Taib) itu, tidak lebih kepada pandangan peribadi,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Multaqa Ulama Semalaysia perlu menjadi wadah perbincangan yang menjurus ke arah usaha memperkasakan parti.
Menurutnya, semua pihak sama ada barisan ulama, pemuda, muslimat dan kepimpinan Pusat perlu mencari kedudukan untuk meraih kepercayaan rakyat.
“Ini bukan masa kita buat keputusan atau cari jalan seolah-olah mahu undur kembali ke belakang,” katanya.-SH
Kronisme, nepotisme halang kemajuan ekonomi Bumiputera
Posted on Monday, September 16 @ 14:33:41 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo
KUALA LUMPUR: Pelancaran program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, 14 September lalu oleh Perdana Menteri hanya sekadar menukar nama kepada program yang sama jika kerajaan tidak bersikap terbuka , telus dan membanteras amalan kronisme.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan medianya berkata, mentransformasikan program pelbagai skim hanya bermakna jika ia diuruskan dengan amanah dan tidak diganggu oleh keputusan politik yang akan menjejaskan ekuiti bumiputera .
“Para usahawan bumiputera perlu dibina dengan skim yang berbeza. Semua agensi yang sedia ada nampaknya tidak melahirkan usahawan bumiputera yang diharapkan.
“Prosedur perniagaan perlu dipermudahkan dan anugerah projek-projek kerajaan hendaklah dilakukan secara meritokrasi yang telus . Kaum bumiputera yang benar-benar menunjukkan daya perniagaan yang baik hendaklah diberi peluang meningkatkan perniagaan,” ujarnya.
Teras juga berpendapat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak harus menjadi pesaing kepada para usahawan bumiputera manakala peniaga sederhana dan kecil perlu diberi kemudahan dan lokasi perniagaan yang strategik.
“Penyeliaan perniagaan bumiputera yang mendapat pinjaman dari pelbagai agensi perlu dilaksanakan agar tidak berlaku salahguna modal perniagaan,” tambah Azmi.
Beliau menambah, ramai usahawan bumiputera yang terbantut dan gagal dalam perniagaan diakibat amalan kronisme dalam menganugerah projek.
“Mereka yang masih mengamalkan perniagaan atas angin tanpa menunjukkan daya kemahiran perniagaan yang layak masih berterusan diberi projek ,” ujarnya.
Ketika berucap di majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2013 di UiTM Shah Alam, 14 September lalu, Dato’ Seri Mohd Najib Razak mengumumkan lima langkah bagi memperkasa ekonomi Bumiputera iaitu mempertingkatkan daya modal insan Bumiputera; memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, mengukuhkan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap golongan Bumiputera.-HD
Apakah Harun Taib Hanya Ingin PAS Jadi Pembangkang Sampai Kiamat?
Posted on Monday, September 16 @ 10:20:37 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Sudah banyak yang ditulis mengenai keputusan Multaqa Ulama Pas yang antara lainnya memutuskan supaya dikaji semula tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan Pakatan Rakyat terutama PKR yang dianggap merugikan parti itu. Kekurangan sokongan pengundi Melayu, isu Kota Damansara dan pertindihan di Labuan dalam pilihanraya umum lalu, menjalarnya elemen Anwarisme dalam Pas dan berbagai lagi dijadikan sandaran sebagai justifikasi kepada perlunya kajian itu.
Ketua Dewan Ulama Pas, Harun Taib lantas turut diserang dan dilabel dengan pelbagai gelaran berikutan pengumuman ini dianggap meletakkan ulama Pas seolah-olah tidak memahami realiti masyarakat di negara ini, mempunyai pemikiran gaya lama, tidak terbuka dan berbagai lagi.
Dalam Pas sendiri terlihat reaksi yang berbagai. Rakyat yang mahukan perubahan pula jelas tidak gembira dengan keputusan itu. UMNO pula mungkin tersenyum lebar kerana Dewan Ulama seolah-olah suara parti itu dan menjadi "trojan horse" terbaru selepas Nasharudin Mohd Isa dan Dr Hassan Ali yang begitu anti dengan PKR dan Anwar Ibrahim.
Ini berbeza dengan Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat yang yang jelas memahami bahawa perjuangan politik Pas, selain daripada dakwah, perlu juga bermatlamatkan kuasa, lantas mengatakan kajian itu seharusnya untuk menambah baik lagi kerjasama yang terjalin dengan rakan-rakan dalam PR dan bukannya untuk mundur ke belakang.
Beliau juga mengatakan bahawa Pas wajib melangkah ke hadapan dengan memahami keadaan politik di Malaysia dan mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik untuk masyarakat majmuk selagi tidak melanggar hukum dan syariat serta tidak mengurung diri dalam pemikiran yang dicipta sendiri.
Jelas bahawa Nik Aziz berbeza dengan Harun Taib. Kewarakan dan ilmu Nik Aziz sesuai dengan keperluan politik Malaysia walaupun dari segi zahirnya beliau kelihatan tua dan mempunyai stail lama. Sambil mempertahankan hukum dan syariat, Nik Aziz bergerak komtemporari dan selari dengan zaman. Sebab itu, di antara sekian ramai pemimpin Pas, Nik Aziz bukan saja disukai oleh golongan lama dan tua, bahkan golongan muda lebih ramai yang tertarik kepadanya.
Memang wujud golongan dalam masyarakat seperti NGO, pensyarah atau ahli akademik yang menyarankan supaya Pas berjuang bersendirian dan meninggalkan rakan-rakan dalam PR kononnya agar lebih dihormati oleh pengundi Melayu dan Islam dengan pelbagai hujah dan alasan. Nampak macam mereka turut berjiwa Islam dan menyokong ketulenan Pas tetapi sebenarnya mereka inilah golongan yang mahu melihat UMNO dan BN kekal berkuasa sampai bila-bila.
Mereka tahu apabila Pas boleh bekerjasama dengan parti dan kaum lain, ia adalah petanda awal bahaya kepada UMNO dan BN.
Dalam realiti masyarakat negara ini, Pas tidak boleh mengelak untuk berkerjasama dengan parti-parti lain dari berbagai kaum. Ia sama seperti UMNO tidak mungkin mampu berkuasa tanpa bantuan MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya. Mungkin hubungan dengan PKR, ada masalahnya tetapi ia belumlah menjadi barah atau kecncing manis yang serius sehingga perlu dipotong kaki dan sebagainya.
Kekurangan sokongan pengundi Melayu dan kurangnya kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Pas bukanlah disebabkan kerjasama dengan PKR atau penolakan rakyat terhadap kerjasama itu tetapi kerana kebanyakan kerusi yang ditandingi Pas musuhnya ialah UMNO. UMNO pula ssbagai teras kerajaan mempunyai lebih keupayaan dari segi wang, jentera dan sebagainya untuk mengalahkan Pas.
Berbeza dengan pengundi bukan Melayu, pengundi Melayu majoritinya masih terkepung, totok dan tidak terbuka, terutama yang tinggal di kampung-kampung. Golongan ini dapat sekampit beras, kain batik dan kain pelikat pun akan menyokong UMNO dan mengundi BN sampai mati. Mereka ini tidak tahu isu, tidak faham rasuah, jauh sekali untuk faham skandal Scorpene dan rasuah RM500 juta. Yang mereka faham UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO, dan pihak inilah yant selama ini membina sekolah, jalan, kemudahan awam dan lain-lainnya.
Golongan ini juga mudah ditakut-takutkan dengan DAP yang dikaitkan dengan komunis, sentiasa dilagukan bahawa Cina akan berkuasa jika UMNO kalah, kembali kepada zaman makan ubi kayu dan macam-macam lagi kempen ciptaan yang menakutkan.
Di sinilah cabaran Pas sebenarnya yang menyebabkan ia kalah banyak kerusi, bukan kerana kerjasama dengan PKR merugikan dan menyebabkannya hilang banyak kerusi. Tetapi keadaan ini akan beransur-ansur lupus apabila golongan totok ini makin berkurangan, kemajuan semakin datang, celik maklumat bertambah dan bandar-bandar baru lebih banyak diwujudkan.
Dalam hal ini, Dewan Ulama yang sepatutnya lebih memahami Islam haruslah bersabar dan tidak melihat faktor rugi semata-mata. Sambil melihat kerugian, mereka juga harus melihat apa untungnya tahaluf siyasi itu seperti semakin banyaknya kerusi yang selama ini begitu asing, kini sudah boleh dimenangi seperti di Selangor, Pahang dan Johor. Bahkan di Selangor, yang dulunya asing bagi juga Pas, kini mereka sudah memperolehi jumlah kerusi majoriti.
Dengan adanya kerjasama politik bersama PR juga Pas akan menerima lebih sokongan daripada pengundi celik di bandar yang berpendidikan serta golongan muda. Mereka ini mahu kepada Islam tetapi Islam yang dikehendaki mereka ialah Islam yang terbuka, komtemporari dan boleh bergaul serta menerima golongan lain. Golongan ini amat meminati Nik Aziz yang mempunyai pemikiran selari dengan mereka.
Dalam Pas meneroka hari-hari mendatang, walaupun Dewan Ulama ini hanyalah sekadar sayap dalam Pas, mereka seharusnya juga membuat keputusan yang mengambil kira demografi politik, masyarakat, keuntungan jangka panjang, keterbukaan dan seumpamanya. Haruslah disedari bahawa Malaysia bukanlah macam Kelantan atau Terengganu yang hampir seratus-peratus pengundinya Melayu dan Islam.
Kerjasama politik dengan parti-parti lain sudah menjadi suatu keperluan. Masalah haruslah dihadapi dan diselesaikan dengan perundingan serta lapang dada, bukannya dengan mencampak aturcara rundingan ke dalam sungai. Pendirian Dewan Ulama dan kepimpinan Harun Taib mungkin sudah ketinggalan dengan jalur zaman. Ia tidak sesuai dengan realiti semasa dan hakikat di Malaysia.
Lainlah jika Pas hanya ingin jadi pembangkang saja sampai kiamat. (SH 16/09/2013)
Shahbudin Husin
http://shahbudindotcom.blogspot.com
Kaji Hanya Untuk Penambahbaikan
Posted on Monday, September 16 @ 10:26:51 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
Saya membaca muka hadapan Sinar Harian hari ini 15 September 2013 yang memuatkan tajuk besar PAKATAN RUGIKAN PAS? dengan memetik ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib yang dikatakan meminta Majlis Syura Ulama mengkaji semula Tahaluf Siyasi (Persefahaman Politik) dalam Pakatan Rakyat.
Saya tidak menghadiri Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut semalam sekalipun saya benar-benar berhasrat untuk hadir. Keuzuran dan situasi kesihatan menghalang saya untuk hadir ke program yang saya sifatkan sangat bermakna itu. Justeru, saya tidak mendengar sendiri ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Berkemungkinan ia hanya ulasan akhbar dan bukannya ucapan sebenar beliau ataupun sememangnya dipetik dari ucapan beliau, wallahulam.
Walau bagaimanapun, suka untuk saya memberikan respon terhadap tajuk yang digunakan di muka hadapan Sinar Harian iaitu PAKATAN RUGIKAN PAS? Perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihanraya umum 2008.
Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh UMNO. UMNO bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka.
Senjata UMNO ialah perkauman, lambang UMNO ialah keris tidak bersarung, politik UMNO ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik UMNO yang penuh dengan habuk kebangsaan.
Di dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang sentiasa tentang nilai-nilai Islam. Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin UMNO sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini.
PAS wajib melangkah ke hadapan. Pengalaman sebagai gerakan Islam yang telah berusia lebih setengah abad wajar mengajar PAS bahawa untuk terus relevan di pentas politik negara, PAS wajib memahami suasana politik. Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia.
Saya mendegar pengalaman Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang baru pulang dari lawatan kerja di Johannesburg, Afrika Selatan. Katanya di sana zakat turut diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam. Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat. Sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang non muslim yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur.
Ini sebagai contoh bagaimana ada aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar. Inilah yang perlu dibaiki dan PAS wajib memainkan peranan. Saya yakin, jika Islam difahami dengan baik tanpa gangguan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, ia akan diterima dengan mudah tanpa sebarang syak wasangka oleh rakan-rakan daripada non Muslim.
Di sinilah letaknya misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat. Benar, kita ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya, tetapi juga perlu diingat PAS sebagai gerakan Islam juga memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik. Justeru, keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara.
Tahniah kepada para ulama yang bermultaqa semalam. Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam. Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang. Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada UMNO yang sedang kelemasan.
Sekian.
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS.
Bertarikh : 9 Zulkaedah 1434H bersamaan 15 September 2013M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan