Isnin, 23 September 2013

BERHIJRAH KEPADA KEBAIKAN@MAKRUF SATU KEWAJIPAN BUKAN PILIHAN

Artis Indonesia Terry, Nak Jumpa Aishah. Nak Ikut Hijrah?
Posted on Monday, September 23 @ 06:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur


HALAMAN HIBURAN

KL: Penyanyi Indonesia, Terry atau nama sebenar Terryana Fatiah mengaku teringin untuk berjumpa penyanyi Aishah setelah namanya diangkat di negara tersebut menerusi lagu popular Aishah Janji Manismu. Begitu, lapor mStar hari ini.


Terry, 29, berkata, dia menyimpan hasrat ke negara ini selepas menyanyikan semula lagu tersebut.

"Sewaktu saya menyanyikan semula lagu Janji Manismu, saya berharap lagu ini boleh bawa saya ke Malaysia satu hari nanti dan akhirnya saya ke sini.
"Sewaktu merakamkan semula lagu itu saya belum kenal siapa Aishah. Tapi saya difahamkan lagu itu memang lagu hit sekitar 1984, iaitu juga tahun saya lahir. Kalau boleh memang berhasrat untuk bertemu dengan Aishah," katanya.

Tambah Terry, lagu itu Janji Manismu nyanyian Aishah itu mempunyai jalan cerita yang sama dengan kisah cintanya. Kerana itu, dia bawakan lagu tersebut dengan penuh penghayatan sehingga menitis air mata.
"Disebabkan itu juga saya terus dikenali dengan penyanyi air mata dan diberi lagu-lagu yang sedih sahaja," katanya. 

Janji Manismu dinyanyikannya semula dan dimuatkan di dalam album sulung Terry iaitu sekitar tahun 2006.

"Al-hamdulillah, moga-moga dia dapat jumpa Aishah, dan mungkin Aishah boleh menurunkan ilmunya, terutama ilmu bagaimana Aishah menjadi seorang penghijrah daripada artis kemodenan jahiliah kepada Islam yang diredhai Allah SWT. Dari cinta kecil kepada sesama makhluk, kepada cinta Maha Agung yang mencipta pencinta-pencinta itu sendiri."  Kata Weblog Ibnu Hasyim.

Semoga air matanya yang menitis selepas ini, adalah kerana penghayatan kepada Khalik, dari yang asyik kepada Makhsyuk! Mari sama-sama kita mengaminkan. Amin!! (IH/Sumber mStar)

IBNU HASYIM

http://www.ibnuhasyim.com


Jangan pisahkan ulama dengan profesional
Posted on Monday, September 23 @ 11:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

IPOH: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, golongan profesional sangat berperanan dalam PAS sejak awal penubuhannya lagi.

Malah katanya, pimpinan dari kalangan itulah yang telah memainkan peranan penting dalam mendaftarkan PAS menjadi sebuah parti politik yang pada asalnya adalah Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Menurutnya, sejak ditubuhkan tahun 1951, ia telah melibatkan profesional bahkan Yang Dipertua PAS paling awal antaranya Dr Abbas adalah dari kalangan profesional.

"Dr Abbas ini adalah antara generasi awal barang kali dulu dari Dr Mahathir lagi kelulusan Universiti Singapura, dialah yang bertanggungjawab mendaftarkan PAS sebagai parti politik yang asalnya adalah NGO.

"Dan yang terlibat juga, Prof Ahmad Ibrahim iaitu pengasas Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dia ialah ahli PAS yang ke 6,000 di samping Prof Ungku Omar, Aminuddin Baki dan begitulah seterusnya perjalan PAS sehingga hari ini," katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Pusat Tarbiyyah dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PAS Kawasan Tambun, Taman Meru, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Hadi menjelaskan, golongan profesional sangat diperlukan dengan bekerjasama bersama ulama untuk mentadbir negeri mahupun negara.

Katanya, jika ingin menjadi kerajaan mestilah mempunyai kemahiran hukum-hakam Islam dan kepakaran pelbagai bidang yang dikuasai oleh profesional.

Ketika ditanya apa jaminan Ustaz Hadi tentang kedudukan golongan profesional dalam PAS, beliau berkata, ia tidak perlu dijamin kerana mereka menjadi pemimpin PAS sejak awal penubuhan PAS lagi.

Sebelum itu, Ustaz Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam ucapannya menjelaskan tiada pemisahan antara golongan ulama dan profesional.

“Tiada pemisahan antara golongan ulama dan profesional dalam Islam ini, dan orang PAS jangan terikut-ikut," tegasnya.

Muhammad Faeez Azahar
HARAKAHDAILY
  


 Mustafa tak bertanding Muktamar ke-59
Posted on Monday, September 23 @ 00:52:28 MYT
Dilulus untuk paparan oleh korokkering



SHAH ALAM – Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengesahkan dirinya tidak akan bertanding bagi mana-mana jawatan dalam Muktamar Tahunan ke-59, November depan.

Beliau akui mahu memberi ruang kepada calon muda untuk bertanding merebut jawatan dalam pemilihan tersebut.



“Saya tak bertanding. Pasti saya tak akan bertanding dalam pemilihan kali ini. Sebab...tak ada apa. Saya rasa bagi orang mudalah bertanding,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, meskipun ditawarkan untuk bertanding, beliau tidak akan menerima tawaran tersebut.

“Betul (jika ditawarkan juga tak akan terima). Memang sebelum ini pun saya tak bertanding, jadi, kali ini pun saya tak akan bertanding,” katanya.

Beliau yakin perwakilan Pas lebih tahu dan kenal siapa yang lebih layak untuk diberikan mandat, kali ini.

“Perwakilan lebih tahu dan kenal mereka. Mereka akan melihat siapa yang mereka rasa boleh diberikan mandat dan kepercayaan.

“Yang lama campur yang baru. Bila saya sebut yang baru ini bukan tolak semua yang ada (lama). Campur-campurlah. Cuma saya dah melampaui waktu untuk bertanding,” katanya.




 Dakwa dipukul kerana mahu lawan ketua bahagian
Posted on Monday, September 23 @ 00:43:09 MYT
Dilulus untuk paparan oleh korokkering



SHAH ALAM - Seorang calon Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini mendedahkan kisah sebenar berhubung dakwaan beliau dipukul seorang lelaki ketika menghantar borang pencalonan di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
(Keratan akhbar Sinar Harian 22 September 2013.)


Mohd Ariff Abdul Aziz, 57, yang merupakan calon ke-24 MT itu berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 2 petang ketika beliau berjalan kaki menuju ke PWTC untuk menghantar borang pencalonan Ketua Bahagian Titiwangsa.
Menurutnya, borang pencalonan MT berjaya diserahkan pada sebelah pagi, manakala borang ketua bahagian mahu diserahkan di sebelah petang.

"Saya dicekik, ditendang dan pukul di dada, ketika itu saya sedang berjalan dari Wisma Perkim menuju ke Dewan Tun Razak, PWTC untuk hantar borang calon Ketua Bahagian Titiwangsa.

"Lelaki tersebut mengugut saya supaya tidak bertanding di kawasan tersebut bagi memastikan calon di kawasan itu menang tanpa bertanding. Keadaan ini berlaku di hadapan ramai ahli Umno yang ingin menghantar borang," katanya kepada Sinar Harian.

Ketua Umno Cawangan Kompleks Pejabat Jalan Gurney itu berkata, selepas kejadian itu beliau terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Selepas membuat laporan dan mendapatkan rawatan, saya kembali untuk meneruskan hasrat menghantar borang tetapi dihalang oleh empat orang," katanya.
    
Sementara itu, Datuk Johari Abdul Ghani menafikan dakwaan pihaknya terlibat dalam usaha untuk menghalang seseorang daripada bertanding jawatan Ketua Bahagian Titiwangsa yang dimenanginya tanpa bertanding semalam.

“Bila tiada orang nak lawan saya, jadi mereka reka cerita ada orang kena pukul. Saya rasa ini satu usaha untuk jatuhkan saya.

“Saya bukan orang seperti itu, siapa lakukan perkara seperti ini, kita akan pastikan mereka kena pecat daripada Umno,” katanya.




 Apakah taring teokratik itu kemestian?
Posted on Monday, September 23 @ 05:13:33 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur


PAS sebagai organisasi politik: Inikah wawasan dan modus operandi ke tampuk kuasa?
1.0 Sebuah organisasi antara lain memiliki struktur, pemimpin dan ahli.  Sebabnya mudah organisasi, hatta yang di bawah tanah sekalipun, tidak boleh wujud dalam vacuum, hampagas.  Tidak kurang pentingnya sebuah organisasi ― ibarat bahtera ― berwawasan, bercita-cita dan ada matlamatnya.  Untuk itu ia perlukan kompas@halatujunya supaya bahtera tidak terumbang ambing, tersasar dan lebih tragis karam merempuh batu karang sebelum sampai ke Pulau Idaman.  Untuk memantapkan pelayaran di antara soalan utama yang perlu dijawab oleh seluruh warga organisasi sebagai satu jemaah: Kenapakah organisasi kita wujud?


2.0 Bukankah organisasi itu wujud kerana ia berwawasan dan bercita-cita untuk mencapai sesuatu matlamat?  Lalu apakah pula ‘bisnes penting’nya PAS sehingga ia wujud sebagai sesebuah organisasi?  Soalan ini menjurus kepada hakikat bahawa sesebuah organisasi itu tidak boleh wujud kerana ‘suka-suka saja’.  Organisasi,  hatta kumpulan ‘main kutu’@arisan di kalangan suri-suri rumah pun bermatlamat.  Ini bermakna ber‘main kutu’, satu gabungan usaha kreatif kelompok manusia untuk menabung secara paksarela ― kerana menabung itu amat sukar jika tidak dipaksakan ―ialah contoh sebuah ‘organisasi’.
3.0 Untuk menjelaskan halatuju, matlamat dan wawasan maka organisasi pun antara lain mencipta kenyataan misinya,  slogannya untuk digunapakai dalam segala gerak kerja organisasi seperti pembinaan semangat, penyatuan iltizam bersama, untuk mendapatkan sokongan dan tentunya untuk tujuan propoganda.  “Wawasan 2020” ialah contoh yang pernah dipakai di zaman Mahathir sementara Pas pula mencanangkan “Negara Berkebajikan”nya serta slogan “PAS for All”.     
4.0 Apa lagi yang perlu ada pada sesebuah organisasi?  Seperti yang dijelaskan di atas tadi, sesebuah organisasi itu ada pengikutnya. Mahathir pernah berkata bahawa kumpulan paling jahat atau yang paling sesat sekali pun ada pengikutnya.  PAS sebagai parti orang baik-baik ramai pengikutnya terdiri daripada orang yang baik-baik belaka.  Apa lagi ciri-ciri atau pun atributnya para pendokongnya PAS?  Para pengikut PAS ialah mereka yang amat yakin dan percaya bahawa kehidupan manusia itu bukan hanya sekadar di dunia ini saja kerana akhirat adalah perhitungan yang muktamad.  Oleh kerana itu dalam perjuangan politik, PAS juga sentiasa mengambilkira hal-hal pahala dan dosanya.  Oleh itu orang-orang PAS,  mereka pun sering bercakap tentang dosa pahala, amar makruf nahi mungkar ― sambil membandingkan dengan UMNO yang nasionalis dan yang sekular itu.  Dan jika dibandingkan dengan PAS, parti Melayu yang namanya UMNO ini tidak begitu Islamik.   
5.0 Masa pun berlalu ― keadaan telah berubah, Umno pun semakin sasau kerana kemabukan kuasa yang amat sangat.  Rakyat kian terdera, kehidupan bertambah payah walaupun negara kaya raya khazanahnya.  Mereka yang dekat dengan kuasa, yang dikelilingi kuasa, yang di sekeliling kuasa apatah lagi yang berkuasa membolot dan menghimpun kekayaaan dengan cara dan kaedah yang begitu melucahkan sekali!  Rakyat yang terdera semakin marah, sedih, pilu, kacau jadinya.  Dalam suasana sebegini Mahathir telah menyalakan api perlawanan dengan tragedi 2 September 1998. 
6.0  Dipendekkan cerita telah lahirlah Pakatan Rakyat yang menggabungkan PAS, DAP dan sebuah parti baru PKR.  Buat pertama kalinya rakyat yang begitu rindukan perubahan yang amat sangat,  telah ditawarkan satu pilihan baru sebagai pilihan kepada Umno/BN.  Maka di Malaysia telah tertanamlah benih bertuah, sistem dua parti itu.  Dalam latar suasana inilah PAS memasuki sistem dua parti.  PAS yang mahukan negara Islam, mahu daulatkan undang-undang syariah, yang mahu berpolitik berteraskan Al-Quran dan hadis bersetuju untuk bersama-sama DAP dan PKR. Dalam muktamar-muktamar PAS, isu ini telah diperdebatkan dan diputuskan bahawa demi realpolitiknya kerjasama ini tidak dapat dielakkan lagi.  Bagi musuh politik PAS dan juga Pakatan Rakyat, inilah salah satu jarum yang paling berbisa yang boleh digunakan sepanjang masa demi untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat.   PAS sebagai parti Islam telah menggadaikan perjuangan Islamnya.  Bagi kita inilah persoalan yang sepatutnya diteliti oleh team ulama di Kota Sarang Semut, Kedah tempoh hari.  Mereka sebagai satu kumpulan berhujah dan berdebat dan bertanya:  Bagaimana kita sebagai satu parti politik Islam telah menggadaikan perjuangan?
7.0  Berdasarkan logik mantik di atas maka nyatalah PAS itu sebuah organisasi politik walaupun ada yang kekadang bermati-matian menyatakan bahawa PAS wujud untuk berdakwah.  PAS sebagai organisasi ialah sebuah parti politik yang tentunya bercita-cita politik.  Sebagai sebuah parti politik,  bisnesnya yang paling utama ialah untuk mendapatkan mandat@kuasa supaya boleh menjadi penguasa di Malaysia.  Apabila kelak  PAS dipilih menjadi penguasa di Malaysia, maka ramai pula di kalangan pemimpinnya yang bakal dilantik ke jawatan-jawatan politik.  Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah di zaman pasca PRU12,  dilantik menjadi Menteri Besar PAS setelah PAS bersama-sama DAP dan PKR menang dalam PRU12 yang lalu itu.  Maka Negeri Kedah, negeri tanah tumpah darahku, itu pun berMenteriBesarkanlah  seorang ulama PAS Kedah.
8.0 Walaupun menikmati ‘kuasa yang agak terhad’, PAS sebenarnya berjaya.  Di Kedah dan Kelantan,  orang-orang PASlah yang telah dipilih menjadi CEOnya.  Ulama tersohor yang digeruni musuh, yang dikasihi oleh orang-orang Melayu dan yang dihormati dan digelar oleh orang-orang yang bukan Melayu, yang bukan Islam sebagai “Tok Guru kita”, dilantik sebagai CEO negeri selama lebih 20 tahun.  Lihat juga senarionya di Negeri Perak selepas keputusan PRU12 itu.  Kita telah melihat bagaimana calon dari PAS yang minoriti itu telah dilantik oleh Pakatan Rakyat sebagai CEO mereka ―  CEO yang dicop dan dicanang dengan gencar oleh musuh politik Pakatan Rakyat sebagai kuda tunggangan.  Bagi kita alangkah baiknya jika persoalan dan tuduhan kuda tunggangan ini diteliti dengan tuntas oleh team ulama di Kota Sarang Semut, Kedah tempoh hari.  Mereka sebagai satu kumpulan berhujah dan berdebat dan bertanya:  Bagaimana kita sebagai satu parti politik Islam telah menggadaikan perjuangan dengan menjadi kuda tunggangan orang lain?
9.0 Sebenarnya jika diamat-amati PAS yang katanya Islam itu juga sebenarnya tersangatlah Melayu jika dibandingkan dengan Umno dan sebenarnya terlalu jauh feudalnya jika dibandingkan dengan DAP.  DAP walaupun tidak pernah malu-malu menyatakan bahawa ia sekular, kelihatannya dan nyatanya tidaklah begitu teruja dengan ‘gelaran duniawi’.  Mungkin ini disebabkan oleh sifat dan tingkat kemarhaennya@sosialisnya yang kental sejak ia ditubuhkan.  Apakah sebarang tindakan menolak gelaran ini tidak Islamik?  Atau gelaran itu bukan ukurannya kemarhaenan manusia?  Apa kata dan apakah hujahnya orang-orang Pas?  Katanya ada yang tidak begitu gemar dengan caranya CEO PAS yang dirampas kuasanya di Perak kerana kelantangannya menuntut hak walaupun terpaksa berdepan dengan institusi Raja?
10.0  Di samping itu PAS sebagai sebuah parti politik memiliki dua produk untuk dijual kepada rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu.  Produk itu ialah Islam dan Melayu.  Pada pengmatan kita walaupun PAS itu kelihatan lebih unggul dengan war-war produk Islamnya, ia sangat takut jika jualan ‘Melayu’nya ditolak@tidak laku.   
11.0  Demi menjaga Melayunya dan Islamnya, PAS sentiasa terjepit dan disepit.  PAS tidak pernah berkata secara tuntas bahawa produk Islamnya adalah segala-galanya?  Pernahkah ia katakan begitu?  Apakah PAS pernah berkata bahawa biar apa pun yang terjadi,  bagi PAS Islamlah yang sentiasa di depan? Jika kita pinjam hujahnya (Malay first, Malaysian second oleh TPM), apakah PAS pernah berkata bahawa Islam itu paling depan, dan Melayunya kemudian. Salah satu sosok yang sering dan selalu menyatakan bahawa Islamlah segala-galanya ialah TGNA. Hatta PM itu boleh orang yang bukan Melayu asalkan seorang Muslim itu diulangnya berkali-kali.  Adakah PAS ―sebagai satu jemaah ― berpendapat demikian? 
12.0  Inilah senjata yang sentiasa digunakan oleh musuh bebuyutnya PAS ― Umno dalam menyerang PAS.  Dan oleh kerana PAS itu juga sangat Melayu (sama seperti UMNO), maka itulah medan pertempuran kedua-dua parti Melayu ini.
13.0  Soalan lain, yang lebih wajar ialah akhirnya apakah pilihan PAS sebenarnya?  Apakah PAS kira ia akan musnah dan hancur lebur jika ia tidak mengutamakan@mendahulukan Melayu? (Malay first?).  Apakah ‘Islam saja’ belum memadai untuk membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat termasuk orang-orang Melayu kerana realpolitiknya kita di Malaysia ini Islam saja tidak mencukupi?  Bagi kita inilah persoalan yang sepatutnya diteliti oleh team ulama di Kota Sarang Semut, Kedah tempoh hari dan bukannya berselindung di sebalik pelbagai terminologi Arab atau keArab-Araban untuk menyatakan bahawa walau apa pun,  satu kelompok itulah yang utama dan oleh kerana itu semestinya sentiasa di depan. Tidakkah segala perlakuan ini membuat segala kawan dan juga rakan baik di dalam parti maupun di luar parti menjadi gerun lagi bimbang.  Kenapakah taring teokrasinya kelihatan semakin tajam?  Inikah wajah Islam itu?
Wallahuaklam.

BARAJIWA
http://barabarajiwa.blogspot.com


 Berita pelik dari penjara Mesir, satu keajaiban
Posted on Monday, September 23 @ 01:48:05 MYT
Dilulus untuk paparan oleh korokkering



Ikhwanisasi Penjara

Kini 50 ribu pendokong anti-kudeta mengisi penjara-penjara Mesir atas alasan tangkapan yang berbagai dan suka-suka dari pihak tentera Mesir.

Tragisnya, tahanan politik Ikhwan dan anti-kudeta ditempatkan di penjara jenayah berat. Dicampur dengan tahanan kes-kes jenayah rompakan, rogol, dadah, pembunuhan dan lain-lain. Tujuannya, anggota Ikhwan ini diseksa secara mental dan fizikal.



Namun keajaiban terjadi. Baru sebulan sahaja tahanan kes jenayah ini dicampurkan dengan tahanan politik Ikhwan, para penjaga dan ketua penjara mengeluh, "Tahanan jenayah terikut-ikut kebiasaan Ikhwan iaitu tilawah Quran, solat malam, tahajjud, puasa". Keanehan ini juga terlihat apabila pelawat datang, para tahanan jenayah ini meminta mushaf Quran, sejadah, pakaian untuk shalat, dan tasbih. MaasyaAllah.

Kini penjara Mesir terjadi Ikhwanisasi. Sebahagian berbahagia Ikhwan ditekan, padahal Ikhwan adalah "madrasah(tempat didikan)". Nyawa boleh dimatikan dengan peluru atau buldozer, tapi fikrah itu tak akan pernah mati.

*gambar menunjukkan para Ikhwan solat berjemaah di dalam penjara Turrah (salah satu penjara di Mesir) suatu ketika dahulu

Sumber: Islamedia


http://kachipemas.blogspot.com
via Harakahdaily 22 Sept 2013

Tiada ulasan: