Khamis, 26 September 2013

USTAZ AZIZAN 2

Jenazah TS Ust. Azizan Disembahyangkan Ribuan Manusia Dgn Diimamkan Anak Sendiri
Posted on Thursday, September 26 @ 21:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo



Airmataku Menitis Lagi: Jenazah TS Ustaz Azizan Disembahyangkan Ribuan Manusia Dengan Diimamkan Anak Sendiri... Jom Saksikan!!!

Pemergian bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak ke rahmatullah jam 11:10 pagi tadi merupakan perkhabaran sedih buat dunia politik tanah air.

Menurut Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, arena politik negara kehilangan seorang ahli politik yang berdedikasi dalam menjalankan tugasnya.







"Kita kehilangan besar," katanya ringkas ketika sesi sidang media di bangunan Parlimen hari ini.



Sementara menurut ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, beliau turut terkesan dengan pemergian Allahyarham Azizan.

"Salam takziah daripada saya, kita hilang satu kekuatan dalam Pakatan Rakyat, semoga roh beliau dicucuri rahmat," katanya.



Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub turut  mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Azizan.

"Beliau seorang pemimpin Pas yang sederhana yang patut menjadi contoh kepada pemimpin pembangkang.

"Seorang yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan dan cintakan perpaduan ummah Melayu.

"Pemergiannya merupakan kehilangan seorang tokoh Islam dan Melayu kepada rakyat negara ini," katanya.







Pemimpin Pas yang kami ditemui di Parlimen turut mengungkapkan kesedihan di atas pemergian Allahyarham.

"Kita masih teringat sumbangan beliau yang cukup besar pada kerajaan pada sesi lepas dan kami dikalangan pemimpin Pas ucapkan takziah," kata ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula berkata, berita pemergian Azizan merupakan suatu khabar yang amat menyedihkan.

"Berita ini amat menyedihkan bagi kami.

"Dalam konteks peribadi ibu saya kenal beliau sejak di England lagi, dalam hal ini, saya berharap keluarga Allahyarham terus diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan," katanya.


Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga merupakan bekas Menteri Besar Kedah turut merakamkan ucapan takziah keluarga Azizan.

"Bagi saya kita sudah kehilangan seorang yang komited kepada perjuangan selama ini.

"Kedah kehilangan seorang tokoh politik walaupun berbeza dari segi parti namun saya kira beliau seorang rakan yang boleh dibawa berunding, untuk pembangunan negeri kedah, katanya.




Azizan, 69, menghembus nafas terakhir di sisi keluarga di wad Unit Rawatan Rapi di Hospital Sultanah Bahiyah, pagi tadi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Muassasah Darul Ulum, petang ini.

Innalillah...

sedakasejahtera.blogspot.com


 Ustaz Azizan dalam kenangan
Posted on Thursday, September 26 @ 19:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Ustaz Azizan merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Datuk Mahdzir Khalid. Beliau juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Kedah.

Beliau menjadi Menteri Besar pada 9 Mac 2008 selepas PAS dan Parti KeADILan Rakyat membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam pilihan raya umum Malaysia 2008.

Pada 16 Julai 2008, Ustaz Azizan telah dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran “Datuk Seri”.Pada 1 Jun 2013 beliau telah menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran Tan Sri. Beliau adalah satu-satunya pemimpin PAS yang menerima gelaran Tan Sri.

Ustaz Azizan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, Beliau pernah belajar di Maktab Mahmud pada tahun 1959-1965. Ustaz Azizan berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar dan undang-undang dari Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom.

Ustaz Azizan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Harakah dan tenaga pengajar di sekolah yang didudukinya iaitu Maktab Mahmud, Alor Setar pada tahun 1966.

Fasih bahasa Filipina


Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)(1983-1984, 1986-1995). Beliau fasih berbahasa Melayu (loghat Kedah), bahasa Inggeris,bahasa Arab dan bahasa Filipina.

Beliau mula menyertai PAS pada tahun 1978 di England. Pada tahun 1986 beliau bergiat aktif dengan PAS di Malaysia. Beliau merupakan Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama PAS (1991 hingga kini) Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993 hingga sekarang) selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga sekarang), Setiausaha Perhubungan PAS Kedah (2000 hingga sekarang) dan mewakili PAS ke MAPEN (1989). Beliau memenangi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) selama lima penggal mulai 1995 hingga 2013 mengalahkan calon dari Barisan Nasional.

Ustaz Azizan memang diketahui mengalami masalah kesihatan. Ini menyebabkan terdapat khabar angin beberapa pihak yang mahu beliau digantikan dengan orang lain. Datuk Mukhriz Mahathir selaku timbalan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah pernah menggesa Azizan digantikan oleh Exco Datuk Amiruddin Hamzah kerana kesihatannya terjejas. Presiden PAS, Datuk SeriAbdul Hadi bin Awang menjelaskan tiada cadangan itu setakat ini.

Menafikan

Ustaz Azizan Abdul Razak menafikan beliau tidak profesional berbanding Mahdzir Khalid, bekas Menteri Besar Kedah.Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tidak hutang dengan kerajaan pusat untuk bayar gaji. Hasil balak sampai RM70 juta setahun. Masa BN cuma RM8 juta. Banyak pula buat projek membazir. BN bagi JKKK (Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung) guna duit pusat.

“Saya bagi MKK (Majlis Keselamatan Kampung) guna duit kerajaan negeri. Kerajaan PAS Kedah tidak boleh banyak buat pembaharuan kerana hanya menang 16 kerusi (PAS 16 , PKR 3 dan BN 11).Manakala PAS Kelantan mentadbir lebih 30 tahun dengan banyak majoriti,” katanya.

Larangan pusat hiburan beroperasi pada bulan Ramadan ditarik balik selepas berunding dengan Exco PKR S. Manikumar dan Lim Soo Nee.Sebelum itu, kerajaan mahu melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepenuhnya.Enakmen itu diperkenalkan 14 tahun lalu oleh kerajaan BN tetapi BN sendiri tidak menguatkuasakannya .

13 jenis hiburan itu termasuklah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko. MCA dan Gerakan mambantah larangan itu dan Penasihat DAP Lim Kit Siang mahu membawa larangan itu mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat.

Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua mencadangkan partinya keluar Pakatan Rakyat ekoran isu hiburan itu. Kaum Cina merayakan “Festival Hantu Lapar” pada bulan Ogos.

Pembedahan

Ustaz Azizan mahu mendedahkan pihak yang menyebabkan Kedah kerugian berjuta-juta ringgit dalam proses rawatan air .Pada 5 Oktober 2010,Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Nawawi Ahmad menggesa laporan dibuat kepada SPRM. Sebelum ini PAS dipertikaikan kerana menaikkan tarif air.

Ustaz Azizan diketahui menghidap penyakit kencing manis sejak sekian lama. Beliau juga pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2005.[Atas sebab itu, beliau terpaksa selalu ke hospital bagi menjalani pemeriksaan berkala dan mendapatkan rawatan, sehingga pernah mempengerusikan mesyuarat penting di hospital.

Pada Ogos 2011, Ustaz Azizan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membuat pemeriksaan perubatan berkala (susulan) pembedahan lalu. Beliau menjalani imbasan MRI(pengimejan resonans magnetik) dan rawatan menstabilkan tekanan darah tinggi di samping mengawal paras gula

Manakala pada 6 Mei 2013, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah selepas merasa sakit di kakinya. Beliau dipindahkan ke ICU di Hospital Pulau Pinang keesokan harinya, di mana kemudian beliau mengalami koma. Bagi mengelakkan jangkitan merebak, kedua-dua belah kaki beliau terpaksa dipotong di bawah lutut pada 9 Mei.

Kekalahan kerajaan PAS Kedah pada pilihanraya umum lalu dikatakan kerana perebutan kuasa di antara golongan ulama, Ustaz Azizan dan golongan profesional, Amiruddin Hamzah untuk menjadi Menteri Besar. BN Kedah berjaya mengekpolitasi isu ini dan berjaya menumbangkan kerajaan PAS.
Pada 5 Mei lalu Ustaz Azizan menang dengan majoriti 2,774 undi mengalahkan calon BN, Mohd Fadzillah Mohd Ali dan dua calon Bebas, Abdullah Hashim dan Sobri Ahmad.

Ustaz Azizan mendapat 13,294 undi manakala Mohd Fadzillah memungut 1,520 undi. Abdullah (Bebas) mendapat 100 undi dan Sobri mendapat 84 undi.

Dengan kematian Ustaz Azizan, pilihanraya kecil DUN Sungai Limau akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Alfatihah buat beliau.-FMT


 Ribuan Tunai Solat Jenazah Ustaz Azizan
Posted on Thursday, September 26 @ 18:22:45 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo



POKOK SENA:
Ribuan rakyat  hadir menunaikan solat jenazah mantan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak di Markaz PAS Pokok Sena, Jalan Langgar, dekat sini jam 4.15 petang tadi.

Solat jenazah dimamkan anak lelaki Allahyarham, Izzatul Islam Azizan manakala doa dibacakan ulama tempatan, Tuan Guru Haji Salleh Musa.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Muassasah Darul Ulum, 17 km dari sini yang menempatkan  kubur mantan Presiden PAS,  Ustaz Dato' Fadzil Mohd Nor untuk dikebumikan dengan diiiringi ribuan kenderaan.

Kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham sampai di pekarangan Muassasah Darul Ulum pada jam 4.55 petang disambut ribuan hadirin.



Solat jenazah sekali lagi diadakan dengan diimamkan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.

Ustaz Azizan  kembali ke rahmatullah pada jam 11.10 pagi ini di Unit Kawalan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar di sisi ahli keluarganya dan pemimpin PAS Pusat dan negeri, antaranya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Sebelum ini, bekas Pesuruhjaya Pas Kedah itu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.



Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman, dan kemudiannya dipindahkan ke HSB pada 14 Ogos lalu selepas tahap kesihatannya dilihat memuaskan walaupun masih ditempatkan di ICU.

Hujung bulan lalu, almarhum menunjukkan perkembangan positif apabila doktor mula menukar tiub pernafasan, selain mula bersuara biarpun masih perlahan, bagaimanapun ia mula merosot sejak jam 3.30 pagi, semalam.

Allahyarham meninggalkan dua  isteri, Puan Sri Faikah Syeikh Hamzah dan Shamsiah Shafie dengan 14  anak.-HD


 SPB YDP Agong Antara Kenamaan Almarhum Ustaz Azizan
Posted on Thursday, September 26 @ 18:17:34 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo



Keberangkatan tiba SPB Yang Di-Pertuan Agong, MB dan lain-lain kenamaan menziarahi Almarhum Ustaz Azizan. — di Kompleks PAS Kawasan Pokok Sena.





Jenazah Almarhum Ustaz Azizan kini ditempatkan di Dewan Markaz PAS Kawasan Pokok Sena, Jalan Langgar untnk memberi kesempatan kepada keluarga dan org ramai menziarahi jenazah. Solat jenazah dijadulkan jam 4.15 petang di Masjid Al-Ehsan, di perkarangan markaz ini. Al-Fatihah-kedahkini.info


 Jenazah Almarhum Ustaz Azizan telah selamat dibawa ke Kompleks PAS Pokok Sena
Posted on Thursday, September 26 @ 15:17:20 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan





Apabila MB dipanggil Pakcik...
Posted on Thursday, September 26 @ 23:02:42 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh Muhamad Mat Yakim

"ASSALAMUALAIKUM," laung seorang anak muda sambil tertinjau-tinjau di sisi bangunan pinggir Terusan Wan Mat Saman yang selari dengan Jalan Alor Setar - Sungai Petani, pada suatu pagi dua tahun lalu.

Seketika kemudian, kedengaran suara salam dijawab dari  belakang bangunan. Anak muda bertubuh tinggi, berambut lebat itu segera mencari arah datangnya suara.

Tiba di sana, dilihat sekumpulan empat lelaki agak baya sedang bersembang di satu ruang yang pintunya terbuka. Seorang daripada mereka - yang paling tua - berbaring di pangkin.

“Saya Rizal, skuad Sinar (Harian) baru di kawasan Yan,” kata anak muda itu dengan senyuman seperti dipaksa. Dia dipersilakan masuk.

Lelaki yang berbaring di pangkin bangun. Setelah berbasa basi untuk seketika, lelaki itu bertanya: “Hang tau dak saya ni sapa?”

“Minta maaf pakcik, saya tak tau...,” jawab si anak muda, jujur.

“Tak pa, hang boleh tanya depa ni,” balas lelaki itu yang berkain pelikat dengan baju pagoda.

Barang kali kerana kasihan kepada si anak muda, seorang lelaki lain kemudian berkata: “Inilah Ustaz Azizan, Menteri Besaq Kedah.”

Anak muda itu hilang kata-kata! Dia seperti tidak percaya.

“Saya bukan tak kenal MB Kedah, tapi hari tu dia nampak lain sangat. Dengan baju pagoda, kain pelikat, tak pakai cermin mata, kopiah pun tak pakai... itu yang saya panggil dia Pakcik,” kata Rizal mengimbas peristiwa itu kepada saya beberapa minggu kemudian.

Ya, mungkin ramai yang tidak tahu, Ustaz Azizan sejak dilantik menteri besar, tidak pernah menghuni Seri Mentaloon di Alor Setar. Kediaman rasmi MB Kedah itu hanya diguna untuk acara rasmi.


Markas Pas Kawasan Jerai, rumah Ustaz Azizan di bangunan ini.

Dia masih tinggal di rumah lamanya di bahagian belakang bangunan Markas Pas Jerai di Batu 15, Padang Lumat, dekat Guar Chempedak itu selain sebuah lagi rumah di Jalan Sultanah, Alor Setar yang dibeli daripada keluarga mertuanya.

Walaupun sudah bergelar MB, Ustaz Azizan masih mengekalkan gaya hidup biasa.

Setiausaha akhbarnya, Helmi pernah menceritakan,  Azizan hingga sekarang jika mahu beli seluar, baju, tempatnya adalah sebuah kedai di Pekan Simpang Empat Kangkong.


Kedai Pakaian Timor di Pekan Simpang Empat Kangkong yang jadi pilihan Ustaz Azizan.

“Dia selalu suruh aku pi kedai tu, Kedai Timor. Kata dia, baju, seluaq di kedai tu murah-murah. Kita sendiri tak sanggup pakai yang tak dak brand macam tu,” kata Helmi. Difahamkan, kebanyakan baju yang dipakainya berharga tidak lebih RM20 sehelai.

Selain Kedai Timor,  Azizan juga biasa beli pakaian di sebuah kedai India Muslim di Lebuh Chowrasta di Pulau Pinang.

“Satu hari, mamak kedai tu mungkin sebab baru  perasan tengok muka Ustaz  di TV, dia kata, Haji, ini hari saya tak mau jual lagi pada Haji. Ustaz tanya, sebab apa? Dia kata, sekarang Haji sudah jadi menteri, orang besaq. Elok pakai baju, seluaq yang tempah, bukan yang dia jual,” katanya.

Ustaz Azizan tetap Ustaz Azizan.

Tidak lama dulu, saya dijemput hadir kenduri kahwin anaknya di Kampung Teras Jernang, Bangi. Lokasi kenduri sebuah rumah kampung tidak jauh dari kampus UKM.

Ketika bersalam, Ustaz Azizan berpesan, “mai makan kenuri sudah naa, jang dok buat berita buh dalam surat habaq.”

Selepas makan, saya bertanya kepada setiausaha politiknya, Sanusi, apa sebab Ustaz tak buat kenduri di Alor Setar?

Jawab Sanusi: “Ini kenduri kahwin anak yang kedua dia buat lepas jadi MB. Kali pertama di Kedah. Belanja terlalu tinggi (sebab nak kena sedia hidangan banquet). Untuk tampung kos, Ustaz terpaksa pinjam dari beberapa orang exco RM20,000 seorang.

“Kali ni dia tak sanggup nak meminjam lagi, sebab itu dia buat di sini. Di sini tak perlu nak jemput orang-orang besar sebab kenduri kampung saja,” katanya.

Ujar Sanusi lagi, Ustaz Azizan cukup menjaga integriti dan dia tidak mahu ada pihak ambil kesempatan menaja majlis peribadinya.

“Sebagai menteri besar, apa yang dia buat ini memang ambik risiko. Mungkin ada yang berkecil hati apabila dia tidak buat kenduri kahwin anak di Kedah. Tetapi inilah prinsip Ustaz yang tidak mahu timbul fitnah dalam pentadbirannya,” katanya.

Cerita mengenai Ustaz Azizan mengingatkan saya kepada Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, MB Kedah kelapan yang memerintah antara 1999 hingga 2005.

Syed Razak adalah contoh pemimpin yang sangat ‘down to earth’.

Sudah banyak kali saya lihat sendiri cara Syed Razak berdepan dengan rakyat yang mendorong saya buat kesimpulan, dia pemimpin yang sangat baik, bukan buat-buat baik!

Ketika hadir kenduri di sebuah kampung di Kubang Rotan, belum pun kami yang lain sempat keluar dari kereta, dia awal-awal saya lihat sudah menyeberang titi usang untuk ke rumah kenduri di seberang tali air.

Tiba di rumah itu, dia cuba bersalam dengan 100 peratus orang yang ada, tidak kira siapa pun mereka hingga ditegur oleh seorang lelaki, “Datuk tok sah (tak usahlah) dok mai la bersalam dengan kami ni, Datuk tu menteri, kami ni gedohok (pembantu kenduri) saja. Datuk tok sah mai tang ni, sat gi kotoq habih seluaq kasut!”

Lalu dijawab oleh Syed Razak: “Hangpa jangan dok kata lagu tu! Tak dak hangpa, tak dak kenduri.”

Selepas habis bersalam, dia melangkah masuk ke dalam rumah kenduri tanpa sebarang rasa kekok. Gayanya menunjukkan dia sudah terlalu biasa dengan tuan rumah, orang kampung dan juga keadaan di  rumah itu.

Rupa-rupanya Syed Razak mencari seseorang - tuan rumah - yang uzur dan terbaring di katil berhampiran dapur.

Melihat menteri besar datang, lelaki warga emas yang membahasakan dirinya sebagai Pak Long cuba untuk bangun.

Ketika tangannya diurut-urut oleh sang menteri, Pak Long berkata: “Pak Long ni sabit (bersebab) tak mengaji (bersekolah tinggi). Kalau tidak, Pak Long tak biaq kat dia ni (Syed Razak) jadi menteri besaq, Pak Long pun nak jadi (menteri besar) jugak.”

Kata-kata Pak Long dibalas oleh Syed Razak: “Orang tua ni, dok terkedang (terbaring) atas katil pun nak bercakap politik lagi. Sudah-sudahlah tu ...”

Kami semua tertawa.

Apa yang dapat anda simpulkan jika anda berada di tempat saya?

Ini satu daripada banyak peristiwa menyentuh hati saya mengenai  kemesraan Syed Razak.

Rakyat Kedah kini di persimpangan sama ada mahu mengekalkan kerajaan sekarang dengan Ustaz Azizan juga dikekalkan sebagai menteri besar, ataupun ini kali mahu tukar kepada menteri besar yang baru pula.

Soalnya, jika mereka mahu tukar kepada BN, apakah Datuk Mukhriz Mahathir sedia untuk jadi pemimpin yang ‘down to earth’ seperti Syed Razak?

Sinar Harian
30 April 2013 


 Jom, Solat Ghaib Untuk Ustaz Azizan.. Begini..
Posted on Thursday, September 26 @ 23:44:59 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo

Oleh Ibnu Hasyim
BAGI yang tak sempat solat jenazah Ustaz Azizan Di Pokok Sena, anda masih berpeluang Solat Ghaib untuk beliau.

Begini..

Belajar lah wahai lelaki! Apakah engkau tidak malu bila tak pandai nak solat untuk ahli keluarga lebih-lebih lagi untuk mak atau ayah kita yang meninggal. Itu sahaja lah salah satu penghormatan yang terakhir buat insan yang membesarkan dan menjaga kita...

Klik video ini... Ust Azhar - Solat jenazah ghaib



Cara Ringkas Solat atau Sembahyang Jenazah : 1. Letakkan mayat didepan dengan kepalanya disebelah bahu kiri jamaah solat

2. Berdiri Tegak

3. Takbiratulihram
Takbiratul Pertama dan Niat
“Sahaja aku solat ke atas jenazah lelaki ini 4 takbir fardhu kifayah makmum kerana Allah taala.

4. Angkat Takbir “Allahuakbar” & Niat dalam hati
Sahaja aku solat jenazah terhadap mayat ini, 4 takbir, fardhu kifayah kerana Allah Ta’ala.
Jadi makmum? tambah “sebagai makmum kerana Allah Taala”
Baca Alfatihah hingga akhir

5. Angkat Takbir Kedua “Allahuakbar”
Baca : Allahumma solli a’la Muhammad wa a’la ali Muhammad
Pendek pun takpa, paling elok selawat ibrahimiah macam dalam tahiyyat akhir

6. Angkat Takbir Ketiga “Allahuakabar”
Baca doa (pendek pun takpa, panjang lagi bagus) contoh dibawah ni:
Allahummargh firlahu warhamhu (untuk mayat lelaki)
Allahummargh firlaha warhamha (untuk mayat perempuan)
Untuk mayat kanak-kanak yang belum baligh, tidak dibacakan doa ini kerana mereka masih tidak dikira dosa pahala oleh malaikat. Untuk janazah kanak-kanak sila baca doa di sini.

7. Angkat Takbir Ke Empat “Allahuakbar”
“Assalamualaikum warahmatullah ” Beri Salam kanan dan kiri, Selesai
Jika jadi makmum, ikutlah di belakang imam, berdiri rapat rapat. dan ikutlah jugalah rukun di atas. Cukup rukun makalah sah lah solat tersebut. Semoga ia jadi penghormatan terbaik buat jenazah.

Mudah saja! (IH)

ibnuhasyim.com


 

Tiada ulasan: