Selasa, 10 September 2013

YANG PENTING SEDAR DIRI

Khalid harap kepimpinan baru S.Alam lebih mantap

Anis Nazri, 10 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Bekas Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Abdul Samad mengharapkan kepimpinan baru PAS kawasan itu mengekalkan ukhuwah dan kesatuan, selain mengambil langkah berlapang dada dalam menangani perbezaan pendapat.

Ketika dihubungi Harakarahdaily, hari ini Khalid yang tidak mempertahankan jawatannya yang dipegang sejak 16 tahun lalu, turut mengharapkan PAS Shah Alam tidak dijadikan sebagai kumpulan eksklusif, sebaliknya satu kumpulan pelbagai latar belakang.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga mengingatkan agar kesemua ahli memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi bagi mengukuhkan PAS kawasan itu berhadapan dengan musuh politik.

"PAS Shah Alam juga perlu mengekalkan hubungan baik PAS dengan parti rakan komponen lain dalam Pakatan Rakyat - DAP dan PKR. Malah, lebih baik jika ia dikukuhkan lagi," kata beliau.

Khalid mula memegang jawatan YDP PAS Shah Alam pada tahun 1997, pada usia 40 tahun tidak mempertahankan jawatannya untuk sesi kali ini untuk memberi laluan kepada yang lain.

"Sudah lama saya sebagai YDP Shah Alam ini. Biarlah saya beri peluang kepada yang lain. Kalau saya tidak berundur, sampai bila yang lain akan naik. Jadi, awal-awal lagi saya sudah umum untuk tidak pertahankan, walaupun masih ada cawangan yang mencalonkan saya," kata beliau lagi.

Sementara itu, mesyuarat agung kawasan Shah Alam yang berlangsung pada 8 dan 9 Sept lalu membariskan Azli Yusof yang dahulunya TYDP sebagai YDP yang baru, Zulkifli Mohd Nani sebagai TYDP dan Jamil Abd Rahim sebagai Naib YDP PAS Shah Alam.

Mesyuarat agung itu dirasmikan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 tahun ini akan diadakan pada 22 hingga 24 November depan, dengan Selangor terpilih sebagai tuan rumah.

Manakala bagi muktamar dewan-dewan pula akan bermula pada 20 dan 21 Nov.

Muktamar tahun ini juga akan berlakunya proses pemilihan kepimpinan yang baru bagi setiap peringkat untuk sesi dua tahun berikutnya iaitu 2013-2015.

Mediu sedia tempatkan pelajar daripada Al-Azhar

Harakahdaily, 10 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) telah mengambil peranan bersama Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menyelesaikan isu pelajar-pelajar Malaysia yang telah dibawa pulang dari Mesir.

Sebagai inisiatif untuk membantu dan mencipta platform terbaik kepada pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang telah dibawa pulang ke tanah air, dengan jumlah sehingga kini ialah 2,700 orang pelajar ekoran daripada pergolakan yang meruncing di Negara Timur Tengah, Mediu telah menyatakan kesediaan untuk menempatkan pelajar-pelajar daripada Al-Azhar dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab.

Kesediaan itu telah disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Prof. Dr. Muhammad Khalifa Al-Tamimi melalui suratnya kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Prof. Dr. Muhammad Khalifa Al Tamimi juga telah menyatakan bahawa lebih 90% modul pengajian yang diguna pakai di Mediu bagi bidang pengajian Islam dan Bahasa Arab adalah dengan kerjasama daripada Universiti Al-Azhar.

Menurutnya, manakala sebahagian besar pensyarah pula adalah berasal daripada Timur Tengah dan Asia Barat yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan yang terdiri daripada lepasan pengajian peringkat Ph.D di Universiti Al-Azhar, Universiti Islam Madinah, Universiti Islam di Jordan, Universiti tempatan dan beberapa universiti terkemuka didalam jurusan Pengajian Islam yang lain.

Beliau berkata, Mediu merasa amat berbesar hati di atas kepercayaan yang telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha Menangani perkara ini.

“Ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia di atas kepercayaan terhadap Universiti Antarabangsa Al-Madinah, dan kami akan menggunakan  peluang ini untuk kami menabur bakti terhadap warga tempatan yang terdiri daripada pelajar Universiti Al-Azhar bagi  memastikan mereka mencapai cita-cita yang disemai seterusnya menjadi warga yang berjasa kepada agama  bangsa, dan negara," ujarnya melalui surat tersebut.

Sehubungan itu, Mediu telah dijemput oleh Jabatan Pengajian Tinggi  bagi menghadiri mesyuarat khas  pada 6 September lalu bertempat di Dewan Ibn Hazm, Jabatan Pengajian Tinggi di Putrajaya dengan dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Ibrahim Ali.

Mediu yang diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Hal Ehwal Akademik; Associate Professor Dr Wan Mat Sulaiman telah menyatakan tentang  kesediaan untuk menempatkan pelajar-pelajar Universiti Al-Azhar Mesir bagi menyambung pengajian mereka  seramai 600 pelajar bagi pengajian secara konvensional (conventional learning)  di bilik kuliah yang serba lengkap dengan kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa yang berpusat di Shah Alam, Selangor.

Manakala pengajian secara e-pembelajaran (online learning) tiada had yang ditetapkan dan Mediu boleh menerima walaupun jumlah yang ramai.

Mediu dalam satu kenyataan merasa amat terharu di atas inisiatif dan kesungguhan Kementerian Pendidikan Malaysia dan meminta pelajar-pelajar  yang terlibat untuk hadir pada hari terbuka Jabatan Pengajian Tinggi bersama pelajar-pelajar Mesir yang akan diadakan di Jabatan Pengajian Tinggi, Presint 5, Putrajaya pada 12 September ini.

Imam Nawawi & Fathul Bahri pada sisi rakyat

Ahmad Tajdid, 10 Sep 2013
IMAM Nawawi atau nama penuhnya Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syirfu al-Nawawi (631 -676H) ialah anak kelahiran Damsyik, Syam (Syria). Menghafaz Quran sejak dari kecil,  beliau dilapor mempelajari sebanyak 12 mata pelajaran dalam berbagai jurusan ilmu  agama. Antara buku karangan ulama terkenal Mazhab Shafie ini adalah Syarah Sahih  Muslim dan Riyadus Salihin.

Sepanjang hayatnya, Imam Nawawi telah menyumbangkan tenaga fikiran dan ilmunya kepada  agama Islam dan umatnya. Ketegasannya dalam menyampaikan kebenaran Islam tiada tolok  banding pada zamannya. Sebagai ulama yang memimpin umat, beliau memfatwakan kebenaran  tanpa rasa takut walaupun akibatnya merugikan kedudukan dan mengancam nyawanya.

Terdapat satu kisah masyhur berhubung Imam Nawawi yang menjelaskan lagi kemuliaan  peribadi ulama terkemuka ini. Menurut riwayat, Sultan Al-Malik Al-Zahir telah  mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu  digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan  perang melawan musuh.

Keseluruhan ulama fiqh negeri Syam telah menulis menyokong fatwa tersebut, namun  baginda belum merasa senang hati kerana Imam Nawawi belum memberikan fatwanya.

Baginda menjemput Imam Nawawi ke istana untuk mendengar sendiri pandangan beliau.  Walaupun menerima jemputan sultan, tanpa diduga Imam Nawawi menolak untuk menyokong  fatwa itu. Malah dengan berani beliau memberikan alasan penolakannya itu.

"Aku mengetahui bahawa kamu (Sultan Al-Malik Al-Zahir) dahulunya seorang hamba  tawanan dan tidak mempunyai sebarang harta benda. Tetapi dengan pertolongan Allah  kamu telah menjadi seorang raja. Aku mendengar bahawa kamu ada memiliki seribu orang  hamba, tiap seorang mempunyai beberapa ketul emas. Manakala 200 orang khadam wanita  milik kamu masing-masing mempunyai barang-barang perhiasan yang bernilai.

"Andai kata kamu membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka  tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka aku bersedia memberikan fatwa untuk  membenarkan kamu mengambil harta rakyat."

Kesimpulannya, Imam Nawawi berfatwa tidak membenar Al-Zahir mengambil harta rakyat  selama kekayaannya sendiri masih dapat digunakan.

Sultan Al-Malik Al-Zahir begitu murka apabila mendengar fatwa itu sehingga sesetengah  riwayat melaporkan, para ulama yang hadir mengangkat jubah masing-masing kerana  takutkan percikan darah terkena hujung jubah mereka jika Sultan memancung kepala Imam  Nawawi.

Namun Sultan mengeluarkan perintah supaya Imam Nawawi segera keluar dari Damsyik.  Akur dengan perintah itu, beliau membawa diri ke Nawa. Para ulama Syam berusaha  menjemput Imam Nawawi kembali ke Damsyik namun beliau enggan selagi Al-Zahir memegang  tampuk pemerintahan.

Begitulah keberanian jiwa seorang ulama yang tidak mahu mengejar pangkat dan  kedudukan kerana tidak rela mengorbankan kebenaran Islam.

Kisah di atas turut menjelaskan tentang kewajipan kerajaan yang sedang berhadapan  dengan krisis dan setakat mana kepentingan rakyat perlu dikorbankan semasa negara  mengalami krisis. Pemerintah yang adil, amanah dan bertanggung jawab sudah pasti  mengutamakan rakyat dan tidak mengorbankan kepentingan rakyat.

Dalam menghadapi kemelesetan ekonomi sebagai contoh, kerajaan perlulah mencari kaedah  terbaik bagi mengelak rakyat menghadapi kepayahan hidup dan tidak mencari jalan  pintas dengan membebankan rakyat. Apatah lagi jika kemelesetan ekonomi itu berpunca  daripada amalan berbelanja kerajaan (yang boros), rasuah, penyelewengan dan kegagalan  mengurus tadbir negara dengan baik.

Sehubungan itu saranan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah supaya  kerajaan menanggung sendiri beban kewangan yang meningkat dan bukan melepaskannya ke  bahu rakyat perlu diberi perhatian serius.

Mengulas langkah kerajaan BN menaikkan harga runcit Ron97 dan diesel, Ku Li menggesa  agar gejala rasuah yang menjadi masalah terbesar dalam pentadbiran negara diatasi  segera kerana ia menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat.

"Amalan rasuah begitu berleluasa di peringkat tertinggi dan melibatkan jumlah wang  yang banyak. Akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat daripadanya,"  tegas beliau.

Bagi Ku Li, kerajaan telah membiarkan rakyat bawahan membayar kos tambahan akibat  daripada kos projek yang terlalu mahal (akibat rasuah).

"Kerajaan sepatutnya menanggung sendiri beban kewangan yang meningkat, bukan  melepaskannya ke bahu rakyat," tegas bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46 itu.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga menyarankan supaya semua pemimpin kerajaan termasuk  menteri dan bekas menteri mengisytiharkan harta masing-masing sebagai salah satu  langkah membanteras amalan rasuah.

"Ini termasuk juga isytihar duit (wang simpanan). Saya sendiri akan isytihar  (walaupun sudah lama tidak jadi menteri)," lapor Sinar Harian, 7 September lalu.

Lain pula kisahnya dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno  (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya yang mahu rakyat menerima kenaikan harga barangan  (akibat kenaikan harga minyak) sebagai takdir dan ketetapan daripada Allah SWT.

Mengulas pandangan Fathul Bari itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim  Tuan Man berkata, Islam menitikberatkan konsep adil kepada semua pihak - peniaga dan  pembeli.

Menurut Ustaz Tuan Ibrahim, tidak wajar mengajak rakyat menerima kenaikan harga  barangan sebagai takdir sedangkan pada masa yang sama ada pemimpin negara, ahli  korporat dan syarikat kroni terus-menerus mengambil kesempatan untuk hidup bermewah.

"Memang hakikat naik turun, ajal maut semua ketentuan Allah tetapi bukan bermakna  pemerintah boleh sesuka hati meletakkan kesalahan kepada takdir.

"Demikian juga kalau kita tengok kerajaan memotong subsidi untuk rakyat tetapi dalam  waktu sama golongan korporat dan bangsawan dilihat hidup melampau-lampau mewah,"  katanya dipetik TV Selangor.

Kenyataan Fathul Bari itu juga, tegas beliau berbahaya kerana boleh memberi gambaran  bahawa peniaga boleh bebas menaikkan harga barangan dan pengguna harus menerimanya  sebagai takdir.

Kesimpulannya, negara perlukan pemerintah yang adil dan ulama yang amanah dengan  ilmunya untuk terus kekal makmur dan harmoni. Tanpa dua syarat itu, hasrat mewujudkan  sebuah negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT tidak akan tercapai.

Qaryah Ramadan dinobat panorama terbaik Asia Pasifik

Aslani M, 10 Sep 2013

KOTA BHARU: Panorama di Qaryah Ramadan dipilih sebagai gambar terbaik sempena perhimpunan agung Tourism Promotion Organization For Asia Pacific Cities (TPO) tahun ini.

Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) mewakili Kota Bharu mengatasi 69 bandar raya lain dari rantau Asia Pacific.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, MPKB BRI menerima hadiah terbaik dengan mengetengahkan suasana di Qaryah Ramadan pada pameran yang diadakan.

Katanya, program tersebut diadakan sempena Perhimpunan Agung TPO kali keenam yang diadakan di Daejeon Metropolitan City, Korea.

Program berlangsung pada 4 hingga 7 September lalu bertempat di Daejeon Simposium TPO dan TPO Daejeon International Travel Fair.

”Seramai 15 delegasi dari Kelantan yang diketua Exco Pelancongan menyertai program berkenaan bersama wakil daripada Ipoh, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Kelantan juga mengentengahkan aktiviti pelancongan yang diwakili Khalifa Suite Hotel dan H&H Travel bagi menggambarkan suasana menarik di sini.

“Kelainan yang kita pamerkan dengan imej pelancongan bermesej Islam dan budaya kehidupan masyarakat timur,” katanya di sini.

Perhimpunan Agung TPO tahun ini bertema "Revitalisasi Industri Pelancongan melalui Pertubuhan Antarabangsa."

Beliau juga berkata, Kota Bharu dipilih sebagai tempat berlangsung forum TPO tahun hadapan berikutan pencapaian cemerlang di Daejeon.

Katanya, pemilihan Kota Bharu sebagai satu penghormatarn besar kepada Kelantan dan Malaysia amnya yang dijangka disertai 200 peserta dari 70 bandar besar di rantau Asia Pasifik.

Kelantan dan ketelusan

TG Nik Abdul Aziz Nik Mat, 10 Sep 2013
Salah satu perkara yang amat saya tekankan semasa mentadbir Kelantan ialah ketelusan di dalam pemberian tender. Seringkali saya berpesan kepada anggota exco, mentadbir negeri ini ialah amanah daripada Allah SWT. Jangan perlakukan negeri seperti hak kita anak beranak. Jikapun kita terlepas dari proses audit di dunia, kita tidak mungkin terlepas dari proses audit di akhirat.

Di Kelantan, saya tidak pernah meletakkan kriteria seseorang itu perlu menjadi ahli PAS terlebih dahulu sebelum mendapat apa-apa tender. Sepanjang pentadbiran saya di Kelantan, seingat saya Jambatan Lepan Pari yang berada di dalam DUN saya iaitu Chempaka pernah dianugerahkan projek pembinaannya kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh ahli Umno.

Pesaingnya yang paling dekat ialah ialah sebuat syarikat milik ahli PAS tetapi atas prinsip ketelusan, syarikat milik ahli UMNO mendapat projek tersebut. Pada masa itu, saya dihujani dengan pertanyaan oleh pelbagai pihak, ada yang datang merayu dan mempersoalkan keputusan yang dibuat. Jawapan saya ada masa itu ialah, kita berpegang kepada ketelusan.

Di Kelantan, ahli-ahli Umno boleh 'mencari makan'. Tiada batasan dan tiada sekatan sekalipun diketahui umum sebagai seorang ahli Umno. Pernah projek membina loji air dianugerahkan kepada syarikat yang turut dimiliki oleh seorang pemimpin Umno yang dikhabarkan pernah menerima watikah perlantikan sebagai calon untuk bertanding di dalam pilihanraya umum yang lepas. Mengapa beliau akhirnya tidak bertanding dan tidak menggunakan watikah tersebut wallahualam, tetapi yang sahihnya projek yang diberikan tidak ditarik balik.

Alhamdulillah, projek-projek di bawah kendalian kerajaan Kelantan terus berjalan dengan baik dan sempurna. Berbeza dengan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra yang disahkan Laporan Ketua Audit Negara 2011 lambat disiapkan ekoran banyak kelemahan. Antara kelemahan itu termasuklah pelantikan kontraktor yang tidak berpengalaman serta masalah reka bentuk sistem cerucuk. Kosnya pun meningkat kepada RM177.76 juta iaitu peningkatan sejumlah RM34.76 juta (24.3%) berbanding kontrak asal yang bernilai RM143 juta. Paling menarik, projek jambatan dengan kos sebesar itu diberikan secara runding terus dan tidak melalui tender!

Itulah gambaran kerosakan Umno sebenarnya. Melalui ketirisan projek seperti inilah, mereka boleh mencari makan. Saya kira, tanpa peluang-peluang seperti ini, pelampung Umno akan bocor dan akan lemas di laut politik. Justeru, Umno sebenarnya langsung tidak layak bercakap soal telus dan jimat-cermat.

Sekian.

Al-Mursyidul Am,

Parti Islam Semalaysia (PAS)

Tiada ulasan: