Haji: Antara falsafah, tokok tambah dan nas
Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, | 30 Sep 2013 |
Saya berkata syaitan memang jahat dan dilaknat, namun saya juga tidak fikir untuk mereka menunggu agar dilontar pada hari-hari haji. Saya rasa syaitan tidak sebodoh itu, walaupun dia jahat. Beliau kehairanan dengan jawapan saya. Dia bertanya kebingungan: Habis, apakah agama menceritakan sesuatu yang bohong?. Saya katakan: Tidak! Tetapi ustaz itu yang cuba berfalsafah tentang ibadah tanpa merujuk kepada dalil dan akal yang waras. Entah berapa banyak para penceramah yang ‘sewaktu dengannya’.
Jangan Melampau
Jika penceramah berkenaan membaca dan memahami nas terlebih dahulu, tentu dia tidak membuat huraian yang seperti itu. Dalam hadis daripada Ibn `Abbas, katanya:
“Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah SAW bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-`Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: “(Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu." (Diriwayatkan oleh al-Nasa’i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani).
Nabi SAW dalam hadis ini memuji Ibn ‘Abbas kerana telah mengutip batu-batu yang kecil kerana itu sudah memadai. Tidak benarkan melampaui batas dengan mengutip batu-batu yang melebihi ukuran yang patutnya. Baginda juga mengingatkan bahawa rosaknya agama mereka yang terdahulu adalah kerana melampaui batasan yang diajar oleh para rasul. Dalam ertikata lain, menokok tambah yang bukan-bukan merosakkan agama. Jika batu-batu yang dilontar di ketiga-tiga jamrah itu bertujuan melontar syaitan, tentu tidak memadai dengan anak-anak batu yang kecil itu. Dengan kefahaman yang salah ini jugalah sesetengah jamaah haji dari negara-negara tertentu melontar dengan batu atau bahan lain yang melebihi saiz yang disuruh, yang akhirnya bukan syaitan yang sengsara tetapi jamaah lain yang cedera.
Sesiapa yang ingin berfalsafah tentang agama ini, hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada nas-nas yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Walaupun sebahagian amalan haji itu mempunyai latar sejarahnya seperti kisah Ibrahim melontar syaitan, namun kita yang menunaikan haji melaksanakannya sebagai memenuhi arahan Allah dengan contoh amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Sama seperti kita rukuk, sujud dan segala pergerakan lain dalam solat, kita laksanakannya dengan kaedah dan contoh yang ditunjuk oleh Rasulullah SAW.
Khurafat
Sesetengah kita pula yang ingin berangkat ke Mekah mempunyai berbagai kepercayaan yang bukan-bukan. Ada yang menganggap bahawa jika seseorang yang hendak pergi haji itu sudah berada dalam kenderaan, dia tidak boleh berpatah balik jika ada barang yang tertinggal. Nanti kononnya akan mati di Mekah dan tidak pulang ke rumahnya lagi. Percayaan ini adalah khurafat. Jika ia benar, alangkah beruntung seseorang yang meninggal dalam perjalanan melaksanakan ibadah! Ada pula yang menganggap bahawa ada upacara khas berangkat ke haji. Maka seseorang tidak boleh berangkat sehingga upacara ‘bawa turun’ ke Mekah diadakan. Padahal Nabi SAW dan para sahabah yang berangkat dari Madinah ke Mekah ketika itu tidak pernah melakukan upacara itu semua. Apa yang baginda ajar adalah doa dan adab-adab musafir.
Seseorang yang menunaikan haji perlu faham teras-teras akidah secara jelas. Jika tidak, dibimbangi mereka tersasar. Bukan sedikit yang kita lihat jamaah haji sesetengah negara yang mengusap batu, bukit dan apa sahaja binaan di Mekah dan Madinah yang menimbulkan kekaguman dalam jiwanya. Bahkan beberapa tahun dahulu sebelum telaga Zam-Zam ditutup seperti sekarang, saya pernah melihat ada mengusap-usap binaan moden sekeliling telaga berkenaan. Ada pula yang semasa tawaf cuba mengoyak kelambu (Kiswah) Kaabah kononnya untuk disimpan kerana ada keajaibannya.
Mereka lupa kelambu tersebut adalah tenunan zaman sekarang yang selalu ditukar ganti. Kilangnya ada di Mekah dengan berbagai peralatan canggih. Mengoyak kelampu tersebut bererti memusnah harta awam dan mencuri. Apakah jenis keberkatan yang mereka cari dari barangan curi dan khianat? Perkara seperti ini jika tidak dikawal Dunia Islam akan hanyut seperti sebahagian ajaran tarekat dan syiah yang mempertuhankan segala unsur yang mereka kagumi, termasuklah mempertuhankan guru-guru atau imam-imam mereka. Sebab itu Saiyyidina Umar memerintahkan agar ditebang pokok yang pernah Rasulullah SAW dan para sahabah melakukan baiah (ikrar setia) al-Ridwan di bawahnya, kerana orang ramai mula datang dan bersolat di tempat tersebut. (lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, 11/490, Beirut: Dar al-Fikr). Bimbang berlakunya fitnah dalam akidah, warisan sejarah berharga pun terpaksa dihapuskan.
Tiada Unsur Keberhalaan
Ajaran Islam menentang sebarang unsur keberhalaan. Umat Islam tidak menyembah Ka’bah, sebaliknya mereka hanya menghadapkan wajah ke arah Ka’bah bagi memenuhi arahan Allah juga kesatuan dalam ibadah. Pada awalnya umat Islam menghadap ke arah Masjid al-Aqsa, kemudian Nabi SAW memohon agar dipilih Masjidil Haram sebagai arah kiblat kaum muslimin. Lalu Allah menerima harapan baginda. Maka pemilihan arah kiblat Allah adalah ketetapan Allah untuk kita. Kita tidak menjadikannya seperti agama-agama berhala. Kita hanya tunduk mengabdikan diri kepada Allah. Allah Yang Maha Suci dari menyerupai sebarang makhluk itu tidak diwakili oleh apa-apa objek atau insan atau haiwan. Jika diandaikan Kaabah itu dicabut dan dipindahkan ke negara lain, umat Islam tidak akan mengadap wajah mereka ke arah yang baru itu atau pergi haji ke negara baru hanya kerana Kaabah di situ. Tetap ke arah Masjid Haram dan Mekah yang asal. Bukan objek yang disembah, tetapi menunaikan ibadah berdasarkan arah dan tempah yang diperintahkan Allah. Firman Allah, maksudnya:
“Kerap kali Kami melihat engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang mengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu hadapkan wajahmu ke arah Masjid al-Haram dan di mana sahaja kamu berada maka hadaplah wajah kamu ke arahnya.” (Surah al-Baqarah 144).
Dalam sejarah, puak Qaramitah yang amat terkutuk pernah menyerang Mekah, mencuri Hajarul Aswad, membahagi-bahagikan kelambu Kaabah, dan mencuri pintunya. Mereka membawa Hajarul Aswad ke negara mereka Hijr. Hajarul Aswad berada di sana di antara tahun 319H sehimgga tahun 339H. Akhirnya dikembalikan (lihat: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 11/236, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Namun umat Islam tidak pula menukar tempat haji mereka ketika itu, pergi ke negara Qaramitah tersebut. Kerana, bukan batu yang dipuja. Justeru itu, ‘Umar bin al-Khattab RA apabila datang mencium Hajarul Aswad berkata:
“Sesungguhnya aku mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hanya Mencontohi Rasulullah
Oleh sebab Rasulullah SAW menciumnya sebagai syiar ibadah maka kita pun menciumnya, bukan kerana ia mempunyai sebarang kesaktian atau unsur ketuhanan. Demikian juga tawaf, sa’i, wukuf dan kesemuanya dilakukan dengan kadar yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan dengan akidah yang diajar oleh baginda. Jika ini tidak fahami, maka itulah yang kita lihat ada yang memanjat Jabal Rahmah di Arafah kononnya untuk menyeru nama-nama kaum keluarga atau kenalan agar dapat datang menunaikan haji pada tahun-tahun berikutnya. Padahal perkara-perkara tersebut tidak dilakukan oleh Nabi dan para sahabah. Firman Allah, maksudnya:
“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya peluang untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah al-Nisa : 115).
Berkat Dan Rahmat
Ini bukan bererti kita menafikan unsur keberkatan dan rahmat Allah yang melimpah yang diturunkan di tempat-tempat mulia lagi terpilih tersebut. Allah Maha Mengetahui bahawa hamba apabila merindui Tuhannya, dia ingin merintih, merayu dan mencari tempat dan masa yang dapat menjadi dirinya merasa lebih dekat kepada Tuhannya. Maka dipilih tempat-tempat mulia ini untuk dilimpahi rahmat-Nya di situ melebihi tempat yang lain seperti Mekah dan Madinah, Zam-Zam dan Kaabah, Mina dan Arafah dan seumpamanya. Seperti mana Allah memilih waktu-waktu yang dilimpahi rahmat-Nya melebihi waktu yang lain seperti malam al-Qadr, bulan Ramadan, Hari Jumaat, demikianlah juga hari-hari waktu ibadah haji. Maka insan muslim, ketika melalui tempat atau waktu yang dirahmati itu hendaklah segala jiwa dan perasaan mengaitkan sepenuh kerahmatan dan kebaikan yang akan diperolehinya di tempat atau waktu berkenaan adalah kurniaan Allah semata. Hanya daripada-Nya sahaja. Allah punca utama segala kebaikan itu; bukan masa, objek ataupun tempat. Jika perasaan dibentuk demikian rupa, maka segalanya menjadi kecil dan kerdil di hadapan jiwa tauhid yang melimpahi ruang keimanan seorang insan.
Untuk Allah Semata
Ibadah haji juga mengajar erti membulat niat dan nekad hanya kerana Allah. Apalah yang menarik jika kota Mekah itu dilihat di sudut muka bumi dan kesuburannya. Lembah yang kering-kontang tanpa tumbuh-tumbuhan. Namun, manusia tidak pernah putus-putus mengunjunginya, sejak Nabi Ibrahim AS membina Kaabah yang mulia. Allah memilih tempat yang demikian rupa, agar setiap yang datang ke Mekah tertumpu niatnya untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukan untuk melancung dan berseronok suka. Firman Allah, maksudnya:
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat (memakmurkannya dengan ibadat) maka jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan, semoga mereka bersyukur.” (surah Ibrahim : 37)
Perjuangan Tauhid
Dalam ibadah haji dan umrah, seorang muslim dapat merasai kesinambungan sejarah agama ini, sejak Nabi Ibrahim AS sehingga ke hari ini. Perjuangan membela dan menegak tauhid yang kudus dan lurus bukan bermula dalam beberapa hari ini, atau beberapa tahun, bahkan umur perjuangan ini sudah ribuan tahun. Firman Allah, maksudnya:
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa: Wahai Tuhan kami! terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;. Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan Jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara Ibadat kami, dan terimalah taubat kami; Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani; “Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan mereka al-Kitab (Al-Quran) serta hikmah (sunah atau kebijaksanaan) dan membersihkan mereka. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah : 127-129)
Siapa sangka gerakan yang dimula oleh dua orang nabi, berkesinambungan sehingga ke hari ini. Bagi setiap zaman ada yang meneruskan perjuangan mereka. Sekalipun para pembela tauhid dan menegak titah perintah tulen Tuhan itu akan menghadapi berbagai rintangan yang tidak pernah putus. Ada yang dihina, dituduh, diusir, ada yang dipenjara, ada yang dibunuh dan berbagai penderitaan yang lain. Namun, para penerus perjuangan Ibrahim AS tidak pernah putus asa terhadap kebangkitan ajaran Nabi Ibrahim AS. Ini kerana mereka sedar bukan mereka yang memula dan mengakhiri perjuangan ini. Sebaliknya perjuangan ini telah bermula sejak ribuan tahun dan akan terus ada penyambungnya bagi setiap zaman. Nabi Muhammad SAW adalah penyambung agung. Perjuangan ini tidak mati dengan dibunuh atau mati seorang pejuang, kerana hasrat dan seruan perjuangan akan disuburi oleh rahmat dari langit. Jamaah haji mesti menghayati hakikat ini ketika memijak tempat yang telah Nabi Ibrahim AS mula perjuangannya.
http://drmaza.com/
Q&A: Cara mewakilkan ibadah korban
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, | 30 Sep 2013 |
Assalamualaikum. Penyertaan 1 bahagian (korban - lembu) RM400.00 contoh; jadi jika Ahmad ingin mengambil 1 bahagian, bagaimanakah cara yang sepatutnya dari mula beliau menyerahkan wang kepada pihak pengurusan sesebuah masjid sehinggalah pada hari penyembelihan. Saya mohon ustaz jelaskan cara lafaz semasa penyerahan wang (untuk 1 bahagian/lembu), adakah perlu beliau meyatakan secara lafaz atau sekadar berniat dan adakah beliau perlu lafaz pada pihak pengurusan masjid mewakilkan seperti “Saya mewakilkan pihak pengurusan masjid untuk membeli lembu.” Semasa hari penyembelihan adakah beliau perlu mewakilkan pada niat pada si penyembelih atau sekadar niat sendiri semasa penyembelih menyembelih binatang. Mohon penjelasan, terima kasih.
Jawapan;
1. Pastikan al-wakil (pihak orang yang menerima perwakilan) merupakan orang yang dipercayai dan mampu melaksanakan ibadah yang dimaksudkan (iaitu ibadah korban) atau mampu menguruskannya.
2. Melakukan akad taukil (penyerahan) dengan bahasa yang jelas, seperti berkata kepada al-wakil tadi; "Ini duit RM400, belikan untukku binatang korban (1 tompok darinya) dan laksanakan korban bagi pihakku". Jika taukil (penyerahan) turut membabitkan pengagihan daging korban, nyatakan sama; "....dan mengagihkannya bagi pihakku kepada yang berhak/layak menerimanya." Jika ada borang disediakan, mengisi borang bersama penyerahan wang sudah memadai sebagai taukil (penyerahan).
3. Kemudian hendaklah al-wakil menerima taukil (penyerahan) tadi dengan lafaz darinya (seperti ia berkata; 'aku terima') atau dengan perbuatan (seperti menerima wang dan borang tanpa berkata apa-apa).
4. Walaupun telah menyerahkan perlaksanaan ibadah korban kepada orang lain, namun disunatkan kepada al-muwakkil (orang yang menyerah) untuk turut hadir menyaksikan penyembelihan korbannya dilakukan. Hal ini sebagaimana sabda Nabi SAW kepada Fatimah RA; “Pergilah kepada binatang korban kamu dan saksikanlah dia kerana sesungguhnya dengan titisan pertama darah yang jatuh darinya akan menyebabkan diampunkan untukmu segala dosa kamu yang lalu.” (Mustadrak al-Hakim; 7525, dari Abu Sa’id al-Khudri RA).
5. Jika ia dapat hadir sama, hendaklah ia berniat korban ketika melihat binatang korbannya di sembelih. Boleh juga jika ia menyerahkan niat kepada penyembelih. Disunatkan juga ketika melihat binatang korbannya disembelih, ia membaca;
“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku semuanya untuk Allah Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagiNya, dengan yang demikian itulah aku diperintahkan, dan aku adalah dari kalangan orang-orang yang berserah diri kepada Allah.” (Mustadrak al-Hakim; 7524, dari ‘Imran bin Hushain RA).
6. Jika ia tidak dapat hadir sama, akad taukil tadi sudah memadai sebagai niat korban bagi dirinya. Tinggal lagi orang yang melaksanakan penyembelihan korban bagi pihak orang lain hendaklah ia berniat korban bagi pihak mereka.
http://ilmudanulamak.blogspot.com
Q&A: Mati semasa ihram
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, | 29 Sep 2013 |
Adakah orang yang mati semasa ihram perlu disempurnakan hajinya?
Jawapan:
Ibnu 'Abbas RA menceritakan; "Seorang lelaki sedang wukuf di Arafah. Tiba-tiba ia terjatuh dari kudanya, lalu patah lehernya dan mati. Maka Nabi SAW bersabda, maksudnya;
"Mandikanlah ia dengan air dan sidr, kafankanlah ia dengan dua kain ihramnya, janganlah disapu/dipakaikan wangian kepadanya dan janganlah menutup wajah dan juga kepalanya. Sesungguhnya ia akan dibangkitkan di hari akhirat dalam keadaan bertalbiah".
Dari hadis ini diambil kesimpulan;
1. Hadis ini menunjukkan ihram tidak terputus dengan berlakunya kematian. Maka kesan ihram berkekalan sekalipun selepas mati. Oleh itu, mayatnya tidak dikenakan wangian dan kepalanya tidak ditutup. Inilah yang menjadi pegangan mazhab as-Sauri, Syafi'ie, Ahmad dan Ishaq. Namun Ibnu Umar berpandangan; ihramnya terputus dengan kematian. Oleh itu ia diperlakukan sebagaimana mayat-mayat yang lain. Pandangan ini juga dipegang oleh mazhab Malik dan ashab ar-Rakyi (yakni Abu Hanifah dan sebagainya).
2. Hadis ini juga menjadi dalil bahawa seorang yang dalam ihram jika mati, tidak perlu disempurnakan baki hajinya kerana Nabi tidak menyuruhnya. Inilah yang disebut oleh Imam al-Baghawi dalam Syarah as-Sunnahnya. (jil. 5, hlm. 322-323). Rujukan; Dalail al-Ahkam, Ibnu Syadda, jil. 1, hlm. 501-502.
Namun menurut keterangan Imam Ibnu Qudamah di dalam al-Mughni; "Jika seseorang itu telah berihram haji, kemudian ia meninggal, adalah sah orang lain menggantikannya untuk melakukan kerja-kerja ibadah haji yang masih berbaki sama ada ia berniat ihram untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain. Dalilnya ialah; ibadah haji adalah ibadah yang harus berlaku niabah (gentian) di dalamnya, maka jika seseorang mati selepas mengerjakan sebahagiannya, maka untuk sebahagian lagi haruslah diqadha/diganti oleh orang lain bagi pihaknya, iaitu sama seperti zakat. (al-Mugni, juz. 3, hlm. 173).
http://ilmudanulamak.blogspot.com
PAS sudah bersedia jumpa Umno
Subky Latif, | 27 Sep 2013 |
Dalam suasana demikian tidak putus-putus orang dari berbagai kedudukan bersuara marilah PAS bersama Umno.
Yang terakhir Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyidin Yassin dengan serba galak mengajak lagi PAS supaya bersemuka atau duduk semeja dengan Umno tanpa mempedulikan semboyan kencang PAS belakang ini untuk PAS ganti Umno.
PAS menjelajah seluruh ceruk rantau mengumandangkan PAS ganti Umno dalam masa beberapa tahun ini. Dan PAS tidak main-main. Habis peluh dan air liur dari badan berkempen bagi mencapai PAS ganti Umno.
Seminggu selepas Muhyiddin mempelawa lagi, Presiden PAS Tok guru Haji Abdul Hadi Awang menjawab, ‘Ya PAS bersedia untuk bertemu Umno.
Jika ajak-ajak Muhyiddin itu tidak pernah ditakwil motif dan muslihatnya, maka jawapan Tok guru itu juga tidak perlu ditakwil niat dan politiknya.
Maka semuanya sekarang laksana bola berada di kaki Muhyidin. Tidak usah repot lagi. Mari berjumpa saja. Empat mata tak elok. Walaupun yang ketiga selain mereka berdua adalah Allah, tetapi Islam mengajar supaya ada saksi. Tak usah ditanyalah mengapa Allah menghendaki ada saksi.
Maka sekarang boleh diadakan pertemuan enam mata atau lapan mata atau beberapa orang Umno bersama beberapa orang PAS.
Tak usah ditanya apakah PAS akan tinggalkan Pakatan atau Muhyiddin mahu menyambung semula misi Tun Razak mengadakan hubungan Perikatan-PAS dalam suasana baru BN-PAS demi tujuan politik yang lebih besar.
Tak usah difikirkan itu semua. Kegagalan Razak-Asri itu adalah sejarah pahit untuk semua yang payah difikirkan untuk diulangi.
Tak usahlah masing-masing untuk memikirkan yang besar-besar dan yang mngkin meletupkan sesuatu.
Jangan ingatkan PAS akan tinggalkan Pakatan dan tiada kemungkinan dalam waktu yang terdekat ini sebaik saja Ustaz Hadi bertemu Najib atau Muhyidin, PAS akan keroyok Kit Siang dan DAP. Hanya orang gila akan ingat dan mimpikan itu.
PRU 1974 di mana PAS dan Umno tidak bertembung sama sendiri tak akan berulang lagi kecualilah Umno sudah dipadamkan dari ROS.
Kalau semua itu tidak mungkin, maka buat apa sebok-sebok untuk bertemu? Tentu Muhyiddin lebih tahu dan tidak perlu diberitahu. Tahulah dia apa yang patut dibuat jika ajakannya itu bukan ajak-ajak ayam. Ajak-ajak Muhyidin janganlah sama dengan ajak-ajak ayam.
Mungkin mereka dapat selesaikan isu orang PAS tidak dibenarkan jadi jawatan kuasa masjid boleh diselesaikan. Untuk permulaan mungkin payah sikit membuka jawatankuasa masjid dan surau kepada orng PAS, tetapi sekadar untuk menjadi tok siak tidak mengapa agaknya. Sekarang jadi tok siak pun tak boleh.
Mungkin orang PAS yang jadi guru tidak terhalang lagi untuk jadi guru kanan terutama ketika kementerian pelajaran mahukan guru-guru terbak. Bukan setiap yang jadi PAS akan jadi guru terbaik, tetapi ada antara ahli PAS itu guru yanag baik.
Maka tidaklah mereka akan disekat kenaikan pangkatnya.
Mahyuddin tentu tahu banyak yang perlu diharmonikan jika Umno tidak melihat PAS itu lebih teruk dar hantu raya.
Banyak yang Umno boleh bincangkan dengan PAS. Tidaklah PAS keras kepala. Pernah Anwar Ibrahim semasa jadi TPM bahawa Haji Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Noor dan Syed Ibrahim Abdul Rahman bertemu denan Dr Mahathir dan Anwar di kediaman Dr Mahathir.
Tak usah bincangkan apa yang dicapai, tetapi PAS telah sambut pelawaan itu.
Lebuh raya rakyat, bukti PAS parti pilihan
Mohammad Faizal Che Yusof, | 27 Sep 2013 |
Sebagaimana yang difahamkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Haji Husam Musa, ilham Tuan Guru tersebut dicetuskan kepada beliau sebanyak tiga kali setelah Tuan Guru meyakini bahawa Umno yang menerajui kerajaan pusat terus bersikap mendiskriminasikan Kelantan di bawah pimpinan PAS.
Setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi bila mana kepimpinan kerajaan negeri yang dipimpin oleh YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob terus dengan pendirian membina lebuh raya rakyat.
Berdasarkan penerangan Datuk Haji Husam Musa, boleh kita fahami bahawa prinsip asas kepada pembinaan lebuh raya rakyat ialah satu amalan perkongsian pintar antara pihak swasta dan kerajaan negeri. Dalam projek tersebut, kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar Kelantan PMBK bertindak sebagai pemudahcara.
Sebuah syarikat pembinaan lebuh raya yang berpengkalan di Korea telah bersetuju membina lebuh raya rakyat dengan kos RM1.8 bilion. Sebagai balasan kepada kesediaan syarikat gergasi ketiga korea tersebut, menurut perancangan awal kerajaan Kelantan hanya menyediakan suatu kawasan yang bernilai RM2.5 bilion yang mana diberi hak untuk diusahakan kepada syarikat Korea yang terlibat.
Uniknya pembinaan lebuh raya rakyat, tiada keperluan untuk kerajaan Kelantan membuat bayaran pendahuluan kepada syarikat pelaksana sebagaimana amalan yang menjadi kebiasaan. Di sinilah keterampilan ditunjukkan oleh pimpinan PAS dalam memastikan setiap sen harta rakyat yang diamanahkan ditadbir dan diuruskan sehabis baik.
Antara propaganda yang terus dimainkan oleh media-media anti PAS termasuklah betapa projek tersebut tidak melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan tidak diketahui parti. Dalam program penerangan di Kota Bharu yang diadakan semalam, khamis 26 September, YB Datuk Paduka Haji Husam Musa memperincikan bahawa seawal Julai 2011, projek pembinaan lebuh raya rakyat telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Negeri dan turut dibincangkan dalam Lajnah Politik serta Dewan Harian PAS.
Justeru, sebagai penyokong dan pendokong PAS, setiap dari kita bertanggungjawab untuk menyampaikan maklumat yang sehabis tepat kepada rakyat yang sentiasa dimomokkan dengan pelbagai fakta yang mengelirukan oleh media-media yang dikuasai Umno. Harus kita insaf, masih ramai dalam kalangan orang Melayu yang terus meletakkan sikap terlebih waspada kepada keupayaan PAS meneraju kerajaan apabila diberi hak memerintah Putrajaya.
Jadikanlah apa yang berlaku di negeri-negeri ditadbir PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat sebagai contoh yang sentiasa boleh dirujuk untuk rakyat memahami situasi sebenar. Usaha untuk memenangi hati rakyat bukan hanya pada musim pilihan raya.
Sebagai umat yang dipandu wahyu dan sunnah Rasul Allah SAW, setiap saat kita diberi pilihan untuk sama ada berbuat kebajikan dan beramal soleh atau membiarkan sahaja masa berlalu dengan kerugian. Ayuh, terus berjihad dengan setiap keupayaan demi memenangkan Islam di bumi bertuah ini. – 21 Zulkaedah 1434H.
Kenalkah engkau perempuan ini?
Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man, | 27 Sep 2013 |
Sentiasalah berlapang dada dengan teguran seseorang padamu, kerana setiap teguran akan menjadi permata yang sangat berharga seandainya kamu menerimanya sebagai satu nasihat. Seandainya kamu tidak melakukan apa yang dinyatakan itu, maka jadilah ia pedoman masa depanmu, dan sekiranya nasihat itu benar, ambillah ia sebagai sesuatu yang bernilai.
Wahai anakku,
Suatu hari Khalifah Umar al-Khattab keluar bersama al-Jarud bin al-Abdi. Tiba- tiba muncullah seorang wanita tua, memberi salam kepada Saidina Umar, lalu salamnya dijawab oleh Saidina Umar. Wanita itu memohon agar Saidina Umar memperlahankan perjalanannya bagi memberi peluang ia berbicara dengan Saidina Umar.
"Wahai Umar aku telah mengenalimu sejak namamu dahulu masih Umair (Umar sewaktu kecil) tatkala engkau berada di pasar Ukazh engkau mengembala kambing dengan tongkatmu, kemudian berlalulah hari demi hari sehingga kamu dikenali dengan panggilan Amirul Mukminin, maka bertakwalah kepada Allah SWT mengenai hal rakyatmu…”
Mendengar kata-kata wanita itu, lalu al-Jarud bin al-Abdi menegur wanita itu, "Kamu telah lama bercakap-cakap dengan Amirul Mukminin wahai wanita tua."
Mendengar kata- kata itu, Saidina Umar menegur al-Jarud, “Kenalkah kamu siapa wanita ini. Inilah Al-Khaulah binti Hakim. Biarlah dia berbicara, kerana Allah mendengar aduan dan bicaranya, sesungguhnya Umar lebih layak mendengar kata-katanya."
(Aduan al-Khaulah didengari oleh Allah sehingga turun wahyu surah al-Mujaadalah – surah ini mengandungi 22 ayat : "Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat."- Surah al-Mujadalah : ayat 1)
Wahai anakku,
Ambillah kisah ini sebagai suatu panduan bagimu, kerana engkau tidak sebaik Umar al-Khattab dan jauh daripada al-Khaulah yang aduannya dijawab oleh Allah. Namun kemuliaan itu akan tetap ada pada sesiapa sahaja, selagimana ia sedia berlapang dada dengan nasihat dan teguran.
Wahai anakku,
Syaitan akan berusaha agar engkau memandang rendah kepada mereka yang menegurmu, tambahan pula andainya yang menegurmu itu lebih rendah darjat dan ilmu darimu. Awasilah kesombongan dan egomu, kerana mereka yang sombong tidak akan mendengar segala teguran, apa lagi untuk menerimanya.
Wahai anakku,
Engkau akan selamat selagi mana kamu menyedari hakikat ini. Bersabar sedikit dari kesakitan di dunia ini, kerana kesakitan dan deritanya tidak kekal. Sedang akhirat yang akan kamu tempuhi adalah alam yang lebih baik dan lebih kekal.
Senyum. Salam Jumaat.
Mengapa Mukhriz tidak pilih ketua pemuda?
Subky Latif, | 27 Sep 2013 |
Dia tidak dapat mengalahkan Khairy Jamaluddin dalam pertandingan tiga penjuru dalam pertandingan itu.
Adalah benar jawatan Ketua Pemuda itu dalam rangking pimpinan parti lebih rendah dari Naib Presiden, maka jika berlaku mana-mana kekosongan dalam dua jawatan teratas – Presiden dan Timbalan Presiden – di luar musim pemilihan, maka yang dipandang dulu untuk mengisinya ialah para Naib Presiden.
Meskipun Ketua Pemuda adalah calon yang layak, tetapi tidak dipandang dulu. Maka mungkin itu sebab Mukhriz berminat lagi. Tetapi adakah itu sebab dia tidak memilih jawatan Ketua Pemuda, malah membiarkan seorang yang dikira proksinya, anak Tan Sri Sanusi Joned untuk mencabar seteru ketatnya, Khairy?
Bagi kedua anak beranak tersohor itu, Mukhriz dan bapanya, orang yang paling dicemburuinya adalah Khairy sejak dia belum menjadi Ketua Pemuda lagi. Famili itulah yang mencipta jolokan budak di tingkat empat yang ditujukan kepada Khairy sejak pentadbiran Tun Abdullah dulu lagi. Malah tidak suka itu mungkin melebihi pada bapa mertua Khairy sendiri.
Jika boleh mereka mahu ketepikan Khairy dulu dari bapa mertuanya, sebab mereka percaya Khairy lebih sudu dari senduk dalam perang dingin antara bapa Mukhriz dengan mertua Khairy.
Maka dengan tidak mencabar Khairy kali ini, Mukhriz dan bapanya membiarkan Khairy terus berada dalam salur galur hiraki pimpinan Umno. Pandangan jauh mereka Khairy boleh menghalang peluang Mukhriz untuk menjadi Perdana Menteri satu hari nanti. Jika Khairy tidak dipinggirkan, maka itu adalah satu percaturan politik yang silap.
Menyekat Khairy dalam mood semua tidak senangkan bapa mertuanya adalah lebih senang sebelum dia bertapak dalam kuasa Umno.
Usaha menyekat Khairy itu gagal. Mukhriz tidak dapat menggantikan jawatan anak seorang bekas Perdana Menteri lagi apabila jawatan itu dikosongkannya. Khairy yang mengisinya.
Khairy sudah dikira bertapak kuat dalam Pemuda Umno sekalipun dia dipeti sejukkan sekitar empat tahun oleh pentadbiran pro Mahathir. Dengan dia jadi menteri belia dan sukan empat bulan lalu, dia dilihak lebih berwibawa dari menteri yang digantikannya.
Maka dengan keadaan yang terbaru itu adalah payah bagi Mukhriz untuk mengambil alih tempat Khairy itu. Kira Mukhriz hendak menebus kekalahan dulu, eloklah dilupakan. Gerenti Mukhriz akan dikalahkan.
Dengan menyedari peluang itu tipis dan jawatan itu pula rendah dibandingkan dengan Naib Presiden, maka risiko memilih jawatan Naib Presiden itu tidaklah setinggi mencabar Khairy. Mukhriz nescaya lingkup jika berdepan dengan Khairy.
Bukan semua penyandang Naib itu boleh dikecundangkan. Mungkin ada ruang bagi Mukhriz mencelah. Jika sentimen kelab Menteri Besar seperti yang pernah berperanan sejak 40 tahun dihidupkan lagi, peluang itu ada buat Mukhriz.
Sejak zaman Dato Harun Idris jadi Menteri Besar Selangor awal 70-an dan dilanjutkan oleh Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu, kelab Menteri Besar itu mahu ada di kalangan Naib Presiden itu dari Menteri Besar, tidak kira Menteri Besar mana negeri, maka kesempatan menjadi Menteri Besar Kedah adalah menjadi peluang baik buat Mukriz.
Dan kalau percubaan Mukhriz itu gagal, ia tidak terasa sangat, kerana yang kalah bukan dia saja. Ada dua lagi yang kalah bersamanya. Tapi kalau kalah di tangan Khiary, terasa sangat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan