Rabu, 18 September 2013

SISTEM SEBENAR PENDIDIKAN WAJIB IKUT ISLAM...LEBIH2 LAGI DALAM BIDANG PERGAULAN...PENDIDIKAN YANG MENGHUBUNGKAN DENGAN PENCIPTA...SEMUA ILMU MILIK ALLAH

PAS dalam Pakatan perkukuh sistem dua parti

Anis Nazri, 17 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS akan meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat memandangkan hubungan parti itu lebih kukuh dan baik berbanding hubungan antara parti dalam Barisan Nasional.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata hubungan dalam Pakatan Rakyat itu perlu diteruskan sebagai sistem dua parti.

"Memang semua parti politik dalam Pakatan Rakyat mempelajari cara parti masing-masing. Sehingga kini kita teruskan kerjasama dengan Pakatan Rakyat sebagai sistem dua parti yang lebih kukuh, lebih baik berbanding pakatan BN," tegas beliau pada satu sidang media, di Pusat Media PAS, petang ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berhubung kerjasama PAS dalam Pakatan rakyat, khususnya dengan PKR.

Mengulas isu sama ada PAS bersedia untuk mengkaji semula tahaluf siasi kerana kononnya menjadi sebab kemerosotan undi terhadap PAS, beliau bagaimanapun menafikannya.

"Tahaluf siasi bukan penyebabnya. PAS dapat meningkatkan undi di Selangor. Dari tiga exco kepada empat exco dan dari lapan kerusi kepada 15 kerusi. Begitu juga di Terengganu. Kita juga dapat tambah kerusi di Melaka, juga Johor," tegas beliau.

Tambah beliau, jika kemerosotan undi dijadikan penanda aras kekuatan sesebuah parti, BN lebih mengalami kemerosotan undi pada pilihan raya umum lalu.

"Kalau nak tengok undi merosot, BN lagi merosot undinya di Terengganu, Selangor dan Johor," kata beliau sambil menyatakan sebab kemerosotan undi terhadap BN menyebabkan parti itu teraba-raba mencari kawan.

Ops Bubar: Hakim dengar permohonan Khamis ini

Muhammad Faeez Azahar, 17 Sep 2013
TAIPING: Mahkamah Tinggi Taiping hari ini menetapkan 19 September ini (Khamis) untuk pendengaran permohonan penangguhan hukuman yang dijatuhkan terhadap 13 peserta demonstrasi di Bukit Chandan ketika krisis politik Perak tahun 2009 lalu.

Hakim, Datuk Ahmad Nashfi telah menerima permohonan tersebut untuk didengarkan selepas bertemu dan berbincang dengan pihak peguam tertuduh ketika prosiding.

Peguam tertuduh, Aminuddin Zulkipli turut memfailkan perakuan segera bagi mempercepatkan pendengaran kes tersebut.

"Setelah berbincang, berjumpa dengan hakim, Yang Arif telah menerima untuk pendengaran penangguhan hukuman tersebut pada Khamis ini.

"Dan kita akan serahkan DPP (Timbalan Pendakwa Raya) sama ada mereka akan membantah atau tidak membantah permohonan itu dan kita akan tengok keputusannya," katanya.

Kesemua 13 tahanan tersebut akan turut dibawa ke mahkamah untuk pendengaran tersebut pada Khamis ini.

Ketika ditanya tentang peluang permohonan tersebut, Aminuddin yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Perak menyeru seluruh rakyat khususnya penyokong Pakatan Rakyat serta pencinta demokrasi dapat bersama-sama berdoa agar ada sinar kegembiraan dalam proses pendengaran itu nanti.

"Kalau tanya saya, sudah semesti saya kata ada peluang cerah, tanya peguam mana pun mereka akan jawab begitu," jelasnya dalam nada spontan.

Antara pimpinan yang hadir ialah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak, Safarizal Saleh, Yang Dipertua PAS Taiping, Ustaz Fakhruddin dan Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling.

Hadir sama ialah ahli keluarga tahanan dan aktivis masyarakat serta penyokong Pakatan Rakyat.

Pendidikan berubah, anak-anak jadi tempat ujian

Salmiyah Harun, 17 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru agar kerajaan kembali kepada asas pendidikan mengikut acuan pembangunan manusia yang mempunyai fitrah dan roh sebagai hamba Allah.

Katanya,  sistem pendidikan yang ada pada hari ini malangnya tidak sebegitu menyebabkan anak-anak menjadi mangsa.

"Sistem pendidikan yang dibuat kerajaan sentiasa berubah, anak-anak kita dijadikan tempat ujian sahaja. Selepas gagal, buat yang lain puncanya tidak guna acuan yang ditetapkan oleh Allah Taala.

"Akhirnya dengan sistem yang diamalkan ini melahirkan manusia yang bodoh tidak boleh diajar cerdik tidak boleh diikut," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, banyak yang disalahgunakan kerana tidak beramanah ekoran acuan pendidikan yang salah.

"Pelan pendidikan masih mengulangi acuan yang sama bermula Penyata Razak Penyata Rahman Talib. Tidak memberi apa-apa makna," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi Ucaptama dalam Majlis Konvokesyen kali Pertama Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Kuizm) di Taman Melewar hari ini.

Sementara itu, seramai 30 graduan Kuizm menerima anugerah yang disampaikan oleh Abdul Hadi Awang dan Ahli Lembaga Pengarah Kuizm Datuk Dr Mahfodz Mohamed dalam Majlis Konvokesyen yang berlangsung di Dewan Datuk Fadzil Noor, di sini.

Turut bersama dalam majlis ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kuizm Datuk Mahfodz Mohamed, Ahli Lembaga Pengarah Kuizm Datu Mohd Amar Nik Abdullah, Rektor Kuizm Dr Shahbudin Ngah dan beberapa pimpinan Muslimat PAS.

Konvokesyen buat pertama kalinya berjaya melahirkan graduan cemerlang peringkat diploma dan sijil.

Seramai 10 graduan berjaya menamatkan pengajian di peringkat Diploma Dakwah dan Komunikasi dan Muamalat dan Kewangan Islam dan 20 graduan lagi diperingkat sijil antaranya Pensijilan Asas Pengajian Islam (KPAPI).

Konvokesyen ini turut menyaksikan pelajar daripada Kelantan iaitu Nurul Izzati Mohhamd  Sanadi merangkul anugerah Graduan Cemerlang Keseluruhan manakala Rahimah Noraakmal Muhammad diberikan anugerah Graduan Cemerlang Akademik.

Sebahagian mereka yang menerima anugerah ini akan menyambung pengajian di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Raden Fatah, Palembang pada 23 September ini untuk memperolehi Ijazah Sarjana Muda.

Kuizm ditubuhkan pada 6 Disember 2009 atas cetusan idea dan usaha Dewan Ulamak PAS Pusat, kini Kuizm mempunyai 78 mahasiswa yang mengikuti dua program pengajian yang ditawarkan iaitu Di]ploma Dakwah dan Komunikasi dan Diploma Muamalat Kewangan Islam.

Ekonomi Bumiputera: Bantu juga kaum lain

Hazayani Zakaria, 17 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS mengemukakan tema Negara Berkebajikan dengan melihat seluruh masyarakat majmuk, bukan sahaja bumiputera tanpa menafikan bahawa majoriti kaum di Malaysia ialah bumiputera.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bantuan kepada kaum lain juga harus diberi perhatian untuk mengatasi masalah kemiskinan.

"Pada masa yang sama konsep keadilan dan kebajikan yang diperjuangkan PAS mestilah adil.

"Bantuan kepada kemiskinan kaum lain mesti sama untuk menyelesaikan kemiskinan dengan bumiputera walaupun bumiputera itu lebih ramai.

"Tidak betul jika di atas nama hak bumiputera kita biarkan kaum lain walaupun golongan yang paling minoriti. Ini konsep yang diperjuangkan oleh PAS," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Sabtu lalu.

Menurut Ustaz Hadi juga, PAS tidak mengenepikan Perlembagaan Negara berhubung keistimewaan bumiputera namun melaksanakan keadilan ke atas kaum lain juga.

"Perlembagaan melihat realiti yang ada. Jumlah majoriti kemiskinan adalah bumiputera sebab itu peruntukan lebih banyak (kepada bumiputera).

"Dalam masa yang sama Kampung Baru yang sama taraf dengan setinggan sebagai contoh hendaklah diberi hak. Penduduk estet yang tak ada tanah mesti diberi tanah macam bumiputera jugalah. Ini tak bercanggah dengan perlembagaan kerana hak asasi manusia dan ini perkara asasi yang dihormati perlembagaan seluruh dunia," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini memberikan fokus kepada 5 strategi utama iaitu mendaya modal insan bumiputera, memantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan bumiputera, memperhebat keusahawanan dan perniagaan bumiputera, dan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Setiu Wetlands: Tanah rakyat bila nak bagi semula

Harakahdaily, 17 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Rakyat wajib dihargai untuk mereka membina kehidupan di atas sebidang tanah milik sendiri yang pernah mereka miliki dan usahakan tapi akhirnya dirampas, kata Pengerusi Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim (gambar).

Beliau menyatakan demikian merujuk kepada kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman yang menyatakan kawasan tanah bencah di Setiu yang dikenali sebagai Setiu Wetlands kini dalam proses untuk diwartakan sebagai Taman Negeri dalam usaha memulihara ekosistem serta biodiversiti alam semula jadi.

Berhubung perkara itu, ujar beliau pihaknya melihat ia sebagai suatu langkah yang baik serta penghargaan kepada alam sekitar.

Apatah lagi, ujarnya telah sedia termaktub di dalam 'Rancangan Tempatan Daerah Setiu' (Setiu Local Plan) tahun 2003 - 2015, kerajaan negeri Terengganu telah menetapkan bahawa kawasan tanah lembah adalah kawasan sensitif alam sekitar atau Environmentally Sensitive Area (ESA) dan Setiu Local Plan telah menetapkan di mana hanya aktiviti rekreasi yang dibenarkan untuk dilakukan di kawasan terbabit.

“Yang menjadi keraguan kami, sejauh mana keseriusan pihak kerajaan dalam melaksanakan pelan perancangan mereka sendiri kerana sebenarnya belum apa-apa lagi, pelanggarannya telah berlaku apabila ribuan ekar tanah yang meliputi kawasan Setiu Wetlands di Kampung Nyatoh, Permaisuri milik Tabung Amanah Warisan telah dipajak oleh kerajaan negeri  Terengganu kepada Syarikat Blue Archipelago Berhad untuk perlaksanaan projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu (i-Sharp),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pembinaan prasarana projek bernilai ratusan juta ringgit ini telah menggugat ekosistem sebahagian besar dari kawasan tanah becah itu yang kononnya hendak diwartakan sebagai Taman Negeri.

Beliau berkata, kesan jangka pendek dan jangka panjangnya tentu sahaja bukan lagi hanya setakat kepada biodiversiti alam semulajadi, tetapi juga kepada kemanusian penduduk sekitar.

Soalnya, kata beliau siapakah yang begitu hebat berkuasa sehingga boleh mengenepikan ketetapan yang telah dibuat oleh kerajaan mereka sendiri.

Tambahnya, projek penternakan udang bersaiz mega, tentunya bukan satu projek rekreasi sebagaimana yang dibenarkan dan tercatat dalam Setiu Local Plan.

“Keraguan kami dengan kenyataan YB Exco terbabit bukan hanya serkap jarang tetapi terbukti dari apa yang telah berlaku, cakapnya kelihatan tak serupa bikin,” katanya lagi.

Apa yang lebih penting juga, ujar beliau di samping alam sekitar mempunyai hak untuk dijaga dan dipelihara, rakyat yang telah dirampas tanah mereka, tentunya lebih berhak dikembalikan semula semua tanah yang diceroboh dan dirampas sama ada di Setiu atau di mana-mana sahaja.

Baginya, mewartakan Setiu Wetland adalah penghargaan kepada alam sekitar, namun pada masa yang sama rakyat juga wajib dihargai untuk mereka membina kehidupan di atas sebidang tanah milik sendiri yang pernah mereka miliki dan usahakan tetapi akhirnya dirampas.

17 September, 2013

Kenyataan Umno Bakal Mati Oleh Mahathir Di Tempelak Oleh Pemimpin Umno

Ramalan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) yang mendakwa Umno kini “sudah tua dan bakal mati” ditempelak pemimpin parti itu dan enggan menerima kenyataan yang dibuat di akhbar Utusan Malaysia itu.

Mereka berkata, perdana menteri paling lama berkhidmat yang bersara pada 2003 itu seharusnya sedar Umno kini dalam proses transformasi dan pembaharuan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi melihat permasalahan yang dilontarkan Dr Mahathir berlaku sejak zaman bekas perdana menteri itu menjadi presiden Umno dari 1981 hingga 2003.

“Umno wujud dari dahulu lagi dan terpalit dengan pelbagai masalah sejak Dr Mahathir menerajui Umno dan beliau tidak pula merawat kecederaan itu,” kata Dr Mohd Puad kepada The Malaysian Insider.

Katanya, antara gejala dalam Umno adalah perpecahan, tidak meletakkan keutamaan kepada parti dan politik wang.

Dr Mohd Puad berkata, kenyataan Dr Mahathir tidak boleh diterima apabila mengatakan Umno akan mati sedangkan kepimpinan parti sedang gigih merawat kepincangan yang berlaku.

“Selagi Umno tidak lari dari masalah dan memegang prinsip kesederhanaan, menyeluruh dan keadilan untuk semua kaum, Umno akan selamat,” katanya.

Dalam sebuah rencana yang disiarkan akhbar milik Umno Utusan Malaysia, Dr Mahathir menasihati Umno supaya melantik pemimpin muda kerana parti itu sedang menghidap "sakit tua" dan bakal "mati".

Katanya, dengan pemimpin muda, Umno akan dapat meneruskan legasi memerintah negara ini meskipun ada pihak yang memandang serong malah menuduh dirinya mempunyai agenda sendiri.

Beliau berkata, Umno dahulu sentiasa bersemangat dan bercita-cita besar demi bangsa termasuk menewaskan Malayan Union kerana pemimpin mereka kebanyakannya adalah golongan muda.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang juga ahli MT Umno berkata, pemimpin muda seperti Datuk Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan lain-lain adalah bukti Umno kini menyerlahkan bakat muda dalam kepimpinannya.

“Prinsip parti jelas meletakkan bakat muda di enjin kedua parti iaitu di sayap Pemuda dan Puteri. Apabila mereka ini mencecah usia 40 tahun, mereka akan diserap ke dalam Majlis Tertinggi bagi mewarisi kepimpinan parti.

“Dr Mahathir mungkin silap. Saya sendiri hormat dan menjadikan dirinya sebagai idola. Bagi saya, beliau terlepas pandang dengan pembaharuan yang dilakukan dalam parti,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga ahli MT Umno menyifatkan apa yang disarankan Dr Mahathir adalah satu pandangan bagi melihat perubahan dalam Umno secara terbuka dan dinamik.

Katanya, Dr Mahathir mempunyai pengalaman dan pandangan yang luas tetapi beliau harus sedar Umno kini sedang dalam proses transformasi.

“Saya hormat pandangan Dr Mahathir. Bagi saya keinginan pemimpin Umno untuk berubah dapat dilihat daripada segi keberaniannya meletakkan untung nasib kepada 150,000 perwakilan semasa pemilihan parti bulan hadapan,” katanya. ~the malaysian insider

Tiada ulasan: