Khamis, 19 September 2013

TU PASAL MEREKA BEREBUT2 JAWATAN DALAM POLITIK...BEREBUT2 JUGA MEMBODEK

Orang politik jadi duta, pegawai PTD dipinggir

Muhammad Faizal, 18 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan tindakan kerajaan melantik individu dari kalangan ahli politik sebagai duta sebagai satu fenomena yang tidak sihat.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, tindakan tersebut tentunya telah menyekat peluang mereka yang telah berkhidmat di dalam kerajaan khususnya dari kalangan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang lenih layak untuk jawatan tersebut.

"Saya melihat ini satu keputusan ataupun fenomena yang tidak sihat berlaku dalam pentadbiran yang ada sekarang.

"Lantikan mereka dari kalangan politik akan menyekat peluang mereka yang telah lama berkhidmat, dan ini secara tidak langsung menyekat motivasi mereka yang mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan sebagai duta," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kecenderungan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini yang melantik bukan dari golongan PTD sebagai duta.

Kerajaan sebelum ini melantik bekas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Selain itu, bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar juga dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis yang baharu.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, sepatutnya orang politik menumpukan kepada kerja-kerja mereka sahaja dan kerajaan wajar melantik individu yang berkelayakan untuk jawatan tersebut.

"Saya melihat di dalam pentadbiran kerajaan sekarang lebih ramai yang layak untuk dilantik sebagai duta, dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk menjaga nama baik negara ini.

"Apabila orang politik memegang jawatan tersebut saya tak pasti adakah ia mencapai matlamat yang ditetapkan oleh polisi kerajaan terutamanya dalam menjaga hubungan baik kedua-dua buah negara," sambung beliau.

Jelas Salahuddin, ramai mengaaggap bahawa perlantikan duta dari kalangan orang politik sebagai tindakan "membalas budi" individu tersebut dan bukan atas faktor kelayakan.

Tindakan itu juga kata Salahuddin dilihat seperti cuba untuk mempolitikkan kesemua jabatan yang ada di dalam kerajaan.

Sewa Kompleks PKNS berpatutan

Harakahdaily, 18 Sep 2013
SHAH ALAM: Kadar sewa yang dikenakan kepada penyewa-penyewa Kompleks PKNS, masih berpatutan dan jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan pusat membeli-belah komersial yang lain.

Ketua Unit Pelaburan dan Pengurusan Hartanah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Fakru Radzi Ab Ghani, berkata, Kompleks PKNS adalah penanda aras bagi menggalakkan peniaga Bumiputera untuk memperkasakan taraf ekonomi mereka.

"Kira-kira 85 peratus penyewa di bangunan ini adalah Bumiputera dan sewa yang dikenakan masih munasabah iaitu 40 hingga 50 peratus jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan nilai pasaran semasa," katanya.

Peniaga barangan runcit, Zainab Zainal Abidin, 62, (kanan) berkata, beliau masih mampu menampung sewa yang dikenakan oleh PKNS dan yakin bahwa perbadanan berkenaan tidak akan menyisihkan Bumiputera.

"Saya sudah berniaga di sini hampir 30 tahun dan saya berpuas hati dengan kadar sewa yang dikenakan kerana ia amat berpatutan jika hendak dibandingkan dengan tempat membeli-belah yang lain," katanya ketika ditemui.

Wan Abdullah Wan Ahmad, 48, (kiri) berkata, PKNS banyak membantu dari segi mempertingkatkan taraf ekonomi Bumiputera dan amat bersyukur diberi peluang untuk berniaga di kompleks berkenaan.

"Di sini tempat saya mencari rezeki, PKNS sentiasa memberi peluang kepada peniaga.Selain itu, PKNS turut membantu kami mempromosikan Kompleks PKNS kepada pengunjung.

"Saya cuma berharap agar PKNS dapat segera menaik taraf kemudahan di kompleks ini agar lebih ramai pengunjung yang dapat datang ke sini dan boleh membeli-belah dalam keadaan yang lebih selesa dan kondusif," katanya.

Sementara itu, Fakru Radzi berkata, PKNS akan menjalankan kerja-kerja penambahbaikan dan menaik taraf kemudahan Kompleks PKNS Shah Alam bermula pada Oktober depan bagi keselesaan para peniaga dan pengunjung kompleks.

"PKNS menerusi anak syarikatnya PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) akan merancakkan lagi aktiviti mempromosikan pelbagai program bagi menarik lebih ramai orang awam untuk membeli- belah di Kompleks PKNS.

"Pada masa yang sama ia dapat membantu meningkatkan pendapatan peniaga di kompleks yang keseluruhannya adalah peniaga Bumiputra," katanya lagi.

Pemuda PAS Johor Bahru berusrah dengan PKS Riau

Harakahdaily, 18 Sep 2013


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Johor Bahru melakukan kunjungan hormat ke negara jiran Indonesia untuk program usrah bersama Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dari Kepulauan Riau yang bertempat di Kota Batam, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Program Misi Tarbiyyah Rentas Sempadan yang juga Timbalan Ketua Pemuda kawasan, Eddy Izwan Musa, selain ketuanya, Mohd Ariff Mat Hassan, Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Mohd Taqiuddin Che Man turut hadir dalam rombongan 11 orang itu.

“Kedatangan kami disambut dengan baik dan meriah dalam suasana penuh ukhuwah sepertinya menandakan sempadan perjuangan dua bangsa saling terikat kukuh sejak sekian lama atas nama Islam dengan saling kenal mengenal (taaruf) dan berkongsi pengalaman dalam lapangan siasah dan dakwah Islam,” kata Eddy Izwan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, pemimpinan PKS yang menyambut kedatangan mereka terdiri daripada Ketua Dewan Pengurus Wilayah (DPW) PKS Kepulauan selaku pengurus Sekretaris Umum DPW PKS Kepulauan Riau (Kepri) Raden Hari Tjahyono, Bendahara Umum Ahmad Saichuddin, Sekretaris DSW Muhammad Yusuf dan Ketua Biro Kepemudaan Organisasi (BKO), Bahrudin.

Katanya, dalam pertemuan tersebut mereka juga diperkenalkan dengan calon-calon Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia 2014 antaranya Raden Hari Tjahyono, Muhammad Yusuf dan Ustaz Abdul Rahman LC yang juga Ketua DPW PKS Kepri yang tidak dapat hadir kerana menyambut tamu dari Jakarta.

“Dalam kesempatan tersebut Pemuda PAS Johor Bahru dan DPW PKS Kepulauan Riau saling bertukar cenderamata dan bendera parti sebagai tanda ingatan kedua-dua parti dan menantikan pula kunjungan balas PKS Kepulauan Riau ke Johor Bahru untuk mengeratkan silaturahim yang sudah sedia terjalin,” ujarnya.

Berjuang Melayu di dua musim

Idris Ahmad, 18 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Orang Melayu khususnya pemimpin dan penyokong Umno perlu merenung mengapa bangsa Melayu masih ketinggalan di sudut ekonomi walaupun dasar yang dirancang seperti Dasar Ekonomi baru (DEB) adalah baik dan mampu mengangkat taraf hidup golongan bumiputera.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, dasar yang dilaksanakan kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup bumiputera dan orang Melayu khususnya digubal oleh pegawai yang profesional namun dilaksanakan oleh pemimpin politik yang tidak amanah.

"Pegawai tidak boleh buat apa-apa. Mereka hanya menerima arahan sahaja," jelas beliau.

Kemiskinan orang Melayu, ujarnya hanya menjadi umpan untuk memperkayakan pemimpin dan penyokong Umno sedangkan projek yang dipohon atas dasar Melayu banyak dibolot oleh pemimpin Umno.

"Pemimpin Umno dan penyokong Umno kena renung kenapa orang Melayu masih ketinggalan dari segi ekonomi walau pun dasar yang dirancang adalah baik.

"Macam mana Melayu hendak maju, kerana dasar Umnoputera masih berjalan. Projek diberi kepada orang yang bukan ahlinya. Jika sikap ini berterusan diamalkan oleh Umno, nescaya Melayu tidak akan maju. Jawabnya tunggu ikan keli tumbuh sisik baru Melayu boleh maju," ujarnya sinis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan program untuk Memperkasa Ekonomi Bumiputera yang merangkumi lima fokus utama di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, 14 September lalu.

Idris menambah, program yang diumumkan Najib itu sebenarnya meneruskan tradisi Umno yang hanya bercakap tentang ekonomi Melayu pada musim pilihan raya dan Persidangan  Agung Umno guna meraih undi orang Melayu dan perwakilan Umno.

"Slogan hidup Melayu berdegar-degar berkumandang ketika musim ini untuk menarik sokongan undi walaupun kita ketahui bahawa ini hanya sandiwara Umno sahaja. Sebab itu Melayu gagal dimertabatkan walaupun sudah 56 tahun merdeka," katanya.

Dalam kenyataan medianya, beliau memberi contoh diskriminasi terhadap Kelantan yang   majoriti rakyatnya orang Melayu.

"Selama 23 tahun Kelantan dinafikan hak sebagai sebuah negeri yang sah. Pada hal  Kerajaan Kelantan dipilih secara demokrasi, tetapi royalti (minyak) dinafikan.

"Apa dosa Kelantan? Bukankah Kelantan negeri Melayu. Apakah pemimpin Umno anggap Melayu hanya selamat di bawah Umno?" soal beliau.

Naib Presiden Umno mungkin enam penjuru

Harakahdaily, 18 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Sementara jawatan Presiden Umno belum ada kepastian sama ada dipertandingkan atau tidak, sehingga ini posisi yang paling menjadi tumpuan dan dijangka berlaku persaingan sengit ialah jawatan Naib Presiden Umno.

Menurut penulis blog Shahbudin Husin, memandangkan ketiga-tiga penyandangnya, Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein dan Shafie Apdal akan mempertahankan jawatan, manakala Isa Samad dan Ali Rustam sudah mengesahkan turut bertanding dan Mukhriz Mahathir pula dijangka akan membuat pengumuman dalam masa yang terdekat.

Justeru, baginya kebarangkalian ialah persaingan enam penjuru akan berlaku.

“Daripada keenam-enam nama tersebut, pemimpin yang paling dikehendaki memenangi jawatan itu ialah Mukhriz Mahathir,” tulis beliau di dalam blognya.

Baca di sini

Tiada ulasan: