Khamis, 19 September 2013

BILA DAH TIADA MAKA BARU KITA SEDAR IA PENTING DALAM HIDUP KITA

Kajian: Rakyat mahu Najib letak jawatan?

Nazri Abdullah, 19 Sep 2013

KUALA LUMPUR:
Pembentangan hasil kajian 'Politik Malaysia Pasca PRU13', oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) hari ini menarik perhatian para wartawan terhadap satu slide yang tidak disertakan peratus keputusannya.

Slide yang hanya diletakkan tanda soal itu adalah keputusan survey yang diperolehi terhadap soalan "Adakah Datuk Seri Najib perlu melepaskan jawatan kerana gagal mendapat majoriti 2/3 dalam PRU13?"

Ketika diasak wartawan untuk mendedahkan angka peratusan tersebut, Pengarah UMcedel Prof Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, sukar baginya untuk mendedahkannya kerana ianya boleh menyebabkan hidup beliau bermasalah.

"Cuma saya mahu kata, result ini tidak mengembirakan dan boleh meletakkan saya dalam masalah kalau saya dedahkan," katanya.

Memberi penjelasan lanjut berhubung slide yang penuh persoalan itu, beliau berkata, harapan rakyat termasuk ahli Umno cukup tinggi terhadap Najib untuk mendapatkan kembali 2/3 penguasaan BN di parlimen selepas jatuh teruk pada 2008.

Rakyat juga katanya yakin bahawa Najib boleh "deliver" dengan baik.

"Sudah ada precedent zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dulu ya, beliau meletak jawatan (perdana menteri) kerana gagal dapat 2/3 majoriti.

"So you boleh jangka apa rakyat mahu," katanya sambil menunjuk kepada slide tersebut.

Sementara itu, hasil yang dibentang UMcedel hari ini adalah kajian yang dijalankan pada 15 Ogos hingga 10 September lalu iaitu kira-kira tiga bulan selepas PRU13 berlalu.

Kajian yang dibuat secara bersemuka itu melibatkan 1546 responden selaku pemilih berdaftar, terdiri daripada Melayu, Cina dan India di seluruh Semenanjung Malaysia.

Turut serta mendengar pembentangan UMcedel tersebut adalah bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah.


Anwar kekal


Dalam pada itu, soalan serupa turut ditanya membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Soalan berbunyi "Adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melepaskan jawatan kerana PR gagal menerajui Putrajaya?, itu bagaimanapun disertakan dengan keputusan.

Dalam keputusan kajian itu, 55 peratus menyatakan tidak bersetuju, 28 peratus bersetuju dan 18 peratus lagi tidak pasti.

Daripada 55 peratus yang tidak bersetuju itu, 72 peratus adalah dari kaum Cina manakala 52 peratus dari kaum Melayu.

Selain itu, kajian juga menunjukkan 69 peratus responden mahukan kerajaan BN mewujudkan kesepakatan nasional dengan Pakatan Rakyat.

"Mungkin masyarakat sudah agak penat dengan perbalahan politik sebelum PRU13.

"Ini pandangan rakyat, namun caranya sudah tentu orang politik lebih tahu," kata Prof Redzuan.

'Sudah tua dan bakal mati', jauhi Umno - Mahfuz

Abdul Aziz Mustafa, 19 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Generasi muda hendaklah menjauhi Umno jika tidak mahu dikuburkan lebih awal, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"(Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kata, Umno 'sudah tua dan bakal mati'.

"Sebab itulah generasi muda mesti menjauhi Umno dan jangan biarkan diri dikuburkan lebih awal dengan Umno yang sudah tua dan bakal mati," katanya.

Mahfuz berkata, sakit tua tidak ada ubat dan akan berakhir dengan kematian.

"Walaupun (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) cuba mengubati Umno, dengan program transformasi dan lain-lain, ia tidak berguna lagi.

"Semua itu hanya ikhtiar sementara dan usaha terdesak yang hanya membazirkan masa dan wang negara," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir yang memberi peringatan yang sangat berguna itu, terutama kepada generasi muda.

Menjelang pemilihan Umno hujung tahun ini, Dr Mahathir Mohamad memberitahu sebuah akhbar harian yang menjadi lidah Umno bahawa parti itu menghidap "sakit tua" dan bakal "mati".

"Ini naluri manusia. Lambat-laun manusia akan menemui ajalnya," kata bekas presiden Umno itu.

Dr Mahathir juga mengulangi pendedahan bahawa ramai ahli Umno yang begitu mudah tergoda dengan sogokan wang.

"Tak banyak... RM200 pun boleh mengalih pemikiran sesetengah ahli Umno. Mereka bukan menjual undi. Sebenarnya mereka menjual bangsa, menjual maruah diri mereka," katanya.

Bekas Perdana Menteri itu mengingatkan, apabila pemimpin yang dipilih adalah perasuah, mereka tidak akan teragak-agak menjual bangsa.

"Ingatlah negara kita dahulu lebih besar tetapi kerana duit ia sudah jadi kecil. Ia akan jadi lebih kecil lagi jika perasuah memimpin negara ini," kata Dr Mahathir.

Kenyataan Dr Mahathir itu dikecam oleh sebahagian pemimpin Umno.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Umno terpalit dengan pelbagai masalah sejak Dr Mahathir menerajui Umno dan beliau tidak pula merawat kecederaan itu.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang juga ahli MT Umno berkata, Dr Mahathir "mungkin silap".

Pakatan Rakyat sedia berdialog dengan BN

Harakahdaily, 19 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Majis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang semalam (18 September) sekali lagi menyatakan kesediaan untuk mengadakan dialog dengan Barisan Nasional.

Ia bertujuan menyelesaikan masalah-masalah negara yang kian runcing seperti bebanan hutang kerajaan yang menggunung, harga barang yang meningkat mendadak, jenayah dan rasisme menular yang menggugat hubungan baik di kalangan masyarakat.

Demikian kenyataan media bersama Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Al-Hujurat: Manhaj pembentukan umat berakhlak (2)

Ustaz Mohd Azmir bin Maideen, 19 Sep 2013
Ayat 9: Memilih ‘Jalan Islah’ Ketika Berlaku Perselisihan

“Dan jika dua puak daripada kalangan kaum beriman berperang, maka perbaikkanlah di antara mereka; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
(Surah al-Hujurat : ayat 9)

Dalam ayat ini Allah masih menghukum kedua-dua kelompok bertikai sebagai orang-orang yang beriman, sedangkan dalam penilaian akal manusia yang sering hanyut dengan sentimen perasaan dan selirat kebencian pasti akan berlaku tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah, kafir-mengkafir, ejek-mengejek dan sebagainya.

Di dalam ayat kesembilan ini disebut hal berkaitan “bughah”, iaitu suatu hukum mengenai pemberontakan yang dilakukan terhadap pemerintahan yang adil dan sah. Menurut jumhur ulama, hanya penderhakaan yang menggunakan kekuatan fizikal sahaja boleh dianggap sebagai jenayah “bughah”. Manakala Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut di dalam “Fiqh Jihad”, ada tiga perkara utama yang layak dilabelkan dalam kategori jenayah “bughah”, iaitu :

1.Menentang pemerintah (yang meletak Allah dan Rasul-Nya sebagai sumber rujukan tertinggi).
2.Penentangan secara kekerasan atau bersenjata.
3.Berniat melakukan jenayah.

Perlulah diingatkan bahawa golongan pemberontak itu tidak boleh diserang kecuali mereka menyerang atau bersiap sedia dengan kelengkapan untuk menyerang. Di dalam Perang Siffin, Ali bin Abi Talib RA telah mengambil tindakan memerangi Muawiyah bin Abi Sufyan RA dan pasukan tenteranya. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya:
“Malangnya anak Sumayyah (Ammar bin Yasir), engkau dibunuh oleh kumpulan pemberontak.”
(Riwayat Muslim)

Ammar bin Yasir dibunuh ketika beliau bersama-sama tentera Ali bin Abi Talib RA. Pembunuh Ammar bin Yasir merupakan salah seorang daripada tentera yang menyertai pasukan Muawiyyah bin Abi Sufyan RA iaitu Abu al-Ghadiyah al-Juhani. Kedua-dua sahabat RasuliLlah SAW yang mulia ini (Ali dan Muawiyah) berperang disebabkan perselisihan ijtihad dan masing-masing mendakwa kebenaran bersama-sama mereka.

Ternyata berdasarkan hadis tadi Ali benar dalam ijtihadnya dan Muawiyah tersalah dalam ijtihadnya. Walau bagaimanapun, perselisihan ini tidaklah menyebabkan salah seorang daripada mereka menjadi kafir atau fasik. Peristiwa ini menyebabkan lahirnya mazhab-mazhab dalam kalangan umat Islam sebagaimana yang telah ditentukan Allah ekoran pembunuhan sahabat yang dikasihi Rasulullah SAW, iaitu Uthman ibn Affan RA.

Dalam konteks politik kontemporari pula, kehadiran pembangkang dalam sistem pemerintahan tidaklah termasuk dalam kategori hukum “bughah”. Hal ini kerana pembangkang dalam institusi politik memberikan maksud wujudnya pertalian kumpulan manusia yang bertindak bersama untuk menggerakkan keupayaan negara secara kolektif.

Allah memerintahkan agar kita bersikap adil dalam menyelesaikan masalah kerukunan masyarakat dengan mengutamakan jalan perdamaian sesama saudara. Jika terdapat khabar yang meragukan, carilah kebenaran dengan bertanya kedua-dua belah pihak. Jangan kerana kebencian kita terhadap satu kelompok itu, menyebabkan kelompok tersebut teraniaya.

Ayat 10: Orang Beriman Saling Bersaudara
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
(Surah al-Hujurat : ayat 10)

Jika dua kelompok orang beriman berperang (sama ada secara fizikal atau mental yakni dengan cara memaki hamun) akibat bercanggah fahaman dan ijtihad, berselisih aliran dan pemikiran, sedangkan daripada sisi faktor lain mereka bersatu secara faktualnya, iaitu masing-masing percaya bahawa Allah Maha Esa, percaya akan Rasul-Nya, percaya kebenaran Kitab-Nya dan kerukunan iman yang lain, maka potensi penyatuan (taqrib) hendaklah diusahakan.

Persaudaraan yang ampuh dan kukuh pernah memberikan impak kemenangan umat Islam pada tahun 1973 Masihi – peperangan antara Mesir dan Israel. Dr Toha Rayyan, Prof. Syariah Islamiyah di Universiti al Azhar menceritakan bahawa faktor utama kemenangan Mesir pada waktu itu ialah perpaduan umat Islam. Hal ini termasuk tindakan seluruh negara Arab (bukan sahaja Mesir) memboikot negara-negara Barat, menghentikan segala hubungan perdagangan dengan Barat termasuk industri petroleum.

Tetapi, itu semua sudah menjadi debu tebal sejarah. Hakikatnya, umat Islam pada waktu ini amat lemah sekali kerana perpecahan dalaman mahupun luaran sedangkan jumlah umat Islam di seluruh dunia pada hari ini bukanlah sedikit. Menurut laporan kajian populasi masyarakat dunia, penduduk Islam dijangka akan bertambah dua kali ganda lebih pantas berbanding penduduk bukan Islam dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Dari sudut ekonomi pula, negara Islam merupakan negara pengeluar minyak terbesar. Negara-negara teluk, termasuk Arab Saudi, Kuwait, UAE, Qatar, Iran dan Iraq mempunyai rizab minyak ratusan ribu bilion tong daripada keseluruhan rizab minyak dunia. Namun, mengapa sumber ini tidak menjadi senjata strategik untuk menundukkan kebiadaban rejim Zionis Antarabangsa?

Jawapannya disebabkan Islam yang menyatukan ummah tidak menjadi ideologi pemimpin Muslim di negara-negara yang berkenaan. Kekayaan tidak menjadi pemacu pembangunan kemandirian masyarakat Islam, sebaliknya menjadi punca tubuh umat Islam diratah rejim musuh dan proksi-proksi mereka. Mazhab dan aliran-aliran pemikiran pula tidak menjadi suatu manhaj yang menyatukan perjuangan dakwah Rasulullah SAW, sebaliknya menjadi dogma pencelaan dan perlekehan antara satu sama lain.

“Iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.”
(Surah ar-Ruum : ayat 32)

Ayat 11 : Larangan Mempersenda, Mencela dan Memanggil Panggilan Yang Buruk
“Wahai orang-orang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; janganlah pula panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruk sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat, maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat : ayat 11)

Manusia diberikan kelebihan oleh Allah anugerah ‘lisan’ untuk berbicara dalam pelbagai bahasa dan berkomunikasi sesama mereka. Lisan ibarat pedang bermata dua, ia boleh mencegah kemungkaran di tengah komuniti masyarakat dan ia juga boleh memecah-belahkan kaum Muslimin menurut kehendak syaitan.

Di dalam ayat ke-11 surah al-Hujurat menyenaraikan beberapa bentuk kejahatan lisan, antaranya perbuatan merendah-rendahkan sesama saudara yang terbit atas dasar kesombongan dan keangkuhan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia.”
(Riwayat Muslim)

Ibnu Asyur menafsirkan bahawa penghinaan dan perlecehan itu terangkum dalam perbuatan sama ada ia dilakukan dengan isyarat bibir, tangan atau kata-kata yang difahami sebagai ejekan atau ancaman. Sabda Rasulullah SAW:
“Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu merendah diri sehingga tiada yang besikap bongkak, seorang ke atas kamu dan tiada yang bersikap angkuh, seorang ke atas kamu.”
(Riwayat Ibnu Majah)

Ayat 12: Larangan Berburuk Sangka, Mengumpat dan Mengintip Kesalahan Orang Lain.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu dosa; dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu) Bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
(Surah al-Hujurat : ayat 12)

Ayat ini masih merupakan lanjutan kepada ayat yang lalu. Ibnu al-Munzir meriwayatkan daripada Ibnu Juraij bahawa, “Ayat ini diturunkan berkenaan peristiwa yang menimpa Salman al-Farisi. Suatu ketika Salman tidur lalu berdengkur, lantaran itu seseorang yang mengetahui perihal Salman itu menceritakan keadaan makan dan minumnya di khalayak orang ramai.” (As-Suyuti, “Lubab an-Nuqul fi Asbab an-Nuzul”)

Buruknya dosa mengumpat sehingga ia digambarkan seolah-olah memakan daging saudara kita sendiri. Namun, ulama fekah membahaskan bahawa hukum mengumpat menjadi harus sekiranya terjadi alasan-alasan sedemikian;

1.Meminta fatwa, yakni seseorang bertanya tentang hukum dengan menyebut perihal seseorang. Sebagai contoh Hindun bertanya kepada Nabi SAW mengenai sikap Abu Sufyan yang kedekut. Lalu bolehkah isteri mengambil wang tanpa pengetahuan suaminya.
2.Menyebut keburukan seseorang yang memang tidak malu memperlihatkan keburukannya di depan khalayak. Seperti menyebut si fulan adalah pemabuk, kerana memang dia memang kaki botol di hadapan umum masyarakat.
3.Menyampaikan khabar keburukan seseorang terhadap pihak yang berkuasa dengan tujuan mencegah terjadinya kemungkaran.
4.Menyampaikan informasi mengenai seseorang kepada pihak yang berhak mengetahui perihal si fulan tersebut, seperti dalam konteks menerima lamaran.
5.Memperkenalkan seseorang yang tidak dikenali kecuali dengan menyebut aib atau kekurangannya. Contohnya, “Si fulan yang berkerusi roda itu.”

Manakala dalam masalah “tajassus” (mengintip), kebenaran yang formal dicari oleh kita tidak sewajarnya sampai ke tahap melampaui batas, para salaf melarang kita menyebarkan informasi dengan hanya cara hipotesis, menduga dan menyangka. Tidak sepatutnya kita mencari-cari kejelekan orang lain untuk dijadikan bahan penghinaan dengan cara menyelongkar perbuatan individu yang telah ditutup oleh Allah daripada pengetahuan kita.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya;
“Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia) ataupun mengorek perut mereka.”
(Riwayat Bukhari)

Ayat 13 : Nilai Takwa
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(Surah al-Hujurat : ayat 13)

Islam mengajar umat manusia untuk saling mengenali dan secara jelas menolak rasisme, taksub kumpulan, perkauman ataupun sikap assobiyah yang merosakkan. Rasulullah SAW telah menunjukkan teladan kepada umatnya, mempersatukan penduduk Madinah yang berbilang kabilah, bangsa dan agama. Rasulullah telah membentuk komuniti bersatu ‘Aus dan Khazraj, Muhajirin dan Ansar dalam satu wilayah pemerintahan agar semuanya dapat menjalani kehidupan aman dan damai.

Manusia yang menyatakan keunggulan satu ras dan mempercayai bahawa mereka lebih unggul dari bangsa yang lain, mereka sebenarnya telah melupakan satu hakikat penting bahawa tiada satu pun nilai-nilai tersebut bersifat abadi. Setiap manusia yang beriman mahupun kafir, hidup atau mati, akan meninggalkan semua yang dimilikinya di dunia ini. Segala amal usahanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Pada hari itu, tidak seorangpun mampu menolong yang lain, tiada ras dan warna kulit. Allah menggambarkannya dalam sebuah ayat, maksud:

“Apabila sangkakala ditiup maka tiada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak pula mereka saling bertanya.”
(Surah al-Mu`minun : ayat 101)

Allah turut menjelaskan dalam ayat yang lain bahawa hubungan keakraban dan persaudaraan seharusnya ditegakkan atas dasar takwa dalam firman-Nya;

“Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.”
(Surah az-Zukhruf : ayat 67)

Sayyid Qutb menyatakan dalam tafsirnya “Fi Zilal al-Quran”, Takwa adalah kepekaan hati, kehalusan perasaan, rasa khuatir yang terus menerus dan hati-hati terhadap semua larangan-larangan Allah di dalam kehidupan.

Ayat 14 – 18 : Hakikat Keimanan
“Orang-orang Arab Badwi berkata; ‘Kami telah beriman’. Katakanlah (wahai Muhammad); ‘Kamu belum beriman’, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja; ‘Kami telah Islam’. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah Rasul-Nya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Hujurat : ayat 14)

Berkata Ibnu Abbas RA, ayat ini diturunkan berkenaan perbuatan Arab Badwi dari kabilah Bani Asad. Di peringkat awal mereka masuk Islam, mereka berkata, “Kami telah beriman.”

Mereka juga berkata kepada Rasulullah SAW, “Orang-orang Arab memerangimu (wahai Muhammad), sedangkan kami tidak memerangimu.” (Mukhtasar Ibnu Kathir)

Mereka berkata demikian kerana mengira bahawa keIslaman mereka merupakan jasa dan bakti yang besar di sisi Rasulullah s.a.w, dan seharusnya baginda terhutang budi terhadap perbuatan mereka. Lalu Allah menurunkan ayat ini bagi meluruskan hakikat sebenar martabat keimanan di sisi-Nya.

Firman Allah Taala maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”
(Surah al-Hujurat : ayat 15)

Dalam ayat ke-15 di atas, Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni dalam tafsirnya “Sofwatu at-Tafasir” menyatakan bahawa ada tiga ciri utama umat beriman, iaitu;
1.Membenarkan Allah dan Rasul-Nya.
2.Tidak syak dan ragu.
3.Berjihad dengan harta dan diri.

Sementara itu Sayyid Qutb menerangkan hakikat iman melalui tafsiran ayat ini bahawa sebenarnya kitalah yang perlu bersyukur atas nikmat-nikmat iman yang dikurniakan oleh Allah, kerana Dia-lah yang melimpahkan hidayah kepada kita dengan menunjukkan jalan keimanan.

Firman Allah Taala maksudnya;
“Katakanlah (kepada orang-orang Arab Badwi itu wahai Muhammad); ‘Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang agama kamu (dengan berkata; ‘kami telah beriman’)? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Hujurat : ayat 16)

“Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka); ‘Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budi-Nya kepada kamu, kerana Dia-lah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”
(Surah al-Hujurat : ayat 17)

“Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Hujurat : ayat 18)

Surah ini ditutup dengan pernyataan bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat apa yang ghaib di langit dan di bumi, bererti Dia (Allah) mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati dan mengetahui hakikat perasaan. Pengetahuan Allah terhadap manusia tidak bersumber kata-kata yang dilontarkan oleh lidah mereka. Tetapi, dari perasaan yang terbit halus dalam kalbu mereka. Ini merupakan peringatan yang cukup jelas agar kaum Muslimin tidak mendahului Allah dan Rasul-Nya sebagaimana pesanan pertama surah ini.

http://www.tarbawi.my/

Berat nak beritahu 'mama sudah meninggal'

Salmiyah Harun, 19 Sep 2013
KAJANG: 'Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul', mungkin kata-kata ini akan diluahkan sesiapa sahaja yang mengetahui nasib sebatang tubuh yang kini sudah bergelar bapa tunggal selepas kehilangan isteri dan tiga anaknya dalam satu kemalangan ngeri di Bangi 9 September lalu.

Mohd. Tauffid Kassim suami kepada Allahyarhamuha Rohaya Md Rabi, 35, yang maut  bersama tiga anaknya dalam kemalangan tempoh hari kelihatan tenang dan pasrah dalam menerima qada' dan qadar Yang Maha Esa.

Dalam kunjungan saya bersama Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul  Hadi Awang ke Hospital Kajang, Tauffid setia menunggu dengan penuh harapan agar Nabil Lutfan, 3, satu-satunya anak beliau yang terselamat dalam kejadian itu agar pulih sedia kala seperti anak-anak yang lain.

Kini kanak-kanak itu berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kajang sejak kejadian 10 hari lalu.

Di hadapan pintu wad ICU, Tauffid sedang kusyuk membaca Al-Quran sementara menunggu anaknya selesai menjalani pembedahan yang melibatkan urat saraf mata dan tulang rahang.

Bagaimanapun, beliau tidak menyedari kehadiran kamera yang turut merakam gambarnya.

"Anak saya masih di bilik operation, dia kena buat pembedahan bahagian muka dan rahang, dah lama dia masuk jam 12.00 tengah hari sekarang jam 3.15 masih belum keluar," luahnya yang masih duduk di atas kerusi sambil memegang Al-Quran, sebaik mendengar saya menyapa.

Beliau yang mengenakan baju kemeja biru serta berkopiah putih tidak kekok untuk berbicara dengan rombongan Presiden PAS yang datang menziarah anaknya walaupun di raut wajahnya masih terserlah kesedihan yang ditanggung.

Saya sempat melihat sepasang mata bapa yang kini hanya tinggal empat  cahayamata daripada tujuh orang, hasil perkongsian hidup dengan Allahyarham Rohaya, kadang kala kelihatan berkaca ketika menceritakan kisah kejadian yang menyayat hati itu.

Berat rasanya saya untuk menanyakan bagaimana dengan tiga anaknya lagi adakah mereka boleh menerima kehilangan mamanya dan tiga adik-beradiknya yang lain.

Ternyata telahan saya tepat, Tauffid tersekat-sekat untuk menjawab pertanyaan saya, namun ketabahan yang dimilikinya dia seolah-olah bisa menyembunyikan perasaannya.

Sambil menggeleng-geleng kepada, Tauffid mengakui masih gagal untuk memberitahu kebenaran kepada anaknya yang berumur empat tahun.

"Saya tidak tahu nak cakap macam mana pada anak saya yang umur 4 tahun, dia telefon saya menanyakan mama mana? Kakak mana? Alang dan Angah mana? Itulah yang sering ditanya. Saya hanya diam membisu dan berpura-pura sibuk," ujarnya.

Anaknya yang berusia enam tahunlah yang memberitahu adiknya itu 'mama dah mati'.

Namun, jauh di sudut hati Tauffid satu harapan yang tinggi agar anaknya yang di ICU sihat semula agar beliau boleh menguruskan tanggungjawabnya kepada tiga lagi anaknya yang kini dijaga oleh emaknya yang berusia 70 tahun.

"Saya harap anak saya cepat-cepat sembuh, senang saya hendak uruskan hal anak-anak yang di rumah lagipun nenek mereka yang jaga pun dah tua," ujarnya lalu menundukkan muka ke bawah.

Mengimbau hari kejadian, Tauffid bersyukur kerana Allah mempermudahkan pengurusan janazah isteri dan anak-anaknya di kala beliau yang masih terkejut menerima berita sedih itu.

"Saya tidak tahu dari mana datangnya orang di sekeliling saya yang menguruskan hal-hal jenazah isteri dan anak-anak saya termasuk membuat laporan polis, keadaan berlaku dengan pantas. Allhamdulillah tetiba sahaja jenazah mereka dah boleh bawa ke Kedah.

"Ya Allah. Saya terharu dengan sahabat-sahabat yang datang entah dari mana menolong saya. Mungkin senior-senior saya," katanya sambil merenung Al-Quran yang masih di tangan dan berterima kasih kepada mereka yang membantunya tempoh hari.

Sebelum itu, kelihatan empat orang wanita yang berbaju kurung dan bertudung lengkap turut berada bersama Tauffid, saya merasakan mereka mungkin kaum keluarga dan sanak saudara Tauffid.

Sebaik didekati saya, rupanya mereka adalah guru di sekolah tempat Tauffid dan Allahyarham isterinya mengajar. Bahkan mereka jugalah guru kepada arwah anak-anaknya.

"Kami mengajar di sekolah yang sama, dah kenal Ustaz (Tauffid) sejak awal beliau mengajar di sekolah tu tahun 2001. Kami tidak putus-putus datang melawat anak Ustaz. Habis mengajar kami singgah sekejap. Kami buat 'shiff' pagi kawan lain datang, petang orang lain pula," kata salah seorang guru wanita tersebut.

Sejak kejadian mereka sering datang menziarah anak Tauffid yang juga anak murid mereka, usaha mereka itu sebagai sokongan moral kepada rakan seperjuangannya yang tidak mahu melihat bapa tunggal itu terus bersedih dengan kejadian yang menimpa.

Tauffid bertambah terharu apabila ada mereka yang prihatin dan memberi sumbangan wang tunai kepadanya selepas kejadian itu.

Beliau menerima wang tunai RM50,000 daripada orang ramai hasi kutipan yang diusahakan oleh Muslimat PAS Serdang sejak berlakunya kejadian tragis itu.

"Terima kasih, terima kasih," ujar Tauffik sebaik saya memohon diri untuk beransur dari situ.

Dalam kejadian itu, Rohaya Md Rabi, 35, dan tiga anaknya - Nur Nabila Al Huda Muhammad Tauffid, 9; Nur Nabila Al Hanan, 7; dan Muhammad Nabil Lutfi Al Hadif, setahun, maut di tempat kejadian selepas kereta kancil yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori.

Q&A: Maksud korban nazar

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 19 Sep 2013
Soalan;
Boleh tolong jelaskan kepada saya tentang korban nazar dan bagaimanakah sesuatu korban itu boleh menjadi korban nazar.

Jawapan;

Hukum asal ibadah korban menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafiie) ialah sunat muakkad iaitu sunat yang amat dituntut dan makruh meninggalkannya bagi yang mampu. Ia berubah menjadi wajib apabila dinazarkan. Nazar bermaksud; seorang mukallaf dengan pilihannya sendiri telah melafazkan ucapan untuk mewajibkan ke atas dirinya suatu amalan yang asalnya tidak wajib (iaitu sunat sahaja), dengan ucapannya itu amalan tersebut menjadi wajib atas dirinya. Ucapan nazar itu boleh dengan bahasa nazar itu sendiri seperti berkata; ‘Jika sembuh sakitku, aku bernazar untuk bersedekah” dan boleh juga dengan bahasa lain yang mewajibkan ke atas diri seperti berkata; “Jika Allah menyembuhkan sakitku, wajib atas diriku bagi Allah sedekah dengan nilai sekian-sekian”.

Bagi ibadah korban, ia menjadi nazar apabila seorang berkata; “Aku bernazar untuk berkorban pada tahun ini,” atau berkata; “Wajib ke atas diriku bagi Allah berkorban pada tahun ini” atau berkata; “Jika sakitku sembuh, wajib atas diriku untuk berkorban pada tahun ini”. Bagi lafaz terakhir (iaitu “jika sakitku sembuh, wajib atas diriku berkorban”) korban hanya menjadi wajib jika perkara yang diikat dengan korban itu benar-benar berlaku (dalam kes ini; sembuh dari sakit). Ia dinamakan nazar muqayyad (iaitu nazar berkait). Adapun nazar dengan lafaz sebelumnya dinamakan nazar mutlak (nazar bebas).

Nazar wajib dilaksanakan kerana Allah berfirman (yang bermaksud); “(Di antara sifat orang-orang yang baik/taat ialah) mereka memenuhi nazar mereka…” (surah al-Insan, ayat 7). Nabi SAW bersabda; “Sesiapa bernazar untuk mentaati Allah (yakni bernazar untuk melakukan suatu amalan ketaatan), hendaklah dia mentaati Allah (dengan melaksanakan nazarnya itu)” (Soheh al-Bukhari; 6696, dari ‘Aisyah RA).

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Tiada ulasan: