Rabu, 25 September 2013

WAHAI JERUNG2..TAK KAN MEREKA LEPAS HUKUMAN DIAKHIRAT..INSAFLAH..BERHENTILAH

Loji nuklear: Jangan sembunyikan dari rakyat

Salmiyah Harun, 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk berterus-terang berhubung keputusan mengenai projek pembinaan loji jana kuasa nuklear yang dilihat seolah-olah cuba untuk disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Ahli Parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat berkata, berdasarkan laporan World Nuclear Association projek pembinaan loji itu melibatkan empat loji yang akan dibina di sesebuah tempat yang sudah dikenal pasti.

"Tempat pun telah dipilih ada lima lokasi yang mungkin digunakan untuk membina loji-loji ini, mengikut laporan World Nuclear Association,"katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Beliau kesal dengan pendirian kerajaan seolah-olah cuba menyembunyikan projek ini daripada pengetahuan ahli parlimen.

"Kalau benarlah laporan antarabangsa ini, bermakna kerajaan sengaja semunyikan projek ini," katanya.

"Secara tiba-tiba nanti kita akan dengar loji-loji itu siap dibina, nak bantah pun sudah terlambat. Kerajaan sudah sinonim dengan sistem seperti ini. Apa salahnya ceritakan kepada rakyat," katanya.

Justeru, beliau meminta agar kerajaan memaklumkan awal-awal projek ini kepada rakyat kerana baik buruknya projek ini akan ditanggung oleh rakyat.

Terdahulu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mendedahkan laporan World Nuclear Assosiation bahawa lima lokasi pembinaan loji telah dikenalpasti dan keputusan itu telah dibuat paling lewat tahun 2013.

Loji tersebut akan membekalkan 10 hingga 15 peratus elektrik pada tahun 2030.

Charles dalam soalannya pada Isnin lepas meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk membina loji nuklear dan sudahkah kerajaan mengenal pasti beberapa lokasi untuk projek ini.

Namun, dalam jawapan itu Perdana Menteri menjelaskan kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaan projek pembinaan loji janakuasa nuklear tersebut.

Malahan, kerajaan juga mencadangkan dua buah loji janakuasa nuklear, sehingga hari ini kerajaan menegaskan kajian penilaian tapak loji jana kuasa nuklear belum dilaksanakan trmasuk lokasinya juga belum diputuskan.

Rasuah bolasepak; bila nak tangkap jerung?

Hambali Akram,
Kes yang menimpa pasukan bola sepak Perak baru-baru ini menunjukkan bahawa rasuah bola sepak di Malaysia masih di takuk lama. Kejadian ini benar-benar menyedihkan. Patutlah bola sepak Malaysia masih gagal menyaingi kehebatan sukan ini era 80-an dulu.

Bagi saya, untuk menyalahkan pemain seratus-peratus tentulah tidak wajar. Jika tidak ada penawaran tentu tiada penerimaan. Dalam hal ini kedua-dua pihak iaitu perasuah dan penerima rasuah wajar dihukum.

Yang berlaku sekarang ialah hanya pemain yang dikenakan tindakan sedangkan pemberi rasuah terus bebas di luar sana. Oleh itu, walaupun pemain bola sepak bertukar generasi, pemberi rasuah mungkin masih orang yang sama.

Sebagai salah seorang peminat bola sepak, tentunya saya tidak mahu bencana rasuah yang pernah melanda Malaysia pada era 90-an berulang kembali. Sewajarnya Persatuan Bola Sepak Malaysia dan persatuan negeri belajar daripada pengalaman pahit itu untuk membendungnya.

Suatu perkara yang amat wajar diberi perhatian ialah masalah gaji pemain. Sesetengah persatuan atau kelab menghadapi masalah untuk membayar gaji pemainnya sedangkan pemain ada tanggungjawab yang perlu dilangsaikan. Faktor ini boleh menjadi salah satu faktor mendorong pemain menerima rasuah.

Sepatutnya, dalam suasana bola sepak yang semakin matang tahap profesionalisme, tahap pengurusan kelab juga semakin lebih baik. Jika perkara asas ini dapat diselesaikan, sebahagian daripada ruang untuk rasuah dapat ditutup.

Selain itu, sehingga kini tiada “jerung rasuah” yang telah dikenakan hukuman sebagaimana pemain. Selagi jerung ini bebas lepas, mangsanya sentiasa terdedah kepada bahaya. Saya bimbang, jika masalah jerung rasuah ini tidak dapat diatasi, kelesuan bola sepak Malaysia akan berterusan dan sampai bila-bila pun peminat bola sepak Malaysia kempunan untuk melihat pasukan negara beraksi di Piala Dunia. 

Menjelang himpunan 'menyambut' Presiden Obama - Bah. 2

., 25 Sep 2013



Membantah Perlaksanaan TPPA

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan pendirian menolak sebarang usaha memuktamad dan melaksanakan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) anjuran Amerika Syarikat.

2. TPPA jika dilaksanakan akan mengehad kuasa legislatif kerajaan, membuka ruang seluas-luasnya kepada kuasa korporat asing mengambil tindakan undang-undang menentang polisi awam yang bertentangan dengan kepentingan mereka serta meliberalisasikan sektor perusahaan kritikal pada skala besar yang boleh memudaratkan industri tempatan. Dalam erti kata lain, TPPA meningkatkan risiko ancaman kepada kedaulatan negara.

3. Ramai melihat kunjungan Presiden AS Barack Obama pada bulan Oktober ini akan mempercepatkan proses rundingan. Walaupun sumber dari MITI memberitahu bahawa TPPA tidak akan ditandatangani ketika lawatan Obama itu, kerajaan pastinya akan menggunakan ruang acara sampingan untuk merungkai isu-isu tertangguh yang hanya boleh dimuktamadkan oleh ketua kerajaan tertinggi.

4. TPPA merupakan kerangka utama bagi merealisasikan rencana Obama ke arah kewujudan  “Pasifik AS”. Ianya merupakan strategi licik menggunakan instrumen perdagangan bagi mengekang kebangkitan drastik China. Oleh itu persetujuan segera YAB Datuk Seri Najib akan menjadikan beliau hero di mata pentadbiran Rumah Putih di Washington DC dalam masa yang sama mengkhianati amanah rakyat di halaman sendiri.

5. TPPA bukan sahaja ditentang oleh kumpulan masyarakat madani yang prihatin, malah ianya turut ditolak oleh segolongan usahawan yang selama ini menunjangi kekayaan UMNO. Ianya mendedahkan satu usaha licik kumpulan tertentu di belakang Najib yang menggunakan agenda TPPA bagi menyisihkan saki-baki penyokong kepimpinan UMNO yang terdahulu dengan merungkai penguasaan ekonomi mereka dan memindahkan penguasaan tersebut kepada kumpulan berkepentingan baru.

6. Hanya mereka yang berada di dalam linkungan perundingan yang benar-benar tahu kerangka kekayaan baru ini dalam apa yang disebut sebagai “akses istimewa” ke pasaran AS yang bernilai USD15 trillion! Sekiranya TPPA benar-benar menjanjikan peluang ekonomi baru, perencanaannya sepatutnya diangkat menjadi wacana nasional dan didebatkan secara terbuka bagi menjana kekuatan ekonomi yang lebih berdaya-maju.

7. Namun demikian dialognya dihadkan bagi membolehkan pihak tertentu memonopoli potensi baru yang dijangka wujud dari TPPA. Inilah hakikatnya mengapa perinciannya dirahsiakan. Amat menyedihkan kerana masyarakat awam termasuklah rakan-rakan parti komponen BN dari MCA dan MIC menjadi mangsa percaturan politik elitis UMNO.

8. Rakyat harus menggunakan peluang dari kunjungan Obama ke Malaysia bulan depan untuk menunjukkan respon sewajarnya kepada kedua-dua pemerintah; UMNO-BN dan pentadbiran Rumah Putih bahawa TPPA tidak diterima di Malaysia.

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia
merangkap Ahli Parlimen Temerloh

Doakan untuk kesihatan Ustaz Azizan

Anis Nazri, 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kesihatan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak yang sebelum ini agak stabil, mula merosot sejak jam 3.30 pagi tadi.

Keadaan itu dilihat melalui bacaan tekanan darahnya yang mula menurun, selain kadar jantungnya yang juga perlahan.

Ketika bercakap kepada Harakahdaily, setiausahanya, Muzaini Azizan berkata ruang wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar yang menempatkan Azizan juga dipenuhi ahli keluarga dan pimpinan PAS Kedah.

"Ketika ini ruang wad dipenuhi dengan keluarga dan pimpina Kedah yang bersama-sama membacakan surah Yasin. Biarpun demikian, doktor masih terus berusaha," kata beliau lagi.

Hujung bulan lalu, Azizan menunjukkan perkembangan positif apabila doktor mula menukar tiub pernafasan, selain mula bersuara biarpun masih perlahan.

Ustaz Azizan, 69, yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Kedah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.

Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman.

Ekonomi selimut singkat

Izmil Amri Roketkini, 25 Sep 2013
Saya tak ada anak. Mana lah saya tahu lampin pakai buang harganya berapa. Sehinggalah Ahad sudah.

Tapi sebelum itu mari kita ambil masa beberapa minit untuk merenung dompet masing-masing. Kira perlahan-lahan ada berapa ringgit dalam dompet anda. Fikirkan berapa lama anda dapat bertahan dengan wang yang anda ada itu.

Ambil kira perbelanjaan minyak kereta dan makan-minum serta perbelanjaan ‘tak semena-mena’ yang sering terjadi. Pandang isi kandungan dompet anda. Renung lama-lama. Sayunya rasa hati kan?

Berbalik kepada cerita saya.

Ada teman minta tolong saya belikan lampin pakai buang untuk anaknya yang belum pun lagi satu tahun usia. Itu petang Ahad lalu, waktu saya kebetulan pergi kenduri teman yang lagi satu. Saya pergi kenduri sebab mahu makan ‘free’. Ya lah, waktu-waktu cemas hujung bulan sebelum dapat gaji, tak berapa nak ada kemampuan. Harus jimat.

Elok suap makanan ke mulut, telefon berbunyi, minta tolong beli lampin. Selesai makan saya pun ke pasaraya terdekat. Dalam dompet cuma ada RM50.

Sekali lagi, manalah saya tahu lampin pakai buang harganya berapa.

Saya pun ambil troli, dengan niat nak beli barang-barang lain. Saya agak ‘sebungkus’ lampin begitu dalam dua puluh ringgit begitu.

Nyata saya salah.

Menghampiri rak yang menyusun bungkusan lampin pakai buang. Saya tenung harga satu-satu dan kemudian langsung mencari jenama yang disuruh beli. Terpampang harga ‘RM40.90’. Ah sudah. Saya tinggal troli di tepi, ambil bungkusan lampin dan terus berlalu pergi.

Ekonomi selimut singkat

Ini realiti ekonomi masyarakat Malaysia hari ini; apa yang disebut orang sebagai ekonomi selimut singkat. Bagi memahami istilah ekonomi selimut singkat ini, mari kita belajar apa itu ‘kos peluang’.

Kos peluang mudah difahami sebagai ‘kesempatan yang hilang’. Contohnya jika anda memiliki RM1,000, anda punya pilihan untuk melancong atau membeli telefon pintar. Kalau wang yang anda ada itu digunakan untuk melancong, maka hilanglah peluang untuk membeli telefon; begitu juga sebaliknya.

Analogi teori ini sangat puitis kalau disebutkan sebagai ekonomi selimut singkat.

Kalau ditarik selimut melepasi dada, kaki terdedah kesejukan. Kalau ditutup kaki pula, dada kesejukan. Begitulah. Akan ada yang menjadi korban demi yang lain.

Dalam ekonomi dunia nyata, saya sarankan anda melihat kembali situasi kenaikan harga minyak yang diumumkan beberapa hari sejurus negara menyambut Hari Merdeka ke-56. Sebenarnya ya, harga minyak tidak naik. Apa yang berlaku adalah subsidi minyak ditarik balik oleh pihak pemerintah dalam keadaan ekonominya yang seperti selimut singkat di atas tadi.

Subsidi petrol bukan sahaja dibayar kepada pengusaha syarikat petrol demi mengurangkan beban rakyat, malah turut diberikan kepada pengusaha tenaga elektrik swasta yang kemudian menjual elektrik kepada syarikat pembekal elektrik yang menyambungkan bekalan elektrik ke rumah dan pejabat anda. Syarikat ini tidak ditarik balik subsidi mereka.

Subsidi yang memudahkan anda itu yang ditarik balik oleh kerajaan. Maka harga minyak naik 20 sen.

Soalnya sekarang bukan sahaja harga minyak jadi bertambah mahal, tetapi subsidi yang ditarik balik itu disalurkan ke mana pula? Dan kemudian bagaimana anda yang kini terpaksa menanggung kenaikan ini akan terpaksa juga mengurus kewangan dengan kenaikan harga barang yang diakibatkan oleh kenaikan harga minyak ini?

Ya banyak persoalan yang akan buat kita sakit otak.

Sama keadaannya kalau anda diletakkan dalam bilik berhawa dingin dengan sehelai selimut singkat. Menggelabah.

Menguruskan sumber

Soal kos peluang ini timbul kerana dua perkara. Pertama, manusia mempunyai keinginan dan kemahuan yang tidak terbatas. Kedua, sumber yang ada sangat terhad.

5 debt-ratio-smallKeadaan sumber terhad ini amat dirasai sekarang apabila kerajaan United Malays National Organisation kelihatan bertungkus lumus mengimbangkan perbelanjaan demi memenuhi keperluan dan kehendak rakyat yang terpaksa berhadapan inflasi dan kos hidup tinggi. Pada masa yang sama ia masih perlu menampung lompang belanjawan akibat kerakusannya berbelanja sakan serta ketirisan yang berlaku lantaran korupsi.

Andaikan kos menurap jalan raya sepanjang 100 meter sekitar RM10,000. Andaikan saja lah; ini contoh. Saya mana tahu berapa kos menurap jalan. Disebabkan kewujudan korupsi, maka kos ini akan membelon barangkali dua kali ganda. Mahu dapat tender turap jalan sahaja sudah perlu rasuah pengeluar tender. Bila sudah dapat tender kerana guna pengaruh politik kawan-kawan, harus keluar duit lagi untuk jamu kawan-kawan politik.

Ini penyakit yang melanda negara akibat urus tadbir berasaskan untung tanpa sedikit pun sifat amanah dan integriti. Inilah dia penyebab kenapa wujud keterhutangan dan kenapa selimut yang asal itu kian bertambah singkat.

Tahun lalu Perdana Menteri Najib Razak telah membentangkan Belanjawan 2013 bernilai hampir RM250 bilion. Belanjawan pilihan raya yang begitu besar jumlahnya, dibentang dalam keadaan negara berhutang lebih separuh daripada KDNK.

Semalam di Parlimen dibentangkan satu lagi rang undang-undang perbekalan tambahan untuk memohon kelulusan Parlimen bagi perbelanjaan tambahan yang tidak masuk dalam Belanjawan 2013 yang dibentang hujung tahun lalu. Perbelanjaan berjumlah RM14 bilion ini barangkali sudah pun dibelanjakan.

Dalam sessi Parlimen sebelum ini, satu lagi rang undang-undang perbekalan tambahan dibentangkan, bagi tujuan sama: belanja dulu, baru minta izin. Cumanya yang itu dibuat berdasarkan belanjawan tahun fiskal sebelumnya.

Biar papa asal bergaya. Gali lubang, tutup lubang. Begini cara kerajaan pimpinan UMNO membelanjakan harta negara, sambil memberikan bantuan tunai setahun sekali setelah dirampasnya subsidi demi menutup mulut dan mata anda daripada menyedari bahawa selimut tebal yang melindungi anda selama ini kian mengecil dan mengecut. Akhirnya kita sekadar tidur dengan sehelai tuala ‘Good morning’ menutup muka.

Tiada ulasan: