Khamis, 19 September 2013

BOROS AMALAN IBLIS@SYAITAN

Rela dikasari asal suami tidak digari

Mohammad Faizal Che Yusof, 17 Sep 2013


Empat kelompok utama masyarakat telah dikenalpasti sebagai antara kumpulan yang terdedah kepada pelbagai diskriminasi dan pelbagai risiko persekitaran. Kelompok yang disebut sebagai “vulnerable group” tersebut termasuklah kaum wanita, warga emas, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Tanpa mengira kelompok kaum, latar belakang tempat, dan fahaman politik, kelompok masyarakat ini memerlukan suatu pendekatan khusus yang lebih fokus dalam perancangan dan perlaksanaan pembangunan. Mahu tidak mahu, setiap mereka yang terlibat langsung dengan pembuatan dasar atau perundangan, kefahaman kepada kelompok masyarakat ini mestilah dimiliki pada tahap yang paling asas agar setiap dasar atau perundangan tersebut sejajar dengan fitrah keadaan mereka.

Kebetulan kebelakangan ini, saya terlibat langsung dengan pelbagai dialog dan program yang berkait langsung dengan salah satu kelompok masyarakat tersebut iaitu kaum wanita. Perbincangan pada kali ini akan saya tumpukan kepada isu keganasan rumah tangga.

Dilema keganasan rumah tangga bukan isu di sini sahaja. Bahkan ia merupakan antara isu feminin di mana-mana. Ia tambah kompleks bilamana kaum wanita yang antara mangsa utama dalam keganasan rumah tangga tidak dapat berfungsi secara aktif dalam pembuatan dasar dan peraturan.

Mendepani isu inilah Islam sebenarnya telah punyai resolusi yang cukup sempurna sebagamana kandungan al-Quran dan Sunnah. Secara umumnya, perbincangan berkaitan keganasan rumah tangga lebih tertumpu kepada tindakan atau respon setelah kejadian keganasan berlaku.

Antaranya bagaimana seorang wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga akibat tindakan suaminya keberatan untuk tampil menuntut keadilan. Selain malu seolah-olah mendedahkan pekung di dada, bimbangkan tindakan terhadap suami yang menderanya adalah antara permasalahan utama bagi mengekang kes-kes keganasan rumah tangga.

Bermacam andaian bermain dalam fikiran mangsa keganasan rumah tangga sebelum nekad menuntut keadilan bagi dirinya. Kadangkala sukar diterima akal biasa apabila mangsa bagaikan rela dirinya dikasari asal sipelaku atau suami tidak diapa-apakan apabila tindakan perundangan diambil.

Tidak cukup dilema dalaman, mangsa juga berhadapan dengan pelbagai situasi yang dirasai tidak menyebelahi mereka bila aduan dibuat untuk menuntut hak. Sama ada aduan kepada pihak berkuasa seperti polis atau bahagian aduan berkaitan rumah tangga, masih banyak prosedur yang sebenarnya bersifat menghalang untuk mangsa tampil secara sukarela.

Dalam hal inilah apa yang ditegaskan Islam iaitu pembentukan keluarga yang berasaskan kepada kasih sayang dan rahmat suatu kaedah penyelesaian yang lebih menyeluruh. Pembinaan keluarga yang berasaskan mawaddah dan rahmah adalah suatu pendekatan yang mencakupi aspek kerohanian dan jasmani.

Yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan dengan melancarkan Dasar Keluarga Mawaddah Kelantan DKMK pada 16 Disember 2009 adalah usaha paling asas yang boleh dilakukan pemerintah bagi mewujudkan suasana harmoni dalam rumah tangga.

Terbaru Seminar Dasar Keluarga Mawaddah yang dianjur khusus untuk kaum bapa telah berjaya menarik 700 orang penyertaan. Program yang diadakan 12 September lepas adalah amat perlu sebagai langkah mendidik kea arah mewujudkan rumah tangga harmoni sekaligus mengekang gejala keganasan rumah tangga dari berleluasa. (Gambar atas)

Tentulah lebih baik kita mencegah kes-kes keganasan rumah tangga daripada hanya menumpukan tindakan sebagai respon balas setelah keganasan berlaku. harus sentiasa diingat, keluarga adalah unit paling asas membentuk persekitaran masyarakat yang sejahtera.

Moga Kelantan melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, YB Hajah Mumtaz Md Nawi terus mampu mengenengahkan Islam dalam pembentukan masyarakat sejahtera dan dapat menjadi ikutan terbaik. Dunia hari ini mencari-cari kaedah terbaik dalam membangunkan kelompok yang disebut vulnerable group untuk mampu berada di tengah-tengah masyarakat. – 11 Zulkaedah 1434H.

Boros membawa bala

Subky Latif, 17 Sep 2013
Mengapa minyak dinaikkan? 20 sen seliter bagi petrol Ron 95 dan 20 juga bagi diesel.

Naik pada zaman dulu kerana tuntutan peniaga runcit untung terlalu kecil. Lepas itu bagi mengelakkan minyak diseludup ke negara jiran justeru minyak kita lebih murah dari negara-negara itu.

Naik mendadak selepas BN menang semula PRU13 pula lain sebab. Bagi mengurangkan sabsidi minyak. Dengan kenaikan itu kerajaan dapat menyelamatkan sekitar tiga bilion. Ia adalah untuk mengelakkan negara muflis.

Bagi setengah Pak Pandir, ia adalah alasan amat memuaskan hati, biarlah berat rakyat menangguhnya asal jangan ditimba bala muflis. Beban berat akibat kurang sabsidi mungkin tidak sampai memampuskan rakyat,  tetapi jika muflis semua akan mampus.

Dengan kenaikan minyak yang membebankan itu, mengakulah kerajaan dan pemimpin Umno/BN bahawa negara berada di ambang muflis. Tidak seperti yang dirongrongkan sebelum kewangan dan ekonomi kita kukuh dan memberangsangkan.

Seomo-seomo, kata orang Kelantan, negara bagi BN akan muflis jika jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, yang diragui ketepatannya hatta oleh orang tua Umno seperti Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah. Tetapi bala yang disangka Umno itu sudah berada di ambang negara sedang ia masih di bawah pentadbiran BN  di bawah Najib.

Bala muflis masih di ambang tetapi bala gara-gara boros yang diwarisi Najib pada zaman bapanya dan bertambah parah di bawah Mahathir, di bawah Najib ini  adalah di puncaknya.

Dr Mahathir mengingatkan tentang kejadian naik minyak atau menurunkan sabsidi minyak adalah gara-gara amalan boros pemerintah  dan pemimpinnya. Jika perangai syaitan itu tidak dibendung celakalah jadinya.

Sekali pun ingatan itu ditujukan kepada pemerintah semasa, tetapi ia adalah pengakuan rakus sistem yang Umno dan BN pakai selama ini. Boros itulah yang menjadikan menerima bala sekarang.

Bala itu sudah datang sejak lama sebelum Najib menjad Tzar. Sejak dulu minyak naik, maka bala itu diikuti bala kenaikan semua barang dan perkhidmatan. Bala itu menjadikan duit dan harta rakyat susut. Yang  kaya kurang kaya, yang cukup makan jadi miskin, dan bala bagi si miskin jadi fakir.

Tetapi sebelum ini bala terdahulu belum diancam oleh muflis buat negara. Yang Idris Jala beri amaran dua tahun lalu tiba di depan pintu. Sekalipun Idris Jala sudah ingatkan tetapi Najib tetap menggandakan borosnya bahkan menggila-gila sepanjang masa sebelum PRU13.

Bukan saja duit kerajaan yang ada diperhabiskan, mana-mana sumber yang ada duit pun dikaut sama. Semua perkembangan itu adalah mengundang bala. Ada orang  kata, bila Indonesia tidak cukup duit, Sukarno suruh cetak duit supaya ia dilihat banyak duit. Semuanya itu adalah bala.

Bala sedemikian sedang menunggu. Apabila sekalian Pak Pandir tidak merasakan semuanya bala, maka seolah-olah menggalakkan kongsi gelap mencetak duit.

Sekarang baru kita diberitahu bahkan oleh Dr Mahathir yang selama-lamanya boros dulu, bahawa boros itulah kecelakaan.

Kata Najib kalau minyak tidak dinaikkan atau subsidi minyak tidak diturunkan, logiknya negara dan kerajaan akan menanggung bala. Dengan tindakannya itu bala dikongsi dengan rakyat. Jenis Pak Pandir setuju memikul  sama bala itu. Bala yang Najib umum setakat menurunkan subsidi diesel dan Ron 95 saja. 15 sen atas satu Ron lagi tidak  diumumkan. Ia  disedari oleh yang  tahu  saja.

Bala sudah ada di sekelilling pinggang. Bala bukanlah sekadar gempa bumi  dan tsunami tetapi gara-gara boros adalah bala juga. Bahasa yang Allah gunakan untuk bala ialah melakukan kerosakan di bumi.

Himpunan haji dan masalah ummah

Abd Shukur Harun, 17 Sep 2013
Jemaah haji seluruh dunia sedang berdatangan ke Tanah Suci Makkah dan Madinah untuk menunaikan Fardhu Haji mulai 9 Zulhijjah tahun ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kira-kira tiga juta setengah jemaah haji akan berhimpun di dua kota suci itu yang puncaknya berwukuf di Arafah dan melontar Jumrah di Mina, kemudian tawaf dan saie.

Suasana musim haji kali ini bertambah sibuk, terutama Bandaraya Makkah dan Madinah yang sedang diperbesarkan dan sudah tentu sibuk dengan kerja-kerja pembesarannya yang menelan belanja berbilion ringgit.

Bagi jemaah haji yang kaya atau super-kaya, terutama sheikh-sheikh Arab dari negara Teluk, mereka menyewa hotel mewah yang berdekatan dengan Masjidil-Haram atau Masjid Nabawi. Sementara jemaah haji biasa, tinggal agak jauh dari dua masjid tersebut. Kebanyakannya tinggal di apartmen yang kebanyakannya baru. Untuk pergi ke masjid, mereka boleh menggunakan bas dan teksi, tetapi bagi jemaah yang berbadan tegap, ada yang berjalan kaki saja ke masjid. Di samping itu, jualan pelbagai jenis barang kelihatan merata-rata dan biasanya jemaah haji juga mengambil kesempatan untuk membeli-belah.

Kerajaan Arab Saudi yang menjadi Khadam Al-Haramain (Pelindung Dua Tanah Haram) telah membuat persediaan dan kemudahan yang cukup untuk jamaah haji yang bertambah setiap tahun.

Wukuf di Arafah di mana semua jemaah berkhemah - menunaikan rukun utama ibadah haji - adalah manifestasi himpunan terbesar umat Islam seluruh dunia yang datang dari pelbagai negara, menyahut seruan Nabi Ibrahim AS dan di sana kita menyaksikan pelbagai bangsa, warna kulit, perwatakan, bahasa, budaya dan sebagainya.

Himpunan musim haji kali ini akan berlangsung ketika beberapa negara umat Islam menghadapi krisis kemanusiaan paling berat. Pebunuhan beramai-ramai oleh tentera Mesir terhadap rakyatnya sendiri akibat rampasan kuasa tentera di Mesir yang berterusan hingga kini, pebunuhan beramai-ramari rakyat Syria oleh rejim diktator Bashar Al-Assad, pertempuran berterusan antara pejuang pemisan Islam di Zamboanga, selatan Filipina, penderitaan Muslim Rohingya di Myanmar, derita kerana kemiskinan hidup umat Islam di mana-mana, termasuk di negara Arab sendiri dan juga kekeliruan umat akibat pelbagai kekeliruan yang ditimpakan oleh golongan sekular.

Di samping itu, demonstrasi berterusan puak sekular yang menentang kerajaan An-Nahdah yang  sah dipilih oleh rakyat di Tunisia, pelarian rakyat Syria yang puluhan ribu jumlahnya di sempadan Syria-Turki, kehidupan rakyat Gaza yang sangat kritikal dan pelbagai peristiwa lagi.
Para jemaah haji tentunya terlalu sibuk dengan urusan melaksanakan rukun haji dan mungkin tidak sempat atau tidak tahu akan nasib malang saudara Islam mereka di pelbagai negara yang disebutkan. Oleh itu mungkin tidak ada masa pula untuk memikirkan masalah itu semua.

Maka himpunan musim haji di Tanah Suci itu akan berlansung seperti biasa hingga selesai para jemaah menunaikan fardhu haji, lalu merekapun pulang ke negara masing-masing.

Apakah kesan himpunan musim haji itu terutama terhadap pelbagai krisis kemanusiaan yang dihadapi oleh umat Islam di negara tersebut?

Lebih tiga juta umat Islam yang berhimpun itu adalah suatu jumlah yang dikira besar. Tetapi dengan jumlah itu kelihatan tidak menimbulkan sebarang impak atau kesan kepada kuasa-kuasa besar dalam membuat keputusan  politik. Malah mereka tidak hiraupun himpunan umat Islam itu, lebih-lebih lagi bagi pemimpin negara Arab yang kaya sendiri yang tidak hiraukanpun apa yang terjadi kepada umat.

Bantahan dan ratap tangis umat Islam Mesir akibat rampasan kuasa itu yang mengorbankan puluhan ribu nyawa, cedera dan diseksa, pembunuhan beramai-ramai di Syria akibat kesan racun kimia yang disembur oleh rejim Bashar Al-Asaad dan lain-lain, tidak menggugah perasaan pemimpin negara Arab yang kaya raya itu.

Inilah yang terjadi apabila ibadah haji menjadi ibadah ritual yang sangat peribadi sifatnya. Pada hal himpunan ummah pada musim haji itu, sewajarnya menjadi himpunan yang turut membincangkan masalah ummah seperti yang dipesan oleh Rasulullah SAW dalam Khutbah Wada’ Baginda yang disampaikan di Jabal Rahmah di Arafah.

Khutbah itu, penuh dengan pelbagai pesan dan arahan kepada ummah untuk menghadapi cabaran masa depan. Khutbah itu  mengandungi mesej politik kepada ummah. Ia disampaikan di Jabal-Rahmah, di tengah ribuan umat yang menunaikan haji bersama Rasulullah SAW.

Hal ini bermakna ibadah haji itu bukan sekadar ibadah yang sangat peribadi sifatnya, bahawa ibadah itu hanya untuk mencuci dosa peribadi, meningkatkan takwa peribadi, menambah pahala sebanyak mungkin untuk peribadi juga.

Anggapan ini tidak tepat dengan kehendak Islam yang sebenarnya, yakni setiap masalah ummah dirasakan dan difikirkan bersama kerana himpunan haji bersifat himpunan ummah yang sangat penting untuk membincangkan masalah ummah seluruhnya. Oleh itu, sewajarnyalah umat Islam mengambil contoh dan menghidupkan kembali roh dan semangat dari apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, khususnya amanat yang disampaikannya.

Selalu kedengaran ucapan oleh golongan sekular, “Jangan campur adukkan ibadah dengan politik”. Pada hal membincangkan masalah ummah adalah juga ibadah, justeru ibadah sangat luas pengertian dan bidangnya.

Tinggal lagi, bagaimana cara untuk membincangkan masalah ummah ini pada musim haji perlu dibincangkan dan dibina mekanismenya tanpa mengganggu perjalanan ibadah haji dengan segala rukun dan tertibnya. Hal ini tidak juga bermakna jemaah mengganggu urusan politik dan pentadbiran negara Arab Saudi yang telah menyediakan kemudahan untuk jemaah menunaikan Fardu Haji dengan sangat baik.

Oleh itu, yang penting bagi umat Islam, khususnya jamaah haji, ialah menghayati amanat Rasulullah SAW supaya umat Islam menjadi umat yang terpandang, dihormati, dirasakan kehadirannya dan dalam masa yang sama berperanan sebagai umat yang memandu manusia, sesuai dengan sifatnya sebagai ‘Ummatan Wasatan’, yang menjadi pengimbang, penegak kebenaran dan keadilan.

Kepada para hujjaj, diucapkan selamat menunaikan Fardhu Haji, semoga dikurniakan Allah SWT haji yang mabrur.

Tiada ulasan: