Hanya selepas 24 jam kekalahan dalam persaingan merebut jawatan pengerusi negeri, bekas Setiausaha Gerakan Wilayah Persekutuan Dr Wong Ruen Yuan, bertindak keluar daripada parti.

Pemangku Setiausaha Agung Gerakan Datuk Mah Siew Keong, ketika mengesahkan perkara itu berkata pengerusi Gerakan Bahagian Segambut itu mengemukakan surat peletakan jawatannya, semalam.

NONEMah berkata, menurut surat berkenaan, Dr Wong berkata beliau meletakkan semua jawatan yang dipegangnya dalam parti dan juga sebagai anggota Gerakan.

Dr Wong (kanan) dikalahkan oleh bekas Ketua Pemuda Gerakan Kuala Lumpur Lau Hoi Keong dalam pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan yang diadakan di ibu pejabat parti itu, di Kuala Lumpur, malam semalam.

"Saya berharap beliau akan menimbang semula. Saya tidak pasti sama ada ia berkaitan dengan keputusan semalam. Pengerusi negeri yang baharu dipilih juga cuba memujuk beliau untuk menimbang semula," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Mah juga berharap Dr Wong akan menerima hakikat bahawa dalam mana-mana pemilihan parti, ada yang menang dan kalah.

Selain itu, katanya, hampir semua negeri, kecuali Terengganu, Kelantan dan Kedah berlaku pertandingan untuk merebut jawatan pengerusi negeri masing-masing.

"Ini (pertandingan) adalah satu proses yang sihat. Apa yang penting ialah kita berharap sesiapa yang menang, mereka cukup murah hati untuk menjemput pihak yang kalah untuk menjadi sebahagian daripada pasukan," katanya.

- Bernama