BIBIT-bibit ideologi akidah sesat timbul sejak zaman Nabi lagi, tetapi ia tidak berkembang kerana Nabi masih hidup maka setiap masalah dirujuk kepada Baginda. Namun, setelah kewafatan Nabi dan berlalunya zaman para sahabat, pemikiran sesat mula berkembang bak cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Perpecahan dan penyimpangan akidah ini tidak lari dari 7 kelompok; Qadariyah, Jabriyah, Mu’tazilah, Jahmiyah, Murjiah, Khawarij, Syiah. Bentuk pemikiran ini terus wujud hingga akhir zaman. Oleh itu perlu untuk kita kenali dan fahami ideologi ini agar tidak terjebak dengannya.

Ini sebagaimana kata Huzaifah bin Al-Yaman, “Manusia bertanya kepada Rasulullah tentang perkara kebaikan sedang aku bertanya tentang perkara kejahatan, kerana aku khuatir kejahatan itu menimpa diriku.” (Bukhari & Muslim)

Rentetan tulisan kolum sebelum ini yang menyentuh kenaikan harga barang dari perspektif qada dan qadar, Alhamdulillah masyarakat awam Islam mula tertanya-tanya dan ingin mengetahui apakah itu Qadariyah dan Jabariyah.

Secara ringkas, Qadariyah adalah golongan menolak ketetapan atau takdir ALLAH. Mereka percaya setiap yang berlaku adalah hasil usaha dan kerana perbuatan makhluk semata-mata. Bagi mereka, ALLAH hanya mengetahui setelah ia berlaku. Dalam erti kata ALLAH tidak mengetahui dan tidak menetapkan perkara yang belum berlaku. Orang yang mula-mula membawa ideologi ini Ma’bad Al-Juhani di akhir zaman Sahabat.

Contohnya seorang berkata, “Kekayaan yang aku miliki ini  hasil usaha dan titik peluh aku sendiri.” tanpa dia mengaitkan kepada ALLAH SWT. Sedangkan ALLAH berfirman, “Segala nikmat yang ada padamu adalah daripada ALLAH, kemudian apabila kamu ditimpa kesusahan, kepadaNyalah kamu meminta pertolongan.” (Al-Nahl: 53). Juga tercatat dalam al-Quran, “Dan apabila aku sakit Dialah (ALLAH) yang menyembuhkan aku.” (Al-Syu’araa: 80)

Pemikiran sebegini menyebabkan manusia tamak terhadap dunia dan melupakan akhirat. Mereka menganggap usaha mereka telah memadai untuk mendapatkan apa yang diinginkan, tanpa perlu menjaga hubungan dengan ALLAH. Mereka marah jika sesuatu berlaku tidak sesuai dengan kehendak mereka.

Jabariyah pula berlawanan sama sekali dengan Qadariyah. Mereka menyerahkan semuanya kepada ALLAH dan meninggalkan usaha. Bagi mereka, manusia ibarat boneka yang melakukan apa saja ditetapkan ALLAH. Lahir dari pemikiran ini manusia yang malas, berharap tanpa ikhtiar. Ada  yang meninggalkan pekerjaan dunia sambil mengharap rezeki datang kepada mereka.

Firman ALLAH, “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan ALLAH kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari dunia dan berbuat baiklah sebagaimana ALLAH berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. (Al-Qasas: 77)

Ahli Sunnah Wal Jamaah bersikap pertengahan. Qada dan qadar wajib diimani, ia adalah Rukun Iman. Syaikh Muhammad bin Salih Al-Utsaimin meletakkan empat peringkat dalam beriman kepada qada dan qadar; Pertama, beriman kepada ilmu ALLAH yakni ALLAH SWT tahu segala sesuatu, baik yang telah berlaku atau belum hingga ke hari kiamat.

Kedua, Al-Kitabah iaitu beriman segala sesuatu telah tertulis di Lauh Mahfuz. Ketiga, beriman bahawa ALLAH yang telah menciptakan segala sesuatu. Dalilnya, firman ALLAH, “ALLAH adalah Pencipta segala sesuatu.” (Az-Zumar: 62)

Keempat, beriman bahawa segalanya kembali kepada kehendak (masyi-ah) ALLAH. Dalilnya, “Sesungguhnya perintahNya apabila Dia mengkehendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: Jadilah!” maka terjadilah ia.” (Yasin: 82)

Seseorang yang beriman dengan qada dan qadar pasti melalui keempat-empat peringkat ini. Dia akan menjadi orang yang sabar, redha serta tawakal kepada ALLAH. Ini kerana dia beriman ALLAH Mengetahui semua perkara dan Dia menetapkan semuanya di Lauh Mahfuz. ALLAH Mengetahui segala sesuatu itu baik untuk hambaNya.