Isnin, 16 September 2013

MATI TU WAJIB@MESTI....KITA TAK BOLEH TONGKAT DUNIA SAMPAI BILA2...MORALNYA JANGAN JADI ORANG...KAKI SONGLAP...KAKI TIPU...KAKI RASUAH DAN SEANGKATAN DENGANYA

UDA gagal tingkatkan pemilikan hartanah Melayu

Harakahdaily, 16 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dilihat gagal  menyokong agenda bumiputera dalam menambah pemilikan hartanah bumiputera di kawasan bandar, membangun usahawan bumiputera berdaya saing dan mengukuhkan modal insan bumiputera.


Sehubungan itu, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid menggesa supaya peranan agensi kerajaan itu dinilai semula kerana banyak hartanah orang Melayu di kawasan bandar terlepas ke tangan bukan bumiputera ekoran kegagalan fungsi agensi terbabit.

“Peranan agensi seperti UDA Corporation untuk membangunkan hartanah di kawasan bandar hendaklah dinilai dengan kritikal kerana banyak hartanah orang Melayu yang terjual akibat pembangunan yang dijalankan oleh Uda yang akhirnya dimilikki oleh bukan bumiputera,” ujarnya dalam satu kenyataan media.


Kajian juga, tambahnya perlu dibuat  terhadap  syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam pembangunan hartanah memandangkan pembangunan hartanah bumiputera perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana matlamat keuntungan tidak boleh dibiarkan mengatasi tujuan untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi bumiputera.

Sehubungan itu, beliau mahu polisi "carve out" yang dicadangkan Perdana Menteri dinilai dengan teliti kerana perlaksanaannya terdedah kepada penyelewengan jika tidak dilakukan dengan telus.


Merujuk aspek pembangunan modal insan, Teras berpendapat usaha menambah pelajar dan kampus UITM tidak bermakna jika keupayaan pengurusan tidak dipastikan berjalan dengan baik .

“Kualiti pelajar UITM perlu dipastikan dengan menjaminkan  pembinaan keperibadian dan jatidiri berjalan dengan sempurna,” ujarnya.


Modal Insan Bumiputera,  tegas beliau tidak harus dilihat hanya kepada soal kemahiran dan pengijazahan semata-mata dengan mengabaikan jati diri yang kukuh untuk hidup berdikari.


“Kami berpendapat tidak wajar graduan hanya dilihat dari sudut kebolehpasaran sahaja. Apa yang sangat diperlukan ialah membina keperibadian graduan yang kuat sehingga boleh menjadi warga masyarakat yang bermanfaat.

“Apa yang menjadi persoalan utama ialah kedayaupayaan generasi muda yang lemah didorong oleh pelbagai pengaruh yang negatif dalam persekitaran sekarang.


“Kemahiran tanpa jat idiri insan yang kuat akan mengakibat lahir generasi muda bumiputera yang rapuh. Apa yang sangat diperlukan ialah melahirkan bumiputera yang mampu berfikir kritikal , berdaya upaya dan mempunyai kekuatan akhlak yang kukuh,” jelas beliau.

Menyentuh sistem penyampaian (delivery system),  Azmi menggesa  agensi-agensi berkaitan memastikan sistem penyampaian berlaku dengan lancar dan  tidak terlalu birokratik.

“Agensi yang terlalu banyak dan mengguna peruntukan yang tinggi hendaklah dinilai semula,” tegasnya .

Pada  14 September lalu, Perdana Menteri mengumumkan lima langkah bagi memperkasa ekonomi Bumiputera iaitu mempertingkatkan daya modal insan Bumiputera; memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, mengukuhkan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap golongan Bumiputera.

Saham khas gagal tambah ekuiti Bumiputera

Harakahdaily, 16 Sep 2013

KUALA LUMPUR: Beberapa saham bumiputera yang telah diagihkan selama ini gagal meningkatkan  pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat akibat harga saham yang menurun dan tidak menjana kekayaan yang diharapkan, ujar Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid.

Menurut beliau,  suntikan pelaburan atas nama bumiputera harus dilihat dengan kritikal supaya daya tahan pemilikan saham tidak menurun.


“Dalam hal memperkukuhkan pemilikan Aset Bukan Kewangan Bumiputera , kami memerhatikan berlaku ketidaktelusan dalam pembelian dan penjualan aset oleh pelbagai agensi yang mengendali aset atas nama bumiputera,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, wujud kecenderungan membeli bangunan atau aset hartanah yang tidak telus sehingga menjadi beban  kewangan kepada agensi terbabit,  malah ada aset yang terbiar tanpa diurus secara produktif.
Apa yang lebih dikesalkan, tambahnya terdapat  penjualan aset oleh agensi terbabit  kepada bukan bumiputera.

“Kami menuntut agar semua agensi yang diamanahkan untuk mengurus aset hartanah dipantau secara profesional dan tidak dipengaruhi  oleh gangguan politik,” ujarnya.

Teras turut menuntut agar  Yayasan Wakaf Malaysia diperkemaskan dan peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Bhd (AHB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Usahawasan Nasional Bhd (Punb) bagi membangun dan memperoleh hartanah komersil dan industri dilakukan secara profesional.

Menyentuh aspek perumahan Bumiputera, Azmi menggesa agar  pembinaan rumah mampu milik kepada bumiputera melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) ditingkatkan dengan pemantauan menyeluruh aspek kualiti.

“Kedudukan kawasan perumahan yang tidak munasabah untuk kaum bumiputera tidak akan mencapai matlamat sepatutnya. Hakikikat bahawa masih banyak perumahan rakyat yang tidak ada pembeli kerana faktor kesesuaian tempat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Teras mencadangkan agar kuota perumahan bumiputera di kawasan strategik hendaklah dikuatkuasakan dengan tegas dan tidak membiarkan pemaju melepaskan tanggungjawab sosial mereka untuk meningkat taraf kehidupan kaum bumiputera.

Ketika berucap pada majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2013 di UiTM Shah Alam, 14 September lalu, Dato’ Seri Mohd Najib Razak mengumumkan lima langkah bagi memperkasa ekonomi Bumiputera iaitu mempertingkatkan daya modal insan Bumiputera; memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, mengukuhkan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap golongan Bumiputera.

Kaji semula bagi menambahbaik dan menepati Tahaluf Siyasi

., 16 Sep 2013

PAS ingin menegaskan komitmen kita untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Segala kelemahan yang timbul akan diperbaiki melalui meja rundingan. PAS mengalu-alukan sebarang cadangan serta komentar dari mana-mana dewan dan pandangan dalaman untuk meneliti apa jua unsur yang dianggap bertentangan dengan syarak.

PAS melihat resolusi dari Dewan Ulamak hasil Multaqa Ulamak sebagai sesuatu yang menepati demokrasi dalam PAS, kerana Dewan Ulamak sebagai sayap penting parti sewajarnya membuat rumusan bagi pihak dewan yang diwakili.

PAS Pusat pasti akan meneliti dan mengkaji setiap resolusi yang dicapai di Multaqa tersebut, memandangkan ia adalah satu rumusan dari suatu himpunan Dewan yang utama di dalam PAS. Kita yakin resolusi tersebut mempunyai asas untuk dinilai dan diberi perhatian oleh Jawatankuasa kerja PAS Pusat.

Cadangan bagi Majlis Syura dan PAS Pusat untuk menyemak hubungan dan Tahaluf Siyasi dengan rakan PR bukan bermakna memutuskan hubungan dengan PR. Ia adalah dua isu berbeza.

Semakan agar perjalanan tahaluf selaras dengan tuntutan syarak sebagaimana resolusi yang dikemukakan ialah sesuatu yang sihat dan bukanlah sesuatu yang wajar dijadikan polemik.

Oleh kerana dasar PAS ialah Islam, maka gesaan untuk semakan, kajian dan penelitian dewan Ulamak adalah sangat dialu-alukan.

Sehubungan itu, PAS Pusat berharap Dewan Ulamak dapat mengemukakan perkara yang menjadi kebimbangan mereka itu.

Oleh itu, resolusi yang dicapai di Multaqa Ulamak yang menggesa Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS Pusat menyemak kembali Tahaluf Siyasi bersama dengan Pakatan Rakyat bukanlah sesuatu yang pelik.

Ia ibarat peringatan agar kita sentiasa berada di atas peraturan yang betul di sepanjang lebuhraya. Pelbagai peringatan had laju dikeluarkan, bukanlah kerana kita memandu laju, tetapi peringatan agar jangan memandu melebihi had laju. Namun, kalau ada orang yang marah kepada peringatan tersebut, tentulah ia sesuatu yang pelik.

Berhubung dengan cadangan Dewan Ulamak supaya jawatan tertinggi parti daripada ulamak, sebagaimana juga dewan-dewan lain akan mengangkat dewan yang mereka wakili; terpulang kepada perwakilan untuk bersetuju atau sebaliknya dengan cadangan dari Dewan Ulamak itu.

PAS melihat ketentuan jawatan adalah hak perwakilan untuk memilih. Perlembagaan parti jelas memberi hak kepada perwakilan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
15 September 2013

Chin Peng meninggal dunia pagi ini

Harakahdaily, 16 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng meninggal dunia di Bangkok, Thailand pagi ini pada usia 90 tahun, lapor The Malaysian Insider.

Menurut laporan Bangkok Post, beliau meninggal dunia pada pukul 6.20 pagi.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Setiawan, Perak pada bulan Oktober, 1924.

Dunia sudah hampir dengan kiamat, benar itu salah, yang salah itu benar

Hari ini adalah Hari Malaysia dan hari ini adalah satu lagi hari cuti umum. Malaysia mempunyai hari kelepasan yang paling banyak di dunia ini dan itulah mungkin satu keistimewaan yang ada kepada kita. Kita terima  keistimewaan ini dengan positif apatah lagi kita sedang tercari-cari apa yang lebihnya kita ini dari negara lain.
Pun begitu ramai yang berbahas yang mana satu yang lebih istimewa, Hari Kemerdekaan atau Hari Malaysia dan berbagai-bagai perbahasan kita dengar. Ada yang mengatakan Hari Malaysia patut dirayakan lebih hebat dan besar dari Hari Kemerdekaan. Ada yang berpendapat yang Hari Kemerdekaan lebih penting dari Hari Malaysia dengan berbagai-bagai alasan.
Walau bagaimana pun ini juga adalah diantara beberapa perkara yang hidup dinegara ini dan ia merupakan satu pembangunan sebagai sebuah negara yang merdeka dan sesiapa juga berhak untuk menilai mana yang baik dan buruk mengikut pandangan dan perasaan masing-masing. Dalam isu ini tiada siapa yang salah, semuanya benar. Perbahasan ini pun menunjukkan yang rakyat ramai kasih dan sayang kepada negara. Masing-masing menunjukkan sayangkan negara dengan berbagai-bagai pendapat tentang isu ini.
Bagi saya kedua-duanya sama penting untuk diingati, dan tidak semestinya dirayakan secara besar-besaran. Yang terpenting perasaan sayangkan negara itu adalah penting dan itu tuntutan sebuah negara merdeka dan jangan lupa itu juga adalah tuntutan agama. Menjaga anugerah Tuhan ini adalah menjadi kewajipan kepada rakyat sekalian.
Menjaga sebaik-baiknya negara itu adalah seindah-indah perjuangan jika benar kita semua mengaddinkan agama itu. Kita selalu mendengar pemimpin bercakap tentang Islam itu sebagai addin dan diharapkan yang menjaga kebaikan serta keselamatan negara itu adalah menjadi kewajipan semua pihak.
Memberikan ‘interpretation’ kepada kasih dan sayang kepada negara inilah yang selalu menjadi isu dan perbalahan masing-masing kumpulan seperti parti-parti politik dan apa-apa pertubuhan serta individu-individu. Bagi saya samada Hari Malaysia atau Hari Kemerdekaan itu sama sahaja. Hari Merdeka itu diingati sebagai hari kita terlepas dari penjajahan asing dan Hari Malaysia itu adalah hari wujudnya sebuah negara baru.
Ada rakyat yang benar-benar mahu melihat keselamatan negara ini tanpa menunjuk-nunjuk dengan kebaran bendera dan laungan slogan untuk membuktikan kasih dan sayang kepada negara. Mereka ini benar-benar sayangkan negara dan merasakan yang mereka tiada negara lain yang lebih selamat bagi mereka untuk hidup selain dari Malaysia ini. Mereka ini serius dan berdoa serta berhajat terhadap Tuhan bagi memberikan keselesaan kepada rakyat dan negara ini dengan kehidupan yang aman dan makmur.
Bagi rakyat yang dalam kumpulan ini bendera dan banting negara tersemat dalam sanubari mereka tanpa menunjuk-nunjuk dan bermeriah dengan perayaan. Itulah sebabnya tidak sepatutnya ada pihak yang mengkritik mana-mana pihak kerana tidak bermeriah dengan perayaan-perayaan besar-besaran. Anak-anak yang masih kecil menunjukkan mereka sudah pandai dan berupaya berpuasa dan hasilnya mereka kadangkala diupah dengan baju raya yang cantik-cantik kerana anak-anaknya telah menunjukkan kemahuan dan kemampuan untuk melakukan ibadah puasa walaupun belum sampai keakhir baligh.
Tetapi yang sudah dewasa yang tahu berpuasa itu adalah ibadah yang telah disyariatkan  dan diwajibkan maka mereka tidak perlu menunjuk-nunjukkan yang mereka telah berpuasa. Dalam umur dewasa kita tahu yang kita mempunyai Tuhan, maka wajib kita melakukan suruhan dan kewajipan yang telah di perintah itu.
Itu lah sebabnya sayangkan negara itu bertahap-tahap dan ia berbeza tahapnya diantara satu orang atau kumpulan yang lain. Ada yang menyayangi negara itu dengan melihat dan memerhatikan bagaimana kerajaan diurus dan mereka yang sayangkan negara ini akan tidak berhenti mengkritik pimpinan misalnya, jika pimpinan melakukan kerja buruk terhadap negara. Mereka marah pemimpin yang menjahamkan negara kerana rasuah dan sebagainya.
Mereka akan lebih marah kepada pemimpin-pemimpin rasuah itu sendiri beretorik dan melaungkan rasa cinta kepada negara. Mereka beranggapan pemimpin seperti ini adalah pemimpin yang bermuka-muka dan hanya melakonkan sahaja perasaan rasa kasih dan sayangkan negara itu dan itulah yang amat menyakitkan hati mereka.
Mereka (rakyat) tahu yang mereka ditipu dan di muslihatkan oleh pemimpin-pemimpin yang berpura-pura sayangkan negara itu. Mereka tahu pemimpin-pemimpin yang melaungkan slogan-slogan cintakan negara itu sendiri adalah penderhaka kepada negara dengan melakukan rasuah dan salah guna kuasa misalnya. Ada yang marah kerana hipokrisi yang keterlaluan yang dilakukan oleh pimpinan.
Mereka tahu membawa masuk pendatang asing dan diberikan kad pengenalan dengan mudah itu adalah tindakan penderhakaan kepada negara, tetapi mereka yang melakukan ini jugalah yang berteriak sayangkan bangsanya dan sayangkan negaranya. Mereka ini jugalah yang diraikan dan di muliakan semasa perayaan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Mereka yang rasuah dan yang tidak sayangkan negara ini jugalah yang berdiri diatas pentas dalam masa perayaan itu dan menunjukkan mereka ini sayangkan negara, sedangkan rakyat percaya yang mereka lah juga kumpulan yang menjahanamkan negara. mereka diatas pentas perayaan itu jugalah yang memberikan muka dan membenarkan ahli keluarga seperti isteri untuk menggunakan pengaruh dalam penentuan banyak perkara penting dalam pentadbiran negara.
Kumpulan ini jugalah yang dianugerahkan nama dan gelaran besar-besaran negara semasa hari jadi Raja dan Ketua Negara. Mereka ini adalah penjahanam kepada negara. Melakukan rasuah besar-besaran dan seterusnya mendapat gelaran yang besar-besar sekali sambil mereka menjahanamkan negara itu.
Blog ini selalu mengingatkan yang kita sedang dalam zaman dunia hampir kiamat. Yang melakukan dosa dan noda mendapat tempat yang tinggi. Yang benar nampak salah dan yang salah nampak benar. Yang bathil bermaharaja lela dan yang benar terbenam dan diketepikan.
Pendeknya yang menjadi dalil hari kiamat selalu menjadi pemimpin kerana itu adalah petanda dunia ini hampir kiamat. Hanya kita sedang menunggu Imam Mahdi sahaja untuk mengesahkan yang dunia sudah benar-benar hampir ke akhir zaman.
Tetapi Tuhan juga berfirman yang selagi masih ada yang berzikir kepadanya walaupun seorang, dunia tidak akan kiamat. Begitu juga politik. Selagi ada segelintir yang masih insaf dan sedar tentang keadaan ini, negara akan tetap wujud.
Itulah sebabnya yang sedar dikalangan kita ini mesti teruskan perjuangan untuk membenteras kebathilan ini agar negara akan selamat setidak-tidaknya dalam jangka sementara terjumpa pimpinan yang baik dan menjadi penyelamat kepada negara ini.
Insyaalah kita akan bertemu dengan orang yang boleh menyelamatkan negara ini. Tuhan juga berjanji kepada ummah yang akhirnya nanti yang bathil ini akan terhapus dan timbullah yang hak. Itu biar Tuhan yang menentukannya.
Yang terpenting, kita perlu teruskan usaha dan itu juga tuntutan Tuhan bagi kita menunjukkan tauhid kita terhadapNya.

Tiada ulasan: