Jumaat, 13 September 2013

TINDASLAH DIDUNIA KERANA KITA BERKUASA...AKHIRAT HUKUMAN DAN BALASAN DARI ALLAH PULA

'Kami kuat, yang lain teruskan perjuangan'

Muhammad Faeez Azahar, 13 Sep 2013


KUALA KANGSAR: "Kami bersama perjuangan Dr Morsi serta seluruh pejuang Islam diseluruh negara dan Malaysia. Kami kuat dan yang lain diluar teruskan perjuangan," demikian pesanan ringkas Bad Latif.

Beliau adalah salah seorang daripada 13 peserta demonstrasi di Bukit Chandan ketika krisis politik di Perak yang dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari.ini.

Kata-kata itu dinyatakan beliau ketika dihubungi oleh isterinya Nashita Md Noor.

Mengulas tentang keputusan mahkanmah itu, Nashita berkata, beliau dan suami memang difahamkan kes tersebut agak berat kerana berkait dengan institusi diraja.

Namun katanya, di dalam perbicaraan kes itu, pihak tertuduh telah mengemukakan hujah serta bukti yang kukuh berbentuk rakaman video dan gambar bagi menjadikan rujukan dalam menentukan hukuman.

"Suami saya ditahan ketika mengambil gambar dan ketika ditahan, kamera masih berada tergantung di bahunya.

"Jadi kita sudah bagi bukti, mereka bukan membuat rusuhan bahkan daripada bukti-bukti rakaman dan gambar yang kami kemukakan, mereka ini membantu menyekat pihak-pihak yang ingin membuat provokasi.

"Jadi kita harap hakim pertimbangkan daripada bukti, keterangan tertuduh serta saksi tetapi beliau tidak sangka hakim menjatuhkan hukuman mandatori," katanya ketika ditemui Harakahdaily di perkarangan mahkamah.

Beliau terkejut hakim memutuskan semua tertuduh tidak boleh dibuat rayuan dan penangguhan hukuman kerana ianya tidak pernah berlaku di negara ini dalam kes berkaitan.

"Saya tak sangka, mereka terus digari dan dibawa ke penjara sekarang juga," jelasnya lagi.

Biarpun berdepan dugaan suaminya dipenjara, Nashita berkata beliau cuba kuat untuk meneruskan kehidupannya bersama anak-anak selepas ini.

Ujarnya, telefon bimbitnya tidak putus-putus dihubungi oleh pelbagai pihak bagi menyatakan sokongan dan dorongan kepadanya.

"Ramai yang menghubungi saya dan bertanya nak beri bantuan macam mana dan dari segi mana, ini memberikan semangat kepada saya.

"Sebelum ini saya banyak membantu keluarga mangsa tahanan ISA yang lebih berat hukumannya.

"Saya yakin saya boleh lakukan, saya seorang wanita yang kuat!," tegas beliau yang juga aktivis Gerakan Mansuh ISA (GMI).

Muslimat lancar tabung bantu keluarga Ops Bubar

Hazayani Zakaria, 13 Sep 2013

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) hari ini melancarkan tabung bagi membantu keluarga 13 peserta demonstrasi yang dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda 5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala kangsar.

Mereka dibicarakan dan didapati bersalah kerana menyertai demonstrasi di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan semasa dalam Ops Bubar Perak pada 6 Februari 2009.

"DMPP sebagai tanda solidariti dan zahirkan keprihatinan melancarkan tabung segera ini bagi meringankan beban keluarga mereka yang pasti belum bersedia menerima keputusan ini.

"Rata-rata mereka isteri tidak bekerja dan anak-anak masih bersekolah. Sokongan dan kasih sayang semua sangat diharapkan," kata Ketua Penerangan DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank DMPP 564025400711.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui Whatsapp: 0192135353 atau email psu1.dmpp@pas.org.my

Menurut Aiman juga, DMPP terkejut dengan keputusan hakim yang tidak membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman malah terus digari dan dibawa ke Penjara Tapah.

Bahasa Inggeris: Jangan ulangi kegagalan PPSMI

Salmiyah Harun, 13 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan agar membuat persediaan rapi termasuk guru-guru yang benar-benar akomodasi terhadap kemudahan rakyat sekiranya mahu menjadikan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2016.

Bekas Pengarah Pelajaran Negeri Perak  Datuk Adnan Ibrahim berkata, tidak dinafikan penguasaan Bahasa Inggeris amat penting untuk masa depan pelajar namun usaha kerajaan itu hendaklah memberi manfaat bukannya mahu gimik politik semata-mata.

Memandangkan katanya, dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan kerajaan pun tidak mencapai apa yang dikehendaki kerana ia dibuat untuk  menjaga kepentingan kelompok tertentu.

"Orang yang rancang dasar ini ada kepentingan masing-masing seperti memberi projek kepada mereka menerbitkan buku, yang mana syarikat pula cenderung kepada kronisma," katanya kepada Harakahdaily.

Malah katanya, dahulu kerajaan pernah mengambil guru-guru daripada luar negara untuk membantu proses pembelajaran Bahasa Inggeris bagaimanapun usaha itu hanya untuk kepentingan ganjaran semata-mata.

Akhirnya kata beliau, kerajaan menggelapkan padangan umum dengan merendahkan gred markah supaya dasar yang dibuat itu memberi kesan yang hebat kepada pelajar.

"Misalnya, purata markah adalah 55 markah dinaikkan gred menjadi A2, atau C3 supaya banyak pelajar lulus dan akhirnya memberi kredit pada kerajaan," katanya.

Justeru katanya, penyediaan prasaran untuk pembelajaran Bahasa Inggeris harus lengkap khususnya kepada murid-murid di luar bandar yang jauh ketinggalan.

Syarat wajib lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kemungkinan besar akan mula dikuatkuasakan pada 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tahun itu juga adalah permulaan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan negara.

Bagaimanapun, 61,000 guru Bahasa Inggeris yang sedia ada kini tidak mencapai piawaian yang ditetapkan untuk membantu pelajar-pelajar mengusai Bahasa Inggeris.

Peserta Ops Bubar dipenjara 2 tahun, denda RM5,000

Muhammad Faeez Azahar, 13 Sep 2013


KUALA KANGSAR: Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 kepada kesemua 13 peserta demonstrasi di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan pada 6 Februari 2009 lalu.

Hakim, Norsalha Hamzah memutuskan kesemua tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun dan didenda sebanyak RM 5000.

Hakim juga memutuskan bahawa permohonan tertuduh untuk pergantungan perlaksanaan ditolak.

Wakil peguam tertuduh, Zamri Ibrahim berkata, pihaknya memfailkan notis rayuan di mahkamah tinggi.

Sebelum keputusan, barisan peguam tertuduh telah mengemukakan mitigasi bagi tujuan peringanan hukuman.

Katanya, semenjak kes ini bermula iaitu 6 Februari 2009, ke semua mereka yang tertuduh telah hadir memberikan kerjasama sebaik mungkin kepada pihak mahkamah.

Peguam juga telah mengemukakan alasan-alasan munasabah berhubung keseluruhan tertuduh dengan mengambil kira kesan, kos dan pengorbanan yang dilakukan oleh mereka sepanjang 5 tahun perbicaraan kes ini.

[lanjut menyusul]

101,513 kematian di Syria sejak Mac 2011

Harakahdaily, 13 Sep 2013

DAMSYIK: Sejak bermulanya perang saudara di Syria pada Mac 2011, seramai 101, 513 dilaporkan telah terkorban, 215,000 orang telah ditahan, dan 3 juta buah rumah rosak akibat pertempuran antara tentera rejim Assad dengan mujahidin pembebasan Syria (FSA).

Jaringan Hak Asasi Manusia Syria (SNHR) dalam satu laporan menyebut, jumlah kematian itu adalah antara Mac 2011 hingga 21 ogos 2013 dengan jumlah 89,644 atau 88 peratus darinya adalah orang awam.

Dari jumlah orang awam itu pula, 10,913 adalah terdiri daripada kanak-kanak, 9,911 wanita, 2,964 adalah tahanan manakala 11,849 penyokong mujahidin FSA.

Jumalah kematian itu juga adalah 57 peratus lebih tinggi daripada jumlah kematian orang awam semasa Perang Dunia Kedua.

6 mati setiap jam

Laporan itu juga menyebut bahawa kira-kira enam orang mati setiap jam, berjumlah 135 orang setiap hari.

Ia termasuk seorang kanak-kanak setiap dua jam dan seorang wanita setiap tiga jam.

Bagi jumlah 10,913 kanak-kanak yang menjadi mangsa korban itu pula, 3,399 adalah kanak-kanak perempuan dan 2,305 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun telah dibunuh oleh rejim Assad.

Laporan itu juga menyebut bahawa 530 orang kanak-kanak telah dibunuh dengan objek tajam dan 79 dengan penyeksaan semasa ditahan .

Sepanjang pertempuran dalam tempoh itu juga, seramai 284 pekerja kesihatan, termasuk 143 doktor dan 54 ahli farmasi dilaporkan telah meninggal dunia, manakala 3,000 lagi telah ditahan, termasuk 600 doktor dan 18 daripada mereka diseksa hingga mati.

Selain itu, laporan itu juga menyatakan bahawa 80,000 daripada 215,000 tahanan masih hilang termasuk 9,000 kanak-kanak dan 5,000 wanita yang telah diseksa oleh tentera rejim dan kekurangan air dan makanan.

Syarikat jangan diskriminasi wanita bertudung

Hazayani Zakaria, 13 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat perkhidmatan dan perniagaan harus mematuhi Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan tidak  boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau pelantikan pada mana-mana jawatan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) Siti Zailah Mohd Yusof berkata, kerajaan juga harus mengedarkan garis panduan kepada semua syarikat dalam pengambilan pekerja agar tidak berlaku lagi diskriminasi terhadap wanita bertudung.

"Syarikat kena patuh pada Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi. Jadi mengikut perlembagaan, tidak boleh menghalang orang Islam untuk memakai tudung, solat dan sebagainya sewaktu bekerja.

"Kerajaan harus pantau syarikat-syarikat yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita dan harus memberi panduan kepada syarikat-syarikat dalam mengambil pekerja aga," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar mengenai isu wanita bertudung tidak diterima bekerja di beberapa butik terkenal senitar ibu negara.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga berkata, mana-mana syarikat pun harus mematuhi syariat Islam dan tidak menghalang orang lain melaksanakan syariat Islam dalam mencari rezeki yang halal.

"Sepatutnya syarikat yang terbabit kena hormat syariat Islam dalam mencari rezeki.

"Saya tak setuju wanita dijadikan bahan eksploitasi di tempat dia bekerja ataupun dalam industri pengiklanan.

"Wanita Islam berhak untuk melaksanakan syarikat Islam dalam mencari rezeki kerana itu juga mempengaruhi keberkatan rezeki yang diterima," katanya.

Boikot: Jabatan elektrik Mesir rugi LE 2.5 bilion

Harakahdaily, 13 Sep 2013
MESIR: Jabatan Elektrik Mesir kini berdepan masalah kewangan kesan dari tindakan boikot oleh rakyat negara itu yang membantah rampasan kuasa oleh tentera terhadap presiden sah Dr Mohammad Morsi.

Menurut agensi berita RNN, seramai 12 juta rakyat mesir bertindak tidak membayar bil-bil elektrik sekitar bulan Ogos lalu dan jumlah tersebut merangkumi 40 peratus dari keseluruhan pengguna elektrik di Mesir.

"Kadar bayaran bil sekitar bulan Ogos berada di tahap paling rendah berbanding enam bulan pertama dalam tahun 2013," kata satu sumber jabatan elektrik negara itu.

Seorang pegawai jabatan tersebut yang mahu namanya dirahsiakan berkata "Jumlah keseluruhan bil-bil yang tidak terbayar bersamaan dengan LE 2.5 bilion".

Sementara itu, Ketua Jabatan Elektrik Mesir Jabir Al Dasuki, berkata bahawa jabatan elektrik menderita krisis kewangan yang teruk akibat dari kekurangan hasil dari bayaran-bayaran bil.

Katanya, jumlah kutipan bayaran bil elektrik yang diperolehi setiap tahun biasanya mencecah LE 34 billion.

Dari jumlah itu, LE 12 billion setahun digunakan untuk mebayar gaji-gaji pekerja di jabatan elektrik tersebut.

Sementara itu, penyokong legitimasi meneruskan kempen boikot membayar bil elektrik dalam usaha memberi tekanan berterusan kepada kerajaan sementara.

Mesej bantahan tersebut dapat dilihat dari ayat-ayat berikut.

"Aku tidak akan membunuh saudara-saudaraku dengan duitku sendiri!

"Bil-bil yang anda bayar kepada kerajaan haram As Sisi yang dijadikan pendapatan masuk yang digunakan untuk membunuh rakyat yang berjuang mempertahankan kemuliaan dan tanah airnya."

Tiada ulasan: